June 22, 2013

Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 7


BAB 7

BETULLAH apa yang aku rasa ni, entah-entah kau dah tersuka kat dia. Dahsyat juga kau ni. Baru aje kenal, dah jatuh cinta.”
            Syamil menggelengkan kepala berkali-kali, cuba menghalau suara Hazri yang tidak habis-habis berdengung di suatu sudut fikirannya. Isy, kau ini kenapa? Dah tak ada benda lain nak fikir, nak teringat-ingat? Buat jiwa jadi kacau aje!
            Sambil menyembur body cologne, Syamil merenung wajah sendiri di cermin. Ini rupa orang yang dah jatuh cinta ke?
Perlahan-lahan Syamil meletakkan kembali botol Kouros dari jenama Yves Saint Laurent ke atas meja solek dan melekapkan telapak tangan ke atas dada, cuba merasa degupan jantung. Kepalanya ligat membayangkan saat-saat rentak organ yang satu ini bagaikan menari-nari riang semalam. Kala dia ditebak dengan kata-kata Hazri. Kala lidahnya terkelu tidak mampu berbicara.
            “Okey, tidak ada.” Syamil mula bersuara pada imej yang terpancar di cermin. “Tidak ada benda pelik kat jantung ni. Tak ada rasa berdebar semacam. So maksudnya, kau tak jatuh cinta pada dia. Ya, betul tu. Kau tidak ada perasaan pada dia…”
            Sekonyong-konyong Syamil melepaskan keluhan. Otaknya terasa bengap. Dadanya terasa sesak. Ya Allah, apa ni?!
            Dalam-dalam Syamil menghela nafas dan menyimpul senyum pada diri sendiri, walaupun terasa bibirnya terherot dengan cukup hodoh. Senyuman tidak ikhlas!
            “Syamil Imran, betul kan? Betul kan kau tak jatuh cinta pada dia?” Syamil menebak perlahan. “Yalah, takkan sesenang itu kau nak tersuka kat orang, kan? Lagipun, mana kau nak letak si Misha tu?”
            Ya, walaupun dia sangat tidak berkenan dengan sikap Misha yang selalu mengjengkelkan, tetapi untuk dia memasang dua…memang mustahil. Tidak mahulah dia jadi lelaki yang curang. Nanti tak pasal-pasal pula terkena atas batang hidung sendiri. What you give, you get back. Jadi kalau dia curang, pasti sekali dia akan menerima nasib yang sama nanti, dikhianati dan diduakan.
            “Okey, sudah Syamil! Tak payah fikir pasal itu lagi. Budak Hazri tu bukan betul sangat pun,” putus Syamil akhirnya. Bayangan Miss Sweetheart serta suara-suara sumbang Hazri cuba dihalau dengan sedaya mungkin. Kemudian dia meraup rambutnya, membetulkan anak rambut yang jatuh menutupi dahi. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, dia bergegas keluar dari bilik.
            “Angah!”
            Usai menjejakkan kaki keluar, suara mummy yang menyapa kedengaran tidak jauh daripadanya. Segera dia menoleh.
            “Oh, mummy, kenapa?”
            “Fiya pesan kat mummy tadi. Katanya dia pinjam kereta Angah. Nak keluar dengan kawan-kawan.”
            Syamil tercengang. “What? Habis tu Angah nak ke tempat kerja macam mana?”
            Tidak semena-mena segugus kunci terbang ke arahnya. Drastik Syamil menyambut. Kemudian dia menengadah pada ibunya yang sudah pun tersenyum kambing. Okey, apa yang dah dibuat oleh budak Fiya? Semacam aje muka mummy.
            “Itu…skuter kat luar tu. Gunalah.”
            Melurut jatuh rahang Syamil. “You don’t really…mean that, do you?”
            Sengih Puan Rozana semakin melebar.
“Well…good luck, Angah.” Dengan patah kata itu, Puan Rozana menepuk bahu Syamil dan berlalu pergi. Bibirnya meletuskan tawa kecil.
            Safiya Humaira!!! Jerit batin Syamil dengan kuat. Berani buat Angah macam ni?!
*****
HAMPIR terkeluar biji mata Orked melihat apa yang ada di hadapannya. Spontan mulutnya terbuka untuk…
            “Hah, awak jangan berani gelak.”
            Ops, cepat-cepat Orked menekup mulut. Gelak yang hampir tersembur tadi ditelan kembali. Isy, dia ni…orang nak ketawa sikit pun tak boleh, omel Orked sambil menjeling pada sang jejaka yang semakin mendekati.
            “So…BMW awak dah bertukar, ya?” sindir Orked dengan suara yang cuba dibuat serius. Sebelah keningnya terjongket tinggi.
            “Awak tak payahlah bazirkan air liur awak perli saya.” Suara Syamil berdesis rasa tidak puas hati. Mukanya kemerah-merahan, menahan cemberut.
            Lagi Orked cuba mengekang tawa jahat yang membuak-buak mahu keluar.
“Mana ada saya perli? Saya tanya betul-betul ni.”
            Jawapan Orked hanya menerima cebikan sebagai balasan. Nampak sangat lelaki ini tidak percaya padanya. Huh, ada aku kisah? Lagipun, lagi dia tak puas hati, lagi aku suka. Itulah, siapa suruh sakat Orked Imani? Sekarang, rasakan!
            “Tak sangka, kan? Orang yang nampak….” Orked menilik Syamil dari atas bawah. “Macho macam awak ni, rupa-rupanya…”
            Anak mata Syamil mula mencerun tajam.
            “Minat benda macam ni. Tsk…tsk…tak sangka betul saya.” Selamba Orked mengomen tanpa mempedulikan lelaki di hadapannya yang sedang mendengus. Kemudian dia memusing tubuh, mahu ke Viva yang sedang menanti untuk diuruskan. Hujung bibirnya mengulum senyum senang. Padan muka awak!
            “Hmm…tak apalah, saya faham. Zaman sekarang ni memang macam tu. Ramai lelaki yang kat luar nampak maskulin, macho, gagah perkasa tetapi hakikatnya...siapalah yang tahu, kan?”
Tanpa semena-mena, fikiran Orked diterjah sesuatu. “Eh, kejap. Habis tu, Cik Gincu Merah awak...” Mata Orked serta-merta membulat. “Ehhh, don’t tell me awak ni sebenarnya bi….” Laju Orked memalingkan kembali tubuhnya ke belakang dan….
            “Argh!!!”
            Spontan Orked melekapkan diri ke sisi kereta. Buntang matanya menatap Encik Sayang yang cuma beberapa inci jauh dari tubuhnya. Sejak bila lelaki itu berdiri di belakangnya, dia juga tidak pasti. Wajah lelaki tersebut tidak beriak langsung, malahan sepasang matanya tajam memanah. Gulp! Apa…apa dah jadi dengan dia ni?
            “Awak…awak kenapa?”
            Soalan Orked sepi tanpa balasan. Sebaliknya lelaki di hadapannya kini semakin mendekati dengan gaya sungguh berbahaya. Cukup perlahan dan menggoda, bersama mata yang menyimpul seribu satu rahsia.
            “Awak….”
            Pap! Melekap telapak tangan Syamil di kedua-dua belah kiri dan kanan sisi bumbung kereta Orked. Lagi terbeliak Orked dengan keadaan dirinya yang diperangkap oleh tubuh sasa Syamil. Kemudian dia menoleh ke kiri dan kanan dengan rasa yang semakin cuak. Air liur yang kelat semakin berkeladak di celah-celah kerongkong.
            “Awak…awak nak buat apa ni?” Takut-takut Orked menyoal.
            “Awak rasa?” soal Syamil kembali dengan suara yang seperti sengaja dibisik perlahan, betul-betul di cuping telinga Orked. Menggigil tubuh Orked menerima hembusan nafas lelaki yang melekat di lehernya. Bauan maskulin Syamil pula semakin menusuk-nusuk hidung.
            “Awak…awak jangan buat yang bukan-bukan.” Suara Orked mula merayu. Ekor matanya melingas ke sekeliling. “Nanti…nanti saya jerit.”
            “Awak tak perlulah nak tengok-tengok. Dan tak perlulah nak sakitkan anak tekak awak untuk menjerit bagai. Waktu macam ni, memang dah tak ada orang kat parking lot ni…” desis Syamil. Mendatar sekali. “Dan semestinya…tak ada sesiapa yang akan kacau kita.”
            Kali ini, jantung Orked terasa berhenti berdegup. Ketakutan semakin membuak-buak di dalam setiap pembuluh darahnya. Ya Allah! Lelaki ini…lelaki ini panjahat ke? Dia…dia baru sahaja melakukan provokasi terhadap lelaki psiko? Perogol bersiri? Pembunuh kejam? Tidak! Dia tidak rela diapa-apakan!!!
            “Awak…jangan…” Putus-putus suara Orked diselangi rasa gentar. Air matanya mula bergenang. Segenap inci tubuhnya bergetar kuat. Menggeletar lemah!
            “Jangan apa? Huh? Jangan apa? Saya belum mula buat apa-apa lagi ni.” Wajah Syamil semakin mendekat dan mendekat. Dengusan nafas kasar mula menampar-nampar muka Orked.
Cepat-cepat Orked memalingkan muka dan memejamkan mata kuat-kuat. Bibirnya terketar-ketar, mahu memekik. Tetapi entah kenapa, dia jadi terlampau takut hinggakan tidak mampu langsung untuk berbuat apa-apa. Suaranya langsung tidak mampu dilontarkan, bagaikan disekat oleh suatu entiti yang sedang mencekik lehernya. Ya Allah! Ya Tuhanku! Aku merayu pada-Mu. Selamatkan aku. Selamatkan aku, Ya Tuhanku!!!
            “Awak nak saya jangan tunjukkan betapa…” Suara Encik Sayang kedengaran dekat benar di telinganya. Gemersik, menggoda dan kemudian…
“Macho dan maskulinnya saya? Dan bukan seperti yang awak bayangkan tadi? Itu ke maksud awak?” Nada suaranya tiba-tiba bertukar menjadi kuat dan selamba.
            Orked tersentak. Sepasang matanya terbuka kembali.
            “So, macam mana? Dah cukup macho tak saya sekarang? Cukup menggoda tak?” Kali ini suara Syamil tidak lagi bergema di sebelah mukanya. Sebaliknya sudah kedengaran jauh.
            Orked memanggung muka pada lelaki yang sedang menyengih lebar. Siap dengan kedua-dua belah kening yang terjongket tinggi.
            “Dah-dahlah buat muka terkejut sangat tu. Atau awak ingat saya betul-betul nak buat something pada awak?”
            Terlopong besar mulut Orked. Dadanya sesak dengan rasa tidak percaya. Tubuhnya mengiggigil menahan marah dan takut yang saling berselirat dalam diri. Sepasang kakinya terasa lembik. Lelaki ini…lelaki ini main-main tadi? Dia ingat benda macam tu boleh dibuat main?!
            “Itulah, lain kali mulut tu jangan lepas sangat. Cakap saya macam-macam. Jangan diingat lelaki ni boleh dikatakan gay atau homoseksual atau biseksual sesuka hati. Kita orang ada harga diri, ada maruah jantan yang perlu dipertahankan…”
            “Awak ni kan!!!” Jeritan Orked termati kala tubuhnya terjelepuk jatuh ke atas jalan tar. Sungguh, lembik segala urat sendinya. Lemah jantungnya. Bagaikan tercabut nyawanya. Dan tidak semena-mena, Orked mula merembeskan tangis. Ya Allah! Takutnya dia tadi hanya Allah sahaja yang tahu. Sanggup…sanggup lelaki ini buat dia macam tu?
            “Awak…awak kenapa menangis?”
            Orked mendongak pada lelaki yang kini mencangkung di hadapannya. Wajah panik dan menggelabah Syamil jelas kelihatan dari sebalik matanya yang berbalam-balam. Berani tanya lagi? Bengap ke apa dia ni?!
            “Awak…awak…janganlah macam ni. Nanti orang ingat saya apa-apakan awak.”
            “Bukan ke?!” jerkah Orked di sebalik esak tangisnya. “Awak…tadi…”
            “Saya main-main aje tadi!” Kedua-dua belah tangan sudah terangkat ke atas. “Sumpah! Saya tak ada niat pun untuk….”
            Orked menjeling tajam bersama esak tangisnya yang semakin menjadi-jadi.
            “Untuk…apa-apalah. Saya cuma nak kenakan awak sebab cakap saya macam-macam tadi.”
            Tetap juga Orked membungkam. Hanya sedu-sedannya yang berbunyi di dalam kesunyian petang yang menghimpit mereka. Bahunya terhinjut-hinjut pilu. Sungguh, dia tidak mampu menahan diri daripada terus-terusan menangis. Itulah kali pertamanya dia berasa terlampau takut sepanjang hidupnya.
            “Awak…janganlah menangis lagi.” Hujung mata Orked menangkap tangan kekar yang terketar-ketar mahu mencapai bahunya. “Saya minta….”
            “Minta apa, hah?!!!”
Dan hanya dalam masa sesaat sahaja, sedar-sedar mata Orked sudah pun terjegil memandang Encik Sayang yang terpelanting dan terhempap ke atas jalan dengan belakang baju yang mempunyai corak…tapak kasut?

                                                                   ~Bersambung~

         p/s: Alahai...kesian Encik Sayang. Itulah, siapa suruh sakat orang macam tu sekali, kan? haha...

11 comments:

  1. Apa yang jadi pada Encik Sayang tu ?????

    ReplyDelete
  2. x psal2 kena cop kasut kt baju...
    suka sgt nk sakat orked
    kan dh kena....

    ReplyDelete
  3. hehehe...memang kelakar dgn encik sayang & miss sweetheart nie....

    ReplyDelete
  4. nakal la syamil ni... smpai nanges2 orked dibuatnye...

    ReplyDelete
  5. kena karate ek en sayang... tu la... saper suruh sakat mcm tu...

    ReplyDelete