November 25, 2019

CODE NAME COBRA - BAB 11

BAB 10
SEPULUH HARI sudah berlalu sejak Kai memulakan ‘kerja’ yang diarahkan oleh Athena. Seperti kebiasaan bila dia mempunyai projek, hidupnya sehari-hari cuma akan berkisar duduk depan komputer dan menghadapnya sampai hampir tercabut biji mata. Ada beberapa kali, Athena datang melawat. Ya, seperti yang dia mahu, tetapi jujurnya dia tidak menduga bahawa gadis itu akan benar-benar muncul. Malangnya, setiap kali itu, dia tidak boleh melayan. Bukan tidak mahu, tetapi menembusi sistem yang dicipta oleh CK Group benar-benar memerlukan kosentrasi tinggi daripada dia. Sistem tersebut dinamakan sebagai ‘autopilot’.
Autopilot menggunakan kaedah yang dipanggil sebagai ‘computer vision’ atau sophisticated image recognition dalam kamera berteknologi tinggi. Tujuannya adalah untuk melihat dan mengumpul data. Ia kemudiannya akan menterjemah maklumat yang diperoleh dan membuat keputusan berdasarkan itu. Hasilnya, kereta boleh bergerak sendiri tanpa perlu pemandunya buat apa-apa. Lebih menarik lagi, mereka cuma perlu masuk dan memberitahu kereta mana mahu pergi. Jika mereka tidak mengata apa-apa, kereta tersebut akan melihat kalendar dan membawa pemiliknya ke destinasi yang diagak.
Fuh, sistem tersebut memang sangat menarik. Membuatkan Kai terfikir, kenapa dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mencipta sesuatu seperti itu? Tetapi bila difikirkan semula, itu bukan minatnya. Dia mahu seperti sekarang. Menggodam sistem-sistem yang dikatakan hebat. Untuk itu, dia harus akui. Sistem software ‘autopilot’ ini memang hebat. Tahap kesukarannya tidak pernah Kai temui selama dia bergelar hacker. Kai jadi tercabar. Jiwanya membuak-buak. Dia bahkan seperti lupa akan statusnya sebagai ejen The Shadow. Apa yang dia mahu cuma satu, iaitu…
Menembusi segala dinding keselamatan dalam sistem kereta tanpa pemandu milik CK Group ini. 
Dia mahu sekali lagi menempa nama dalam dunia hacker. Orang lain tidak kira white-hat hacker, mahu pun black-hat hacker akan mengingat namanya sebagai hacker pertama yang berjaya menembusi sistem tersebut.
“Tak guna!”
Kai menghentak meja. Nafasnya dihembus kuat-kuat. Rambutnya pula diraup kasar. Termasuk kali ini, sudah lima kali dia cuba mengambil alih Controller Area Network (CAN bus) yang digunakan oleh CK1 Roadster. Setiap kali itu juga, segala usahanya melantun semula. Tidak berjaya masuk. Tidak berjaya tembus. L di sebelah sana juga mengalami nasib yang sama.
Dalam-dalam, Kai menarik nafas dan menghembusnya. Cuba menenangkan diri. Dia bangkit dari kerusi dan membetul-betulkan urat. Terasa lenguh segala urat sendi di badan. Sesudah itu, dia merembat sebotol Red Bull yang terletak sebelah meja. Dibuka penutupnya dan dibawa ke mulut. Sambil meneguknya masuk ke kerongkong, Kai mendekati jendela. Usai menjatuhkan Red Bull ke sisi, Kai meliarkan pandangan ke luar.
Tiada apa yang dia nampak, melainkan tembok besar warna kelabu tinggi dengan jaringan dawai berjeriji itu. Sesaat, Kai mengherotkan bibir. Tidak perlu dia masuk penjara, sudah dia rasa pengalamannya.
“Dah siap ke?”
Kai melebarkan senyuman sinisnya. Tanpa melihat siapa gerangan yang menegur, dia sudah tahu. Suara yang satu ini sudah terlampau lali di telinganya.
Lambat-lambat, Kai memaling tubuh.
“Kau memang tak ada soalan lain, kan? Itu aje yang kau tanya setiap kali nampak aku.”
“Sebab memang itu pun yang aku nak tahu,” jawab Athena sambil melangkah masuk. “Kenapa? Kau nak aku bertanya khabar?”
Kai mengangkat bahu.
“Why not? I’m working for you, here.”
“Nope,” bantah Athena disusuli kepala yang menggeleng. “Kau sedang bekerja untuk diri kau sendiri. Untuk ganti balik duit aku. Dalam erti kata lain, untuk selamatkan nyawa kau sendiri.”
“Huh, tak habis-habis nak ugut aku,” rungut Kai. Botol Red Bull di tangan, dia lempar masuk ke dalam tong sampah. Kakinya dibawa mendekati Athena. Kemudian, dia menyambung.
“Tapi tak apa. Sebab kau cantik, aku tak kesah. Ugutlah aku macam mana pun, aku rela.”
Athena menayang muka tak ada perasaan. Dia menjatuhkan duduk atas kerusi yang terletak di celah-celah barang Kai. Matanya ditala kepada tiga monitor atas meja.
Kai yakin Athena tidak faham pun setiap gambar rajah, tulisan mahu pun nombor yang terpampang di situ. Tekaannya benar bila wanita itu kembali melihat kepadanya.
“So, I guess sekarang kau dah tak sibuk. Itu yang tiba-tiba rajin melayan aku.”
Telinga Kai terbuka luas.
“Eh, kejap-kejap! Aku macam dengar bunyi orang merajuk kat sini.”
Pantas Kai mengambil kerusi di sebelah, duduk dan menolaknya hingga ke depan Athena. Wanita itu tampak terpanar.
“Kau merajuk, ya? Sebab aku tak layan kau sebelum ni.” Terjongket kening Kai saat menyoal. Turun naik.
Athena terlopong.
“Aku? Merajuk? Tak kuasa!”
“Yalah tu.” Kai mencebik. “Cubalah mengaku perasaan sendiri tu sikit. Bukan susah pun. Kau cuma perlu buka mulut...”
Kai membuka mulutnya besar-besar.
“Haaaa, macam ni. Lepas tu cakap...”
Sekali, Kai berdehem.
“Aku merajuk. Aku sedih sebab dah seminggu kau tak nak layan aku. Aku datang, kau buat tak tahu. Aku tegur, kau tak jawab. Aku bagi makanan, kau tak makan,” ucap Kai dengan rupa ala-ala kesedihan. Siap dengan kedua-dua tangan diletak atas dada.
Sesaat kemudian, dia mengubah riak muka semula. Jadi ceria.
“Haa, macam tulah. Cuba buat.”
Athena merenung tepat ke muka Kai. Tajam sekali.
“Kau gila, kan?” Dia bertanya pendek.
“Gilakan kau.” Selamba, Kai membalas.
“Tak ada ayat lain? Ayat klise tu juga yang kau nak guna,” sindir Athena.
“Klise, memang ya. Tapi selalu menjadi dengan perempuan-perempuan lain.”
“Sorry to disappoint you, then. Aku bukan macam perempuan lain.”
“Memang pun. Perempuan lain tak seganas kau.”
“Kau ni...” Sejenak, Athena berhenti dan menghela nafas dalam-dalam. “Okey, aku malas layan kau dah. Aku datang nak tanya.”
“Macam mana perkembangannya sekarang? Itu yang kau nak tahu, kan?” sampuk Kai. Sudah berwajah serius.
“So, how?”
Kai mengeluh.
“I’m stucked.”
“Stuck?” Nada suara Athena ternaik sedikit. Kedua-dua matanya juga membesar.
“Janganlah tengok aku dengan muka cuak macam tu sekali. Aku cuma perlukan masa sikit lagi.”
Suasana tiba-tiba hening. Athena tidak mengata apa-apa. Tetapi matanya sudah cukup berbicara. Sedikit-sedikit, mengecil. Menandakan syak wasangka yang menyirap masuk ke dalam diri.
“Kau memang betul-betul boleh buat?” Beberapa saat kemudian, dia menyoal. Separa berbisik, bersulam getaran.
Kai mula terfikirkan sesuatu. Seperti Athena, dia turut menyepetkan mata. Tepat meneliti wajah di hadapan.
“Aku tertanya-tanyalah kan...” Suara Kai juga keluar agak perlahan.
“Apa?” Pantas disampuk oleh Athena.
“What’s the deal between you and this job?”
Muka Athena berderau.
“Apa maksud kau?”
“Yalah, kau macam pentingkan sangat job ni.”
“Kita tengah bercakap pasal tiga juta ringgit. Mestilah aku pentingkan job ni.”
Dalam hati, Kai mula rasa mahu ketawa kuat-kuat. Athena mahu berbohong pada siapa? Dia ingat rupa ala-ala tenang dan jawapan ala-ala yakin itu, mampu membutakan mata dan memekakkan telinganya?
Kai boleh nampak. Kai boleh lihat. Betapa palsunya jawapan yang keluar dari bibir merah itu.
“Lai Kuan dan Charlie tak macam kau pun. Mereka selamba aje,” balas Kai sekadar melayan penipuan Athena.
“Ah Lai dan Charlie jaga bahagian lain. Ini bahagian aku. So by hook or by crook, tak boleh gagal.”
“Sebab kau nak tambahkan pendapatan kumpulan?”
“Ya,” akui Athena. Terlebih laju.
“Bukan sebab lain?”
Sekali lagi, riak muka Athena berubah.
“What is that supposed to mean?” Keras intonasi suara yang dia pantulkan. Renungan matanya juga mula berubah.
“Nothing.” Kai menjawab sambil menjongket bahu. Masih menayang rupa manusia tak bersalah, yang menyoal soalan yang juga tidak salah.
“Kau tak perlu fikir apa-apa. Kau cuma perlu ikut arahan aku. Act like someone below me.”Athena tidak semena-mena, menjatuhkan arahan. Siap mengingatkan Kai tentang dia yang merupakan orang bawahan.
Kai tidak menjawab.
“Ingat, Cobra. Hanya kerana aku simpan kau, itu tak bermakna kau boleh cakap macam-macam.”
Kai masih membisu. Sengaja.
“Faham?” tempelak Athena. Keras.
Lambat-lambat, Kai mengangguk.
“Ya, aku faham.”
Hembusan nafas Athena berbunyi kuat. Dia kemudiannya bangkit dari kerusi.
“That’s it, then. Sambung kerja kau sampai dapat hasilnya. Kalau tak, segala ugutan aku tu...”
Kai menengadah. Matanya bertentang dengan mata Athena yang menunduk.
“Takkan lagi jadi ugutan semata-mata.”
Sesudah mengatakan itu, Athena memaling tubuh. Namun belum pun sempat dia sampai ke depan pintu, daun pintu lebih dahulu ditolak dari luar hingga terbuka luas. Seorang konco tersembul dengan dada yang termengah-mengah dan nafas yang tercungap-cungap.
“Dai kah-jie!”
Athena tercengang.
“Kenapa?” Terus dia bertanya.
“Ada budak buat hal.”
*****
“KAU tak perlu ikut.”
“Aku juga Red Sun.”
“Aku nak kau uruskan CK Group. Bukan menyibuk dengan urusan lain.”
“Aku tengah stuck. Aku perlukan distraction buat sementara waktu.”
Sambil berlari-lari anak menuju ke kereta, Kai dan Athena berlawan kata. Masing-masing tidak mahu mengalah. Sudahnya, telinga Kai mendengar hembusan nafas tidak puas hati Athena. Ekor matanya melirik ke sebelah. Athena sudah tidak menjawab. Sudah malas bertekak, mungkin. Atau mungkin juga tidak mahu membazirkan masa.
Sampai dekat kereta, Athena berhenti depan salah seorang konco yang sedia menanti sebelah pintu.
“Ah Lai mana?”
“Dai-lo ada urusan lain. Ada orang buat hal di Blue Moon.”
Telinga Kai terbuka luas. Blue Moon? Dia tahu apa itu. Salah sebuah kelab malam terkemuka di ibu kota. Juga, salah sebuah kelab di bawah perlindungan Red Sun.
“Huh, great! Semua orang nak buat hal hari ni.” Ejekan Athena berbunyi dekat telinga. Kai melihat dia yang sudah pun masuk ke dalam kereta.
“Tunggu apa lagi?!”
Kai tersentak sesaat, sebelum bergegas mengambil tempat di hadapan. Sebelah konco tadi yang sudah berada di tempat duduk pemandu. Tidak sampai beberapa saat kemudian, Audi hitam milik Athena meluncur laju meninggalkan White Lotus.
Kai tidak tahu ke mana mereka pergi. Dia juga tidak menanya. Bukan tidak berminat, tetapi mulutnya memberat. Apatah lagi, bila ketegangan meluap-luap dalam setiap inci ruang kereta. Lewat ekor mata, dia melirik ke belakang. Kelihatan Athena sedang mengetap bibir kuat-kuat. Segenap mukanya menegang, hinggakan ternampak urat darah atas dahi. Begitu juga dengan urat lehernya.
Athena berang. Benar-benar berang.
Beberapa minit dalam kereta, mereka akhirnya berhenti. Tidak menunggu sesiapa pun, Athena membuka pintu kereta. Kai mengambil tindakan sama. Kepalanya terngadah memandang bangunan depan mata. Sebuah rumah pangsa yang belum siap. Batu-bata dan macam-macam dawai bertebaran di sekeliling. Tumbuh-tumbuhan hijau melingkari dinding.
“Dai kah-jie!”
Hujung telinga Kai menangkap teriakan konco yang ikut serta tadi. Langsung, dia menoleh kepada Athena. Wanita itu sudah pun meluru masuk ke celah-celah semak. Kai tidak menanti lagi. Dia turut mengangkat kaki. Menuju ke arah ruang kosong yang bakal membawanya ke dalam bangunan.
“Tolong!!!”
“Daddy!!! Daddy!!!”
“Jangan! Aku merayu pada kau. Jangan sentuh dia.”
“Lepaskan aku!!! Lepaskan aku!!!”
“Jangan sentuh anak aku!!”
“Tolong!! Aku merayu!!! Aku akan buat apa saja!!”
“Daddy!!! Tolong Ann, daddy!!!”
Semakin Kai mendekat, semakin telinganya dapat mendengar. Semakin juga langkah kaki Athena di hadapannya, menjadi deras. Separa berjalan dan separa berlari. Sampai dalam ruang tengah bangunan, kaki Kai terhenti. Tetapi, tidak kaki Athena.
Wanita itu melajukan lagi langkahnya. Jadi berlari. Sebelah tangannya menarik cucuk sanggul di kepala. Rambut panjangnya jatuh mengurai hingga ke pinggang. Tetapi bukan itu yang menarik perhatian Kai, melainkan gerak laku Athena yang...
Melompat ke atas seorang lelaki yang sedang menindih seorang perempuan. Tangan yang sedang memegang cucuk sanggul itu diangkat tinggi, dan kemudian dijatuhkan ke bawah. Sangat laju. Sedar-sedar sahaja...
“Arghhhh!!!”
Sang lelaki tadi jatuh ke lantai dan menggelupur, sambil memegang bahunya. Darah bersemburan keluar dari celah-celah jarinya.
Kai terkaku. Perempuan muda atas lantai terkaku. Konon-konco Red Sun yang ada juga terkaku.
~ Bersambung... ~
Sara says:
Yes, you go, girl!!! Tunjukkan kehebatanmu, Athena!
Anyway, since pre-order CNC dah pun dibuka, makanya ini akan jadi chapter terakhir yang Cik SA letak di wattpad. Sambungannya... please do get the published copy.
Thank you for being with me on this journey. Cik SA suka sangat baca komen-komen korang. Macam-macam gaya ada. Hahaha!!
Jumpa lagi di next book!
Love you, mmmmuahhh!!!
Love, SA

November 22, 2019

CODE NAME COBRA - BAB 10

BAB 10
"L."
            "Cobra? You shouldn't contact me."
            "Aku tahu. Tapi ini penting."
            "Apa?"
            "Aku perlukan sesuatu."
            Panggilan hening. Hanya bunyi nafas ditarik dan dihembus yang kedengaran di hujung telinga Kai. Dia menanti. Beberapa saat berlalu...
            "Kat mana?" Orang di hujung sana menyoal.
            "Tempat biasa. Cara biasa."
            "Apa yang diperlukan?"
            "Ini..."
            Langsung, Kai menerangkan apa yang dia perlukan. Semuanya demi menjayakan wataknya sebagai Cobra, salah seorang ahli Red Sun yang kini menjadi penggodam utam bagi kumpulan tersebut. Menggodam sistem kereta tanpa pemandu CK Group bukanlah kerja mudah. Sistem mereka dilindungi oleh tiga lapisan firewall. Kai sudah memeriksa. Dia boleh menembusi peringkat satu dan peringkat kedua, tetapi untuk yang ketiga... sekurang-kurangnya dua orang penggodam diperlukan. Masalahnya sekarang, mereka tidak punya dua orang. Yang ada cuma dia. Seorang sahaja.
            Kai tahu bahawa Red Sun mempunyai barisan penggodam mereka sendiri. Yang selama ini bertanggungjawab dalam kegiatan penipuan, phishing, Macau scam dan juga ransomware terhadap perniagaan-perniagaan kecil. Namun dia juga tahu, mereka tidak mempunyai cukup kepakaran untuk membuat apa yang bakal dia buat. Kalau tidak, kenapa Athena beriya-iya benar mahukan dia?
            Jadi, tidak perlu susah-susah fikirkan barisan penggodam Red Sun. Dia yang akan buat semuanya. Atau sekurang-kurangnya, itu yang dia akan buat Athena fikir. Bahawa dia seorang diri menggodam masuk ke dalam sistem CK Group. Padahal hakikatnya, dia akan bergabung dengan L sebagai virtual partner dia. Bila dia buat kerja di sini, L akan bekerja di sana, di ibu pejabat The Shadow.
            Itulah rancangannya. Namun, untuk menjayakannya, Kai memerlukan Falcon, satu sistem rahsia yang dia telah cipta dan hanya boleh diakses secara fizikal. Masalahnya sekarang, Falcon disimpan dalam data security room di ibu pejabat. Tidak ada cara lain, L sebagai courier terpaksa membawanya datang kepada Kai.
            "Got it." Tanpa sebarang pertanyaan atau bangkangan, penerangan Kai diterima oleh L.
            Klik.
            Panggilan telefon mati, sesaat kemudian. Seperti sebelumnya, Kai mengeluarkan SIM card dan membuangnya dalam bekas kecil atas meja. Sebaik jatuh, percikan api muncul. Kad tersebut habis terbakar, tidak meninggalkan sebarang jejak.
*****
KUALA LUMPUL SENTRAL.
            Atau nampak pendeknya, KL Sental. Terletak hanya dua kilometer dari kawasan tengah bandar. Ianya merupakan hub pengangkutan terbesar di Malaysia. Tidak hanya menawarkan perhubungan global, KL Sentral juga menjadi pusat perhubungan antara kawasan urban dan suburban. Dikelilingi oleh hotel-hotel serta pusat membeli belah, membuatkan KL Sentral menjadi pilihan ramai sebagai pusat persinggahan. Maka tidak hairanlah, pengunjungnya boleh mencapai ke tahap puluhan ribu orang pada setiap hari. Tidak hairan juga, di sinilah tempat pilihan untuk Kai menemui L.
            Kai menuruni eskelator. Sampai di Platform 6 yang menuju ke Seremban, dia duduk di bangku yang tersedia. Dengan kepala yang tegak ke hadapan, dia memandang tren yang sampai. Ratusan orang keluar. Kai tidak berganjak. Bahkan, kekal tidak bergerak bila mana seorang gadis duduk di sebelahnya. Mereka sekadar duduk sebelah menyebelah. Masing-masing meliarkan pandangan pada orang-orang di sekeliling. Pada anak-anak muda yang mengekek. Pada pasangan pencinta yang berpelukan. Pada kanak-kanak yang berpakaian sekolah. Pada ibu garang yang sedang memarahi anaknya.
            Seketika berlalu, gadis muda di sebelah Kai bangkit. Tubuhnya dipusing ke belakang, sebelum berjalan ke arah platform bertentangan. Seminit kemudian, dia hilang dalam tren yang menuju ke Pelabuhan Klang.
            Kai bangun dan membetulkan sedikit jaket yang dipakainya. Sesudah itu, dia tunduk mengambil sebuah beg bimbit yang berada di sebelah. Atas tempat duduk si gadis tadi. Tanpa memandang ke sekeliling, Kai mengorak langkah ke hadapan. Naik semula ke eskelator, keluar melalui laluan bermesin, dan kemudian...
            Lenyap di celah-celah puluhan ribu orang di KL Sentral.
*****
SETAPAK, Kai mengundur ke belakang. Memberi ruang kepada diri sendiri untuk melihat apa yang ada di hadapan mata. Ruang kerjanya sendiri. Terletak dalam banglo besar yang sebelum ini telah menarik perhatian Kai. Rupa-rupanya, tempat itu ialah...
            Safe house.
            Itulah fungsi rumah tersebut. Kebanyakan kumpulan kongsi gelap memiliki safe house mereka sendiri. Selalunya digunakan bila mahu melindungi diri daripada pihak berkuasa, atau pun pihak lawan. Juga bila mereka mahu menjalankan operasi rahsia. Rumah ini dikelilingi tembok setinggi sepuluh kaki, dengan jaringan dawai berduri di atasnya. Sudah serupa penjara. Pagar besarnya diperbuat daripada besi yang berat. Hanya boleh dibuka secara automatik dengan menggunakan kod rahsia. 
            Ada tujuh buah bilik di dalam rumah ini. Sebuah dikhaskan untuk kegunaan Athena bila-bila dia datang bermalam. Sebuah lagi untuk Lai Kuan dan Charlie. Tiga buah dikongsi oleh konco-konco Red Sun. Sebuah kosong, dan yang terakhir kini menjadi bilik Kai.
            Itulah arahan Athena. Dia akan berada di sini, sehingga kerjanya siap. Bukan Kai tidak mengerti maksudnya. Athena mahukan orang-orangnya mengawasi Kai, dua puluh empat jam sehari. Lihat sahaja penginap bilik kiri dan kanannya. Semuanya konco-konco Red Sun. Pantang mereka mendengar bunyi dari biliknya, deras menyerbu. Asalnya, Kai rimas. Namun akhirnya, dia buat tidak tahu sahaja. Dibiarkan mereka masuk melihat apa dia buat, dan keluar bila sedar diri tidak faham apa-apa pun.
            "Dah siap?"
            Suatu suara tiba-tiba muncul. Kai mengerutkan dahi, sebelum berpaling ke belakang.
            "Charlie..." Lidahnya berbisik perlahan.
            Tidak jauh di hadapan pintu masuk, tercegat lelaki itu. Charlie Qin, pak tsz sin untuk kumpulan Red Sun. Yang paling bijak katanya. Lelaki yang berdiri sebelah kiri Athena, sewaktu peristiwa dia perlu melawan konco-konco Red Sun. Tidak serupa ketika itu, tiada pula riak kebosanan di mukanya. Yang ada cuma raut muka yang kelihatan tertarik.
            "This is impressive. Lain benar daripada bilik budak-budak aku yang lain." Dia bertutur, seraya melangkah masuk. Tidak dipelawa pun. Anak matanya berlingas ke kiri ke kanan, yang Kai tahu dituju kepada segala peralatan yang siap dia pasang sebentar tadi.
            Ada kotak server di belah kiri pintu masuk. Ada tiga buah desktop dengan monitor yang sedang terpasang. Dua daripadanya ialah twin-monitor. Sedang memaparkan gambar peta dunia dengan pelbagai jaringan. Itulah dia cyber threat map. Sengaja Kai buka untuk melihat apa yang sedang berlaku di dunia maya sekarang. Di monitor ketiga pula, kelihatan tulisan-tulisan hijau yang sedang bergerak turun naik. Dia sedang membuat encryption bagi sistem yang baru dipasang.
            Desktop tersebut diletak atas meja berbentuk-L. Dua buah di hadapan dan sebuah di belah kiri. Bila mahu mengguna monitor ketiga, dia cuma perlu memusing kerusi ke kiri. Satu keyboard depan twin-monitor, dan satu lagi depan monitor ketiga. Kedua-duanya dari jenis razer keyboard. Walaupun keyboard ini selalu digunakan untuk 'gaming', Kai sangat menyukainya. Chroma backlighting di keyboard jenis ini, menyerlah dalam gelapnya bilik. Lantas, menjadikan bilik ini kelihatan bercahaya. Ditambah pula dengan cahaya hijau terang yang terpancar dari monitor desktop. Maka tidak hairanlah bila Charlie mengatakan ruang ini...
            "Impressive."
            Sekali lagi, Kai mendengar pujian itu. Dia membiarkan sahaja bila Charlie membelek-belek barangan yang dia susun atas meja. Hanyalah speaker, mouse dan beberapa buah encrypted drive.
            "Oh, I'm so sorry." Kali ini, Charlie memohon maaf pula. Dia menoleh kepada Kai, dan membetulkan tegak berdirinya.
            "Aku belum perkenalkan diri lagi." Dia menghulurkan tangan ke depan.
            Kai melangkah lebih dekat dan menyambutnya.
            "Charlie."
            "Cobra."
            "Our important man!" Tidak semena-mena, Charlie menyangkut lengan atas bahu Kai.  "Aku minta maaf bagi pihak Athena dan Lai Kuan. Mesti mereka dah menakutkan kau sebelum ni, kan?"
            Kai menggerak bibir dan menyengih. Sangat tidak ikhlas. Lengan atas bahu dibiarkan, walaupun kalau diikutkan hati, mahu dia melipatnya ke belakang badan.
            "Tak apa. Semuanya dah lepas."
            "Kannn?" Charlie mengiya dengan suara yang naik teruja. Tangannya dialih dari bahu Kai.
            Kai melebarkan lagi senyum palsunya.
            "Now, tell me." Charlie tiba-tiba menjatuhkan duduk atas kerusi Kai dan menyilang kaki atas paha. "Apa yang kau akan buat untuk hack ke dalam sistem CK?"
            "Perlu ke aku beritahu kau?" Kai menyoal kembali.
            Charlie senyum tenang.
            "You're right. Tak perlu sebenarnya. Cuma itulah... aku macam berminat untuk tahu," terangnya sambil menekan-nekan mouse atas meja.
            "Don't touch that." Deras, Kai menegah.
            Tangan Charlie terkaku sekejap. Perlahan-lahan, dia kemudiannya mengangkat kedua-dua belah tangan ke udara.
            "Wow, scary. No wonder kau tak takutkan Athena, mahupun Lai Kuan. Tapi kan..."
            Dia bangun dari kerusi dan mengibas punggung. Kakinya dibawa mendekati Kai. Sampai depan-depan, dia mengulum senyuman.
            Kai tidak ada rasa mahu membalas.
            "Kau tak patut pandang rendah pada mereka berdua. Ini nasihat aku untuk kau." Charlie menyudah kata dengan menepuk bahu Kai. Konon-konon bergaya peramah. Tetapi Kai tidak bodoh untuk mengerti. Sesungguhnya, Charlie Qin sedang memberinya amaran.
            Sesudah itu, Charlie berjalan melepasi Kai. Baru dia mahu sampai ke pintu, Kai membuka mulut.
            "Macam mana pula dengan kau?"
            Derap langkah kaki Charlie terhenti. Kai mengambil kesempatan dan berpaling kepadanya. Lelaki itu sudah pun menoleh kepadanya semula.
            Mereka saling bertentangan.
            "Patut ke aku takutkan kau?"
            Birai bibir Charlie bergerak secalit. Ada gelak halus yang terpantul keluar.
            "Takut? That's too much. Aku tak suka orang-orang aku takutkan aku. I prefer respect. Hormati aku. Buat apa yang aku suruh. Dan jangan menyusahkan aku." Bibir Charlie kekal tersenyum saat mengatakan itu.
            Kai mendiam. Matanya merenung tajam. Dia boleh nampak. Di sebalik senyuman manis yang kelihatan tidak bersalah itu, ada yang tersembunyi. Dan itulah yang membuatkan lelaki yang tampak nerd seperti Charlie Qin boleh berada di dalam Red Sun. Bahkan, memegang kuasa yang sama tara dengan Athena dan Lai Kuan.
            Sesungguhnya,lelaki ini... dia bukanlah se'innocent' yang dia tunjuk.
~ Bersambung... ~
Sara says:
Oh, crap! Siapa pula Charlie ni? Tulah, orang yang nampak nerd, tak semestinya tak ada taring. 😏😏
Anyway, something big will be announced soon kat IG Cik SA (ciksara_aisha). Ini pasal Code Name Cobra. So, sape belum follow, please do follow my IG. But one thing for sure, CNC will be out SOON. Korang dah tak perlu lama-lama lagi, atau terseksa baca sekerat-sekerat kat wattpad. 😂😂
Thank you! Jangan lupa like dan komen kat bawah, tau.
Love, SA

CODE NAME COBRA - BAB 9

BAB 9
"ATHENA LI."
"Athena? As in... the Greek goddess?"
"Lebih tepat lagi, the goddess of war."
Suara Puan Ana Maria, Shark dan Wolf bersilih ganti menjamah telinga Kai. Dia tidak mengatakan apa-apa. Hanya matanya yang kekal tepat ke hadapan. Melekat pada dinding putih dengan pantulan seorang wanita.
Tinggi lampai, mengenakan cheongsam warna keemasan. Sangat kena dengan kulitnya yang putih mulus. Cheongsam agak ketat itu melekat elok pada tubuhnya, lantas menampakkan lekuk badan. Tidak cukup dengan itu, belahan di tepi paha membuatkan wanita tersebut tampak lebih seksi. Namun, bukan itu yang lebih menarik perhatian Kai. Sebaliknya, wajahnya. Atau lebih tepat lagi, renungan matanya.
Tegak. Tenang. Tetapi dalam ketenangan itu, ada sesuatu yang berselindung. Kai boleh nampak. Ada keangkuhan. Ada keteguhan. Ada kekuatan.
Wanita ini... auranya lain macam.
"Hoi!"
Kai tersentak dan menggerak kepala ke belakang. Tangannya naik, tangkas menangkap buku nota yang terbang melayang kepadanya, hampir mengenai muka.
"Orang tengah briefing, boleh pula dia mengelamun. Aku tahulah perempuan yang namanya Athena ni hot. Tapi sehot dia pun, hot lagi Anjali aku." Sang pembaling buku mengomel, disusuli dengan mulut yang tersengih-sengih. Huh, tengah bayangkan rupa heroin kesayangan dialah tu!
Namanya Shark. Berbangsa India. Berumur tiga puluh tahun. Tua setahun daripada Kai. Tetapi tak padan dengan umur. Fanboy sangat mamat ni. Peminat nombor satu Kajol, katanya.
"Tutup mulut tu sikit. Menganga tunggu lalat masuk." Lelaki di sebelah Shark, mencelah. Dengan muka selamba tak ada perasaan, dan suara yang senada mendatar.
Namanya Wolf. Berbangsa Melayu. Berumur tiga puluh tiga tahun. Yang paling tua antara mereka bertiga. Yang paling matang. Sekurang-kurangnya, itu yang selalu dikatakan oleh Puan Ana Maria, ketua mereka.
Dia pula, Kai. Code name Cobra. Berbangsa Cina. Yang paling budak, kata Puan Ana Maria. Huh, menyampah! Dia yang sudah dua puluh sembilan tahun ni, dikatakan masih budak. Dia tahulah dia yang paling muda. Yang paling junior. Tetapi agak-agaklah. Dia ialah salah seorang daripada ejen paling top dalam The Shadow. Itu sudah cukup untuk membuktikan kredibiliti dia.
"Itu yang tengok aku dengan muka tak puas hati tu, dah kenapa? Handsome sangat?" Wolf menyergah.
Kai mencemik. Ini yang dikatakan paling matang? Bahagian mana yang matang bagi dia ni? Puan Ana Maria sakit mata ke apa?
"Dah, sudah. Back to discussion. Kamu bertiga ni kan, tak boleh ke serius sikit?"
Suara Puan Ana Maria bergema. Tegas. Automatik, mereka bertiga kembali kepadanya. Memberi sepenuh perhatian.
"Macam yang saya beritahu tadi, kita akan meletakkan fokus kita kepada perempuan ni. Athena Li."
"Kenapa mesti dia? Dalam kumpulan kongsi gelap, yang sepatutnya kita beri perhatian ialah hung kwan, kan? He's the head of internal group. That Ah Lai guy." Wolf bersuara.
"Untuk Red Sun, lain."
"Maksud puan?" Hampir serentak, mereka bertiga menyoal.
Puan Ana Maria membawa jari-jemarinya ke skrin kaca atas meja depan mereka. Sepantas itu, mereka bertiga mendongak ke skrin di dinding belakang. Melihat cahaya laser yang datangnya dari skrin meja dan terpantul di situ.
Gambar rajah organisasi yang terpampang, mula membesar. Sudah di zoom hingga fokusnya terletak pada bahagian tengah gambar. Di aras ketiga hierarki.
Ada tiga gambar di situ. Sebelah-menyebelah. Sama aras, menandakan persamaan kuasa antara mereka bertiga.
Dua orang lelaki, dan seorang perempuan.
"Ya, benar. Dalam kumpulan ni, kita ada hung kwan a.k.a Red Pole. Kalau dalam pasukan askar, dia boleh dikira seperti komander. Yang menjatuhkan arahan dan mengetuai orang-orang bawahan, iaitu sze kau."
Puan Ana Maria menggerak gambar ke atas sedikit, dan menunjuk kepada barisan paling bawah dalam piramid organisasi.
"A.k.a 49-chai. Mereka inilah yang bertanggungjawab dalam pergaduhan, memukul, membunuh, mengganggu perniagaan, meminta wang perlindungan dan macam-macam lagi. Pendek kata, yang buat kerja kotor. Jadi di sini..."
Puan Ana Maria kembali pada tiga gambar tadi, dan membesarkan gambar paling tengah.
Seorang lelaki muda dengan rambut terpacak. Berkaca mata hitam, sedang bercakap di telefon bimbit. Di lengannya, jelas kelihatan tatu hitam yang melingkar hingga ke atas, sebelum hilang bawah lengan baju.
"Lai Kuan. Dikenali sebagai Ah Lai. Dia ialah hung kwan untuk Red Sun. Komander kepada segala 'askar' dalam kumpulan. Kemudian..."
Jari Puan Ana Maria bergerak lagi.
"Kita ada the White Paper Fan. Orang yang bertanggungjawab dengan urusan undang-undang dan kebajikan kumpulan. The most educated one."
Gambar paling kiri terpampang lebih besar. Seorang lelaki dalam persalinan kot serba hitam. Berdiri tegak, dengan rupa yang manis tersenyum. Nampak nerd.
"Charlie Qin, an MBA holder. Also had a law degree. Basically, dia ada both law and business degree. Graduated from the USA."
"Bijak-bijak pun, jadi kongsi gelap juga." Komen Shark berbunyi tiba-tiba. Tidak berapa kuat. Jelas ditujukan kepada diri sendiri, tetapi semua orang mendengar.
"That's the thing." Puan Ana Maria mengiya.
Shark nampak tercengang. "Dengar ke?"
"Semua orang dengar," balas Kai dengan senyuman palsu.
Shark menyeringai dan menggaru belakang leher.
"Kumpulan kongsi gelap bukan lagi macam dulu. Terutama sekali, kongsi gelap di Malaysia. Ya, mereka masih lagi terlibat dalam perjudian haram, pelacuran dan pengutipan wang perlindungan, tetapi itu cuma dalam skala yang lebih kecil. Kongsi gelap di sini, lebih kepada white-collar crime."
"Embezzlement. Fraud." Wolf menyambung.
Puan Ana Maria tersenyum.
"Bingo. Sebab itulah, orang macam Charlie Qin sangat diperlukan."
"Okey, aku dah faham. Sekarang kita dah ada Lai Kuan dan Charlie Qin. What's with Athena Li? Kenapa mesti dia yang kita fokuskan?" Kali ini, Kai membuka mulut.
Puan Ana Maria kembali memberi perhatian kepada skrin di meja. Sambil tangannya bergerak, matanya meniliti gambar yang berubah di skrin dinding. Kini berubah jadi wanita cantik dalam cheongsam keemasan.
"Li Ruolan, a.k.a..."
"Athena Li." Serentak, mereka bertiga memintas.
Sekilas, Puan Ana Maria menjeling. Mereka menayang muka tak bersalah. Birai bibir Puan Ana Maria bergerak secalit. Membentuk senyuman, beserta kepala yang menggeleng sedikit.
"Ya, Athena Li. Cho hai of the group. The straw sandal. Atau dalam perkataan yang lebih ringkasnya, she is sort of membership-secretary-cum-go-between. Dia yang menguruskan mesyuarat, liases dengan kumpulan lain, memastikan kutipan duit perlindungan, memantau transaksi perniagaan dan dia juga ialah the front man... I mean, the front woman with the outside world. Senang cerita, kalau kumpulan kongsi gelap ada PR consultant, that would be the cho hai."
Penjelasan Puan Ana Maria yang panjang lebar, didengar teliti. Kepala mereka bertiga terangguk-angguk dengan setiap patah kata yang masuk dalam telinga. Otak masing-masing mula mengerti.
"Jadi sebab itu, dia penting? Basically, kalau kita boleh dekat dengan dia, kita boleh tahu pasal mesyuarat dalam kumpulan, pertemuan dengan kumpulan lain, urusan perniagaan dan macam-macam lagi." Kai meneka.
"Bukan itu saja."
"Ada lagi?" Shark bertanya.
Wolf sekadar memerhati dan membiarkan sahaja.
"She's a woman."
Sejenak, suasana senyap. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing mengerutkan dahi.
"That sounds sexist." Kali ini, Wolf melontar suara.
Puan Ana Maria senyum halus. Jelas-jelas tidak terkesan dengan komen Wolf.
"I'm not trying to discriminate between genders. Tapi, saya sendiri seorang perempuan. Dan saya tahu macam mana seorang perempuan berfikir. Terutama sekali, bagi seorang perempuan yang dah melalui apa yang Athena lalui. And I'm telling you this."
Kata-kata Puan Ana Maria tenggelam. Jelas sengaja. Ketua mereka senyap memerhati satu-satu wajah mereka.
Kai mengerling kepada Wolf. Wolf mengangkat bahu. Dia menjeling kepada Shark. Shark...dia sekadar menayang muka bingung. Sudahnya, Kai dan Wolf melepas nafas.
"She..." Puan Ana Maria bercakap semula.
Mereka membuka telinga luas-luas. Dada tiba-tiba berdebar.
"Is dangerous. Even more than those two guys."
Sekali lagi, bilik operasi menghening. Tiada sebarang bunyi, melainkan desah nafas mereka yang bernyawa.
"Kenapa? Apa yang dah dia lalui?" Kai memecah kesunyian. Suaranya kedengaran perlahan. Antara keluar tak keluar.
"Itu..."
Puan Ana Maria menoleh kepada seorang gadis yang sedari tadi berdiri di suatu penjuru bilik operasi. Sebaik melihat reaksi itu, si gadis mengangguk dan berpaling ke meja tepi. Beberapa buah fail yang tersusun di situ, dia ambil dan bawa ke hadapan.
"Akan diberitahu kemudian," sambung Puan Ana Maria sambil menyambut fail yang dihulur kepadanya.
"Alaaaa..." Suara tak puas hati Shark berkumandang.
Ketua mereka buat-buat tidak mendengar.
"Bukan itu yang penting sekarang. Cukuplah untuk kamu semua tahu yang sasaran kita ialah Athena Li. Dan operasi kita kali ini dikenali sebagai..."
Puan Ana Maria menekan papan kekunci di atas skrin meja. Automatik, gambar yang terpampang pada dinding putih bertukar. Kini memaparkan perkataan...
THE RED OPERATION.
"Sebab Red Sun?" duga Wolf.
"Ya, simple and precise. Dan orang yang paling penting dalam operasi kali ini ialah..."
Puan Ana Maria menoleh kepada Kai.
"Cobra."
Terus, Kai menegakkan tubuh. Reaksi spontan sebagai tanda bersedia untuk menerima arahan.
"Kamu perlu menyeludup masuk ke dalam Red Sun."
Kai tidak menjawab apa-apa. Tetapi segenap wajahnya tenang, menandakan kesediaan. Sudah dia agak dari awal lagi. Hanya dia yang paling sesuai.
Pertama, kerana dia berbangsa Cina. Cocok dengan kumpulan kongsi gelap Red Sun yang rata-rata dianggotai oleh orang Cina. Kedua, kerana dia yang paling tinggi markahnya dalam ujian interogasi. Kalaupun ditangkap dan diseksa macam mana sekali pun, sukar untuk buat dia buka mulut. Ketiga, kerana dia ialah satu-satunya ejen The Shadow yang mampu memanipulasi ujian poligraf, hanya dengan sekali percubaan. Wolf dan Shark cuma berjaya pada percubaan kedua.
"Operasi kali ini sangat berbahaya. Kalau kamu ditemui, jawapannya mati. A very slow and painful death."
Kai mengukir senyuman. Ekor matanya mengerling kepada Wolf dan Shark. Seperti dia, mereka juga tersenyum. Tenang.
"I guess, itu tak jadi masalah untuk kamu." Puan Ana Maria bertutur lagi, juga sambil tersenyum. Ada bangga yang terselit di wajahnya.
"A very slow and painful death. Memang itu yang jadi risiko kami selama ni, kan?" balas Kai.
Senyuman di bibir Puan Ana Maria bertambah lebar.
"Tapi macam mana?" Wolf menyampuk.
Hampir serentak, semua kepala menoleh kepadanya.
"Kita cuma ada masa setahun untuk selesaikan kes ini. Kalau kita nak cipta satu identiti baru bagi Cobra, kita memerlukan sekurang-kurangnya beberapa tahun. Barulah mereka akan yakin." 
Kai mengangguk setuju. Sudah jadi pengetahuan mereka, bahawa untuk menyeludup masuk ke dalam satu-satu kumpulan kongsi gelap, adalah sesuatu yang sangat sukar. Boleh dikatakan mustahil. Ini kerana kumpulan kongsi gelap sangat berhati-hati tentang siapa yang mereka bawa masuk. Setiap calon diperiksa. Bukan sekadar dirinya sendiri, bahkan latar belakang keluarga, kisah silam dan macam-macam lagi. Satu kesilapan, satu yang tidak kena, satu fakta dicurigai, calon tersebut akan ditolak. Atau lebih teruk, tidak lagi melihat dunia.
Sebab itulah, pada kebiasaannya pihak polis atau mana-mana organisasi memerlukan masa hingga beberapa tahun demi mencipta bona fide bagi ejen mereka. Inilah yang akan jadi latar belakang mereka. Yang dicipta khas untuk menarik perhatian sasaran mereka. Dalam kes kongsi gelap, Kai tahu satu perkara. Dia perlu menarik perhatian ahli yang boleh jadi penaungnya. A sponsor yang akan bawa dia masuk ke dalam kumpulan, dan akan bertanggungjawab ke atasnya. Sponsor itu pula mestilah seseorang yang sangat dipercayai dalam kumpulan.
Masalahnya sekarang, mereka cuma ada masa satu tahun. Mana sempat untuk mencipta bona fide!
"Itu kamu semua jangan risau." Jawapan Puan Ana Maria bergema. Kai kembali memberi perhatian kepadanya.
Wanita separuh umur itu, mengulum senyum. Tenang penuh keyakinan. Kemudian, dia menghulurkan fail kepada mereka. Satu-satu disambut oleh Kai, Wolf dan Shark. Kepala masing-masing tunduk membelek fail dengan tanda CONFIDENTIAL itu.
Seketika berlalu, telinga Kai mula mendengar...
"The Shadow dah uruskan semuanya. Cobra cuma perlu jadi Cobra. Red Sun yang akan datang kepada dia."
*****
BENAR.
Wanita yang berada di hadapannya kini ialah Athena Li. Cho hai untuk kumpulan kongsi gelap Red Sun. Pemilik kepada White Lotus Tea House, perniagaan sah yang digunakan untuk mengaburi segala kegiatan haram mereka. Walau apa pun yang Kai sudah lihat tentang perempuan ini sepanjang dua minggu mengenali dia, itu hanyalah sedikit.
A tip of iceberg.
Entah apa lagi yang berselindung di sebalik wajah cantik dan perangainya yang sukar ditebak. Entah apa yang sudah dibuatnya hinggakan Puan Ana Maria mengatakan...
"She is dangerous. Even more than those two guys."
Tetapi, tidak mengapa. Semakin berbahaya Athena, semakin dia menarik perhatian. Kai tidak pernah jumpa seorang perempuan seperti dia. Anggun dalam dingin. Manis dalam keras.
"Okay, then. Kita tak perlu pedulikan CK Group. Kita bahagiakan diri kita sendiri saja," ucap Kai kembali ke perbualan asal.
Athena senyum. Berwajah puas hati.
"Tapi..." Kai bersuara lagi.
Riak muka Athena berubah deras. Anak mata tampak curiga.
"Janganlah tengok aku macam tu sekali. Aku cuma nak cakap yang aku perlukan bilik kerja aku sendiri. Aku tak fikir kau akan biarkan aku buat kerja di rumah aku, kan? Kau bukan percayakan aku pun." Terus Kai menjelaskan.
Raut wajah Athena kembali tenang.
"Deal."
"And non-stop food supply. Aku tak boleh berfikir bila aku lapar."
"Deal."
"And..."
"Apa lagi?" Athena menyergah. Kali ini, sudah berupa sebal.
Kai menyengih.
"Kau."
Dahi Athena berlapis.
"Kenapa dengan aku?"
"Jangan lupa datang melawat aku. Walaupun aku kena bertapa dalam tu, buat kerja tanpa sebarang gangguan, tapi di suatu sudut hati aku..."
Kai meletak telapak tangan atas dada, dan menayang muka kasihan.
"Nak juga rasa dijaga dan dihargai. Ada orang datang check keadaan aku, tanya aku dah makan ke belum, minta aku rehat bila nampak rupa aku teruk sangat, dan... you know, something like that. Selama ni, tak ada orang pernah buat macam tu untuk aku."
Athena melebarkan mulut dan menayang senyuman palsu.
"Aku akan arahkan Lai Kuan tengok-tengokkan kau."
Biji mata Kai membuntang.
"Aku tak nak dia!"
"What's wrong with him? Tinggi, kacak..."
"Kau ingat aku gay?" tempelak Kai. Matanya dijegil besar kepada Athena. Acah-acah geram.
Athena tertawa. Tidak kuat mana. Tetapi, ketawanya kali ini berbeza. Tiada sinis. Tiada sindiran. Tetapi... ketawa. Hanya ketawa.
Bunyinya kedengaran indah di telinga Kai. Buat bibir Kai bergerak sendiri, dan turut menguntum senyuman halus.
"Dah, aku tak nak layan kau merapu lagi," ucap Athena usai mematikan tawa. Wajahnya kembali serius. "Berapa lama boleh siap?"
Kai diam. Otaknya ligat memikirkan apa yang dia tahu tentang driverless car atau juga dikenali sebagai self-driving car. Pendek kata, kereta yang memandu sendiri.
"Ada tiga teknologi paling penting yang memungkinkan manusia mencipta driverless car. Pertama, IoT Sensors. Ini yang kita gunakan untuk blind spot monitoring, forward collision warning, radar, camera, LIDAR dan tak lupa juga, ultrasonic. Yang kedua ialah IoT Connectivity. Cloud computing digunakan untuk mendapatkan info tentang data trafik, cuaca, peta, kereta di sekeliling dan keadaan jalan. Ini yang membolehkan kereta tu buat keputusan sendiri.
Yang ketiga, software algorithms. Ini yang paling penting dan paling kompleks. Software inilah yang digunakan untuk menganalisa data daripada dua teknologi sebelum ini, iaitu Iot Sensors and IoT Connectivity. Tujuan software algorithms ialah untuk menentukan apa yang kereta tu perlu buat. Perlu bergerak ke, perlu brek ke, perlu pusing kiri ke, perlu pusing kanan ke. Basically, the software is like the brain of the car. Dan itulah yang aku perlu tackle, untuk membolehkan aku hack ke dalam sistem yang digunakan oleh CK Group," terang Kai panjang lebar sebelum berhenti mengambil nafas.
Athena tidak mengata apa-apa. Sekadar memandangnya sepi.
"Kau tak faham apa-apa pun, kan?" Langsung, Kai menebak.
"Aku tanya, bila boleh siap? Bukannya tanya apa yang kau akan buat." Tekaan Kai tidak diakui oleh Athena. Sebaliknya, sindiran pula yang dia dapat.
Kai menyengih.
"Itu penerangan panjang lebar, untuk kau faham kenapa aku perlukan masa untuk siap."
"So, berapa lama?" Athena mengulang untuk kali ketiga. Semakin mendesak. Mukanya merah padam. Mungkin sudah kegeraman pada dia yang main tarik tali.
Kai membawa jari jemari ke bawah dagu dan mengusapnya. "Hmm, let's see..."
"Dah. Tak perlu jawab." Athena tiba-tiba mencantas.
"Lar, tak perlu jawab pulak?" Kai membalas.
"Aku tak peduli berapa lama kau fikir kau boleh siap. Yang aku tahu cuma satu."
Jari telunjuk Athena naik depan muka Kai.
"Kena siap sebelum majlis tu. Kalau tak, tahulah nasib kau nanti."
Kai memegang jari depan matanya dan meletaknya elok-elok atas meja. Dahi Athena berkerut memandang perilakunya itu.
"Tak payahlah main-main ugut macam ni lagi. Tak best."
"Kau..." Athena berdesis geram.
"Ya, aku. Cobra. One of the best hackers in Malaysia. Jadi..." Kai meleretkan suara dan menayang senyuman lebar. "Kau tak perlu risau. Aku tahulah apa yang aku perlu buat."
Athena merenung Kai tepat-tepat.
"Betul ni?" tekannya mahukan pengesahan.
Kai mengangguk yakin. Nafas lega Athena menyinggah hujung telinganya. Kai menengok lebih tepat ke wajah itu. Ada sesuatu yang lain di situ. Bukan kekosongan atau sinis yang selalu jadi peneman diri, tetapi...
Kebimbangan? Harapan?
Entah, Kai tidak pasti. Namun, ada satu yang Kai yakin sekali. Kerja ini benar-benar penting buat Athena. Kalau tidak, masakan dia menyimpan nyawa Kai? Bahkan, sanggup membawanya masuk ke dalam Red Sun. Bak kata Puan Ana Maria sendiri...
"Cobra cuma perlu jadi Cobra. Red Sun yang akan datang kepadanya."
Sekarang, barulah Kai mengerti. Inilah yang dimaksudkan oleh ketuanya itu. The Shadow tidak perlu mencipta bona fide baru untuknya. Mereka cuma perlu menggunakan identiti yang sememangnya dicipta khas untuk dia, dalam menjadi salah seorang daripada The Shadow.
"Tapi ingat..." Suara Athena menggamit perhatian Kai semula.
"Apa?"
"Kita cuma akan menghubungi mereka, beberapa minit sebelum majlis."
Kai senyum halus.
"Don't worry. Ini Cobra lah. Ular yang boleh menyeludup masuk ke mana pun. Takkan ada siapa pun yang boleh perasan."
Kepala Athena terangguk kecil. Tampak puas hati dengan apa yang baru menjadi halwa telinga.
"Bagus. Itu yang aku nak dengar. Now, tell me. Apa yang kau perlukan? Untuk bilik kerja kau nanti." Sesudah bercakap, Athena menekan telefon atas meja.
"Ling kah jie, datang ke sini."
Usai menjatuhkan arahan itu, Athena kembali kepada Kai.
"Ling kah jie akan uruskan apa yang kau nak."
"Tak perlu," bantah Kai.
"Tak perlu?" ulang Athena, disusuli kerutan di dahi.
"Aku cuma guna barang aku sendiri. Nanti aku hantar alamat, kau orang cuma perlu pergi ambil di rumah."
Athena senyap sebentar. Kerutan di dahi masih terbentang. Daripada gayanya, jelas wanita itu sedang memikirkan sama ada mahu membenarkan dia menggunakan peralatan sendiri atau pun tidak. Huh, jelas sekali betapa seorang Athena tidak mempercayai seorang Cobra.
Seketika berlalu...
"Aku dah tahu rumah kau. So tak payah bagi alamat."
Kai melopongkan mulut. Sengaja.
"Kau tahu alamat rumah aku? Wow! Ini sangat menarik. Kenapa tak datang melawat? Boleh juga kita..."
"Apa?" sergah Athena.
"Minum-minum kopi ke. Teh ke. Borak-borak kosong ke. Kenapa? Kau..." Kai mengecilkan mata kepada Athena. "Fikir apa, hah?"
Athena menjeling tajam.
"Jangan mengarut. Aku tak fikir apa-apa."
Kali ini, Kai menyeringai pula.
"Ya ke tak fikir apa-apa? Tengok muka tu. Dah merah." Makin galak Kai mengusik. Jari telunjuknya dituding-tuding ke muka Athena. "Alahai, comelnya dia.... ouch! Ouch! Aduh, sakitlah!!!"
Kelam-kabut Kai menjerit, sambil cuba melepaskan jari telunjuknya yang sudah berada dalam pegangan Athena. Sedang dilipat kuat ke belakang. Bila-bila masa, boleh patah.
"Lain kali, jangan merapu lagi." Athena menjatuhkan amaran. Jari Kai dilepaskan.
Lekas-lekas, Kai membawanya rapat ke dada. Mulut memuncung tidak puas hati.
"Kau ni kasar sangatlah. Orang nak bergurau pun tak boleh."
Rungutan Kai sekadar dibalas dengan jelingan membunuh. Sudahnya, Kai bangkit dari duduk.
"Okeylah, tak ada apa-apa lagi, kan? Aku dah boleh pergilah, kan?"
"Hmm..." Acuh tak acuh, Athena mengiya.
Tanpa menunggu lagi, Kai memaling punggung dan mengayun langkah keluar. Tangan yang tadi dipegang, dibiarkan jatuh ke sisi. Wajah yang tadi konon-konon kegeraman, bertukar riaknya. Di suatu sudut telinganya pula...
"Ini Cobra lah. Ular yang boleh menyeludup masuk ke mana pun. Takkan ada orang yang boleh perasan."
Kata-kata itu berdengung jelas. Kai senyum sinis.
"Kau juga takkan perasan, Athena. Kau takkan menduga, ular jenis apa yang kau dah bawa masuk."
~ Bersambung... ~
Sara says:
A dangerous woman vs. ular. Okey, set go!! Kitorang tengok kat tepi. 😎😎
So now, korang dah tahu, kan? Si Kai ni... bukan sekadar hacker, tapi dia juga ejen rahsia. Selalu kita tengok movie, hacker dalam secret organization mesti tak turun padang. Duk dalam bilik je. Nope in CNC, our Kai is the hero. Dia yang turun padang, dia yang akan beraksi. Oh, yeah!! Cik SA pulak yang excited. 😍😍🤩🤩
Anyway, selamat berkenalan dengan kawan Kai iaitu Wolf dan Shark. It's 1Malaysia!! 🇲🇾 Kai aka Cobra: Cina, Wolf: Melayu dan Shark: Indian. They are the top three agents in that organization. Dah bolehlah tu korang bayangkan rupa diorang macam mana. Shark tu... bolehlah pilih hero Hindustan mana-mana. Heroin dia Kajol. Hahaha!! 🤣🤣
Okeylah, see you in next chapter!
Love, SA