November 25, 2019

CODE NAME COBRA - BAB 11

BAB 10
SEPULUH HARI sudah berlalu sejak Kai memulakan ‘kerja’ yang diarahkan oleh Athena. Seperti kebiasaan bila dia mempunyai projek, hidupnya sehari-hari cuma akan berkisar duduk depan komputer dan menghadapnya sampai hampir tercabut biji mata. Ada beberapa kali, Athena datang melawat. Ya, seperti yang dia mahu, tetapi jujurnya dia tidak menduga bahawa gadis itu akan benar-benar muncul. Malangnya, setiap kali itu, dia tidak boleh melayan. Bukan tidak mahu, tetapi menembusi sistem yang dicipta oleh CK Group benar-benar memerlukan kosentrasi tinggi daripada dia. Sistem tersebut dinamakan sebagai ‘autopilot’.
Autopilot menggunakan kaedah yang dipanggil sebagai ‘computer vision’ atau sophisticated image recognition dalam kamera berteknologi tinggi. Tujuannya adalah untuk melihat dan mengumpul data. Ia kemudiannya akan menterjemah maklumat yang diperoleh dan membuat keputusan berdasarkan itu. Hasilnya, kereta boleh bergerak sendiri tanpa perlu pemandunya buat apa-apa. Lebih menarik lagi, mereka cuma perlu masuk dan memberitahu kereta mana mahu pergi. Jika mereka tidak mengata apa-apa, kereta tersebut akan melihat kalendar dan membawa pemiliknya ke destinasi yang diagak.
Fuh, sistem tersebut memang sangat menarik. Membuatkan Kai terfikir, kenapa dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mencipta sesuatu seperti itu? Tetapi bila difikirkan semula, itu bukan minatnya. Dia mahu seperti sekarang. Menggodam sistem-sistem yang dikatakan hebat. Untuk itu, dia harus akui. Sistem software ‘autopilot’ ini memang hebat. Tahap kesukarannya tidak pernah Kai temui selama dia bergelar hacker. Kai jadi tercabar. Jiwanya membuak-buak. Dia bahkan seperti lupa akan statusnya sebagai ejen The Shadow. Apa yang dia mahu cuma satu, iaitu…
Menembusi segala dinding keselamatan dalam sistem kereta tanpa pemandu milik CK Group ini. 
Dia mahu sekali lagi menempa nama dalam dunia hacker. Orang lain tidak kira white-hat hacker, mahu pun black-hat hacker akan mengingat namanya sebagai hacker pertama yang berjaya menembusi sistem tersebut.
“Tak guna!”
Kai menghentak meja. Nafasnya dihembus kuat-kuat. Rambutnya pula diraup kasar. Termasuk kali ini, sudah lima kali dia cuba mengambil alih Controller Area Network (CAN bus) yang digunakan oleh CK1 Roadster. Setiap kali itu juga, segala usahanya melantun semula. Tidak berjaya masuk. Tidak berjaya tembus. L di sebelah sana juga mengalami nasib yang sama.
Dalam-dalam, Kai menarik nafas dan menghembusnya. Cuba menenangkan diri. Dia bangkit dari kerusi dan membetul-betulkan urat. Terasa lenguh segala urat sendi di badan. Sesudah itu, dia merembat sebotol Red Bull yang terletak sebelah meja. Dibuka penutupnya dan dibawa ke mulut. Sambil meneguknya masuk ke kerongkong, Kai mendekati jendela. Usai menjatuhkan Red Bull ke sisi, Kai meliarkan pandangan ke luar.
Tiada apa yang dia nampak, melainkan tembok besar warna kelabu tinggi dengan jaringan dawai berjeriji itu. Sesaat, Kai mengherotkan bibir. Tidak perlu dia masuk penjara, sudah dia rasa pengalamannya.
“Dah siap ke?”
Kai melebarkan senyuman sinisnya. Tanpa melihat siapa gerangan yang menegur, dia sudah tahu. Suara yang satu ini sudah terlampau lali di telinganya.
Lambat-lambat, Kai memaling tubuh.
“Kau memang tak ada soalan lain, kan? Itu aje yang kau tanya setiap kali nampak aku.”
“Sebab memang itu pun yang aku nak tahu,” jawab Athena sambil melangkah masuk. “Kenapa? Kau nak aku bertanya khabar?”
Kai mengangkat bahu.
“Why not? I’m working for you, here.”
“Nope,” bantah Athena disusuli kepala yang menggeleng. “Kau sedang bekerja untuk diri kau sendiri. Untuk ganti balik duit aku. Dalam erti kata lain, untuk selamatkan nyawa kau sendiri.”
“Huh, tak habis-habis nak ugut aku,” rungut Kai. Botol Red Bull di tangan, dia lempar masuk ke dalam tong sampah. Kakinya dibawa mendekati Athena. Kemudian, dia menyambung.
“Tapi tak apa. Sebab kau cantik, aku tak kesah. Ugutlah aku macam mana pun, aku rela.”
Athena menayang muka tak ada perasaan. Dia menjatuhkan duduk atas kerusi yang terletak di celah-celah barang Kai. Matanya ditala kepada tiga monitor atas meja.
Kai yakin Athena tidak faham pun setiap gambar rajah, tulisan mahu pun nombor yang terpampang di situ. Tekaannya benar bila wanita itu kembali melihat kepadanya.
“So, I guess sekarang kau dah tak sibuk. Itu yang tiba-tiba rajin melayan aku.”
Telinga Kai terbuka luas.
“Eh, kejap-kejap! Aku macam dengar bunyi orang merajuk kat sini.”
Pantas Kai mengambil kerusi di sebelah, duduk dan menolaknya hingga ke depan Athena. Wanita itu tampak terpanar.
“Kau merajuk, ya? Sebab aku tak layan kau sebelum ni.” Terjongket kening Kai saat menyoal. Turun naik.
Athena terlopong.
“Aku? Merajuk? Tak kuasa!”
“Yalah tu.” Kai mencebik. “Cubalah mengaku perasaan sendiri tu sikit. Bukan susah pun. Kau cuma perlu buka mulut...”
Kai membuka mulutnya besar-besar.
“Haaaa, macam ni. Lepas tu cakap...”
Sekali, Kai berdehem.
“Aku merajuk. Aku sedih sebab dah seminggu kau tak nak layan aku. Aku datang, kau buat tak tahu. Aku tegur, kau tak jawab. Aku bagi makanan, kau tak makan,” ucap Kai dengan rupa ala-ala kesedihan. Siap dengan kedua-dua tangan diletak atas dada.
Sesaat kemudian, dia mengubah riak muka semula. Jadi ceria.
“Haa, macam tulah. Cuba buat.”
Athena merenung tepat ke muka Kai. Tajam sekali.
“Kau gila, kan?” Dia bertanya pendek.
“Gilakan kau.” Selamba, Kai membalas.
“Tak ada ayat lain? Ayat klise tu juga yang kau nak guna,” sindir Athena.
“Klise, memang ya. Tapi selalu menjadi dengan perempuan-perempuan lain.”
“Sorry to disappoint you, then. Aku bukan macam perempuan lain.”
“Memang pun. Perempuan lain tak seganas kau.”
“Kau ni...” Sejenak, Athena berhenti dan menghela nafas dalam-dalam. “Okey, aku malas layan kau dah. Aku datang nak tanya.”
“Macam mana perkembangannya sekarang? Itu yang kau nak tahu, kan?” sampuk Kai. Sudah berwajah serius.
“So, how?”
Kai mengeluh.
“I’m stucked.”
“Stuck?” Nada suara Athena ternaik sedikit. Kedua-dua matanya juga membesar.
“Janganlah tengok aku dengan muka cuak macam tu sekali. Aku cuma perlukan masa sikit lagi.”
Suasana tiba-tiba hening. Athena tidak mengata apa-apa. Tetapi matanya sudah cukup berbicara. Sedikit-sedikit, mengecil. Menandakan syak wasangka yang menyirap masuk ke dalam diri.
“Kau memang betul-betul boleh buat?” Beberapa saat kemudian, dia menyoal. Separa berbisik, bersulam getaran.
Kai mula terfikirkan sesuatu. Seperti Athena, dia turut menyepetkan mata. Tepat meneliti wajah di hadapan.
“Aku tertanya-tanyalah kan...” Suara Kai juga keluar agak perlahan.
“Apa?” Pantas disampuk oleh Athena.
“What’s the deal between you and this job?”
Muka Athena berderau.
“Apa maksud kau?”
“Yalah, kau macam pentingkan sangat job ni.”
“Kita tengah bercakap pasal tiga juta ringgit. Mestilah aku pentingkan job ni.”
Dalam hati, Kai mula rasa mahu ketawa kuat-kuat. Athena mahu berbohong pada siapa? Dia ingat rupa ala-ala tenang dan jawapan ala-ala yakin itu, mampu membutakan mata dan memekakkan telinganya?
Kai boleh nampak. Kai boleh lihat. Betapa palsunya jawapan yang keluar dari bibir merah itu.
“Lai Kuan dan Charlie tak macam kau pun. Mereka selamba aje,” balas Kai sekadar melayan penipuan Athena.
“Ah Lai dan Charlie jaga bahagian lain. Ini bahagian aku. So by hook or by crook, tak boleh gagal.”
“Sebab kau nak tambahkan pendapatan kumpulan?”
“Ya,” akui Athena. Terlebih laju.
“Bukan sebab lain?”
Sekali lagi, riak muka Athena berubah.
“What is that supposed to mean?” Keras intonasi suara yang dia pantulkan. Renungan matanya juga mula berubah.
“Nothing.” Kai menjawab sambil menjongket bahu. Masih menayang rupa manusia tak bersalah, yang menyoal soalan yang juga tidak salah.
“Kau tak perlu fikir apa-apa. Kau cuma perlu ikut arahan aku. Act like someone below me.”Athena tidak semena-mena, menjatuhkan arahan. Siap mengingatkan Kai tentang dia yang merupakan orang bawahan.
Kai tidak menjawab.
“Ingat, Cobra. Hanya kerana aku simpan kau, itu tak bermakna kau boleh cakap macam-macam.”
Kai masih membisu. Sengaja.
“Faham?” tempelak Athena. Keras.
Lambat-lambat, Kai mengangguk.
“Ya, aku faham.”
Hembusan nafas Athena berbunyi kuat. Dia kemudiannya bangkit dari kerusi.
“That’s it, then. Sambung kerja kau sampai dapat hasilnya. Kalau tak, segala ugutan aku tu...”
Kai menengadah. Matanya bertentang dengan mata Athena yang menunduk.
“Takkan lagi jadi ugutan semata-mata.”
Sesudah mengatakan itu, Athena memaling tubuh. Namun belum pun sempat dia sampai ke depan pintu, daun pintu lebih dahulu ditolak dari luar hingga terbuka luas. Seorang konco tersembul dengan dada yang termengah-mengah dan nafas yang tercungap-cungap.
“Dai kah-jie!”
Athena tercengang.
“Kenapa?” Terus dia bertanya.
“Ada budak buat hal.”
*****
“KAU tak perlu ikut.”
“Aku juga Red Sun.”
“Aku nak kau uruskan CK Group. Bukan menyibuk dengan urusan lain.”
“Aku tengah stuck. Aku perlukan distraction buat sementara waktu.”
Sambil berlari-lari anak menuju ke kereta, Kai dan Athena berlawan kata. Masing-masing tidak mahu mengalah. Sudahnya, telinga Kai mendengar hembusan nafas tidak puas hati Athena. Ekor matanya melirik ke sebelah. Athena sudah tidak menjawab. Sudah malas bertekak, mungkin. Atau mungkin juga tidak mahu membazirkan masa.
Sampai dekat kereta, Athena berhenti depan salah seorang konco yang sedia menanti sebelah pintu.
“Ah Lai mana?”
“Dai-lo ada urusan lain. Ada orang buat hal di Blue Moon.”
Telinga Kai terbuka luas. Blue Moon? Dia tahu apa itu. Salah sebuah kelab malam terkemuka di ibu kota. Juga, salah sebuah kelab di bawah perlindungan Red Sun.
“Huh, great! Semua orang nak buat hal hari ni.” Ejekan Athena berbunyi dekat telinga. Kai melihat dia yang sudah pun masuk ke dalam kereta.
“Tunggu apa lagi?!”
Kai tersentak sesaat, sebelum bergegas mengambil tempat di hadapan. Sebelah konco tadi yang sudah berada di tempat duduk pemandu. Tidak sampai beberapa saat kemudian, Audi hitam milik Athena meluncur laju meninggalkan White Lotus.
Kai tidak tahu ke mana mereka pergi. Dia juga tidak menanya. Bukan tidak berminat, tetapi mulutnya memberat. Apatah lagi, bila ketegangan meluap-luap dalam setiap inci ruang kereta. Lewat ekor mata, dia melirik ke belakang. Kelihatan Athena sedang mengetap bibir kuat-kuat. Segenap mukanya menegang, hinggakan ternampak urat darah atas dahi. Begitu juga dengan urat lehernya.
Athena berang. Benar-benar berang.
Beberapa minit dalam kereta, mereka akhirnya berhenti. Tidak menunggu sesiapa pun, Athena membuka pintu kereta. Kai mengambil tindakan sama. Kepalanya terngadah memandang bangunan depan mata. Sebuah rumah pangsa yang belum siap. Batu-bata dan macam-macam dawai bertebaran di sekeliling. Tumbuh-tumbuhan hijau melingkari dinding.
“Dai kah-jie!”
Hujung telinga Kai menangkap teriakan konco yang ikut serta tadi. Langsung, dia menoleh kepada Athena. Wanita itu sudah pun meluru masuk ke celah-celah semak. Kai tidak menanti lagi. Dia turut mengangkat kaki. Menuju ke arah ruang kosong yang bakal membawanya ke dalam bangunan.
“Tolong!!!”
“Daddy!!! Daddy!!!”
“Jangan! Aku merayu pada kau. Jangan sentuh dia.”
“Lepaskan aku!!! Lepaskan aku!!!”
“Jangan sentuh anak aku!!”
“Tolong!! Aku merayu!!! Aku akan buat apa saja!!”
“Daddy!!! Tolong Ann, daddy!!!”
Semakin Kai mendekat, semakin telinganya dapat mendengar. Semakin juga langkah kaki Athena di hadapannya, menjadi deras. Separa berjalan dan separa berlari. Sampai dalam ruang tengah bangunan, kaki Kai terhenti. Tetapi, tidak kaki Athena.
Wanita itu melajukan lagi langkahnya. Jadi berlari. Sebelah tangannya menarik cucuk sanggul di kepala. Rambut panjangnya jatuh mengurai hingga ke pinggang. Tetapi bukan itu yang menarik perhatian Kai, melainkan gerak laku Athena yang...
Melompat ke atas seorang lelaki yang sedang menindih seorang perempuan. Tangan yang sedang memegang cucuk sanggul itu diangkat tinggi, dan kemudian dijatuhkan ke bawah. Sangat laju. Sedar-sedar sahaja...
“Arghhhh!!!”
Sang lelaki tadi jatuh ke lantai dan menggelupur, sambil memegang bahunya. Darah bersemburan keluar dari celah-celah jarinya.
Kai terkaku. Perempuan muda atas lantai terkaku. Konon-konco Red Sun yang ada juga terkaku.
~ Bersambung... ~
Sara says:
Yes, you go, girl!!! Tunjukkan kehebatanmu, Athena!
Anyway, since pre-order CNC dah pun dibuka, makanya ini akan jadi chapter terakhir yang Cik SA letak di wattpad. Sambungannya... please do get the published copy.
Thank you for being with me on this journey. Cik SA suka sangat baca komen-komen korang. Macam-macam gaya ada. Hahaha!!
Jumpa lagi di next book!
Love you, mmmmuahhh!!!
Love, SA

No comments:

Post a Comment