November 22, 2019

CODE NAME COBRA - BAB 10

BAB 10
"L."
            "Cobra? You shouldn't contact me."
            "Aku tahu. Tapi ini penting."
            "Apa?"
            "Aku perlukan sesuatu."
            Panggilan hening. Hanya bunyi nafas ditarik dan dihembus yang kedengaran di hujung telinga Kai. Dia menanti. Beberapa saat berlalu...
            "Kat mana?" Orang di hujung sana menyoal.
            "Tempat biasa. Cara biasa."
            "Apa yang diperlukan?"
            "Ini..."
            Langsung, Kai menerangkan apa yang dia perlukan. Semuanya demi menjayakan wataknya sebagai Cobra, salah seorang ahli Red Sun yang kini menjadi penggodam utam bagi kumpulan tersebut. Menggodam sistem kereta tanpa pemandu CK Group bukanlah kerja mudah. Sistem mereka dilindungi oleh tiga lapisan firewall. Kai sudah memeriksa. Dia boleh menembusi peringkat satu dan peringkat kedua, tetapi untuk yang ketiga... sekurang-kurangnya dua orang penggodam diperlukan. Masalahnya sekarang, mereka tidak punya dua orang. Yang ada cuma dia. Seorang sahaja.
            Kai tahu bahawa Red Sun mempunyai barisan penggodam mereka sendiri. Yang selama ini bertanggungjawab dalam kegiatan penipuan, phishing, Macau scam dan juga ransomware terhadap perniagaan-perniagaan kecil. Namun dia juga tahu, mereka tidak mempunyai cukup kepakaran untuk membuat apa yang bakal dia buat. Kalau tidak, kenapa Athena beriya-iya benar mahukan dia?
            Jadi, tidak perlu susah-susah fikirkan barisan penggodam Red Sun. Dia yang akan buat semuanya. Atau sekurang-kurangnya, itu yang dia akan buat Athena fikir. Bahawa dia seorang diri menggodam masuk ke dalam sistem CK Group. Padahal hakikatnya, dia akan bergabung dengan L sebagai virtual partner dia. Bila dia buat kerja di sini, L akan bekerja di sana, di ibu pejabat The Shadow.
            Itulah rancangannya. Namun, untuk menjayakannya, Kai memerlukan Falcon, satu sistem rahsia yang dia telah cipta dan hanya boleh diakses secara fizikal. Masalahnya sekarang, Falcon disimpan dalam data security room di ibu pejabat. Tidak ada cara lain, L sebagai courier terpaksa membawanya datang kepada Kai.
            "Got it." Tanpa sebarang pertanyaan atau bangkangan, penerangan Kai diterima oleh L.
            Klik.
            Panggilan telefon mati, sesaat kemudian. Seperti sebelumnya, Kai mengeluarkan SIM card dan membuangnya dalam bekas kecil atas meja. Sebaik jatuh, percikan api muncul. Kad tersebut habis terbakar, tidak meninggalkan sebarang jejak.
*****
KUALA LUMPUL SENTRAL.
            Atau nampak pendeknya, KL Sental. Terletak hanya dua kilometer dari kawasan tengah bandar. Ianya merupakan hub pengangkutan terbesar di Malaysia. Tidak hanya menawarkan perhubungan global, KL Sentral juga menjadi pusat perhubungan antara kawasan urban dan suburban. Dikelilingi oleh hotel-hotel serta pusat membeli belah, membuatkan KL Sentral menjadi pilihan ramai sebagai pusat persinggahan. Maka tidak hairanlah, pengunjungnya boleh mencapai ke tahap puluhan ribu orang pada setiap hari. Tidak hairan juga, di sinilah tempat pilihan untuk Kai menemui L.
            Kai menuruni eskelator. Sampai di Platform 6 yang menuju ke Seremban, dia duduk di bangku yang tersedia. Dengan kepala yang tegak ke hadapan, dia memandang tren yang sampai. Ratusan orang keluar. Kai tidak berganjak. Bahkan, kekal tidak bergerak bila mana seorang gadis duduk di sebelahnya. Mereka sekadar duduk sebelah menyebelah. Masing-masing meliarkan pandangan pada orang-orang di sekeliling. Pada anak-anak muda yang mengekek. Pada pasangan pencinta yang berpelukan. Pada kanak-kanak yang berpakaian sekolah. Pada ibu garang yang sedang memarahi anaknya.
            Seketika berlalu, gadis muda di sebelah Kai bangkit. Tubuhnya dipusing ke belakang, sebelum berjalan ke arah platform bertentangan. Seminit kemudian, dia hilang dalam tren yang menuju ke Pelabuhan Klang.
            Kai bangun dan membetulkan sedikit jaket yang dipakainya. Sesudah itu, dia tunduk mengambil sebuah beg bimbit yang berada di sebelah. Atas tempat duduk si gadis tadi. Tanpa memandang ke sekeliling, Kai mengorak langkah ke hadapan. Naik semula ke eskelator, keluar melalui laluan bermesin, dan kemudian...
            Lenyap di celah-celah puluhan ribu orang di KL Sentral.
*****
SETAPAK, Kai mengundur ke belakang. Memberi ruang kepada diri sendiri untuk melihat apa yang ada di hadapan mata. Ruang kerjanya sendiri. Terletak dalam banglo besar yang sebelum ini telah menarik perhatian Kai. Rupa-rupanya, tempat itu ialah...
            Safe house.
            Itulah fungsi rumah tersebut. Kebanyakan kumpulan kongsi gelap memiliki safe house mereka sendiri. Selalunya digunakan bila mahu melindungi diri daripada pihak berkuasa, atau pun pihak lawan. Juga bila mereka mahu menjalankan operasi rahsia. Rumah ini dikelilingi tembok setinggi sepuluh kaki, dengan jaringan dawai berduri di atasnya. Sudah serupa penjara. Pagar besarnya diperbuat daripada besi yang berat. Hanya boleh dibuka secara automatik dengan menggunakan kod rahsia. 
            Ada tujuh buah bilik di dalam rumah ini. Sebuah dikhaskan untuk kegunaan Athena bila-bila dia datang bermalam. Sebuah lagi untuk Lai Kuan dan Charlie. Tiga buah dikongsi oleh konco-konco Red Sun. Sebuah kosong, dan yang terakhir kini menjadi bilik Kai.
            Itulah arahan Athena. Dia akan berada di sini, sehingga kerjanya siap. Bukan Kai tidak mengerti maksudnya. Athena mahukan orang-orangnya mengawasi Kai, dua puluh empat jam sehari. Lihat sahaja penginap bilik kiri dan kanannya. Semuanya konco-konco Red Sun. Pantang mereka mendengar bunyi dari biliknya, deras menyerbu. Asalnya, Kai rimas. Namun akhirnya, dia buat tidak tahu sahaja. Dibiarkan mereka masuk melihat apa dia buat, dan keluar bila sedar diri tidak faham apa-apa pun.
            "Dah siap?"
            Suatu suara tiba-tiba muncul. Kai mengerutkan dahi, sebelum berpaling ke belakang.
            "Charlie..." Lidahnya berbisik perlahan.
            Tidak jauh di hadapan pintu masuk, tercegat lelaki itu. Charlie Qin, pak tsz sin untuk kumpulan Red Sun. Yang paling bijak katanya. Lelaki yang berdiri sebelah kiri Athena, sewaktu peristiwa dia perlu melawan konco-konco Red Sun. Tidak serupa ketika itu, tiada pula riak kebosanan di mukanya. Yang ada cuma raut muka yang kelihatan tertarik.
            "This is impressive. Lain benar daripada bilik budak-budak aku yang lain." Dia bertutur, seraya melangkah masuk. Tidak dipelawa pun. Anak matanya berlingas ke kiri ke kanan, yang Kai tahu dituju kepada segala peralatan yang siap dia pasang sebentar tadi.
            Ada kotak server di belah kiri pintu masuk. Ada tiga buah desktop dengan monitor yang sedang terpasang. Dua daripadanya ialah twin-monitor. Sedang memaparkan gambar peta dunia dengan pelbagai jaringan. Itulah dia cyber threat map. Sengaja Kai buka untuk melihat apa yang sedang berlaku di dunia maya sekarang. Di monitor ketiga pula, kelihatan tulisan-tulisan hijau yang sedang bergerak turun naik. Dia sedang membuat encryption bagi sistem yang baru dipasang.
            Desktop tersebut diletak atas meja berbentuk-L. Dua buah di hadapan dan sebuah di belah kiri. Bila mahu mengguna monitor ketiga, dia cuma perlu memusing kerusi ke kiri. Satu keyboard depan twin-monitor, dan satu lagi depan monitor ketiga. Kedua-duanya dari jenis razer keyboard. Walaupun keyboard ini selalu digunakan untuk 'gaming', Kai sangat menyukainya. Chroma backlighting di keyboard jenis ini, menyerlah dalam gelapnya bilik. Lantas, menjadikan bilik ini kelihatan bercahaya. Ditambah pula dengan cahaya hijau terang yang terpancar dari monitor desktop. Maka tidak hairanlah bila Charlie mengatakan ruang ini...
            "Impressive."
            Sekali lagi, Kai mendengar pujian itu. Dia membiarkan sahaja bila Charlie membelek-belek barangan yang dia susun atas meja. Hanyalah speaker, mouse dan beberapa buah encrypted drive.
            "Oh, I'm so sorry." Kali ini, Charlie memohon maaf pula. Dia menoleh kepada Kai, dan membetulkan tegak berdirinya.
            "Aku belum perkenalkan diri lagi." Dia menghulurkan tangan ke depan.
            Kai melangkah lebih dekat dan menyambutnya.
            "Charlie."
            "Cobra."
            "Our important man!" Tidak semena-mena, Charlie menyangkut lengan atas bahu Kai.  "Aku minta maaf bagi pihak Athena dan Lai Kuan. Mesti mereka dah menakutkan kau sebelum ni, kan?"
            Kai menggerak bibir dan menyengih. Sangat tidak ikhlas. Lengan atas bahu dibiarkan, walaupun kalau diikutkan hati, mahu dia melipatnya ke belakang badan.
            "Tak apa. Semuanya dah lepas."
            "Kannn?" Charlie mengiya dengan suara yang naik teruja. Tangannya dialih dari bahu Kai.
            Kai melebarkan lagi senyum palsunya.
            "Now, tell me." Charlie tiba-tiba menjatuhkan duduk atas kerusi Kai dan menyilang kaki atas paha. "Apa yang kau akan buat untuk hack ke dalam sistem CK?"
            "Perlu ke aku beritahu kau?" Kai menyoal kembali.
            Charlie senyum tenang.
            "You're right. Tak perlu sebenarnya. Cuma itulah... aku macam berminat untuk tahu," terangnya sambil menekan-nekan mouse atas meja.
            "Don't touch that." Deras, Kai menegah.
            Tangan Charlie terkaku sekejap. Perlahan-lahan, dia kemudiannya mengangkat kedua-dua belah tangan ke udara.
            "Wow, scary. No wonder kau tak takutkan Athena, mahupun Lai Kuan. Tapi kan..."
            Dia bangun dari kerusi dan mengibas punggung. Kakinya dibawa mendekati Kai. Sampai depan-depan, dia mengulum senyuman.
            Kai tidak ada rasa mahu membalas.
            "Kau tak patut pandang rendah pada mereka berdua. Ini nasihat aku untuk kau." Charlie menyudah kata dengan menepuk bahu Kai. Konon-konon bergaya peramah. Tetapi Kai tidak bodoh untuk mengerti. Sesungguhnya, Charlie Qin sedang memberinya amaran.
            Sesudah itu, Charlie berjalan melepasi Kai. Baru dia mahu sampai ke pintu, Kai membuka mulut.
            "Macam mana pula dengan kau?"
            Derap langkah kaki Charlie terhenti. Kai mengambil kesempatan dan berpaling kepadanya. Lelaki itu sudah pun menoleh kepadanya semula.
            Mereka saling bertentangan.
            "Patut ke aku takutkan kau?"
            Birai bibir Charlie bergerak secalit. Ada gelak halus yang terpantul keluar.
            "Takut? That's too much. Aku tak suka orang-orang aku takutkan aku. I prefer respect. Hormati aku. Buat apa yang aku suruh. Dan jangan menyusahkan aku." Bibir Charlie kekal tersenyum saat mengatakan itu.
            Kai mendiam. Matanya merenung tajam. Dia boleh nampak. Di sebalik senyuman manis yang kelihatan tidak bersalah itu, ada yang tersembunyi. Dan itulah yang membuatkan lelaki yang tampak nerd seperti Charlie Qin boleh berada di dalam Red Sun. Bahkan, memegang kuasa yang sama tara dengan Athena dan Lai Kuan.
            Sesungguhnya,lelaki ini... dia bukanlah se'innocent' yang dia tunjuk.
~ Bersambung... ~
Sara says:
Oh, crap! Siapa pula Charlie ni? Tulah, orang yang nampak nerd, tak semestinya tak ada taring. 😏😏
Anyway, something big will be announced soon kat IG Cik SA (ciksara_aisha). Ini pasal Code Name Cobra. So, sape belum follow, please do follow my IG. But one thing for sure, CNC will be out SOON. Korang dah tak perlu lama-lama lagi, atau terseksa baca sekerat-sekerat kat wattpad. 😂😂
Thank you! Jangan lupa like dan komen kat bawah, tau.
Love, SA

No comments:

Post a Comment