June 23, 2013

Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 8


BAB 8

“HMMM, CANTIK. Cantik sangat corak ni. Corak abstrak. Nanti bolehlah kita guna untuk kita punya graphic t-shirt.”
            “Kau tak payah seronok sangat perli aku, boleh tak?” dengus Syamil sambil membetulkan urat belakangnya yang masih terasa sengal. T-shirt miliknya yang dipegang oleh Hazri dilirik melalui ekor mata. Itulah bukti betapa dia, Syamil Imran sudah pun menjadi mangsa kepada keganasan seorang wanita.
            Hazri tertawa kecil seraya menoleh pada Syamil yang elok sahaja tidak berbaju dan menyandar di sofa. Wajahnya cukup cemberut, membayangkan ketidakpuasan rasa yang bersarang di dalam hati sang pemilik. Huh, itulah. Padan muka! Siapa suruh bergurau tak kena tempat? Memang patutlah kena tendang sampai tersembam. Jatuh macam nangka busuk.
            “Aku bukannya buat apa-apa. Tak ada dan tak hingin pun. Aku cuma usik dia aje. Yalah, dah dia tu selamba sangat mengata aku. Nak cakap aku ni lelaki lembutlah, biseksuallah…”
            “Dia memang cakap direct macam tu ke?” sampuk Hazri sambil membaling baju Syamil ke arah tuannya. “Baju tu kau cuci sendiri nanti. Aku bukan amah kau nak tolong basuh.”
            Syamil pantas menyambut dan menyangkutnya pada kepala sofa.
“Tak adalah. Tapi dia duk menyindir-nyindir aku. Macamlah aku ni bodoh sangat dan tak boleh faham.”
            Sekelipan dahi Hazri membentuk kerut. Langkahnya diambil sebelum dia melabuhkan duduk di sebelah Syamil. Kedua-dua belah kaki diangkat ke atas sofa dan disilang membentuk sila. Kemudian dia memusing tubuh agar betul-betul berhadapan Syamil.
            “Aku confuselah. Kenapa pula tak ada angin, tak ada ribut dia nak cakap macam tu pada kau?”
            Syamil terkemap sebentar. “Well, itu…”
            Sepasang mata Hazri mula mengecil, menayangkan muka keanehan dan curiga pada sahabatnya. “Apa yang sebenarnya dah jadi ni? Apa yang kau dah buat, Syamil Imran?”
            Terlopong mulut Syamil. Amboi, nak menuduh nampak?
“Kau jangan tengok aku macam tu. Aku mana ada buat apa-apa!”
            “Eleh, kau! Manusia yang paling tak boleh aku percaya,” ejek Hazri.
            “Kau ni…” rengus Syamil. Si Hazri ni kawan aku ke kawan Miss Sweetheart? Bukannya nak kasihan pada manusia yang konon-kononnya bestfriend forever dia ni. Huh, BFFlah sangat! Macam ni ke rupa BFF?
            “Kau tak payah nak berdrama swasta bagai. Tak payah tunjuk muka tak puas hati kat sini. Just tell me. Apa yang dah berlaku sampaikan Miss Sweetheart boleh cakap macam tu pada kau?” Selamba Hazri mencantas. Wajah kegeraman sahabatnya dipandang tanpa perasaan apa-apa.
            “Mana ada…”
            “Mana ada apanya? Bukan namanya Syamil Imran kalau kau tak ada buat apa-apa. Aku tahu mesti ada something punyalah,” sergah Hazri sebelum sempat Syamil melarikan diri.
            “Okay, fine!” Akhirnya Syamil mengaku kalah. Huh, meletihkan jiwa raganya sahaja kalau terus-terusan berlawan kata dengan budak Hazri ini. “Sebab Fiya.”
            “Aik, apa pula kena mengenanya adik kau dalam hal ni?”
            “Semuanya. Semunya kerana dia.” Dengan lagak malas, Syamil menjawab.
            “Maksud kau?”
            “Dia guna kereta aku.”
            “So….” Hazri masih keliru.
            “So…” Syamil mengangkat kening tepat pada Hazri.
            Sesaat…dua saat mata Hazri terkelip-kelip sebelum akhirnya terbuntang luas. Oh, God! Don’t tell me budak Syamil ni…
            “Kau guna skuter Fiya?!” Suara Hazri mula naik satu oktaf.
            Syamil menutup sebelah mata sambil memegang cuping telinga. Aduh, perlu ke menjerit macam tu sekali?
            “Kau guna skuter pink bercorak Hello Kitty tu?” Lagi Hazri menyoal nyaring.
            “Habis tu, kau ingat adik aku ada skuter lain?” Syamil membalas dengan rasa sebal dalam hati, wajah plastik tanpa emosi.
            “Dengan helmet pink tu jugak?”
            “Ya, Encik Hazri. Memang aku guna skuter pink tu dengan helmet pink tu. Bukan setakat waktu aku jumpa Miss Sweetheart. In fact, sehari suntuk hari ini aku memang guna benda alah tu. Oh, aku lupa. Kau tak ada tadi, kan? Kau pergi jumpa klien. So kau tak tahu. Jadi biar aku bagitahu kau lagi sekali yang aku…Syamil Imran bin Suhaimi menggunakan skuter warna pink dan pakai helmet pink.” Panjang lebar dan tanpa henti Syamil menjawab, diselitkan dengan sindiran buat sahabatnya. Huh, geram benar dia dengan sikap Hazri yang banyak soal. Kurang sensitiviti sungguh dia ni! Yang beriya-iya sangat nak tanya pasal pink-tak-pink ni kenapa?
            Sekejapan Hazri terguling-guling di sofa dengan tawa yang terbahak-bahak keluar dari mulut.
            “Kau naik skuter pink corak Hello Kitty? Oh…oh…aku nak bayangkan kejap.” Hazri menarik nafas dalam-dalam dan menjeling pada Syamil. Kemudian serta-merta tawanya meletus lagi. Lawak! Ini memang lawak tahap lawak antarabangsa.
            Syamil menjebik dan menyilangkan tangan ke dada. Tajam matanya merenung sahabat yang masih lagi enak dan bahagia mentertawakannya. Amboi, amboi dia ni….kalau dapat gelakkan aku, memang tak ingat dunia!
“Sekarang aku betul-betul dah faham kenapa Miss Sweetheart cakap macam tu. Sebab memang…” Hazri meliarkan matanya ke atas bawah Syamil.
 Muncul rasa tidak enak dalam diri Syamil. “Kau ni dah kenapa?”
“Memang kalau kau dengan sesuatu yang pink, kau akan nampak…”
“Nampak apa?” herdik Syamil. Matanya dijegil seluas-luasnya.
Cepat-cepat Hazri menekup mulut dan menjongket bahu. Kepalanya digeleng-gelang sambil berusaha keras untuk menahan rasa geli hati yang mencuit-cuit.
            “Huh, kau saja nak buat aku hangat hati, kan? Dahlah aku dah jadi mangsa keganasan, kemudian kawan baik aku…kononnyalah, gelakkan aku pula.” Syamil mula mengomel seraya bangun dan menuju ke arah selonggok baju Hazri yang belum berlipat di atas meja kopi. Ditarik sehelai t-shirt biru dan disarung ke tubuh.
            “Yalah, yalah. Aku tak buat macam tu dah. Isy, hati kecil sungguh!” balas Hazri, sempat mengata kawan sendiri di hujung kata. Dibiarkan sahaja Syamil yang sedang memperlakukan rumahnya seperti rumah sendiri. Memang begitulah keadaan mereka sejak dari kecil. Kalau bukan dia yang ke rumah Syamil dan meminjam apa-apa barang, pasti Syamil yang berbuat demikian.
            “So, alkisahnya…kau kena tendang dek kawan Miss Sweetheart lepas kau sakat dia tadi?” Hazri menyoal, ingin mendengar cerita lebih lanjut mengenai Syamil dan corak tapak kasut yang melekat di belakang bajunya. Sebab kesan itulah Syamil akan bermalam di sini. Katanya, malas mahu banyak bicara dengan Auntie Rozana yang pasti-pasti sahaja akan menyibuk.
            “Hmm.” Sepatah sahaja jawapan Syamil. Tidak mahulah dia berbicara lebih lanjut tentang kejadian yang telah mencalar ego lelakinya tadi.
            “Okey, menarik. Kawan dia tu…” Hazri menghentikan suara dan tersengih. “Cantik tak?”
            Syamil terlopong. Eh, tak ada soalan lain yang lebih cerdik ke? Apa Hazri ingat dia dalam keadaan tersembam atas jalan, mujur tak ada apa-apa jadi pada muka kacak dia, sempat mengintai sama ada manusia yang bertanggungjawab melakukan begitu padanya…cantik atau pun tidak?
            “Yang kau ternganga macam tu kenapa? Aku tanya ni, cantik ke tidak?”
            Tercetus keluhan berat dari mulut Syamil. Huh, kalau dah dasar player, memang akan tetap player sampai ke akar umbinya.
            “Kalau cantik, tapi ganas buat apa?” Akhirnya Syamil menjawab. Dilayan juga perangai pelik sahabatnya.
            “Ganas sangat ke?” Hazri bermain soalan.
            Syamil mengangkat sebelah kening. “Kau ingat kalau dia dah tendang aku sampai melekat bekas tapak kasut dia kat belakang baju, itu tak ganas ke namanya?”
            “Oh, well…aku just tertanya-tanya. Setakat manalah seorang perempuan ni boleh jadi ganas?”
*****
“GANAS! Ganasnya kau, Elina!!!”
Apocot! Terkejut Orked. Jubah hitam berlabuci di tangannya pantas sahaja terlepas. Namun cepat-cepat diambil kembali supaya tidak rosak. Kalau ada mana-mana labuci yang terkeluar ke apa ke, siap kau Elina!
            Setelah menyangkut kembali dres tersebut ke kabinet, Orked mendekati bilik sederhana besar yang berfungsi sebagai pejabat pengurusan Amour. Kepalanya dijegul ke dalam.
            “Kau ni tak habis-habis lagi ke?” tanya Orked. Matanya ditala pada Elina yang sedang menyangkut dahi ke sisi meja. Komputer riba miliknya dibiarkan sepi tanpa layanan tukang tulis ceritanya.
            Perlahan-lahan Elina mendongak dengan muka yang cukup kelat. “Ganas sangat kan aku semalam?’
            Orked menayangkan muka tidak beriak. Hampir sebu telinganya mendengar soalan yang sama sejak kejadian kelmarin. Dan hampir keras lidahnya memberikan jawapan yang sama.
            “Kau mana ada ganas. Kau cuma jadi penyelamat aku.”
            Itulah balasan yang sudah acap kali dia titipkan dan sudah berkali-kali telinga Elina mendengar. Atau Elina dah sumbat telinga dia dengan bermacam-macam sampaikan pekak? Itu yang asyik ulang benda yang sama sahaja hingga dia naik muak jadinya.
            “Aku pun tak sangka kenapa aku boleh buat macam tu. Nampak aje kau dengan lelaki mana entah dan masa tu kau tengah menangis-nangis, melalak-lalak…automatik aje kaki aku naik sendiri,” beritahu Elina. Namun lebih kepada bercakap dengan diri sendiri. Langsung tidak dipandang wajah Orked.
            Menguntum senyum lebar di bibir Orked. Elina yang sedang bermuram durja didekati sebelum dia memeluk bahu gadis itu.
            “Hei, sebab kau adalah kawan aku yang paling baik, yang terhebat di abad ini.”
            “Itu sejak azali lagi aku dah tahu. Tapi masalahnya sekarang…dia tu handsome. Aku dah tertendang lelaki handsome.”
            Orked mendengus dalam hati. Hah, inilah dia masalahnya dengan Elina Hamzah. Tak boleh tengok lelaki kacak sikit, mulalah nak jadi pelik. Dan lagi satu…tang mana yang handsome sangat Encik Sayang tu?
            ‘Ceh, kau Orked. Dulu kau juga yang beriya-iya sangat dengan hati jangan meletup bagai, kan? Sekarang, boleh pula tanya tang mana handsomenya? Entah datang dari mana, hatinya ditebak suatu suara. Cepat-cepat Orked menggelengkan kepala. Jangan ingat benda tu lagi!
            “Habis tu, kenapa kau tunjuk muka kerek aje depan dia semalam?” soal Orked. Teringat sikap bersahaja yang ditunjukkan oleh Elina semalam. Apa tidaknya, setelah menghadiahkan Encik Sayang dengan tendangan padunya, boleh pula Elina mengheret lelaki itu untuk menyelesaikan hal kereta. Siap dengan muka tidak bersalah dan langsung tidak mengucapkan kata maaf.
            “Oh, awak tidak ada apa-apa niat buruk, ya? So…anggap saja tendangan tadi tu sebab awak buat kawan saya menangis.”
            Ya, percaya atau tidak, itulah setiap patah kata yang dituturkan oleh Elina setelah Orked menceritakan hal sebenar. Tetapi hakikatnya, lenyap sahaja bayangan Encik Sayang daripada muka mereka berdua, dan-dan itu juga Elina menjadi macam sekarang. Asyik menjerit dia ganas sangat, menyesallah dan bermacam lagi.
            “Gila kau! Takkanlah aku nak tunjuk rupa yang macam sekarang ni? Habislah air muka aku,” tempelak Elina.
            Orked tergelak kecil. Dalam gatal-gatal Elina, tetap juga pentingkan air muka sendiri.
            “Sebenarnya, kan…” Orked menilik wajah sahabatnya.
            “Apa?”
            “Yang kau menyesal sangat buat dia macam tu, kenapa? Kau sepatutnya bangga, tau sebab kau dah jadi heroin aku.”
            “Well…” Elina menunjukkan muka bangganya, dilengkapkan dengan kedua-dua bahu yang dijungkit. “Itu aku tak nafikan yang aku memang sangat bangga. Tapi, masalahnya sekarang…”
            “Kau dah suka kat dia?” teka Orked.
            “Gila! Tak ada maknanya. Walaupun dia tu handsome, dia tetap bukan taste aku.”
            “Habis tu, kenapa kau jadi macam ni?”
            Elina mengambil jari jemari Orked, menggenggamnya dan menepuk-nepuk lembut. “Sebab aku fikirkan pasal kau, BFF aku.”
            Melintang garis kerutan di dahi Orked. Aik, apa pula kena mengenanya dengan dia?
            “Kenapa pula dengan aku?”
            “Macam mana kalau dia dah tak nak jadi Encik Sayang kau lagi sebab kau berkawan dengan aku? Dia jadi serik dan takut sampaikan terpaksa tinggalkan Miss Sweetheart dia? Oh, tidak! Aku tak nak jadi punca percintaan kawan baik aku hancur.”
            Terlurut jatuh rahang Orked. Oh my god! Elina dah mula dengan drama swastanya. Dia ingat aku ni watak utama dalam novel dia ke apa?
            “Dahlah masa kau dengan dia dah tak lama dah. Aku pula pergi kecohkan lagi hubungan kau orang berdua.”
            Eh, sekejap. Elina ni dah makin mengarut nampaknya. Apa pula masa dan hubungan ni? Sejak bila pula dia ada apa-apa hubungan istimewa dengan lelaki yang seorang itu?
            “Kau cakap apa ni, Elina?”
            “Cakap pasal kau dengan Encik Sayang kau tulah. Masa kau dengan dia tinggal dua hari aje, kan?”
            Orked mengelip-ngelipkan mata. Tidak mengerti.
            “Isy, kau ni tunjuk muka blur pulak dah. Kan lagi dua hari kau nak ambil balik kereta kau. Dan kau sendiri cakap yang kau takkan jumpa dia lagi lepas ni. Semuanya settle antara kau dan dia.”
            “Yeah, so?”
            “Aku ralatlah! Kalau aku tak buat hal, mungkin dalam dua hari ni kau dengan dia….” Elina menyengap seketika dan kemudian menyengih nakal. “Boleh rapatkan lagi hubungan, saling jatuh cinta dan kemudian…happily ever after.”
            Happily ever after? Dengan lelaki sengal tu? Uwek, nak muntah aku, omel Orked dalam hati.
            “Happily ever after ngok kau! Dah, tak payah nak mengarut lagi.” Orked mengetuk kepala Elina dengan jari telunjuk. “Lagi aku layan perangai tak semenggah kau ni, lagi pening aku jadinya.”
            Elina tertawa kecil. Eleh, betul ke ngok Cik Orked Imani? Muka tu merah padam semacam aje aku tengok.
            “Aduh, dia ketawa pula dah. Cik Elina Hamzah, baik kau balik pada manuskrip baru kau tu. Katanya dateline dah dekat, kan,” sambung Orked diakhiri dengan sedikit amaran.
            “Ops, alamak! Kaulah punya pasal.” Elina cepat-cepat kembali menghadap komputer riba yang sedari tadi dibiarkan sepi.
            “Eh, aku pula,” rungut Orked seraya melangkah keluar dari bilik pejabat. Niat di hati mahu meneruskan kerja yang terbengkalai tadi.
            “Orked…” Suara Elina tiba-tiba menyeru.
            “Hmmm…” Orked menjawab dengan tubuh yang masih membelakangi Elina.
            “Betul ke kau tak nak happily ever after dengan dia?”
            Spontan Orked berpaling dan menjegil mata pada Elina yang sudah pun menghamburkan tawa galak. Dia ni pun sama saja sengalnya dengan Encik Sayang!


~Bersambung~

Amacam? Kali ini Cik SA up entri awal sikit, kan? Haha! Siput sedut dah makin cepat nampaknya. Syabas! Haha..Do comment and love uollsss...=)

    

9 comments:

  1. hahahhaa...mmg xleh blah bila en sayang naik skuter pink tu...akk yg bca pun tergelak dpn pc..

    ReplyDelete
  2. omey. bagus Orked. bagus. haha (Y)

    ReplyDelete
  3. terbayang jugak la rupa en sayang dgn skuter pink n helmet pink... hahaha... aduii kesian en sayang kena tendangan padu si elina tu...

    ReplyDelete
  4. hahaha..cute nya syamil bwk skuter pink..kekeke..lagi bezz klu Orked tu jual mahal hbs kat Syamil tu..kasi Syamil plk yg hangau tahap angkasaraya kat Orked..kekeke..nxt n3 kak saraaaa..plisss..plisss

    ReplyDelete
  5. adesss.... cun betol skuter adik Encik Sayang ni... da tbyg cara dia bawak... hahaha

    ReplyDelete
  6. erkk..terasa cm jambu sgt ES naik skuter pink..xbley nk byng asyk nk gelak je..haha

    ReplyDelete
  7. ingat ke orked yang tendang..rupanya si ellina..saspen betoll

    ReplyDelete
  8. skuter pink comel...heheheh kalao kena kereta hello kitty lagi comel..meh la singgah blog saya

    ReplyDelete