Showing posts with label Encik Sayang dan Miss Sweetheart. Show all posts
Showing posts with label Encik Sayang dan Miss Sweetheart. Show all posts

May 25, 2015

Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 21 & 22

12:00 AM 1

BAB 21

PESANAN dalam talian yang terpampang di skrin komputer diperhati dan dilayan satu per satu. Sesekali Orked menjeling pada Syamil yang sedang menyangkut pakaian di besi-besi penyangkut yang memang tersedia. Kemudian lelaki itu akan hilang ke dalam stor sebelum kembali menyusun dan mengemas, mengikut arahan yang telah diberikan sebentar tadi. Ya, susunan haruslah berdasarkan jenis pakaian, material dan kod nama yang telah tercipta. Semuanya perlu sempurna kerana dia dan emak memang tidak gemar kalau segala-galanya bercampur baur. Akan menyusahkan di kemudian hari nanti.
            ‘Hmmm, baik juga dia ni sanggup tolong aku. Kalau tak…’ Sesaat hati Orked memuji.  Tetapi dalam hati sahajalah. Mahu memuji secara terang-terangan? Memang mustahil! Kalau dibuat juga, pasti sekali tahap perasan Syamil akan melonjak tinggi.
            “Aik, tak habis lagi ke tengok saya?” Sekonyong-konyong suara Syamil menerjah cuping telinga.
            “Hah?” Orked tersentak.
            “Siap menopang dagu pula tu.”
            Menyebu darah panas ke muka Orked sebelum dia cepat-cepat membetulkan duduk tangannya dan kembali mengalihkan bebola mata kepada skrin komputer. Ya Allah! Macam manalah dia boleh tidak sedar bahawa dia sedang menopang dagu sambil memerhatikan gerak laku Syamil? Aduh, ingin sekali dia mengetuk kepala. Manalah tahu kalau-kalau boleh membetulkan mana-mana urat di dalam otak yang menjadi penyebab utama kepada sesi Orked Imani memalukan diri sendiri.
Syamil tertawa kecil dan menyambung kerja. Dibiarkan sahaja Orked dengan muka merah padamnya. Itulah, siapa suruh jatuh cinta pada kekacakan aku?
            Kring!
            Laju dan pantas sekali Orked bangkit dari kerusi kala bunyi loceng pintu bergema. Yes! Ada penyelamat. Kalau tak, macam mana nak tahan malu ni?
            “Welcome. Masuklah…” Dengan penuh bersemangat Orked melayan tiga orang gadis yang muncul. Syamil yang masih mengemas dibuat-buat tidak nampak.
            “Pilihlah mana yang berkenan.”
            “Yang itu…boleh tak, akak?” Salah seorang pelanggannya mengunjukkan tangan ke suatu sudut.
            Orked menggerakkan bebola mata pada arah tuju jari telunjuk berkenaan dan…
            “Hah?” Buntang matanya saat perasan bahawa tangan itu tertala pada Syamil. Ya, pada encik tunangnya, pada Encik Sayang yang kelihatan tidak mendengar dan perasan tentang kejadian yang sedang berlaku ini.
            Tanpa semena-mena tiga gadis berkenaan ketawa.  
            “Isy, kau ni gatal!” - Gadis 1
            “Handsome kan tu?” - Gadis 2
            “Agak-agak dah ada girlfriend tak?” - Gadis 3
            Orked mengetap bibir. Amboi…amboi, nak beli baju ke nak menggatal kat sini? Sedikit demi sedikit Orked menggerakkan tubuh ke hadapan mereka lalu menutup pandangan mata mereka terhadap Syamil. Dengan senyuman plastic, Orked bersuara. “Ada apa-apa saya boleh bantu? Kami ada banyak design baru, but that one is not a new designed item. He’s definitely not for sale.”
            Lagi tiga gadis menghamburkan tawa. “Akak ni pandai buat lawaklah.”
            Orked turut tergelak. Tetapi hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa palsunya tawa itu. Dalam hati dia berkata-kata…
            ‘Mujur kau orang ni customer aku. Kalau tak, memang dah kena. Nak menggedik dengan tunang aku pula!’
*****
“HELO, ORKED.”
            “Abang Am? Abang kat mana ni? Dah balik ke?” Girang Orked menjawab panggilan telefon daripada Amril. Emel yang sedang dibalas dibiarkan seketika. Perhatiannya lebih ditalakan pada sang pemilik suara di sebelah sana.
            “Dah. Abang sampai pagi tadi. So how’s my Orked? Dua minggu tak jumpa, rindukan abang tak?” Suara gemersik Amril diakhiri tawa manis.
            Pertanyaan Amril membuatkan Orked terkemap sesaat. Rindu? Rindukah dia pada Amril? Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidupnya. Dan sejujurnya, tidak sempat langsung untuk dia memikirkan soal Amril. Kalau tidak Amril yang tiba-tiba menelefon, pasti dia tidak teringat langsung akan lelaki itu dan pemergiannya ke luar negara sejak dua  minggu lalu.
            “Orked…”
Perlahan-lahan Orked meletakkan telapak tangan ke atas dada. Terasa debaran di situ, tetapi getarannya biasa sahaja. Tiada apa-apa yang istimewa, bukan seperti dahulu.
            “Orked, are you there?”
            “Ya...ya, I’m here.” Tergugup-gagap Orked menjawab.
            “Orked tengah busy ke sekarang?” Nada suara Amril berbaur rasa ambil berat.
            Pertanyaan Amril membuatkan Orked mengalihkan pandangan ke luar pejabat lantas tertancap pada Syamil yang masih setia membantu.
            “Hmm, bolehlah tahan.”
            “Then, I’ll just go straight to the point.”
            Orked mengerutkan dahi, agak tertanya-tanya. Apa pula yang hendak dikatakan oleh Amril?
            “Abang nak jemput Orked datang ke satu event ni. Ramai orang dari industri fesyen akan ada kat situ. It’ll be good for you and Amour.”
            “Bila?”
            “Lagi dua hari.”
            Benak Orked mula berputar ligat. Kalau sudah bagus untuk Amour, rasanya tidak patut dia menolak peluang ini. Lagipun, jika ditolak pasti-pasti sahaja dia akan dibunuh oleh emak. Ya, bukan dia tidak kenal ibunya itu. Puan Jasmin tidak akan sesekali melempar apa-apa peluang yang baik untuk perniagaannya.
            “Orked tanya emak dulu. Tapi rasanya boleh kut.”
            “Great! Nanti abang akan whatsapp details pada Orked.”
            “Okey. See you, abang.”
            “See you.”
*****
“SEBAGAI bayaran atas pertolongan saya tadi….”
            “Nak kena bayar pula?” Hampir meninggi nada suara Orked. Matanya dialihkan daripada komputer dan melekat tepat pada Syamil yang sudah pun menjatuhkan duduk bertentangan dengannya.
            “Miss Sweetheart darling…tak ada benda yang free dalam dunia ni, tau. So, mestilah kena bayar.”
            “Tapi ada saya suruh awak tolong saya tadi? Tak ada, kan?” bangkang Orked, bernada tidak puas hati.
            Syamil tidak segera membalas sebaliknya dia menganggukkan kepala beberapa kali dengan wajah yang cukup serius. “Sekarang barulah saya tahu perangai awak macam ni rupanya.”
            “Macam apa?” Berkerunyut dahi Orked.
            “Kejam. Zalim. Kuku besi. Dah kerah tenaga orang, lepas tu tak nak bayar pula.” Laju dan bersahaja Syamil mengutuk tunang sendiri. Riak wajah Orked yang semakin berubah dengan setiap patah kata itu dipandang tanpa rasa.
            Orked merengus sekuat mungkin. Manusia yang seorang ini memang menyebalkan sungguh!
“Okay, fine! Apa awak nak?”
“Be my date.”
“Hah?”
            “Macam ni. Lusa malam saya ada event nak attend. So…”
            “Awak nak saya temankan?” teka Orked.
            “Yup, saya nak awak temankan Encik Sayang awak yang kacak ni. Mesti awak akan rasa bangga nanti, bila semua perempuan kat sana tengok awak dengan muka jealous.”
            Tanpa secalit perasaan dan dengan muka kosong, Orked memandang Syamil yang sedang melaksanakan hobi suka perasannya. Dia ni, kalau tak perasan…memang tak sah kut!
            “Lusa, ya?” Orked berfikir sejenak. Sedikit demi sedikit matanya membundar dengan rasa lega dan gembira yang bercampur baur. Yes!! Nasib baik Abang Am dah booked aku tadi.
“Alah, sorry. Awak dah terlambat. Saya ada hal.”
            Syamil mendiamkan diri buat seketika sebelum mengecilkan mata dengan penuh syak wasangka. “Ya ke?”
            Eh, eh dia ni! Tak percaya pula?
            “Kenapa? Awak ingat saya bohong?”
            “Well, manalah tahu. Kalau-kalau awak tak sudi keluar dengan Encik Sayang, encik tunang awak ni.”
            ‘Huh, tahu tak apa! Memang aku tak hingin pun!’ gerutu Orked dalam hati.
            “Anyway, awak ada hal apa? Malam-malam pula tu?”
Nada suara Syamil mula kedengaran jauh semacam. Riak wajahnya turut terpalit dengan unsur-unsur…menyibuk? Amboi, amboi ini sudah melampau namanya. Belum apa-apa, belum jadi laki bini dah nak menyibuk dengan hal aku?
“Saturday night. Big city. Time to release stress. Jadi awak rasa apa yang saya buat?” Orked menayangkan senyum palsu. Matanya sengaja dikelip-kelipkan.
Berubah air muka Syamil. “So awak nak cakap yang selama ni...”
“Ya, saya…apa? Cuba sambung ayat.” Dengan lagak selamba Orked memberikan ‘semangat’ untuk Syamil menyudahkan kata.
“Awak…awak…pergi tengok firefly kat Kuala Selangor?”
Hah? Terlopong luas mulut Orked. Ya Allah! Mana pula datangnya firefly?
Berderai tawa Syamil. Perutnya ditekan-tekan, cuba menahan rasa geli hati kala melihat reaksi tunangnya.
“Miss Sweetheart...Miss Sweetheart, saya kenal awak. Tak perlulah awak nak berlakon konon-konon pergi clubbing ke apa ke. I know you’re not that type of person.”
Bibir Orked membentuk cebikan.
“Mana awak tahu? Entah-entah saya sebenarnya berlakon aje pakai tudung, baju muslimah segala macam ni. Padahal malam-malam bertukar rupa, pakai tube and hot pants, lepas tu terkinja-kinja atas dance floor.”
Dengan lagak sengaja Syamil membulatkan mata. “Awak pakai tube and hot pants?!” Wow! Kejap, saya nak bayangkan.” Sepasang mata kemudian ditalakan tepat pada Orked. Tajam.
Berderau air muka Orked. Spontan dia menutup bahagian dada dengan kedua-dua tangan. “Awak jangan imagine macam-macam!”
“Itulah, lain kali jangan cakap main lepas aje.” Syamil menyindir diselangi senyum nakal.
“Dia yang gatal, fikir benda-benda pelik…kita pula yang kena jaga mulut,” gumam Orked penuh kegeraman.
            Lagi sekali Syamil menghamburkan tawa.
            “Dahlah gelak tu!” marah Orked, separuh menjerkah.
            Automatik tawa Syamil termati. Mulutnya dikatup, cuba menghalang mana-mana sisa tawa yang mungkin mahu melepaskan diri dan kemudian terhambur lagi.
            “Baik awak balik sekarang sebelum saya naik gila melayan perangai tak betul awak tu,” tegas Orked. Wajahnya masam mencuka. Cemberut!
            Masih dngan senyum yang masih terpalit pada wajah, Syamil bangkit secara perlahan-lahan. “Ya, ya. Saya balik. Jangan jadi gila dulu. Tapi sebelum tu saya nak pesan.”
            “Apa dia?” soal Orked. Dahinya berkerut seribu.
            “Disebabkan awak tak dapat temankan saya malam lusa, jadi bayaran awak tu kita tangguhkan dulu.”
            “Still kena bayar balik ke?” Suara Orked berbaur rasa tidak puas hati.
“Eh, mestilah! Kan saya dah cakap tadi.” Syamil menunduk sedikit, mendekatkan muka ke arah Orked yang masih duduk di kerusi. “Tak ada apa yang free dalam dunia ni. Pertolongan yang diberikan saya untuk awak wajib dibayar.”
Orked mendengus dalam diam. Geram, menyampah, segala macam rasa yang jelik bercampur baur dalam jiwa. Dan semuanya disebabkan oleh seorang manusia yang sudah pun membuatkan hidupnya jadi tunggang langgang.
           Mental note: Jangan sesekali bagi dia tolong kau lagi, Orked Imani.

*****
BAB 22

“AKU on the way pergi Hotel Raja Chulan. Abang Am ajak aku ke sana. Ada majlis.” Orked menjawab pertanyaan Elina. Fon telinga yang diselitkan di celah-celah tudung dibetulkan sedikit dengan tangan kiri sambil matanya memandang tepat pada jalan.
            “Kau ni biar betul?! Kau tunang orang kut. Mana boleh sesuka hati ikut lelaki lain.”
            “Kau agak-agaklah nak condemn aku pun. This is for the sake of business, okay. Abang Am cakap event ni bagus untuk Amour. Ramai orang dari industri fesyen akan ada kat sana.”
            “Oh, ya ke? Aku ingatkan….”
            “Aku pun berharap sangat dapat buat perangai buruk belakang Syamil. Jadi tunang yang ada affair, contohnya.” Mengerti apa yang bermain di dalam benak sahabatnya, Orked menyambung sendiri.
            “Kau jangan buat kerja gila!” Suara Elina mula naik satu oktaf.
Isy, dia nak suruh aku jadi pekak ke apa?
            “Itulah masalahnya. Aku. Tak. Gila. Walaupun aku tak sukakan pertunangan ni, aku tak ada keberanian nak main kayu tiga. Amacam? Baik tak aku?” Selamba Orked memuji diri sendiri.
            “Ya, memang baik. Kawan aku ni memang calon isteri mithali,” ucap Elina sekadar melayan perangai sahabatnya.
            Orked tergelak kecil. “Anyway, kau telefon aku ni, kenapa? Ada apa-apa hal ke?”
            “Oh, aku nak tanya, jadi ke tak kita nak pergi Gunung Ayam? Budak-budak hiking minta kita confirm ASAP sebab dia orang nak beli tiket kereta api.”
            Spontan Orked menepuk dahi. Disebabkan kesibukan kerja dan hal pertunangannya, hampir-hampir sahaja dia terlupa akan rancangannya yang satu itu. Ya, selain suka menonton drama, dia punya minat yang tinggi dalam aktiviti memanjat gunung. Kerana itulah, emak selalu sahaja membebel padanya. Kata emak, itu aktiviti untuk lelaki. Tidak manis untuk perempuan sepertinya. Sering kali juga emak menyalahkan ayah kerana minatnya itu. Apa tidaknya, ayah merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan aktiviti ini kepadanya. Sementelah pula, ayah memiliki kedai peralatan sukan lasak.
            “Cakap kat dia orang aku jadi pergi. Gian kut nak hiking ni.” Orked memutuskan.
            “Okey, set! Apa-apa nanti, aku inform balik. Assalamualaikum…”
            “Waaalaikumussalam…” balas Orked sambil menarik keluar fon telinga. Hatinya berbunga-bunga membayangkan saat-saat memanjat dan akhirnya dapat menakluki puncak gunung. Dan yang penting, dapat lari daripada segala masalah hidupnya. Ya, masalah yang bernama Syamil Imran a.k.a Encik Sayang yang tidak disayangi langsung.
*****
“ADUH, apa yang dia orang letak dalam makanan tu? Sakit perut aku,” omel Orked sambil mencengkam perut. Mujur sekali rasa memulas tadi sudah pun hilang setelah dia ke tandas tadi. Kalau tidak, haru juga nanti. Apa tidaknya, majlis baru sahaja separuh jalan. Takkanlah dia mahu bergegas pulang pula?
            “Abang Am ni pun satu. Dia ajak kita, tapi dia tak muncul-muncul. Kalau tahu macam ni, baik tak payah datang.” Laju mulut Orked merungut. Geram juga dia dengan tindakan Amril yang membiarkan dirinya terkontang-kanting sendiri di majlis ulang tahun Ivory ini. Masih terbayang-bayang lagi mesej pendek yang diterima saat dia selamat tiba tadi.
           
            ‘I’m so sorry. Abang ada hal. Busy sikit. Nanti abang jumpa Orked. Jangan balik dulu, tau.’

            “Nasib baiklah abang tu abang Am. Tak mampu aku nak marah. Kalau tak, memang mati aku kerjakan dia,” sambung Orked lagi. Tubuhnya yang sedikit lembik tadi ditegakkan kembali. Nafas ditarik dalam-dalam. Wajah tenang dan bergaya selaku anak kepada pemilik Amour harus ditampal kembali ke muka. Kemudian dia mengangkat langkah. Anak matanya diliarkan ke sekeliling dengan penuh keyakinan. Namun sesusuk tubuh yang sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang lelaki membuatkan anak mata itu membuntang sama sekali. Ehhhh? Apa yang dia buat kat sini?
            Bagaikan menyedari diri sedang diperhati, sang jejaka tiba-tiba menoleh padanya. Secepat kilat Orked mengangkat beg kepit di tangan dan menutup muka. Bibirnya diketap kuat-kuat sebelum dia melangkah perlahan-lahan di sebalik seorang pelayan yang kebetulan lalu.
            “Eh , Cik…” tegur pelayan tersebut.
            Orked memanggung kepala padanya dan menyeringai. “Abaikan I. You jalan aje.”
            “Tapi…”
            “Please…”
            “Adik, jangan dilayan perangai dia.”
            Sekonyong-konyong ada suara lain yang menyampuk. Orked mendengus kecil dan memejamkan mata sesaat. Aduh, dia muncul pula dah.
            “Sorry, ya dik. Kakak ni memang macam ni. Suka main hide and seek.”
            “Oh, okey…” Pendek jawapan pelayan itu seraya memandang pelik pada Orked. Kemudian dia berlalu pergi meninggalkan Orked dengan tubuh yang membelakangi jejaka yang semakin lama semakin menghampiri.
            Perlahan-lahan Orked memusing tubuh dan meninggikan tangan. Melambai-lambai bersama senyum paling plastik yang pernah dia tayangkan sepanjang hidupnya. “Hai, tak sangka jumpa kat sini, kan?”
            “Dah sudah main sorok-sorok dengan saya?”
            “Belum sudah lagi. Sebab masa saya baru nak start tadi, tiba-tiba muncul malaun mana entah kacau daun.”
            Meledak tawa dari bibir Syamil. Tercuit sungguh hatinya dengan jawapan bersahaja lagi selamba cik tunang yang seorang ini.
            Orked menarik muka masam. Meluat dengan fiil Syamil yang seronok mentertawakannya.
‘Isy, dia ni tak kerja lain gamaknya? Gelakkan aku aje kerjanya. Dahlah muncul tiba-tiba macam hantu. Tak faham sungguh aku! Dan lagi satu, macam manalah dia boleh ada kat sini juga? Jangan-jangan…’ Bulat mata Orked saat membayangkan kemungkinan itu.
“Macam mana awak boleh ada kat sini?” sembur Orked lantas mematikan tawa Syamil.
“Saya…”
“Awak ikut saya ke? Oh, sebab saya tak nak temankan awak masa awak ajak saya keluar, jadi awak ikut saya ke sini? Awak ni stalker ke apa?”
Syamil terlopong. Amboi, amboi…minah ni. Tak sayang mulut nampak?
“Stalker? Eh, awak ingat awak tu cantik atau popular sangat ke untuk saya stalk awak? Daripada stalk awak, lebih baik saya stalk Dato’ Siti ke, Shila Majid ke, Ziana Zain ke. Hah, tak pun Che Ta yang bergetah tu.”
            “Habis tu?”
            “Saya dijemput ke sinilah. Takkanlah saya jadi pendatang tanpa izin kut?” Lagi Syamil menghambur dengan kata-kata sindiran.
            “So, majlis yang awak cakap hari tu, majlis inilah?” Lagi Orked bertanya. Walaupun sedar diri sedang diperli dengan ganasnya, dia malas mahu mengambil pusing. Buat sakitkan hati dan buat memalukan diri sahaja.
            “Yalah. So awak….” Syamil menghentikan kata buat seketika dan mengerutkan dahi. Bagaikan memikirkan sesuatu. “Yang awak cakap tak available, sebab majlis inilah? Awak nak datang sini?”
            “Hmmm…” Pendek jawapan Orked. Tanpa rela dia mengiyakan.
            “Woahh!” Syamil menepuk tangan sekali. “Tak sangka, kan? Kita ni memang berjodohlah, Miss Sweetheart.”
            Eh, eh…seronok pula dia. Gerutu Orked dalam diam. Aku ni…dah naik mual tengok muka kau, tahu tak? Hari-hari muncul! Kalau dijemput, tak apalah juga. Ini tidak, menyibuk aje kerjanya.
            “Apa-apalah,” balas Orked, malas melayan. Lagi dilayan, lagi pelik jadinya dia ni. Kakinya diangkat, namun tiba-tiba terhenti kala lengannya ditarik dari belakang. Secepat kilat Orked berpaling dan menetapkan pandang pada tangan kekar yang kini melekat pada lengannya. Ewah, ewah! Sentuh aku pula? Nasib baik berlapik. Kalau tidak, tambah kerja malaikat Raqib kat atas bahu kiri aku.
            “Apa ni? Lepaslah!”
            Kelam-kabut Syamil meleraikan pegangan dan mengangkat kedua-dua tangan ke atas. Bibirnya menyeringai. “Sorry, tak sengaja. Saya sebenarnya…”
            “Apa?” tekan Orked.
            “Dah alang-alang awak kat sini, jomlah temankan tunang kesayangan awak ni. Tak payahlah pergi jauh-jauh.”
            “Huh, tak hingin saya temankan awak!”
            “Betul? So awak nak perempuan lain temankan saya, ke?” getus Syamil sambil menjeling ke sebelah kiri.
            Orked turut mengikut gerak matanya. Terpacak tidak jauh daripada mereka,  dua orang wanita yang sedang tersenyum-senyum. Eh, senyum pada Syamil? Serius, musykil sungguh aku. Apa yang dia orang pandang pada lelaki sengal ini? Nak kata bergaya? Hmm, dah namanya pereka fesyen, sah-sahlah bergaya. Nak kata kacak, bolehlah tahan. Tapi tetap tak boleh lawan Abang Am aku.
“Assalamualaikum dan selamat malam.”
Suara yang tiba-tiba berkumandang membuatkan Orked tercengang. Namun sesaat cuma kerana selepas itu dia menggelengkan kepala. Isy, aku ni dah gila gamaknya. Boleh pula terdengar-dengar suara Abang Am.
“Pertama sekali, terima kasih atas kehadiran…”
Kali ini kepala Orked tertoleh terus pada pentas di hadapan ballroom. Sedikit demi sedikit matanya membundar luas. ‘Aku. Tak. Gila.’
            Syamil yang perasan akan reaksi Orked mula mencebik. Huh, dah agak dah. Kalau dah dasar perempuan sejati, pasti terbelalak biji mata menyaksikan lelaki yang digelar ‘The most dashing, hottest eligible bachelor on Earth’ itu. Mentang-mentanglah mamat tu muda, kacak, kaya dan bergaya, aku yang kat sebelah ni…dia buat derk aje!
“Tutup sikit mulut awak tu. Tak payah terlopong sangat tengok si Amril Syahran tu,” sinis Syamil dengan rasa sebal dalam hati.
“Itu…itu Amril Syahran, kan? Saya…saya tak salah tengok, kan?” Tanpa mempedulikan kata-kata sinis Syamil, Orked menyoal sepatah demi sepatah.
“Kan saya dah cakap tadi. Awak tak dengar ke apa?”
“Apa dia buat kat atas tu?”
Syamil mengerutkan dahi. Pelik dengan soalan Orked yang dirasakan luar biasa. “Tengah terpacak atas pentas, bagi ucapan.”
“Kenapa?”
“Amril Syahran tu kan CEO baru Ivory. Sah-sahlah dia akan bagi ucapan.”
Sekali lagi mata Orked terbeliak besar. Jari telunjuknya terangkat sendiri ke arah jejaka yang masih berucap di atas podium. “Itu…CEO baru Ivory?”
“Hmm…” jawab Syamil, sekadar berbasi-basi. Menyampah sungguh dengan reaksi berlebih-lebihan Orked. Huh, stok perempuan pantang tengok lelaki kacak yang kaya raya rupanya minah ni.
“Itu?” Lagi Orked menekankan soalannya.
Ya Allah! Ingin saja Symil menjerit. Banyak pula dia tanya!
“Orked, kalau ya pun awak excited tengok dia, boleh tak awak jangan tunjuk sangat depan saya?”
Orked tersentak. “Mana…mana ada saya…”
“Mana ada apanya? Muka awak tu, sekejap-sekejap terbeliak, kemudian terlopong, kemudian terbeliak lagi sekali. Dah macam orang jakun tak pernah tengok lelaki handsome.”
            Berdesing telinga Orked. Terasa berasap. Apa?! Aku jakun tak pernah tengok lelaki handsome? Amboi, amboi mulut dia…memang nak kena tenyeh-tenyeh dengan cili api. Biar padan sikit muka tu!
            “Padahal encik tunang dia dah cukup handsome kut. Nak juga pandang lelaki lain…”
            “Dah? Sudah?” cantas Orked dengan kasar. Tangannya disilang ke dada. Matanya mencerun. “Sesuka hati awak aje, kan? Mengata saya?”
            “Eh, mana ada saya mengata. Saya cakap betul apa? Fakta. Kenyataan. Awak duk tengok mamat tu…” Syamil menjeling sesaat ke arah pentas. “Sedangkan tunang awak.” Syamil meletakkan telapak tangan ke atas dada dan menyengih. “Yang kacak bergaya ni dah ada depan mata awak.”
            Orked turut memasang sengih. Tetapi, sengihnya palsu semata-mata! Kemudian tanpa bicara dia membuka tas tangan dan mengeluarkan bedak kompak. Dibuka lalu dihulurkan pada lelaki di sisinya. “Nah.”
            “Apa?” Dengan lagak bingung, Syamil mengambil.
            “Manalah tahu kalau-kalau selama ni awak tengok cermin rosak. Saya bagi pinjam kat awak sekejap. Sebelum balik, pulangkan pada saya.” Usai memerli dengan cukup tenang, dan ditemani senyuman paling plastik, Orked memusing tubuh. Mahu meninggalkan encik tunang yang semakin kronik dengan penyakit perasannya.
            Syamil terpana sejenak sebelum mengukir senyum kecil. Mulutnya dibuka ingin memanggil cik tunang yang sudah mula menjauhi. Namun suaranya tiba-tiba sahaja ditenggelami suara lain.
“Orked…”
            Orked terpaku. Kakinya automatik sahaja terpegun dan terpateri terus pada lantai. 
“Orked Imani…” Suara macho itu bergema lagi, memenuhi segenap pelusuk ballroom.
Pada masa yang sama, Orked mula merasakan berpuluh-puluh mata yang bagai sehati sejiwa sahaja dialihkan tepat kepadanya. Lalu, membuatkan dia terkulat-kulat seperti orang bodoh di tengah-tengah khalayak ramai.
Lambat-lambat Orked memaling kembali tubuhnya. Pandangannya terus sahaja tertancap pada Syamil yang sedang merenungnya dengan pandangan curiga. Kening lelaki itu ternaik tinggi dengan maksud, ‘Awak kenal dia? Awak kenal Amril Syahran?!'
Oh, itu belum cukup gempak lagi, kerana selepas itu ada pula suara lain yang menyampuk.

            “Tunang sayang kenal Amril Syahran rupanya. Agak-agaknya apa hubungan dia orang?”

May 15, 2015

Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 19 & 20

10:05 PM 0

BAB 19

“ARGHH!!!”
            “Kau ni dah kenapa terlolong-lolong macam orang gila?”
            Misha merengus dan melempar tas tangan ke arah meja. Wajah sahabat merangkap salah seorang modelnya, Yana dikerling sekilas. Kasar dia melabuhkan punggung ke atas sofa, berhadapan dengan Yana dan menyandarkan tubuh. Nafasnya ditarik berkali-kali. Matanya ditutup.
“Tenang, Misha…tenang. Kau adalah Misha. Kau tak boleh hilang arah hanya kerana perempuan Viva buruk tu. Perempuan yang baru sahaja mengaku tunang kepada Syamil. Perempuan yang Syamil dah protect. Perempuan yang…” Misha membuka matanya kembali dan… “Arghhh! Geramnya aku!!!”
“Misha Edora! Kau ni dah kenapa? Aku datang sini untuk fitting, bukan tengok kau melalak-lalak,” marah Yana seraya menyilangkan tangan ke dada.
“Aku nak bunuh perempuan tu.”
Yana mengerutkan dahi. “Siapa?”
“Perempuan Viva buruk.”
“Hah? Apa jenis nama yang dah kau bagi kat dia?”
“Nama yang memang padan dengan dialah.” Dengan bibir yang mencemik, Misha menjawab. Penuh sinis suaranya.
“Apa yang dia dah buat?”
“Apa dia dah buat? Dia dah rampas Syamil daripada aku, kau tahu tak?” Separuh menengking, Misha membalas. Air mukanya tegang sekali. Dadanya pula turun naik dengan emosi yang membuak-buak.
“Bukan ke kau orang memang dah break up?” Yana menyoal kembali dengan lagak keanehan. Baru dua minggu lepas dia dimaklumkan dengan berita perpisahan Misha dan Syamil. Saat itu tidak ada pula dia melihat Misha bersedih, marah-marah atau melolong-lolong. Bahkan gadis itu kelihatan selamba sahaja, bagai tidak terkesan langsung dengan perpisahan itu. Kata Misha…
“Ala, kita tengoklah. Berapa lama Syamil boleh marahkan aku. Mesti dia akan maafkan aku nanti. I mean…aku ni Misha Edora, okey! Lelaki mana yang boleh dump aku?”
Ya, itulah butir bicara Misha tempoh hari. Dengan tahap keyakinan yang cukup tinggi. Sebab itulah Misha tidak langsung cuba menghubungi atau merayu pada Syamil.
“Kau dengar sini, ya. Tak ada siapa pun boleh dump aku. Kalau aku break up, aku yang tinggalkan orang. Bukan vice versa. Macam yang aku dah buat pada Datuk M.” Suara Misha pantas mematikan lamunan Yana.
“Kau dah tinggalkan Datuk M?” Separuh terkejut Yana mendengarkan berita terbaru daripada Misha.
“Yalah. What do you expect? Kalau aku nak pastikan Syamil datang balik pada aku, mestilah aku kena tinggalkan dia.”
“Kenapa kau nak sangat dia balik pada kau? Kalau difikirkan, Datuk M lagi masyuk kut. Poket tebal. Syamil tu apa yang ada? Dia dengan kau lebih kurang aje. Kau…kalau nak cari lelaki, baik cari yang LAGI kaya daripada kau. Senang hidup.”
“Kan aku dah cakap, sebab aku takkan kena dump. I do the dumping, not the other way round. Dia tu siapa, nak dump…dump aku?!” Penuh beremosi Misha meluahkan rasa. Huh, geram sungguh dia memikirkan saat-saat Syamil memutuskan hubungan tempoh hari. Dan lagi geram dia kala terpaksa menebalkan kulit muka menegur dan bersayang-sayang dengan Syamil sebentar tadi. Kalau diikutkan hatinya, dia memang tidak ingin untuk berbuat begitu.
Tahap kegeramannya jadi hampir meletup saat perempuan Viva buruk itu tiba-tiba dikenalkan sebagai tunang Syamil. What?! Berani lelaki itu bertunang dengan perempuan lain? Hanya selepas dua  minggu ‘perpisahan’ mereka? Huh, entah-entah mereka berdua sudah pun menjalin hubungan sulit waktu dia dan Syamil masih bersama. Dan kemalangan itu cuma lakonan semata-mata. Iya, siapa tahu, kan? Apa-apa pun boleh jadi dalam dunia ini. Ah, dia sudah tidak peduli tentang itu semua. Apa yang dia tahu sekarang adalah…
‘Aku ni Misha Edora. Dan Misha Edora takkan biarkan orang lain rampas apa yang jadi hak milik aku sewenang-wenangnya.’
*****
“DIA tak nak!”
            Elina mencabut fon telinga dan memanggung kepala pada Orked yang tiba-tiba sahaja tersembul di muka pintu biliknya. Haish, dia ni…suka sangat muncul kat rumah aku tiba-tiba. “Tak nak apa?”
            “Tak nak putuskan pertunangan ni. Kau dengar tak, dia tak nak putuskan!” bentak Orked lagi sambil ke hulur hilir dengan tangan yang tergawang-gawang “Aku punyalah beriya-iya cakap dengan dia, alih-alih…kau tahu apa dia cakap?”
            “Apa?”
            “Nope. Boleh kau bayangkan? Sepatah itu aje yang dia cakap. Nope!”
            “Dah dia memang tak nak putuskan pertunangan ni, haruslah dia cakap ‘nope’, takkanlah nak cakap ‘yup’, kut?” Elina memusing kerusinya dan menghadap Orked yang kini melabuhkan punggung di atas katil. “Dan lagi satu, betullah tu apa yang dia buat. Elok-elok kau orang bertunang, takkanlah nak putus kut.”
“Elok kau cakap? Tang mana yang elok tu? Habaq mai sikit? In case kau dah lupa, aku dengan dia ditunangkan sebab family. Kena paksa, okey?”
“Correction! Seingat akulah, kau sendiri yang mintak parents kau carikan calon.”
Orked menjegil mata. “Perlu ke kau ungkit saat-saat kebodohan dan kesengalan aku tu?”
“Perlu. So that, kau tak buat adegan bodoh lagi sekali dan pergi paksa dia putuskan pertunangan kau orang berdua.” Selamba jawapan Elina. Sahabat yang sudah pun menayangkan muka tidak berpuas hati dipandang tanpa rasa.
“Bodoh apanya? Aku akan jadi lebih bodoh kalau aku teruskan semua ni. I mean, aku. Dia. Tunang. And then, husband and wife? Ewwww. Serius! Aku tak faham betullah. Kenapa dia berdegil sangat nak teruskan pertunangan ni? Padahal kita orang sama-sama tak ada perasaan pun.” Merah padam muka Orked menghamburkan rasa tak puas hatinya.
“Ya ke?”
“Apa yang ya ke?”
“Ya ke tak ada perasaan?”
Semerta Orked mengerunyutkan dahi. “Maksud kau?”
            Elina mengangkat punggung dan lambat-lambat menghampiri sahabatnya. Usai selamat duduk di sebelah Orked, bahu gadis itu ditarik rapat sebelum dia berbisik. “Entah-entah dia sukakan kau…”
Buntang mata Orked. Tubuh Elina ditolak lebih jauh. “Huh, tak ada maknanya! Mustahil.”
Meledak tawa Elina.
“Elina! Aku serius ni!”
Cepat-cepat Elina mematikan tawa dan mengangkat kedua-dua belah tangan ke atas. “Okey, okey…fine, aku faham. Tapi kan, Orked…”
“Apa dia?” sela Orked kembali dengan gaya memberontak. Masih diulit rasa geram pada sahabat sendiri yang enak-enak mentertawakan dia yang kini seperti berada dalam keadaan hidup mati. Ya, ini life-death situation, tahu tak?
“Kenapa kau nak dia putuskan pertunangan ni? Kenapa bukan kau aje yang buat macam tu? Kan senang. Tak payah nak peningkan kepala segala.”
            “Kau gila? Kalau aku yang putuskan pertunangan ni, akulah yang rugi.”
            “Maksud kau?” Elina menyoal kembali dengan dahi yang berkerut.
            Terlepas keluhan dari mulut Orked. “Yalah, adat melayu kita kan bila pihak perempuan yang putuskan pertunangan, perempuan tu kena bayar ganti rugi dua kali ganda pada pihak lelaki. Tapi, kalau lelaki yang putuskan, dia tak payah bayar ganti rugi macam tu.”
            Elina mengetuk dahi. “Oh, ya tak ya juga. Aku terlupa pula. So sebab tulah…”
            “Yup. Dan aku…” Orked membuka beg sandangnya dan mengeluarkan sebuah buku nota kecil. Buku tersebut dibelek-belek sebelum sampai ke muka surat yang diingini. Kemudian dia menayangkannya kepada Elina. “Dah siap buat siasatan dan anggaran. Kos pihak sana untuk majlis hari tu adalah dua puluh lima ribu. Kalau aku kena bayar dua kali ganda…”
            “Lima puluh ribu,” cantas Elina seraya menyambar buku nota tersebut dengan rasa terkejut. Namun bukanlah disebabkan oleh harga yang baru sahaja disebut, tetapi kerana rasa terujanya terhadap tindakan Orked. Gempak betul kawan aku ni! Siap buat anggaran segala.
            “Tahu tak apa! Punyalah mahal. Dengan duit sebanyak tu, macam-macam aku boleh buat. Aku boleh pergi tour around Europe sampai lima kali, aku boleh berpuluh kali panjat Gunung Kinabalu, kau tahu tak? So, takkanlah sesenang itu saja aku nak bagi duit pada dia? Memang taklah!” Tanpa henti Orked membebel.
“Hah, aku rasa kan…sebab inilah, si Syamil sengaja bagi hantaran mahal-mahal hari tu. Dia tahu aku mesti nak putuskan hubungan ni dan dia sengaja nak jerat aku. Dahlah tak nak inform aku awal-awal yang dia adalah bakal tunang aku sebelum majlis berlangsung. Nak main-main secret konon. Padahal dia memang sengaja nak jerat aku,” sambung Orked lagi, meneka dengan wajah yang penuh keyakinan. Kepalanya dianggukkan berkali-kali.
            Terbit senyuman lebar di bibir Elina. Hatinya terasa dicuit-cuit kala melihat keadaan sahabatnya yang seorang ini. Sungguh! Orked Imani sangatlah sukar dijangka. Unpredictable!
‘Hmm, Encik Syamil Imran…habislah awak. Mesti pening kepala nak layan dia ni. Aku sangat-sangat tak sabar nak tengok! Mesti menarik.’ Sempat Elina berkata-kata dalam hati.
“Kau ni aku tengok, dah macam Nancy Drew. Macam-macam kau fikir. Lepas ni kau nak siasat apa pula?” suara Elina, sekadar berbasi-basi. Kalau tidak dilayan karenah minah seorang ini, mahunya Orked merajuk dengannya selama seminggu. Bukan dia tidak kenal sahabat baiknya ini. Walaupun selalu ganas dan selamba, Orked juga manja dengan orang-orang yang rapat dengannya.
            Orked menyengap buat seketika. Otaknya ligat berfikir tentang segala macam idea yang mungkin boleh digunakan dalam operasi ‘Buat Encik Sayang putuskan pertunangan ini’.
“Aku nak tahu apa yang dia suka, apa yang dia tak suka.”
            “Kata tadi tak ada perasaan, kenapa pula nak tahu itu semua?”
            “Excuse me, ini tak ada kena mengena dengan perasaan, okey? Aku nak tahu sebab aku nak jadikan semua tu sebagai senjata aku. Kalau nak kalahkan musuh, kenalah kenal musuh tu dulu, kan?”
            Musuh? Elina menggelengkan kepala. Adakah patut tunang sendiri dikatakan musuh? Hati-hati, Orked. Kata orang jangan bermusuh, jangan membenci. Kerana mungkin orang yang dibenci itu adalah orang yang ditentukan untuk kamu. Getus suara hati kecil Elina.
“So macam mana kau nak tahu apa yang dia suka dan apa yang dia tak suka?” tanya Elina pada Orked yang hanya memandang wajahnya. Dan kemudian sedikit demi sedikit gadis itu menayangkan sengih. Oh, tidak! Senyuman nakal Orked Imani sudah muncul!
*****
SYAMIL meneguk air suam dari gelas yang dipegang sambil menjatuhkan duduk di meja tulis. Kemudian dia membuka laci meja. Sebuah buku nota ditarik keluar dan dibelek-belek sebelum dia akhirnya mengambil sebatang pen. Dia memandang kosong ke hadapan dan berfikir sejenak. Sedikit demi sedikit bibirnya membentuk senyum sebelum dia kembali memandang muka surat kosong dan mula mencatit sesuatu.
            Beberapa minit berlalu. Setelah berpuas hati dengan hasil tulisan sendiri, Syamil membacanya sekali imbas. Kemudian dia bangkit dari kerusi dan menuju ke arah katil. Selimut ditarik, tubuh dilitupi dan dia akhirnya mengatup mata perlahan-lahan. Selamat malam, dunia.
            Dari meja tulisnya, kelihatan buku nota yang tidak tertutup bersama satu muka surat yang tertulis…
            ‘Counter-attack list: Kemungkinan-kemungkinan perkara yang bakal dibuat oleh Miss Sweetheart dan cara untuk melawan balik.’

*****

BAB 20

GADIS manis di hadapan mata yang sedang khusyuk menikmati cool blog berperisa honey dew smoothies dipandang lama. Aduh, adik sayang…berapa lama lagi nak minum benda alah tu?
            “Err, Fiya…”
            “Akak memang betul-betul dah angau dengan abang saya, ya?”
            Hampir tersedak Orked mendengarkan soalan yang sekonyong-konyong keluar dari mulut Safiya. Angau? Aku angau dengan Syamil? Dengan Encik Sayang tu? Gila! Memang taklah!
            “Yalah, beriya-iya sungguh akak mintak senarai apa yang Angah suka, apa yang dia tak suka, apa yang dia allergic, hobi segala. Wah! Mantap sungguh akak ni, kan? Tengah buat preparation untuk jadi isteri mithali untuk Angah, ya?”
            Terasa air liur yang mula melekat di celah kerongkong. Pipi pula makin membahang. Telinga panas. Sekarang baru dia tahu kenapa perangai Syamil begitu. Rasanya perangai pelik, selamba dan entah apa-apa itu sememangnya mengalir dalam darah mereka adik beradik. Jika tidak, takkanlah Safiya boleh membuat konklusi yang sebegitu rupa?
            Sedaya-upaya Orked menenangkan jiwa dan mengulum senyum palsu.
“Err, biasalah Fiya. Kita orang ni, kan baru kenal. So, kenalah ada effort untuk mengenali each other dengan lebih lanjut.’
            Oh, God! Nak muntah dia dengan kata-kata sendiri. Kalau tidak difikirkan rancangannya yang mungkin gagal jika dia berterus-terang pada Safiya, tidak hingin untuk dia berkata begitu. Iyalah, hanya orang gila sahaja yang akan mengatakan bahawa ‘saya nak tahu semua itu sebab saya dalam usaha untuk buat tunang saya sendiri putuskan pertunangan ini.’
            “Ini kalau Angah tahu, mesti dia bangga.”
            “Jangan!” Laju dan hampir terjerit Orked.
            Bulat mata Safiya. Terkejut dengan reaksi bakal kakak iparnya.
            “Err….” Orked menyeringai dan menggaru kepala yang tidak gatal. “Akak tak nak abang Fiya tu tahu. Yalah, kalau tak…malu akak.”
            Safiya mengangkat sebelah kening. Cuba menayangkan wajah curiga.
            “Akak…akak…” Orked mula menggelabah. Aduh, nak bagi alasan apa ni? “Yes, akak nak bagi surprise pada dia. So please…Fiya jangan bagitahu dia apa-apa.”
            “Oh, akak ni sweet sangatlah. Tak padan dengan abang Fiya tu…” Safiya tertawa di hujung bicara. Selendang yang melilit-lilit kepala dibetulkan sedikit.
            Menyelinap masuk rasa teruja dalam hati Orked. Yes! Inilah masanya untuk dia mengorek segala macam cerita tentang Syamil. Dan yang pastinya cerita-cerita tersebut bakal menjadi senjata rahsianya.
            “Kenapa dengan dia?” Dengan lagak tidak bersalah dan tidak punya apa-apa niat tersirat, Orked menyoal.
            “Kalau akak nak tahu, Angah tu….”
*****
“MELATI!”
            Melati yang sedang berjalan menuju ke arah bas sekolah berpaling. Hampir tersembul matanya melihat wajah seorang lelaki yang elok bersandar pada sebuah Myvi hitam.
            “Abang Syamil! Apa yang abang buat kat sini?” tanya Melati.
            Syamil membetulkan gaya berdirinya dan tersenyum lebar. “Abang baru balik jumpa klien. Kebetulan pula lalu sini. Jomlah, abang hantar Melati balik rumah.”
            Serta-merta Melati mematikan langkah.
            “Kenapa?” Pantas Syamil menyoal.
            “Don’t talk to strangers and don’t follow strangers,” ucap Melati dengan muka yang sengaja dibuat serius.
“This stranger is one handsome, attractive, bombastic stranger. Still tak nak ikut ke?” Bersahaja Syamil menjawab, melayan permainan bakal adik iparnya.
“Ewww, perasan!!!” jerit Melati.
            Terhambur tawa Syamil. Tingkah Melati mencuit-cuit hujung hati. Aduh, sebijik sama dengan perangai kakaknya.
            Melati turut tergelak. “Okeylah, bang. Tak naklah main-main lagi. Jomlah!”
            “Jom ke mana?”
            Terkaku tangan Melati yang baru sahaja ingin membuka pintu kereta. Sebelah mukanya dipalingkan. “Kata tadi nak hantar Melati ke rumah.”
            Syamil mengetuk dahi. “Terlupa pula. Tapi…”
            “Tapi…”
            “Tapi sebelum itu, handsome stranger ni nak kidnap Melati dulu.”
*****
“OOOOOH…” Panjang suara Melati. “So…” Kedua-dua tangan disilang ke dada. Sepasang matanya dikecilkan pada sang jejaka yang elok duduk di hadapannya.
            Dengan rasa serba salah dan tidak selesa, Syamil menegakkan duduk. Berdebar semacam pula hatinya saat ini. Mengalahkan berdepan dengan Uncle Roslan tempoh hari. Terasa diri diperhatikan dan dibaca lalu menghamparkan segala macam rahsia diri.
            “What’s in it for me?”
            “Hah?” Bingung sekali Syamil mendengarkan soalan Melati.
            Penuh ketenangan Melati membetulkan cermin mata bingkai hitam yang elok terletak di atas hidung. “Macam ni, Encik Syamil Imran. Saya tak boleh sesenang itu saja bagi informasi tentang kakak kesayangan saya tanpa dapat apa-apa balasan, kan? You know, I’m risking myself here. Kalau encik tahu, apa yang akan dia buat pada saya…”
            “So what do you want?” sampuk Syamil. Satu perkara yang dia mula mengerti tentang Melati adalah…budak yang seorang ini suka bermain. Sekarang, rasanya dia sedang berangan jadi macam detektif dalam cerita CSI atau NCIS mungkin. Okey, tak apa. Syamil Imran pun akan turut serta dalam permainan ini.
            “Hmmm…” Melati menggaru bawah dagu. “Lima ringgit untuk setiap satu info.”
“Melati ni memang pandai buat duit, kan?” tukas Syamil.
Tersungging senyum di hujung bibir Melati. Suara Abang Syamil yang memerli tidak diendahkan. Ah, buat apa diambil peduli? Yang paling penting sekarang adalah duit yang bakal diperoleh. Bermacam-macam yang boleh dia buat dengan duit tersebut. Matanya sudah pun membayangkan album terbaru EXO.
“So, nak ke tak nak?”
“Seringgit.” Syamil mula tawar-menawar.
Melopong mulut Melati. “Kedekut! Sama aje dengan kakak. Tangkai jering!”
“Maybe sebab tu kita orang sesuai untuk each other,” balas Syamil dengan riak muka selamba.
Melati merengus menyampah. “Empat ringgit.”
“Seringgit!”
“No! Empat!”
“Dua.”
“Huh, tiga. Take it or leave it.” Melati menurunkan harga dengan air muka serius. Sengaja mahu menunjukkan keutuhan diri walaupun dalam hati, dia agak kerisauan kalau-kalau abang Syamil tidak termakan kata-katanya dan mengambil keputusan untuk membatalkan niat mahu mengambil tahu tentang kak Orked. Aduh, jika itu benar-benar berlaku, habislah peluangnya untuk membuat duit.
Syamil mendiamkan diri dan mencerlung tajam pada wajah Melati yang keresahan. Eleh, macamlah dia tidak boleh membaca air muka budak kecil ni. Pasti-pasti sahaja Melati takut kalau-kalau dia tidak jadi meneruskan rancangannya.
“Abang rasa….”
Bebola mata Melati semakin membesar. Jantungnya bedegup kuat. Tolong jangan bilang…
“Abang tak jadi…”
“Okey…okey! Dua ringgit! Last price!” Cepat-cepat Melati memangkas.
Lebar senyuman Syamil. Keningnya diangkat tinggi pada Melati yang mencebik. Alahai, dua beradik ni memang comel!
“So, apa abang nak tahu pasal kakak?”
*****
HAMPIR terkeluar biji mata Orked saat menatap wajah manusia yang muncul dari sebalik pintu masuk butiknya.
            “Syamil!”
            Syamil yang baru sahaja menapak masuk menghentikan langkah dan menoleh sekilas. “Aik, dah tak nak panggil Encik Sayang ke?”
            “Apa awak buat kat sini?” Tanpa mempedulikan soalan Syamil sebentar tadi, Orked menebak dengan soalan.
            “Saja nak lawat tunang sendiri. Takkan tak boleh kut?” Satu per satu tapak kakinya diambil sebelum Syamil akhirnya melabuhkan duduk di atas sofa yang memang tersedia di ruang tengah butik. “Nah, untuk awak.”
            Terkebil-kebil Orked menyambut bungkusan yang dihulurkan oleh Syamil. Rasa terkejut masih lagi tersisa dalam diri. Sungguh dia tidak menduga sama sekali bahawa tunang-bukan-kesayangannya ini akan terpacak di sini.
            “Tiramisu and hot caramel macchiato.”
            Suara Syamil menyapa gegendang telinga Orked lantas membuatkan mulutnya terlopong. Itu adalah kek dan kopi kegemarannya.
            “Saya tahulah awak terharu, tapi tak perlulah melopong macam tu sekali. Masuk lalat nanti.”
            Cepat-cepat Orked mengatup mulut dan menjeling tajam pada Syamil. Amboi, sesedap rasa dia aje menyindir. Mulut tak ada insurans langsung!
            “Mana awak tahu…”
            “Yang itu adalah favourite awak? Ala, apa yang peliknya? Awak kan tunang dan bakal isteri saya, wajiblah saya tahu.” Selamba jawapan Syamil.
            Orked mencebik.
“Apa awak buat kat sini?” Kasar Orked mengulangi soalannya tadi.
            “Nak redakan kerinduan awak pada saya.”
            Bagaikan tergolek jatuh jantung Orked mendengarkan jawapan Syamil yang berunsurkan sifat perasan yang setinggi Gunung Everest. Rasanya manusia yang seorang ini memang layak untuk memenangi anugerah ‘Manusia paling perasan di planet Bumi’.
            “Awak jangan mengarut, boleh tak? Saya tak ada masa nak layah karenah awak ni. Saya ada banyak kerja, tahu tak? Bukan macam awak yang…” Orked menjatuhkan punggung di hadapan Syamil dan melihat jam di pergelangan tangan. “Waktu-waktu macam ni, boleh pula tercegat kat sini.”
            “Saya jumpa klien tadi. Alang-alang dah lalu sini, saya singgahlah. Isy, takkanlah tak boleh jenguk tunang kesayangan saya kut?” balas Syamil sambil matanya tepat pada Orked yang sedang membuka kotak Secret Recipe. Hujung bibirnya menyimpul senyum. ‘Kata menyampah dengan aku, tapi semangat aje buka kek yang aku bawa.’
            Terkaku tangan Orked. Hatinya mula berdegup laju. Bulu romanya menegak tinggi. Perkataan ‘kesayangan’ yang terluah oleh bibir Syamil bagaikan menghadirkan rasa lain macam dalam hati.
‘Oh, tidak! Jangan fikir bukan-bukan.’ Cepat-cepat Orked menempelak diri sendiri.
“Kalau setakat nak kacau saya, baik tak payah!” gumam Orked sambil menghirup caramel macchiato. Hampir terpejam matanya menikmati kopi kegemaran. Kemudian dia menyandarkan belakang ke sofa. Rasa letih yang menyelubungi diri terasa makin kurang.
Sungguh hari ini merupakan hari yang sangat meletihkan baginya. Setelah menemui Safiya tadi, dia terpaksa membuat pemeriksaan stok, membalas emel, melayan pelanggan dan bermacam-macam lagi. Ini semua gara-gara Ainul, pekerja mereka yang tiba-tiba terpaksa mengambil cuti kecemasan. Mahu meminta pertolongan Elina, rasanya sudah acap kali sahabatnya itu membantu. Lagipun, tidak mahulah dia kalau-kalau Elina lambat menghantar manuskrip disebabkan oleh dia.
Lunak renungan mata Syamil pada Orked yang jelas keletihan. Sedikit demi sedikit menyelinap masuk rasa kasihan, ingin membantu dan mungkin juga rasa…ingin melindungi Orked? Entahlah, melihat Orked begitu, Syamil turut berasa lelah.
“Awak…”
“Hmmm…” sahut Orked, masih dengan mata yang terpejam.
“Awak seorang saja? Mak awak dengan pekerja awak mana?”
“Emak pergi bank, ada hal nak kena uruskan. Si Ainul tu pula cuti. Emergency, katanya.”
Perlahan-lahan Syamil menanggalkan jaket di tubuh dan merewangkan pandangan mata pada keadaan butik yang sedikit berselerak. Kalau begini gayanya, besar kemungkinan pelanggan dan bakal pembeli akan melarikan diri.
“Kalau macam tu…”
Orked membuka matanya kembali dan menyoal dengan kening yang terjongket.
“Apa yang boleh saya bantu?”
“Hah?” Pelik Orked dengan soalan tiba-tiba encik tunang. Tubuh yang tersandar spontan bangkit sendiri.
“Encik Sayang awak yang baik hati ini sedang offer pertolongan untuk awak. Apa yang patut saya buat untuk ringankan kerja awak?”
“Awak nak tolong saya?!” Hampir ternaik suara Orked kala bertanya, mahu memastikan sama ada dia tidak salah mendengar atau dia sedang bermimpi.
“Taklah. Saya nak bagi kerja lebih kat awak,” perli Syamil. “Yalah, saya nak tolonglah. Awak ingat senang saya nak offer macam ni?”
“Kenapa?” Orked bertanya lagi. Wajahnya penuh dengan riak syak wasangka. Syamil ini, bukan boleh dibuat kira. Banyak sangat karenah dan helahnya. Nanti tidak pasal-pasal pula tergadai tubuh. Isy, minta dijauhkan sama sekali!
“Kenapa apa?” Syamil bermain soalan. Aduh, minah seorang ini. Orang dah baik hati nak buat amal jariah pada dia, boleh pula dia banyak songeh!
“Kenapa awak nak tolong saya?”
“Sebab saya nak buat awak jatuh cinta pada saya.”
Jawapan di luar jangkaan Syamil membuatkan Orked laju sahaja mengangkat anak mata tepat ke muka lelaki itu. Zup! Ternyata itu adalah suatu perkiraan dan tindakan yang salah, kerana Syamil sedang elok menetapkan renungan padanya. Suasana terasa hening buat seketika. Terkelip-kelip mata Orked melawan sabung dengan sepasang mata Syamil yang kelihatan lembut dan lunak. Ikhlas sekali!
“Dah ke?”
Diam. Pegun. Orked kejung di tempatnya duduk. Suara Syamil yang sayup-sayup tidak diendahkan.
“Orked Imani…Miss Sweetheart...”
Seruan Syamil masih tidak diambil peduli.
“Sweetheart!!!”
“Hah?” Terkejut Orked. Bulat matanya memandang Syamil yang sedang menyeringai.
“Dah, ya?”
“Dah apa?” tanya Orked kembali. Bingung.
“Dah jatuh cinta pada saya. Itu yang lama sangat tengok muka handsome saya, kan?” Syamil menjawab dengan diakhiri suatu kenyitan di ekor mata.
            Orked ternganga besar. Ya Allah! Mamat ni memang perasan!!!

~Bersambung...~