May 25, 2015

Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 21 & 22


BAB 21

PESANAN dalam talian yang terpampang di skrin komputer diperhati dan dilayan satu per satu. Sesekali Orked menjeling pada Syamil yang sedang menyangkut pakaian di besi-besi penyangkut yang memang tersedia. Kemudian lelaki itu akan hilang ke dalam stor sebelum kembali menyusun dan mengemas, mengikut arahan yang telah diberikan sebentar tadi. Ya, susunan haruslah berdasarkan jenis pakaian, material dan kod nama yang telah tercipta. Semuanya perlu sempurna kerana dia dan emak memang tidak gemar kalau segala-galanya bercampur baur. Akan menyusahkan di kemudian hari nanti.
            ‘Hmmm, baik juga dia ni sanggup tolong aku. Kalau tak…’ Sesaat hati Orked memuji.  Tetapi dalam hati sahajalah. Mahu memuji secara terang-terangan? Memang mustahil! Kalau dibuat juga, pasti sekali tahap perasan Syamil akan melonjak tinggi.
            “Aik, tak habis lagi ke tengok saya?” Sekonyong-konyong suara Syamil menerjah cuping telinga.
            “Hah?” Orked tersentak.
            “Siap menopang dagu pula tu.”
            Menyebu darah panas ke muka Orked sebelum dia cepat-cepat membetulkan duduk tangannya dan kembali mengalihkan bebola mata kepada skrin komputer. Ya Allah! Macam manalah dia boleh tidak sedar bahawa dia sedang menopang dagu sambil memerhatikan gerak laku Syamil? Aduh, ingin sekali dia mengetuk kepala. Manalah tahu kalau-kalau boleh membetulkan mana-mana urat di dalam otak yang menjadi penyebab utama kepada sesi Orked Imani memalukan diri sendiri.
Syamil tertawa kecil dan menyambung kerja. Dibiarkan sahaja Orked dengan muka merah padamnya. Itulah, siapa suruh jatuh cinta pada kekacakan aku?
            Kring!
            Laju dan pantas sekali Orked bangkit dari kerusi kala bunyi loceng pintu bergema. Yes! Ada penyelamat. Kalau tak, macam mana nak tahan malu ni?
            “Welcome. Masuklah…” Dengan penuh bersemangat Orked melayan tiga orang gadis yang muncul. Syamil yang masih mengemas dibuat-buat tidak nampak.
            “Pilihlah mana yang berkenan.”
            “Yang itu…boleh tak, akak?” Salah seorang pelanggannya mengunjukkan tangan ke suatu sudut.
            Orked menggerakkan bebola mata pada arah tuju jari telunjuk berkenaan dan…
            “Hah?” Buntang matanya saat perasan bahawa tangan itu tertala pada Syamil. Ya, pada encik tunangnya, pada Encik Sayang yang kelihatan tidak mendengar dan perasan tentang kejadian yang sedang berlaku ini.
            Tanpa semena-mena tiga gadis berkenaan ketawa.  
            “Isy, kau ni gatal!” - Gadis 1
            “Handsome kan tu?” - Gadis 2
            “Agak-agak dah ada girlfriend tak?” - Gadis 3
            Orked mengetap bibir. Amboi…amboi, nak beli baju ke nak menggatal kat sini? Sedikit demi sedikit Orked menggerakkan tubuh ke hadapan mereka lalu menutup pandangan mata mereka terhadap Syamil. Dengan senyuman plastic, Orked bersuara. “Ada apa-apa saya boleh bantu? Kami ada banyak design baru, but that one is not a new designed item. He’s definitely not for sale.”
            Lagi tiga gadis menghamburkan tawa. “Akak ni pandai buat lawaklah.”
            Orked turut tergelak. Tetapi hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa palsunya tawa itu. Dalam hati dia berkata-kata…
            ‘Mujur kau orang ni customer aku. Kalau tak, memang dah kena. Nak menggedik dengan tunang aku pula!’
*****
“HELO, ORKED.”
            “Abang Am? Abang kat mana ni? Dah balik ke?” Girang Orked menjawab panggilan telefon daripada Amril. Emel yang sedang dibalas dibiarkan seketika. Perhatiannya lebih ditalakan pada sang pemilik suara di sebelah sana.
            “Dah. Abang sampai pagi tadi. So how’s my Orked? Dua minggu tak jumpa, rindukan abang tak?” Suara gemersik Amril diakhiri tawa manis.
            Pertanyaan Amril membuatkan Orked terkemap sesaat. Rindu? Rindukah dia pada Amril? Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidupnya. Dan sejujurnya, tidak sempat langsung untuk dia memikirkan soal Amril. Kalau tidak Amril yang tiba-tiba menelefon, pasti dia tidak teringat langsung akan lelaki itu dan pemergiannya ke luar negara sejak dua  minggu lalu.
            “Orked…”
Perlahan-lahan Orked meletakkan telapak tangan ke atas dada. Terasa debaran di situ, tetapi getarannya biasa sahaja. Tiada apa-apa yang istimewa, bukan seperti dahulu.
            “Orked, are you there?”
            “Ya...ya, I’m here.” Tergugup-gagap Orked menjawab.
            “Orked tengah busy ke sekarang?” Nada suara Amril berbaur rasa ambil berat.
            Pertanyaan Amril membuatkan Orked mengalihkan pandangan ke luar pejabat lantas tertancap pada Syamil yang masih setia membantu.
            “Hmm, bolehlah tahan.”
            “Then, I’ll just go straight to the point.”
            Orked mengerutkan dahi, agak tertanya-tanya. Apa pula yang hendak dikatakan oleh Amril?
            “Abang nak jemput Orked datang ke satu event ni. Ramai orang dari industri fesyen akan ada kat situ. It’ll be good for you and Amour.”
            “Bila?”
            “Lagi dua hari.”
            Benak Orked mula berputar ligat. Kalau sudah bagus untuk Amour, rasanya tidak patut dia menolak peluang ini. Lagipun, jika ditolak pasti-pasti sahaja dia akan dibunuh oleh emak. Ya, bukan dia tidak kenal ibunya itu. Puan Jasmin tidak akan sesekali melempar apa-apa peluang yang baik untuk perniagaannya.
            “Orked tanya emak dulu. Tapi rasanya boleh kut.”
            “Great! Nanti abang akan whatsapp details pada Orked.”
            “Okey. See you, abang.”
            “See you.”
*****
“SEBAGAI bayaran atas pertolongan saya tadi….”
            “Nak kena bayar pula?” Hampir meninggi nada suara Orked. Matanya dialihkan daripada komputer dan melekat tepat pada Syamil yang sudah pun menjatuhkan duduk bertentangan dengannya.
            “Miss Sweetheart darling…tak ada benda yang free dalam dunia ni, tau. So, mestilah kena bayar.”
            “Tapi ada saya suruh awak tolong saya tadi? Tak ada, kan?” bangkang Orked, bernada tidak puas hati.
            Syamil tidak segera membalas sebaliknya dia menganggukkan kepala beberapa kali dengan wajah yang cukup serius. “Sekarang barulah saya tahu perangai awak macam ni rupanya.”
            “Macam apa?” Berkerunyut dahi Orked.
            “Kejam. Zalim. Kuku besi. Dah kerah tenaga orang, lepas tu tak nak bayar pula.” Laju dan bersahaja Syamil mengutuk tunang sendiri. Riak wajah Orked yang semakin berubah dengan setiap patah kata itu dipandang tanpa rasa.
            Orked merengus sekuat mungkin. Manusia yang seorang ini memang menyebalkan sungguh!
“Okay, fine! Apa awak nak?”
“Be my date.”
“Hah?”
            “Macam ni. Lusa malam saya ada event nak attend. So…”
            “Awak nak saya temankan?” teka Orked.
            “Yup, saya nak awak temankan Encik Sayang awak yang kacak ni. Mesti awak akan rasa bangga nanti, bila semua perempuan kat sana tengok awak dengan muka jealous.”
            Tanpa secalit perasaan dan dengan muka kosong, Orked memandang Syamil yang sedang melaksanakan hobi suka perasannya. Dia ni, kalau tak perasan…memang tak sah kut!
            “Lusa, ya?” Orked berfikir sejenak. Sedikit demi sedikit matanya membundar dengan rasa lega dan gembira yang bercampur baur. Yes!! Nasib baik Abang Am dah booked aku tadi.
“Alah, sorry. Awak dah terlambat. Saya ada hal.”
            Syamil mendiamkan diri buat seketika sebelum mengecilkan mata dengan penuh syak wasangka. “Ya ke?”
            Eh, eh dia ni! Tak percaya pula?
            “Kenapa? Awak ingat saya bohong?”
            “Well, manalah tahu. Kalau-kalau awak tak sudi keluar dengan Encik Sayang, encik tunang awak ni.”
            ‘Huh, tahu tak apa! Memang aku tak hingin pun!’ gerutu Orked dalam hati.
            “Anyway, awak ada hal apa? Malam-malam pula tu?”
Nada suara Syamil mula kedengaran jauh semacam. Riak wajahnya turut terpalit dengan unsur-unsur…menyibuk? Amboi, amboi ini sudah melampau namanya. Belum apa-apa, belum jadi laki bini dah nak menyibuk dengan hal aku?
“Saturday night. Big city. Time to release stress. Jadi awak rasa apa yang saya buat?” Orked menayangkan senyum palsu. Matanya sengaja dikelip-kelipkan.
Berubah air muka Syamil. “So awak nak cakap yang selama ni...”
“Ya, saya…apa? Cuba sambung ayat.” Dengan lagak selamba Orked memberikan ‘semangat’ untuk Syamil menyudahkan kata.
“Awak…awak…pergi tengok firefly kat Kuala Selangor?”
Hah? Terlopong luas mulut Orked. Ya Allah! Mana pula datangnya firefly?
Berderai tawa Syamil. Perutnya ditekan-tekan, cuba menahan rasa geli hati kala melihat reaksi tunangnya.
“Miss Sweetheart...Miss Sweetheart, saya kenal awak. Tak perlulah awak nak berlakon konon-konon pergi clubbing ke apa ke. I know you’re not that type of person.”
Bibir Orked membentuk cebikan.
“Mana awak tahu? Entah-entah saya sebenarnya berlakon aje pakai tudung, baju muslimah segala macam ni. Padahal malam-malam bertukar rupa, pakai tube and hot pants, lepas tu terkinja-kinja atas dance floor.”
Dengan lagak sengaja Syamil membulatkan mata. “Awak pakai tube and hot pants?!” Wow! Kejap, saya nak bayangkan.” Sepasang mata kemudian ditalakan tepat pada Orked. Tajam.
Berderau air muka Orked. Spontan dia menutup bahagian dada dengan kedua-dua tangan. “Awak jangan imagine macam-macam!”
“Itulah, lain kali jangan cakap main lepas aje.” Syamil menyindir diselangi senyum nakal.
“Dia yang gatal, fikir benda-benda pelik…kita pula yang kena jaga mulut,” gumam Orked penuh kegeraman.
            Lagi sekali Syamil menghamburkan tawa.
            “Dahlah gelak tu!” marah Orked, separuh menjerkah.
            Automatik tawa Syamil termati. Mulutnya dikatup, cuba menghalang mana-mana sisa tawa yang mungkin mahu melepaskan diri dan kemudian terhambur lagi.
            “Baik awak balik sekarang sebelum saya naik gila melayan perangai tak betul awak tu,” tegas Orked. Wajahnya masam mencuka. Cemberut!
            Masih dngan senyum yang masih terpalit pada wajah, Syamil bangkit secara perlahan-lahan. “Ya, ya. Saya balik. Jangan jadi gila dulu. Tapi sebelum tu saya nak pesan.”
            “Apa dia?” soal Orked. Dahinya berkerut seribu.
            “Disebabkan awak tak dapat temankan saya malam lusa, jadi bayaran awak tu kita tangguhkan dulu.”
            “Still kena bayar balik ke?” Suara Orked berbaur rasa tidak puas hati.
“Eh, mestilah! Kan saya dah cakap tadi.” Syamil menunduk sedikit, mendekatkan muka ke arah Orked yang masih duduk di kerusi. “Tak ada apa yang free dalam dunia ni. Pertolongan yang diberikan saya untuk awak wajib dibayar.”
Orked mendengus dalam diam. Geram, menyampah, segala macam rasa yang jelik bercampur baur dalam jiwa. Dan semuanya disebabkan oleh seorang manusia yang sudah pun membuatkan hidupnya jadi tunggang langgang.
           Mental note: Jangan sesekali bagi dia tolong kau lagi, Orked Imani.

*****
BAB 22

“AKU on the way pergi Hotel Raja Chulan. Abang Am ajak aku ke sana. Ada majlis.” Orked menjawab pertanyaan Elina. Fon telinga yang diselitkan di celah-celah tudung dibetulkan sedikit dengan tangan kiri sambil matanya memandang tepat pada jalan.
            “Kau ni biar betul?! Kau tunang orang kut. Mana boleh sesuka hati ikut lelaki lain.”
            “Kau agak-agaklah nak condemn aku pun. This is for the sake of business, okay. Abang Am cakap event ni bagus untuk Amour. Ramai orang dari industri fesyen akan ada kat sana.”
            “Oh, ya ke? Aku ingatkan….”
            “Aku pun berharap sangat dapat buat perangai buruk belakang Syamil. Jadi tunang yang ada affair, contohnya.” Mengerti apa yang bermain di dalam benak sahabatnya, Orked menyambung sendiri.
            “Kau jangan buat kerja gila!” Suara Elina mula naik satu oktaf.
Isy, dia nak suruh aku jadi pekak ke apa?
            “Itulah masalahnya. Aku. Tak. Gila. Walaupun aku tak sukakan pertunangan ni, aku tak ada keberanian nak main kayu tiga. Amacam? Baik tak aku?” Selamba Orked memuji diri sendiri.
            “Ya, memang baik. Kawan aku ni memang calon isteri mithali,” ucap Elina sekadar melayan perangai sahabatnya.
            Orked tergelak kecil. “Anyway, kau telefon aku ni, kenapa? Ada apa-apa hal ke?”
            “Oh, aku nak tanya, jadi ke tak kita nak pergi Gunung Ayam? Budak-budak hiking minta kita confirm ASAP sebab dia orang nak beli tiket kereta api.”
            Spontan Orked menepuk dahi. Disebabkan kesibukan kerja dan hal pertunangannya, hampir-hampir sahaja dia terlupa akan rancangannya yang satu itu. Ya, selain suka menonton drama, dia punya minat yang tinggi dalam aktiviti memanjat gunung. Kerana itulah, emak selalu sahaja membebel padanya. Kata emak, itu aktiviti untuk lelaki. Tidak manis untuk perempuan sepertinya. Sering kali juga emak menyalahkan ayah kerana minatnya itu. Apa tidaknya, ayah merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan aktiviti ini kepadanya. Sementelah pula, ayah memiliki kedai peralatan sukan lasak.
            “Cakap kat dia orang aku jadi pergi. Gian kut nak hiking ni.” Orked memutuskan.
            “Okey, set! Apa-apa nanti, aku inform balik. Assalamualaikum…”
            “Waaalaikumussalam…” balas Orked sambil menarik keluar fon telinga. Hatinya berbunga-bunga membayangkan saat-saat memanjat dan akhirnya dapat menakluki puncak gunung. Dan yang penting, dapat lari daripada segala masalah hidupnya. Ya, masalah yang bernama Syamil Imran a.k.a Encik Sayang yang tidak disayangi langsung.
*****
“ADUH, apa yang dia orang letak dalam makanan tu? Sakit perut aku,” omel Orked sambil mencengkam perut. Mujur sekali rasa memulas tadi sudah pun hilang setelah dia ke tandas tadi. Kalau tidak, haru juga nanti. Apa tidaknya, majlis baru sahaja separuh jalan. Takkanlah dia mahu bergegas pulang pula?
            “Abang Am ni pun satu. Dia ajak kita, tapi dia tak muncul-muncul. Kalau tahu macam ni, baik tak payah datang.” Laju mulut Orked merungut. Geram juga dia dengan tindakan Amril yang membiarkan dirinya terkontang-kanting sendiri di majlis ulang tahun Ivory ini. Masih terbayang-bayang lagi mesej pendek yang diterima saat dia selamat tiba tadi.
           
            ‘I’m so sorry. Abang ada hal. Busy sikit. Nanti abang jumpa Orked. Jangan balik dulu, tau.’

            “Nasib baiklah abang tu abang Am. Tak mampu aku nak marah. Kalau tak, memang mati aku kerjakan dia,” sambung Orked lagi. Tubuhnya yang sedikit lembik tadi ditegakkan kembali. Nafas ditarik dalam-dalam. Wajah tenang dan bergaya selaku anak kepada pemilik Amour harus ditampal kembali ke muka. Kemudian dia mengangkat langkah. Anak matanya diliarkan ke sekeliling dengan penuh keyakinan. Namun sesusuk tubuh yang sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang lelaki membuatkan anak mata itu membuntang sama sekali. Ehhhh? Apa yang dia buat kat sini?
            Bagaikan menyedari diri sedang diperhati, sang jejaka tiba-tiba menoleh padanya. Secepat kilat Orked mengangkat beg kepit di tangan dan menutup muka. Bibirnya diketap kuat-kuat sebelum dia melangkah perlahan-lahan di sebalik seorang pelayan yang kebetulan lalu.
            “Eh , Cik…” tegur pelayan tersebut.
            Orked memanggung kepala padanya dan menyeringai. “Abaikan I. You jalan aje.”
            “Tapi…”
            “Please…”
            “Adik, jangan dilayan perangai dia.”
            Sekonyong-konyong ada suara lain yang menyampuk. Orked mendengus kecil dan memejamkan mata sesaat. Aduh, dia muncul pula dah.
            “Sorry, ya dik. Kakak ni memang macam ni. Suka main hide and seek.”
            “Oh, okey…” Pendek jawapan pelayan itu seraya memandang pelik pada Orked. Kemudian dia berlalu pergi meninggalkan Orked dengan tubuh yang membelakangi jejaka yang semakin lama semakin menghampiri.
            Perlahan-lahan Orked memusing tubuh dan meninggikan tangan. Melambai-lambai bersama senyum paling plastik yang pernah dia tayangkan sepanjang hidupnya. “Hai, tak sangka jumpa kat sini, kan?”
            “Dah sudah main sorok-sorok dengan saya?”
            “Belum sudah lagi. Sebab masa saya baru nak start tadi, tiba-tiba muncul malaun mana entah kacau daun.”
            Meledak tawa dari bibir Syamil. Tercuit sungguh hatinya dengan jawapan bersahaja lagi selamba cik tunang yang seorang ini.
            Orked menarik muka masam. Meluat dengan fiil Syamil yang seronok mentertawakannya.
‘Isy, dia ni tak kerja lain gamaknya? Gelakkan aku aje kerjanya. Dahlah muncul tiba-tiba macam hantu. Tak faham sungguh aku! Dan lagi satu, macam manalah dia boleh ada kat sini juga? Jangan-jangan…’ Bulat mata Orked saat membayangkan kemungkinan itu.
“Macam mana awak boleh ada kat sini?” sembur Orked lantas mematikan tawa Syamil.
“Saya…”
“Awak ikut saya ke? Oh, sebab saya tak nak temankan awak masa awak ajak saya keluar, jadi awak ikut saya ke sini? Awak ni stalker ke apa?”
Syamil terlopong. Amboi, amboi…minah ni. Tak sayang mulut nampak?
“Stalker? Eh, awak ingat awak tu cantik atau popular sangat ke untuk saya stalk awak? Daripada stalk awak, lebih baik saya stalk Dato’ Siti ke, Shila Majid ke, Ziana Zain ke. Hah, tak pun Che Ta yang bergetah tu.”
            “Habis tu?”
            “Saya dijemput ke sinilah. Takkanlah saya jadi pendatang tanpa izin kut?” Lagi Syamil menghambur dengan kata-kata sindiran.
            “So, majlis yang awak cakap hari tu, majlis inilah?” Lagi Orked bertanya. Walaupun sedar diri sedang diperli dengan ganasnya, dia malas mahu mengambil pusing. Buat sakitkan hati dan buat memalukan diri sahaja.
            “Yalah. So awak….” Syamil menghentikan kata buat seketika dan mengerutkan dahi. Bagaikan memikirkan sesuatu. “Yang awak cakap tak available, sebab majlis inilah? Awak nak datang sini?”
            “Hmmm…” Pendek jawapan Orked. Tanpa rela dia mengiyakan.
            “Woahh!” Syamil menepuk tangan sekali. “Tak sangka, kan? Kita ni memang berjodohlah, Miss Sweetheart.”
            Eh, eh…seronok pula dia. Gerutu Orked dalam diam. Aku ni…dah naik mual tengok muka kau, tahu tak? Hari-hari muncul! Kalau dijemput, tak apalah juga. Ini tidak, menyibuk aje kerjanya.
            “Apa-apalah,” balas Orked, malas melayan. Lagi dilayan, lagi pelik jadinya dia ni. Kakinya diangkat, namun tiba-tiba terhenti kala lengannya ditarik dari belakang. Secepat kilat Orked berpaling dan menetapkan pandang pada tangan kekar yang kini melekat pada lengannya. Ewah, ewah! Sentuh aku pula? Nasib baik berlapik. Kalau tidak, tambah kerja malaikat Raqib kat atas bahu kiri aku.
            “Apa ni? Lepaslah!”
            Kelam-kabut Syamil meleraikan pegangan dan mengangkat kedua-dua tangan ke atas. Bibirnya menyeringai. “Sorry, tak sengaja. Saya sebenarnya…”
            “Apa?” tekan Orked.
            “Dah alang-alang awak kat sini, jomlah temankan tunang kesayangan awak ni. Tak payahlah pergi jauh-jauh.”
            “Huh, tak hingin saya temankan awak!”
            “Betul? So awak nak perempuan lain temankan saya, ke?” getus Syamil sambil menjeling ke sebelah kiri.
            Orked turut mengikut gerak matanya. Terpacak tidak jauh daripada mereka,  dua orang wanita yang sedang tersenyum-senyum. Eh, senyum pada Syamil? Serius, musykil sungguh aku. Apa yang dia orang pandang pada lelaki sengal ini? Nak kata bergaya? Hmm, dah namanya pereka fesyen, sah-sahlah bergaya. Nak kata kacak, bolehlah tahan. Tapi tetap tak boleh lawan Abang Am aku.
“Assalamualaikum dan selamat malam.”
Suara yang tiba-tiba berkumandang membuatkan Orked tercengang. Namun sesaat cuma kerana selepas itu dia menggelengkan kepala. Isy, aku ni dah gila gamaknya. Boleh pula terdengar-dengar suara Abang Am.
“Pertama sekali, terima kasih atas kehadiran…”
Kali ini kepala Orked tertoleh terus pada pentas di hadapan ballroom. Sedikit demi sedikit matanya membundar luas. ‘Aku. Tak. Gila.’
            Syamil yang perasan akan reaksi Orked mula mencebik. Huh, dah agak dah. Kalau dah dasar perempuan sejati, pasti terbelalak biji mata menyaksikan lelaki yang digelar ‘The most dashing, hottest eligible bachelor on Earth’ itu. Mentang-mentanglah mamat tu muda, kacak, kaya dan bergaya, aku yang kat sebelah ni…dia buat derk aje!
“Tutup sikit mulut awak tu. Tak payah terlopong sangat tengok si Amril Syahran tu,” sinis Syamil dengan rasa sebal dalam hati.
“Itu…itu Amril Syahran, kan? Saya…saya tak salah tengok, kan?” Tanpa mempedulikan kata-kata sinis Syamil, Orked menyoal sepatah demi sepatah.
“Kan saya dah cakap tadi. Awak tak dengar ke apa?”
“Apa dia buat kat atas tu?”
Syamil mengerutkan dahi. Pelik dengan soalan Orked yang dirasakan luar biasa. “Tengah terpacak atas pentas, bagi ucapan.”
“Kenapa?”
“Amril Syahran tu kan CEO baru Ivory. Sah-sahlah dia akan bagi ucapan.”
Sekali lagi mata Orked terbeliak besar. Jari telunjuknya terangkat sendiri ke arah jejaka yang masih berucap di atas podium. “Itu…CEO baru Ivory?”
“Hmm…” jawab Syamil, sekadar berbasi-basi. Menyampah sungguh dengan reaksi berlebih-lebihan Orked. Huh, stok perempuan pantang tengok lelaki kacak yang kaya raya rupanya minah ni.
“Itu?” Lagi Orked menekankan soalannya.
Ya Allah! Ingin saja Symil menjerit. Banyak pula dia tanya!
“Orked, kalau ya pun awak excited tengok dia, boleh tak awak jangan tunjuk sangat depan saya?”
Orked tersentak. “Mana…mana ada saya…”
“Mana ada apanya? Muka awak tu, sekejap-sekejap terbeliak, kemudian terlopong, kemudian terbeliak lagi sekali. Dah macam orang jakun tak pernah tengok lelaki handsome.”
            Berdesing telinga Orked. Terasa berasap. Apa?! Aku jakun tak pernah tengok lelaki handsome? Amboi, amboi mulut dia…memang nak kena tenyeh-tenyeh dengan cili api. Biar padan sikit muka tu!
            “Padahal encik tunang dia dah cukup handsome kut. Nak juga pandang lelaki lain…”
            “Dah? Sudah?” cantas Orked dengan kasar. Tangannya disilang ke dada. Matanya mencerun. “Sesuka hati awak aje, kan? Mengata saya?”
            “Eh, mana ada saya mengata. Saya cakap betul apa? Fakta. Kenyataan. Awak duk tengok mamat tu…” Syamil menjeling sesaat ke arah pentas. “Sedangkan tunang awak.” Syamil meletakkan telapak tangan ke atas dada dan menyengih. “Yang kacak bergaya ni dah ada depan mata awak.”
            Orked turut memasang sengih. Tetapi, sengihnya palsu semata-mata! Kemudian tanpa bicara dia membuka tas tangan dan mengeluarkan bedak kompak. Dibuka lalu dihulurkan pada lelaki di sisinya. “Nah.”
            “Apa?” Dengan lagak bingung, Syamil mengambil.
            “Manalah tahu kalau-kalau selama ni awak tengok cermin rosak. Saya bagi pinjam kat awak sekejap. Sebelum balik, pulangkan pada saya.” Usai memerli dengan cukup tenang, dan ditemani senyuman paling plastik, Orked memusing tubuh. Mahu meninggalkan encik tunang yang semakin kronik dengan penyakit perasannya.
            Syamil terpana sejenak sebelum mengukir senyum kecil. Mulutnya dibuka ingin memanggil cik tunang yang sudah mula menjauhi. Namun suaranya tiba-tiba sahaja ditenggelami suara lain.
“Orked…”
            Orked terpaku. Kakinya automatik sahaja terpegun dan terpateri terus pada lantai. 
“Orked Imani… Suara macho itu bergema lagi, memenuhi segenap pelusuk ballroom.
Pada masa yang sama, Orked mula merasakan berpuluh-puluh mata yang bagai sehati sejiwa sahaja dialihkan tepat kepadanya. Lalu, membuatkan dia terkulat-kulat seperti orang bodoh di tengah-tengah khalayak ramai.
Lambat-lambat Orked memaling kembali tubuhnya. Pandangannya terus sahaja tertancap pada Syamil yang sedang merenungnya dengan pandangan curiga. Kening lelaki itu ternaik tinggi dengan maksud, ‘Awak kenal dia? Awak kenal Amril Syahran?!'
Oh, itu belum cukup gempak lagi, kerana selepas itu ada pula suara lain yang menyampuk.

            “Tunang sayang kenal Amril Syahran rupanya. Agak-agaknya apa hubungan dia orang?”

1 comment: