November 5, 2019

CODE NAME COBRA - BAB 2

BAB 2
SUNGGUH! Ini bukan apa yang dia jangkakan. Langsung tidak. Fikirnya, dia bakal berdepan dengan seorang lelaki yang menakutkan. Sang ketua kepada lelaki tinggi bertatu. Manusia yang mampu menentukan hidup matinya hanya dengan satu patah perkataan. Namun, yang ada di hadapannya kini ialah...
Seorang wanita.
Berwajah cantik. Manis dalam persalinan cheongsam serba putih, dengan sulaman benang keemasan. Ada corak bunga dan naga yang menghiasi. Dia duduk elok dekat meja rendah, yang letaknya betul-betul di tengah antara mereka berdua. Di atas meja tersebut, kelihatan sebuah cerek, dua buah teko, dua cawan kecil dan beberapa objek lain. Yang Kai tidak tahu namanya, tetapi dia tahu bahawa semua itu adalah unsur-unsur dalam seni teh Cina.
Kai kembali memberi perhatian pada wanita dekat meja. Rambutnya kemas disanggul pada bahagian bawah kepala. Ada cucuk sanggul dengan hujung berbentuk bunga orked yang melekat di situ. Warna putih keemasan, secocok dengan cheongsam yang dipakai. Cheongsam yang dikenakan itu pula, berlengan pendek dan boleh tahan ketat menampakkan bentuk badan. Letak duduknya dalam keadaan postur tubuh yang menegak, berserta kepala yang juga menegak ke hadapan. Riak mukanya tenang, dengan kelopak mata yang sesekali berkelip lembut.
Anggun.
Hanya sepatah kata itu yang terlintas dalam fikiran Kai. Dalam ramai-ramai perempuan yang pernah dia jumpa seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat wanita seanggun ini. Dia harus akui itu.
Tanpa mempedulikan Kai, wanita tersebut mengambil teko pertama dan menuang isinya ke dalam teko kedua yang lebih kecil. Semerta, satu bau wangi menjamah hidung Kai. Mengertilah dia, dari mana datangnya bau yang sebelum ini dia hidu. Isi dalam teko kedua tadi, kemudiannya dibuang ke dalam sebuah mangkuk sederhana kecil. Kai pernah mendengar, dalam pao cha iaitu seni teh Cina, air teh pertama yang meresap keluar dari daun perlu dibuang. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Tidak pernah berminat untuk tahu pun.
Masih dengan riak muka tenang yang sama, wanita itu mengambil cerek dari tepi dan menuang air panas ke dalam teko pertama. Kepul-kepul asap keluar dari celah penutup.
“It’s Bai Mu Dan.”
“Huh?” Kai tersentak.
“Nama teh ni. Bai Mu Dan a.k.a White Peony. Kau tahu, teh jenis ini antara yang paling berkualiti tinggi. Diperbuat daripada pucuk daun muda yang masih lagi terlindung dalam hao dan juga dua daun selepas tu. Oh, in case kau tak tahu, hao ialah satu lapisan jaringan warna silver yang melindungi pucuk daun teh.” Panjang lebar wanita itu menerangkan, sambil menuang teh dari teko pertama tadi, masuk ke dalam teko kedua.
Teko pertama diletak ke tepi. Dia angkat pula teko kedua. Isinya dituang ke dalam dua cawan kecil. Melebihi separuh, dia berhenti dan meletak semula teko. Cawan pertama, dia tolak kepada Kai.
“The first one always goes to the guest.”
Kai tidak menyambut.
Senyuman halus terukir di bibir wanita tersebut, sebelum dia mengambil satu lagi cawan dan membawanya ke mulut. Matanya terpejam sedikit saat menghirup isinya masuk ke tekak. Usai meletak cawan semula ke atas meja, dia menengadah kepada Kai.
“See, aku tak letak racun dalam ni.”
Kai tidak berkata apa-apa. Tetapi dia bergerak ke hadapan.
“Biar aku cuba faham apa yang tengah berlaku sekarang,” ucap Kai sebaik duduk dekat meja. Bertentang si wanita anggun. Tangan kanannya kemudian diangkat dan dituding ke arah pintu yang terkatup di belakang.
“Lelaki tinggi bertatu kat luar tu, bawa geng dia hancurkan kereta kesayangan aku, kemudian heret aku ke sini, semata-mata sebab nak aku...”
Kai mengecilkan mata ke arah wanita di hadapannya.
“Minum teh dengan kau?”
Wanita itu senyum tenang.
“Lai Kuan.” Dia berkata pendek.
“Apa?” Kai menyoal semula.
“Lelaki tinggi bertatu kat luar, yang dah bawa geng dia hancurkan kereta kesayangan kau, dan heret kau ke sini untuk minum teh dengan aku.” Wanita itu mengulang ayat Kai, dan menyudahkan dengan...
“Nama dia Lai Kuan.”
Kai gelak sinis.
“Aku tak tanya pun. Tak ingin tahu pun.”
“Kau kena tahu. Sebab kau akan selalu jumpa dia.”
“Kenapa pula aku nak jumpa dia selalu?”
“Sebab aku yang cakap macam tu.”
Kai terdiam. Dia merenung lebih dalam kepada wanita itu. Dibalas dengan tatapan kosong tanpa riak. Jelas di matanya, betapa wanita ini tidak tergugat dengan dia. Bahkan, mungkin tidak akan pernah tergugat dengan apa-apa pun dalam dunia ini.
“Dan siapa kau untuk aku ikut cakap kau?” tanya Kai selepas beberapa ketika senyap.
Wanita tersebut tidak menjawab persoalan. Sebaliknya dia menolak teko panas ke tepi. Tubuhnya diangkat separuh dan dibawa melepasi meja. Mukanya tunduk menghadap Kai yang spontan mendongak.
Kai mematung. Hanya matanya yang berlawan dengan tenangnya mata si wanita.
Kemudian...
Anak mata Kai bergerak. Mengikut pergerakan tangan wanita yang tiba-tiba sampai ke pipinya dan melurut sedikit-sedikit ke bawah. Kai menelan liur. Keras membiarkan jari-jemari runcing itu melekat pada bawah bibirnya.
“Hmm, sayang. Aku patut pesan pada mereka semua. Jangan sentuh muka kau. Sekarang, tengok...”
Wanita itu mengelap bibir Kai, dan membawa jarinya ke depan mata. Ada cecair merah di situ.
“Habis muka kacak kau. Berdarah-darah macam ni. Luka macam ni.” Sebaik menghabiskan kata, dia menjilat jari berdarah itu.
Mata Kai membulat. Terus dia menolak tubuhnya jauh ke belakang.
“Kau dah kenapa jilat-jilat darah macam tu?” sergahnya agak kuat. “Vampire? Tak pun…”
Kai membeliakkan lagi mata.
“Pontianak? Sebab tu kau serang aku malam-malam buta? Bawa aku ke tempat macam ni? Dengan bau wangi semacam ni?”
Wanita itu tergelak kecil, sebelum menjatuhkan tubuh ke tempat asal tadi.
“Pontianak pakai cheongsam?”
Kai membetulkan duduknya semula.
“Manalah tahu, dah upgrade sekarang. Dah jadi satu Malaysia. Bertukar-tukar pakaian tradisional. Ini tidak, asyik-asyik baju putih kotor tu aje.” Selamba Kai menjawab.
Wanita itu senyum halus.
“Kau memang tak faham apa yang sedang berlaku sekarang, atau kau memang bodoh?” Pedas balasan yang keluar dari bibir merahnya.
“Kau fikir?” Kai menyoal kembali.
Wanita itu senyum lagi.
“Kau tak takut.” Dia memberi komen.
“Aku perlu rasa takut ke sekarang?” Kai membalas laju.
“Well… kau dah mencuri daripada aku. Jadi beritahu aku. Kau…” Riak mukanya tiba-tiba berubah. Jadi keras, bersama renungan yang tajam bagaikan mahu melahap Kai hidup-hidup.
“Patut rasa takut sekarang, atau pun tidak?”
Kai pandang ke mukanya dalam-dalam. Selamba.
“You are too pretty, untuk aku takutkan kau.”
Bibir wanita itu menyenget sebelah, sebelum...
“Ah Lai.” Dia menyebut satu nama.
Serentak itu, Lai Kuan menyerbu dari luar.
“Aku tarik balik arahan aku. Kau boleh buat apa saja yang kau nak pada dia.”
Kai tersentak. Matanya bulat melihat Lai Kuan yang mula mendekat.
“Kejap! Kejap!” Cepat-cepat, dia berpaling kepada wanita tersebut, dan mengangkat tangan ke atas. Rupa orang mengalah.
Sesudah itu, dia menghela nafas panjang. Cuba bertenang.
“Okey, kalau betul aku dah curi duit kau, mana buktinya?”
Wanita itu menghambur tawa. Tidak kuat mana, bahkan kedengaran manis di telinga Kai, tetapi cukup untuk bunyinya memenuhi segenap ruang bilik.
“Bukti?” Dia mengulang.
“Tsk...tsk...tsk...” Kepalanya digeleng beberapa kali. “Kenapalah kau boleh jadi naif sangat dalam dunia yang kejam ni?”
Kai mengerutkan dahi.
“Kau tahu tak perkataan bukti tu, sangat over-rated? Hakikatnya dalam dunia ni, bukti tak diperlukan untuk apa-apa pun. Sebab pada akhirnya, yang menentukan semuanya ialah kuasa.”
“Jadi kau nak cakap, kau yang berkuasa sekarang?” tebak Kai. Pantas.
“Pandai. Aku yang akan tentukan sama ada...”
Sejenak, dia berhenti. Jari jemarinya yang tadi mengelap darah di bibir Kai, dibawa depan mata. 
“Darah yang ada di muka kau tu, cuma takat itu saja, atau pun...”
Sekali lagi, dia berhenti. Kai boleh nampak birai bibirnya yang senyum halus. Penuh sesuatu.
“Aku sebenarnya tak suka benda-benda kotor di tempat aku. But then, there's always an exception. Mungkin untuk hari ni, aku boleh biarkan kawasan ni bermandi dengan...”
Dia mengangkat anak mata tepat ke muka Kai, dan menyambung senada.
“Darah kau.”
Bulu roma Kai serta-merta meremang. Dia menelan liur, sebelum mengulum sengih. Sengaja mahu menayang rupa konon-konon tidak terkesan.
“Janganlah cakap pasal darah ni semua. Tak seronok. Isy, luka aku ni pun satu. Rasa dah lap elok-elok tadi. Kenapa berdarah balik?”
Pap! Kai menampar mulut sendiri.
“Isy, mulut ni. Jangan sebut pasal darah. Jangan sebut.” Dia menegur diri sendiri. Perempuan di hadapan memandang tanpa riak.
“Okeylah, kita janganlah cakap benda-benda menakutkan macam tu. Aku dah faham apa yang kau nak cakap. Ya, kaulah yang paling berkuasa sekarang. Kau yang tentukan aku akan keluar dari sini hidup-hidup, atau pun tidak.” Kai bercakap. Laju dan panjang lebar. Entah apa yang dia cakap, dia sendiri pun tidak tahu. Yang dia harap cuma satu. Janganlah darahnya menjadi korban di sini.
Dia tak mahu mati muda!!!
Wanita itu memberi isyarat kepada Lai Kuan. Terus, lelaki tersebut meloloskan diri di sebalik pintu.
Kai menarik nafas lega.
“Ingatkan kau tak rasa takut.”
Kai terpempan, dan menengok kepada sang penegur. Wanita tersebut menatapnya dengan sebelah kening terjongket. Jelas sindiran di situ. Langsung, Kai olok-olok melepas gelak.
“Takut? Tak...” Dia menggeleng. “Tak. Mana ada aku rasa takut. Aku cuma...”
Sebelah lagi kening wanita itu naik.
“Seriau,” sambung Kai sebelum menyengih. Seperti tawanya tadi, sangat palsu.
Buat kesekian kali, wanita tersebut senyum. Sekali lagi, bulu roma Kai meremang. Dalam masa singkat ini, dia sudah faham permainannya. Senyuman yang acapkali dia pamer itu, bukan senyuman biasa-biasa. Tetapi penuh dengan makna tersirat. Kalau maknanya elok, tidak apa juga. Ini tidak. Maknanya menyeramkan!
“Berapa lama lagi?” Wanita itu tiba-tiba menyoal.
“Berapa lama... apa?” Kai menyoal semula.
Hujung bibir wanita itu menyenget. Ada gelak halus yang terpacul keluar. Sinis menyapa telinga Kai.
“Kau nak berlakon bodoh macam ni.”
Kai membungkam.
“Kau fikir aku arahkan orang-orang aku bawa kau ke sini, tanpa tahu siapa kau yang sebenarnya?”
Kai mendiam lagi. Namun riak matanya sedikit-sedikit berubah. Birai bibirnya juga bergerak. Membentuk senyuman seribu satu makna. Kemudian, dia bertutur...
“Akhirnya, kita berjumpa… Athena.”
~ Bersambung... ~
Sara says:
It's here!!! Our heroin is here!! Korang tahu tak apa maksud Athena? For those yang tak tahu, it is a name of a Greek goddess. Atau lebih tepat lagi, a goddess of war. Dewi peperangan. So yeah, our heroin is a goddess of war.
Masa mula-mula Cik SA inform pasal manuskrip baru ni, Cik SA ada mention yang akan ada satu kelainan besar untuk next novel. So, inilah dia!!! Kalau sebelum ni, hero yang ala-ala bad boy/bad guy, kali ini it's the other way round. Our heroin is a bad bad girl. One badass woman. Strong. Fearless. Heartless.
So, who's excited with their story? Macam mana agaknya our sassy Kai nak berdepan dengan perempuan yang menakutkan ini? Okey, Kai. Good luck. You gonna need lots of luck. 
See you on next Friday!
Love, SA


1 comment:

  1. Wahh..dh jmpa heroinnya ehh? Hehe..our badass Athena.😘

    ReplyDelete