Showing posts with label manuskrip. Show all posts
Showing posts with label manuskrip. Show all posts

November 5, 2019

CODE NAME COBRA - BAB 2

8:59 PM 1
BAB 2
SUNGGUH! Ini bukan apa yang dia jangkakan. Langsung tidak. Fikirnya, dia bakal berdepan dengan seorang lelaki yang menakutkan. Sang ketua kepada lelaki tinggi bertatu. Manusia yang mampu menentukan hidup matinya hanya dengan satu patah perkataan. Namun, yang ada di hadapannya kini ialah...
Seorang wanita.
Berwajah cantik. Manis dalam persalinan cheongsam serba putih, dengan sulaman benang keemasan. Ada corak bunga dan naga yang menghiasi. Dia duduk elok dekat meja rendah, yang letaknya betul-betul di tengah antara mereka berdua. Di atas meja tersebut, kelihatan sebuah cerek, dua buah teko, dua cawan kecil dan beberapa objek lain. Yang Kai tidak tahu namanya, tetapi dia tahu bahawa semua itu adalah unsur-unsur dalam seni teh Cina.
Kai kembali memberi perhatian pada wanita dekat meja. Rambutnya kemas disanggul pada bahagian bawah kepala. Ada cucuk sanggul dengan hujung berbentuk bunga orked yang melekat di situ. Warna putih keemasan, secocok dengan cheongsam yang dipakai. Cheongsam yang dikenakan itu pula, berlengan pendek dan boleh tahan ketat menampakkan bentuk badan. Letak duduknya dalam keadaan postur tubuh yang menegak, berserta kepala yang juga menegak ke hadapan. Riak mukanya tenang, dengan kelopak mata yang sesekali berkelip lembut.
Anggun.
Hanya sepatah kata itu yang terlintas dalam fikiran Kai. Dalam ramai-ramai perempuan yang pernah dia jumpa seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat wanita seanggun ini. Dia harus akui itu.
Tanpa mempedulikan Kai, wanita tersebut mengambil teko pertama dan menuang isinya ke dalam teko kedua yang lebih kecil. Semerta, satu bau wangi menjamah hidung Kai. Mengertilah dia, dari mana datangnya bau yang sebelum ini dia hidu. Isi dalam teko kedua tadi, kemudiannya dibuang ke dalam sebuah mangkuk sederhana kecil. Kai pernah mendengar, dalam pao cha iaitu seni teh Cina, air teh pertama yang meresap keluar dari daun perlu dibuang. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Tidak pernah berminat untuk tahu pun.
Masih dengan riak muka tenang yang sama, wanita itu mengambil cerek dari tepi dan menuang air panas ke dalam teko pertama. Kepul-kepul asap keluar dari celah penutup.
“It’s Bai Mu Dan.”
“Huh?” Kai tersentak.
“Nama teh ni. Bai Mu Dan a.k.a White Peony. Kau tahu, teh jenis ini antara yang paling berkualiti tinggi. Diperbuat daripada pucuk daun muda yang masih lagi terlindung dalam hao dan juga dua daun selepas tu. Oh, in case kau tak tahu, hao ialah satu lapisan jaringan warna silver yang melindungi pucuk daun teh.” Panjang lebar wanita itu menerangkan, sambil menuang teh dari teko pertama tadi, masuk ke dalam teko kedua.
Teko pertama diletak ke tepi. Dia angkat pula teko kedua. Isinya dituang ke dalam dua cawan kecil. Melebihi separuh, dia berhenti dan meletak semula teko. Cawan pertama, dia tolak kepada Kai.
“The first one always goes to the guest.”
Kai tidak menyambut.
Senyuman halus terukir di bibir wanita tersebut, sebelum dia mengambil satu lagi cawan dan membawanya ke mulut. Matanya terpejam sedikit saat menghirup isinya masuk ke tekak. Usai meletak cawan semula ke atas meja, dia menengadah kepada Kai.
“See, aku tak letak racun dalam ni.”
Kai tidak berkata apa-apa. Tetapi dia bergerak ke hadapan.
“Biar aku cuba faham apa yang tengah berlaku sekarang,” ucap Kai sebaik duduk dekat meja. Bertentang si wanita anggun. Tangan kanannya kemudian diangkat dan dituding ke arah pintu yang terkatup di belakang.
“Lelaki tinggi bertatu kat luar tu, bawa geng dia hancurkan kereta kesayangan aku, kemudian heret aku ke sini, semata-mata sebab nak aku...”
Kai mengecilkan mata ke arah wanita di hadapannya.
“Minum teh dengan kau?”
Wanita itu senyum tenang.
“Lai Kuan.” Dia berkata pendek.
“Apa?” Kai menyoal semula.
“Lelaki tinggi bertatu kat luar, yang dah bawa geng dia hancurkan kereta kesayangan kau, dan heret kau ke sini untuk minum teh dengan aku.” Wanita itu mengulang ayat Kai, dan menyudahkan dengan...
“Nama dia Lai Kuan.”
Kai gelak sinis.
“Aku tak tanya pun. Tak ingin tahu pun.”
“Kau kena tahu. Sebab kau akan selalu jumpa dia.”
“Kenapa pula aku nak jumpa dia selalu?”
“Sebab aku yang cakap macam tu.”
Kai terdiam. Dia merenung lebih dalam kepada wanita itu. Dibalas dengan tatapan kosong tanpa riak. Jelas di matanya, betapa wanita ini tidak tergugat dengan dia. Bahkan, mungkin tidak akan pernah tergugat dengan apa-apa pun dalam dunia ini.
“Dan siapa kau untuk aku ikut cakap kau?” tanya Kai selepas beberapa ketika senyap.
Wanita tersebut tidak menjawab persoalan. Sebaliknya dia menolak teko panas ke tepi. Tubuhnya diangkat separuh dan dibawa melepasi meja. Mukanya tunduk menghadap Kai yang spontan mendongak.
Kai mematung. Hanya matanya yang berlawan dengan tenangnya mata si wanita.
Kemudian...
Anak mata Kai bergerak. Mengikut pergerakan tangan wanita yang tiba-tiba sampai ke pipinya dan melurut sedikit-sedikit ke bawah. Kai menelan liur. Keras membiarkan jari-jemari runcing itu melekat pada bawah bibirnya.
“Hmm, sayang. Aku patut pesan pada mereka semua. Jangan sentuh muka kau. Sekarang, tengok...”
Wanita itu mengelap bibir Kai, dan membawa jarinya ke depan mata. Ada cecair merah di situ.
“Habis muka kacak kau. Berdarah-darah macam ni. Luka macam ni.” Sebaik menghabiskan kata, dia menjilat jari berdarah itu.
Mata Kai membulat. Terus dia menolak tubuhnya jauh ke belakang.
“Kau dah kenapa jilat-jilat darah macam tu?” sergahnya agak kuat. “Vampire? Tak pun…”
Kai membeliakkan lagi mata.
“Pontianak? Sebab tu kau serang aku malam-malam buta? Bawa aku ke tempat macam ni? Dengan bau wangi semacam ni?”
Wanita itu tergelak kecil, sebelum menjatuhkan tubuh ke tempat asal tadi.
“Pontianak pakai cheongsam?”
Kai membetulkan duduknya semula.
“Manalah tahu, dah upgrade sekarang. Dah jadi satu Malaysia. Bertukar-tukar pakaian tradisional. Ini tidak, asyik-asyik baju putih kotor tu aje.” Selamba Kai menjawab.
Wanita itu senyum halus.
“Kau memang tak faham apa yang sedang berlaku sekarang, atau kau memang bodoh?” Pedas balasan yang keluar dari bibir merahnya.
“Kau fikir?” Kai menyoal kembali.
Wanita itu senyum lagi.
“Kau tak takut.” Dia memberi komen.
“Aku perlu rasa takut ke sekarang?” Kai membalas laju.
“Well… kau dah mencuri daripada aku. Jadi beritahu aku. Kau…” Riak mukanya tiba-tiba berubah. Jadi keras, bersama renungan yang tajam bagaikan mahu melahap Kai hidup-hidup.
“Patut rasa takut sekarang, atau pun tidak?”
Kai pandang ke mukanya dalam-dalam. Selamba.
“You are too pretty, untuk aku takutkan kau.”
Bibir wanita itu menyenget sebelah, sebelum...
“Ah Lai.” Dia menyebut satu nama.
Serentak itu, Lai Kuan menyerbu dari luar.
“Aku tarik balik arahan aku. Kau boleh buat apa saja yang kau nak pada dia.”
Kai tersentak. Matanya bulat melihat Lai Kuan yang mula mendekat.
“Kejap! Kejap!” Cepat-cepat, dia berpaling kepada wanita tersebut, dan mengangkat tangan ke atas. Rupa orang mengalah.
Sesudah itu, dia menghela nafas panjang. Cuba bertenang.
“Okey, kalau betul aku dah curi duit kau, mana buktinya?”
Wanita itu menghambur tawa. Tidak kuat mana, bahkan kedengaran manis di telinga Kai, tetapi cukup untuk bunyinya memenuhi segenap ruang bilik.
“Bukti?” Dia mengulang.
“Tsk...tsk...tsk...” Kepalanya digeleng beberapa kali. “Kenapalah kau boleh jadi naif sangat dalam dunia yang kejam ni?”
Kai mengerutkan dahi.
“Kau tahu tak perkataan bukti tu, sangat over-rated? Hakikatnya dalam dunia ni, bukti tak diperlukan untuk apa-apa pun. Sebab pada akhirnya, yang menentukan semuanya ialah kuasa.”
“Jadi kau nak cakap, kau yang berkuasa sekarang?” tebak Kai. Pantas.
“Pandai. Aku yang akan tentukan sama ada...”
Sejenak, dia berhenti. Jari jemarinya yang tadi mengelap darah di bibir Kai, dibawa depan mata. 
“Darah yang ada di muka kau tu, cuma takat itu saja, atau pun...”
Sekali lagi, dia berhenti. Kai boleh nampak birai bibirnya yang senyum halus. Penuh sesuatu.
“Aku sebenarnya tak suka benda-benda kotor di tempat aku. But then, there's always an exception. Mungkin untuk hari ni, aku boleh biarkan kawasan ni bermandi dengan...”
Dia mengangkat anak mata tepat ke muka Kai, dan menyambung senada.
“Darah kau.”
Bulu roma Kai serta-merta meremang. Dia menelan liur, sebelum mengulum sengih. Sengaja mahu menayang rupa konon-konon tidak terkesan.
“Janganlah cakap pasal darah ni semua. Tak seronok. Isy, luka aku ni pun satu. Rasa dah lap elok-elok tadi. Kenapa berdarah balik?”
Pap! Kai menampar mulut sendiri.
“Isy, mulut ni. Jangan sebut pasal darah. Jangan sebut.” Dia menegur diri sendiri. Perempuan di hadapan memandang tanpa riak.
“Okeylah, kita janganlah cakap benda-benda menakutkan macam tu. Aku dah faham apa yang kau nak cakap. Ya, kaulah yang paling berkuasa sekarang. Kau yang tentukan aku akan keluar dari sini hidup-hidup, atau pun tidak.” Kai bercakap. Laju dan panjang lebar. Entah apa yang dia cakap, dia sendiri pun tidak tahu. Yang dia harap cuma satu. Janganlah darahnya menjadi korban di sini.
Dia tak mahu mati muda!!!
Wanita itu memberi isyarat kepada Lai Kuan. Terus, lelaki tersebut meloloskan diri di sebalik pintu.
Kai menarik nafas lega.
“Ingatkan kau tak rasa takut.”
Kai terpempan, dan menengok kepada sang penegur. Wanita tersebut menatapnya dengan sebelah kening terjongket. Jelas sindiran di situ. Langsung, Kai olok-olok melepas gelak.
“Takut? Tak...” Dia menggeleng. “Tak. Mana ada aku rasa takut. Aku cuma...”
Sebelah lagi kening wanita itu naik.
“Seriau,” sambung Kai sebelum menyengih. Seperti tawanya tadi, sangat palsu.
Buat kesekian kali, wanita tersebut senyum. Sekali lagi, bulu roma Kai meremang. Dalam masa singkat ini, dia sudah faham permainannya. Senyuman yang acapkali dia pamer itu, bukan senyuman biasa-biasa. Tetapi penuh dengan makna tersirat. Kalau maknanya elok, tidak apa juga. Ini tidak. Maknanya menyeramkan!
“Berapa lama lagi?” Wanita itu tiba-tiba menyoal.
“Berapa lama... apa?” Kai menyoal semula.
Hujung bibir wanita itu menyenget. Ada gelak halus yang terpacul keluar. Sinis menyapa telinga Kai.
“Kau nak berlakon bodoh macam ni.”
Kai membungkam.
“Kau fikir aku arahkan orang-orang aku bawa kau ke sini, tanpa tahu siapa kau yang sebenarnya?”
Kai mendiam lagi. Namun riak matanya sedikit-sedikit berubah. Birai bibirnya juga bergerak. Membentuk senyuman seribu satu makna. Kemudian, dia bertutur...
“Akhirnya, kita berjumpa… Athena.”
~ Bersambung... ~
Sara says:
It's here!!! Our heroin is here!! Korang tahu tak apa maksud Athena? For those yang tak tahu, it is a name of a Greek goddess. Atau lebih tepat lagi, a goddess of war. Dewi peperangan. So yeah, our heroin is a goddess of war.
Masa mula-mula Cik SA inform pasal manuskrip baru ni, Cik SA ada mention yang akan ada satu kelainan besar untuk next novel. So, inilah dia!!! Kalau sebelum ni, hero yang ala-ala bad boy/bad guy, kali ini it's the other way round. Our heroin is a bad bad girl. One badass woman. Strong. Fearless. Heartless.
So, who's excited with their story? Macam mana agaknya our sassy Kai nak berdepan dengan perempuan yang menakutkan ini? Okey, Kai. Good luck. You gonna need lots of luck. 
See you on next Friday!
Love, SA


November 1, 2019

CODE NAME COBRA - BAB 1

9:00 PM 6
BAB 1
“DAMN. That’s my new car,” gerutu Kai dari celah dada yang termengah-mengah. Sakit matanya melihat Chevrolet Camaro yang baru sahaja dua bulan dibeli, tetapi kini sudah hampir lunyai dikerjakan oleh beberapa orang lelaki yang muncul tiba-tiba tadi. Sewaktu dia baru pulang dari kelab, dan mahu naik ke rumahnya. Belum sempat dia keluar kereta, ada dua buah kereta lain yang datang menghadang. Kemudian, orang-orang di dalamnya keluar membawa besi dan batang besbal. Mereka menyerbu dan...
Prang!!!
Cermin depan keretanya dihentak kuat. Tidak pecah. Tetapi cukup untuk membuatnya retak seribu. Kai cuma mampu melihat dari dalam. Terkejutnya bukan kepalang. Ini kereta baru dia!!!
Tidak cukup dengan itu, mereka menyerang dari tepi pula. Habis kedua-dua belah pintunya dihentak dan ditendang. Dia menekup kepala kuat-kuat. Reaksi spontan mahu melindungi diri. Tidak terlindung mana pun. Kerana dia akhirnya diseret keluar. Entah macam mana, dia juga tidak sedar. Yang pasti, dia baru sahaja terlepas daripada mereka. Itu pun setelah berhempas pulas melawan.
Lalu, di sinilah dia. Bersembunyi di sebalik salah satu tiang di kawasan parkir kereta. Mengintai kereta baru dari celah-celah tiang, dan merasai betapa sadisnya keadaan dia sekarang. Huwaa! Kereta baru dia!!
“Cari dia! Cari dia sampai dapat!!!”
Secepat kilat, Kai menyembunyikan semula dirinya balik tiang. Telinganya dengan jelas mendengar bunyi derap kaki yang kelam-kabut, berselang-seli dengan tempikan lantang. Walau tidak ingin, dia mula terbayangkan sang pemilik suara itu.
Lelaki tinggi dengan badan tegap, dan tatu di lengan. Muka boleh tahan, tetapi itulah...garang sangat.
“Dai-lo! Sana!!!”
Kai tersentak. Spontan, dia mengeluarkan kepala. Tepat bertentang dengan beberapa kepala lain. Semuanya merenung kepadanya.
Lambat-lambat, Kai bangkit dari cangkungan, keluar dari tempat persembunyian dan kemudian...
“Oh, you found me.” Dia menyengih sambil melambai tangan.
“Tak guna!” Lelaki tinggi bertatu tadi mencarut dan menyerbu ke hadapan. Anak buahnya mengambil tindakan sama.
Kai tidak menunggu lama. Dia mengangkat langkah dan menyambung larian yang tadi terbengkalai. Kakinya berdesup di celah-celah kereta yang tersusun. Sekejap dia ke kiri, sekejap dia ke kanan. Sengaja mahu mengelirukan orang-orang di belakang. Ada beberapa kali, dia melompat dan melongsor atas but kereta. Tetapi setiap kali itu, kesakitan di bawah rusuknya rasa semakin mencucuk. Ngilu berdenyut-denyut. Kai tahankan sahaja, dan terus memecut. Namun...
“Kau fikir kau boleh lari?”
Dia kini berada dalam kepungan. Elok-elok di tengah laluan kereta, dikelilingi... Satu, dua, tiga... enam orang lelaki.
Kai menegakkan tubuh. Namun tangan kanannya memegang bawah rusuk kiri. Aduh, pedih sungguh!
“Aku bukan mahu lari.” Dia menjawab selamba.
Lelaki tinggi bertatu menyengetkan bibir. Ada gelak sinis yang keluar.
“Bukan mahu lari? Habis tu, tadi apa?”
“Nak selamatkan diri daripada serangan kau orang semua.”
Kali ini, lelaki tinggi bertatu ketawa pula. Terbahak-bahak. Anak-anak buahnya berpandangan sesama sendiri, sebelum mengambil tindakan serupa.
Kai menyelit sama. Ketawa olok-olok, sambil matanya meliar mahu cari ruang untuk bolos. Sampai di tengah-tengah antara lelaki satu dan dua, dia nampak peluang. Berdesup Kai ke sana. Baru dia mahu bolos, belakang badannya terasa dihentak. Dia tersodong ke hadapan. Hampir-hampir jatuh mencium lantai, namun dengan pantas dia mengimbangkan badan. Secepat itu juga, dia berpusing ke belakang dan menyambut sebelah kaki yang hampir melibas kepalanya. Kaki itu, dia bawa ke kepala lutut dan dihentak kuat-kuat.
“Arghhh!!!” Raungan mangsanya berbunyi kuat.
“Opsss, sorry. Siapa suruh serang aku?” Kai menegur seraya mengelak satu lagi serangan. Sang penyerang mendengus geram, dan berpaling semula kepada Kai.
Kai tayang muka tak bersalah. Ekor matanya menangkap pergerakan dari belah kiri. Terus, dia memusing badan dan melibas konco lain yang tiba-tiba muncul itu. Lelaki yang tadi gagal menyerang, masuk semula. Tangannya naik tinggi. Hampir mengenai pipi Kai. Kai menghadang dengan lengan. Kemudian, dia menyepak perut lawannya. Lelaki itu terundur beberapa tapak ke belakang.
Buk!
Kepala Kai tiba-tiba terasa berpusing. Mata berpinar-pinar. Otaknya biul sekejap, sebelum dia menstabilkan diri dan...
Buk!
Menerima satu lagi tumbukan.
Buk!
Dan satu lagi.
Kali ini, Kai melindungi mukanya dengan kedua-dua belah tangan.
“Arghh...”
Perutnya pula yang terasa senak. Kai menjatuhkan tangan, cuba melihat penyerang yang lebih pantas ini. Dari sebalik mata yang berpinar-pinar, dia dapat melihat lelaki tinggi bertatu tadi. Sedang meluru kepadanya, dengan sebelah kaki terangkat tinggi.
Kai menundukkan kepala. Bunyi desing lalu sebelah telinganya. Bawa bersama kaki panjang yang hampir-hampir melibas kepalanya. Kai tidak menanti lagi. Dia memusing badan dan menghantar serangan pula. Tumbukannya tepat mengenai pipi lelaki tersebut. Sekali, dua kali. Baru mahu masuk kali ketiga, belakang badannya dihentak. Kai tersorong ke hadapan, jatuh dalam pegangan lelaki tinggi bertatu.
Kai mengangkat muka kepadanya, dan menyeringai.
“Ni hao (Hai).”
Lelaki itu senyum menyenget, dan melempar Kai balik ke tempat asal. Disambut oleh serangan demi serangan oleh anak buahnya. Kai cuba mengelak. Sesekali melawan semula. Namun semakin dia berusaha, semakin tubuhnya malas bergerak. Dia dapat rasakannya. Betapa tubuhnya jadi perlahan. Nafasnya putus-putus. Matanya berbalam-balam, antara darah dan peluh. Lalu akhirnya...
Kaki Kai jatuh sedikit demi sedikit ke atas lantai. Duduk melutut dengan kedua-dua belah tangan longlai ke sisi.
Pap! Pap!
Telinganya samar-samar mendengar bunyi derap tapak kasut. Tidak sempat Kai menengadah, bawah rahangnya lebih dahulu direngkuh. Kepala Kai jadi terdongak. Memandang wajah lelaki tinggi bertatu.
“Kau memang suka main-main, kan?”
Kai menggerakkan bibir. Menyengih buat kesekian kalinya. Terasa darah yang melekat di lidahnya dan memenuhi mulut.
“Kalau tak kerana dia nak kau hidup-hidup, dah lama aku robek-robek mulut kau dan bagi kau jadi makanan anjing,” desis lelaki di hadapan muka Kai. Hidungnya berdengus-dengus. Nafasnya menampar muka Kai. Huh, busuk!
“Sekarang, bawa dia!” Usai mengutuk Kai, lelaki itu menjatuhkan arahan. Automatik, dua orang anak buahnya mendekat dan mencengkam lengan Kai. Seorang sebelah kiri dan seorang sebelah kanan. Kai cuba meronta. Hanya mendapat satu tumbukan di perut. Sudahnya, Kai membiarkan mereka menyeret dia ke...
Entah ke mana. Dia tidak tahu. Yang dia pasti cuma satu. Dia kini kembali ke arah Chevrolet kesayangannya. Beberapa langkah lagi mahu sampai ke sana, lelaki di sebelah kiri kanannya memusing badan. Kai terseret sama. Hanya but pecah keretanya yang sempat dia kerling dari kejauhan. Sipi-sipi sebelum lenyap dari pandangan mata.
Kedua-dua lelaki di sisi Kai mengheret lagi, hingga sampai ke sebuah van. Pintunya dibuka luas-luas. Tubuh Kai ditolak masuk ke dalam. Seketika kemudian, van tersebut meluncur pergi.
*****
“INI kat mana? Kau bawa aku ke mana ni?” Kai menyoal sambil menengok tepat ke hadapan. Pada sebuah pintu warna hitam sederhana besar. Dengan seni bina ala-ala Cina kuno. Siap dengan ukiran di sekeliling. Ada satu bau aneh yang menusuk ke dalam lubang hidungnya. Kai menggerak-gerakkan hidung, terasa mahu bersin.
“Hei, aku tanya ni.” Sekali lagi, Kai bertanya. Sia-sia cuma. Lelaki tinggi bertatu sekadar berjalan melepasinya dan menolak pintu tersebut. Sedikit-sedikit hingga daunnya terbuka. Keriuk bunyinya kedengaran perlahan. Bau yang tadi melekat di hidung Kai, menjadi semakin kuat. Dia semakin pegun melihat ke hadapan. Pada kegelapan yang mula kelihatan dari balik pintu hitam.
“Masuk. Tunggu apa lagi?” Lelaki tinggi bertatu menyergah dari sebelah pintu. Dua manusia yang masih setia mencengkam lengan kiri dan kanan Kai, cepat-cepat menolaknya dari belakang.
“Tak payah tolak-tolak. Aku boleh jalan sendiri.” Kai membentak, seraya menapak masuk.
Sebaik tiba ke dalam, ruang gelap tiba-tiba bertukar. Kai terlongo, melihat satu-satu lampu jalan jadi bernyala. Lantas, menampakkan satu laluan panjang ke hadapan. Jalannya diperbuat daripada batu-batu kerikil kecil yang sudah disusun dan diturap. Kai tidak tahu apa yang ada di belah kiri dan kanan laluan. Kegelapan malam tidak memungkinkan dia nampak. Namun di hujung sana, di tempat berakhirnya laluan, ada sebuah rumah kecil. Okey, mungkin bukan rumah. Tetapi suatu struktur binaan dengan bumbung yang menjongket ke atas. Diperbuat daripada kayu, dengan pintu dan tingkap yang kelihatan bersinar dari dalam. Mungkin sekadar efek dari lampu, tetapi sungguh! Itulah yang matanya nampak sekarang.
‘Rumah’ itu kelihatan bersinar.
“Aku dah mati ke sekarang? Kau dah bawa aku masuk syurga ke?”
“Kau ingat kau layak masuk syurga?” Lelaki bertatu tinggi menyindir dari sebelah.
Kai mengerling kepadanya. Seperti tadi, lelaki itu menayang muka garang tidak berperasaan. Kai menjuih mulut. Huh, tak boleh ke maniskan sikit mulut tu?
Mereka berjalan beberapa tapak lagi, hingga akhirnya sampai betul-betul depan ‘rumah’ bersinar tadi. Ada seorang wanita berdiri di tepi pintu.
“Dai-lo.” Dia menegur. Kai menatapnya lebih jelas. Umur dalam anggaran empat puluh-an. Berpakaian cheongsam serba hitam.
“Beritahu dia, kami dah sampai.” Lelaki tinggi bertatu bersuara.
Telinga Kai terbuka luas. Ada sesuatu yang lain dalam nada suara lelaki tersebut. Ada hormat. Ada gentar.
Kai mula rasa tidak sedap hati. Lebih-lebih lagi, bila wanita bercheongsam tiba-tiba menghulurkan selembar kain kepadanya dengan kata-kata…
“Nah. Bersihkan diri dulu. Dia tak suka sesiapa masuk dalam keadaan macam ni.”
Kai tidak menyambut. Sebaliknya dia menyengetkan diri ke arah lelaki tinggi bertatu. “Kita nak jumpa siapa sebenarnya ni?”
“Ambil kain tu.” Soalan Kai tidak berjawab. Arahan pula yang dia terima.
Kai mendengus sebal.
“Nak ambil macam mana kalau orang-orang kau duk pegang aku macam ni?” tempelak Kai sambil menjegil mata.
Lelaki tinggi bertatu memberi isyarat kepada anak buahnya. Automatik, mereka melepaskan dia.
Kai menjeling tajam seraya membetul-betulkan urat bahu. Kemudian, dia mengambil kain yang terhulur. Acuh tak acuh, dia mengelap darah dan peluh yang memenuhi diri. Ekor matanya sesekali melekat kepada lelaki tinggi bertatu. Seperti dia, lelaki itu juga mengelap-ngelap diri. Tiba-tiba, Kai rasa ingin ketawa.
Sungguh! Apa yang mereka sedang buat? Tadi bukan main berlawan sesama sendiri, tetapi sekarang sebelah-menyebelah mengelap luka sendiri?
“Dipersilakan masuk.” Usai melihat mereka selesai dan mengambil semula kain, wanita bercheongsam mengundur satu tapak ke belakang. Ruang depan pintu, serta-merta terbuka. Lelaki tinggi bertatu melangkah ke hadapan. Kai tidak berganjak. Dia berpandangan dengan wanita bercheongsam. Hanya tatapan kosong yang dia dapat daripada wanita tersebut.
“Kau nak ikut aku masuk sendiri, atau kau nak orang-orang aku heret kau masuk?” Suara keras lelaki tinggi bertatu menujah telinga.
Serentak itu, dua orang anak buah yang tadi senyap, bergerak rapat. Kai cepat-cepat mengangkat kaki. Hampir tersadung atas tangga, tetapi dia pantas mengimbangkan badan dan mengambil tempat di sisi lelaki tinggi bertatu. Sama-sama berjalan masuk.
“Kita nak jumpa siapa sebenarnya ni?” Soalan yang tadi, dia ulang semula.
“Kau memang banyak cakap, kan?”
“Dah kau tiba-tiba muncul rosakkan kereta aku, kemudian heret aku ke entah mana-mana ni, kau ingat aku boleh diam?”
Drastik, lelaki tinggi bertatu berhenti dan memusing badan ke sebelah. Kai membrek kaki dan turut menoleh kepadanya.
“Kau patut diam. Kalau kau nak hidup.” Bisikan keras menyapa hujung telinga Kai, disertai dengan renungan tajam.
Kai menyengap. Sekejap cuma. Selepas itu, dia mengulum senyum. Sengaja dan sinis.
“Mungkin kau dah lupa apa yang kau sendiri cakapkan tadi. Kau tak boleh bunuh aku, kan? Ada orang nak aku hidup-hidup, kan?”
Senyuman sinis tersungging di bibir lelaki hadapan Kai. Mata yang tadi tajam, bertukar terhibur.
“Kau fikir kau patut gembira dengan itu? Kau memang tak sedar apa yang kau dah buat, kan? Dan apa yang kau akan hadap.”
Muka Kai terasa berderau. Namun cepat-cepat dia ubah riak wajah, dan melebarkan senyuman. Terasa palsu pula kali ini.
“Kau ingat dengan cakap macam tu, aku boleh jadi takut?”
“Habis tu, kenapa tak nak masuk tadi?” Pedas sindiran yang dia terima.
Kai mencemik. Baru dia buka mulut ingin membalas, lelaki tinggi bertatu menyambung langkah. Kai membuntuti. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Rajin pula kakinya mengikut manusia yang sesuka rasa membelasahnya beberapa ketika lepas.
“Satu nasihat aku.”
Dahi Kai berkerut. Tidak ada angin, tidak ada ribut, nak bagi nasihat pula?”
“Apa dia?” soal Kai, sekadar berbasi-basi.
“Kalau kau nak buat sesuatu, tahu dulu siapa yang kau akan sentuh.”
Kai menoleh kepada orang sebelah. Lelaki itu kekal memandang ke hadapan, dengan kepala tegak. Tidak sedikit pun berpaling kepadanya. Menjeling pun tidak!
“Apa kau cakapkan ni?”
Soalan Kai terbiar sepi. Lelaki tinggi bertatu berjalan lagi, hingga akhirnya sampai depan sebuah pintu. Di situ, dia memusing badan. Menghadap Kai. Anak matanya merenung tepat ke muka Kai. Hujung bibirnya menyenget secalit.
Kai menggaritkan kening, dan melihat dengan rasa curiga. “Kau dah kenapa tengok aku macam tu? Seram aku!”
Bibir lelaki itu melebar lagi. Senget bercampur sinis.
“Huh, betul kata dia. Tak berbaloi pun bunuh orang macam kau.”
Kai melopongkan mulut. Mungkin dia sudah jadi tidak betul. Tetapi telinganya tiba-tiba rasa panas. Kata-kata lelaki itu seolah-olah menggambarkan dia sebagai manusia yang tidak layak pun untuk dibunuh. Seseorang yang tidak ada apa-apa. Nothing. Nobody.
Namun…
“Lebih baik jadi tak berbaloi daripada berbaloi, kan? I love my life and I want to live, you know,” balas Kai dengan suara yang dibuat seriang mungkin. Siap dengan sengih yang sengaja ditayang besar-besar.
Lelaki tinggi bertatu tergelak kecil. Jelas-jelas mentertawakannya, tetapi Kai selamba mempamer muka tak bersalah. Tidak cukup dengan itu, dia menolak lelaki itu ke tepi.
“Kau susah-susah bawa aku ke sini, sebab nak aku jumpa ‘dia’ yang kat dalam ni, kan?” soal Kai dengan perkataan ‘dia’ yang sengaja ditekankan.
Belum sempat lelaki tinggi bertatu membuka mulut, Kai lebih dahulu menolak daun pintu. Sedikit demi sedikit, ianya terbuka. Sedikit demi sedikit juga, cahaya dari dalam menjamah muka Kai. Bau yang tadi juga, kembali lagi. Lebih ringan. Lebih wangi.
Kai menelan liur. Entah kenapa, jantungnya tiba-tiba berdebar. Sebelah kakinya dibawa masuk ke dalam. Kemudian, sebelah lagi. Pintu di belakangnya terkatup semula. Lalu, memisahkan dia dengan lelaki tinggi bertatu. Namun lewat ekor matanya, sempat Kai lihat senyuman secalit sinis yang masih menghiasi bibir lelaki tersebut.
“Tak ada. Tak apa-apa akan jadi. Tak ada…” Cepat-cepat, Kai menggeleng kepala sambil terkumat-kamit sendiri. Senyuman penuh tersirat itu, cuba dia hambat jauh-jauh. Kakinya pula diayun ke hadapan. Menghampiri kain penghadang yang merentangi ruang bilik. Sampai dekat-dekat, Kai menyelaknya. Saat itu juga, dia…
Terpaku.
~ Bersambung... ~
Sara says: 
It's here!!! My new manuscript, yang InsyaAllah akan jadi next published novel. Seperti yang Cik SA dah mention dalam IG (siapa belum follow, please do), tajuk untuk manuskrip baru ni dirahsiakan dulu hinggalah sampai ke scene yang bakal reveal tajuknya. 
Cik SA dah share few teasers di IG, and many readers are like... "Cik SA, please reveal nama hero-heroin!" Haha, comel je korang sebab excited. Thank you for that. Bila korang excited, Cik SA jadi lagi excited. So, here it is!! Nama hero simple je. Seketul KAI. Nope, dia ada nama panjangnya. Beautiful name with beautiful meaning. Tapi, itu kita tunggu dulu. For now, let's just call our new hero as KAI. 
Selamat berkenalan dengan Kai, my darlings. Agak-agak dia jumpa siapa sampai terkejut macam tu sekali? Jeng...jeng...jeng... kita tunggu next chapter, which will be...
NEXT TUESDAY.
Cik SA akan update manuskrip ni, dua kali seminggu. Pada hari Selasa dan Jumaat. Pukul 9 malam. So, stay tuned untuk date kita setiap Selasa dan Jumaat. 
Thank you and see you!! 
Love, SA
x