November 18, 2019

CODE NAME COBRA - BAB 6 & 7

BAB 6
"ADAKAH kau masih mahu menyertai kumpulan?"
"Ya. Aku mahu." Dalam keadaan melutut, Kai menjawab. Setegas mungkin. Bodohlah dia jika dia menjawab 'tidak'. Pertama, kerana memang ini yang dia mahu. Kedua, kerana menjawab 'tidak' cuma akan membawa mati. Dia sudah berada di separuh upacara kemasukan, sudah tahu terlalu banyak tentang upacara ini dan siapa yang terlibat. Berpatah balik pada saat ini bermakna mencari maut.
Lelaki separuh umur di hadapan Kai, mengangguk puas hati. Dialah heung chu, orang yang bertanggungjawab dalam mana-mana ritual bagi kumpulan kongsi gelap. Berada di tangga kedua dalam hierarki organisasi kongsi gelap.
Upacara bersambung lagi. Rambut Kai dipotong pendek dan disikat elok-elok. Sesudah itu, wajahnya dibasuh. Kai pernah mendengar, bahawa ritual ini diadakan sebagai tanda membuang zaman silamnya dan membasuh apa-apa emosi yang masih bersisa dalam hati. Selesai membasuh muka, Kai menanggalkan baju dan seluarnya. Digantikan dengan satu jubah labuh berwarna putih. Sehelai kain warna merah diikat di sekeliling kepala. Selain itu, dia juga diminta memakai satu pasang sandal yang diperbuat daripada jerami. Sepanjang upacara berlangsung, satu sajak ritual dibaca oleh orang-orang lain yang mengelilingi.
Dia kemudiannya dibawa ke hadapan sebuah altar, sambil memegang sembilan helai lalang panjang. Kai memerhati heung chu meletak sehelai kertas kuning ke dalam bekas kemenyan yang berada atas altar. Sajak ritual dibaca lebih kuat. Dengan setiap satu verse, Kai dan beberapa rekrut lain bangkit meletak satu lalang ke dalam bekas kemenyan yang sama. Dua batang lilin diperbuat daripada kayu dibakar, semakin banyak sajak dibaca dan kemudian, sebatang lilin merah diletak. Sebuah jug perak dan tiga cawan jed dipersembahkan. Sesudah itu, ketiga-tiga batang lilin dinyala. Yang terakhir, ialah lilin merah.
Upacara diteruskan lagi. Kali ini, tiga puluh enam sumpah kongsi gelap dibaca. Inilah saat penentuan dan paling penting dalam upacara. Yang perlu diingat oleh setiap satu rekrut yang ada. Melanggar mana-mana satu dalam tiga puluh enam sumpah ini, mengundang pelbagai balasan. Kai dengar semuanya. Kebanyakannya berakhir dengan kematian.
Tidak boleh membocorkan rahsia kumpulan. Jika buat demikian, mati.
Tidak akan merampas harta 'adik beradik' yang lain. Jika buat demikian, mati.
Tidak akan menjadi penyebab kepada ketidakharmonian antara 'adik beradik' dengan menyebarkan khabar angin tentang mereka. Jika buat demikian, mati.
Tidak akan menjalinkan hubungan dengan isteri kepada 'adik beradik' yang lain. Jika buat demikian, mati.
Ah, ada macam-macam lagi. Kai dengar sambil menanti semuanya habis disebut. Selesai mengangkat sumpah, tiba masanya untuk mereka memeterai sumpah setia mereka kepada kumpulan. Jari tengah setiap rekrut yang ada, dicucuk dengan jarum. Darah yang keluar dititiskan ke dalam sebuah mangkuk yang mengandungi wain. Sesudah itu, kertas kuning yang tergantung di pintu masuk dewan dibakar. Abunya ditambah ke dalam wain. Campuran tersebut dirasai dengan menggunakan jari yang dicucuk tadi dan diminum oleh rekrut hingga kering. Seekor ayam jantan yang tersedia, kemudian disembelih di hadapan semua orang. Satu sumpahan dibaca. Jika ada sesiapa di antara mereka yang melanggar janji sumpah setia mereka, dia akan berkongsi nasib yang sama dengan ayam jantan tersebut. Setelah itu....
Prang!!!
Mangkuk kosong tadi dipecahkan. Sebagai simbol kematian bagi sang pengkhianat.
Setelah lima jam lamanya, upacara akhirnya berakhir. Seperti rekrut-rekrut yang lain, Kai kekal memapar wajah tenang sepanjang upacara berlangsung. Namun, otaknya memateri setiap satu wajah yang ada. Terutama sekali...
Heung chu.
*****
"JADI, heung chu untuk Red Sun ialah Dato' Lim Yong Beng."
Kai mengherotkan bibir, sambil melihat gambar yang dia letak di papan kenyataan. Tertampal di tangga kedua gambar rajah organisasi The Sun Society. Elok-elok bawah perkataan heung chu.
"Betul jangkaan puan selama ni. Dato' Lim benar-benar ada kaitan dengan kumpulan. Sekarang, aku tertanya-tanya. Siapa lagi yang terlibat?"
Semakin Kai bercakap, semakin pandangan matanya berdesis dengan rasa tertarik. Kalau Lim Yong Beng, seorang lelaki yang dikenali dengan segala kerja kebajikannya, pada hakikatnya mempunyai kaitan dengan jaringan kumpulan kongsi gelap, bayangkan siapa yang sebenarnya berada di tangga paling atas?
Anak mata Kai naik ke tangga nombor satu dalam carta organisasi. Gambar bayang-bayang hitam dengan tanda soal putih yang sebelum ini ada sebelah gambar Athena, sudah pun dia alih dan letak di situ. Tertera atas gambar tersebut, perkataan...
Shan chu
"Shan chu a.k.a Dragon Head. Panggilan yang digunakan untuk dia ialah cho kun. Kalau dibandingkan dengan yakuza, dia adalah bersamaan dengan oyabun. Meaning, yang paling atas dalam hierarki The Sun Society. Mengetuai semua kumpulan bawahan iaitu Black Sun, White Sun, Yellow Sun dan tak lupa juga... Red Sun."
Suatu suara terngiang-ngiang di celah telinga Kai. Dia merenung lebih tepat kepada gambar bayang-bayang hitam.
"Siapa kau?" Perlahan, Kai bertanya. Semestinya, tiada jawapan yang menerpa. Apa yang ada di sekeliling hanyalah ruang rahsia dan keheningan malam.
Treet... treet...
Kai mengerling ke belakang, pada telefon bimbit yang dia letak atas meja. Tampak bergetar tanda menerima mesej. Lantas, Kai menghampiri. Telefon bimbit diambil dan dibawa depan muka. Mesej yang baru diterima, dibuka buat tatapan. Anak matanya bergerak membaca satu-satu perkataan.
White Lotus. Esok. 11 pagi.
Hanya itu yang tertulis. Tetapi Kai tahu siapa penghantarnya dan apa maksudnya. Athena mahu menemuinya, esok pada pukul sebelas pagi, bertempat di White Lotus Tea House.
Kai mengulum senyuman, seraya menaip balasan.
Can't wait to see you.
Kemudian, dia menekan butang 'send'. Menanti beberapa saat, tiada sebarang balasan yang diterima. Sekali lagi, Kai senyum. Dapat dia bayangkan muka tanpa perasaan Athena saat membacanya. Atau mungkin juga, Athena terus menghapuskan mesej tersebut. Ah, wanita itu. Kerasnya macam batu. Dinginnya macam air batu.
Tetapi...
"Ini Cobra lah. Mr Romeo terunggul kita. Aku pasti akan dapat cairkan kau. Dan kemudian..."
Kai memandang ke hadapan, dengan seribu satu makna.
"Aku akan dapat apa yang aku nak."

BAB 7
WHITE LOTUS TEA HOUSE.
Kalau sebelum ini, Kai melihatnya pada waktu malam. Sekarang, dia melihatnya pada waktu siang. Pintu hitam yang sebelumnya terkatup, sudah dibuka luas-luas. Malam itu, Kai tidak perasan. Tetapi rupa-rupanya, pintu tersebut dikelilingi oleh lingkaran bunga. Kai tidak tahu bunga apa, tetapi warnanya merah terang. Terserlah di celah-celah hijaunya daun.
"Excuse me."
Kai tersentak. Lekas-lekas, dia memberi laluan kepada seorang gadis yang tadi menegur. Temannya mengikut dari belakang. Seorang lelaki muda. Mungkin teman lelakinya. Entah apa yang mereka bualkan, bunyi mengekek tawa mereka menjamah telinga Kai, waktu mereka berjalan melepasinya. Beberapa saat kemudian, mereka berdua sudah pun hilang melalui ruang pintu yang terbuka.
Kai mengambil tindakan serupa. Dia melangkah masuk. Sekali lagi, Kai bagaikan terpanar. Apa yang dia tidak nampak di belah kiri kanannya malam itu, kini terang-benderang kelihatan. Taman. Dengan ciri-ciri Cina klasik. Ada pepohon bonzai. Ada kolam sederhana besar. Ada gazebo dengan bumbung runcing ke atas. Ada jambatan yang menjadi penghubung antara gazebo-gazebo tersebut.
Tiba-tiba Kai rasa seperti berada di Tanah Besar China. Di rumah teh yang pernah dia kunjungi di sana.
"Sini! Sini!"
Kai menoleh ke arah datangnya suara. Gadis tadi sedang mengheret teman lelakinya sampai ke tepi kolam. Si teman lelaki mengikut sahaja dan membawa telefon bimbitnya depan muka. Mengambil gambar si gadis yang sudah membuat pose macam-macam.
Kai tersenyum halus. Ah, zaman muda yang menyeronokkan! Sesudah itu, dia meliarkan lagi pandangan ke sekeliling. Penuh dengan orang ramai. Pelbagai rupa, bangsa dan umur. Masing-masing tampak takjub. Jelas tidak menduga bahawa di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur, wujudnya tempat seperti ini. Pintu hitam tersebut benar-benar menyembunyikannya. Lalu bila pintu dibuka, orang ramai seperti dibawa masuk ke dunia lain.
Kai melihat pula ke hadapan. Ke arah rumah bersinar malam itu. Di siang hari, barulah Kai nampak lebih jelas. Apa yang ada ialah sebuah binaan ala-ala rumah Cina yang panjang. Berwarna putih dindingnya. Berwarna hitam bumbungnya. Tiang-tiang di koridor pula berwarna coklat gelap. Bumbung di bahagian tengahnya lebih tinggi dan lebih meruncing ke atas. Kai kira itulah ruang utamanya, yang tampak bersinar malam itu. Bila bahagian lain gelap semuanya, tetapi ruang itu dipasang lampu, maka ruang tersebut akan kelihatan bersinar.
Kai tergelak kecil. Mentertawakan diri sendiri yang kini baru mengerti. Dia berjalan melalui laluan berkerikil, hingga akhirnya sampai ke ruang tengah itu.
"Cobra."
Langkah kaki Kai terhenti. Dia menoleh ke arah sang penegur. Perempuan malam itu. Kini, tidak lagi mengenakan cheongsam hitam. Sudah digantikan dengan warna hijau.
"Kamu Cobra, kan?" Dia menanya sambil berjalan mendekati.
Kai mengangguk kecil.
"Ikut saya."
Tanpa menanti reaksi Kai, perempuan tersebut berjalan melepasi Kai dan meninggalkan dia. Sejenak, Kai terpinga-pinga. Dia kemudiannya memusing badan dan mengikut perempuan itu dari belakang. Sesekali, perempuan itu akan menegur pelanggan yang hadir. Ada juga dia berhenti bercakap dengan seorang dua gadis yang turut mengenakan cheongsam. Kai yakin mereka itu ialah staf di rumah teh ini.
Masih tidak mempedulikan Kai, perempuan bercheongsam hijau meneruskan perjalanan. Sampai depan sebuah pintu, dia masuk. Kai membuntuti. Kelihatan ruang-ruang sederhana besar yang tersusun di dalamnya. Tidak ubah seperti kubikel di pejabat. Cuma bezanya di sini, ruang-ruang tersebut ialah tempat minum teh. Pelanggan-pelanggan duduk di situ, menikmati teh dan makanan yang ada. Tampak seronok semuanya. Berbual dan bercanda sesama sendiri, sambil sesekali mengangkat cawan dan minum isinya.
"Athena."
Kepala Kai laju berpaling, saat mendengar nama itu. Di hujung sana, tidak berapa jauh daripadanya, kelihatan Athena sedang bercakap-cakap dengan perempuan bercheongsam hijau. Sesekali, mereka menjeling kepadanya. Perempuan bercheongsam hijau kemudiannya mengangguk kepala, sebelum berpusing semula ke arah Kai. Athena di hujung sana, melihat sekilas kepada Kai. Serius tanpa senyuman. Namun, sebaik seorang pelanggan datang mendekat, dia terus memaniskan muka. Senyuman terbentang dengan pandangan mata yang tiba-tiba jadi lembut.
Kai menyengetkan bibir. Huh, pandai sungguh dia berlakon!
"Sini."
Teguran perempuan bercheongsam hijau berbunyi dari sebelah. Terus, Kai memberi perhatian padanya semula. Lewat isyarat muka, perempuan itu meminta Kai mengikut lagi. Serupa pak turut, Kai sekali lagi menurut langkahnya. Mereka keluar dari ruang tadi, melepasi koridor panjang, hinggalah sampai ke belakang rumah. Ada satu binaan tinggi warna kelabu di situ. Sekali tengok, seperti pagar yang memisahkan rumah teh dengan dunia luar. Tetapi gerak hati Kai mengatakan yang lain. Dia mula rasa syak.
Ternyata, syak wasangkanya berasas bila mana perempuan bercheongsam hijau menghampiri satu kotak kecil yang melekat di situ. Penutupnya dibuka. Kelihatan beberapa butang yang tersusun sebelah menyebelah di situ. Perempuan bercheongsam hijau mengangkat tangan mahu menekan butang. Namun, tindakannya terhenti sekejap. Ekor matanya mengerling kepada Kai. Lekas, Kai buat-buat melihat ke tempat lain. Perempuan itu memusing sedikit badannya agar menutupi pandangan mata Kai. Bunyi butang ditekan-tekan, menjamah hujung telinga Kai. Beberapa saat kemudian...
Pintu yang terletak di tengah-tengah pagar kelabu mula bergerak. Sedikit-sedikit, dari kiri ke kanan. Apa yang terlindung di sebaliknya mula kelihatan.
Sebuah bangunan lain. Tidak seperti rumah teh yang tradisional, bangunan ini serupa bangunan-bangunan yang lain. Moden. Diperbuat daripada batu. Cuma satu tingkat. Lurus binaannya. Sudah serupa rumah teres. Ada beberapa orang keluar masuk. Lelaki ada. Wanita juga ada.
Di hujung sana, tidak jauh dari bangunan teres ini, ada pula sebuah binaan lain. Kelihatan seperti banglo. Siap dengan pagar sendiri yang mengelilingi tinggi. Kai tidak nampak bahagian dalamnya. Yang terlihat cuma bumbung hitamnya. Kai melirik penuh minat. Yang itu, lebih menarik perhatian.
Perempuan bercheongsam hijau melangkah lagi. Kai mengikut lagi. Setapak demi setapak, hingga mereka akhirnya berada di hadapan sebuah bilik. Ada sebuah bangku di tepi pintu.
"Kita akan tunggu di sini. Sekejap lagi, Athena sampai."
Dahi Kai serta-merta berkerut.
"Kita?"
Perempuan bercheongsam hijau menatapnya tepat.
"Ya, kita. Athena dah pesan, kamu tak boleh ditinggalkan sendirian."
Sekali lagi, Kai rasa mahu mengherotkan bibir. Menyindir pemikiran seorang Athena. Jelas benar bahawa wanita itu tidak mempercayai dia. Tetapi tidak mengapa. Dia akan buat Athena mempercayai dia dan mungkin...
Lebih daripada itu.
Lalu, Kai mengambil tempat duduk di bangku yang tersedia. Perempuan bercheongsam hijau berdiri di sisi kanan.
"Tak nak duduk?" Kai menegur dia.
Perempuan itu menjeling sekilas padanya, tanpa jawapan. Kai menjongket bahu ke atas.
"Okey, fine. Kalau kau tak nak, aku tak paksa." Dia bertutur lagi, sambil menyandarkan tubuh ke dinding. Tidak cukup dengan itu, dia turut membawa kedua-dua belah tangan ke belakang kepala. Rupa orang relaks menanti.
"By the way, apa nama kau?" Rajin dia menyoal orang sebelah.
Seperti tadi, soalan Kai terbiar sepi. Dia menjuih mulut. Ada emas ke apa dalam mulut dia ni? Malas benar jawab soalan aku.
"Ling kah-jie (Kak Ling)."
"Eh, kau jawab soalan aku," tutur Kai, terlebih teruja pula. Kepalanya dipusing ke sebelah kanan dan...
"Oh, bukan kau." Dia membetulkan bicara sendiri tadi.
"Kecewa nampak?" Orang yang baru muncul laju menyindir.
Kai bangkit dari duduknya.
"Bukan kecewa. Ingatkan tadi, akak ni..."
Perempuan bercheongsam hijau menjeling kepada Kai. Terus, dia mengatup mulut dan berdehem sekejap.
"Perempuan manis ni yang jawab soalan aku." Kai mengubah ayat dengan muka selamba tak bersalah.
Perempuan itu membundarkan mata kepadanya, dengan muka pelik. Tetapi Kai perasan hujung bibirnya yang bergerak secalit selepas itu. Senyuman halus terukir.
Kai senyum dalam hati. Huh, perempuan! Garang macam mana pun, selalu kalah dengan pujian.
"Tak payah puji-puji. Tak laku."
Okey, mungkin bukan perempuan yang seorang ini. Kai mengeluh dalam hati, dan memaling muka kepada sang penutur tadi. Athena, macam biasa, dengan muka kosong tanpa riak.
"Aku puji dia. Bukan puji kau. Yang kau sibuk, kenapa?"
Kali ini, muka kosong itu tampak berderau. Dengusan nafasnya juga berbunyi lebih kuat.
"I know her. Ling kah-jie bukan macam perempuan-perempuan di sekeliling pinggang kau. Dia takkan cair dengan ayat manis kau."
Kai membulatkan mata.
"Wow! Kau tahu pasal perempuan-perempuan di sekeliling pinggang aku. This is interesting. Or rather..."
Kai mengangkat satu langkah ke hadapan. Lebih mendekati Athena. Wanita itu tidak berganjak. Sepasang matanya tetap tidak tergugat membalas renungan Kai.
"Now that I'm on your side, you're interested in me?"
Athena gelak sinis, seraya mengundur setapak ke belakang dan berjalan melepasi Kai.
"Ling kah-jie..."
"Ya, Athena..."
"Akak boleh pergi sekarang. Sekejap lagi, Datin Maria akan datang. Akak perlu entertain dia."
"Oh, akak hampir lupa. Dia ada beritahu nak datang dengan anak perempuan dia. Yang baru balik dari Germany."
Tanpa mempedulikan Kai, mereka berdua bercakap sesama sendiri. Helo! Tak nampak ke dia kat sini?
"I'm off, then. Kalau Athena perlukan apa-apa..."
"Aku akan panggil akak," pintas Athena. Bibirnya menguntum senyuman.
Buat kali kedua dalam masa beberapa minit ini, Kai membundarkan biji mata.
"Kau dah kenapa?" Terus disergah oleh Athena. Tanpa menanti balasan Kai, dia membuka pintu bilik dan masuk ke dalam.
Kai mengikut, sambil mulutnya menjawab. "Kau senyum."
"Apa masalahnya dengan aku senyum?"
"Kau betul-betul senyum."
Tangan Athena yang baru menarik kerusi, terkaku sekejap. Kai pandang ke mukanya. Cuba membaca. Riak mukanya kekal kosong. Tetapi matanya...
Mata tidak boleh berbohong.
Ada sesuatu dalam kerdipan mata Athena. Kai yakin. Dan dia akan mencari apa maknanya. Itu sumpahnya.
"Kau. Aku." Athena bertutur seketika kemudian. Punggungnya dilabuh atas kerusi. Kepalanya diangkat kepada Kai yang masih berdiri.
"Kau ingat kita dah berkawan? Hanya sebab aku terima kau di bawah aku, itu tak bermakna kau boleh cakap macam-macam."
Kai bergerak ke hadapan dan menarik keluar kerusi dekat meja. Betul-betul depan Athena. Tanpa dipelawa, dia menjatuhkan punggung di situ.
"Okay, fine. Kau tetap orang atasan aku, dan aku orang bawahan kau." Acuh tak acuh, dia membalas. Sesudah itu, dia menggerak muka lebih dekat dengan Athena. "Now what? Kau nak suruh aku pergi berlawan dengan siapa pula? Nak pukul siapa? Nak bunuh siapa?"
Birai bibir Athena terherot sinis.
"Kau sanggup ke?"
"Apa?"
"Bunuh orang," jelasnya pendek. Sebelah kening terjongket tinggi. Mencabar.
Kai mendiamkan diri. Sengaja. Riak muka Athena bertambah sinis.
"Kalau kau tak tahu apa yang kau cakapkan, jangan main sebut."
Kai tetap membungkam. Bawah bibirnya dikemam. Sedang memainkan peranan sebagai seorang manusia yang terlepas cakap, dan tidak tahu apa yang dia cakapkan. Seperti yang Athena fikir. Padahal hakikatnya...
Kai rasa ingin ketawa kuat-kuat. Kalaulah Athena tahu siapa dia, dan apa yang pernah dia buat, nescaya perempuan ini akan jilat balik segala kata-katanya.
"Kau ingat semua ahli kongsi gelap kerjanya belasah dan bunuh orang saja ke?" Nada suara Athena tidak lagi sinis seperti sebelumnya.
"Habis tu?" soal Kai, dengan dahi yang sengaja dikerutkan.
"Zaman sekarang, ahli kongsi gelap lebih banyak pegang mouse dan tekan keyboard, daripada pegang pisau. Contohnya, kau. You've worked for them. Those international criminal gangs."
"Aku tak pernah directly involved dengan mereka. Tak pernah jumpa depan mata pun," terang Kai. Masih dengan watak penggodam naif tak tahu apa-apa.
"Well... now you know."
Kai mengangguk beberapa kali, sebelum berhenti tiba-tiba. Matanya disepetkan kepada Athena. Menunjuk muka curiga.
"Habis tu, kenapa kau suruh aku berlawan hari tu?"
"Kau dah tahu apa jawapannya."
"Apa?" Kai pura-pura menanya.
Athena tidak menjawab. Sebaliknya, perempuan itu merenungnya dalam-dalam. Mahu Kai mencari sendiri jawapannya.
"Oh, right. Kuasa." Kai pura-pura mengerti pula.
Athena mengundur kerusinya ke belakang sedikit, dan membuka laci meja. Entah apa yang dia sibukkan, Kai tidak tahu. Namun, mulut perempuan itu terbuka mengeluar kata.
"Kau tak tahu apa akan jadi bila kau dah jadi sebahagian daripada Red Sun. Kau perlu tahu jaga diri kau. Jangan harapkan Lai Kuan saja, atau pun budak-budak lain."
Sebaik mendengar kata-kata Athena, Kai menggerak kepala ke hadapan. Sudah hampir ternaik punggung dari kerusi.
"Were you... actually trying to protect me?"
"Huh?" Kepala Athena terdongak kepadanya. Mulut terlopong dengan dahi berkerut.
"Yalah. Sebab tu kau beriya suruh aku berlawan macam tu sekali. Kau nak tengok, aku boleh bela diri ke tak. Aku boleh jaga diri ke tak. Bila kau dah tengok dengan mata kepala kau sendiri, barulah kau rasa lega. Itu..."
Kai berhenti sekejap, dan menjatuhkan semula punggung ke atas kerusi. Kedua-dua belah tangan diangkat ke udara, ala-ala sedang membuat persembahan.
"Aku boleh katakan sebagai cara kau yang tersendiri untuk melindungi aku..." Sebelah tangannya dijatuhkan dan ditekap ke dada. "Yang mungkin nampak lemah di mata kau."
Jeda. Suasana senyap. Tiada sebarang bunyi. Langsung, Kai menjatuhkan sebelah lagi tangannya ke bawah dan melihat kepada Athena. Wanita itu tampak tergamam. Masih dengan mulut bulat dan dahi berlapis.
"Err...Athe..."
"Kau gila?!" Belum sempat dia menegur, satu tempelak kuat menusuk telinga. Mata Kai terpejam. Kepala bergerak menjauh, dengan tangan kanan menekup telinga kanan. Beberapa saat berlalu, dia kembali membuka mata dan membebaskan telinga.
"Gila apanya? Betullah aku cakap tu. Kau memang nak melindungi aku, kan? Jangan malu. Jangan segan-segan. Mengaku saja. Tak ada orang lain pun kat sini." Kai masih dengan muka tak bersalah, dan kata-kata yang maha selamba.
Athena merengus dan menutup pintu laci kuat-kuat. Berdentum bunyinya memenuhi ruang bilik.
"Kau..." Hidungnya kembang kembis berdengus. "Memang tak takutkan aku, kan?"
Kai membiarkan soalan itu sepi sekejap. Masih dengan gaya bersahajanya, dia menyandar ke kerusi dan meletak tangan ke belakang leher. Anak matanya naik tepat ke muka Athena.
"Ya, memang aku tak takutkan kau. Berapa kali aku nak kena beritahu?"
Muka Athena semakin merah padam. Dia mengetap bibir kuat-kuat, sebelum berbisik sendiri. "Kalau tak kerana..."
"Aku boleh buat duit untuk kau, dah lama aku mati. Ya... ya, aku tahu. Dah banyak kali dengar pun," cantas Kai.
Athena menarik nafas dalam-dalam. Jelas cuba menyabarkan diri. Tetapi Kai boleh lihat tangan kanannya yang digenggam ketat atas meja. Hinggakan boleh ternampak urat darah hijau yang mula muncul atas buku lima.
Seketika kemudian, tangan itu terbuka semula. Perlahan-lahan, serentak dengan desah nafas Athena yang mula kedengaran perlahan dan mengendur. Kedua-dua belah matanya dikatup beberapa saat, sebelum dibuka semula.
Tenang. Kosong. Tanpa perasaan.
"Sebab tu, aku panggil kau ke sini." Suaranya juga sudah bertukar. Kembali rendah. Kembali dingin.
"Aku ada kerja untuk kau."
~ Bersambung...~
Sara says:
Kali ni saja bagi dua bab, sebab bab 6 tu lebih kepada upacara nak jadi ahli kongsi gelap. Ini upacara tradisional yang REAL, tau. Siap dengan darah, ayam kena sembelih bagai. Scary, kan? 😰😰
And also, part minum wain mengandungi titisan darah, itulah yang dimaksudkan oleh Ryu dalam I'm Not A Monster. Dalam scene dia mention yang dia dah minum darah Kosuke, sepertimana Kosuke dah minum darah dia. 🍷 Sekarang lagi faham, kan? Kenapa Athena boleh selamba jilat darah Kai? Literally, dia pun dah pernah minum wine bercampur darah. Wait! Am I writing about vampire right now? 🤣🤣
Again... Kai dan lawak tak kena tempat dia!! Hahaha, serius dia tu sengal. Taaaapi... mungkinkah kesengalan itu hanya lakonan semata-mata? 😏😏
Hmm, agak-agak apa Athena nak suruh Kai buat, ya? Tunggu bab akan datang (dah macam tengok drama, tunggu episod akan datang pulak 🙈🙈).
See you, again!
Love, SA

No comments:

Post a Comment