March 1, 2019

MEMORI INARA - BAB 9


BAB 9

WANITA yang sedang duduk berhadapan denganku ditenung tanpa kelip. Berambut pendek paras telinga. Ala-ala lelaki, tetapi gaya rambut tersebut membuatkan dia nampak classy. Ditambah pula dengan gaya duduknya yang tegak, kaki bersilang ke kiri. Pandanganku melekat kepada tangan yang tidak jauh dari kaki tersebut. Sebelah sedang memegang buku, sebelah lagi sedang menulis sesuatu. Halus jari-jemarinya. Panjang dan runcing. Kukunya kelihatan bersih bersinar. Anak mataku digerakkan semula ke muka. Kembali pada wajah putih bersih tanpa sebutir cela. Keningnya terukir elok. Kalau kata orang…eyebrows are sisters, not twins, istilah tersebut tidak kena untuk wanita ini. Keningnya tampak sempurna. Letaknya dan bentuknya. Bukan macam aku yang tidak berapa ada kening, dan selalu ambil masa untuk melukisnya biar elok. Tiba-tiba ada rasa cemburu yang menyelit.
Pandanganku bergerak lagi. Di sebalik kaca mata yang dipakai, aku boleh lihat bulu matanya yang panjang, lentik dan tebal. Spesis perempuan yang tidak perlu pakai maskara untuk memanjangkan bulu mata. Walaupun dia sedang menunduk tidak melihatku, aku dapat bayangkan betapa cantiknya sepasang mata milik wanita ini. Ditambah pula dengan hidung mancung dan bibir mungil merahnya.
Jelita.
Itu perkataan paling tepat untuk dia. Kalau tidak, masakan aku boleh tergamam melihat dia sewaktu dia tiba selepas sarapan tadi. Tidak pernah seumur hidup aku, berasa takjub dengan makhluk sama jantina denganku. Padahal, aku selalu sangat menemui wanita-wanita cantik sepanjang bersama ibu menguruskan The Cotton Paradise. Model-model kami, bukan sebarangan. Sementelah, aku sendiri bukanlah buruk sangat. Salah seorang wajah untuk syarikat. Model utama. Juga, salah seorang lifestyle blogger terkenal di Malaysia. Just Inara…itulah blog aku, dengan jumlah lawatan yang sudah sampai jutaan kali. Instagramku juga punya ratusan ribu pengikut yang mahu melihat aku setiap hari.
Tetapi sekarang, aku dan dia umpama langit dan bumi. Aku dengan rupa pucat berpipi cengkung. Sudah serupa hantu. Dia dengan rupa cantik tanpa noda. Sudah serupa bidadari. Tidak cukup dengan itu, namanya juga cantik.
Isabel.
Doktor yang bertanggungjawab ke atas aku selama ini, menurut kata Gibran. Huh, mana dia jumpa doktor secantik ini?
 “So…” Dia tiba-tiba membuka mulut, mengangkat kepala dan mengalihkan cermin mata dari hidung. Aku tersentak dan cepat-cepat membuat muka selamba. Tidak mahu tertangkap memerhati muka orang.
“Kita akan teruskan apa yang kita buat tadi, untuk dua hari lagi. Masa tu barulah kita akan tahu sama ada Puan Inara dah betul-betul bebas dari PTA atau pun tidak.”
“Dua hari lagi? Maksudnya, doktor akan tanya saya siapa nama doktor dan minta saya kenal pasti tiga barang. Lagi dan lagi. Macam tu?” tebakku merujuk kepada apa yang aku buat seketika yang lepas. Terasa agak bodoh bila diperlakukan begitu, tetapi apakan daya. Aku pesakit. Dia doktor.
“Macam yang saya beritahu tadi, it’s a simple memory test. Kalau jawapan semuanya okey, then saya boleh sahkan yang puan dah sembuh dari PTA.”
“PTA saja? Macam mana dengan hilang ingatan saya ni? Bila saya nak ingat semuanya?” Aku menyoal, laju dan tidak sabar.
Dr. Isabel mengukir senyuman. Dia memandangku lembut.
“This post-traumatic amnesia ialah keadaan yang sementara lepas seseorang bangun dari koma. Selepas beberapa ketika, keadaan ini akan hilang dan pesakit akan mula ingat hal-hal yang berlaku dalam seharian. Tapi ini bukan kesnya untuk…”
“Jadi doktor nak cakap yang hilang ingatan saya ni, bukan sementara? Akan jadi selama-lamanya? Sampai bila-bila pun, saya takkan ingat apa yang jadi dalam empat tahun ni?” Tanpa menunggu dia menyudah kata, aku menyampuk. Bertalu-talu. Aku sudah tidak peduli kalau aku dikira kurang ajar. Yang aku tahu dan aku mahu sekarang, cuma jawapan. Dia ialah doktor. Dia pasti punya jawapannya, kan?
Ternyata, segala persoalan yang aku lempar cuma dibiarkan pergi. Tidak pantas berjawab. Dr. Isabel diam sahaja. Buku nota, dokumen atau apa-apa pun yang dia pegang itu diletak ke tepi. Mataku terkulat-kulat memandang dia yang kemudiannya bangkit dari kerusi hadapan, berjalan ke arahku dan menjatuhkan duduk di sebelahku.
“I wish I have an answer for that. Tapi untuk kes amnesia macam ni, hanya masa jawapannya. Ada yang ingat semula, ada yang tak.” Tenang sekali waktu Dr. Isabel menjelaskan, tetapi tiga patah terakhirnya menyentakku.
“Ada yang tak?” Lantas, aku mengulang.
“Ya, permanent memory loss.”
Terpejam mataku mendengar pengesahan itu. Pelbagai emosi berderu masuk. Takut dan risau bercampur baur. Disertai macam-macam persoalan.
Macam mana kalau sampai bila-bila pun aku tidak ingat apa yang berlaku dalam empat tahun ini? Macam mana kalau aku terus tersekat dalam memori sebelum 2014 yang ada Muzaffar dan cintaku padanya? Bagaimana mungkin aku hidup dengan Gibran, kalau hatiku mengingati lelaki lain? Bukankah itu seperti mencurangi suami sendiri?
“Dalam hati Ara, ada abang.”
Huh! Itu kata Gibran. Aku tidak rasa begitu. Dan lagi satu, aku tidak fikir aku mampu hidup tanpa mengetahui apa yang sebenarnya terjadi sepanjang empat tahun ini. Aku inginkan jawapan kepada kehilangan Muzaffar, parut di tubuh, pakaian gelap dalam almari dan entah apa lagi yang aku belum tahu.
Aku mahu tahu semuanya!
“Puan…puan…Inara!”
Aku tersentak. Mata terbuka semula. Bulat memandang wajah Dr. Isabel yang dekat benar. Kedua-dua belah tangannya kemas memegang pergelangan tanganku.
“Let go.” Dia mengarah lembut.
“Huh?” Hanya itu yang jadi reaksi aku.
Dr. Isabel senyum tenang, dan menarik tanganku jauh dari kepala. Aku mengikut dalam keadaan terkebil-kebil. Tidak tahu apa yang baru berlaku.
“You were grabbing your hair.”
Sebaik mendengar penjelasan itu, aku melihat ke telapak tanganku. Bila masa aku buat begitu? Bukankah aku cuma pejam mata sahaja tadi?
“Bertenang. Puan tak boleh paksa diri. Lagi puan buat macam tu, lagi otak akan tertekan.”
Aku gelak sinis. Perlahan, tetapi jelas menarik perhatian Dr. Isabel. Kerutan di dahinya sebagai bukti.
“Habis tu, apa lagi yang saya boleh buat? Tell me.”
Sekali lagi, wanita jelita ini murah dengan senyuman. Langsung tidak tergugat dengan fiilku yang keras.
“Amnesia bukan macam penyakit biasa. Tak ada treatment, melainkan psychotherapy atau hipnosis. Itu untuk kes yang berat. I don’t recommend that. Apa yang boleh puan sekarang ialah cuba cari memori yang hilang tu. Tengok gambar, pergi ke tempat yang puan pernah pergi, dengar muzik.”
Penerangan Dr. Isabel terus membawa aku kepada segala drama atau filem yang pernah aku tonton, berkenaan watak yang mengalami hilang ingatan. Jadi benarlah apa yang aku lihat? Itu satu-satunya cara untuk mendapatkan memori yang lenyap ini? Masalahnya sekarang, macam mana aku mahu buat begitu kalau tak ada siapa yang mahu bantu? Kalau semuanya mahu jadi perahsia?
“Gibran boleh tolong. Tanya dia, minta dia bantu.”
Tawa sinisku terlepas keluar. Baru sahaja aku fikirkan tentang dia yang perahsia, namanya disebut. Dengan cara mesra pula tu. Aku tiba-tiba berfikir begitu. Mataku tanpa dapat ditahan, mula melihat ke muka Dr. Isabel dengan cara curiga.
Gibran? Hanya Gibran? Bukan main dia memanggilku dengan ‘puan’, tetapi dia memanggil suamiku hanya dengan nama?
“Puan, kenapa?” Dr. Isabel menyoal.
Aku menggeleng. Kepala dipaling ke hadapan, tidak lagi melihat ke wajah jelitanya. Lewat ekor mata, aku melihat dia bangun dari sebelahku dan kembali ke kerusi depan. Punggung dilabuh di situ. Tangan mengemas-mengemas barang yang ada di meja tepi.
“That’s it for today. Puan jangan lupa makan ubat yang saya dah prescribed. Esok saya akan datang lagi.”
“Hmmm…” Acuh tak acuh, aku menjawab.
Dia bangun dari duduk.
“Saya pergi dulu.”
Aku tidak membalas, mahupun bangun tanda hormat. Mungkin perasan akan tindakan dinginku, dia mengayun langkah keluar. Seperti datangnya yang tidak aku jemput, perginya juga tidak aku hantar.
Tidak lama kemudian, telingaku mendengar bunyi keriuk pintu yang terkatup sedikit demi sedikit. Tubuhku digerak ke belakang, dan berlabuh ke sofa. Muka jadi sedikit terngadah. Siling putih luas terpampang depan mata.
Aku pandang kosong.
Beberapa ketika berlalu, aku masih keras dalam posisi yang sama. Cuma terganggu bila satu deruan angin masuk ke tingkap. Aku menggerakkan anak mata ke situ. Kelihatan langsir yang terbuai-buai agak kuat. Hari mungkin mahu hujan. Hendak tak hendak, aku mengangkat tubuh dan menghampiri jendela. Sampai dekat, langkahku terhenti.
Tidak jauh di luar sana, elok-elok sebelah pohon tinggi dengan buaian, aku boleh nampak Gibran dan Dr. Isabel sedang berdiri depan-depan. Gibran di sebelah kiri, Dr. Isabel di sebelah kanan. Dengan mata yang tepat menatap Gibran, bibir merah wanita itu bercakap-cakap. Entah apa yang dituturkan, aku tidak mampu menebak. Bukannya aku boleh baca pergerakan bibir orang. Di tengah bicara, Dr. Isabel tiba-tiba mengangkat tangan dan hampir menyentuh dahi Gibran. Secepat itu juga, Gibran menepis. Tangan Dr. Isabel jatuh semula ke sisi. Raut wajahnya kekal tanpa riak, namun mataku seperti dapat menangkap hujung bibirnya yang bergerak. Cuma secalit, tetapi…
Sinis.
Dahiku mula berkerut. Langkah dibawa lebih rapat ke tingkap. Mahu melihat lebih jelas. Malangnya, Dr. Isabel lebih dahulu memusing badan dan berjalan ke arah kereta yang diletak tidak jauh dari situ. Tidak sampai tiga minit, kereta tersebut berderum pergi.
Aku mengalih perhatian kepada Gibran. Dia masih berdiri di tempat serupa. Memandang kereta Dr. Isabel yang semakin jauh menghilang masuk ke kawasan hutan. Seketika kemudian, dia menundukkan kepala. Bahu tegaknya turut sama jatuh. Sebelah tangannya diangkat meraup rambut.
Aku bukan bodoh. Aku tahu itu gaya orang kerunsingan.
Gibran tiba-tiba mengangkat kepala. Aku cepat-cepat menyembunyikan diri di sebalik dinding. Tubuh tersandar dalam debar. Aku menanti beberapa saat, sebelum mengeluarkan sesuku kepala. Pandanganku serta-merta melekat kepada lelaki yang kini melihat ke arah jendelaku. 
Tepat. Kosong. Serius.
*****
“ABANG! Janganlah. Kan Ara dah cakap, jangan ambil gambar ke, video ke…”
“Sikit aje. Hari ni kan hari special kita.”
“No. Ara tak suka.”
“Please sayang…just for today.”
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi. Now, say something.”
“Nak cakap apa?”
“Say you love me.”
“Mengada!”
Wanita dalam skrin itu, aku pandang tanpa riak. Dia yang sebelum ini asyik menutup-nutup muka dan mengelak daripada dirakam, kini menghenti perbuatan tersebut. Perlahan-lahan, dia melarikan tangan daripada wajah dan kemudian, melihat tepat ke hadapan.
“Betul nak Ara cakap sesuatu?” Dia menyoal.
“Ya.” Suara dari sebalik video menjawab.
“Kalau macam tu…”
Kelopak mata wanita itu terkelip sekali. Halkumnya turut bergerak, menelan liur. Nafas digali dalam-dalam sebelum dia mengukir senyuman. Tidak lebar mana, bersama pandangan mata yang sukar untuk aku tafsirkan.
Ada seribu satu emosi di situ. Malangnya, aku tidak mengerti satu pun.
“Gibran Lutfi…”
Dia mula bercakap.
“Terima kasih. Terima kasih sebab hadir dalam hidup Ara. Sebab ajar Ara tentang harapan. Sebab buat Ara lepaskan apa yang dah berlaku. Sebab buat Ara jatuh cinta sekali lagi. Abang bukan cinta pertama Ara, tapi percayalah…abang akan jadi cinta terakhir Ara.”
Dia datang mendekat dan…
Chup!
Mengucup skrin.
“I love you. I really do…” sambungnya sesudah itu. Sangat beremosi.
Rakaman tiba-tiba bergerak ke tepi. Aku cuma mampu nampak kaki yang berdiri atas pasir. Namun, telingaku masih dapat mendengar…
“Tak aci.”
“Apa?”
“Ara sepatutnya cium abang, bukan cium phone ni.”
“Okeylah tu. Khas untuk abang juga, kan?”
“Nope, mari sini.”
“Abang, jangan…abang!!!”
Klik!
Skrin berubah hitam. Aku pandang lagi. Masih diselubungi perasaan yang aku sendiri tidak tahu perasaan apa. Kosong? Mungkin. Aneh? Sudah pasti. Takjub? Entahlah. Semua rasa ini bercampur-baur membuatkan aku rasa seolah-olah berada di satu dunia lain, di mana dalam dunia itu ada sebuah skrin besar untuk aku lihat wanita berwajah serupa denganku. Tersenyum-senyum, meluah perasaan dan menebarkan segala cinta dalam hati. Butalah mataku kalau aku mengatakan bahawa aku tidak nampak cinta dalam sepasang mata itu. Dia jelas-jelas mencintai pemilik suara di sebalik video yang baru aku tonton. Tetapi masalahnya sekarang, wanita itu rasa terlalu asing bagiku. Dia bukan aku. Aku tidak merasai apa yang dia rasakan. Tidak sama sekali!
Sungguh, aku mencari sejak mula menonton video tadi. Mencari kalau-kalau aku akan rasa sesuatu, atau ingat sesuatu. Malangnya, kosong. Aku tidak rasa apa-apa dalam hati, melainkan ralat.
Segala adegan itu sepatutnya jadi antara aku dan Muzaffar.
Ya, itu yang aku fikir. Dan itu yang sangat menyakitkan sekarang. Otakku membayangkan kalau aku dan Muzaffar benar-benar berkahwin. Pasti segala adegan yang aku tonton tadi berlangsung antara aku dan dia. Bukan dengan lelaki yang kini berada di sebelahku.
“Ini satu-satunya video yang kita ada masa wedding kita. Itu pun bukan main susah abang kejar Ara…” Bicara Gibran sayup-sayup kedengaran di celah telinga. Aku menghela nafas dalam-dalam, cuba menahan perasan. Tidak mahu tertangkap memikirkan Muzaffar.
Cukuplah, Ayudia Inara. Cukup. Jangan ingatkan dia. Kau takkan boleh move on kalau terus fikirkan dia.
Tapi mampukah aku move on? Mampukah?!
Satu sudut diriku tiba-tiba membidas. Cepat-cepat, aku geleng kepala. Cuba menghalau fikiran itu pergi.
“Kenapa?” Gibran menyoal. Ada risau yang berbias dalam matanya.
Aku tarik senyum palsu.
“Nothing.”
“We can stop this, if you want. Ara tak perlu paksa diri tengok semua ni.”
“Haaa, ini. Ada pun. Boleh pula ibu terlupa letak mana…” Belum sempat aku membalas kata-kata Gibran, ibu datang mencelah. Aku dan Gibran berpandangan antara satu sama lain. Dia tampak serba salah. Aku memberi isyarat tanda tidak apa.
“Ini gambar-gambar waktu Ara kahwin, yang ibu dah print keluar. Kita tak upah photographer, sebab Ara sendiri yang tak nak…”
Aku memusing pandang kepada ibu yang sedang menyusun beberapa buah album gambar atas meja kopi. Nampak beriya benar mahu membantu aku cari memori yang hilang. Atau lebih tepat lagi, mahu aku ingat menantu kesayangannya. Kalau tentang Muzaffar, sah-sah ibu akan mengamuk. Sempat aku berfikir begitu.
“Ibu ingatkan Ara takkan tanya pasal gambar atau video ni. Yalah, Ara macam tak boleh terima Gibran.”
Intonasi suara ibu kedengaran terlebih seronok. Tengok, kan sudah dibilang? Ibu cuma bersungguh begini kerana Gibran.
“Doktor yang minta Ara buat macam ni. Tengok gambar, pergi tempat yang dah pergi…” jelasku sekadar berbasi-basi, mengulang ayat sama yang aku sebut waktu mahu ibu dan Gibran membawa segala gambar perkahwinan kami. Kataku tadi, biarlah ini jadi langkah pertama untuk aku mengingat Gibran dan mungkin menerima lelaki itu.
Mereka berdua lebih dari setuju!
Alangkah baiknya kalau reaksi ini juga yang aku terima saat aku mendambakan penjelasan tentang segala apa yang berlaku dalam empat tahun ini. Tetapi tak apalah, mungkin ada baiknya aku tidak terlalu memaksa diri. Lagipun, baru dua hari aku betul-betul sedar.
Dalam diam, aku cuba memujuk diri sendiri.
“Ara tahu tak?”
“Hmmm…” Aku melayan soalan ibu.
“Ara nampak cantik sangat hari tu. You were smiling. You were laughing…”
Aku senyap mendengar. Pandangan tidak lepas daripada ibu yang sedang membelek-belek album gambar. Bibirnya lebar mempamer senyum. Mata jelas bersinar, seolah-olah sedang membayangkan keindahan di hari itu.
Ah, aku cemburu dengan ibu! Aku juga mahu ingat semua itu. Mahu mengenang keindahannya. Bukan berasa kosong begini.
“Ya, betul. You were so beautiful…”
Aku melirik kepada wajah Gibran yang dekat telinga, hampir menyentuh pipi. Dia senyum kecil sebelum memusing muka dan bergerak ke hadapan sedikit. Sebelah tangannya mengambil sebuah album gambar dan membawanya ke depanku.
“Ini abang mahu perkenalkan.”
Aku menggerak anak mata kepada jari telunjuknya. Sedang elok tertala kepada sekeping gambar yang memaparkan aku dan dia, bersama tiga orang lagi. Seorang lelaki dan seorang wanita pertengahan umur. Di tengah-tengah antara mereka berdua, berdiri seorang gadis muda yang kuagak berumur belasan tahun. Mungkin enam belas. Mungkin tujuh belas.
“Ini mak ayah abang. Dan ini…” Jari Gibran dibawa sebelah muka gadis muda tadi. Diusap-usap.
“Si nakal Gina. Adik kesayangan abang. Dia rapat dengan Ara, tau.”
Tawa halus Gibran berbunyi perlahan. Aku mengalih perhatian kepadanya. Hanya sebelah muka yang kelihatan jelas.
“Sampaikan bila kita keluar bertiga, abang selalu diketepikan. Dah macam orang ketiga pula. Padahal dia yang menyibuk antara kita…”
Tersenyum-senyum bibir Gibran saat bercerita. Aku perasan renungan matanya yang sangat lembut menatap gambar Gina. Malahan, lebih lembut daripada caranya memandang aku.
“Mana dia sekarang?”
Sejenak, Gibran membungkam. Cuma bibirnya yang setia senyum, bersama mata yang masih lembut.
“Tak ada.”
“Pergi mana?” tanyaku naif.
“Tak ada.” Gibran mengulang. Suaranya lebih tertekan.
Aku terdiam. Di sebalik sebelah wajahnya yang terpampang depan aku, dapat aku lihat kelopak mata Gibran yang bergetar. Bibirnya juga begitu.
Spontan, tanganku naik ke mulut. Ditekup. Mataku juga membulat. Ya, Allah! Apa jenis soalan yang aku tanya tadi? Ini bukan lagi namanya naif. Ini sudah bodoh.
Perlahan-lahan, Gibran berpaling kepadaku. Masih dengan senyuman, dia menarik tanganku dari mulut. Digenggam kemudiannya. Lembut.
“Tak perlu tunjuk reaksi macam ni sekali. Abang okey.”
“Macam…macam mana….” Tersekat-sekat suaraku. Berat terasa lidah.
“Kemalangan.”
Ternyata, Gibran boleh baca apa yang ada dalam fikiranku.
“Ketiga-tiga…ayah, ibu dan Gina meninggal di tempat kejadian.” Tenang, Gibran membuka cerita. Tetapi aku boleh nampak matanya yang berkaca-kaca dan lehernya yang menerik.
Gibran sedang menahan perasaan.
“Bila?” Hati-hati, aku bertanya. Otakku sempat membuat kira-kira. Kalau kami baru bernikah lima bulan, dan mereka bertiga ada sewaktu perkahwinan kami, bukankah itu bermaksud kemalangan tersebut berlaku tidak lama dahulu? Atau mungkin juga…
Sekali lagi, kedua-dua mataku buntang.
“Tidak. Kalau Ara ingat mereka kemalangan sekali dengan Ara, jawapannya tidak.” Kali kedua, Gibran mampu membaca apa yang aku fikirkan.
“It was before. Kira-kira dua bulan selepas perkahwinan kita. Abang…”
Gibran berhenti sekejap dan mengetap bawah bibir.
“Abang kehilangan seluruh keluarga abang. Jadi sekarang…”
Genggaman Gibran di tanganku rasa semakin kuat.
“Abang cuma ada Ara dan…”
Gibran mengerling ke sebelah. Aku mengikut tindakannya. Melirik kepada ibu yang berada tidak jauh daripada kami. Melihat segala adegan. Segenap wajah ibu juga berbias pilu.
“Ibu.”
Suara Gibran menggamitku kepadanya semula. Kembali bertatapan.
“Sebagai keluarga abang.”
Seiring dengan kata-kata itu, setitik air mataku menitis. Entah bila bergenang, tidak pula aku sedar. Bukankah Gibran yang sedang menahan emosi, kenapa pula aku yang menangis?
Langsung, aku cuba menarik tangan dari genggaman Gibran. Mahu menyeka. Namun, dia yang lebih dahulu bertindak. Lembut mengusap pipiku.
“You’re such a crybaby. Dari semalam tak habis-habis…” komennya perlahan dan tenang. Jelas bergurau, tetapi aku yang mendengar dipagut pilu. Untuk apa Gibran bercanda, kalau jelas lagi nyata, dia yang sedang terseksa? Untuk apa ketenangan yang dia papar, kalau hatinya yang menanggung derita?
Oh, Tuhan! Kenapa dia begini? Dan kenapa aku…
“Lar, makin kuat pula dia menangis.”
Kenapa pula aku yang beriya melalak?
“Sini…”
Gibran meraih tubuhku. Aku merelakan sahaja, dan menyembam muka ke dadanya.
“Shhhh…I’m okay, sayang. I’m okay. Jangan menangis sebab abang lagi. Abang tak nak. Abang tak rela…”
Dia memujuk. Malangnya, aku tetap jua menghamburkan tangisan. Tidak boleh ditahan-tahun. Tidak mampu disekat-sekat. Sungguh! Mana hilangnya azam aku pagi tadi? Konon tidak mahu menangis lagi, tetapi sekarang apa yang sedang aku buat?
“Don’t cry, sayang. Don’t cry…”
Aku masih menangis.

~ Bersambung...~

No comments:

Post a Comment