March 4, 2019

MEMORI INARA - BAB 10


BAB 10

SEMINGGU sudah berlalu sejak aku bangun di pagi itu. Seperti kata Dr. Isabel, aku disahkan bebas daripada post-traumatic amnesia. Seperti katanya juga, aku belum pulih dari hilang ingatan. Tidak kira walau macam mana pun aku cuba gali memori yang lenyap ini, yang aku dapat cuma kekosongan. Seolah-olah tempoh empat tahun itu sudah dipadamkan terus dari otakku. Tidak tertinggal sisa apa-apa pun.
Ada beberapa kali aku cuba bertanya kepada ibu dan Gibran, tetapi seperti sebelum ini balasan mereka tidak boleh dikira sebagai jawapan. Sama ada mengelak, atau pun mengezip mulut terus. Huh, tidakkah mereka sedar bahawa reaksi itu tidak membantu aku langsung? Bahkan, membuat aku fikir yang bukan-bukan?
Aku cuma bertanya soal perniagaan ibu, kolumn tulisanku untuk The Ladies, perihal blog kesayanganku, dan sekali dua tentang Instagramku. Soalan yang aku fikir, tidak salah untuk diberi jawapannya. Bukan aku tanya pasal Muzaffar, atau parut di tubuhku, atau pakaian gelap dalam almari. Hanya soal kerjaya aku. Apa yang susah sangat mahu jawab?
Yang lagi kelakar, Gibran mengatakan bahawa dalam rumah ini tidak ada internet. Like seriously? Di tahun 2018 ini, tidak ada internet dalam rumah? Hampir pecah perutku mendengar jawapan itu. Namun, Gibran cuma bersahaja menjelaskan. Katanya, rumah ini khas sebagai rumah percutian majikannya. Jadi mereka memastikan bahawa wifi tidak dipasang. Mahu mengeratkan hubungan antara orang dalam rumah ini. Bukan dengan orang di luar rumah, yang tidak dikenali, tidak diketahui siapa mereka, dan apa mereka buat. Ya, logik penerangan itu. Tetapi masalahnya…
Macam mana aku mahu periksa sendiri blog dan Instagram aku, kalau tidak ada internet? Mahu menggunakan telefon ibu atau Gibran? Huh, kalau sudah tidak mahu buka mulut tentang itu, takkanlah mereka berbesar hati pinjamkan telefon kepadaku? Telefon bimbit kepunyaan aku sendiri pula…Kata ibu, sudah hancur dalam kemalangan.
“Then, Ara nak yang baru.”
Itu yang aku pinta saat kami berbicara soal tersebut. Pantas dibalas oleh Gibran.
“Nanti abang akan belikan yang baru.”
Ya, itu janji dia dua hari lepas. Tetapi batang hidung telefon bimbit baruku, langsung tidak nampak! Bila ditanya, macam-macam yang jadi alasannya. Asyik-asyik lupa. Sampaikan bosan aku jadinya. Sama bosan dengan duduk dalam rumah ini, tidak buat apa. Gibran pagi-akan pergi ke tempat kerja. Entah di mana, aku tudak tahu. Beritahunya sebelum ini, dia bekerja sebagai penyelidik. Tekaku, penyelidik di mana-mana institusi pengajian tinggi. Malas aku tanya lebih lanjut. Tidak berminat pun. Ibu pula, ada menemani aku di sini. Tetapi, banyak kali juga ibu akan ke biliknya membuat kerja. Sebagai pemilik The Cotton Paradise, pasti banyak urusannya. Walaupun kata ibu, dia sudah menyerahkan kuasa pengurusan kepada Uncle Rudy, aku tahu sebagai pemiliknya, ibu masih perlu membuat keputusan besar.
Melihat ibu begitu, aku jadi cemburu. Aku juga mahu jadi sibuk begitu. Aku mahu rasa keghairahan waktu berusaha menyiapkan satu-satu kerja. Aku mahu rasa ‘hidup’. Seperti waktu aku berhempas pulas menghasilkan koleksi sendiri, iaitu The Red Collection, satu-satunya koleksi bold colour bawah The Cotton Paradise yang selama ini lebih terkenal dengan warna pastel, atau saat aku menjalani penggambaran sebagai modelnya, atau ketika aku memikirkan post terbaru untuk aku letak dalam Just Inara, atau yang paling mudah untuk aku kongsi di Instagram @justinara.
Aku mahu bekerja seperti itu. Aku tak mahu jadi tunggul dalam rumah ini!
Semakin aku memikirkan soal itu, semakin jiwaku hilang ketenangan. Bahkan, dirundung geram. Iya, geram pada semua orang yang tidak sudah-sudah mahu berahsia denganku. Juga, geram kepada diri sendiri yang tidak ingat-ingat.
Kuat-kuat, aku melepaskan keluhan. Nafas juga ditarik dan dihembus berulang kali. Tangan yang sedari tadi memeluk lutut atas sofa, dibawa ke tepi. Kaki diletak atas permaidani, sebelum aku akhirnya bangkit. Hajat di hati mahu mengambil udara di beranda. Satu tabiat yang tiba-tiba aku cipta sejak berada di sini. Hanya itu caranya untuk aku rasa lebih elok. Pemandangan di luar yang indah, seperti punya kuasa untuk menyuntik ketenteraman. Benarlah kata orang…
Nature is a faithful healer of the soul.
Lagi pula, bukankah itu tujuannya Gibran bawa aku ke sini? Langkahku diangkat ke hadapan. Namun…
“Ouch!!”
Aku terlanggar bucu meja kopi. Spontan, aku duduk semula dan menggosok-gosok betis. Berkerunyut dahiku menahan pedih. Aduh, macam mana aku boleh lalai begini? Ekor mata melirik kepada bucu meja. Akan tetapi, lain pula yang menarik perhatianku.
Betisku dilepas semula ke bawah. Tubuh digerak ke hadapan sedikit. Tangan pula meraih sebuah album gambar yang terjatuh atas permaidani. Mungkin kesan perlanggaran tadi. Aku memegangnya kemas. Muka hadapan album dipandang lama, bersama ingatan lima hari lepas. Wajah sayu Gibran. Dan aku yang menangis-nangis.
Dengan lafaz Bismillah, aku membukanya sedikit demi sedikit. Sedikit demi sedikit juga, gambar itu terpampang depan mata. Gambar serupa yang Gibran tunjuk tempoh hari. Ibu bapanya dan…
“Gina…” getus bibirku. Hujung jari telunjukku mengusap wajah manis sedang tersenyum itu.
“Kak Ara!”
Aku tersentak. Terus melihat ke sekeliling. Tidak ada apa-apa. Segenap ruang tamu kosong tanpa jasad yang lain. Cuma ada aku seorang.
“Gina tak sabar tunggu akak kahwin dengan abang. Yay! Gina akhirnya akan ada kakak!”
Kali ini, satu gambaran melintas dalam fikiran. Ada Gina sedang senyum lebar. Tangannya kemudian diangkat gaya melambai-lambai.
“Akak buat apa tu? Tadi cakap nak keluar sama-sama. Kenapa tercegat lagi kat situ?”
Aku menggeleng-geleng kepala dan mencengkam rambut. Mata juga dipejam ketat-ketat.
Tindakan yang salah.
Sebaik mengatup mata, bayangan demi bayangan menerpa masuk. Ada Gina dan aku. Ada ibu dan ayah Gibran. Ada juga Gibran. Berjalan-jalan di pusat beli belah. Makan bersama-sama. Bergelak ketawa. Kemudian, kami semua berubah tempat. Kali ini, persekitaran di majlis perkahwinan aku dan Gibran. Aku bersalaman dengan ibu bapa Gibran. Aku memeluk cium Gina.
Dan tiba-tiba…
Segala adegan tersebut bertukar lagi. Cuma tinggal aku dan Gibran. Aku dalam pelukannya, meronta-ronta dan menangis-nangis, sambil menjerit…
“Semuanya salah Ara. Semuanya salah Ara!”
Mataku terbuka luas. Dada berombak laju. Nafas turun naik dengan ganas. Cengkaman di kepala, dilepas perlahan-lahan.
“Apa…apa aku nampak tadi?” bisikku di celah-celah liur yang ditelan. Pahit terasa. Dahiku juga merenik dengan peluh.
Takut-takut, aku menjatuhkan pandangan kepada gambar di ribaan. Sepantas kilat, aku mengatupnya semula. Tidak berani untuk melihat wajah manis tersenyum itu. Tiba-tiba sahaja tampak menggerunkan.
Beberapa minit berkeadaan begitu, aku sekali lagi menarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba menghalau rasa gerun itu pergi. Dia adik Gibran. Satu-satunya adik perempuan Gibran. Jadi tolong jangan jadi begini, Ayudia Inara. Kau mahu ingat semuanya, kan? Anggap saja Gina mahu tolong kau tadi. Dia mahu tolong kau cari memori yang dah hilang tu. Dia mahu tunjuk apa yang dah berlaku.
Ya, kalau orang hidup tidak mahu buka mulut, biar orang yang sudah mati membantu aku!
Seiring dengan pemikiran itu, aku membuka semula album gambar. Satu-satu aku tengok. Tidak berapa banyak yang ada. Semuanya memaparkan aku, Gibran, ibu dan keluarganya. Tidak ramai orang lain. Jadi benarlah kata ibu, majlis kami diadakan kecil-kecilan sahaja. Lain benar dengan perkahwinan impian aku, yang selalu aku angan-angankan.
Gah. Gempak. Meriah. Sampai masuk ke rancangan televisyen. Sesuai dengan aku sebagai salah seorang lifestyle blogger terkenal di Malaysia.
Sesaat, aku tergelak sinis. Huh, apa yang aku fikirkan ini? Semua itu sudah tidak ada. Lenyap bersama keputusan Muzaffar meninggalkan aku.
Usai melempar angan-angan itu, aku kembali kepada album di tangan. Dibelek dan diperhati sambil cuba memaksa otakku mengingat apa-apa. Sedikit pun jadilah. Malangnya, tidak ada apa yang berlaku, melainkan….
Anak mataku membulat. Tangan semakin laju membelek album gambar. Dari depan ke belakang. Dari belakang ke depan. Tidak cukup dengan itu, aku menarik pula dua buah album yang lain. Serupa tadi, dibelek depan belakang.
“Tak ada…”
“Memang tak ada…”
“Dia betul-betul tak ada…” Terkumat-kamit, aku berbisik dengan setiap satu helaian yang dibelek.
Seketika berlalu, aku mengatup album. Pantas bangkit dari duduk dan terus berlari ke bilik ibu. Tidak sampai seminit, pintunya aku buka. Kepala ibu terngadah dari sebalik meja kerja. Kening terangkat dengan muka kehairanan.
“Ara, ke...”
“Kenapa dia tak ada?” Tidak menunggu ibu membuka mulut, aku menerjah.
Dahi ibu berlapis.
“Dia? Siapa?”
“Riya.”
Serta-merta, wajah ibu berderau.
*****
“RIYA sambung belajar.”
“Sambung belajar?” ulangku agak tercengang.
Ibu mengangguk kecil.
“Ya. PhD. Di Glasgow. Dia dapat scholarship JPA.”
Aku menyenyap, bersama fikiran yang melayang kepada Priya, sahabat baikku sejak di Universiti Malaya. Sama-sama menginap di Kolej Kediaman Kinabalu, dia ialah dari Fakulti Sains manakala aku dari Akademi Pengajian Melayu. Kami berdua sangat berbeda. Dari segi bangsa, agama, warna kulit. Tetapi siapa peduli itu semua? Darah kami tetap sama merah. Rapatnya kami bagaikan isi dan kuku. Jadi bayangkan betapa terkejutnya aku bila lihat tidak ada walau sekeping pun gambar Priya dalam album tadi. Aku pun satu. Kenapa sekarang baru terfikirkan dia? Sebagai sahabat baik, aku sepatutnya terus teringatkan dia sebaik sedar tempoh hari. Bukan hanya fikirkan soal jantan!
Lagi, aku rasa benci kepada diri sendiri.
“Jadi, dia akhirnya dapat JPA?” desisku kepada diri sendiri. Bibir senyum kecil. Ada rasa gembira yang menyelit. Seringkali Pria memberitahu bahawa selepas sarjana, dia mahu menyambung pengajian ke peringkat kedoktoran. Dia mahu jadi pensyarah, sesuai untuk dia yang gemar buat macam-macam kajian.
Jadi, aku tahu betapa tingginya harapan Priya untuk memperoleh biasiswa tersebut. Dia bukanlah berasal dari golongan ada-ada, jadi letaknya harapan dia hanya kepada kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam. Sebagai orang bukan bumiputera, lagilah tinggi persaingannya. Nampaknya, rezeki berpihak kepada dia. Senyumanku melebar. Sempat juga memanjatkan syukur ke hadrat Illahi.
“Sejak bila dia ke sana?” tanyaku kepada ibu yang masih duduk di hadapan. Sebuah meja kerja antara kami, sebagai pemisah.
Dahi ibu berkerut sejenak. Seperti memikirkan sesuatu.
“Dalam…tiga empat tahun ni. Ibu tak berapa pasti.”
“Jadi dia memang tak balik Malaysia, masa Ara kahwin?” Ada ralat dalam tekaanku. Sahabat baik sendiri tidak hadir waktu hari pernikahanku, bukanlah itu sangat menyedihkan?
“Itu…ibu tak pasti.”
Jawapan ibu agak menyentak.
“Kenapa pula ibu tak pasti?”
Halkum ibu tampak bergerak. Menelan liur.
“Ara dan dia lost contact.”
Mataku terkelip-kelip cuba memahami apa yang baru keluar dari bibir ibu.
“Apa maksud ibu, kita orang lost contact?” Hampir tersekat suaraku saat menyoal. Hati rasa tersayat. Takkanlah ibu mahu mengatakan bahawa aku dan Priya, benar-benar tidak berhubungan lagi? Baru beberapa hari lepas, dalam ingatanku, kami keluar bersama-sama, dan hari ini ibu mahu mengatakan bahawa persahabatan yang bertahun-tahun ini juga sudah putus? Tidak cukup aku kehilangan Muzaffar, aku perlu kehilangan Priya juga? Ya, Allah! Apa ini?
Mungkin menyedari apa yang aku rasa sekarang, ibu tiba-tiba meraih tanganku dan memegangnya erat.
“I’m sorry, sayang…”
“Ara tak perlu ibu minta maaf. Ara cuma nak tahu, apa maksud ibu tadi?” Aku cuba bertenang saat mendesak. Tetapi aku tahu, betapa berkerut-kerutnya rupaku sekarang. Cuba mengawal seribu satu emosi yang menyerbu masuk dan menyesakkan jantung.
“Macam yang Ara dengar. Ara dan Riya lost contact lepas dia ke sana. At first, you still contact each other. Makin lama, makin kurang. And then, tak ada langsung.”
Apa yang dijelaskan ibu kedengaran sayup-sayup sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Aku tiba-tiba rasa seperti di awan-awangan. Perlahan-lahan, aku tarik tangan dari genggaman ibu dan mengangkat punggung. Kerusi yang aku duduki tertolak ke belakang. Hampir serentak, ibu mengambil tindakan serupa.
“Ara…”
“Ke…kenapa….” Aku bersuara kembali. Bibir terketar-ketar.
“Apa dia?”
“Semua orang tinggalkan Ara?”
Ibu terkedu. Raut mukanya terang-terangan berubah. Dan aku…masih terpaku mengharapkan jawapan.
Semestinya, tidak ada.
*****
KRIK…
Ekor mataku bergerak ke belakang. Pada sepasang kaki yang muncul dari sebalik pintu yang terbuka. Gibran berjalan masuk sambil membuka butang atas kemejanya. Berwajah kepenatan. Aku alihkan semula pandangan ke hadapan, berdiri depan tingkap dalam keadaan memeluk tubuh.
Memori bersama Priya yang dikenang sedari tadi, aku biar pergi. Keperitan dalam mengenangnya, aku telan bulat-bulat.
“How’s your day?” Teguran Gibran berbunyi dari belakang, serentak dengan bunyi almari baju yang dibuka. Satu lagi yang aku belajar tentang dia dalam tempoh seminggu ini, Gibran akan terus mandi sebaik pulang dari kerja. Kami masih berkongsi bilik yang sama. Cuma, malam-malam dia akan tidur di satu lagi bilik lain. Atas permintaan aku, yang masih memerlukan masa untuk membiarkan dia dekat denganku.
Ya, benar. Hubungan kami tidaklah setegang hari pertama aku sedar. Tetapi bagiku, dia masih orang asing. Suami yang tidak aku ingat. Takkanlah aku mahu biarkan dia berkongsi katil? Apatah lagi, berkongsi bantal dan selimut? Mujur Gibran bersetuju. Ternyata, dia tidaklah seperti yang dia sendiri akui.
A jerk.
Gibran Lutfi bukanlah jantan tak guna yang tak reti hormat perempuan. Aku harus akui hakikat tersebut.
“Ara, abang tanya ni.” Ada desakan dalam ulangan katanya.
“Macam biasa.” Aku jawab senada. Masih dengan kepala tegak kepada pemandangan di luar tingkap.
“And you?” Suara Gibran kedengaran lebih dekat daripada tadi. Aku mengerling ke kanan. Entah sejak bila dia sampai ke sebelah, aku juga tidak sedar. Masih berkemeja serupa. Tidak jadi terus mandi, mungkin.
How do you feel?” Gibran menyambung soalan.
Aku mengelip mata sekali, sebelum membalas selamba.
“Macam orang kena kahwin paksa.”
“Aik, tiba-tiba cakap macam ni?” balas Gibran. Lewat ekor mata, aku perasan tubuhnya yang dipusing menghadapku.
“Saya tengok album kahwin kita tadi. Kut-kutlah saya boleh ingat apa-apa,” terangku. Tidak pula diberitahu pasal Priya. Aku tahu kalau aku buka mulut tentang itu, aku akan menangis lagi depan Gibran. Cukuplah! Aku sudah penat jadi perempuan lembik yang cuma reti menangis depan lelaki.
“Jadi…” Gibran meleretkan kata dan berhenti.
Aku memaling tubuh. Wajahku separa diangkat, menatap dia yang lebih tinggi. Seperti tempoh hari, cahaya mentari dari luar menyimbah sebahagian mukanya, membuatkan Gibran tampak bersinar. Alangkah indahnya kalau sinaran ini boleh berjangkit kepadaku dan menyebabkan aku ingat segala-galanya.
Malangnya aku…
“Tak ingat apa-apa. Tak rasa apa-apa.”
Gibran datang setapak lebih dekat. Lunak dia merenung.
“Sebab tu, Ara rasa macam orang kena kahwin paksa sekarang?” tebaknya. Perlahan dan lembut menyentuh telingaku.
“Ya.”
Senyuman halus terukir di bibir Gibran.
“Then, you will fall for me.”
Dahiku serta-merta berkerut.
“Huh?”
“Dalam drama kahwin paksa, hero-heroin selalu ended up jatuh cinta dan happily ever after, kan?”
Terlepas tawa sinis dari celah bibirku.
“Kalaulah realiti sesenang itu.” Aku mencemik.
“Senang sebenarnya.” Gibran membetulkan, masih dengan ketenangan yang tidak tergugat.
Lagi, dahiku berlapis.
“Maksud awak?”
Sedikit-sedikit, dia menundukkan kepala. Mataku dan matanya jadi sama aras. Saling bersabung. Saling bertatapan. Kemudian dengan suara gemersik, dia menjawab.
“Just open up your heart and fall for me. Again.”
Sekali lagi, aku tergelak sinis.
“Bukan ke awak kata, dalam hati saya dah ada awak. Tak perlulah saya jatuh cinta lagi sekali, kan?”
“Masalahnya, sekarang…”
Gibran mencuit hidungku.
“Ara tak sedar. Jadi abang perlu buat Ara sedarlah, kan?”
Aku membungkam. Tidak sedikit pun melarikan pandangan daripada merenung ke dalam mata Gibran. Ada ketulusan di situ. Ada juga harapan. Aku bukan buta. Aku boleh nampak jelas-jelas, betapa lelaki di hadapanku ini mengharapkan aku.
“Then, tell me apa jadi,” pintaku. Perlahan tetapi tegas.
Serta-merta, pandangan mata Gibran berubah. Rahangnya juga tampak bergerak-gerak. Kepala dijauhkan semula, seraya membalas.
“Itu tak ada kaitan dengan apa kita cakap sekarang.”
Buat kesekian kali, ulu hatiku rasa tercuit. Huh, Gibran Lutfi! Tetap sahaja mahu mengezip mulut ketat-ketat.
“Kenapa awak nak berahsia dengan saya?” Terus, aku menuduh.
Kening Gibran bertaut.
“Rahsia? Apa yang abang nak rahsiakan daripada Ara?”
“Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu,” juihku. Mulut terherot sebelah. Jelingan tajam, juga aku beri kepadanya.
Gibran melontar tawa.
“Sempat berpantun, ek?”
Aku melopongkan mulut.
“This is not funny. Saya serius ni!”
Mulut Gibran terkatup terus. Tawa serta-merta mati.
“Ya, ya…abang tak gelak dah. Tapi kan, sayang…”
“Apa?”
“Eh, dia jawab. Sukalah tu orang panggil dia, sayang.”
“Gibran!” Aku menjegil mata luas-luas. Mula rasa geram. Apa yang tak kena dengan lelaki seorang ini? Dia sedar ke tidak, sekarang bukan masa untuk bergurau senda?
“Yalah…yalah, abang tak usik dah. Abang cuma nak cakap…”
“Apa?” celahku, masih berjiwa sebal.
Riak muka Gibran bertukar serius.
“Tak boleh ke Ara lepaskan? Jangan tanya apa-apa lagi. Kalau Ara nak cuba ingat apa-apa, then cuba ingat abang dan perasaan abang pada Ara. Yang lain, abaikan.”
Geli anak telingaku mendengar permintaan Gibran. Rasa mahu ketawa kuat-kuat dan menempik betapa bodohnya permintaan itu.
“Awak sedar tak? Lagi awak cakap macam ni, lagi saya rasa nak tahu.”
“Curiosity can kill, Ayudia Inara. Abang tak nak itu jadi pada Ara.” Lembut Gibran membalas, tetapi telingaku dapat menangkap ketegasan yang ada di situ. Huh, peduli apa aku!
“Jadi awak nak cakap, awak cuba melindungi saya. Daripada apa-apa pun yang awak mahu sembunyikan tu? Macam tu?”
“Ya.” Gibran mengangguk tanpa mengalihkan renungan. Bahkan, lebih tajam memanahku.
“Apa-apa pun yang abang buat, adalah demi kebaikan Ara. So yeah, whatever happened is for me to hide. And for you…”
“To find out.” Aku menyambung.
“No. To let go.” Dia membetulkan.
“Itu…”
Aku angkat kaki setapak ke hadapan. Melawan renungan kerasnya.
“Biar saya sendiri yang tentukan. Kalau betul cakap awak, yang awak buat semua ini demi kebaikan saya, then I’m telling you this, Gibran Lutfi. Orang yang paling berhak untuk tentukan apa yang baik dan apa yang buruk untuk diri saya ialah saya sendiri. Bukan awak. Bukan ibu. Bukan sesiapa pun. Tetapi saya. Hanya saya.”
Gibran menyengap. Tidak lagi membalas, mahu pun membidas. Kami saling merenung ke dalam mata masing-masing. Memancarkan cabaran.
Seorang mahu menyembunyi. Seorang mahu mencari.

~ Bersambung...~

2 comments:

  1. Haih lah gibran.... Apa sbnrnya jdi... Di sini pun nak thu. Kak SA... you make me curious sngt tau

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha, kan dah cakap genre misteri? so kenalah buat readers diselubungi misteri. =)

      Delete