March 6, 2019

MEMORI INARA - BAB 11


BAB 11

LARI.
Hanya itu yang aku fikirkan sekarang. Aku perlu lari. Aku perlu menyelamatkan diri. Aku perlu jauh daripada….
“Ayudia Inara…”
Mataku terbelalak. Bulu roma meremang. Liur tertelan celah kerongkong. Langkah kaki yang laju sebentar tadi, sedikit-sedikit jadi perlahan, sebelum aku melirikkan mata ke belakang. Takut-takut. Ragu-ragu.
“Ayudia Inara, kau kat mana?”
Panggilan itu berbunyi lagi, disusuli bunyi derap tapak kaki yang semakin kuat kedengaran.
“Kau nak lari ke mana? Nak sembunyi kat mana?”
Tidak menunggu lagi, aku angkat kaki semula. Larian yang terbengkalai tadi, disambung kembali. Lebih laju. Lebih terdesak. Sudah tidak peduli kepada jantung yang hampir pecah, dan peluh yang bercucuran membasahi muka.
Aku harus lari. Aku harus menyelamatkan diri.
“Ayudia Inara!!!”
Seruan yang lembut tadi, bertukar jadi tengkingan lantang. Aku tetap tidak menjawab. Tetap lari celah barang-barang yang banyak menghalang laluan.
Bum!
Satu saat, aku terlanggar sebuah kotak. Berdentum bunyinya jatuh menimpa lantai. Mataku terbeliak memandang. Tangan juga naik menekup mulut.
“Haaaa, kat situ rupanya kau…”
Cepat-cepat, aku menolak tubuh ke belakang. Bersembunyi balik susunan kotak yang tinggi. Tangan semakin kuat menekup bibir. Hampir menutupi hidung. Nafas rasa tersekat-sekat. Namun, aku tetap jua menahan desahnya. Tidak mahu bunyi nafas menarik dia kepadaku.
Namun….
“Boo!”
Dia muncul tidak jauh depan mata. Tegak berdiri di hujung pintu. Cahaya bulan dari tingkap, membuatkan bayang-bayangnya jelas atas lantai. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Tubuh cuba diundur menjauh. Cuma membuatkan kotak di belakangku jatuh bertaburan. Bahuku terangkat mendengar bunyinya.
“Kenapa nampak takut sangat tu?” Dia menyoal seraya mengambil langkah, satu tapak ke hadapan.
Aku berjalan satu tapak ke kiri. Masuk ke celah satu-satunya ruang yang ada dalam kesempitan ini.
“Tolong…tolong jangan apa-apakan aku. Tolong…jangan buat aku macam ni…” rayuku bersama tangisan yang sudah selamat menuruni pipi.
Dia ketawa. Sangat kuat. Sangat jelik.
“Buat apa?”
Dia mendekat lagi. Aku menjauh lagi.
“Aku bukannya nak buat apa-apa pada kau.”
Setapak lagi dia berjalan. Setapak lagi aku ke tepi.
“Aku cuma…”
Dia tiba-tiba menghenti kaki. Aku turut terpasung. Tidak berani bergerak. Kaku melihat dia yang sedikit-sedikit mengukir senyuman.
“Nak. Kau. Mati.”
Suaranya tidak keluar. Tetapi entah macam mana, aku boleh baca pergerakan bibir sepatah-sepatah itu.
Tubuhku mengeras. Mata buntang melihat dia yang masih tersenyum. Tidak jelas mukanya. Terlindung balik rambut yang menutupi. Panjang lurus hingga ke pinggang. Berpakaian dres serba merah. Di tengah-tengah bahagian abdomen, ada satu corak warna merah terang. Semakin aku lihat ke situ, semakin besar coraknya. Menyusup dan membesar. Dan tiba-tiba, hidungku menangkap bau hanyir.
Aku tersentak kuat. Itu bukan corak. Itu…itu darah!
Kepalaku terangkat laju. Kembali kepada muka separa terlindung itu. Dia masih mempamer senyuman. Namun kali ini, gigi yang tersusun itu sedikit demi sedikit mengeluarkan darah.
Aku membeliakkan biji mata. Tubuh cuba digerak. Mahu lari jauh-jauh. Malangnya, kakiku seperti dipaku atas lantai. Langsung tidak boleh bergerak. Apatah lagi, melarikan diri. Yang mampu aku buat cuma….
Melihat dia yang sekali lagi, menggerak bibir.
“Mati.”
Aku dapat baca.
“Mati, Ayudia Inara…”
Aku baca lagi.
“MATI!!!!”
Serentak dengan itu, telingaku rasa dirodok sesuatu. Aku terjatuh melutut atas lantai. Kedua-dua belah telinga dicengkam kuat. Cuba menahan pedih yang menusuk-nusuk. Namun lain jadinya. Aku dapat merasakan telapak tanganku yang mula basah. Lambat-lambat, aku menjauhkan tangan dari telinga dan membawanya ke depan mata.
“Da…darah….” Bibirku berbisik, melihat cecair merah yang berlumuran atas tangan.
“Perempuan tak guna.”
Suara itu tiba-tiba bergema lagi. Dan sekali lagi juga, tubuhku kejur keras. Dekatnya bunyi suara itu seperti berada betul-betul tepi telinga. Aku menelan liur, sebelum perlahan-lahan melirik mata ke kiri.
Dia sedang menyeringai. Dengan gigi berdarah-darah.
“Kau patut mati.”
*****
“ARGHHHH!!!”
Tubuhku terangkat dari pembaringan. Menggeletar setiap inci. Kepalaku kemudian dipusing ke sekelilig. Mata melilau cuba melihat di mana aku berada. Sampai ke gambar atas kepala katil, aku melepaskan nafas. Kuat penuh kelegaan. Aku berada dalam bilik. Bukan dalam gudang penuh kotak. Bukan dengan…
Sekuat-kuatnya, aku menggeleng kepala. Tidak rela teringatkan wanita berbaju merah. Malangnya, walau tanpa wajah penuh, aku masih terbayang-bayangkan senyuman berdarahnya. Terdengar-dengar suaranya.
“Mati…”
“Aku nak kau mati.”
“Perempuan tak guna…”
Kata-kata itu terngiang-ngiang celah telinga. Aku mengangkat lutut, menekup telinga kuat-kuat dan menggeleng-geleng kepala.
“Tolong…tolong jangan bunyi lagi…tolong…” Bibirku terketar-ketar merayu. Sama terketar dengan seluruh tubuhku yang masih menggeletar. Angin malam yang dingin tidak membantu langsung. Bahkan, membuatkan setiap lapis kulitku rasa seperti dicucuk-cucuk jarum.
Aku memeluk tubuh lebih rapat. Masih dengan tangan di telinga.
“Si…siapa kau? Apa…apa kau nak daripada aku?” soalku tanpa sedar.
“Aku nak kau mati.”
Aku tersentak. Mata meliar ke setiap genap bilik. Kosong. Gelap. Tidak ada wanita berbaju merah berdarah-darah, dengan senyuman yang juga berdarah-darah.
“Aku nak kau mati.”
Aku mendengarnya lagi. Lantas, aku menarik gebar dan membawanya atas kepala. Tubuhku dijatuhkan atas katil, mengerekot bawah gebar tersebut. Masih menggeletar, bersama telinga yang ditekup kuat-kuat, nafas yang ditahan-tahan serta mata yang dibuka luas.
Tidak mahu dikatup. Tidak mahu dia muncul lagi.
*****
“NO.”
“Yes.”
“No.”
“Yes.”
“Inara, I said no. Ara tak boleh hantar ibu ke sana.”
“Tapi ibu, Ara dah tak larat berkurung dalam rumah ni,” bangkangku lagi. Tidak peduli dengan muka ibu yang memerah geram. Aku tahu, ibu benar-benar tidak mahu aku menghantarnya ke Kota Kinabalu. Pertama, kerana aku tidak tahu jalannya. Kedua, kerana ibu merasakan aku belum cukup elok untuk ke mana-mana.
Tetapi ibu tidak tahu. Aku perlu keluar dari rumah ini. Aku perlu keluar! Manakan tidak? Sejak mimpi semalam, aku rasa seolah-olah ada mata di rumah ini. Ada suara yang keluar dari celah-celah dinding. Panggillah aku gila, tapi memang itu yang aku rasakan.
“Ini demi kebaikan Ara sendiri juga.”
Telingaku rasa berdesing. Darah panas juga naik menyirap ke muka. Kebaikan? Apa yang tidak kena dengan semua orang? Mengatakan bahawa apa mereka buat demi kebaikan aku, padahal aku tidak rasa begitu. Sekelumit pun tidak!
“Kebaikan apanya, bu? Sebab sini pemandangan cantik? Udara segar? Kononnya boleh buat Ara rasa lebih baik?”
“Ya.” Laju ibu mengiya. Penuh keyakinan.
“Jadi kenapa? Kenapa Ara rasa rumah ni…tempat ni…buat Ara jadi makin sesak? Makin takut?” Suaraku kedengaran serak di telinga. Beremosi.
Ibu memandangku tepat. Ada kecurigaan di matanya.
“Ada apa-apa tak kena ke?”
Aku menggeleng cepat.
“Tak ada.”
Entah kenapa, lidahku berat benar untuk menjadi jujur. Soal mimpi semalam, tersekat dalam otak dan tidak mampu diluah oleh mulut. Jujur aku mahu berterus-terang, tetapi aku takut akan jawapannya. Macam mana kalau jawapan yang keluar dari mulut ibu, cuma akan mengeruhkan keadaan? Atau mungkin sahaja, ibu tidak tahu siapa perempuan itu dan akan fikir aku gila.
Sudahlah hilang ingatan, gila pula tu!
Aku tidak mahu jadi begitu. Aku tidak mahu dipandang begitu. Terutama sekali, oleh ibu. Satu-satunya orang yang tidak meninggalkan aku serupa Muzaffar dan Priya.
Gibran? Dia orang asing. Dia bukan siapa-siapa. Aku tidak peduli tentang dia.
“Ara…”
“Tak ada apa-apa, bu. Ara cuma dah tak larat duduk dalam rumah ni. Terperuk macam ni. Gibran…dia pergi kerja. Ibu pun sama, selalu sibuk.”
Raut muka ibu berubah. Tampak berbelah bahagi. Bawah bibirnya juga dikemam sekali.
“Ibu minta maaf. Cuma sekarang, TCP ada masalah dengan produksi. Lepas tu, ibu kena bersiap sedia untuk koleksi tahun depan…”
Apa yang dikatakan ibu, sudah tidak aku dengari. Tenggelam bawah rasa cemburu yang membuak-buak. Aku mahu kerja seperti ibu. Aku mahu sibuk seperti ibu. Jadi aku tidak perlu lagi ternampak-nampak perempuan itu, terdengar-dengar suaranya.
“Ibu, boleh tak Ara ikut ke KL?” Tanpa sedar, aku meminta.
“Tadi nak hantar ibu ke airport, sekarang nak ikut ke KL pula?”
Aku terkedu sejenak. Mula tersedar akan permintaan sendiri. Terus, aku mengulum senyum palsu.
“Dah empat tahun, nak juga Ara tengok apa jadi dengan KL dalam masa ni,” bohongku memberi alasan.
Ibu mengecilkan anak mata. Tepat ke mukaku.
“Betul ke Ara tak apa-apa? Ara nampak lain macam. Ibu boleh cancel flight kalau…”
“Tak perlu.” Aku menyampuk agak tegas.
“Ara okey. Ibu boleh abaikan permintaan Ara untuk ke KL tu. Ara tahu ibu takkan bagi pun. Tapi Ara tetap nak hantar ibu ke airport. Macam Ara cakap tadi, Ara cuma nak keluar dari sini. I need to get out of here. Ambil angin lain. Siapa tahu, mungkin Ara akan ingat sesuatu bila keluar nanti.”
“Tapi…”
Belum sempat ibu mengata apa-apa, aku mengambil tangannya ke dalam genggaman. Wajah didongak, memandang tepat ke muka ibu. Sengaja menunjuk muka kasihan.
“Please, ibu…” Suaraku juga sengaja direngekkan.
“Gibran pesan jangan bagi Ara keluar.” Ibu masih dengan alasannya.
“Dia tak perlu tahu.” Aku masih dengan kedegilanku.
“Dari sini ke KK, ambil masa dua jam. Pergi balik dah empat jam. By the time Ara sampai semula ke sini, dia mungkin dah balik kerja.”
“Kalau macam tu, Ara hantar ibu ke pekan saja. Dari sana, ibu boleh ambil teksi ke KK. I’ll pay…”
Sekejap, aku berhenti dan menggigit bawah.
“Okey, I don’t have cash right now. Ara akan keluarkan duit…”
“Duit bukan masalahnya.”
“Habis tu, apa masalahnya sekarang?!” Intonasi suaraku ternaik satu oktaf. Genggaman tangan juga dilepas kasar. Tanda semakin bosan dengan tingkah kami berdua yang asyik melawan kata. Tidak ada juga jalan penyelesaiannya.
“Ara cuma nak keluar kejap. Bukan lama pun. So please, stop treating me like a prisoner. Tak pun, macam perempuan gila yang perlu dikurung.”
Biji mata ibu membundar.
“Ayudia Inara, don’t you dare cakap macam tu!” Seperti aku, suara ibu juga meninggi.
“Tapi itu yang Ara rasa, bu. Dah lebih seminggu Ara sedar. Tak boleh pergi mana-mana. Tak dapat apa-apa jawapan bila Ara tanya apa-apa. Then, tell me. Macam mana Ara nak ingat balik, kalau macam ni gayanya?” Aku tetap membangkang. Kembali memegang watak sebagai anak perempuan durjana yang suka melawan cakap ibunya.
“Maybe you don’t have to. Jangan ingat apa-apa.”
Mukaku berderau.
“Apa maksud ibu?”
“Huh?” Ibu tampak tergamam, sebelum lekas-lekas menggeleng kepala.
“Nothing. Ibu tak ada cakap apa-apa.”
“Apa pula tak ada? Tadi…”
“Okay, fine. Ara boleh hantar ibu sampai ke pekan. Kemudian, ibu akan ambil teksi sampai airport. Ara boleh pusing-pusing pekan. Tapi…”
Ibu tiba-tiba bercakap lebih laju daripada tadi dan mengakhiri dengan jari telunjuk yang diangkat hampir menyentuh hidungku.
“Jangan lama. Balik rumah sebelum Gibran balik. Kalau tak, bukan setakat Ara yang akan kena nanti. Dengan ibu sekali.”
Terlepas gelakku, mendengar bicara itu. Ketegangan yang tadi menyelubungi, hilang serta-merta.
“Cara ibu cakap ni, macamlah dia tu menakutkan sangat.”
Ibu membulatkan mata.
“Hello! You don’t know. A man in love can be scary.”
Lagi, aku tertawa. Mana pula ibu kutip quote serupa itu? Inilah pertama kalinya aku dengar.
 “Okeylah, jom.” Ibu menggamit aku agar mengikut. Sepantas kilat, aku bangkit dari sofa.
“Ibu akan drive dulu. Tunjuk jalan,” sambung ibu. Tangannya tangkas menarik pemegang bagasi yang sedari tadi tersedai di sebelah, mengambil kunci kereta yang tersangkut di sebalik pintu dan merembat cermin mata hitam yang tersadai atas meja tepi.
Aku membuntuti, sudah serupa anak ayam.
“Balik nanti, Ara bawa. Save duit parking ibu. Kalau tak, mahal juga bayar parking airport tu.”
Aku senyum halus. Terhibur pula dengar ibu yang pot pet, pot pet mengomen.
“Tapi itulah. Jalan masuk kawasan ni, semuanya berhutan.”
Ibu menghenti langkah dan berpaling ke belakang. Mujur aku sempat membrek. Kalau tidak, ada juga adegan peluk di pagi-pagi hari ni.
“Ara betul-betul ke boleh drive balik?”
“Ibu…” Aku buat muka ‘Tak mahu bincang pasal ni lagi.”
“Yalah…yalah…” Ibu mengalah. Namun, jarinya sekali lagi naik depan mukaku.
“Tapi ingat…”
“Ya, Ara ingat,” sampukku seraya memegang dan menarik turun jari telunjuk ibu.
“Ara akan sampai rumah ni sebelum Gibran balik. Ara janji.”
Ibu mengangguk puas hati. Aku mengeluh dalam hati. Tiba-tiba sahaja aku rasa seperti Cinderella.
*****
DERETAN gerai-gerai tepi jalan ini, aku pandang dari hujung sana. Boleh tahan panjangnya. Binaannya tidaklah baru, tetapi tidaklah juga buruk seperti hampir menyembah bumi. Di setiap satu gerai, tersusun bermacam-macam buah dengan warna yang juga bermacam-macam. Orang ramai keluar masuk. Ada yang benar-benar membeli, ada yang sekadar menengok-nengok. Dari gaya percakapan, kebanyakan mereka ialah orang Semenanjung.
Serupa aku.
“Beli, dik.”
Teguran yang bergema, menarik aku untuk berpaling ke kiri. Senyuman janggal diukir kepada seorang wanita agak tua. Aduh, aku ni pun satu. Boleh pula terpacak depan gerai dia, menghalang laluan orang tetapi tak beli apa-apa pun. Menengok-nengok pun tidak!
“Ini berapa, mak cik?” Terus, aku mengambil satu bekas paling dekat. Tidak dilihat isinya.
“Strawberi ni…sepuluh ringgit, nak.”
Aku melihat ke bekas dalam tangan. Berbiji-biji strawberi tersusun elok di dalam. Agak besar saiznya. Merah terang, masak ranum. Pasti manis. Namun bukan itu yang berlegar dalam fikiranku. Apa yang ada ialah…
Adegan aku, Gibran dan strawberi.
Cepat-cepat, aku geleng kepala. Mahu menghalau ingatan itu pergi. Gila kau, Ayudia Inara. Yang kau terfikirkan itu, kenapa?
“Kenapa, nak?” Mak cik dalam gerai menyoal dengan muka pelik.
Sekali lagi, aku menarik senyuman canggung.
“Tak ada apa-apa, mak cik. Ini duitnya,” ucapku seraya menghulur sekeping not dua puluh ringgit.
Selesai mendapat baki dan menerima ucapan terima kasih, aku memaling tubuh ke belakang dan…
Bum!
Terlanggar orang yang baru masuk.
“Sorry…sorry…” Aku mengimbangkan badan yang tersenget dan cepat-cepat meminta maaf. Tidak melihat ke muka tuan empunya badan yang sudah aku rempuh.
Namun…
“Ara?”
Aku tiba-tiba mendengar suara yang cukup aku kenali.

No comments:

Post a Comment