March 8, 2019

MEMORI INARA - BAB 12


BAB 12

GADIS yang sedang teresak-esak depanku, dipandang tanpa kata. Satu saat, aku menghulur tisu kepadanya. Pantas disambut, dibawa ke mata dan disapu ke hidung. Tidak sampai seminit, dia sekali lagi menggerak-gerak tangan. Aku menarik tisu dari kotak dan menghulur lagi...dan lagi…dan lagi. Entah berapa banyak tisu yang sudah aku tarik keluar dan bagi padanya, aku tidak kira. Yang pasti, ada timbunannya atas meja.
“It’s really…it’s really you…” ucapnya di celah sedu-sedan, usai lebih bertenang.
“Yup, it’s me.” Aku mengakui, bersama rasa aneh dalam hati. Baru beberapa hari, aku dapat tahu bahawa aku dan dia terputus hubungan, kini dia elok-elok berada depan mata.
Priya.
Sahabat baikku. Orang yang katanya, sudah lama tidak aku temui. Orang yang dalam otakku, baru dua minggu lepas aku jumpa.
Justeru, aneh! Aneh sekali perasaan yang aku rasa sekarang. Tidak sedih, tidak jua perit. Fikirku sebelum ini, aku akan rasa begitu bila bertemu dengan Priya semula. Ternyata, tidak. Aku cuma rasa biasa-biasa. Rasa seperti sediakala waktu aku dan dia bertemu untuk ke mana-mana. Girl’s outing, bak kata Muzaffar.
Padahal, Priya…dia sudah serupa heroin Hindustan yang kehilangan heronya. Habis maskara tebal yang dipakainya. Merosakkan bawah mata. Tidak ubah macam panda di China.
Saat ini, aku sedar. Aku benar-benar hilang ingatan. Aku tidak rasa apa yang Priya rasa selama ini. Aku tidak menempuhi apa yang dia tempuhi dalam masa empat tahun ini. Dan entah! Entah apa yang dia sudah buat untuk mencariku. Kerana aku yakin, seorang Priya tidak akan membiarkan seorang Inara pergi begitu sahaja dari hidupnya.
Menyedari hakikat tersebut, hatiku mula dijengah sendu. Aku terlewat, tetapi mataku akhirnya bergenang dan menitiskan isi. Tisu dari kotak yang sama tadi, aku tarik dan bawa bawah mata. Diseka sambil cuba mengawal perasaan.
“Aku cari kau selama ni, kau tahu tak? Kau pergi mana? Apa yang dah jadi?”
Benar tekaanku, Priya mencari aku selama ini.
“Ibu cakap kita lost contact lepas kau ke Glasgow.”
“Ya, betul. Kau yang tiba-tiba tak jawab mesej aku, panggilan telefon aku, emel aku…everything! It’s like you cut off me from your life.”
Kata-kata Priya menyentak kuat.
“Kenapa?” Spontan, soalan itu keluar dari mulutku.
Mata Priya membundar. Mulut juga melopong.
“Kenapa, kau tanya aku? Aku yang patut tanya soalan tu pada kau.”
Dia mengambil tanganku dan memegang erat. Sayu, dia memandangku.
“Now, tell me. Kenapa kau buat macam tu pada aku?”
Aku diam, tidak pantas menjawab. Jiwa mula rasa sesak, ditusuk seribu satu emosi yang bercampur-baur hinggakan aku sudah tidak pasti perasaan apa yang aku patut rasa sekarang. Fikirku sebelum ini, kami terputus hubungan kerana dia ke Glasgow. Aku tidak menduga ini yang sebenarnya jadi.
Aku sendiri yang tidak menjawab segala panggilan, mesej, emel dan macam-macam lagi itu? Aku yang buang Priya dari hidupku?
Sungguh, apa semua ini?!
“Ara, aku tanya ni.”
“Aku…tak tahu.” Perlahan sekali jawapan yang aku lontar. Kepala tertunduk sendiri. Rasa tidak layak untuk melawan renungan Priya.
“Apa maksud kau, kau tak tahu?”
“Aku…”
Suaraku tenggelam lagi. Entah kenapa, berat benar lidahku untuk memberitahu kebenaran.
“Apa dia? Jangan buat aku nervous macam ni. Cukuplah aku risaukan kau selama ni.” Suara Priya kedengaran serak. Kembali dipenuhi lirih.
Rasa bersalah mencucuk jiwaku. Lalu, aku tarik nafas dalam-dalam dan kembali mengangkat muka kepadanya. Dengan lafaz Bismillah dalam hati, aku akhirnya menyambung kata.
“Aku hilang ingatan.”
Dan-dan, mata Priya terbeliak.
“You…what?!!!”
*****
“THE VOW.”
“Huh?” balasku dengan kerutan. Panjang-panjang aku bercerita, hanya itu yang dia cakap? Tadi melihatkan dia yang sekejap membulatkan mata, sekejap melopongkan mulut, terutama sekali saat aku menyebut tentang Muzaffar yang meninggalkan aku dan Gibran yang mengahwini aku, tekaku dia akan marah-marahkan Muzaffar. Rupa-rupanya, tidak. Hanya ‘The Vow’ yang keluar? Mana datang tu?
Priya menyandarkan tubuh ke belakang kerusi. Namun, tidak sedikit pun dia melarikan anak mata daripada terus menatapku.
“Ini macam satu filem Hollywood yang aku tengok. Tajuknya The Vow. Pasal satu pasangan suami isteri ni, dia orang baru kahwin. Then, the wife got into an accident. Hilang ingatan dan tak ingat suami dia. She doesn’t remember him at all.”
Aku senyap sejenak. Otak ligat cuba mengingati filem yang disebut Priya.
“Aku rasa macam pernah tengok cerita tu.”
Anak mata Priya membulat. Tampak teruja.
“Kan? Aku minat kut! Husband dia sweet giler. Tak sangka pula benda ni boleh jadi pada BFF aku sendiri.”
Benar telahanku. Dia benar-benar teruja. Buktinya, intonasi suara yang sudah naik satu oktaf. Priya memang seperti itu. Bila terlebih seronok, pitching suaranya jadi melonjak.
“Riya…”
“Hmm…”
“Boleh tak kau control sikit rasa excited kau tu? Benda ni tak menyeronokkan, okey? Dalam movie tu, bolehlah. Rekaan samata-mata. Benda yang jadi kat aku ni, benda real.”
Riak wajah Priya tetap tidak berubah. Masih berbias teruja. Malahan, dia lebih selamba menjawab.
“Siapa cakap movie tu rekaan semata-mata?”
Dahiku berkerut lagi.
“Jadi, maksud kau…”
“It was based on a true story.”
Seketika, Priya diam dan mengusap-ngusap bawah dagu. Keningnya bertaut gaya orang sedang memikirkan sesuatu.
“Aku tak ingat nama pasangan tu. But yeah, it was based on a true story. Dan macam dalam movie tu jugak, sampai sekarang pun…lepas lebih dua puluh tahun kemalangan, isteri dia tak ingat that few years yang dia hilang ingatan tu. Pendek kata, dia tak ada memori sebelum dia jumpa husband dia, macam mana dia orang boleh jatuh cinta, macam mana dia orang boleh kahwin.”
Semakin aku dengar penjelasan Priya, semakin aku dapat rasakan mukaku berderau. Tidak ingat sampai sekarang? Walau selepas dua puluh tahun? Macam mana kalau benda sama berlaku pada aku dan Gibran?
Sedetik, aku terfikir begitu.
“Sorry, janganlah buat muka macam tu. Aku bukan nak takutkan kau. Aku cuma cerita aje. Mungkin dalam kes kau, kau akan ingat semula.”
Mungkin perasan reaksiku, Priya menyambung lagi. Bibirnya menyimpul senyum. Lebar, tetapi aku nampak betapa canggung dan palsunya senyuman itu. Priya…dia sendiri tidak yakin dengan apa yang lidah dia titipkan.
Aku turut menarik senyuman janggal. Sekadar mengatup emosi berat dalam hati.
“Kalaulah apa yang kau cakap tu, boleh betul-betul jadi…” Sangat tidak bermaya kata-kataku.
“Kenapa kau cakap macam tu? Kau boleh cuba, kan? Cari balik ingatan kau yang hilang tu.”
“Bukan semudah tu, Riya. Terutama sekali bila…”
Emosi berat tadi semakin menyesakkan jantung. Aku melepaskan keluhan dan melebarkan lagi senyuman palsuku. Cuba menyorok perasaan yang aku yakin bertebaran di segenap wajah. Kalau tidak, masakan riak muka Priya berubah. Keterujaannya hilang sama sekali. Digantikan dengan kerisauan. Tubuhnya yang tadi bersandar di kerusi, juga digerak ke hadapan. Lebih dekat kepadaku.
“Apa dia, Ara? Tell me.” Agak berhati-hati, dia memohon.
“Aku cuma boleh cari balik ingatan aku kalau orang lain boleh tolong, kan?”
“I…ya…” balas Priya dengan muka yang jelas-jelas tidak mengerti maksud kata-kataku.
“Tapi masalahnya, tak ada siapa yang nak tolong aku.” Lagi suara yang keluar dari kerongkongku, sangat tidak bermaya. Seperti orang yang sudah kehilangan semangat, mahu pun harapan.
“Mak kau…husband kau kan ada…”
Aku melepas gelak. Sangat sinis menyentuh telinga sendiri.
“That’s the thing. Mereka tak nak buka mulut langsung pasal hal yang jadi dalam masa empat tahun ni.”
“Kejap. Kau cakap empat tahun? Jadi kau hilang ingatan untuk jangka masa empat tahun ni?” Priya menyampuk.
Aku mengerutkan dahi.
“Aku tak beritahu ke tadi?”
“Tidak,” jawab Priya sambil menggeleng kepala.
“Well…” Bahuku dijongket ke atas.
“Macam yang kau dengar, aku tak ingat apa jadi dari waktu empat tahun yang lepas.”
Priya diam mendengar. Tidak mengata apa-apa. Tetapi aku perasan wajahnya yang berubah. Juga, halkumnya yang bergerak menelan liur.
Priya…dia tahu sesuatu.
*****
“THERE you are!”
Baru aku mahu menanya lebih lanjut, satu susuk tubuh masuk ke gerai dan terus menegur Priya. Kepala sahabatku itu terngadah melihatnya. Kemudian, bercakap dalam Bahasa Tamil yang aku tidak faham apa pun. Seketika berlalu, Priya memusing pandang kepadaku. Ada biasan serba salah di mukanya.
“Ara, I’m so sorry. Cousin I ni dah bising-bising. Dia cakap dia dah tunggu lama. Kami nak kena gerak ke Poring.”
Aku mengerling ke arah sepupu Priya. Dia buat-buat pandang ke lain. Timbul rasa geram dalam hatiku. Sudahlah muncul tidak semena-mena macam ni, elok-elok waktu aku nak korek cerita, sekarang dia pura-pura tengok tempat lain pula? Huh, menyampah aku!
“Ara…”
Aku kembali melihat kepada Priya. Buat kesekian kali, aku senyum tawar. Rasa geram ditelan bulat-bulat. Tidak elok rasanya. Bukan salah sepupu Priya pun. Mereka sudah ada perancangan sendiri. Aku yang muncul tidak berjemput.
“Tak apalah. Kesian family kau tunggu kau lama. Kau ke sini mahu berjalan-jalan, alih-alih terserempak pula dengan aku.”
Priya mengambil tanganku dan menggenggamnya.
“I’m glad, okay? Gembira sangat-sangat. Aku ingat aku takkan jumpa kau lagi…” Priya kembali sebak. Wajahnya juga berkerunyut seperti mahu menangis.
“Hei, dah. Jangan menangis lagi. Dah macam panda aku tengok kau ni.”
Mata Priya membuntang.
“Panda?”
Dia cepat-cepat mengorek beg, mengeluarkan compact powder dan membuka penutupnya. Sempat melihat muka sendiri di cermin, sebelum dia membentak.
“Ara! Kenapa tak bagitahu aku?”
Aku tergelak.
“Saja. Tak nak kacau orang tu tengah emo…”
“Kau ni kan…” Priya turut sama melepas tawa. Namun, sekejap cuma. Gelaknya terhenti dek jelingan tajam encik sepupu. Dia menjuih mulut seraya bangun dari kerusi. Aku mengambil tindakan serupa.
“Give me your number. Aku contact kau,” ucap Priya bersama telefon bimbit di telapak tangan. Sudah bersedia untuk menyimpan nombor telefonku.
“Aku tak ada phone.”
“Hah?” Melurut rahang Priya. Jelas sukar percaya dengan jawapanku.
Aku buat muka selamba.
“Phone aku rosak dalam accident tu.”
“Then, kau ambil nombor aku ni.”
Priya mengeluarkan pen dan sekeping resit lama. Laju dia menulis di situ, dengan mulut yang masih bercakap.
“Simpan elok-elok. Bila kau dah dapat telefon baru nanti, kau call aku.” Usai siap, dia menghulurkannya kepadaku. Pantas, aku menyambut. Digenggam kemas, tidak mahu resit kecil ini hilang. Tidak sanggup!
“Kau kena call aku, tau. Mesti call. Jangan tak call.” Berulang kali, Priya menegaskan permintaan. Muka penuh pengharapan.
Berulang kali juga, aku mengangguk.
“Ya, ya…aku call kau.”
“Janji?”
“Ya, janji.”
Laju aku berjanji. Dalam hati, aku memanjatkan doa agar janji ini bisa aku tepati. Selebihnya, aku mengucap syukur. Di saat aku hampir tersungkur tanpa harapan, Allah menghadirkan semula seorang sahabat buatku.
Benarlah! Allah sentiasa tahu apa yang Dia buat dan aku sebagai hamba-Nya, perlu bergantung kepadanya. Bukan kepada suami, bukan juga kepada ibu. Tetapi, kepada Dia Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui.
*****
KERETA pacuan empat roda yang aku pandu, meluncur tidak berapa laju dalam laluan berhutan. Berdegup-degup keretanya dan sesekali terangkat-angkat saat menempuh lubang serta batang-batang kayu. Aku mula terfikir, apalah yang seronoknya aktiviti off-road? Buat sakit punggung dan belakang sahaja! Majikan Gibran pun satu. Tidak ada tempat lain ke, boleh dibuat rumah percutian? Rumah tengah hutan juga yang dia mahu. Ya, aku tahu. Berada tengah-tengah ladang teh memang menenangkan, tetapi agak-agaklah! Susah sungguh mahu ke sana.
Sepanjang pemanduan, fikiranku membebel-bebel. Anak mata juga sekejap-sekejap melirik kepada jam dekat dashboard. Sudah menunjukkan pukul 5.10 petang. Kalau di Semenanjung, memang dikira masih awal. Tetapi ini Sabah! Gibran sah-sah sudah pulang dari kerja. Aduh, aku pun satu! Langsung tidak fikirkan masa bila bertemu Priya tadi. Tetapi bila difikirkan semula, untuk apa peduli tentang masa? Yang lebih penting, aku dapat menemui sahabat baikku semula. Soal Gibran, tahulah aku menjawab nanti.
Pedal minyak, ditekan lebih kuat. Kereta bergerak lebih ke hadapan. Namun saat sampai di satu persimpangan, aku membrek serta-merta. Pandanganku dibawa ke kiri dan kanan. Cuba mengingat ke mana arah yang patut aku ambil.
Aku. Tak. Ingat.
Liurku tertelan sendiri. Dada mula berdebar. Ditahan-tahan, bagi lebih tenteram. Ini bukan masanya untuk aku hilang keruan. Mataku dipejam rapat-rapat. Mahu menarik semula ingatan jalan yang ditunjuk oleh ibu sebelum ini. Terus…kiri…kiri…dan kanan, sebelum sampai ke satu jambatan kecil, kemudian aku perlu belok ke kanan. Mataku terbuka semula. Kanan! Ya, aku harus ke kanan.
Tanpa menunggu lagi, aku memusing stereng ke belah kanan. Kereta sekali lagi meluncur pergi. Semakin masuk ke jalan bertanah yang cuma elok-elok untuk sebuah kereta. Seperti tadi, jalannya tidak rata dan berdegup-degup. Aku abaikan dan terus memandu. Tidak sabar mahu keluar dari kawasan berhutan ini. Sementelah…
Aku menjeling ke jam kereta. Sudah pukul 5.25 petang. Sekejap lagi, matahari akan terbenam. Aku tidak mahu berada di sini, waktu-waktu begitu. Tidak rela!
Beberapa ketika berlalu, aku memperlahankan kereta dan melihat ke sekeliling. Dahi berkerut. Kawasan ini…pokok-pokok ini…aku tidak fikir aku nampak, waktu dalam perjalanan tadi. Jambatan kecil juga tidak nampak batang hidungnya. Rasa tidak sedap hati menyerbu masuk. Peluh mula menitis di dahi, walhal kuatnya penghawa dingin hingga mencucuk kulit.
“Don’t tell me…”
Dadaku semakin berdebar.
“Aku salah ingat tadi?”
Soalanku cuma tinggal soalan. Tidak perlu dijawab, kerana aku tahu jawapannya. Ya Allah! Aku silap jalan.
Dan-dan, aku rasa mahu menangis. Lebih-lebih lagi, suasana di sekeliling sudah mula gelap. Pokok-pokok yang tadi menghijau mula nampak lebih besar daripada biasa dan lebih gelap. Lebih hitam. Lebih menakutkan.
Aku mengetap bibir kuat-kuat, menahan air mata yang sudah hampir bolos. Tenang, Inara. Tenang. Kau cuma perlu patah balik. Pergi ke persimpangan tadi. Dan ambil jalan kiri pula. Ya, itu yang kau perlu buat.
Sebaik nampak sedikit ruang yang boleh dibuat U-turn, aku memusing kereta di situ. Namun aku salah perkiraan!
Bum!
Belakang keretaku melanggar sebatang pokok. Tidak cukup dengan itu, tayar kereta tiba-tiba rasa senget sebelah. Termasuk dalam lubang. Aku semakin penasaran.  Kelam-kabut, aku menekan pedal minyak. Mahu ke hadapan. Malangnya, cuma bunyi bising yang kedengaran. Kereta ini tidak seinci pun bergerak.
“Ya Allah, tolonglah…jangan macam ni…jangan macam ni…” Aku sudah merembeskan tangisan. Bibir merayu-rayu sambil cuba menekan pedal minyak lagi…dan lagi…dan lagi…
Gagal, segagal-gagalnya!
Aku menghentikan tindakan dan mengerling kepada beg tangan di bawah tempat duduk pemandu. Telefon. Aku tak ada telefon!!! Lagi aku rasa tidak berdaya. Tangisan semakin kuat bercucuran. Mata yang asyik-asyik meliar ke sekeliling hutan, tidak membantu langsung. Semakin membuat aku ketakutan. Ditambah pula dengan macam-macam kemungkinan yang mula masuk dalam fikiran.
Semuanya tidak elok.
“Ya Allah…Ya Allah…” Satu saat, aku cuba bertenang. Pipi diseka kedua-dua belah. Nafas dihela dan dihembus berkali-kali. Dada juga diusap-usap.
“Tenang, Ara. Tenang. Cuba fikir something…”
Sebaik merasakan diri semakin tenang, aku keluar dari kereta. Suasana yang mula gelap, aku buat-buat tidak perasan. Kemudian, aku berlalu ke belakang but kereta. Dengan sedaya mungkin, aku menolaknya.
“Erghhhh….”
Aku menolak lagi. Dua tiga kali jatuh, namun aku bangkit semula dan menolak semula. Satu saat, tayar yang terlekat bergerak seinci dua, hampir keluar dari lubang dan…masuk kembali.
Air mataku bergenang lagi. Tolonglah! Tolonglah keluar. Tolong jangan buat aku macam ni.
“Inara…”
Telingaku terbuka luas. Tangisan serta-merta terhenti.
“Ayudia Inara…”
Segenap inci tubuhku mula mengeras. Cuma tinggal bibir yang menggeletar. Sedikit demi sedikit, aku menggerak anak mata ke kanan. Di hujungnya, aku dapat lihat dengan jelas…
Perempuan berbaju merah.
Jantungku terhentak kuat. Peluh menitis-nitis ke kening. Tubuh kerasku terketar-ketar, bersama mata yang masih terpaku kepada dia.
Ya, kepada dia yang mula bergerak ke arahku. Semakin dekat…dan dekat…dan dekat…
Gerak, Ayudia Inara!!! Aku menengking diri sendiri. Serentak itu, tubuhku sedar dari pasungan. Secepat kilat, aku berlari ke depan kereta, membuka pintu pemandu dan…
Bum!!!
Mengatupnya kuat.
“Huhh…huhhh…huhhhh…” Bunyi desah nafasku berkumandang memenuhi segenap ruang kereta. Pendek dan tersekat-sekat.
“Ya Allah…Ya Allah…” Aku mencengkam dada dan memejam mata ketat-ketat. Bibir pula tidak putus-putus memanggil Tuhan, serta membaca ayat Kursi yang aku sudah tidak pasti betul atau tidak bacaannya.
Seketika berlalu…
Tiada apa yang berlaku. Suasana sunyi sepi. Tidak ada walau bunyi seekor cengkerik pun. Takut-takut, aku membuka mata ke hadapan dan melihat….
Wajah putih betul-betul depan cermin. Sedang menyengih dengan gigi berdarah-darah.
“Ya Allahhhhhh!!!!”
Sekali lagi, raunganku melangsi di tengah-tengah hutan.

2 comments: