February 27, 2019

MEMORI INARA - BAB 8


BAB 8

KAABAH yang kelihatan atas sejadah, aku tatap tanpa kelip. Kosong pandangan mataku, sama kosong dengan otak yang tidak ingat apa-apa. Entah sudah berapa lama aku berkeadaan begini, aku juga tidak pasti. Seusai solat Subuh tadi, aku berteleku, berdoa, mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan turut membaca tafsirnya. Aku, serupa dengan makhluk Allah yang lain, cuba mencari ketenangan dengan mendekati-Nya. Bukankah itu yang sepatutnya manusia seperti aku lakukan? Berserah kepada Dia, bila masa aku tidak boleh bergantung kepada manusia lain. Bukan ibu. Bukan juga Gibran. Kerana Dialah pemegang segala sesuatu. Mengetahui semua yang berlaku dalam dunia sejagat ini. Hatta, apa yang sedang jadi kepada seekor semut hitam kecil atas batu hitam kecil dalam malam hari yang juga hitam. Itulah kekuasaan Allah yang satu.
Mungkin kerana menyedari hakikat itu, aku menangis lagi, beberapa ketika lepas. Dalam keadaan bersujud, menyerah kepada-Nya dan mengharapkan Dia menghadiahkan secebis kekuatan kepadaku untuk menghadapi segala-galanya. Bukankah Dia tidak akan membebani hamba-Nya dengan apa yang tidak mampu tertanggung? Justeru, aku perlu yakin bahawa aku boleh menghadapi semua ini.
Tetapi…
Aku tidak yakin. Aku benar-benar tidak yakin bahawa aku boleh jadi kuat seperti itu. Sedarku pagi tadi, masih teringatkan Muzaffar dan peritnya mengetahui dia sudah meninggalkan aku. Sedarku pagi tadi, masih teringatkan lelaki asing yang jadi suamiku dan sudah aku lukai kerana aku mengingati lelaki lain. Sedarku pagi tadi, masih terbelenggu dengan macam-macam persoalan yang tiada jawapan dan tidak mahu diberi jawapannya.
Perlahan-lahan, aku mengatup mata dan menggenggam tangan. Entah kenapa aku buat begitu, aku juga tidak tahu. Mungkin mahu menarik ketenangan dan kekuatan yang sangat aku ingini sekarang. Atau mungkin juga, sekadar mahu berpura-pura berani. Bukankah kata orang…
A lie told often enough becomes the truth.
Ya, aku yang bernama Ayudia Inara. Seorang wanita yang kuat. Yang berani. Tidak kira walau apa pun yang dunia lempar kepada dia, wanita ini akan tetap kuat. Akan tetap berani. Akan tetap tenang menghadapinya.
Aku mengulang-ngulang ayat yang sama dalam diri. Biarlah penipuan ini bertukar jadi kebenaran. Biarlah aku yang lemah ini, benar-benar jadi wanita kuat, berani dan tenang.
Izinkan aku jadi wanita seperti itu, Ya Allah!
Serentak dengan laungan dalam hati itu, air mataku menitis setitik. Tidak berhenti di situ, bahkan jadi lebih lebat. Lalu, aku menjatuhkan semula kepala ke atas sejadah. Bersujud dan menghamburkan tangisan semahu-mahunya di situ. Hanya untuk kali ini, izinkan juga aku melepaskan rasa hati.
Seketika berlalu…
Aku mengangkat kepala. Kedua-dua belah tangan dibawa menyentuh pipi kanan dan kiri. Menyeka sisa-sisa tangisan yang membasahi. Kemudian, aku menggali nafas dalam-dalam. Pandangan juga dibawa ke hadapan.
Kukuh.
Cukuplah seorang Ayudia Inara menangis. Hari ini, di hari kedua dia mengingati apa yang berlaku semalam, dia tidak akan menangis lagi. Atau sekurang-kurangnya, tidak seperti semalam dan pagi tadi. Tidak seteruk itu.
Usai menanam azam dan merasakan diri semakin tenteram, aku bangkit dari sejadah. Sempat mengutipnya, sebelum berlalu ke rak penyangkut. Telekung putih yang aku pakai, ditanggal dan digantung elok-elok. Sesudah itu, aku bergerak menghampiri jendela. Dari sebalik langsir putih, aku dapat melihat sinar mentari pagi yang menembus masuk. Bibirku menguntum senyum. Sinaran ini seperti memberi tanda bahawa hari ini akan jadi lebih baik daripada semalam.
Sebaik tiba dekat, aku membuka jendela tersebut. Berkeriuk bunyinya. Tidak kuat tetapi cukup untuk membuatkan telingaku agak ngilu. Sedikit-sedikit, pemandangan pagi terbentang depan jendela. Kabus putih memenuhi segenap sudut. Tidak terlalu tebal. Cukup-cukup untuk mengingatkan aku bahawa aku sekarang berada di Kundasang. Angin pagi mula menyentuh kulit. Dingin mencengkam. Aku memeluk tubuh dan menggerak kepala ke luar jendela. Serta-merta, udara segar menyapa wajah. Mataku terpejam sesaat. Menikmati.
Kemudian, aku menebarkan pandangan ke sekeliling depan. Ada sebatang pohon besar belah kiri. Tergantung kukuh di situ, satu buaian yang beralun perlahan ditiup angin. Tidak jauh dari pohon tersebut, aku dapat lihat kolam yang boleh tahan besarnya. Airnya tidak nampak jernih. Hijau gelap tanda berlumut. Sebahagian permukaannya pula, dilitupi pokok teratai. Ada kira-kira lapan hingga sepuluh bunga teratai yang mengembang. Aku tidak pasti jumlah sebenar. Aku malas mengira. Lagi pula, perhatianku lebih melekat kepada jambatan kecil yang merentasi kolam tersebut. Atau lebih tepat lagi, kepada susuk tubuh yang berdiri tegak di situ. Sedang memegang pagar jambatan, memandang jauh ke hadapan, dan dalam persalinan senaman serba hitam.
Tepat, aku melihat ke wajah itu. Mengelamun dalam rupa seriusnya, dengan mata suramnya. Serupa semalam.
“Apa yang awak fikirkan?” Di luar sedar, lidahku berbisik sendiri.
Tidak semena-mena, susuk tubuh itu memusing kepala. Terus kepadaku. Aku tersentak. Namun tidak pula aku melarikan pandangan atau berlari masuk ke bilik. Aku tidak tahu kenapa, tetapi tubuhku seperti tidak mahu bergerak. Lalu, aku tetap terpacak tegak. Bersabung mata dengannya.
Aku di jendela. Dia atas jambatan.
*****
CANGGUNG.
Itu yang aku rasa sekarang. Duduk sebelah-menyebelah dengan Gibran. Kaki sama-sama berjuntai dari atas jambatan ke bawah, hampir menyentuh permukaan kolam. Sesekali, kaki kami bersentuh. Dan setiap kali itu juga, aku umpama terkena renjatan elektrik. Laju melarikan kaki ke tepi. Gibran? Dia sekadar diam tidak buat apa-apa. Padahal, dia juga yang gamit aku ke sini tadi. Aku pun satu. Macam mana pula boleh dengar cakap dia? Bukan main lagi keluar bilik, keluar rumah dan akhirnya tersadai duduk atas jambatan, dikelilingi pokok-pokok teratai.
Ah, aku sudah jadi gila gamaknya.
 “Nah.”
Suara Gibran yang tiba-tiba berbunyi, agak menyentak. Bulat mataku memandang dia yang menghulurkan sweatshirt hitam. Entah bila dia menanggalnya dari tubuh, aku tidak perasan. Tetapi yang nyata, Gibran kini sekadar memakai t-shirt biru yang agak tipis. Juga, agak kebasahan dek peluh.
Dia nampak kedinginan.
“Err, tak apa. Saya tak sejuk.” Aku menolak penuh hemah.
Nafas Gibran terhela kuat. Dia kemudiannya memusing aku agar lebih berhadapan, menyarung sweatshirt tersebut ke bahuku dan menarik penutup kepala yang terletak di belakang. Kepalaku serta-merta jadi terlindung.
“Apa ni? Kan saya dah kata, saya tak nak.” Aku cuba membukanya. Namun sepantas itu juga, Gibran mencengkam bahagian kolar baju dan merengkuhnya kuat. Automatik, tubuhku jadi terdorong ke hadapan.
Muka bertemu dekat.
Mata bertentang mata.
Desah nafas seperti terhenti.
Aku terkebil-kebil menatap wajah Gibran yang dekat benar. Dia merenungku tanpa riak.
“Sekejap lagi, pekerja ladang akan masuk kerja. Mereka akan lalu sini. Abang tak nak mereka tengok rambut Ara,” terang Gibran seraya mengalihkan tangan ke penutup kepala baju. Masih dengan lagak tenangnya, dia menarik lebih kemas. Tidak cukup dengan itu, Gibran menyelit rambutku yang sedikit terkeluar ke celah telinga. Lembut. Tetapi serupa tadi, aku seperti terkena renjatan elektrik. Pantas menepis tangan itu, dan melakukannya sendiri.
Gibran mengalah, tetapi aku perasan bibirnya yang bergerak secalit. Senyum halus. Untuk apa, aku tidak tahu. Mungkin menyinis atau mahu mentertawakan aku. Huh!
“Kenapa sensitif sangat hari ni? Bukannya Ara tak biasa dengan sentuhan abang.”
Benar agakanku. Dia mahu menyinis. Langsung, aku menjeling tajam.
“Maksud abang, semalam kan kita siap berpelukan.” Gibran membetulkan kenyataan sendiri.
“Itu semalam. Bukan hari ni.” Agak keras balasanku. Sebal. Namun, sepertinya reaksi aku tidak memberi apa-apa kesan kepada Gibran. Bahkan, dia selamba mendekatkan muka dan merenungku dalam-dalam.
Aku mengerunyutkan dahi. Mata memandang curiga. Satu yang sudah aku belajar tentang lelaki ini dalam masa satu hari mengenalinya, Gibran bukannya boleh dibuat kira sangat. Penuh dengan cakap pelik-pelik!
“Atau sebab semalam Ara dah sedar yang Ara masih berperasaan pada abang? Jadi sekarang, Ara jadi terlebih aware dengan abang. Terlebih awkward. You know, macam orang yang mula-mula sedar diri dah jatuh cinta.”
Lihat! Kan aku sudah bilang. Dia memang lelaki dengan cakap pelik. Aku menyepetkan mata kepadanya dan mengukir senyum olok-olok.
“Awak memang suka fikir macam-macam, kan? Reka sebab-musabab yang tak wujud.”
“Well…”
Kening Gibran terjongket sebelah. Aku mula rasa tak sedap hati.
“Itu namanya hipotesis. Sama ada betul atau tidak, kena uji.”
“Uji?”
“Ya. Uuuuu…”
Panjang benar huruf U yang keluar dari mulut Gibran. Mataku bulat menatap dia yang semakin merapatkan muka.
“Ji.”
Gibran mematikan kata dengan melihat tepat ke bibirku. Aku tersentak sesaat, sebelum kelam-kabut menolak mukanya biar jauh. Gibran ketawa besar.
 “Awak jangan buat macam tu lagi, boleh tak?” marahku, separa menjerit. Muka merah padam menahan geram. Suka sungguh dia buat macam tu. Dia ingat perbuatan itu kelakar? Tak kelakar, okey. Tak kelakar!
Tawa Gibran terhenti.
“Semalam cakap tak takut.”
Wajahku berderau. Telinga terasa panas. Gibran mungkin mahu bercanda, tetapi gurauannya kedengaran seperti sindiran pedas di telingaku. Lalu, aku merenung tepat ke mukanya.
“Habis tu, nak saya jadi macam semalam balik?” Keras, aku menyoal.
Gibran cepat-cepat menggeleng.
“Tak nak. Semalam, Ara menakutkan. Lebih menakutkan daripada hantu.” Selamba dia bercakap. Siap dengan muka konon-konon sedang ketakutan.
Aku tergelak tanpa sempat dihalang. Gibran senyum halus.
“Kan elok macam ni.”
“Huh?” Aku memandangnya hairan.
Senyuman Gibran semakin melebar, ditemani pandangan lunak.
“Ara senyum. Ara ketawa macam ni.”
Sekali lagi, wajahku berderau. Mata terpaku kepada dia yang masih senyum dan merenung. Tenang umpama air di kolam teratai ini, tetapi aku…tiba-tiba rasa seperti ada tsunami dalam diri. Berkocak dan memasung aku daripada melarikan pandangan.
Aku dan dia. Atas jambatan. Dikelilingi kolam teratai. Saling bertatapan.
Satu saat…
Dua saat…
Tiga saat…
Pipiku tiba-tiba terasa sejuk. Anak mataku membundar, memandang dia yang sedang menyentuh pipiku. Telapak tangannya elok melekat di situ.
“Sekarang, Ara pula yang nampak macam tengah tengok hantu.” Gibran bersuara. Secepat kilat, aku menepis tangannya. Kepala dipusing mahu melihat ke hadapan semula. Namun sepantas itu juga, lenganku disambar. Aku kembali berpaling ke sebelah.
Menghadap Gibran Lutfi.
“See, I’ve told you. Ara sensitif dengan sentuhan abang.” Dia bertutur tenang. Yakin sekali.
Aku melopongkan mulut dan menghamburkan tawa olok-olok.
“Hahaha, yalah tu. Mana ada sensitif. Tak ada rasa apa-apa pun.” Entah apa yang aku cakap, aku pun tidak tahu.
Gibran mengjongketkan sebelah kening. Rupa sama seperti sebelum adegan hipotesis tadi. Aku sekali lagi rasa tidak sedap hati.
“Awak…”
“Betul ni?” Gibran mencantas sebelum sempat aku mengata apa-apa.
“Apa yang betul?” Aku menyoal semula.
“Ara tak rasa apa-apa?”
“Hmmm…” Aku mengeya, dengan muka yang ditunjuk yakin.
“Then…” Gibran tiba-tiba menyua muka ke hadapan. Aku pantas menjarak muka ke belakang. Gibran mendekat lagi. Aku menjauh lagi. Mendekat lagi. Menjauh lagi, hingga akhirnya…
“Enough, Gibran!” Aku menjerit sambil menolak mukanya. Tubuh yang sudah hampir separuh berbaring atas jambatan, diangkat semula.
Gibran ketawa besar. Berdekah-dekah memecah keheningan pagi. Aku mencerlung tidak puas hati.
“Awak ni dah lupa agaknya. Saya masih tak kenal awak. Awak masih orang asing bagi saya. So please, don’t do that again!”
“Kalau tak?” Dia menyoal di celah-celah tawa.
“Kalau tak, saya report awak pada polis. Biar kena tahan masuk lokap tu!”
Tawa Gibran dan-dan jadi semakin kuat.
“Dahlah gelak tu! Awak ingat saya tak berani buat macam tu?” Aku menempelak. Semakin kegeraman dengan dia yang seronok benar mengusik.
“I’m your husband, remember?”
“So, what?” Aku tetap membidas. Walhal, jelas lagi nyata aku tidak boleh buat begitu terhadap Gibran. Mahunya dimarahi polis nanti. Lagi parah, kalau tular di media sosial.  
Gibran mematikan tawa, namun bibirnya tetap senyum.
“So this is the real you.”
Telingaku menangkap kata-kata itu. Perlahan sahaja, sekadar sipi-sipi menyentuh gegendang telinga.
“Huh?”
Gibran tampak terpanar dan menggeleng kepala.
“Nothing.”
Aku merenung curiga. Dia tayang muka tak bersalah. Dalam diam, aku mengeluh. Penat melayan dia. Penutup kepala baju yang jatuh menutupi dahi, dipegang hujungnya.
“Isy, serabutlah benda ni.”
Baru sahaja aku mahu menolaknya ke belakang, jari-jemari Gibran lebih dahulu sampai ke pergelangan tanganku. Dipegang kemas.
“Jangan.” Dia menjatuhkan arahan.
“Saya tak nak tutup kepala,” bangkangku semakin jengkel. Apa masalah dia dengan hoodie ni?
“Nanti orang tengok rambut Ara.”
“Biarlah orang tengok! Bukannya….”
Bantahanku mati di sekerat jalan. Terhenti dek pandangan mata Gibran yang tampak berubah.
“Saya…dah berhijab ke?” Perlahan aku meneka.
Gibran mengangguk kecil. Aku menyengap. Ada satu rasa yang menyusup ke dalam hati. Entah apa, aku tidak tahu. Mungkin rasa syahdu. Atau insaf. Atau mungkin juga rasa tidak percaya bahawa yang aku selama ini free-hair rupa-rupanya sudah berhijab. Kata orang, sudah mendapat hidayah.
Ah, dua hari ini betul-betul penuh dengan kejutan!
“Sejak bila?”
“Sejak sebelum kita kenal.”
“Oh.” Hanya itu yang terpantul dari mulutku.
“Jadi, tolong tutup rambut ni. Aurat Ara cuma untuk abang seorang. Bukan untuk dikongsi dengan mana-mana lelaki lain.” Tegas Gibran bertutur. Lagak seorang lelaki yang sangat obsesif dengan isteri sendiri. Tetapi aku yang mendengar, mula rasa sebal. Apa dia ingat aku suka dengan perangai macam tu?
“Jangan nak jadi ‘suami’ sangat, boleh tak?” Lantas, aku membentak. 
“Abang perlu jadi suami. Sebab dosa seorang isteri, suami turut sama tanggung.” Gibran kekal dengan ketegasan yang tidak tergugat.
Aku terdiam. Bila soal dosa yang dibangkitkan, lidahku jadi kelu untuk menjawab. Sementelah, memang aku sudah lama berkira-kira untuk menutup aurat yang satu ini. Rancangan asalnya, selepas aku bernikah dengan Muzaffar. Ternyata, Ayudia Inara yang ini buat begitu, sebelum berkahwin dengan sesiapa pun.
Nampaknya, dia lebih baik daripada aku. Tidak menjadikan dosa suami sebagai asbab untuk menutup aurat. Lagipun, bukankah aku patut lebih fikirkan dosa sendiri? Berpuluh tahun menayang aurat, aku patut sedar diri dan bertaubat.
Sesaat, aku tersentak. Tidak percaya dengan monolog sendiri. Sejak bila pula aku pandai fikir begini? Bukankah selama ini…
Belum dapat seru.
Belum ada hidayah.
Tunggu masa sesuai.
Itu yang selalu aku jawab bila soal rambutku dipertikaikan. Tetapi sekarang? Lain benar fikiranku.
“Ara…Inara…”
Bunyi jari dipetik, menggamit perhatian. Aku kembali kepada Gibran. Dia sedang melihatku dengan wajah kehairanan.
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apa,” bohongku seraya membetulkan penutup di kepala. Biar rambutku jadi lebih terlindung. Tidak keluar walau satu urat pun.
“Dengar juga cakap abang, ya?”
Aku mengerling kepada dia yang tersengih-sengih. Ingat elok sangatlah tu sengih macam kerang busuk!
“Awak dah ada dosa awak sendiri, tak perlu ditambah lagi dengan dosa saya.” Selamba, aku menyindir.
Sengih Gibran bertambah lebar. Ada tawa halus yang turut sama terkeluar. Aku buat tidak endah dan melihat ke hadapan semula. Sudah malas melayan karenah Gibran yang macam-macam. Dia mengambil tindakan sama. Kami kembali kepada posisi yang tidak memandang satu sama lain. Sekadar duduk sebelah-menyebelah. Dengan jarak beberapa jengkal. Tidak terlalu rapat, tidak terlalu jauh.
Kaki masih berjuntai hampir menyentuh permukaan kolam.
“Inara…”
Seperti tadi, Gibran yang lebih dahulu memecah kesunyian.
“Hmm…”
Seperti tadi juga, rajin lidahku menyahut. Huh, mana hilangnya rasa malas mahu melayannya tadi? Sudah hilang dilempar luar kolam agaknya.
“Terima kasih.”
Dahiku berkerut.
“Untuk apa?”
“Sebab ingat abang.”
Sejenak, aku diam. Membiarkan keheningan kembali menyelubungi kami berdua. Aku tahu apa yang dimaksudkan oleh Gibran, tetapi lidahku…
“Saya tak ingat awak.”
Tetap menjawab begitu. Lewat ekor mata, aku dapat melihat senyuman halus yang terukir di bibir Gibran. Kelat.
“Ara ingat semalam.”
Ya, itulah maksud Gibran. Dan aku tahu.
“Hari ni, abang bangun dengan persoalan sama sejak kebelakangan ini. Will she remember me today? Will she not?”
Tenang Gibran bercerita. Namun telingaku dapat mendengar getaran yang terselit. Bahkan, dapat merasai emosi yang bersulam.
“Ara tahu tak, betapa gembiranya abang waktu tengok Ara kat tingkap tadi? You looked at me. Straight. Tak menjerit atau marahkan abang. At that moment, I just knew. Ara tahu siapa abang.”
“Tak. Saya tak tahu.” Aku membetulkan kenyataan itu.
“Ara?” Panggilan Gibran berbaur hairan.
“Saya tak tahu siapa awak. Apa awak buat? Macam mana kita boleh kenal? Dan macam mana saya boleh terima awak? Padahal saya…”
Penjelasanku terhenti. Dimatikan oleh seribu satu emosi yang berderu-deru masuk. Aku menggenggam tangan kuat-kuat dan membawa diri ke satu masa dahulu. Tidak! Bukan dahulu. Tetapi beberapa hari lepas, atau seminggu lepas, atau sebulan lepas, bahkan menginjak ke sepuluh tahun lepas.
Sepuluh tahun dalam garis masa seorang Ayudia Inara. Tanpa empat tahun yang lenyap itu.
“Saya dan Muzaffar couple selama sepuluh tahun. Sejak kita orang tingkatan empat. Dalam zaman muda saya, ada dia. Always there. By my side. Dari dulu hingga sekarang, saya cuma bayangkan dia sebagai suami saya. Lelaki yang akan bersama saya untuk selama-lamanya. Jadi saya…”
Aku berhenti sekejap dan mengelip-ngelipkan mata. Cuba menahan cecair jernih yang bertakung.
Kau wanita kuat, tenang dan berani, Ayudia Inara. Kau wanita seperti itu.
Aku mengulang ayat pagi tadi. Mahu membasuh otak. Mahu menukar penipuan kepada kebenaran.
“Saya tak percaya yang saya boleh terima lelaki lain, selain dia.”
“Ara kena percaya. Sebab hakikatnya…”
Gibran memusing badan. Perasan akan tindakan itu, aku turut berpaling. Kami kembali berhadapan. Saling bertentang mata.
“Abang…”
Gibran meletak tangan ke dada.
“Gibran Lutfi, yang sedang berada depan mata Ara sekarang. Sebagai suami Ara.”
“Gibran…Lutfi?” Aku mengulang nama penuh Gibran yang pertama kali aku dengar.
“Ya, Gibran. Yang memulihkan. Lutfi....”
Gibran menatapku lunak.
“Kelembutanku.” Dia menyambung dengan suara selembut baldu. Aku yakin, kalau ada perempuan yang mendengar intonasi suara serupa itu, pasti-pasti mereka akan mencair. Malangnya, aku bukan perempuan itu.
“Cantik maksud nama awak,” pujiku senada. Tiada ikhlas dalam bicara.
“Tapi…”
Dahi Gibran berlapis mendengar sambungan kataku. Aku membetulkan letak dudukku dan merenung lebih dalam ke matanya.
“Boleh ke awak pulihkan saya? Buat saya ingat awak semula? Buat saya tahu awak? Buat saya kenal awak? Dan macam yang awak cakap…”
Sedikit-sedikit mataku kembali berbalam. Segenap hati rasa sebu. Bibir juga mula menggeletar.
“Betul ke hati saya ingat awak, Gibran Lutfi? Because right now, I don’t think so.”
Raut muka Gibran berubah sebaik mendengar bicara akhirku.
“Masih sakit hati saya bila fikir pasal Muzaffar, masih rasa nak menangis. Kalau dalam hati saya ada awak, mesti saya tak rasa macam tu, kan?”
Suasana menghening. Gibran setia membalas renunganku. Fikirku, dia akan kecewa atau marah. Tetapi lain yang aku nampak sekarang. Gibran kelihatan tenang, dengan mata yang jelas redup.
“That’s what your mind say.” Dia membuka mulut.
“Sebab Ara kehilangan memori yang ada abang dalam tu. Tapi percayalah…”
Lembut, Gibran mengambil tanganku dan menggengamnya. Tidak seperti tadi, aku tidak pula merentap semula.
“The mind can forget. But the heart never will. Itu cinta Ara untuk abang.”
Sekali lagi, suasana menghening. Aku diam terpaku pada mata penuh keyakinan seorang lelaki bernama Gibran Lutfi. Dalam hati, aku mula tertanya-tanya…
Apa yang aku sudah buat demi dia, hinggakan begini sekali keyakinan Gibran terhadap cinta aku kepadanya?

~ Bersambung...~

2 comments: