February 25, 2019

MEMORI INARA - BAB 7


BAB 7

PEMANDANGAN depan mata, aku pandang sambil lewa. Dari kiri ke kanan, dan dari kanan ke kiri, terbentang ladang teh yang menghijau. Tidak ubah seperti permaidani alam yang gebu. Di suatu celah ladang, terpacak huruf-huruf besar yang disusun membentuk perkataan ‘GREY’S PLANTATION’. Dari kejauhan belah kanan, ada kawasan hutan yang belum ditarah. Mungkin sengaja dibiarkan atau mungkin sahaja bakal menerima nasib sama, suatu hari nanti. Aku mengalihkan perhatian daripada kawasan hutan tersebut, dan kembali kepada kehijauan ladang teh. Angin petang yang sepoi-sepoi bahasa, bawa bersama bau-bauan teh yang segar dan sepatutnya menyenangkan. Di ufuk belah sana pula, kelihatan bebola jingga mentari yang mula menurun. Lantas, menyimbah kehijauan teh dengan warna merah jingga.
Cantik. Menakjubkan. Tidak dinafikan.
Malangnya, mataku tidak boleh nampak segala keindahan itu. Hatiku terlalu lompong untuk menikmati kekuasaan Tuhan.
Sekarang, bukan masanya untuk aku jadi sang pencinta alam.
“Kundasang. Kita sekarang berada di Kundasang.”
Teringat aku kepada jawapan ibu petang tadi. Saat aku bertanyakan soal di mana kami berada sekarang. Dahiku jadi berkerut tebal. Keanehan. Bagaimana kami yang bertahun-tahun tinggal di Kuala Lumpur, boleh tiba-tiba berada di seberang lautan begini? Apa yang sudah jadi dengan perniagaan ibu dan kerjaya aku?
Seperti sebelumnya, persoalan itu tidak habis-habis berlegar dalam fikiran dan terlekat di lidah. Ibu pula, jelas tidak mahu menerangkan apa-apa. Laju sahaja menukar topik perbualan dan memberitahu bahawa kami berpindah ke rumah ini atas permintaan Gibran. Kata ibu, rumah ala-ala kotej Ingggeris ini dimiliki oleh majikan Gibran dan disewakan kepada kami buat sementara waktu. Berada di tengah-tengah ladang teh. Jauh daripada hiruk-pikuk bandar dan dikelilingi persekitaran cantik menenangkan.
Sesuai bagi orang sakit macam aku.
“It’s cold. Ara tak patut ada kat luar masa ni.” Suara itu bergema dari belakang, serentak dengan gebar yang jatuh melilit ke bahu. Lamunanku terhenti. Ekor mata mengerling kepada tangan berurat yang muncul di kiri dan kanan, mengemaskan gebar tersebut. Sudah serupa merangkul. Namun kali ini, aku biarkan. Letih mahu menolak. Apatah lagi, berbalah.
Selebihnya…
Perbualan antara ibu dan Gibran melintas dalam ingatan. Aku masih terkesan dengan apa yang didengari. Aku tidak ingin, tetapi aku gagal mengawal diri. Apa yang dikatakan oleh Gibran, walau sejuta kali pun aku cuba halau, tetap jua menghantui.
Lalu, aku memusing kepala ke sebelah. Kepada dia yang kini mengambil tempat di sisi kanan. Turut menebarkan pandangan ke hadapan. Mata Gibran sesekali berkelip, lantas menjatuhkan bulu mata sederhana panjang itu. Dari sisi, hidung mancung dan tulang pipi Gibran yang tinggi, tampak lebih menyerlah. Tampak maskulin. Mulutnya terbuka sedikit, menerima dan menghembus nafas. Suasana yang sunyi membuatkan aku boleh mendengar desah nafas itu dengan jelas. Lembut dan teratur. Tetapi, ada beratnya.
Pandanganku naik semula ke mata Gibran. Masih melihat jauh ke hujung sana. Entah apa yang dia fikirkan, aku tidak tahu. Tampak mengelamun. Tampak serius. Tampak…
Sedih.
Entah kenapa, itu yang muncul dalam benakku.
“Tengoklah abang puas-puas. I’m all yours.” Gibran tiba-tiba memecah keheningan. Masih dengan mata ke hadapan. Tidak melihat kepadaku.
“Bukan Ara tak biasa.” Dia menyambung lagi.
“Hah?” Aku membalas bingung.
Gibran melirikkan mata kepadaku. Aku mungkin salah melihat, tetapi pandangan sedihnya tadi sudah bertukar.
Jadi nakal.
“Ara tengok abang tadi, kan? Bukan main skodeng orang.”
Biji mataku membulat.
“Mana ada skodeng!” Mulut laju menafi.
Gibran memusing badan jadi berhadapan. Kepalanya ditunduk sedikit bagi menyamai aras wajahku.
“Kalau nak mengintai orang balik dinding, cik adik sayang…sembunyikanlah diri tu sikit. Ini tidak, jelas-jelas keluar kepala.” Gibran mengakhiri kata dengan mulut yang sengaja dilebarkan. Kening juga naik meninggi. 
Aku menjuih bibir dan memaling muka daripadanya. Dia ni memanglah. Aku baru aje tak nak bergaduh dengan dia. Tetapi dia punya perangai tu…memang mengundang marah betul!
“Haaa, mulut tu. Terherot-herot. Mengata laki sendirilah tu.”
Telingaku berdesing.
“Awak ni kan!” Spontan, aku berpusing semula dan menempelak kuat.
Gibran mengerut dahi. Sekejap cuma. Selepas itu, dia menyengih. Siap dengan muka yang nampak teruja.
“Awak? Dah hilang ‘kau’?”
Aku tergamam sejenak. Baru perasan akan bicara sendiri. Dalam hati, aku mengutuk diri kuat-kuat. Kau dah kenapa, Ayudia Inara? Boleh pula berubah tiba-tiba?
Namun, tetap juga aku cuba tayang muka selamba.
“Habis tu, nak ke dipanggil ‘kau’? Kira elok sikit saya…”
“Saya?”
Wajah teruja Gibran tampak semakin teruja. Lagi, aku mengutuk lidah sendiri.
“Ya.”
Aku letak tangan atas dada.
“Saya.”
Kemudian, aku tunjuk tangan ke arah Gibran.
“Awak.”
Gibran melihat sahaja.
“Kira elok sikit saya guna saya-awak. Bukan aku-kau. Atau awak nak saya panggil macam tu? Boleh. No problem.”
Laju aku menjawab. Entah apa yang aku cakap dan buat, aku sendiri tidak tahu. Yang pasti, aku mahu berlagak bersahaja. Konon tidak terkesan dengan soal panggilan ini. Ya, dia orang asing bagiku. Apa-apa pun panggilan yang diguna, tidak perlu beri kesan, bukan?
Gibran senyum segaris. Masih dengan muka teruja. Telapak tangan aku rasa gatal tiba-tiba. Rasa mahu cubit muka itu, kuat-kuat. Tidak pun, cucuk kesan luka atas dahi tu. Biar padan muka dia!
“Bila masa pula abang nak Ara panggil macam tu? Cuma…”
Bicara Gibran meleret dan dihentikan. Sengaja.
“Cuma apa?” Aku menyambung dengan rasa curiga.
“Kan lebih afdhal kalau guna abang-Ara. Tak pun, abang-sayang. Sedap sikit telinga ni dengar.” Gibran menjawab dengan gaya ala-ala mendekatkan telinga ke mukaku.
Aku menjauhkan kepala seraya menggumam, “Orang bagi betis, nak paha.”
“Paha Ara seksi, mestilah abang nak.”
Mulutku melopong. Mata sama membulat.
“Jangan gatal sangat, boleh tak?” Suaraku naik satu oktaf.
Gibran meletak jari telunjuk ke bibirnya.
“Dekat-dekat Maghrib ni, tak elok menjerit.”
Aku merengus geram. Jelingan maut diberi kepadanya. Gibran masih dengan senyum halus di bibir. Tetapi kali ini, dia mengangkat kedua-dua tangan ke atas. Gaya orang menyerah kalah.
“Okeylah, abang tak cakap macam tu dah.”
Riak wajahnya berubah jadi serius.
“Kenapa?”
Keningku bertaut.
“Kenapa apa?” Aku bermain soalan.
“Kenapa tiba-tiba tukar panggilan, layan abang lebih elok sikit ni?” Sangat berterus-terang soalan yang diberi. Bersama mata yang memanahku tepat dan suara yang agak bergetar.
Aku terkedu. Otak ligat mencari jawapan atau apa-apa pun alasan yang boleh terfikir.
“Saja. Boleh jadi cepat tua kalau selalu sangat marah-marah.”
Ternyata, hanya itu yang mampu aku balas. Bodoh sekali jawapanku!
Gibran memandangku tenang. Anak mata tidak seinci pun dilarikan daripada meratah wajahku. Aku mula rasa tidak selesa. Lebih-lebih lagi, bila Gibran mengangkat kaki setapak ke hadapan. Jarak antara kami jadi lebih rapat. Kepalaku jadi lebih terdongak melawan renungannya.
“Atau…sebenarnya sebab abang betul?” Perlahan soalan Gibran. Antara dengar tak dengar.
“Betul apa?” tanyaku semula. Juga dengan suara yang entah keluar entah tidak.
“Dalam hati Ara, ada abang.”
Mukaku terasa berderau, sebelum aku cepat-cepat membangkang.
“Jangan perasan! Dalam hati saya, cuma ada…”
“Muzaffar.” Gibran menyambung senada.
Aku mendiam. Tidak perlu mengakui jawapan yang jelas-jelas sudah nyata.
Gibran mengundur diri ke belakang. Kembali kepada posisi asal kami yang tidak telalu dekat, tidak terlalu jauh. Sekadar cukup untuk membuatkan aku rasa lebih selesa dan tidak rasa terperangkap dengan seorang lelaki asing yang menjadi suami.
Sesudah itu, dia berpusing semula ke hadapan. Memandang jauh. Sinaran senja mentari menyimbah sebahagian mukanya, menjadikan wajah Gibran tampak separa terlindung dek cahaya jingga.
“You know, Ara…” Sekali lagi, Gibran bertutur perlahan. 
“Apa?” Rajin pula aku melayan bicara lelaki di sebelah.
“Abang tengok apa yang jadi pada Ara. Apa kesannya perpisahan tu pada Ara. Jadi, abang tahu Ara sayangkan dia. Maksud abang, pernah sayangkan dia. Tapi…”
Gibran melepas tawa kecil. Terserlah tawar dan sinisnya.
“Abang tak sangka macam ni sekali. I guess four years ago, Ara memang betul-betul sayangkan Muzaffar.”
Jeda.
Suasana sunyi mengelilingi aku yang masih memanggung muka, menatap sisi wajah lelaki yang kini menjadi suamiku, sedang bercakap tentang bekas tunangku.
“Awak…” Aku membuka mulut selepas beberapa minit membungkam.
“Tahu pasal dia?”
“Kita sedang bercakap pasal dia. Mestilah abang tahu.”
“No. I mean, apa yang jadi empat tahun lepas?”
Pandangan mata Gibran kelihatan tergugat. Dia terkesan dengan soalanku.
“Abang tak tahu.”
Tetapi, itu pula yang keluar dari mulutnya.
“Awak bohong.” Aku menidakkan. Tangan mencengkam lengan Gibran dan memaksanya kembali berhadapan denganku.
Muka bertentang muka.
“Awak sendiri cakap tadi. Awak tengok apa jadi pada saya. Apa kesannya perpisahan itu pada saya.”
“Itu dua tahun selepas Ara dan dia berpisah. Mana abang tahu apa yang jadi sebelum tu. Kita belum pun kenal.”
“Saya tak pernah beritahu?”
Gibran terdiam. Reaksi yang sudah cukup jelas di mataku. Lelaki ini…dia tahu apa yang sudah berlaku.
“Tell me, Gibran. Apa yang dah jadi selama empat tahun ini?” Persoalan yang sedari tadi sekadar meniti di lidah, terlontar jua akhirnya. Jika bukan ibu yang jadi pemberi jawapan, biarlah aku tagih jawapannya daripada menantu kesayangan ibu.
Sekali lagi, suasana hening antara kami. Gibran senyap menatapku. Aku membalas tatapannya. Mahu dia nampak betapa aku inginkan jawapan. Betapa aku terdesak!
Namun…
“Tak ada apa yang jadi.”
Jawapan serupa itu yang tetap terpacul dari mulut merahnya. Aku gelak sinis. Terasa geli ulu hati mendengar bicara yang jelas lagi nyata, menipu.
“Tak ada apa? Awak nak tipu siapa? Lelaki yang sepatutnya kahwin dengan saya, tinggalkan saya dua minggu sebelum majlis. Badan saya ada bermacam kesan, parut segala. Saya tiba-tiba tinggal di Sabah. Entah apa dah jadi dengan kerjaya saya di Semenanjung, blog saya, everything! And that clothes...”
Aku menuding jari telunjuk ke pintu depan rumah.
“Pakaian dalam almari tu…Semuanya gelap! Saya tak pakai warna macam tu.”
“Well, itu yang Ara pakai dari awal perkenalan kita. You always wear dark.”
Aku tersentak.
“Apa maksud awak?”
“Macam yang Ara dengar. Dari awal kita kenal sampai kahwin, Ara cuma pakai pakaian gelap. Satu-satunya warna cerah yang Ara pakai, ialah baju kahwin Ara. It was white.”
Sejenak, aku membatu. Apa yang keluar dari mulut Gibran, terngiang-ngiang celah telinga dan cuba dimengerti. Malangnya…
“Kenapa?”
Aku tetap tidak mengerti.
“Huh?”
“Kenapa saya jadi macam tu?”
Apa yang tidak difahami itu, aku pinta penjelasan daripada Gibran.
“Jawapannya ada pada Ara. Bukan abang.”
“Masalahnya, saya tak ingat!” Suaraku ternaik tinggi. Semakin kegeraman dengan fiil Gibran yang mahu tarik tali. Aku bertanya, dia menjawab. Apa yang susah sangat?
“Apa-apa pun yang dah berlaku pada saya sebelum ini, walaupun waktu saya belum kenal awak lagi, mesti saya dah beritahu awak, kan? Mesti awak tahu, kan?”
Persoalan demi persoalan yang aku lontar, berlalu umpama angin senja. Seperti sebelumnya, Gibran cuma diam merenungku. Dengan pandangan serupa yang dia beri, pagi tadi. Ah, aku benci pandangan itu! Pandangan yang menandakan bahawa dia tahu segala-galanya, tetapi dia tidak mahu beritahu apa-apa.
“Ara tak perlu tahu sekarang.”
Lihat! Memang betul agakanku. Dia memang tak mahu buka mulut.
“Habis tu, bila lagi?” soalku, tetap mendesak.
“Lain kali.”
Gibran masih dengan tingkah tenangnya. Aku semakin kepanasan hati. Kalaulah boleh dikoyak-koyak ketenangan itu, memang sudah lama aku buat. Biar Gibran juga merasai apa yang aku rasai sekarang. Biar dia faham!
“Lain kali?”
Aku melepas tawa sinis.
“Awak sedar tak? Mungkin takkan ada ‘lain kali’ bagi saya. Mungkin esok saya bangun pagi dan tak ingat apa yang berlaku hari ni.”
“Kalau macam tu, apa gunanya Ara tahu sekarang? You will ended up lupa balik semuanya,” bidas Gibran. Nada suaranya berbaur jengkel.
Aku terpanar sesaat.
“This whole conversation…”
Suaraku mati di tengah kata. Tiba-tiba rasa susah bercakap, sedangkan tadi bukan main lagi aku menyembur lelaki ini. 
Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba bertenang, dan membuka semula mulut.
“Pernah jadi, kan? Kita dah pernah cakap pasal ini, kan?”
Gibran tidak menjawab. Tetapi diam itu membuatkan aku yakin dengan tekaan sendiri. Tubuhku terasa longlai. Hampir tersungkur, namun cepat-cepat aku mengimbangkan badan dan memegang pagar beranda. Ekor mata sempat melihat tangan Gibran yang bergerak ke hadapan, seperti mahu menyambut tubuhku. Dia menjatuhkan semula tangan ke sisi, seketika kemudian.
Aku kembali melihat ke mukanya. Ada raut serba salah di situ. Aku menarik senyum. Kelat cuba mengatup emosi yang mula memberat dalam jiwa.
“Macam mana awak boleh hadap semua ni?” tanyaku dengan suara yang mengendur.
Dahi Gibran berkerut sedikit.
“Berdepan dengan isteri yang berkali-kali cakap pasal lelaki lain, tanya awak soalan yang sama berulang-ulang, dan awak kena jawab berulang-ulang juga.” Semakin aku menyoal, semakin aku dapat merasai dada yang sesak. Air mata yang tidak reti kering ini juga, kembali bertakung di birai.
Apa yang tak kena dengan kau, Ayudia Inara? Kenapa lemah sangat dan asyik menangis?!
Dalam hati, aku menengking diri sendiri. Sungguh, aku benci diriku yang sekarang. Ini bukan aku. Aku bukan selemah ini!
Gibran membawa dirinya ke hadapan. Serupa tadi. Tetapi kali ini, rapatnya lebih. Aku jadi lebih tinggi mendongak. Dia jadi lebih rendah menunduk.
“Ara dengar apa yang abang beritahu ibu tadi, kan?” Lembut sekali Gibran menyoal.
Aku mengangguk. Tidak lagi menafi hakikat bahawa aku telah menghendap mereka berdua.
“Kalau macam tu, dengar sini baik-baik.”
Gibran merenungku tepat. Aku menanti dalam debar.
“Sepertimana abang percaya perasaan Ara pada abang, tak lemah. Seperti itu juga perasaan abang pada Ara. Tak lemah dan takkan goyah hanya kerana hal macam ni.”
Lancar dan sangat yakin bicara Gibran. Tiada secalit pun sangsi. Tetapi telingaku cuma menangkap satu perkataan.
“Hanya?” Bibirku menyenget sebelah.
“Hanya, awak cakap? This is a big thing, Gibran. Saya tak ingat awak. Saya tak ingat suami saya sendiri. Saya asyik fikirkan lelaki lain. Saya asyik menangis kerana lelaki lain.” Terasa terik leherku saat meluah kata. Tangisan yang tersekat di birai, semakin menebal dan menanti saat untuk gugur.
“Bukan salah Ara.”
“Memang bukan salah saya! Tapi…tapi…”
Tutur kataku tenggelam timbul. Aku tiba-tiba tidak tahu apa yang patut dikatakan. Aku tidak tahu apa yang aku fikirkan sekarang. Aku tidak tahu kenapa aku jadi begini.
Yang aku tahu cuma satu.
Buat kesekian kalinya, aku jadi perempuan lembik yang cuma reti menangis. Air mataku menitis tanpa henti. Tidak kira berapa kali pun aku kesat, tangisan ini tetap bercucuran. Akhirnya, aku biarkan sahaja dan menunduk kepala. Merembeskan air mata tanpa melihat ke wajah Gibran.
Namun, sepasang kaki Gibran muncul di bawah pandangan mataku. Elok-elok bersentuhan dengan kakiku sendiri. Pada masa yang sama, leherku rasa ditarik ke hadapan. Bahagian atas kepala jadi berlabuh atas dada Gibran.
“See, I’ve told you. Dalam hati Ara, ada abang.”
Masih dengan kepala tunduk memandang lantai, aku mengerutkan dahi. Mana pula datangnya konklusi ini?
“Sebab itu Ara rasa bersalah pada abang.”
Kali ini, aku tergemap.
“You’ve always been a good wife, Ayudia Inara. Yang meletakkan diri abang melebihi diri Ara sendiri. Yang sanggup korbankan diri. Walau hilang ingatan sekali pun, Ara fikir tentang abang yang mungkin terluka sebab Ara tak ingat abang. Sebab Ara tak ingat suami sendiri. Sebab Ara asyik fikirkan lelaki lain. Sebab Ara asyik menangis kerana lelaki lain.”
Gibran mengulang balik apa yang aku tuturkan tadi. Aku dengar teliti, bersama persoalan yang satu.
Benarkah aku jadi begini kerana rasa bersalah aku terhadap dia?
“Tapi kan, sayang…”
Tangan Gibran menyentuh atas kepalaku dan mengelus perlahan.
“Ara tak perlu rasa bersalah macam ni. Abang tak kesah berdepan dengan Ara yang bercakap pasal dia, atau Ara yang tanya soalan yang sama berulang-ulang, atau abang yang perlu jawab berulang-ulang juga. Tapi satu yang abang kesah…”
Gibran menghenti kata. Aku dirundung hairan. Lantas, mendongak kepadanya.
“Apa dia?” tanyaku antara dengar tak dengar.
Gibran mengelip mata sekali, sebelum menatapku teguh.
“Jawapan abang akan lukakan Ara berulang-ulang kali juga. Itu yang abang kesah. Dan itu yang abang tak mahu.”
Aku terpaku. Pegun membalas renungan penuh keteguhan milik Gibran. Jelas tiada kompromi di situ. Saat itu juga, aku sedar. Tidak kira walau berapa kali pun aku memohon, walau macam mana sekali pun aku merayu, Gibran tidak akan membuka mulut.
Tentang empat tahun ini. Tentang segala-galanya.

~ Bersambung...~

No comments:

Post a Comment