February 19, 2019

MEMORI INARA - BAB 6


BAB 6

ESOK, kita akan tengok cincin lain, ya.”
“Untuk bulan ini, I akan tulis pasal women solo backpacker. What makes a woman, a great traveller.”
 “Semuanya perlu siap by the end of this month. By hook or by crook, The Red Collection will be launched on the first March.”
“Kak Ara cantik. Share lah rahsia.”
Bermacam-macam suara yang menjengah gegendang telinga, aku biarkan sahaja. Sambil membawa diri melewati masa-masa itu. Aku dan Muzaffar, bahagia bersama. Aku dan editor The Ladies, satu majalah wanita yang menjadikan aku sebagai salah seorang kolumnisnya. Aku dan pasukan The Cotton Paradise, syarikat milik ibu dalam mesyuarat. Aku dan gadis-gadis muda dalam fan-meeting. Semuanya tampak jelas dalam ingatanku. Seolah-olah sedang melihat adegan filem dalam pawagam. Ya, sebegitu sekali jelasnya!
Tetapi sayang…
Aku senyum pahit. Masih memandang jauh dan kosong ke hadapan. Aku tahu ingatan yang jelasnya serupa berlaku semalam itu, sudah lama berlalu pergi. Seperti pengakhiran aku dan Muzaffar yang tidak bersatu, entah apa yang sudah jadi kepada Just Inara dan The Red Collection? Apa khabar blog kesayanganku? Apa khabar kerjayaku? Apa khabar seluruh kehidupanku empat tahun yang lalu?
Ketika itu, aku berada di kemuncak. Mengecapi kejayaan dan kebahagiaan. Tetapi sekarang? Apa yang sudah jadi? Apa yang sudah jadi?!
Tidak kira berapa banyak sekalipun aku menyoal dalam diri, yang aku dapat sebagai jawapan cuma kekosongan semata-mata. Tidak kira macam mana sekalipun aku cuba tarik memori hilang ini, yang aku dapat cuma sakit kepala semata-mata.
Sudahnya, aku di sini. Duduk macam orang tolol, memakai persalinan serba hitam, dikelilingi pakaian suram yang berterabur. Berserabut semuanya.
Serupa aku.
“Ara…”
Aku menggerakkan anak mata ke muka pintu yang terkatup. Terasa kosong muka ini memandang ke situ.
“Ara, keluar makan, sayang…”
Hujung bibirku herot sebelah. Apa yang tidak kena dengan semua orang? Asyik menyuruh aku makan sahaja!
“Ara, buka pintu ni…” Permintaan ibu berkumandang lagi. Siap dengan tombol pintu yang cuba dibuka-buka.
“Ara, kenapa diam? Jangan buat ibu risau macam ni.”
Suara ibu kedengaran semakin terdesak. Hendak tak hendak, aku mengangkat punggung dan menapak ke pintu. Sampai di situ, aku membukanya. Tanpa menanti ibu mengata apa-apa, aku memaling badan masuk semula ke dalam. Ekor mata sempat menangkap muka Gibran di sebalik pintu.
Serius.
“Ya Allah! Apa ni, Ara?” Pertanyaan ibu kedengaran agak kuat dari belakang.
“Ara cari baju.” Aku menjawab senada.
“Cari baju apa sampai macam ni?”
Aku menghenti langkah dan berpusing menghadap ibu. Ibu kelihatan sedang tunduk mengutip baju-baju yang bertaburan atas lantai.
“Ara cari baju Ara.” Agak tertekan jawapanku. Tangan ibu serta-merta kaku. Sejenak, ibu membatu sebelum lambat-lambat menegakkan badan dan melihat kepadaku.
“Ini bukan baju Ara. Ara tak pakai…” Kata-kataku terhenti. Tenggelam celah dada yang mula memberat dengan emosi. Aku kemam bawah bibir dan menyambung langkah, melepasi kain-kain atas lantai dan akhirnya duduk di birai katil.
“Apa lagi yang jadi dalam empat tahun ini, ibu?”
Aku ingin menanya terus-terang begitu. Tetapi entah kenapa, lidahku terasa berat benar. Aku tiba-tiba jadi takut. Bagaimana kalau apa yang keluar dari mulut ibu, benar-benar satu lagi berita buruk? Yang tidak mungkin aku terima, dan akhirnya kami bertikam lidah lagi?
Aku penat untuk bertekak dengan ibu.
“Ara tak mahu makan.” Akhirnya, itu sahaja yang lidah aku titipkan.
“Ara kena makan.”
“Ara tak ada selera.”
“Ara tidur selama tiga hari. You’re weak.”
“I don’t feel weak.”
Ah, aku tetap bertikam lidah dengan ibu. Wajah ibu menegang, muka juga diraup. Gaya orang yang sudah sebal melayan karenahku.
“Ara, dengar sini…”
“Let me handle this.” Suara itu menyampuk tanpa dipinta. Kepalaku laju terkalih kepada dia yang kini berjalan masuk. Melepasi kekacauan atas lantai dan semakin mendekat. Masih dengan muka serius.
Aku mula rasa seriau.
“Apa kau nak buat?”
Gibran tidak menjawab. Sebaliknya, dia semakin merapat dan merapat. Aku menggerakkan tubuh sedikit ke belakang. Bersedia untuk menerima apa-apa pun yang mendatang.
“Arghhh!”
Ternyata, aku tidak bersedia mana. Automatik mulutku menjerit, saat tubuhku tiba-tiba rasa diangkat. Sekelip mata sahaja, aku sudah pun berada atas bahunya dalam posisi terbalik. Jari-jemari jantannya melekat di paha.
“Lepaskan aku!” Aku meronta dan menampar-nampar belakang badannya.
Gibran memusing badan kepada ibu. Aku terpusing sama.
“I’m sorry, ibu. Tapi Gib perlu minta ibu kemaskan semua ni balik. Pasal Ara, biar Gib uruskan.”
“Apa yang kau nak uruskan pasal aku, hah?” Aku terus membentak, dan mengangkat kepala kepada ibu.
“Ibu, suruh dia letak Ara semula.”
Ibu memandangku suram.
“Ikut dia, sayang.”
Mulutku melopong.
“Ibu!!!”
Serentak dengan jeritan itu, Gibran mengangkat langkah. Aku menguatkan rontaan. Perbuatan sia-sia sahaja. Gibran menonong berjalan sambil membawa aku atas bahu. Langkahnya teratur, malahan sempat mengelak kain-kain atas lantai. Tidak terkesan langsung dengan rontaanku, apatah lagi beratku.
“Let me go, Gibran!”
“You know my name, that’s great.”
Selamba reaksi yang aku terima. Dengan suara tenang pula tu. Aku yang mendengar, semakin kepanasan hati. Tangan semakin galak menampar dan menumbuk belakangnya.
Gibran tetap berjalan tanpa tergugat.
“Lepaslah!” Aku tetap meronta-ronta.
“Jangan gerak, kalau tak nak jatuh ke bawah,” arah Gibran. Masih dengan suara tenang yang sama.
Aku tidak sedar bila masa kami sampai di ruang makan, tetapi Gibran mendudukkan aku di kerusi meja makan.
“How dare you!” Tidak menunggu lagi, aku menempelak. Kedua-dua biji mata menjegil garang. Tangan juga naik ke atas.
Hanya untuk disambut dan digenggam pergelangannya. Tidak cukup dengan itu, Gibran menariknya kuat. Tubuhku serta-merta tersorong ke hadapan. Muka bertentang dekat. Sebelah tangan masih separa terangkat dalam genggaman.
Jeda.
Aku dan dia saling bertatapan. Masing-masing mencerlung. Desah nafas menampar muka satu sama lain. Ketegangan dapat dirasai hingga ke tulang hitam.
“Kalau abang perlu buat lebih daripada itu pun, abang akan buat.” Gibran berdesis senada.
“Asalkan Ara makan dan ambil ubat tu.”
Aku senyum sinis.
“Kau fikir kau boleh paksa aku?”
Gibran mendiam. Hanya mata yang masih memanah tajam. Aku membalas, tidak tergugat. Seketika berlalu, dia melepaskan pergelangan tanganku. Lekas-lekas, aku menjarakkan tubuh. Namun mataku masih berjaga-jaga. Melihat dia mencapai dulang makanan, mengambil sebiji strawberi yang ada dalam mangkuk di situ, memasukkannya ke dalam mulut dan kemudian….
Menarik leherku dekat muka. Aku membeliakkan biji mata. Belum sempat aku memikir apa-apa, mulutku spontan terbuka menerima strawberi dari mulut Gibran.
“Ya, abang boleh paksa Ara,” ucapnya sebaik menjauhkan kepala.
Mataku terkelip-kelip dengan tubuh kaku. Mulut masih bersumbat strawberi.
“I’ll do it you over and over again, sampai Ara lebih rela masukkan sendiri makanan ke dalam mulut, daripada biarkan abang yang tolong masukkan untuk Ara. Sebab kalau abang yang buat, abang takkan berhenti setakat masukkan makanan ke dalam mulut Ara.”
Gibran mendekatkan muka. Betul-betul depan aku.
“Abang akan buat lebih daripada itu,” sambungnya separa berbisik.
Aku melihat pandangannya yang bergerak perlahan-lahan. Beralih dari mataku dan jatuh ke…
Bibir.
Aku tersentak. Mengerti apa yang dia maksudkan. Terus, aku melontar keluar strawberi di mulut. Terbang melepasi tepi telinga Gibran.
“Kau memang jantan tak guna, kan?”
Raut wajah Gibran berderau.
“Jenis yang gunakan paksaan untuk dapatkan apa yang dia nak daripada seorang perempuan.”
Rahang Gibran mula terketap-ketap. Hidungnya juga berdengus-dengus. Aku tahu dia marah, tetapi aku tetap menghambur kata.
“Apa? Kau fikir aku akan jadi macam perempuan lain yang jadi takut bila lelaki acah-acah nak cium dia macam tu?”
Aku mengherotkan bibir.
“Kau tahu tak? Kau cuma buktikan satu perkara.”
“Apa?” Tertahan-tahan suara Gibran saat menyoal.
“Kau ialah lelaki yang tak reti hormatkan perempuan. Yang suka paksa-paksa, yang tak gentleman langsung!”
Tidak semena-mena, Gibran ketawa. Aku mengerutkan dahi. Lelaki ini sudah gila atau apa? Aku tidak fikir aku sedang buat lawak sekarang.
“Gentleman?” Gibran mengulang di tengah gelak.
“Do you really think I have a privilledge to be a gentleman, right now?” Dia menyoal usai benar-benar mematikan tawa.
Aku mengerunyutkan lagi dahi yang sedia berlapis.
“Kita baru lima bulan bernikah, Ayudia Inara. Orang cakap, masih dalam honeymoon phase. Tapi dalam masa lima bulan ni, lima minggu Ara koma. Dua minggu sekejap sedar, sekejap tak. Maksudnya, abang kehilangan tujuh minggu masa bersama Ara. Bila sedar pula, Ara tak ingat abang. Itu tak apa lagi. I’ll be fine with that! I’ll cope with that! Walaupun hati abang hancur. Tapi satu yang abang takkan okey.”
Dia mengangkat jari telunjuk hampir mengenai hidungku.
“Ara tak jaga diri sendiri. Ara refused untuk makan. Refused untuk ambil ubat. Refused untuk jadi lebih sihat. I won’t tolerate that!”
Bahuku terangkat sedikit, menerima hujung kata Gibran yang agak menjerkah. Tiba-tiba sahaja aku rasa kerdil di matanya. Apatah lagi, bila dia merenungku dengan mata memerah, gigi terkacip dan urat dahi menerik.
“So yeah, I’m no gentleman. But guess what? I would rather be a jerk, than seeing my own wife getting worse.”
Aku membisu, masih dalam posisi bertentang mata. Aku bukan buta. Aku dapat melihat dengan jelas emosi yang membuak-buak dalam sepasang mata Gibran. Dia terang-terangan marahkan aku, tetapi dia juga risaukan aku.
Buat kesekian kali, aku rasa benci. Bukan pada Gibran. Bukan pada orang lain. Tetapi kepada diri sendiri. Kenapa aku jadi begini? Aku bukanlah seorang perengus, jauh sekali panas baran. Jadi, kenapa? Kenapa aku jadi manusia yang membencikan seperti ini?
“Ara…hei…”
Aku melihat raut muka Gibran berubah. Ketegangan lenyap. Yang tinggal cuma riak serba salah.
“Jangan menangis. Abang bukan marahkan Ara.”
Tutur kata Gibran menyentak kuat. Jangan menangis? Bila masa pula aku…
Aku mengangkat tangan dan menyentuh pipi. Basah. Perlahan-lahan, aku bawa jari ke depan mata. Sisa jernih yang tertinggal di situ, aku pandang tanpa riak.
Sungguh! Aku benar-benar tidak kenal diri sendiri lagi, hinggakan bila aku menangis pun, aku sudah tidak sedar.
“Ara…” Seruan Gibran masih kedengaran lembut dan agak berhati-hati.
Aku menjatuhkan tangan ke atas meja dan menengadah kepadanya. Kemudian dengan suara kosong tanpa emosi, aku menyoal…
“Ini makanan dan ubatnya, kan? Aku perlu habiskan semuanya, kan?”
Tanpa menunggu jawapan Gibran, aku menarik dulang lebih rapat. Sudu yang tersedia, diambil, diseduk dalam makanan dan akhirnya disua ke mulut. Terasa sangat pahit bubur nasi yang menggelongsor masuk ke kerongkong. Lewat ekor mata, aku perasan Gibran yang masih menatap. Aku buat tidak peduli dan kembali menyuap makanan. Berkali-kali, ditemani cecair jernih yang tertahan-tahan di celah mata.
*****
GAMBAR yang tergantung tinggi itu, aku tenung sedalam-dalamnya. Dua wajah di situ tampak bahagia, tersenyum dalam dakapan masing-masing. Aku bangkit dari duduk dan berjalan lebih hampir. Tidak langsung melarikan pandangan mata, lalu membuatkan kepalaku jadi lebih terdongak dengan setiap satu langkah.
Sampai dekat, aku berhenti.
“Apa yang kau dah buat, Ayudia Inara? Macam mana kau boleh kahwin dengan dia? Macam mana kau boleh lupakan Muzaffar?”
Semakin aku menyoal, semakin dadaku sebu. Segala memori selama aku dan Muzaffar bersama, melintas depan mata. Semuanya indah belaka. Kalau pun kami bertengkar, tidaklah teruk mana. Kami benar-benar seperti pasangan sejoli yang sehati sejiwa. Dari sekolah, bahkan dari universiti. Kuatnya jodoh kami hingga masuk universiti pun, kami dapat tawaran ke universiti yang sama. Dalam ramai-ramai teman yang memohon, hanya kami berdua yang diterima ke Universiti Malaya.
Jodoh kami memang teguh!
Itulah yang kami percaya. Yang kami yakin. Justeru, ini apa? Bagaimana aku boleh tunjuk muka bahagia begini, bila bernikah dengan lelaki lain? Ayudia Inara, bagitahu aku! Kau betul-betul dah lepaskan Muzaffar? Dah lupakan dia? Dah buka pintu hati kepada lelaki ini? Dah cintakan dia ini? Bagitahu aku!!!
Ah, aku sudah jadi gila. Menagih jawapan daripada gambar sendiri. Menyedari apa yang aku buat, aku gelak sinis. Tetapi terasa sangat pedih di ulu hati.
Langsung, aku menekur ke bawah. Bibir diketap kuat-kuat, cuba mengawal perasaan. Cuba berlagak lebih kuat. Namun, lain pula yang jadinya. Satu demi satu kenangan bersama Muzaffar muncul dan tergambar-gambar dalam fikiran. Kemudian, berganti dengan apa yang berlaku hari ini. Wajah Gibran, walau tidak ingin aku fikirkan, turut sama menyelit. Bertukar-tukar dan berganti-ganti dengan wajah Muzaffar.
Arghhh!!!
Aku mencengkam kepala. Mahu menghalau segala bayangan dalam otak. Malangnya, dadaku pula yang berjangkit sakit. Nafas mula terasa pendek. Tersekat-sekat. Aku membuka mulut luas-luas, bagi nafas masuk. Namun, semuanya rasa terpasung celah kerongkong. Aku meletak tangan atas dada dan menepuk-nepuk.
Breathe, Ara. Breathe…
Sambil memujuk diri sendiri, aku mendongak kepala.
Tindakan yang salah.
Apa yang ada di sekelilingku, kelihatan berputar. Sedikit-sedikit hingga lama-lama jadi laju. Tubuhku mula terasa bergerak ke kiri dan kanan. Tergawang-gawang. Aku menggelengkan kepala beberapa kali, mahu menyedarkan diri. Kaki juga diangkat ke hadapan.
Aku harus keluar dari sini. Aku harus keluar!
Dalam keadaan terhuyung-hayang, aku bergerak ke arah pintu. Sebaik bolos, tubuhku longlai ke tepi. Cepat-cepat, aku angkat tangan ke dinding. Tertampung di situ. Aku menarik dan menghembus nafas. Seketika berlalu, kocakan dadaku semakin perlahan. Jantung yang sesak mula rasa tenteram. Desah nafas juga kembali rata dan menenangkan.
Sesudah itu, aku menyambung langkah. Tidak tahu ke mana, tetapi aku tahu aku perlu jauh dari bilik itu. Jauh dari gambar itu. Sekejap pun tak apa. Asalkan jauh! Sambil memikirkan itu, aku melajukan langkah. Sudah separa berlari. Namun menghampiri ruang makan, kaki yang laju tadi serta-merta membrek. Tubuh yang hampir terkeluar ke ruang itu juga, melantun semula ke belakang.
Spontan sahaja. Refleks yang aku sendiri tidak tahu kenapa.
“Maafkan ibu.” Telingaku terbuka sebaik mendengar permohonan maaf itu.
Sedikit-sedikit, aku mengeluarkan kepala dari sebalik dinding. Sekadar cukup-cukup untuk mengintai ibu dan Gibran yang sedang duduk bertentangan satu sama lain di meja makan. Ibu membelakangiku. Gibran menghadapku. Tetapi, sepertinya dia tidak perasan akan keberadaan aku. Perhatiannya tertala ke wajah ibu. Kedua-dua belah tangannya berada atas meja, sedang memegang sebuah mug. Namun, aku perasan jarinya yang mengusap-ngusap cincin di jari manis.
Di luar sedar, jariku sendiri bergerak dan menjamah cincin di tangan.
“Berapa kali lagi ibu mahu minta maaf pada Gib?” Gibran menjawab setelah beberapa ketika diam memandang ibu.
“Bukan salah ibu, Ara jadi macam tu.”
Nama yang disebut menghadirkan suatu rasa dalam hati. Berat.
“Ya, ibu tahu. Tapi ibu tak sedap hati bila Ara layan Gib macam tu. Ibu tak pernah ajar anak ibu untuk jadi biadap dengan suami sendiri.”
Rasa berat dalam hati, semakin memberat. Disusuli dengan senyuman sinis di bibirku. Aku? Isteri yang biadap? Aku juga tidak ingin jadi begini. Tetapi apakan daya? Aku mahu jadi isteri yang terbaik buat Muzaffar, bukan buat lelaki ini!
Dalam senyap, aku menjawab. Mata pula melihat Gibran menyimpul senyum. Aku menggaritkan kening. Isteri sendiri biadap dengannya, boleh pula dia senyum-senyum macam bahagia sangat?
“That’s not really her.”
“Huh?”
Hampir sahaja lidahku beri reaksi sama dengan ibu. Mujur aku cepat-cepat gigit bibir. Tidak mahu tertangkap menghendap orang.
“Gib pernah beritahu ibu, kan? PTA membuatkan perangai penghidapnya jadi tak stabil. Jadi berubah-ubah. Tapi ibu tahu tak? Gib lebih rela Ara marah-marah daripada berdiam diri. Macam yang dia buat masa pertama kali dia sedar. Sekurang-kurangnya sekarang, dia lepaskan perasaan. Bukan simpan kat dalam, dan kita tak tahu apa yang dia rasa.”
Sejenak, aku mendengar bunyi tawa ibu. Halus dan tawar.
“Itu juga lebih baik daripada Ara berperangai macam budak lima tahun, kan?”
Gibran senyum kecil dan mengangguk.
“I have to admit, though. Ara sangat comel bila berperangai macam tu. Manja, merengek-rengek. Even dengan Gib pun, dia tak pernah macam tu.”
“Aik, takkanlah cemburu dengan ibu kut?”
Serentak, ibu dan Gibran melepas tawa. Seperti gembira tetapi aku dapat menangkap pahit yang bersulam. Pada masa yang sama, otakku cuba mentafsir apa yang baru didengar.
PTA. Post-traumatic amnesia.
Tiga perkataan yang disebut ibu sebelum ini, berdengung celah telinga. Jadi Gibran mahu mengatakan bahawa perangai aku yang macam ini, kerana sedang mengalami keadaan ini? Aku jadi macam orang tak betul? Sekejap senyap. Sekejap macam budak-budak. Dan sekarang, jadi pemarah? Macam tu?
Persoalan itu kekal sebagai persoalan. Aku tidak punya jawapannya. Aku tak faham pun!
“Tapi sampai bila, Gib?” Suara ibu berbunyi semula. Tidak lagi berbias gurauan, tetapi kembali bercampur sendu.
“Sampai bila Ara akan jadi macam tu? Ibu takut ibu jadi makin kurang sabar. Gib tengok sendiri tadi, kan? Ibu bergaduh dengan Ara. Ibu tampar dia. Ibu tak pernah…”
Luahan ibu terhenti. Nafasnya berdesah berat. Aku mengetap bawah bibir kuat-kuat. Aku tidak perlu melihat ke muka ibu. Aku cukup tahu. Aku cukup mampu membayangkan betapa berkerunyutnya wajah ibu sekarang. Sedang menahan perasaan. Sedang menderita.
Kerana anak perempuan ini.
Aku memusing badan, dan memasukkan semula kepala di sebalik dinding. Rupa Gibran dan belakang ibu, lenyap daripada pandangan mata. Yang tertinggal cuma suara mereka berdua yang masih setia menyentuh telinga.
“Ibu tak pernah sekali pun pukul dia, Gibran. Ibu besarkan Ara seorang diri. Dengan tangan ibu sendiri. Ibu takkan sanggup lukakan dia. Sedikit pun tidak! Tapi hari ni…”
Belakang kepalaku diletak ke dinding. Muka jadi sedikit terangkat. Bibirku bergerak membentuk senyum. Sekadar mengatup pedih di hati dan menahan air mata yang mula bertakung. Fikirku, air mata ini sudah kering. Ternyata, tidak.
Sungguh, berapa banyak lagi tangisan yang aku mampu hambur di hari keramat ini?
“Hari ni, ibu tampar satu-satunya anak perempuan ibu. Dan sebab apa? Sebab lelaki tu! Tak cukup dia hancurkan Ara, ibu pula…”
“Ibu tak berniat.” Kedengaran suara Gibran yang memujuk.
“Boleh ke itu dijadikan sebagai alasan? Ibu sepatutnya lebih bersabar. Itu yang Gib pesan kepada ibu, kan? Sebab kata Gib…”
“Untuk orang yang mengalami PTA, sokongan keluarga yang penting. Kena lebih bersabar. Kena lebih menyokong. Kena lebih bersedia menghadapi perangai berubah-ubah penghidap PTA. Ya, itu kata Gib.” Gibran mengakui di hujung kata, disusuli gelak halus. Hambar sekali bunyinya. Agak sinis.
“Tapi ibu tahu tak?”
“Apa dia?”
“Gib sendiri hampir hilang sabar tadi. Gib marahkan Ara.”
Sekilas, wajah tegang Gibran dan mata tajam membunuhnya, melayang dalam fikiranku.
“Gib marahkan Ara? Bila masa?”
“Tadi. Sekejap. Sekarang, tidak. Gib tak pernah mampu marah lama-lama dengan Ara. She’s just that special.”
“Sempat puji!” Ibu mengejek bersama tawa kecil.
“Of course! She’s my wife and I love her.”
Gibran turut tertawa dalam jawapannya. Tetapi aku yang mendengar, tergemap terus.
I love her…
Pengakuan itu terngiang di telinga, dan masuk ke celah hati. Secepat itu, aku menggeleng kepala. Mahu menghalang diri daripada melayan apa-apa pun perasaan yang aku tidak mengerti ini. Gibran bagiku ialah orang asing. Aku tidak rasa apa-apa terhadap dia. Sekelumit pun tidak! Yang ada dalam hatiku sekarang cuma Muzaffar.
Ya, Muzaffar. Lelaki yang sudah meninggalkan aku, dua minggu sebelum pernikahan kami.
Buat kesekian kali, hatiku terasa perit.
“Yang Gib nak beritahu sekarang, ibu janganlah rasa bersalah sangat. Kita sama-sama manusia biasa. Ibu hampir hilang sabar. Gib pun hampir hilang sabar. Itu normal. Yang penting sekarang, kita perlu tolong Ara. Sokong dia. As much as we could.”
“Tapi…”
Suara ibu tenggelam. Suasana tiba-tiba jadi senyap. Teragak-agak, aku mengeluarkan semula kepala. Mahu menengok kalau-kalau ibu dan Gibran sebenarnya sudah pergi.
Tidak. Mereka masih berada di posisi yang sama.
“Will you be okay?” Suara ibu berbunyi kembali. Dahi Gibran tampak berkerut.
“Huh?”
“Lima kali Ara tak ingat apa yang berlaku sekarang, lima kali juga dia bertanyakan lelaki tu.”
Dengan setiap patah kata ibu, wajah Gibran bertukar riak. Matanya yang agak bersinar sebelum ini, semakin lama jadi semakin suram.
“Gib suami dia, tapi Ara…”
“It hurts.” Gibran mencelah, dan mengangkat muka kepada ibu. Bibirnya mengukir senyum halus.
Senyuman yang langsung tidak sampai ke mata. Aku boleh nampak. Dan aku…tiba-tiba rasa tidak senang hati.
“Suami mana yang tak rasa sakit hati bila isteri sendiri tak ingat dia, dan asyik fikirkan lelaki lain? Tapi ibu…”
Bait bicara Gibran meleret dan terhenti. Pantas disambung oleh pertanyaan ibu.
“Apa?”
“Gib lebih rela hadap keadaan sekarang, daripada tengok Ara terbaring atas katil tanpa tahu sama dia akan sedar atau pun tidak. At least now, she came back to us. She came back to me. Soal dia ingatkan lelaki lain, itu belakang kira. Sebab…”
“Sebab?” Lagi, ibu menyampuk.
“Gib yakin perasaan Ara pada Gib bukan selemah itu. Walaupun otak dia tak ingat Gib, hati dia ingat Gib. Ara mungkin tak sedar, tapi dalam hati dia, masih ada Gib. Her heart remembers me. I know."
Gibran tiba-tiba memusing wajah, pandangannya melepasi tepi muka ibu dan melihat ke hadapan. Aku tersentak sesaat, sebelum cepat-cepat menyembunyikan kepala di sebalik dinding.
Dada berdebar kuat. Telinga pula mendengar Gibran berkata…
“She would always…always love me.”

~ Bersambung...~

NOTA CIK SA:

Gibran is hot and sexy bila marah, kan? Kan? 😍 So Inara, sila buat dia marah lagi. Eh! Hahaha!! 😜 Now, sape dah officially fall in love dengan Gibran? Kalau Cik SA jadi Inara, dah cair dah bila dengar Gibran cakap macam tu. Dia yakin sungguh dengan perasaan Inara pada dia. Huwaaa, terharu gegurl!! 




No comments:

Post a Comment