February 19, 2019

MEMORI INARA - BAB 5


BAB 5

AKU tidak tahu berapa lama aku berkeadaan begitu. Hanya membiarkan keheningan dan kedinginan menyelubungi diri, sesuai dengan hati yang rasa kosong dan dingin. Mengingati apa yang sudah aku tahu dan apa yang sudah aku buat, menyebabkan aku rasa benci. Kepada diri, kepada Muzaffar, kepada kemalangan yang telah berlaku, kepada lelaki yang dikatakan suami, kepada semuanya!
Sungguh, apa yang patut aku buat sekarang? Kenapa dalam drama dan sinetron yang ibu tonton, semuanya tampak senang? Heroin bangun dari koma, elok-elok sahaja tidak rasa lemah macam yang ibu cakap, tak ada mengalami yang namanya PTA ini dan kalau pun hilang ingatan, dia baik-baik sahaja. Menerima hero dan melepaskan kekasih lama pergi. Tetapi aku? Mampukah aku buat begitu? Menerima hakikat bahawa Muzaffar telah meninggalkan aku sudah cukup memeritkan, inikan pula untuk merelakan dia pergi.
Aku ingin melaung kuat-kuat, mengatakan bahawa semua yang dikatakan ibu dusta belaka. Bahawa Muzaffar takkan pernah memperlakukan aku begitu. Mustahil! Lelaki yang tulus mencintai aku selama sepuluh tahun, meninggalkan aku dua minggu sebelum hari pernikahan kami? Itu perkara paling mustahil dalam dunia!
Tetapi…                            
Walaupun lidahku mengatakan tidak percaya, suatu sudut hatiku sedar. Kalau sudah begitu sekali reaksi dan perilaku ibu, tidak mungkin semua itu dusta. Apa yang mustahil ternyata menjadi realiti yang sangat meremukkan hati. Sangat menyakitkan!
Sekarang, barulah aku mengerti kenapa perasaan ini digelar sebagai patah hati. Saat ini, aku merasakan bukan sahaja hatiku yang patah. Bahkan jiwaku, ragaku, jasadku…semuanya! Semuanya sudah patah dan takkan bercantum lagi.
Lalu, meninggalkan aku jadi anak perempuan durjana yang beberapa kali menyakitkan hati ibu sendiri.
Mengenang hakikat tersebut, aku mengangkat lengan dan meletaknya atas mata. Di sebalik muka yang separa terkatup itu, aku menghamburkan tangisan. Pergilah! Pergilah air mata. Bawa rasa sakit ini jauh-jauh. Lempar rasa cinta ini jauh-jauh. Buang Muzaffar dari hati ini. Lenyapkan dia sama sekali. Aku tak mahu lagi jadi anak perempuan jahat!
Malangnya…
“Muz….” Lidahku tetap jua menyeru nama itu.
“Tolong Ara, Muz. It hurts. It hurts so much. Kenapa…”
Suaraku tersekat sekejap. Rasa tidak sanggup menyudah kata. Aku menggigit bawah bibir, sebelum menyambung.
“Kenapa Muz tinggalkan Ara? Semalam baru kita…baru kita keluar sama-sama, Muz. Tapi hari ni...hari ni Ara dapat tahu yang Muz dah tinggalkan Ara. Apa ni, Muz? Apa ni?”
Luahanku tenggelam timbul celah esakan. Semakin aku bercakap sendiri, semakin lebat air mataku. Seperti tidak akan pernah berpenghujung, dan tidak mampu aku sekat.
Ya Allah! Tolong aku. Tolong, aku tak nak jadi macam ni. Aku tak nak!!
“Ara.”
Aku tersentak. Tangisan serta-merta tertahan celah dada. Lengan jatuh ke bawah. Mata juga terbuka sendiri. Basah melihat susuk tubuh tinggi yang berdiri di hadapan. Cepat-cepat, aku menegakkan badan dan mengelap kedua-dua belah pipi.
“Apa kau buat kat sini?” Suaraku kedengaran terlebih serak.
Dia tidak terus menjawab. Sebaliknya, dia menjatuhkan lutut ke atas lantai. Tubuh jadi elok-elok menyamai aras tubuhku. Wajah bertentang wajah. Mata bersabung mata. Aku tidak ingin nampak, tetapi aku boleh nampak dengan jelas betapa berkacanya mata di hadapanku. Seolah-olah, dia turut merasai kesakitan yang aku rasai sekarang.
“I’m sorry.” Dia bertutur perlahan.
Aku mengerutkan dahi.
“For being here. Instead of…”
Matanya terpejam sesaat.
“Him.”
Entah kenapa, kata-kata itu terasa umpama belati. Lebih menyakitkan daripada hakikat bahawa bukan Muzaffar yang berada di tempat lelaki ini. Aku mendiam, sekadar melihat wajah keruhnya. Juga, kesan tampalan di atas dahi. Ada bekas darah di situ. Tadi, aku buat tidak peduli. Tetapi sekarang, jari-jemariku bergerak sendiri. Menggeletar. Semakin dekat dan semakin dekat kepada kesan tampalan itu. Seinci lagi mahu sampai, dia lebih dahulu melelar pergelangan tanganku. Kemas.
Aku mengangkat anak mata. Kembali melihat ke wajah itu.
“Abang tak apa-apa. Ara…”
Dia membawa jari jemarinya ke pipiku. Mengusap lembut.
“Yang abang risaukan sekarang.”
Sentuhannya terasa hangat. Buat aku tiba-tiba terpasung keras. Tidak menepis, mahupun menghalang. Aku jadi manikin, membiarkan dia mengelap air mata yang membasahi pipi. Namun semakin dia menyeka, semakin jatuh tangisanku. Seperti tadi, tidak mampu aku sekat. Aku jadi teresak-esak di hadapannya. Pandangan yang sedia berbalam-balam, jadi semakin kabur. Dan di celah kekaburan itu, aku lihat dia membawa tubuh lebih dekat dan kemudian…
“Menangislah, sayang. Menangislah. I’m here for you…”
Dia memelukku erat. Aku masih serupa manikin. Merelakan sahaja. Malahan, aku lebih rapat menyembam muka ke dadanya dan menangis semahu-mahunya di situ. Rangkulannya terasa semakin ketat. Rambutku rasa dibelai-belai. Di sisi telinga pula, aku dapat mendengar…
“Shhhh….shhhh….”
Dia setia memujukku.
Selang beberapa ketika, tangisanku mula mengendur. Hanya sedu-sedan yang tinggal di celah-celah keheningan bilik. Satu saat, aku tersedar diri. Terus, aku menolak tubuhnya jauh. Pelukan serta-merta terungkai. Aku pandang dia. Dia pandang aku. Bersahaja tanpa riak. Tetapi, aku…
“What do you think you’re doing?”
Tiba-tiba dihempap geram. Dia ingat dia itu siapa, sesuka hati mahu peluk aku?
Hujung bibir Gibran menyenget. Aku mengerunyutkan dahi.
“Sekarang Ara dah okey.” Dia menjawab seraya bangun dari lantai. Wajahku terngadah memandang dia yang lebih tinggi.
“Huh?”
“Bila dah marah-marah abang macam ni, itu maknanya Ara dah makin okey.” Tenang dia menjelaskan.
Aku merengus.
“Eh, kau fikir aku ni panas baran sangat ke?”
“Bukan ke? Dari pagi tadi, asyik marah abang aje?”
“Dah kau tu…”
“Apa? Tidur sebelah Ara?” Dia menyampuk. Aku terdiam. Malas mengeya, mahupun menafi. Untuk apa? Jelas-jelas, dia sudah tahu jawapannya!
Gibran tiba-tiba menundukkan separuh badan. Muka kami kembali setentang.
“Tak salah, kan? Untuk abang buat macam tu?” Agak berbisik, dia menyoal. Mata merenung dengan pandangan yang aku tahu itu pandangan lunak. Tetapi tidak kira selunak mana pun pandangan dia, tetap nampak menyebalkan di mataku.
Lalu, aku mengangkat kepala lebih tinggi. Tajam membalas tatapannya.
“Mungkin di mata kau, aku ni isteri kau yang sah.” Aku mula berdesis. Dingin lagi senada.
“Tapi di mata aku…”
“I’m no more than a stranger.” Gibran menyambung. Masih tenang, tetapi telingaku dapat mendengar getaran yang terselit. Bahkan, pandangan matanya juga nampak lain.
Aku buat-buat tidak perasan.
“Kalau kau tahu, baguslah. So that, kau jangan cuba-cuba sentuh aku lagi.” Sekali lagi, aku membalas keras. Dan sekali lagi juga, renungan mata Gibran berubah. Tampak kelat.
Dia mengangkat semula tubuh dan berdiri tegak.
“Tadi waktu Ara tak sedarkan diri, doktor dah datang check Ara. Bersihkan diri, keluar makan. Lepas tu, ambil ubat.” Dia menukar topik perbualan.
“Eh, kau siapa untuk aku ikut cakap kau?” Aku masih dengan perangai garang, yang aku sendiri tidak tahu datang dari mana. Hanya satu yang aku tahu. Melihat dia sahaja sudah cukup untuk memanaskan hatiku.
“Abang siapa?” Dia mengulang, disusuli oleh gelak sinis. Rambut diraup sekali, sebelum dia kembali dekat dan menunduk muka kepadaku.
I’m. Your. Husband.” Sepatah-sepatah, dia bertutur. Suaranya tertahan-tahan keluar dari sebalik gigi yang jelas terketap-ketap. Bahkan, aku boleh nampak urat darah yang menerik atas dahinya.
 “Ara suka atau pun tidak, itu hakikatnya. Bukan lelaki yang nama Muzaffar tu.” Dengan patah kata itu, Gibran menegakkan badan, berpusing tanpa melihat kepadaku dan terus melangkah pergi.
Aku terpegun kaku. Bersama nafas yang entah sejak bila tersekat celah dada, dan bulu roma yang entah sejak bila meremang. Tetapi yang pasti, lelaki yang baru sahaja lenyap dari pandangan mataku itu…
Dia. Marah.
*****
AKU memandang kosong ke hadapan. Duduk di birai katil, berhadapan meja solek dengan cermin yang bersinar. Ada wanita dalam cermin itu. Sedang juga menatapku. Kosong sekali pandangan matanya. Mati. Seperti tidak ada lagi roh dalam jasad yang cuma berkembam paras dada itu.
Perlahan-lahan, aku mengangkat tangan kiri dan menyentuh muka. Wanita dalam cermin membuat perkara sama. Aku melarikan jari-jemari ke mata, jatuh ke pipi dan kemudian ke bibir. Semuanya pucat. Tidak ada mata yang bersinar, pipi yang memerah atau bibir yang selalu mengulum senyum.
Yang ada cuma wanita dalam cermin yang juga menyentuh muka sendiri. Berwajah biru, bermata sembab. Lain benar daripada rupa manis dengan mekap dan pakaian cantik yang selalu sedia untuk ber‘OOTD’. Matanya benar-benar tampak mati. Ada garisan halus di tepi, yang tidak pernah wujud sebelum ini. Pipinya juga lebih cengkung daripada biasa. Rambut pula…
Aku membawa tangan ke rambut dan menyentuhnya. Lebih pendek daripada biasa. Bukan lagi panjang mengurai paras pinggang. Kini, sekadar paras ketiak sahaja. Tidak selembut biasa. Sinarannya juga berkurang. Atau mungkin juga, sudah jadi kusam. Aku meraupnya dan tarik biar ke hadapan dada, lalu menampakkan leher belah kanan.
Dahiku serta-merta berkerut.
Lambat-lambat, aku bangkit dan menapak menghampiri wanita dalam cermin. Sampai rapat, mataku mengecil. Tepat melihat satu garis halus di leher, bawah garisan rambut, dekat telinga. Tidak panjang mana, mungkin cuma satu inci. Tetapi aku tahu, dan aku yakin. Empat tahun yang lalu, garis tersebut tidak wujud.
Masih dengan kerutan di dahi, aku kemudian memeriksa bahagian lain tubuh. Tidak cukup di hadapan, aku memusing-musing badan melihat ke belakang. Kali ini, perhatianku melekat pada belakang bahu. Lama, terpaku di situ.
Satu jengkal panjang. Garisannya tidak sehalus kesan di leher. Agak kasar. Agak hodoh.
“Bekas jahitan…” Bibirku berbisik. Tangan dibawa ke belakang bahu, cuba mencapai kesan tersebut. Hanya hujung jari yang sampai, namun cukup untuk aku merasai permukaannya. Benar seperti yang dilihat, permukaannya terasa kasar.
Bahu yang selama ini mulus tanpa cela, tiba-tiba buruk berparut.
Aku mengerutkan lagi dahi yang sedia berlapis. Beberapa kali, aku memusing badan depan cermin dan cuba meneliti kalau-kalau ada kesan lain yang berbekas di tubuh. Tidak ada, melainkan sedikit calar-balar yang tidak nampak sangat.
“Ara kemalangan. Kepala terhentak.”
Kata-kata ibu terngiang sekejap. Terus, aku meraup rambut dan memeriksa celah-celahnya. Mencari kalau-kalau ada kesan yang tertinggal di kepala. Tidak ada, seolah-olah tengkorakku tidak pernah terhantuk kepada apa-apa pun.
“Hebat doktor ni. Tak tinggal kesan langsung…” Aku merumus, sempat memuji siapa pun doktor yang bertanggungjawab merawat aku. Sesaat kemudian, bibirku mengherot sebelah.
“Hebat-hebat dia pun, hilang ingatan juga aku ni.” Selamba aku menyinis apa yang sedang berlaku kepada diri sendiri.
Sesudah itu, aku memusing badan meninggalkan wanita dalam cermin dan menghampiri almari tinggi yang terletak di satu sudut bilik. Pintu gelangsarnya ditarik ke tepi.
Dahiku sekali lagi, berkerut.
Terpampang di hadapanku, pakaian wanita yang elok bersusun. Aku yakin semuanya pakaian milikku. Tetapi ini juga bukan pakaianku. Aku tidak memakai warna seperti ini!
Hitam. Kelabu. Coklat. Biru tua. Pendek kata, semuanya warna gelap. Tidak ada warna merah kegemaranku. Tidak ada warna pastel yang sangat kena dengan warna cerah kulitku. Tidak ada warna kuning menggambarkan keceriaan. Tidak ada warna-warna terang. Yang ada cuma kesuraman. Seolah-olah pemilik pakaian ini, hidupnya dalam kegelapan.
Tidak berpuas hati, aku menarik sebelah lagi pintu gelangsar. Pakaian lelaki pula yang tergantung depan mata. Aku membelek-beleknya. Dari depan ke belakang. Dari belakang ke depan semula. Macamlah pakaian lelaki ini boleh bertukar jadi pakaian wanita. Warna-warna gelap ini boleh bertukar jadi warna-warna terang.
Masih tidak puas, aku bergerak pula pada kabinet berlaci. Setiap satu laci, aku buka. Habis semuanya aku selongkar. Seperti tadi, warna-warna yang ada cuma hitam, kelabu, coklat, biru tua. Aku menyelongkar lagi dan lagi. Semakin lama, semakin terdesak.
Seketika berlalu…
Perbuatanku jadi perlahan dan akhirnya terhenti. Kaki berundur ke belakang. Sampai satu tempat, langkahku mati. Dipasung oleh ekor mata yang kembali ternampak wanita dalam cermin. Sedikit-sedikit, aku memusing kepala.
Dia…di dalam sana. Berwajah biru, bermata sembab, berpipi cengkung. Dengan kesan di leher dan parut panjang di belakang bahu. Berdiri di tengah-tengah pakaian yang berterabur atas lantai. Semuanya warna kusam. Warna kegelapan.
Aku…di sini. Melihat wanita dalam cermin. Bersama satu persoalan yang perlahan-lahan, menjalar masuk ke dalam diri.
Apa yang empat tahun ini sudah buat kepadaku?

~ Bersambung...~

Nota Cik SA:

Haaaa, Inara. Kan Gibran dah marah tu. Tulah, sape suruh garang sangat? 😰 Tapi kan....tapi kan...Gibran memang sweet, kan? Dan sangat cool, sebab dalam marahnya tu, dia tetap cuba bersabar. 😍

And now, the big question dah bermula. Apa yang empat tahun ni dah buat pada Inara? Nantikan jawapannya dalam MI. Hehe. 

Do comment and follow me on instagram (@ciksara_aisha). There will be a giveaway soon, dan hadiahnya berupa MEMORI INARA. Yup, pemenangnya nanti akan menang satu naskah MI bila dah terbit. 

Thanks and love, SA

No comments:

Post a Comment