February 18, 2019

MEMORI INARA - BAB 4


BAB 4

JEDA.
Dunia sekelilingku tiba-tiba terasa hening. Bahkan, berhenti bergerak. Lalu meninggalkan aku, hanya berdua dengan gambar yang terletak tinggi ini. Lama aku menelitinya. Dari atas kepala, ke wajah, jatuh ke baju kurung putih, hinggalah kepada jari-jemari jantan yang melingkari pinggangku. Tanganku sendiri pula berada di atasnya. Memegang kemas. Di situ, aku dapat melihat dengan jelas…
Perlahan-lahan, aku mengangkat tangan kiri ke muka. Terpampang satu bentuk cincin di jari manis. Dari material rose gold, bertatahkan berlian dalam bentuk heksagon. Tidak besar mana, tetapi di sekelilingnya ada butiran-butiran kecil berlian yang tersusun elok. Juga, cantik terukir. Aku mengalih anak mata ke gambar yang tergantung. Melepasi jari-jemari yang berhias inai, dan meletakkan fokus kepada jari manis yang dilihat tadi.
Ya, ada cincin di situ. Serupa dengan di tanganku sekarang.
Tanpa dapat ditahan, tubuhku melurut ke atas lantai. Masih dengan kepala terpanggung tinggi. Melihat gambar itu. Tidak berkelip, dengan seribu satu perasaan yang menyelubungi jiwa hinggakan aku tidak tahu aku berasa apa sekarang. Semuanya terlalu mengelirukan. Terlalu membingungkan!
Jadi, mereka tidak berbohong? Lelaki ini…lelaki yang tidak pernah aku jumpa seumur hidup ini…benar-benar suami yang sudah aku nikahi? Maksudnya, aku dan Muzaffar benar-benar terpisah? Pernikahan yang sepatutnya lagi enam bulan, tidak jadi kenyataan? Angan-angan aku sejak berumur enam belas tahun, terkubur macam tu saja? Dan lagi satu…
Aku benar-benar hilang ingatan?
Berderu-deru persoalan masuk dalam kepala otakku. Malangnya, tiada satu pun yang berjawab.
“10 Februari 2018. Ara sah jadi isteri abang.”
Pengakuan itu tiba-tiba berdengung di celah telinga, disusuli dengan segala percakapan yang keluar dari mulut ibu. Tentang lelaki itu. Tentang Muzaffar. Tentang memori.
Kepalaku tertunduk ke bawah. Bahu longlai tanpa daya. Tangisan yang tadi tersekat, menitik lemah. Menyedari betapa semua itu adalah hakikat, benar-benar menyakitkan. Benar-benar membuatkan otakku terasa kosong. Tidak! Bukan setakat otak. Bahkan juga jiwa.
Aku jadi lompong.
“She’s too quiet. Ibu risau…”
“Gib ambil kunci…”
Dari luar bilik, aku dapat mendengar dua suara itu. Agak berbisik, tetapi telingaku masih dapat menangkap. Aku biarkan sahaja, dari awal perbualan hingga tombol pintu dibuka dan…
“Inara…”
Seruan ibu berbunyi perlahan. Perlahan juga, aku memusing kepala. Mata terkelip-kelip basah, memandang susuk tubuh depan pintu. Aku membuka mulut. Terketar-ketar.
“Ibu…”
Hanya dengan sepatah perkataan itu, ibu meluru kepadaku dan terus meraih aku ke dalam dakapan. Sangat erat dia memeluk, hinggakan aku dengan jelas dapat merasai lekuk tubuhnya.
“Ibu…” Aku memanggil lagi.
Ibu mengetatkan lagi rangkulan yang setia ketat.
“Ibu kat sini, sayang. Ibu kat sini…”
Aku mengangkat tangan dan mencengkam belakang baju ibu. Wajah disorok di celah dadanya.
“Ibu…” Buat kesekian kali, aku merengek.
Ibu mula mengusap-ngusap belakangku. Mahu menenangkan, tetapi lain jadinya. Tangisanku lebih terhambur keluar. Bahu mula terenjut-enjut, mengiringi setiap esakan. Diselangi dengan lidah yang tidak sudah-sudah menyeru ibu. Entah berapa lama aku berkeadaan begitu, aku tidak tahu. Yang pasti, aku mengongoi dalam pelukan ibu. Tidak ubah seperti anak kecil yang takut kehilangan ibunya. Dan sungguh! Itulah aku yang aku rasa sekarang.
Sangat takut.
*****
BUNYI esakanku memenuhi segenap bilik. Sesekali, berselit bunyiku menghembus hingus. Aku dan ibu kini berada di sofa yang terletak di satu penjuru bilik. Duduk sebelah-menyebelah. Aku dengan tangisan yang masih bersisa. Ibu dengan tangan yang menghulur tisu kepadaku. Ada beberapa kali, dia membawa tisu ke bawah mata. Mengelap tangisan sendiri.
Ah, aku dan ibu benar-benar jadi macam orang hilang siuman sebentar tadi. Beriya-iya menangis dan melalak. Tetapi apakan daya? Kalau aku tak lepaskan perasaan, mungkin sahaja aku benar-benar jadi manusia hilang akal.
“Ibu minta maaf.”
Seiring dengan permohonan itu, telapak tangan ibu melekat di sebelah pipiku. Bukan lagi tamparan pedih, tetapi usapan lembut yang aku terima. Sama lembut dengan tatapan mata ibu. Tetapi, aku boleh nampak kepiluan di situ. Apatah lagi, mutiara jernih masih bersisa.
Langsung, aku menggeleng kepala dan menarik tangan ibu ke dalam genggaman. Elok berlabuh atas ribaanku. Senyuman kelat, aku ukir.
“Ibu tak perlu minta maaf. Ara yang salah. Ara yang kurang ajar. Ara tak tahu kenapa Ara buat macam tu. Tapi…”
Lidahku terkelu. Tidak tahu apa yang patut dicakapkan lagi. Otakku masih terasa biul. Diriku masih seperti di awan-awangan. Terlalu sukar untuk percaya apa yang sudah berlaku. Hilang ingatan? Itu cuma adegan yang aku lihat dalam drama!
“Ibu faham. Kalau ibu di tempat Ara, mungkin ibu buat perkara sama. Tak pun, yang lebih teruk.” Sangat teratur balasan kata ibu. Sangat berhati-hati. Mungkin tidak mahu mencalar jiwaku yang sudah sedia tercalar.
Aku menarik senyum, mengerti apa yang ingin dibuat ibu. Namun, dapat aku rasakan betapa hodohnya senyuman ini. Sesudah itu, aku menyeka air bawah hidung yang masih menitis. Liur ditelan sekali. Nafas digali beberapa kali. Cuba memanggil ketenangan yang sedari tadi lari daripadaku.
 “Tell me, ibu. Apa yang dah jadi?” soalku lebih tenteram.
Ibu tidak terus membalas. Dia mengetap bawah bibir, seperti teragak-agak untuk menjawab.
“Ibu…” Aku menggesa lembut.
Sedikit, ibu menundukkan kepala. Melarikan pandangan dan mengusap tanganku yang masih dalam genggaman. Kemudian, antara dengar tak dengar suara ibu menyentuh telingaku.
“Ara kemalangan.”
“Kemalangan?” Aku mengerutkan dahi dan mengulang.
Kepala ibu diangkat semula.
“Ya, tujuh minggu yang lalu.”
“Tujuh minggu?” Sekali lagi, aku mengulang. Benar-benar serupa manusia kebingungan.
Ibu mengangguk kecil.
“Ara tidak sedarkan diri selama lima minggu. Kemudian kira-kira dua minggu lepas, Ara buka mata.”
Ibu senyum di sekerat jalan.
“Finally! Tapi…”
Senyuman ibu mati semula.
“Ara fikir sekarang masih lagi tahun 2014. Doktor cakap itu kesan daripada kemalangan. Hentakan yang kuat masa kemalangan tu, meninggalkan kesan di otak Ara. You ended up with memory loss. Ara tak ada masalah dengan long-term memory. Hal-hal lama dulu. But then, your short-term memory was damaged. Untuk empat tahun kebelakangan ini. Pendek kata, dari tahun 2014 hingga ke hari kemalangan tu, Ara tak ingat apa-apa.”
Segala penjelasan ibu, aku dengar teliti. Cuba untuk mengerti. Cuba untuk menerima. Malangnya, tetap jua diriku terasa seperti di awan-awangan. Hilang ingatan? Aku mengalami hilang ingatan?
Kejutan jenis apa ini?!
“Dan lagi satu…”
Sambungan kata ibu, terhenti sekejap. Aku yang mendengar, jadi lebih berdebar. Apa pula kali ini?
“Ara juga menghadapi masalah untuk simpan memori baru.”
Dahiku serta-merta berkerut.
“Maksud ibu?”
“Ada masanya bila Ara bangun tidur, Ara tak ingat apa yang jadi semalam. Sebab itulah, walaupun Ara sebenarnya dah bangun dari koma dua minggu lepas…”
“Ara bagi reaksi seolah-olah Ara baru bangun hari ni,” celahku mula mengerti. Ternyata, otakku tak adalah biul mana. Ingatan juga menerawang kepada kejadian pagi tadi.
“Sebab itulah dia cakap macam tu…” Bibirku berdesis perlahan.
“Huh?” Kening ibu bertaut rapat.
“Dah lima kali ke?”
“Apa yang lima kali?
Terlepas gelak halusku. Berselit sinis. Saat ini, ibu pula yang kelihatan lebih bingung daripada aku.
“Lima kali Ara bangun tidur dan Ara tak kenal…”
Bicaraku mati sejenak. Lidah terasa berat untuk menyebut tentang lelaki itu. Sama berat dengan seluruh jiwa ragaku sekarang. Bawah bibir, aku ketap sekali sebelum menyambung.
“Dia.”
Pandangan mata ibu tampak berubah. Seperti terkesan dengan perilaku aku. Ibu mengulum senyum. Jelas tawarnya.
“Ya.”
Nafasku terluah perlahan. Bawa bersama perasaan yang aku sendiri tidak tahu apa. Yang pasti, bukan kejutan. Kerana sekarang, aku rasa tiada apa-apa lagi yang mampu mengejutkan aku.
“Jadi apa yang berlaku hari ini, dah pun berlaku semalam.” Aku memutus sendiri.
“Tiga hari lepas.” Ibu membetulkan.
“Sebenarnya dalam masa dua minggu ni, ada beberapa kali Ara tak sedar semula. Waktu pertama kali sedar, Ara cuma bangun untuk sepuluh jam. Keliru, lemah, langsung tak bercakap. Kemudian, Ara tidur balik. Doktor cakap itu perkara normal bila seseorang bangun dari koma. Seolah-olah ada suis untuk Ara sedar. Sekejap sedar, sekejap tak. Bangun, tidur. Bangun, tidur. Bila Ara sedar pula, Ara memang tak ingat apa yang berlaku hari-hari. Katanya sebab…”
Sekejap, ibu mendiamkan diri dan mengerutkan dahi. Pandangan jauh ke hadapan seperti sedang cuba mengingati sesuatu.
“PTA. Yes, it’s post-traumatic amnesia. Ibu tak faham sangat. Tapi kata doktor, itu fasa sementara lepas koma. Ara tak boleh simpan memori baru. Biasanya PTA takkan beri kesan pada memori lama, tapi dalam kes Ara…”
“Ara hilang ingatan.” Aku menyambung tanpa nada. Semakin banyak maklumat yang aku terima, semakin kosong terasa diri ini.
“Ya.” Bergetar bibir ibu saat mengaku.
“Dan tiga hari lepas, Ara tidur tak bangun-bangun. Ibu dan Gib ingatkan Ara tak sedar semula. Ada kes macam tu. Bangun dari koma sekejap, lepas tu…”
Suara ibu termati sendiri. Mata kembali keruh. Jelas pilu dan sayunya. Kepala juga tertunduk lemah. Aku yang melihat, berjangkit sayu. Tangan dalam genggaman ibu, aku tarik perlahan dan bawa ke pipi tua itu. Diusap-usap.
“I’m here, ibu,” ujarku selembut mungkin. Senyuman juga diukir. Seperti tadi, sangat palsu. Sangat kosong.
Ibu menjauhkan tanganku dari pipinya dan turut membalas senyuman.
“Ya, Ara dah ada sini. Dengan ibu.” Senyuman ibu semakin lebar. Gaya biasa yang selalu dipamer bila cuba menunjuk kuat.
Aku faham benar.
“Okey, berbalik pada soalan Ara tadi. Apa yang berlaku hari ni, dah berlaku tiga hari lepas. Tapi taklah sama keadaannya. Lima kali Ara bangun dan tak ingat memori baru, lima kali juga reaksi Ara berbeza. Tiga hari lepas, Ara lebih tenang.”
Tenang? Dan-dan sahaja, aku rasa mahu ketawa kuat-kuat. Perkataan itu benar-benar menggelikan hati. Setenang mana sahaja yang aku boleh jadi? Pembetulan! Setenang mana sahaja MANUSIA boleh jadi, bila dilontar dengan kejadian demi kejadian serupa itu? Aku tak fikir ada manusia yang boleh jadi tenang.
Tak. Ada.
“Kalau Ara nak tahu lebih lanjut pasal hal hilang ingatan ni, Ara boleh tanya Gibran. Dia lebih tahu, sebab dia yang lebih banyak bercakap dengan doktor selama ni.”
“Gibran?” Laju sahaja lidahku menyebut.
Ibu mengangguk.
“Ya, Gibran. Itu nama suami Ara.”
Tanpa sedar, aku merengus. Suami Ara? Dua patah kata yang asyik diulang-ulang itu, terasa umpama api.
Hatiku jadi panas.
“Ara, please…” Ibu tiba-tiba memohon. Jelas menunjukkan betapa ibu perasan akan reaksi yang aku beri. Ah, depan ibu, aku benar-benar seperti buku yang terbuka luas!
“Gib juga mangsa dalam hal ini. Jadi tak salah kalau Ara cuba layan dia dengan lebih elok, kan?”
Hati panasku semakin membahang. Tidak dapat ditahan. Langsung, aku menyengetkan hujung bibir.
“Kenapa, ya?” Suaraku kedengaran sinis.
“Apa?”
“Dari tadi, ibu mahu menangkan dia? Menyebelahi dia?”
“Sebab ibu tahu hal sebenar. Dan hakikatnya, dia suami Ara. Lelaki yang sangat-sangat mencintai Ara.” Laju sahaja ibu menjawab. Sedikit pun tidak teragak. Yakin benar. Namun aku yang mendengar, serupa mendengar letupan bom. Berdesing!
Sudahnya, laju juga lidahku membidas semula.
“Habis tu, macam mana dengan Muzaffar? Dia tak cintakan Ara, ke?”
Serupa awal tadi, riak muka ibu bertukar. Jadi keras.
“Ibu dah cakap tadi, kan? Jangan…”
“Sekurang-kurangnya, Ara berhak tahu kenapa kami boleh putus, kan? Kenapa bukan Muzaffar yang ada di tempat lelaki tu sekarang? Kenapa bila Ara hilang ingatan macam ni, bukan dia yang berdiri depan Ara sebagai suami?” Aku lebih pantas menyampuk. Bertubi-tubi sebelum sempat ibu mengulang ayat sama. Jangan sebut pasal Muzaffar. Habis itu, ibu mahu aku sebut pasal siapa? Pasal lelaki kat luar tu?
Huh, dia mungkin suami aku, seperti dalam gambar atas kepala katil. Tetapi saat ini, bukan dia dalam hati aku. Bukan dia!
Mukaku terasa berkerunyut menahan perasaan. Ketenangan yang cuba dipanggil, tidak kunjung-kunjung tiba. Bahkan, semakin menjauh.
“Ara dan dia tak berjodoh.”
Bibir senget aku, semakin herot. Senang sekali jawapan ibu. Sekadar jawapan melepas diri. Sedangkan aku yang terasa sakitnya.
“Kalau pun tak berjodoh, Ara nak tahu sebabnya. Kenapa? Macam mana…"
“That’s it, Ayudia Inara. Apa yang dah lepas tu, jangan difikir lagi.”
Wajahku berderau. Apa yang keluar dari mulut ibu, terasa menusuk. Pedih lagi memeritkan.
“Lepas bagi ibu, tapi tidak bagi Ara. It’s your past. But it’s present to me.” Aku menjawab. Entah keluar entah tidak suaraku. Mungkin sahaja tenggelam celah rasa terkilan.
Riak wajah ibu berubah lagi. Mula kelihatan serba salah. Bibir juga bergerak-gerak cuba dibuka, namun aku lebih dahulu memintas.
“Ibu sendiri cakap, kan? Ara tak ingat apa-apa dalam empat tahun ni. Empat tahun, bu.”
Aku mengangkat empat jari depan mata.
“Bukan empat hari. Bukan empat bulan, atau empat minggu. Tapi empat tahun.” Sengaja aku menekankan perkataan ‘empat tahun’ di hujung kata. Biar ibu mengerti betapa lamanya itu.
Mungkin bagi ibu, empat tahun itu sudah jadi sejarah. Tetapi bagi aku? Itu adalah lompong dalam seluruh kehidupanku. Bahkan, lompong yang telah memisahkan aku dengan satu-satunya cinta hatiku.
Untuk itu, bukankah aku berhak untuk tahu apa yang sudah jadi?
“Semalam ibu, tak ada kaitan dengan empat tahun lepas. Tapi semalam Ara…”
Aku mengetap bibir, menerima segala bayangan yang melintas depan mata. Aku dan Muzaffar sama-sama ke SOGO, mencari barang hantaran, gelak bersama, makan bersama, gurau bersama.
“Ada Muz, ibu.”
Air mataku menitis lemah. Entah bila bertakung, aku juga tidak sedar. Tahu-tahu sahaja, pipiku sekali lagi ternoda.
“Kami keluar sama-sama. Buat macam-macam sama-sama. Dan bila dia hantar Ara balik, Muz pesan…”
Luahanku terhenti di sekerat jalan. Aku mencengkam dada dan memejam mata. Serta-merta, pesanan yang satu itu terngiang di telinga. Dititip oleh suara garau lembut yang fikirku selama ini, takkan pernah hilang daripadaku.
“Take care. See you tomorrow.”
Masih dengan mata pejam, aku menarik senyum kelat. Oh, Tuhan! Aku mahu simpan suara itu dalam-dalam di celah hati.
“See you tomorrow. Itu yang dia cakap,” sambungku seraya membuka semula mata. Kembali melihat tepat ke muka ibu.
“Tapi sekarang? Ara bangun-bangun sahaja, semuanya dah jadi lain. Muz tak ada. Muncul pula lelaki lain mengaku suami. Ibu pula? Dari tadi, ibu minta Ara hormat dia. Layan dia elok-elok. Apa ni, ibu? Ara tak kenal pun dia. Tak pernah jumpa dia! Takkanlah Ara nak depa tangan luas-luas, peluk dia dan terima dia macam tu aje? He’s basically a stranger to me!”
Ternaik suaraku di akhir kata. Dada tercungap menahan emosi. Bahkan, leherku terasa terik. Seperti akan putus uratnya bila-bila masa sahaja lagi.
Kelam-kabut, ibu mengambil tanganku dan menggenggamnya.
“Ibu minta maaf, sayang. Ibu minta maaf…”
“Ara…Ara sepatutnya jumpa Muz lagi, hari ni. Banyak yang kami plan. Banyak lagi benda nak buat. We are supposed to get married, ibu.” Suaraku mengendur semula. Kali ni, jadi lebih lemah. Lebih lirih. Bertemankan tangisan yang semakin lebat.
We are supposed to get married…
Kata-kata itu berdengung celah telinga, menyusup ke dalam hati dan kemudian…menyiat-nyiat dengan cukup kejam!
Ibu mengangguk-angguk sambil mendengar.
“Ya, ya, ibu tahu. Ibu minta maaf. Ibu silap. Ibu tak fikir perasaan Ara. Ibu cuma lebihkan apa yang dia dah buat pada Ara.”
Dahiku pantas berkerut.
“Apa yang dia dah buat pada Ara?”
Mata ibu membulat, sebelum ibu cepat-cepat menggeleng.
“Tak…tak...ibu cuma mengarut tadi. Ibu tak maksudkan apa-apa…”
Semakin ibu cuba menerangkan, semakin aku kepelikan. Mata mula mengecil penuh syak wasangka. Tangisan juga seperti berhenti sendiri. Ditahan dek rasa curiga.
“Apa yang dia dah buat pada Ara, ibu?” Aku mengulang, tidak peduli perilaku ibu yang jelas-jelas mahu mengelak.
“Tak…tak…”
“Ibu.” Aku merenung dalam-dalam ke mata ibu.
“Please, I’m begging you. Ara berhak untuk tahu.”
Ibu mematung. Sekadar melawan renungan mataku. Entah apa yang ibu cari di situ, aku tidak tahu. Tetapi jika rasa terdesak yang ibu mahu lihat, jadi aku tayang rasa terdesak ini luas-luas!
Seketika berlalu, ibu melepas nafas dan meraup wajah.
“Muzaffar…”
Berhenti sekejap.
“Dia hilang.”
Jeda. Aku bungkam cuba menangkap apa yang baru didengari.
“Atau lebih tepat lagi, dia menghilangkan diri dua minggu sebelum majlis.”
Aku masih terdiam. Masih dengan otak yang ligat cuba memahami apa yang keluar dari celah bibir ibu. Namun akhirnya…
“Menghilang…kan…diri?” Hanya itu yang mampu aku ucap. Tersekat-sekat. Sekali lagi, serupa orang bingung.
“Ya.” Ibu mengeya. Segenap rupa memerah. Malahan, pandangan matanya keras sekali. Membuak-buak dengan api kebencian yang tidak pernah aku lihat dalam mata ibu.
“Dia cuma hantar mesej pada Ara. Cakap perkahwinan dibatalkan.”
Hujung bibir ibu menyenget sinis.
“Huh, senang sungguh cara dia! Tapi yang hadap sakitnya…”
Ibu berhenti dan menggigit bawah bibir. Renungan ibu dibawa kepadaku. Di situ, aku nampak air yang bertakung. Ibu menahan tangis dalam kebenciannya.
“Ara. Anak ibu.”
Terpejam sesaat mataku, waktu mendengar sambungan kata ibu. Hati terasa perit, walhal aku belum tahu apa yang sebenarnya berlaku.
“Ara…Ara…” Entah apa yang lidah aku mahu luah, aku juga tidak tahu. Diri kembali rasa seperti di awan-awangan. Dipagut kejutan, sedangkan tadi aku yakin benar bahawa tiada apa yang mampu mengejutkan aku lagi.
“You were so heartbroken.” Ibu menyambung. Perlahan seperti tidak rela diluahkan.
“Sebab itulah…”
Mata ibu bertukar keras semula.
“Ibu memang takkan maafkan dia sampai bila-bila. Atas apa yang dia dah buat.”
Terketap-ketap rahang ibu saat berkata. Sangat jelas bencinya pada bakal menantu yang selalunya ditatang bagai minyak yang penuh.
Aku melihat sahaja. Segenap telinga masih terngiang-ngiang dengan berita yang baru disampaikan ibu. Muzaffar menghilangkan diri dua minggu sebelum pernikahan. Hanya meninggalkan mesej. Pergi begitu sahaja.
Dia yang keluar dengan aku semalam, dia yang cari barang hantaran semalam, dia yang bercanda dengan aku semalam, dia yang memesan agar aku jaga diri semalam…pada akhirnya meninggalkan aku? Pergi dengan hanya satu mesej?
Tidak. Muzaffar takkan buat macam tu pada aku. Takkan!
“Ara…”
Sayup-sayup, panggilan ibu menggamit perhatian. Aku kembali menetap fokus kepada wajah depan mata.
“Ara?”
“Ibu…ibu bohong.” Terluah jua suara dari celah bibirku.
“Ibu tak bohong, sayang.” Ibu membantah lembut. Sebelah tangan diangkat mahu memegang bahuku. Pantas aku menolak. Kepala digeleng beberapa kali.
“Ara tak percaya. Muz takkan buat Ara macam tu. Dia takkan tinggalkan Ara macam tu aje. Kami dah couple sepuluh tahun, ibu. Mustahil dia akan…”
“Tak ada yang mustahil dalam dunia ni, termasuk…” Ibu mencantas kasar, tetapi berhenti sebelum menyudah kata. Pandangan mata ibu jadi luluh.
“Muzaffar tinggalkan anak perempuan ibu.”
Aku menggeleng lagi.
“Tidak. Ara tetap tak percaya.”
“Ara…”
“Ara tak percaya, dan Ara takkan percaya!” Tanpa niat, aku meninggikan suara. Di mataku sekarang, ibu tiba-tiba kelihatan seperti manusia yang cuma tahu menghadiahkan aku dengan bermacam berita buruk.
“Tak cukup ibu bagitahu Ara pasal Ara hilang ingatan tu semua, sekarang ibu mahu cakap yang Muz tinggalkan Ara dengan cara macam tu? Seriously, ibu! Apa lagi berita buruk yang ibu mahu bagitahu Ara?”
Mataku membulat sebaik sahaja meluah kata. Ya Allah! Aku benar-benar mengeluarkan apa yang ada dalam fikiranku.
“Ibu, Ara…Ara…” Liurku tertelan perlahan. Lidah tidak mampu bertutur lagi. Sudah tersekat dek air muka ibu yang jelas-jelas hiba. Kalau tadi tangisan ibu cuma bertakung di kolam mata, kali ini tangisan itu turun di pipi.
“Maafkan ibu, sebab asyik sampaikan berita buruk untuk Ara.” Usai bertutur begitu, ibu bangkit dari sofa dan berlalu pergi. Mulutku separa terbuka mahu memanggil, tetapi tiada apa yang keluar. Sudahnya, aku cuma mampu memandang belakang ibu yang semakin menjauh dan akhirnya hilang di sebalik muka pintu yang dikatup.
Perlahan-lahan, aku menggerak badan ke belakang. Leher berlabuh atas kepala sofa. Muka terangkat memandang siling putih. Lama aku melihat, sebelum aku akhirnya mengatup pandangan. Bawa bersama mutiara jernih yang menitis setitik demi setitik di birai mata.

~ Bersambung...~

Nota Cik SA:

Ya, Inara ni garang sungguh. Tapi kalau fikir-fikir, sedih jadi dia. Beriya nak kahwin dengan orang lain, tup-tup bangun nampak orang lain jadi suami. 😭

Do comment! Thank you. 

4 comments:

  1. Baru start reading today.. Harap tak lambat nak kenal inara and gibran ��

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak lambat. selamat berkenalan dengan Inara dan Gibran. =)

      Delete
  2. Sedihnya berada di situasi Ara...I feel her! :'(

    ReplyDelete
    Replies
    1. i feel her too! walaupun dia garang, but then she's in shock! huhu

      Delete