February 15, 2019

MEMORI INARA - BAB 3



BAB 3

“PEREMPUAN TAK GUNA.”
Kepalaku terpusing ke kanan.
“Kau memang perempuan tak guna.”
Kepalaku terpusing ke kiri.
“Apa kau nak daripada aku, hah?”
Ke kanan sekali lagi.
“Aku buat segala-galanya untuk kau, tapi ini balasannya?”
Ke kiri semula.
“Aku akan bunuh kau!!!”
Mataku terbuka luas. Dada terangkat ke atas, menarik nafas sebelum jatuh semula. Liurku ditelan sekali. Pahit. Dahi sedikit-sedikit berkerut, antara menahan kepala yang masih berdenyut dan cuba mengingati segala adegan dalam lenaku.
Tidak ingat.
Aku tahu, aku ada bermimpikan sesuatu. Malangnya, semakin aku cuba tarik, semakin jauh bayangan itu. Yang tertinggal cuma rasa sakit yang mencucuk-cucuk kepala. Aku mengangkat tangan dan memicit dahi. Mengharapkan perbuatan tersebut mampu mengurangkan seksa. Sia-sia sahaja. Walau dipicit sekuat mana pun, kepalaku tetap jua berdenyut.
Lalu, aku memejam mata semula, mengetap bibir dan mengerutkan dahi. Nafas dihela dan dilepas berulang kali. Hati mula mengalunkan bermacam doa. Saat ini, aku tahu. Hanya Dia yang memberi sakit ini, mampu menghilangnya semula.
Entah berapa lama aku berkeadaan begitu, aku juga tidak tahu. Usai merasakan sakit ini berkurang, aku membuka kelopak mata. Perlahan hingga akhirnya terkelip-kelip memandang siling. Putih tanpa sebarang cela. Sesudah itu, aku mengangkat tubuh. Bersandar pada kepala katil dan meliarkan pandangan ke sekeliling. Semerta, mataku membuntang.
Bilik ini! Aku masih di bilik asing tadi! Spontan, aku melihat ke kiri kanan. Mahu melihat kalau-kalau ada kelibat lelaki tadi. Mungkin bersembunyi di celah mana-mana.
Tidak ada.
Aku menarik nafas lega, menolak selimut yang separuh menutupi badan dan melompat turun dari katil. Tanpa berlengah lagi, aku meluru ke arah muka pintu. Setapak lagi mahu sampai, langkahku terhenti sendiri. Dipasung oleh perbualan yang sayup-sayup kedengaran dari luar pintu. 
Suara itu!
Mataku membulat. Langkah kembali bersambung. Lebih beriya kali ini. Lebih laju. Sampai depan-depan, aku menolak daun pintu dan memboloskan diri ke luar.
Hanya untuk berhenti, sesaat kemudian.
Ternyata, aku tidak salah mendengar. Pemilik suara tadi terpacak tidak jauh daripadaku. Tampak tercengang, seperti tidak menduga kemunculanku. Namun, sepasang matanya jelas berkaca-kaca. Bibirnya juga kelihatan bergetar.
“A…Ara…”
Dia menyeru dan mengangkat kaki ke hadapan. Aku mengundur setapak ke belakang. Riak wajahnya berubah.
“Ara…” Ada biasan tersinggung dalam panggilan itu. Aku boleh dengar, tetapi aku tidak peduli.
“Kenapa…”
Suaraku seperti tidak keluar. Lalu, aku menarik nafas dan bertutur lagi.
“Kenapa…ibu ada kat sini?”
Usai mendengar pertanyaan itu, anak mata ibu bergerak ke kiri. Kepada lelaki yang berdiri dekat. Teman dalam perbualannya tadi. Manusia yang berani-berani sahaja mengaku macam-macam.
Suami? Pernah menyentuhku? Huh! Mustahil! Kalau ada peranan untuk lelaki ini, dia bukanlah suami. Sebaliknya, dia akan memegang watak sebagai jantan tak guna yang mahu jahanamkan diri aku. Dan aku tidak akan biarkan itu berlaku. Tidak sama sekali!
“Ibu tinggal sini.”
Aku tergamam. Kening bertaut cuba memahami jawapan yang baru jadi halwa telinga.
“Tinggal sini?” ulangku, masih bingung.
Kepala ibu terangguk sekali.
“Ya, sementara tunggu keadaan Ara elok sikit.”
“Kenapa pula ibu nak tinggal sini? Dengan orang yang kita tak kenal?”
“Gib suami Ara. Dia bukan orang yang kita tak kenal.”
Tawaku terlepas keluar. Sinis bercampur sebal.
“Jadi, ibu pun nak cakap benda yang sama? Ibu buat lawak apa ni?”
Ibu menghela nafas. Berat menyentuh telingaku. Kemudian, dia menyambung langkah yang terbengkalai tadi. Kali ini, aku tidak menjauh. Sekadar menanti hingga ibu berhenti betul-betul di hadapan.
Lembut, ibu mengambil jari-jemariku ke dalam genggaman. Sama lembut dengan pandangan yang dia tunjuk kepadaku.
“Ibu cakap benda betul, sayang.”
“Betul apanya? Ara cuma bertunang. Belum kahwin. Tunang Ara pula bukan lelaki ni, tapi Muzaffar.” Laju aku membantah. Serentak dengan akhir kataku, pandangan lembut ibu bertukar jadi keras. Seperti bersedia untuk membaham sesiapa pun.
“Jangan sebut nama Muzaffar.”
Sangat senada bait bicara itu. Bergetar di sebalik gigi yang dikacip. Aku yang mendengar, meremang bulu roma. Aneh! Ibu tidak pernah bercakap begini tentang Muzaffar. Jadi, kenapa…
Dahiku berkerut lagi. Namun, aku telan rasa aneh itu dan kembali ke perbualan tadi.
“Kenapa pula? Dia memang tunang Ara.”
“Bekas tunang.”
Sekali lagi, keras balasan yang ibu beri. Aku buat-buat tidak perasan.
“Apa ibu merepek ni? Muz tunang Ara. Baru semalam kami pergi tengok barang-barang hantaran.”
Anak mata ibu membesar. Rupa orang baru teringatkan sesuatu. Pandangan keras tadi juga lenyap. Digantikan dengan pandangan yang…
Entah! Aku tidak mampu tebak. Sesal? Sedih? Aku benar-benar tidak pasti. Tetapi satu yang aku pasti.
Pegangan tangan ibu jadi terlebih kemas.
“Ara, sebenarnya sekarang…”
“Ibu…” Lelaki yang sedari tadi jadi penonton, menyampuk tiba-tiba. Mulut ibu serta-merta terkatup. Perhatiannya berkalih kepada lelaki tersebut. Aku mengambil tindakan serupa. Turut sama melihat kepada manusia yang sesuka hati mengganggu perbualan kami.
Dia melirik kepadaku. Aku menjeling tajam.
“Rasanya lebih baik kita biarkan Ara rehat dulu. Dia belum makan apa-apa sejak bangun pagi tadi. Come, sayang. Abang dah masakkan untuk Ara.”
Telingaku berdesing!
“Kau siapa nak panggil aku sayang?”
“Ara, ini suami Ara. Hormat sikit!” Seperti lajunya aku menempelak lelaki itu, laju juga aku dimarahi ibu.
Rengusan dilepas kuat-kuat.

“Ibu dah kena guna-guna ke apa ni? Ibu sepatutnya marah. Tak pun, mengamuk dengan dia.”
Aku menarik tangan daripada pegangan ibu.
“Dia ni…” Tangan yang sama tadi, diangkat pula ke atas. Jari telunjuk dituding kepada lelaki tersebut.
“Mengaku dah sentuh Ara. Ibu faham tak?!”  
Ibu menoleh kepada lelaki itu. Dia membuat muka serba salah.
“Gib terlepas cakap.”
Terpantul keluhan dari mulut ibu.
“We should end this conversation. Betul cakap Gib tadi. Ara kena makan dulu. Rehat dulu. Nanti, ibu jelaskan semuanya.”
Kepalaku tergeleng sendiri. Sangat tidak percaya dengan perilaku ibu. Satu-satunya anak perempuan baru sahaja mengadu bahawa ada lelaki mengaku sudah menyentuhnya, sudah merenggut kesuciannya. Tetapi, hanya ini reaksi ibu? Disuruh makan?
Dadaku terasa sebu. Kemarahan, kekecewaan dan kesedihan, bercampur gaul dalam detak jantung. Aku berusaha menahan perasaan, walhal dadaku seperti menanti saat untuk meletup.
“Jelaskan apa, bu? Ara tak nak dengar apa-apa lagi. Ara cuma nak pergi dari sini.” Kali ini, suaraku mengendur.
Tangan ibu, aku ambil ke dalam genggaman. Pandangan sayu, aku beri kepadanya.
“Tolong, bu. Bawa Ara pergi.”
Mata ibu terpejam sesaat. Bawah bibir juga, dia kemam sekali. Tampak berkeluh-kesah, namun yang keluar dari mulutnya…
“Ini rumah Ara.”
Tetap perkataan itu! Aku yang mendengar, panas telinga. Darah naik menyirap ke muka. Pegangan tangan direntap geram.
“Apa yang tak kena dengan ibu ni? Ini bukan rumah Ara. Bukan!”
“Ara…”
Tidak peduli dengan panggilan ibu, aku mengangkat kaki ke arah pintu depan.
“Ara nak balik rumah. Ara tak nak ada kat sini lagi. Ara tak nak tengok muka dia lagi.”
“Ara tak boleh pergi.” Ibu mencengkam sebelah tanganku. Langkahku terhenti. Aku menoleh kepada ibu yang tidak habis-habis mahu aku tinggal di sini, dengan jantan tak guna ini!
“I’m still going.” Aku bertegas.
“Ara akan bagitahu Muz pasal dia. Biar Muz kerjakan dia.”
Serta-merta, muka ibu berderau. Bahkan, aku boleh nampak bawah rahangnya yang terketap-ketap. Sungguh! Apa yang sudah jadi antara ibu dan Muzaffar? Baru seminggu lepas berjumpa. Elok sahaja. Masih bersembang bersama. Masih ketawa bersama.
Jadi kenapa hari ini…
“Ibu dah cakap tadi, kan? Jangan sebut nama Muzaffar.”
Ya, kenapa hari ini begini sekali reaksi ibu saat mendengar nama tunang kesayanganku itu?
“Kenapa?” Aku akhirnya menyuarakan apa yang bermain dalam benak.
“Sebab dia bukan lagi tunang Ara. Dia tak layak untuk dapat Ara!”
Sangat keras jawapan itu. Tanpa secalit ragu. Mulutku melopong. Mata membulat tidak percaya.
“Ibu…” Bicaraku tenggelam dalam rasa terpanar.
“Ara betul-betul nak tahu apa jadi, kan? Sini!”
Ibu mengheret lenganku. Lelaki asing tadi bergerak ke hadapan. Sebelah tangan ternaik, seperti mahu menghalang. Namun, ibu lebih dahulu berpaling kepadanya. Mata menjegil keras.
“Gib jangan masuk campur.”
Tidak ubah seperti anak kecil, lelaki itu menekur. Tangan jatuh ke sisi. Cuma, lirikan matanya yang dibawa kepadaku. Masih serba salah.
“Ara tengok sini.”
Suara ibu mengalih perhatianku. Kening terangkat sebelah, kepada ibu yang menuding jari ke satu arah. Aku melarikan pandangan ke situ.
Kalendar yang tergantung di dinding.
“Sekarang dah tahun berapa?”
“Huh?” Kepalaku terpusing kepada ibu. Bingung.
“Cuba Ara tengok,” gesa ibu dengan muka bersungguh.
Aku kembali memberi perhatian kepada kalendar hitam putih itu. Nombor yang tertera, disebut sepatah-sepatah.
“Dua ribu…lapan belas…”
“Ya, 2018. Bukan lagi 2014.” Ibu mengiya dari sebelah. Sekali lagi, aku menoleh kepadanya.
“Apa ibu cakap ni?”
Ibu tidak terus menjawab. Dia menatapku lama-lama. Tidak lagi dengan rupa keras saat menyebut nama Muzaffar, tetapi dengan satu pandangan yang…
Serupa lelaki tadi.
“Hari ni, 12 Julai 2018. Dah empat tahun berlalu sejak Ara dan Muzaffar keluar cari barang hantaran.”
Aku mengerutkan dahi. Sekejap, aku pandang ibu. Sekejap, aku pandang lelaki di penjuru ruang.
“Ibu bohong.” Hanya itu yang terlepas dari celah bibirku.
Ibu menggeleng perlahan.
“Ibu tak bohong, sayang. Ara sekarang hilang ingatan. Ara tak ingat apa-apa yang berlaku dalam masa empat tahun ini.”
Aku meledakkan tawa. Terasa sangat kelakar ayat-ayat yang dipantul ibu. Hilang ingatan? Apa ibu ingat kami sekarang dalam sinetron Indonesia yang kadang-kadang ibu tengok? Aku jadi heroin yang hilang ingatan dan lupakan sang hero? Macam tu?
“Ibu tengah buat lawak apa ni?” soalku, masih disusuli gelak.
“Ibu harap ibu memang tengah buat lawak. Tapi…”
Sekali lagi, ibu menggeleng.
“Tak. Ibu tak melawak.”
Aku merenung ibu dalam-dalam. Ibu membalas tanpa ragu. Melihat reaksi itu, aku mula rasa lain macam. Liur terasa pahit. Telapak tangan terasa berpeluh. Dengan rupa dan suara yang cuba dibuat tenang sedaya mungkin, aku membalas.
“Ara tak percaya.”
Ibu datang merapat dan memegang kedua-dua belah bahuku.
“Ara, tolonglah…Ibu cakap betul.”
Aku menepis tangan ibu. Kepala digerak kiri kanan. Kaki juga terundur sendiri ke belakang.
“Ibu tipu. Ara tak percaya!!!” Tanpa niat, aku meninggikan suara. Ibu melihat dengan muka terpempan. Mata kembali berkaca-kaca.
“Ara…”
Aku menarik lengan ibu.
“Jom, ibu. Kita pergi dari sini.”
Ibu tidak mahu bergerak. Seinci pun tidak.
“Ini rumah Ara. Ini suami Ara.”
Aku merengus dan melepaskan tangan ibu. Tubuh dipaling menghadap. Mata kosong memandang ke wajah separa umur itu.
“Berapa lama lagi ibu nak jadi macam ni? Berbohong macam ni?” Dingin, aku menyoal.
“Ara…”
“Kau jangan masuk campur!” Kepalaku berpusing laju kepada sang penegur. Hidungku berdengus memandang dia dengan rupa serba salah dan pandangan seribu makna itu.
Sangat menyebalkan!
Langsung, aku mengangkat kaki hingga ke depan dia. Wajah dipanggung bagi menyamai aras matanya yang lebih tinggi.
“Ini semua kau punya pasal, kan? Kau dah brainwash mak aku, kan? So that dia pun cakap apa yang kau cakap?”
Kepala lelaki itu tergeleng.
“Tak, Ara. Abang…”
“Abang?” Aku menyampuk. Bibir senget sebelah, sebelum aku menghambur tawa. Sangat sinis!
Dia mengerutkan dahi. Aku tidak peduli. Bahkan, aku semakin mendongakkan muka dan merenung tajam.
“Boleh tak kau jangan bahasakan diri kau ‘abang’? Geli anak telinga aku, tahu tak? Geli!”
“Ayudia Inara!” Jerkahan ibu berkumandang dari belakang. Aku buat muka selamba dan sekadar menjeling tajam.
Hari ini, aku benar-benar jadi anak perempuan durjana.
Perlahan-lahan, aku berpaling kepada ibu.
“Kenapa? Ibu nak suruh Ara hormat dia? Sebab dia suami Ara? Tolonglah, ibu! Jangan tipu Ara lagi. Jangan reka cerita lagi.”
“Ibu tak reka cerita,” tekan ibu seraya mendekat.
“Jadi ibu nak cakap yang Ara memang hilang ingatan? Ara tak ingat apa-apa dalam empat tahun ni? Dan sekarang dah tahun 2018? Macam tu?”
“Ya.” Ibu mengangguk yakin.
 Aku menyengetkan bibir. Keyakinan ibu memang setinggi langit!
“Ibu ingat ibu tengah berlakon sinetron ke?”
Dahi ibu berlapis.
“Ara rasa lepas ni ibu jangan tengok drama tak berfaedah tu lagi. Merosakkan otak saja. Buat ibu tak boleh beza mana real life, mana drama…”
Aku sudah tidak boleh berfikir apa-apa. Entah apa yang aku cakap, aku sendiri tidak tahu. Yang pasti, mulutku laju melontar kata. Dan dengan setiap patah kata itu, aku perasan riak wajah ibu yang semakin berubah hinggalah…
Pang!
Terasa kepalaku berpusing ke sebelah. Serentak dengan pijar di sebelah pipi. Saat yang sama juga, telingaku menangkap suara itu.
“Ya Allah, ibu!”
Sedetik...
Dua detik…
Tiga detik…
Aku mengeras pada posisi yang sama. Namun, dapat aku rasakan bibir yang mula menggeletar. Juga, air mata yang bergenang. Sedikit demi sedikit.
Lambat-lambat, aku akhirnya memusing muka. Kembali melihat wanita yang baru menghadiahkan aku sedas tamparan. Pedih terasa di pipi, tetapi yang lebih perit…
Hati.
“Ara…” Ibu memanggil antara dengar tak dengar. Tangan kanannya tampak terketar-ketar. Mata juga membulat, seperti tidak percaya dengan apa yang sudah dibuat.
“Ibu…ibu…”
Kaki ibu bergerak setapak ke hadapan. Setapak, aku berundur ke belakang.
“Ara?”
Dengan panggilan itu, aku terus memusing tubuh dan berlari ke bilik tadi. Daun pintu ditolak kuat dan…
Dum!
Berdentum bunyi pintu menggegarkan isi rumah.
*****
TERPEJAM mataku menerima dentuman yang menusuk telinga. Belakang tubuhku tersandar pada pintu. Segenap inci terasa lemah. Terasa longlai, seolah-olah roh dan semangatku sudah disedut keluar. Dari sebalik pintu, aku dapat mendengar bunyi ibu yang memanggil-manggil dan sesekali mengetuk pintu.
Air mataku menitis.
“Ibu, kita biarkan Ara dulu. Dia perlukan masa…”
Suara itu sayup-sayup kedengaran di sebelah sana. Aku mengherotkan bibir. Perasaan geram membuak-buak. Semuanya kerana jantan tak guna tu! Seumur hidup aku, tidak pernah sekali pun ibu mengasari aku. Apatah lagi, menampar hingga berpusing kepala. Tetapi sekarang? Tegar sekali ibu memperlakukan aku begitu.
Ya, aku tahu! Aku yang kurang ajar. Tetapi apa lagi yang aku boleh buat? Mereka tidak habis-habis bercakap hal mengarut. Takkanlah semudah itu untuk aku percaya.
Aku hilang ingatan? Sekarang sudah tahun 2018? Dan aku sudah bernikah dengan lelaki lain? Bukan Muzaffar, kekasih aku sejak kami berumur enam belas tahun? Huh, kelakar. Sangat-sangat kelakar!
Mungkin juga tidak.
Wajahku yang terangkat memandang ke hadapan, keras serta-merta. Air mata juga terasa seperti tidak jadi turun. Melekat di birai sahaja.
Kakiku terayun sendiri. Melangkah setapak demi setapak, menghampiri katil. Aku tidak perasan sewaktu bangun tadi. Aku tidak nampak. Tetapi sekarang, aku sedang menghadapnya. Betul-betul berhadapan.
Aku dan dia yang tidak kukenali.
Aku dan dia yang sewenang-wenang mengaku suami.
Aku dan dia yang mengaku sudah menyentuhku.
Dalam persalinan pengantin. Saling berpelukan. Saling mempamer senyuman. Saling memandang kepadaku.
Dari dalam rangka gambar yang tergantung atas kepala katil. 

~ Bersambung...~

Nota Cik SA:

Sebelum ni, Gibran kena tampar. Kali ni, Inara pula kena tampar. Adusss, kesian hero-heroin Cik SA. 😛 Tapi tak apa ya, sayang. Nanti-nanti Cik SA bagi adegan sweet-sweet kat awak berdua. 😍 

Oh, just to inform. Cik SA akan update Memori Inara setiap hari ISNIN, RABU dan JUMAAT. Pukul 9 lebih malam. That's our date with Gibran and Inara. So, tunggu tau! 😊

Do comment and follow me on instagram (@ciksaraaisha)

Love, SA


2 comments: