BAB
2
“I’M YOUR HUSBAND.”
Terasa berhenti
jantungku. Bergegar kepalaku. Berdentum seluruh dunia saat kata-kata itu
menembusi telinga. Apatah lagi, ianya dituturkan dengan sangat senada, sangat
selamba, sangat bersahaja. Keluar dari celahan bibir lelaki itu yang kini menjatuhkan
kaki ke lantai, duduk membelakangiku di birai katil, mengambil t-shirt kelabu yang
entah datang dari mana dan menyarungnya ke tubuh.
Aku cuma terpaku. Masih
dengan jantung terhenti degupan, kepala bergegar dan dunia berdentum.
Segala-galanya terasa kosong. Sunyi sepi.
“Hei…”
Sayup-sayup, suara garau
itu berbunyi lagi. Mata buntangku masih tepat kepada dia yang perlahan-lahan
berpaling. Kemudian menggerak tubuh dan datang merapat. Semakin rapat dan rapat
dan…
Pipiku terasa disentuh.
Mata yang sedia buntang
serta-merta membesar. Tanganku laju menepis jari-jemari yang melekat di pipi. Tidak
cukup dengan itu, aku menolak dadanya kuat-kuat. Reaksi serupa yang aku buat
beberapa ketika lepas.
“Jangan sentuh aku!”
Aku menengking lantang.
Gebar yang sedari tadi menutupi tubuh ditarik lebih dekat ke dada. Tindakan
refleks walhal tubuhku berbalut elok.
Dia melirik sekilas,
sebelum bangkit dari katil. Berdiri dengan anak mata yang jatuh ke bawah. Kepalaku
automatik terdongak ke atas. Melawan renungannya. Gegendang telinga masih terngiang-ngiang
dengan pengakuan di luar jangkaan.
“I’m
your husband.”
Bila masa aku bernikah?
Aku cuma sudah bertunang. Tunanganku pula bukan lelaki ini. Sama sekali bukan!
Mengingati hakikat
tersebut, dadaku memberat. Mata semakin lebat bertakung. Tidak dapat ditahan. Wajah
Muzaffar yang melintas dalam fikiran, menyesakkan lagi jantung.
Oh, Tuhan! Macam mana aku
mahu berhadapan dengan dia?
“Apa…apa yang kau…dah
buat pada aku?”
Terketar-ketar aku
mengulang soalan serupa tadi. Tangan yang masih memegang gebar, digenggam lebih
kuat. Mahu menahan getaran tubuh yang tidak habis-habis menggigil dan tujahan
dalam otak yang tidak sudah-sudah memikirkan kemungkinan buruk itu.
Dia melepaskan keluhan.
Agak kuat bunyinya. Agak berat. Matanya berkelip sekali sebelum mulutnya
terbuka.
“Inara…”
Dan menyeru namaku.
Wajahku terasa berderau. Lelaki ini…Lelaki asing ini tahu namaku.
“Ayudia Inara…”
Dia tahu nama penuh aku.
“Ara tahu tak? Ini dah
kali ke berapa Ara buat adegan macam ni? Menjerit macam ni, tanya abang macam
ni, tolak abang macam ni…”
Dahiku sedikit-sedikit
berkerut. Tidak faham.
“Dah kali kelima.” Dia
menjawab sendiri, seraya mengangkat kaki ke depan. Elok berdiri di hadapan
langsir yang tergantung dari siling ke lantai. Dengan sekali tarik, langsir
tersebut terbuka luas. Cahaya terang serta-merta menembusi masuk. Aku memusing
kepala ke kiri dan mengatup mata. Silau!
“Dan kali kelima juga,
abang perlu ulang…”
Mataku terbuka semula.
Kepala dikalih memandang dia yang masih berdiri depan jendela. Membelakangi
cahaya mentari pagi. Aku mungkin sudah gila, tetapi lelaki asing ini tiba-tiba
kelihatan bersinar. Rambut hitamnya bersinar. Mata hitamnya juga tampak
bersinar. Memancarkan renungan kepadaku.
Ada sesuatu yang tersirat
dalam pandangan matanya. Entah kenapa, itu yang terlintas dalam akal fikiranku.
“Yang abang ini…”
Dia melekapkan sebelah
tangan ke dada.
“Suami Ara. Suami yang
sah. Di sisi undang-undang dan juga agama.”
Hujung katanya lebih tertekan.
Seperti mahu menegaskan perkataan ‘agama’. Anak telingaku rasa dicuit. Anak
tekak terasa geli. Agama? Huh, mudah dia menyebut agama, sedangkan dia…entah
apa yang dia sudah buat kepadaku?
Dadaku beralun ganas.
Terasa terik setiap otot muka. Tegang dengan rasa berang yang membakar jiwa.
Bercampur dengan kesedihan, kekecewaan dan entah apa lagi yang patut aku rasa
sekarang.
“Inara…”
“Stop
calling my name!” Aku menempik, entah buat kali ke berapa pagi
ini. Wajahnya, aku tenung setajam-tajamnya. Walhal birai mataku bila-bila masa
sahaja lagi, akan menumpahkan isi.
“Aku tanya. Apa…”
Bawah bibir diketap
sekali.
“Apa yang kau…”
Cengkaman tangan juga
diketatkan.
“Yang kau…”
Suaraku tersekat lagi. Lidah
benar-benar tidak rela menitipkan apa yang bermain dalam fikiran.
“Kalau Ara fikir abang
ada buat apa-apa pada Ara semalam…” Lelaki asing menyampuk dan berhenti di
sekerat jalan. Dia masih seperti tadi. Menatapku dengan renungan seribu satu
erti. Renungan yang aku tidak peduli maksudnya!
Yang penting pada aku
sekarang cuma hal itu. Apa yang sudah berlaku antara aku dan dia semalam. Itu
sahaja!
“Jawapannya tidak.”
Nafasku terlepas sendiri.
Setitis tangisan menitik di hujung mata. Bersalut lega walaupun aku sendiri
tidak tahu kebenarannya. Tetapi sekurang-kurangnya, lelaki ini menidakkan.
Lagipun, bukankah aku lengkap berpakaian sekarang?
“Not
last night.”
Aku tersentap. Sambungan
katanya menyentak seluruh urat sendi dalam tubuh. Bibirku terketar-ketar
menyoal.
“What
is that supposed to mean?”
Riak wajahnya berubah.
Seakan baru tersedar diri melontar bicara yang tidak sepatutnya. Bibirnya juga
menggeletar cuba memberi jawapan.
“Ara…maksud abang…”
“Aku tanya, what is that supposed to mean?!” Tidak
sempat dia menghabis kata, aku menengking lagi. Kecil besar kecil besar sahaja
lelaki asing ini, di hadapan mataku sekarang. Dada yang baru beberapa saat
berasa lega, kembali dihempap beratnya emosi.
Dia menggali nafas
dalam-dalam. Bawah bibir diketap sekali, sebelum dia datang menghampiri. Jauh
dari jendela, kembali dekat kepada katil. Aku mengambil tindakan spontan. Bingkas
melompat turun, dan menolak tubuh ke dinding. Macamlah dengan cara itu, dinding
akan terbuka dan menelanku lenyap daripada lelaki ini.
Langkah kakinya terhenti
di sekerat jalan. Wajah tampak berubah. Tampak kelat.
“Kita suami isteri,
Inara.”
Perlahan sekali suaranya.
Sipi-sipi menyentuh telingaku.
“Kita buat apa yang…”
Dia menghenti bicara dan
merenungku lebih dalam. Pandanganku semakin tebal berbalam. Aku bukan bodoh
untuk meneka apa yang bakal dia sambung dengan bibir merah itu.
“Biasa suami isteri
buat.”
Serentak itu, tubuhku
terlurut jatuh ke lantai. Air mata perlahan turun ke pipi. Pandangan pula
ditala jauh ke hadapan. Otak tiba-tiba terasa kosong. Sangat-sangat kosong!
“Ara…”
Suara yang sama itu
sayup-sayup memanggil.
“Inara.”
Seruannya kedengaran
lebih kuat. Lambat-lambat, aku mengalih perhatian. Kepada dia yang entah sejak
bila berada dekat. Melutut betul-betul di sebelah.
“Kau bohong,” gumamku
antara dengar tak dengar.
Dia menggeleng perlahan.
“Tidak. Abang tak
bohong.”
Tawaku terlepas halus.
Untuk apa, aku tidak tahu. Menyinis apa yang sedang berlaku sekarang, atau
mungkin juga mengharapkan semua ini sekadar lawak tidak kelakar.
“Jadi, kau nak cakap yang
aku betul-betul dah kahwin dengan kau? Dan aku…”
Bicaraku tersekat celah
kerongkong.
“Aku…”
Nafas ditarik dan
dihembus.
“Aku dah pun tidur dengan
kau?”
Nah! Aku sudah lempar
kata-kata nista itu.
“Kita suami isteri…”
“Cukup!” Aku mengherdik. Renungan
semakin tajam menikam. Hidung kembang kempis menahan perasaan. Dengan rahang
yang terketap-ketap, aku kemudiannya menyambung.
“Jangan sebut perkataan
tu lagi. Kau ingat aku bodoh? Aku tolol? Hei, aku tak pernah kahwin dengan kaulah!
Aku tak kenal kau! Aku dah ada tunang! Tunang aku orang lain! Dia bukan kau!”
Semakin lama, suaraku
semakin meninggi. Dada semakin berombak. Turun naik dengan ganas. Cuba menyedut
udara yang tiba-tiba terasa pendek. Kepalaku juga kembali berdenyut. Sakit!
Aku mengerut dahi, cuba
bertahan,
“Ara…”
Tangannya terangkat cuba
menyentuh bahu. Lebih pantas, aku tepis. Bahunya pula yang aku tarik bagi
dekat. Dicengkam kuat.
Dia tampak tergamam. Aku
tidak peduli.
“Tell
me.”
Kali ini, suaraku jadi rendah. Jadi lirih.
Dia diam menanti. Masih
dengan pandangan awal tadi. Bersama maksud tersirat yang tidak ingin aku
mengerti.
“Siapa sebenarnya kau? Apa
yang kau dah buat pada aku?” Aku menanya soalan yang sudah aku dapat
jawapannya, dan aku tidak percaya jawapannya.
Dia tetap membungkam. Suasana
sekeliling sunyi seolah-olah dunia sudah berhenti berputar. Kami saling
berpandangan. Saling bersabung tenung. Dia dengan tatapan tenangnya. Aku dengan
rasa terdesak.
Tolonglah! Aku tak
percaya semua ini. Aku tak percaya apa yang dia katakan. Aku tidak kahwin
dengan sesiapa. Aku tidak pernah serahkan tubuh kepada sesiapa pun. Tidak
pernah!
Seketika berlalu, dia
menolak cengkaman di bahu. Tanganku longlai ke sisi. Sama longlai dengan
segenap tubuh yang tiba-tiba berasa lemah. Dia membawa dirinya lebih rapat.
Masih melutut atas lantai. Kepalanya didekatkan kepada kepalaku.
Tidak sedikit pun aku
berganjak. Bahkan, aku masih merenung tepat ke wajahnya. Seperti sudah dipukau.
Dahinya menyentuh dahiku.
“10 Februari 2018.”
Dia berbisik. Aku
terkulat-kulat macam orang tolol.
“Ara sah jadi isteri
abang. Wanita yang abang akan jaga.”
Kepalaku rasa diusap.
“Untuk selama-lamanya.”
Usai mengatakan itu, dia
mengatup mata. Aku sekadar terpaku. Keras melihat wajah lelaki yang dekat benar
dan menerima desah nafasnya yang membelai muka. Telingaku mungkin sudah jadi
setolol aku, kerana aku seperti dapat mendengar betapa beratnya desah nafas
itu. Seolah-olah segala beban di dunia ini terselit di situ.
“Jadi tolong…”
Dia membuka semula
kelopak mata.
“Percayakan abang.”
Aku masih terkaku diam. Terpasung
dalam kolam matanya. Entah apa yang aku cari di situ, aku sudah tidak tahu.
Jawapan? Kebenaran? Kejujuran? Atau pembohongan?
“Inara…”
Tidak semena-mena, satu
suara lain menyinggah hujung telinga. Aku tersentak kuat. Muzaffar!
Terus, aku menujah dada
lelaki itu jauh-jauh. Mungkin tidak menduga tindakan tersebut, dia terjelepuk
atas lantai. Aku bingkas bangkit.
“Aku tak percayakan kau,”
desisku seraya menggeleng kepala. Kaki diundur setapak ke belakang.
“Ara…” Dia mula
mengangkat tubuh.
“Aku tak percayakan kau!”
Belum sempat dia berdiri, aku sudah pun meluru ke pintu. Tombolnya dipusing.
Daun pintunya ditolak luas. Kaki kananku melangkah keluar. Kaki kiriku…
Tersekat di dalam.
Aku menoleh ke belakang. Wajah
lelaki itu terpampang depan mata. Sedang mencengkam sebelah lenganku.
“Lepaskan aku.”
“Ara…”
“Lepaskan akulah!!!”
Kuat, aku merentap tangan. Pegangannya terlepas. Aku tidak menunggu lama. Pantas
mengangkat kaki. Namun…
Pinggangku tiba-tiba rasa
ditarik. Tubuhku tersembam dalam pelukan dari belakang. Aku tergamam. Sesaat
cuma.
“Lepaslah!” Sekali lagi,
aku meronta.
“Aku nak pergi dari sini.
Aku nak pergi!!!” Semakin kuat aku meronta, semakin kuat jeritanku. Semakin
kuat juga dia memeluk. Bahkan, dia mula mengheret aku masuk ke bilik semula.
Kedua-dua kakiku cuba ditahan atas lantai.
Semestinya, gagal.
“Lepaslah! Lepaskan
aku!!!”
“Please,
Ara. Don’t do this…”
Suaranya berbunyi dekat
telinga. Penuh rayuan. Peduli apa aku?! Sambil meronta dan meraung, anak mataku
berlingas ke kiri kanan. Tangan juga tergawang-gawang cuba mencapai apa-apa
sahaja.
Satu saat, tanganku
menyentuh sesuatu. Tidak memikir apa-apa lagi, terus aku mencapainya,
membawanya melepasi kepala dan…
Prang!!!
Satu bunyi kedengaran
kuat. Disusuli dengan…
“Aduh!”
Tubuhku serta-merta
bolos. Aku terkaku sejenak, sebelum sedikit-sedikit berpaling ke belakang.
Dia berdiri tidak jauh.
Memegang kepala. Dari celah-celah jarinya, aku dapat melihat cecair merah yang
menitik setitis demi setitis.
Aku kaku.
“Da…darah…” Bibirku
berbisik sendiri.
Dia mengangkat kepala.
Wajah separuh berlinang dengan cecair merah itu. Anak matanya membulat sesaat,
sebelum dia bergerak ke depan. Automatik, kakiku bergerak ke belakang.
“Da…darah…” Bibirku masih
dengan bisikan yang sama.
“I’m
okay, Ara. Sikit saja ni…”
Aku sudah tidak peduli
dengan kata-katanya. Tangan kananku diangkat lambat-lambat, hingga akhirnya
berada depan mata. Kemas menggenggam pasu kaca yang separa hancur. Aku pandang
kosong. Sebelah tangan lain tiba-tiba muncul. Merampas pasu kaca itu,
membalingnya dan kemudian, menggenggam jari-jemariku.
Aku masih kaku. Masih
dengan pandangan kosong. Melihat kepada tangan sendiri yang sebelum ini
memegang kaca, dan kini berada dalam genggaman jantan.
“Ara, abang tak apa-apa. Jangan
jadi macam ni. Please…”
Suara itu sangat jauh
kedengaran. Sayup seakan-akan datang dari penghujung sebuah terowong.
“Ara…”
Masih sayup.
“Ara…”
Kali ini, aku menaikkan anak
mata. Tepat kepada dia dan wajah separa berdarahnya. Serentak itu juga, satu
bayangan lain melintas dalam fikiran.
Samar-samar dalam
kegelapan. Ada sesusuk tubuh. Terbaring atas lantai. Aku tidak nampak rupanya.
Tetapi yang pasti, dia…
Berdarah.
Keluar dari badan dan
mengalir atas lantai. Banyak dan merah.
Zup!
Kepalaku rasa dirodok
sesuatu. Pedihnya menusuk menembusi tengkorak dan masuk ke otak.
Aku mencengkam kepala.
Dahi berkerunyut cuba bertahan. Ya Allah, sakit. Sangat sakit!
“Ara…Oh,
god…”
Pegangan di tanganku
terlepas. Pipi pula yang jadi mangsa. Terasa dikapit kedua-dua belah.
“Hei, look at me. Fokus…”
Mataku terpisat-pisat
memandang. Nampak tak nampak. Kepada dia yang tidak kukenali. Kepada dia yang sedang
memegang kedua-dua belah pipiku. Kepada dia yang sesuka hati mengaku suami.
Kepada dia yang mengaku sudah menyentuhku.
“I’m your husband.”
“Kita buat apa yang suami
isteri buat.”
Pengakuannya mula terngiang
di telinga.
“Inara…”
Tidak cukup dengan itu,
suara Muzaffar pula datang menyelit. Bergilir-gilir dan berulang kali. Serupa
pita rosak. Bingit!
“Erghhh…” Aku mencengkam
kepala lebih kuat. Urat darah atas dahi terasa terik. Otak seperti menanti saat
untuk meletup.
“Ara…”
“Erghhh!!!”
Kali ini aku menepis
jari-jemari di muka, dan membiarkan diri terduduk atas lantai. Melutut dengan
tangan yang masih memegang kepala. Segala bayangan berdarah dan dua suara itu, saling
berselirat terbayang dan berdengung.
Tidak habis-habis dan
sangat menyakitkan!
Tubuhku senget sendiri ke
sebelah, hampir tumbang menyembam lantai. Tidak pula menghempap. Dalam
samar-sama mata, aku melihat dia yang sudah pun menyambut tubuhku. Aku mengalih
cengkaman ke lengannya. Kuat, cuba menahan otak yang terasa hampir bersepai.
“Sa…” Bibirku
terketar-ketar cuba bersuara.
“Sakit…”
Dia menarikku ke dalam
rangkulan. Wajahku tersembam di dada. Mengerekot dalam pelukan itu.
“I’m
sorry, sayang... I’m so
sorry…”
Telingaku seperti
mendengar sesuatu. Tetapi, jauh sekali bunyinya. Cengkaman di lengannya
terlepas perlahan. Tanganku longlai ke bawah bersama mata yang terkatup sedikit
demi sedikit, hingga akhirnya aku cuma nampak…
Kegelapan.
~ Bersambung... ~
Haaaa, kali ini korang puas hatilah, kan? Panjang bebenor entry Bab 2 ni. Siap dengan macam-macam adegan. Daripada seksi (ehem, Gibran pakai baju atas katil, berdiri depan cahaya jendela...pardon me, nak fangirling kejap...he's HAWT!!), kepada konflik (ohmai! why, Gibran? Why mengaku buat apa yang suami isteri buat tu? Tak ke terkejut Inara?), kepada suspens (big question, apakah maksud darah dan siapakah yang Inara nampak dalam bayangan berdarah itu? Jeng...jeng...jeng...)
Do like and comment. Yang belum follow Cik SA di instagram (@ciksara_aisha), please do so. Cik SA banyak update pasal Memori Inara di situ. Thank you and stay tuned for more of MI!!! =)
And for the first time...kak SA buat terlbih sweetttt...suka sngt...nmpa perbezaan kali ni...sayang kak SA
ReplyDeleteAmboi, suka nampak? Haha! Tapi kali ni, mmg kak sara buat terlebih sweet. Kelainan gitu. Cewahhhh!!! :)
DeleteHihi best giler wei. Tak sabar nak peluk novel
ReplyDeleteAlhamdulillah. Thank you soooo much!! :)
DeleteInara ni ilang ingatan jap eh..? Aduhaii. And i feel you SA. Gibran. He's hawt...! Uhuuu😝
ReplyDeleteJawapannya dlm bab seterusnya. Jeng3. Kannn? He’s hawt!!! Haha
Deletekak sara..cepatla x sabr nk tggu entry baru n beli novel dia trus
ReplyDeletethank you!!! =)
Delete