March 15, 2019

MEMORI INARA - BAB 15


BAB 15

“TENGOK, apa dah jadi?!”
Aku menjauhkan telefon dari cuping telinga. Kuatnya suara ibu menggegar gegendang. Aduh, ibu ni. Tak boleh ke kawal suara tu sikit?
Sempat aku mengomen dalam hati, sebelum kembali melekapkan muka telefon ke telinga.
“Sebab itulah ibu tak nak bagi Ara hantar ibu, semalam. Inilah yang ibu takutkan. Ara tahu tak? Macam nak tercabut jantung ibu bila Gib bagitahu apa dah jadi.”
Terbit rasa bersalah dalam hatiku. Tambah-tambah, bila getaran suara ibu jelas benar lirihnya. Juga, bersalut kerisauan yang bukan sedikit.
“Ara minta maaf, bu. Tapi ini benda kecil aje,” jawabku bersahaja. Niat di hati mahu menenangkan ibu. Lain pula jadinya, bila ibu menaikkan suara.
“Kecil apanya?!”
Mataku terpejam sesaat. Sekali lagi, gegendang telingaku rasa dirodok.
“Kalau Gib tak jumpa Ara semalam, entah apa dah jadi pada Ara.” Intonasi ibu kembali kendur. Kembali sedih.
Aku telan rasa bersalah yang menjelma lagi.
“Ara okey, bu. Ara betul-betul okey.” Selembut mungkin, aku menitip kata.
Ibu diam. Hanya bunyi desah nafasnya yang kedengaran halus di hujung talian. Aku menanti, juga dalam senyap. Sengaja mahu beri masa untuk ibu lebih bertenang. Aku kenal ibu. Sangat-sangat kenal. Ibu jenis yang cepat geram, cepat juga sejuknya. Rajuknya juga tidak pernah lama.
“Betul ni?”
Hujung bibirku mengulum senyum. Benar telahanku. Ibu sudah ‘sejuk’ semula. Sudah tenang semula.
“Ya.” Aku menegaskan.
“Nak ibu balik cepat? Ibu boleh minta Uncle Rudy uruskan hal kat sini.”
Cepat-cepat, aku geleng kepala.
“Tak, tak perlu. Ibu boleh ambil sebanyak mana pun masa kat sana. Selesaikan apa yang patut. Lagipun, ibu mesti rindukan Uncle, kan?” Sempat aku mengusik di hujung bicara. Wajah lelaki separa umur yang aku jumpa sebulan lepas, terbayang dalam benak. Aku senyum kelat, sesaat kemudian. Sebulan apanya? Sudah jadi empat tahun sebulan. Entah apa khabar Uncle Rudy? Sihatkah dia? Gembirakah dia? Dan lagi satu, masihkah dia mengharapkan hati ibu?
“Kenapa pula ibu nak rindukan dia?”
Soalan ibu menyentakku. Lamunan tentang Uncle Rudy, dibiar pergi.
“Ibu, even lepas empat tahun ni, ibu memang tak bagi peluang pada Uncle ke?” Lagi, aku menyakat.
“Ya Allah! Ke situ pulak budak ni.”
Aku ketawa. Dapat dibayangkan muka ibu yang memerah geram. Itulah reaksinya setiap kali aku bercanda soal ibu dan rakan perniagaannya. Uncle Rudy, laki-laki berdarah Indonesia yang seingat aku, sentiasa ada dengan kami berdua. Aku kehilangan ayah sejak kecil, jadi Uncle Rudy itulah yang memegang figura bapa dalam seluruh kehidupanku. Bahkan aku sering kali mengharapkan agar ibu dapat menerima lelaki tersebut. Namun setiap kali itu, ibu berkata bahawa soul mate ibu ialah arwah ayah. Satu-satunya cinta hati ibu ialah arwah ayah. Yang tidak akan pernah ditukar ganti.
Sangat dalam cinta ibu kepada ayah. Dan sungguh! Aku merasakan yang sama terhadap Muzaffar. Sekurang-kurangnya itu yang aku fikir selama ini. Ternyata, takdir menulis yang lain buatku. Dalam hidupku, tiba-tiba muncul seorang Gibran Lutfi. Anehnya, aku menerima dia, walaupun aku tidak ingat bagaimana.
Terfikirkan dia, aku bersuara semula.
“Seriously, ibu jangan risau. Ara okey. Gibran jaga elok. In fact, dia ambil cuti tiga hari. Katanya, nak temankan Ara.”
“Baguslah dia buat macam tu. Memang dari awal lagi, ibu minta dia cuti. Untuk jaga Ara lepas Ara sedar. Tapi itulah…kerja dia, bukannya boleh cuti sesuka hati. Buat research ni, kena ikut timing yang dah ditetapkan. Tak boleh main berhenti sambung, berhenti sambung. Kadang-kadang tu, malam-malam buta pun kena masuk lab…”
Panjang lebar ibu menjawab. Semakin aku dengar, semakin aku berasa ralat.
“Banyak ibu tahu pasal kerja dia…” Jauh nada suaraku.
“Bolehlah. Ara dan dia kan dah kenal dua tahun. Sebelum kau orang kahwin lagi, ibu dah tahu.”
Rasa ralat dalam hatiku, semakin meninggi. Ibu benar-benar kenal suamiku. Tetapi aku sebagai isterinya? Apa yang aku tahu tentang Gibran? Tidak ada apa-apa.
“Okeylah. Ibu kena pergi dulu. Mesyuarat dah nak mula.”
Soal Gibran serta-merta lenyap. Aku kembali memberi perhatian kepada ibu.
“Please, sayang…take care of yourself.”
Aku senyum kecil. Rasa terharu mendengar pesanan penuh perasaan itu. Tetapi di celahnya, terpalit juga rasa bersalah. Aku…anak perempuan yang sudah besar panjang, yang sudah dewasa…kenapa masih membuat hati seorang ibu gundah gulana?
“Ara…”
“Ya, bu. Ara akan jaga diri elok-elok. Ibu jangan bimbang.” Lekas, aku menjawab dengan suara yang dibuat-buat ceria.
Gelak halus ibu melekat di peluput telinga. Usai berbalas salam, talian putus. Aku menjauhkan telefon dari telinga. Tidak pula diletak semula atas meja. Sebaliknya dipegang, bersama kepala yang tegak ke hadapan. Pandanganku menembusi jendela yang separa terbuka, dan melayang hingga ke kehijauan teh di luar sana. Seperti biasa, tampak cantik. Tetapi mataku…cuma kosong melihat.
“So, apa ibu cakap?”
Aku tersentak. Kepala automatik berpaling kepada Gibran yang berdiri di satu penjuru ruang tamu. Bila masa dia tercegat di situ, tidak pula aku perasan.
“Kena bebel,” jawabku seraya berjalan menghampirinya. Sampai dekat, aku menghulur telefon bimbit kepunyaan lelaki itu. Pantas disambut dan disumbat celah kocek seluar.
“Padan muka.”
Aku menjegil mata.
“Gibran!”
Dia ketawa.
“Nah,” ucapnya usai mematikan gelak. Sebelah tangan terhulur kepadaku. Sedang memegang sebuah kotak.
“Apa ni?” tanyaku. Tidak terus menyambut.
“Telefon untuk Ara.”
Sekali lagi, anak mataku membulat. Tangan yang tadi kaku, laju diangkat mengambil kotak tersebut. Tidak sampai satu minit, aku sudah pun membelek-belek sebuah telefon bimbit. Keluaran yang tidak pernah aku nampak dalam tahun 2014.
“Bila masa awak beli?” Masih dengan kepala tunduk, aku menyoal.
“Abang tak beli.”
Dahiku berkerut. Kepala terngadah semula.
“Itu…Gina punya.”
Wajahku berubah.
“Don’t. Jangan tunjuk muka macam tu,” tutur Gibran sambil menapak ke sofa.
“Abang tak suka bila Ara tunjuk muka kasihan macam tu.”
Aku datang dekat dan turut melabuhkan punggung di sofa yang sama. Sebelah Gibran.
“You don’t have to do this. Ini telefon Gina. Awak patut…” Baru aku ingin menghulurnya semula, Gibran lebih dahulu memegang tanganku. Menghalang.
“Abang tak sempat beli telefon baru untuk Ara. Gunalah yang ni dulu. Gina…she would love you to have it. Abang simpan elok selama ni. Abang dah periksa. Masih boleh diguna.” Panjang lebar, Gibran memberi penerangan. Masih dengan gaya tenang dan bersahaja. Tetapi aku bukan buta. Aku boleh nampak.
Sepasang mata hitam yang berair di birainya.
“Gibran…”
“Hmmm…”
“Do you want to talk?” Terasa sangat lembut suara yang keluar dari bibirku. Renunganku juga seperti terlebih lunak. Tanpa dapat aku kawal.
“Pasal Gina. Pasal keluarga awak.”
Gibran menatapku diam. Masih dengan wajah berteman mata sedih. Seketika berlalu, dia menelan liur dan menghela nafas. Senyuman segaris juga diukir buatku. Lidah pula…
“Not. Now.” Menjawab begitu.
“Tapi…”
“Buat masa ni, Ara yang paling penting buat abang. Abang tak nak perkara semalam berulang lagi. Kalau awal-awal lagi abang bagi telefon pada Ara, Ara tak perlu lalui semua tu. Tak perlu tunggu lama-lama kat situ. Ketakutan seorang-seorang dalam hutan tu.”
Aku senyap mendengar. Tanpa langsung melarikan mata daripada terus menatap wajah Gibran.
Wajah keruh Gibran. Wajah penuh emosi Gibran. Wajah penuh cinta Gibran.
Suatu sudut jantungku tiba-tiba rasa perit. Kenapa begini sekali cintanya kepadaku? Dan kenapa…aku boleh lupakan dia?
“Ara?”
Aku cepat-cepat menelan perit dalam hati, dan menayang senyum. Sangat terasa palsunya.
“Tak payahlah cakap pasal semalam lagi. Benda dah nak jadi. Kita bukan boleh buat apa pun.”
Mata Gibran terkelip lembut.
“Terima kasih.” Dia bersuara.
Aku mengerutkan dahi.
“Untuk?”
“Cuba buat abang rasa lebih elok.”
Aku menarik tangan dari genggamannya dan menjawab selamba. “Saya dah cukup banyak menangis macam orang gila semalam. So tak nak lagi jadi emo, dan tak nak tengok orang lain pula jadi emo.”
Gibran tergelak. Kekeruhan di mukanya berkurang dan hilang terus.
“Okeylah, Ara tengoklah telefon tu. Cuma satu yang abang minta.”
“Apa dia?”
“Jangan delete apa-apa dalam tu. Those are Gina’s memories.”
Gina’s memories.
Dua patah kata itu terngiang di telinga. Aku mungkin tidak patut berasa begini. Namun, aku cemburu. Aku harus mengaku itu. Gina…dia sudah tidak ada di dunia ini. Tetapi memorinya masih ada. Aku pula? Masih ada di sini. Masih bernafas. Tetapi memoriku? Hilang entah ke mana.
Ah, jahat sekali aku! Cemburu pada orang yang sudah tiada.
“Anyway, abang dah set semula speed dial. Nombor satu, nombor abang. Nombor dua, nombor ibu.”
“Eh, selamba dia letak diri jadi nombor satu, ibu jatuh nombor dua.” Aku memerli. Sengaja mengusik. Juga, mahu menghambat rasa cemburu tadi. Pergi jauh-jauh! Jangan kembali lagi.
Gibran merapatkan muka ke hadapanku. Tepat, dia merenung. Aku terkebil-kebil membalas.
“Memang itu pun yang abang nak.” Gibran berbisik, seketika kemudian.
“Untuk jadi nombor satu. Dalam telefon Ara, dalam hidup Ara, dan semestinya…”
Jari telunjuk Gibran naik menyentuh dadaku.
“Dalam hati Ara.”
Aku membatu. Sekadar membiarkan mata bersabung mata. Gibran tiba-tiba melepas gelak dan menjauhkan semula kepala.
“Ara tetap pandang abang kosong,” komennya masih bersulam gelak. Namun telingaku tidak tuli untuk menangkap pilu di situ.
“Abang ada hal sikit dalam bilik kerja. Panggil abang kalau ada apa-apa.”
Aku masih mematung. Hanya mata yang membiarkan belakang Gibran pergi jauh, dan akhirnya lenyap belakang pintu. Sebaik dia hilang…
Nafasku terhela panjang. Bahuku longlai ke bawah. Sebelah tangan pula naik ke dada, ditekap rapat. Ada sesuatu dalam jantungku. Aku dapat rasa. Ya, memang benar. Rasa ini sangat lain daripada apa yang selama ini aku rasa terhadap Muzaffar. Tetapi entah kenapa, rasa ini seperti lebih dalam, lebih menyesakkan dan lebih memeritkan.
“Her heart remembers me. I know."
Kata-kata Gibran tempoh hari, berdengung celah telinga. Aku menelan liur. Tiba-tiba rasa seriau. Mungkinkah apa yang Gibran katakan itu, benar belaka?
*****
TELEFON dalam tangan, dipegang tanpa lepas. Pandanganku kosong ke hadapan, melekat kepada dinding setentang katil. Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, aku biar menerawang dalam fikiran. Dari awal aku buka mata, hingga sebentar tadi. Tidak sampai dua minggu, tetapi aku rasa seperti tempoh tersebut sangat panjang. Dengan bermacam-macam yang jadi. Dengan air mataku yang tumpah hampir segelen. Dengan perangaiku yang asyik bertukar-tukar. Dengan perasaanku yang aku sendiri tidak pasti. Dengan pengetahuan tentang keluarga Gibran. Dengan mimpi-mimpi aneh. Dan semestinya dengan….
Perempuan berbaju merah.
Bila diingatkan semula, aku tidak fikir apa yang aku nampak dalam hutan adalah benar. Mungkin halusinasi sahaja. Mungkin juga kesan otakku yang hilang ingatan ini. Tetapi saat itu, dia benar-benar nampak ‘hidup’. Suaranya seperti betul-betul terdengar di telingaku. Wajahnya seperti betul-betul ada depan cermin itu.
Bulu romaku menegak. Rasa takut menyerbu, buat kesekian kalinya. Sungguh! Siapa perempuan itu? Apa yang dia nak daripada aku? Kenapa dia muncul dalam mimpiku dan menghantui aku sebegitu rupa? Dan lagi satu…
“Aku nak kau mati.”
Kenapa dia nak aku mati? Apa yang aku dah buat kepadanya? Aku tidak fikir aku ada buat sesuatu yang layak untuk diapa-apakan, apatah lagi dibunuh! Hidupku selama ini cuma biasa-biasa. Kalau ada yang luar biasa pun, kerana aku berada bawah spotlight. Walau bukan sebagai pelakon atau artis sekali pun, orang mengenali aku sebagai Inara, seorang usahawan muda dan lifestyle blogger dengan ratusan ribu pengikut di blog dan Instagram. Aku cuma berkongsi tentang kerja aku di The Cotton Paradise, OOTD aku, percutian aku, tips-tips kecantikan, hubungan aku dengan Muzaffar…semua itu sepatutnya tidak berbahaya, bukan?
Semakin aku memikirkan semua itu, semakin otakku rasa biul. Kepalaku juga mula berdenyut. Lekas-lekas, aku memicit dahi. Tidak juga berkurang. Lantas, aku meletak telefon atas meja tepi dan membuka lacinya. Sebotol ubat, dikeluarkan. Tanpa melihatnya lebih lanjut, aku membuka penutup, menuang dua biji dan menyumbatnya dalam mulut. Disudahi dengan meneguk air dari botol mineral yang tersedia atas meja tepi katil.
Seketika berlalu, denyutan di kepala mula reda. Aku mengambil semula botol ubat, mahu menyimpan. Namun sebelum diletak dalam laci, aku membawanya depan mata. Label dengan nama ubat yang tidak aku faham, ditatap dalam-dalam.
“Setiap kali lepas makan, Ara kena makan ubat yang abang sediakan. Tapi kalau tiba-tiba rasa sakit kepala, Ara ambil yang dalam botol ni. Dua biji sahaja. Jangan kurang. Jangan lebih.”
Itulah pesanan Gibran masa hari kedua aku sedar. Setakat ini, adalah dua tiga kali aku mengambilnya. Rasanya tidak teruk mana, dan kesannya boleh tahan menjadi.
Aku memusing-musing botol tersebut. Entah kenapa, aku pun tidak tahu. Macamlah aku yang bukan orang sains ini, boleh tiba-tiba faham apa yang tertulis di labelnya.
Terlepas gelak halus dari bibirku. Menyindir apa yang diri sendiri buat. Sesudah itu, aku kembali menyimpan botol tersebut dalam laci. Saat mengangkat mata, pandanganku tertancap pada telefon bimbit yang terletak di atas meja.
“Itu…Gina punya.”
Mataku terpejam sesaat. Ada rasa berat dalam jiwa. Lalu, aku mengambilnya. Cahaya di skrin terbuka, menampakkan wallpaper di permukaan. Sekali lagi, jantungku rasa tertusuk. Gina dan aku ada di situ. Sama-sama berdakapan. Sama-sama senyum.
“Adik kesayangan abang. Dia rapat dengan Ara, tau.”
Nampaknya benar kata Gibran. Kalau tidak, masakan Gina mengguna gambar kami berdua sebagai wallpaper telefonnya. Aku mula mengusap-ngusap skrin. Pada rupa Gina yang tersenyum itu.
“Maafkan akak, Gina. Akak tak ingat Gina…”
Ada luluh dalam desis suaraku. Penuh rasa bersalah. Dia gadis tulus yang jelas-jelas menyayangiku, tetapi aku? Hidupnya aku tidak ingat. Matinya juga aku tidak ingat. Kakak ipar jenis apa aku ini?!
Huh, suami sendiri pun aku tidak ingat. Inikan pula orang lain.
Usai menelan luluh dalam hati, aku membuka telefon tersebut. Sampai pada senarai apps, mataku melekat pada fail ‘Gallery’. Bawah bibir, kuketap kuat. Ibu jari bergerak-gerak mahu ke sana.
Gina’s memories.
Sekali lagi, mataku terkatup. Cuba menimbang tara dalam diam. Separuh diriku mahu melihat memori Gina itu, separuh lagi seperti tidak rela. Untuk apa aku melihat kalau aku tahu bahawa aku tidak ingat? Untuk apa aku melihat kalau akhirnya cuma akan menyakitkan? Untuk apa aku melihat kalau hakikatnya Gina sudah tiada?
Zup!
Jantungku sekali lagi rasa dirodok pedang. Sakit lagi memeritkan. Aku mencengkam dada kuat-kuat. Ya Allah! Bila Engkau putuskan untuk padam ingatanku dari otak, kenapa Engkau tak lenyapkan juga perasaan dalam hati? Kenapa rasa ini harus terus-terusan buat aku terperangkap? Kenapa?!
Jeda.
Senyap.
Hening.
Segala persoalanku hanya tinggal persoalan. Aku tarik senyum tipis, menyedari hakikat tersebut. Juga menyedari bahawa selagi mana Allah sebagai pemegang segala jawapan, tidak menampakkan jawapan itu, aku selamanya tidak akan tahu.
Dalam-dalam, aku menggali nafas dan menolak skrin telefon ke atas, melepasi fail Gallery. Buat masa ini, biarlah memori Gina tersimpan di situ. Aku belum cukup kuat untuk melihat.
Jariku melekat pula pada Google. Ditekan sekali biar keluar kotak carian. Aku mula menaip. Tunggu beberapa ketika, sebelum mendapat keputusan. Serta-merta, mataku buntang. Tidak puas hati, aku cari yang lain pula. Tetap tidak ada! Semua yang aku cari, tidak memberi apa-apa keputusan yang aku mahu.
Beberapa kali mencuba, aku akhirnya berhenti. Tanganku longlai ke ribaan, bersama telefon dengan skrin yang memaparkan…

404 Error
Page not found

Sedikit-sedikit, aku menggenggam telefon tersebut. Kemudian aku bangkit dari birai katil, menapak ke pintu bilik, menolaknya kuat-kuat dan berjalan keluar. Laju sudah separa berlari. Sebaik sampai di tempat yang dituju…
Bang! Bang! Bang!
Aku menghentak daun pintu dengan kepalan tangan.
“Gibran, buka pintu ni!”
Kosong. Tiada jawapan.
Aku menghentak lagi. Lebih kuat.
“Buka pintu ni, Gibran! We need to talk!!!”
Klik…
Pintu di hadapanku terbuka. Aku mengundur setapak ke belakang, menanti orang di dalam keluar. Sedikit demi sedikit, kelibat Gibran menampakkan rupa. Berwajah tenang, tanpa secebis riak. Sebelah tangannya masih memegang tombol pintu, sebelum dia menariknya dari belakang.
Klik…
Bunyi pintu terkunci, menyentuh hujung telingaku. Tidak sempat aku lihat apa yang ada dalam bilik tersebut. Memang aku tidak peduli pun! Yang lebih penting bagiku sekarang, lelaki ini! Lelaki yang sedang terpacak dengan muka setenang air di tasik. Tidak berkocak langsung. Tidak tergugat langsung dengan rupaku, yang aku tahu bagaikan singa mahu menerkam mangsanya.
“I guess Ara dah check.” Gibran membuka mulut. Sangatlah tenang. Aku rasa mahu robek-robek mulut tenang itu.
“Apa semua ni?” Tertahan-tahan suaraku.
“Macam yang Ara tengok.”
Hidungku berdengus.
“Sebab itulah, saya tanya! Apa semua ni? Kenapa blog dan IG saya dah tak ada? Kenapa semua maklumat pasal saya dah tak ada?” Terasa terik urat leherku saat menghambur soalan yang bertubi-tubi, tersekat antara rasa mahu mendesak dan cuba mengawal diri.
Gibran tetap dengan rupa yang sama. Bersahaja memandangku tanpa kelip.  
“Abang dah agak. Ara akan jadi macam ni.”
Aku mengerutkan dahi.
“Jadi macam ni?”
“Ya. Ara tak boleh terima. Ara akan terus tertanya-tanya. Ara nakkan jawapannya.”
Bibir Gibran menyenget tiba-tiba. Penuh sinis.
“Huh! How I wish internet tak wujud, so that Ara takkan tahu pasal ni. Kalau bukan sebab kejadian semalam…”
“Awak takkan bagi telefon pada saya, kan? Sebab dengan telefon ni, saya boleh dapat internet. Saya boleh cari maklumat,” sambungku dengan tekaan.
Gibran membungkam. Namun, diam itu sebagai pengesahannya. Dadaku rasa semakin menyirap. Mukaku terasa panas. Membahang luar dan dalam diri. Sudahnya…
“What the hell is wrong with you, Gibran Lutfi?” Aku menempelak dengan cukup garang.
“Kenapa awak beriya-iya sangat nak sembunyikan semuanya daripada saya? Apa yang sebenarnya dah berlaku?”
“Ara tak patut tahu.”
Aku gelak sinis.
“Tak ada jawapan lain ke yang awak boleh bagi? For God’s sake, Gibran! Saya hilang ingatan. Saya kena cari balik. Saya nak ingat balik. Saya tak nak hidup tak ingat apa-apa macam ni.”
Aku bergerak ke hadapan, dan mencengkam lengannya. Wajah dipanggung tinggi, bagi dia lihat.
“Look at me, Gibran. Ini rupa isteri yang tak ingat suami dia sendiri. Ini rupa kakak ipar yang tak ingat adik ipar dia yang dah tak ada. Ini rupa anak perempuan yang jadi kurang ajar sebab dia nakkan jawapan daripada ibu dia. Ini rupa perempuan yang dah tak kenal diri dia sendiri.”
Semakin aku melontar kata, semakin mataku bergenang. Dada juga berombak menerima sejuta emosi yang berderu-deru masuk. Tolonglah! Tolong, Gibran. Nampak rupa saya ini. Nampak rasa terdesak ini. Tolonglah!!!
Gibran menggerak anak mata, dan merenung tepat ke mukaku. Tetap tidak beriak. Melihat dia yang begitu, aku menyambung lagi. Dengan suara yang sengaja dilirihkan.
“Awak suami saya, Gibran. Awak sepatutnya tolong saya, bukan halang saya.”
“Sebab abang suami Ara lah, abang buat macam ni.”
Gibran kemudian menaikkan tangan dan membelai pipi kiriku.
“Whether you like it or not, Ayudia Inara…I would protect you. In my own way.” Sangat lembut, dia bertutur. Separa berbisik.
Aku mengherotkan mulut. Rengusan kasar turut keluar. Sangat geli anak telingaku mendengar pengakuan Gibran yang ala-ala hero mahu menyelamatkan heroinnya. Padahal hakikatnya…
Aku menepis tangan Gibran. Kaki juga diundur setapak ke belakang, bersama kepala yang tergeleng-geleng.
“No, you’re not protecting me. You’re hurting me.”
Dengan bait bicara itu, aku memusing badan dan meninggalkan dia di belakang. Sudah tidak mahu bertanya lagi. Sudah tidak larat! Sudah bosan! Kerana pada akhirnya, hanya kebisuan Gibran yang akan jadi jawapan.
Sebaik masuk semula ke dalam bilik, aku menyandarkan belakang pada muka pintu. Kepala terangkat sedikit. Di ekor mata, aku biarkan titis-titis jernih turun. Penuh dengan rasa kecewa atas tindakan Gibran. Dia mengatakan bahawa dia mahu melindungiku, tetapi butakah matanya untuk melihat betapa dia membuat aku terluka? Butakah matanya untuk nampak betapa terdesaknya aku untuk mengingati semuanya?
Aku mahu ingat dia. Aku mahu ingat Gina. Aku mahu ingat keluarga dia. Aku mahu ingat pertemuan kami. Aku mahu ingat perkahwinan antara aku dan dia. Aku mahu ingat cinta aku terhadap dia. Aku mahu ingat cinta dia terhadap aku. Aku mahu ingat apa yang dah berlaku dalam empat tahun ini. Aku mahu ingat semuanya!!! Tidak kiralah seteruk mana pun itu!
Terasa hampir pecah dadaku dengan segala ‘aku mahu ingat’. Lalu, aku membawa sebelah tangan ke dada dan menepuk-nepuknya.
“Tenang, Inara…tenang. Jangan menangis lagi. Jangan lemah lagi. Kau tak boleh buat apa dah. Gibran, dia…”
Aku mengetap bibir kuat-kuat, menahan mutiara jernih yang tetap degil mahu bolos.
“Dia dah buat keputusan dia. Kau buatlah apa pun. Kau cakaplah apa pun. Dia takkan beritahu kau apa-apa…”
Aku bercakap dengan diri sendiri. Benarlah! Selagi mana Allah sebagai pemegang segala jawapan, tidak menampakkan jawapan itu, aku selamanya tidak akan tahu. Selagi mana Allah tidak menggerakkan hati Gibran, selamanya dia tidak akan buka mulut. Saat itu, aku sedar. Aku tidak boleh mengharapkan Gibran, mahupun ibu untuk memperoleh jawapannya. Aku perlu bergantung pada diri sendiri.
Dalam-dalam, aku menarik dan menghembus nafas. Kedua-dua belah tanganku mengesat pipi kiri dan kanan. Tak apa, Gibran. Tak apa. Kalau kau tak mahu beri apa yang aku nak, aku akan dapatkannya sendiri. Aku ini, Ayudia Inara. Perempuan yang tidak pernah mengharapkan lelaki untuk apa-apa pun!
Aku menyambung langkah ke arah beg tangan yang terletak atas meja solek. Satu resit kecil, ditarik keluar. Telefon bimbit yang sedari tadi terpegang di tangan, aku bawa depan mata. Tidak sampai seminit kemudian, aku sudah pun siap mendail nombor dan melekapkan telefon ke telinga.
“Helo.”
“Riya, it’s me.” Tanpa membalas teguran orang di sebelah sana, aku membuka bicara.
“Ara?”
“Ya, aku…”
“Thank God, kau call aku! Aku memang berharap sangat-sangat, yang kau akan call.” Belum sempat aku memberitahu apa-apa, Priya lebih dahulu menyampuk kuat.
Aku mula rasa tidak sedap hati.
“Kenapa? Bunyi macam penting sangat.”
“Memang penting pun!”
Liurku tersekat celah kerongkong. Dada berdebar.
“Kau jangan buat aku seriau macam ni, Riya.”
“Ini pasal kemalangan kau.”
“Kemalangan aku?” Aku mengulang. Semakin kebingungan dengan perilaku Priya.
“Ya, kemalangan yang dah buat kau hilang ingatan.”
“Kenapa dengan kemalangan tu?”
“Kemalangan tu…tak pernah terjadi.”

~ Bersambung...~
NOTA CIK SA
And...that's it! Ini bab terakhir untuk MI, yang Cik SA share di wattpad. Sambungannya dalam full novel, yang bakal terbit.
Terima kasih kerana bersama Cik SA sepanjang bab 1 hingga bab 15 ni. There are so many likes and comments. I'm so touched and i really...really appreaciate them all. Korang memang terbaik! 😘😘
Jangan lupa dapatkan Memori Inara di PBAKL yang bakal berlangsung di PWTC, dari 29 Mac - 7 April 2019. Atau boleh juga pre-order dengan Cik SA sendiri melalui whatsapp: 
019-465 3581
For info, Memori Inara ialah novel keluaran Penerbitan Karyaseni untuk bulan JUN. KS print awal sempena PBAKL. Maksudnya, MI cuma akan masuk ke kedai pada bulan enam nanti.
Thanks again for your support! ❤️❤️

Love, SA

5 comments:

  1. Tak pernah tk in love dgn karya kak sara. 😘

    ReplyDelete
  2. Cik SA, suspen sgt ni smbungan dia... Ni yang rasa nak beli novel dia ni..

    Aduh lamanya bulan 6 😩

    ReplyDelete
  3. Cik SA, suspen sgt ni smbungan dia... Ni yang rasa nak beli novel dia ni..

    Aduh lamanya bulan 6 😩

    ReplyDelete
  4. oh nooo...apa nk jadi lagi ni Cik SA..sambung cepat pleasee..

    ReplyDelete