March 13, 2019

MEMORI INARA - BAB 14


BAB 14

SILING tinggi itu, aku pandang. Terkelip-kelip, kosong tanpa perasaan. Sama kosong dengan otakku sekarang. Tidak aku rasa apa-apa. Sepertinya apa yang tertinggal dalam diriku, sudah disedut keluar oleh perempuan berbaju merah.
Zup!
Bulu romaku tiba-tiba meremang. Hanya dengan mengingatinya sahaja, sudah cukup untuk menghadirkan semula rasa gerun. Lantas, aku mengepal selimut di belah kiri dan kanan. Cuba bertahan. Cuba menghambatnya jauh-jauh. Pergi! Pergilah ketakutan ini. Tolong pergi!
Namun, makin aku berusaha, makin aku dapat rasa tubuhku menggeletar. Ditambah pula, dengan bayangan demi bayangan dia yang melintas dalam fikiran. Berderu-deru, bermacam rupa, tanpa henti.
Nafasku mula rasa tersekat-sekat. Jantung rasa sukar mengepam udara. Setiap inci tubuh pula rasa kejur tidak mampu digerak.
Serupa manikin yang sedia untuk dimusnahkan.
“Ya Allah, Ara!”
Satu suara menerjah anak telinga. Aku menggerak bebola mata ke arah tuan empunya badan. Gibran bergegas meletak dulang atas meja kopi dan kemudian berlari ke arahku. Tidak sampai satu minit, dia sudah pun ada di sebelahku, duduk di birai katil, membantuku bangun dan bersandar di kepala katil. Aku merelakan sahaja, sambil cuba menarik nafas yang pendek. Desah nafasku kuat memenuhi ruang bilik.
“Breath, Ara…breath…” Telapak tangan Gibran mengusap-ngusap belakangku.
Aku mengikut. Dada turun naik menyedut udara. Seketika berlalu, aku mula bertenang. Nafasku semakin rata dan teratur. Sesudah itu, aku mendongak kepada Gibran. Hanya untuk menerima kedua-dua belah tangan Gibran yang sampai ke pipiku. Dikapit kemas, tetapi lembut.
“Are you okay?” Lembut juga, dia menyoal.
Aku senyum hambar. Kepala diangguk sekali.
“Okey sikit…”
Belum pun habis jawapanku, tubuhku terdorong ke hadapan. Ditarik ke dalam rangkulan jantan Gibran. Sangat ketat dia memeluk.
Aku terkesima.
“Don’t. Don’t do that. Ever again.” Bisikan Gibran berbunyi tepi telinga. Berat dan bergetar.
Aku masih kaku dalam pelukannya.
“You have no idea…”
Suara Gibran mati sekejap.
“Betapa terkejutnya abang bila lihat Ara tak ada kat rumah. And on top of that!”
Dia tiba-tiba meleraikan rangkulan dan menolak tubuhku ke belakang. Kami jadi berpandangan antara satu sama lain.
“Abang jumpa Ara dalam keadaan macam tu. Apa yang Ara fikir? Abang dah pesan banyak kali, kan? Jangan keluar rumah!!!”
Bahuku terhenjut menerima tengkingannya yang lantang. Selama mengenali dia, inilah kali pertamanya dia menaikkan suara sebegitu sekali. Aku termangu-mangu melihat, bersama kelopak mata yang mula bergetar. Bibir juga begitu.
Anak mata Gibran membesar sesaat. Dia kemudiannya meraup wajah, sebelum mengambil tanganku dan menggengamnya.
“Sorry, abang tak berniat untuk tengking Ara. Abang cuma risaukan Ara. Abang takut apa-apa jadi pada Ara. Cukuplah…”
Sejenak, dia mengemam bibir.
“Cukuplah apa yang jadi selama ini. Cukuplah abang beberapa kali hampir kehilangan Ara. Just…not again. Not anymore…”
Gibran menyudah bicara dengan menundukkan kepala ke bawah. Bahunya juga jatuh tanpa semangat. Ketenangan yang selalu dia tunjuk kepadaku selama ini, tiba-tiba sahaja lenyap tanpa bayang.
Aku lihat semuanya dengan seribu satu perasaan. Ada rasa terharu dengan keprihatian dia. Ada juga rasa sayu dengan keadaan Gibran sekarang.
Aku benar-benar seorang perempuan tolol, kalau aku tidak boleh nampak betapa dia menyayangi aku.
Lalu sedikit-sedikit, aku mengangkat tangan. Dekat dan semakin dekat, hingga akhirnya jari-jemariku sampai atas kepala Gibran. Rambutnya, aku elus selembut mungkin.
Dia menengadah muka. Aku mengukir senyuman. Untuk apa, aku juga tidak tahu. Yang pasti, aku berharap agar senyumanku ini mampu mententeramkan dia. Tidak banyak, sedikit pun jadilah!
“Saya minta maaf.” Tulus, aku memohon.
“Saya cuma tak larat berkurung dalam rumah ni. Saya ingat saya sempat sampai rumah, sebelum awak balik kerja. Saya tak sangka…”
Bicaraku terhenti di sekerat jalan. Tidak perlu disudahkan, kerana aku tahu Gibran mengerti.
“Kenapa Ara perlu berdegil macam ni? Kalau ibu tak beritahu tadi, abang tak tahu mana nak cari Ara. Ibu pun satu! Kenapa biarkan…” Luahan Gibran tenggelam saat aku mengalihkan tangan ke pipinya.
Dia tampak terpanar.
“Bukan salah ibu. Saya yang…macam awak cakap tadi, berdegil.”
Sesaat, mata Gibran terkatup. Nafas beratnya terhela keluar dari mulut. Sesudah itu, dia menarik tanganku dari pipinya. Tidak pula dilepaskan. Sebaliknya, dibawa ke atas ribaan dan semakin kejap dipegang. Seolah-olah, tidak mahu lagi aku hilang daripada genggamannya.
Aku biarkan sahaja. Kali ini, biarlah aku pegang watak seorang isteri baik yang mahu menenangkan jiwa galau sang suami. Lagipun, aku sendiri mahukan ketenangan daripada Gibran. Aku mahu dia beri aku rasa selamat. Serupa dalam hutan tadi.
Tidak semena-mena, aku teringatkan sesuatu.
“What happened? Macam mana saya boleh ada kat sini?”
“Ara pengsan lepas abang jumpa tadi. Jadi abang bawa balik ke rumah.”
Kepalaku terangguk, mengerti ceritanya. Patutlah aku tidak ingat apa-apa, selain adegan di kereta. Sedar-sedar sahaja, aku sudah terbaring atas katil.
“Kereta ibu?”
“Rosman akan uruskan.”
Dahiku berkerut mendengar nama yang pertama kali didengar.
“Rosman?”
“Salah seorang pekerja ladang ni. Abang minta dia tolong cari Ara tadi.”
“Oh.” Hanya itu yang terpantul dari mulutku. Bayangan lelaki di sebelah Gibran tadi, cuba diimbau kembali. Gagal. Aku tidak ingat rupanya. Tidak nampak pun.
Gibran membetulkan letak duduknya. Bagi lebih bertentangan denganku.
 “Now, tell me. Apa dah jadi? Macam mana Ara boleh stuck macam tu?”
Soalan Gibran membawa aku kembali ke saat itu. Juga, kepada perempuan berbaju merah berdarah-darah. Aku ketap bibir kuat-kuat. Cuba mengezip mulut daripada membuka bicara tentang perempuan itu. Aku tidak tahu sama ada apa yang aku nampak itu, benar atau tidak. Macam mana kalau Gibran fikir aku gila?
Tidak! Aku tidak gila!
“Ara…”
“Saya tak ingat jalan balik rumah,” balasku cepat. Jujur dalam rahsia. Ya, soal perempuan itu…biar aku tutup dahulu.
“Sebab itulah abang tak bagi…”
Aku angkat anak mata kepadanya. Mulut Gibran terkatup, serta-merta. Dia melepas nafas sebelum menyambung dengan bicara lain.
“Okey, benda dah jadi. Nak buat macam mana. But seriously, Ara. Nak masuk ke sini, jalannya bersimpang-siur. Dalam hutan pula tu. Orang biasa pun mudah lupa jalannya. Inikan pula…”
“Orang yang hilang ingatan macam saya,” sambungku senada. Gibran mendiam. Reaksi yang membuatkan aku yakin bahawa Gibran menyetujui kata-kataku.
Sekali lagi, aku tarik senyum kelat. Mahu mengatup parah dalam hati. Renungan mata Gibran berubah lebih lembut. Ada sendu di situ.
“Janji pada abang, sayang…” Dia tiba-tiba meminta. Perlahan, antara dengar tak dengar.
“Janji apa?”
“Jangan keluar tanpa abang. Kalau Ara nak ke mana-mana, bagitahu abang. I’ll take you there.”
Ayat terakhirnya membuat aku tertawa.
“Ingatkan tak nak bagi saya keluar dari sini?”
Gibran turut sama senyum.
“Ikutkan hati, memang tak nak. Tapi nak buat macam mana? Isteri abang ni…”
Dia mencubit hujung hidungku.
“Jenis degil. Kalau pun abang tak bagi, Ara tetap akan keluar, kan? Pantang ada peluang, Ara akan buat macam tu, kan?”
Aku menjongket bahu.
“You do know me.”
“I know you more than you know yourself.”
Wajahku terasa berderau.
“Yeah, right. Betul sangat.” Aku menyetujui sambil mengulum senyum. Masih tawar. Masih kelat.
Riak muka Gibran berubah.
“Ara, abang tak bermaksud…”
“Itu apa? Awak masak untuk saya ke?” Aku mengubah topik perbualan. Kepala dipusing ke kanan, berserta mulut yang memuncung ke arah meja kopi.
Gibran mengalih pandang ke tempat sama.
“Oh, lupa pula. Dah lewat malam, Ara perlu makan something.”
Dia bangkit. Sepantas itu juga, tanganku naik sendiri. Jari-jemariku mencengkam hujung bajunya. Kemas.
Pergerakan Gibran terpasung terus.
“Ara?”
Lambat-lambat, aku mendongak.
“Don’t. Go.”
Kening Gibran bertaut.
“Lar, kenapa pula? Abang nak pergi situ aje. Bukan jauh pun.”
Bibirku mula terketar-ketar.
“Tolong…jangan…jangan pergi…”
Gibran menyengap. Matanya tepat memanah ke dalam mataku. Kami saling bertatapan dalam keheningan malam. Entah berapa lama, aku tidak tahu. Yang pasti, mukaku rasa semakin berkerunyut. Pegangan di hujung bajunya juga semakin kuat.
Satu saat, Gibran menarik tanganku dari situ. Terus terlepas. Aku tergamam. Dada tiba-tiba rasa pedih. Namun, mataku masih melihat kepada dia yang sedikit-sedikit menunduk muka dan akhirnya…
Mataku yang tadi melihat, tertutup sendiri. Menerima syahdunya satu kucupan atas ubun-ubunku. Lama, bibir Gibran bertamu di situ.
Ketenangan yang aku cari tadi, menyusup masuk. Rasa selamat yang aku harapkan, menyelinap ke hati.
Perlahan-lahan, hujung mataku menumpahkan isi.
Seketika berlalu, Gibran melepaskan ubun-ubunku. Namun, tidak pula dia melarikan tubuh lebih jauh. Masih separa menunduk, dengan muka yang betul-betul bertentangan dengan mukaku. Kedua-dua belah tangannya dibawa ke pipiku. Air mata yang bersisa di situ, dia seka penuh hati-hati.
“Ara dah selamat, sekarang. Jangan takut lagi.” Dia memujuk, separa berbisik.
“Tapi…”
“Abang dah ada kat sini. Abang takkan tinggalkan Ara,” tegas Gibran bersama senyuman di bibir. Ibu jarinya mengusap atas pipiku dan menyambung lagi.
“Tapi Ara tetap perlu makan, dan ambil ubat.”
Aku mengerling kepada meja kopi. Dapat kulihat dulang yang menampung pinggan dan mangkuk, serta satu bekas kecil yang kutahu mengandungi beberapa biji ubat pelbagai warna.
Kemudian, aku melihat ke hadapan semula. Kepada Gibran yang sudah menegakkan tubuh. Masih memandangku. Tanpa mengata apa-apa, aku menjatuhkan kaki ke atas lantai dan turun dari katil.
“Ara?” Teguran Gibran berbunyi hairan.
“Saya nak ikut awak.”
“Hah?”
“Saya nak ikut awak pergi ambil makanan tu,” ulangku sambil mengangkat kaki. Baru selangkah, lenganku dipegang. Aku menoleh separuh.
“You stay in bed. Abang akan bawakan.”
“Nope. Saya tak nak awak pergi jauh.”
Sebelah kening Gibran ternaik, sebelum dia menggeleng kepala. Hujung bibirnya juga menyenget sedikit.
“Dah jadi manja pula isteri abang seorang ni…” komennya seraya bergerak ke hadapan. Aku buat-buat tidak dengar, dan membuntuti dari belakang.
Serupa seorang isteri yang tidak boleh jauh daripada suami tercinta.
*****
WAJAH yang dekat benar itu, aku tatap sedalam-dalamnya. Seperti kali pertama aku melihatnya, tahi lalat halus atas kening belah kanan menarik perhatian. Comel letaknya di situ. Tanpa sedar, jari telunjukku bergerak, hampir menyentuh kening itu. Tetapi, aku menghentikan tindakan di saat-saat akhir. Kepalaku digeleng, mahu menyedarkan diri daripada apa-apa pun yang hampir dibuat.
Apa yang tidak kena dengan kau hari ini, Ayudia Inara? Kenapa jadi lemah begini? Kenapa jadi manja begini? Dan yang lebih dahsyat, kenapa jadi tak tahu malu dan minta Gibran temankan kau tidur? Dia orang asing, kau sedar tak?
Tidak! Dia bukan orang asing. Dia suami kau. Suami yang sangat kau cinta.
Satu sudut jiwaku tiba-tiba membentak. Aku mengatup mata, cuba mencari cinta yang dikatakan itu.
Kosong. Tiada apa-apa. Tiada kocakan hebat. Tiada debaran jiwa. Tiada rama-rama berterbangan dalam perut. Yang ada cuma…
Ketenangan. Rasa selamat.
Sebuah rasa yang aku sendiri sukar untuk gambarkan. Tetapi, rasa ini lain benar daripada perasaan yang aku ada terhadap Muzaffar. Kalau dengan Muzaffar, aku selalu rasa teruja. Rasa ingin hari-hari menatap wajah dan mendengar suaranya. Tidak pernah bosan. Padahal, kami sudah bersama sampai sepuluh tahun lamanya. Rasa itulah yang buat aku yakin benar bahawa Muzaffar ialah cinta hatiku, jodohku, pemilik tulang rusukku. Justeru, ini apa? Rasa apa yang ada dalam hatiku buat lelaki di sampingku ini?
Aku membuka mata semula dan membetulkan kedudukan kepalaku. Wajah lena Gibran ditenung lebih tepat. Dalam dan tidak berkelip. Mahu menarik cebisan memori yang mungkin ada terlekat di celah-celah otak dan boleh menjawab segala persoalanku tadi.
Tidak. Ada.
Satu pun memori antara aku dan dia, tidak muncul. Aku cuba mengingat lagi. Semakin berusaha dan semakin kuat. Namun…
Jantungku terhentak kuat. Biji mata membesar tanpa rela. Hanya satu bayangan yang melintas.
Perempuan berbaju merah.
Aku cepat-cepat menutup mata dan mendekatkan tubuh kepada Gibran. Tanganku mencengkam bajunya di bahagian dada. Kepala juga disembam ke situ.
“Ara?” Bisikan Gibran berbunyi dekat. Tubuhnya terasa bergerak. Aku menarik bagi lebih rapat. Wajah lebih tersembam atas dadanya. Di celah-celahnya pula, aku bersuara…
“Don’t move. Just…hold me.”
Tubuh Gibran tiba-tiba kaku. Desah nafasnya juga berbunyi lebih kuat. Seperti terhenti sebentar, sebelum dilepaskan.
“Ayudia Inara…” Suara Gibran kedengaran terlebih gemersik.
“Hmmm…”
“Ara tahu tak, Ara tengah uji abang sekarang?”
“Huh?”
“Tak…tak ada apa-apa.”
Kedua-dua belah tangan Gibran naik ke bahuku. Menarik lebih rapat. Mukaku sudah hampir mencium tulang selangkanya. Bau maskulin Gibran juga menyusup ke hidung. Masih dengan mata terkatup dan antara sedar tak sedar, bibirku bergerak membentuk senyuman.
Inilah dia…kokun yang membuatkan aku rasa selamat.


No comments:

Post a Comment