March 11, 2019

MEMORI INARA - BAB 13


BAB 13

AKU mencengkam stereng sekuat-kuatnya. Dahi berlabuh atasnya. Tidak berani digerak. Tidak berani diangkat. Mata juga dikatup ketat-ketat. Tidak berani dibuka. Bibir pula, aku ketap sekuat hati. Nafas rasa terpasung celah kerongkong. Hampir putus.
Ya Allah…Ya Allah…tolong aku. Tolong aku!!!
Dalam hati, aku melaung sekuat-kuatnya. Pipiku rasa basah, ternoda dengan air mata yang tidak putus-putus.
Pap!!
Jantungku terhentak. Telinga seperti mendengar bunyi cermin kereta yang dihentak dari luar.
Pap! Pap!!
Lagi, bunyi yang sama bergema. Aku angkat tangan dari stereng dan bawa ke telinga. Dicengkam kemas-kemas. Mata masih dikatup.
“Ara…”
Kepalaku digeleng.
“Inara…Inara!!!”
Lagi kuat, aku menekup telinga.
“Jangan….jangan panggil aku lagi…jangan…” rayuku berulang kali. Kepala masih digeleng-geleng. Tidak henti-henti. Bahkan, semakin laju dan semakin terdesak.
“Ya Allah, Ara…buka pintu ni…” Suara itu masih berbunyi. Diselangi bunyi cermin yang dihentak dan diketuk.
Aku semakin galak merembeskan tangisan.
“Tolong…jangan…jangan sebut nama aku…”
“Ara…dengar sini…”
“Aku tak nak dengar...aku tak nak dengar….” Aku menjawab di luar sedar. Masih dengan mata tutup, kepala tergeleng-geleng dan tangan menekup telinga.
“Tolong aku. Cari apa-apa. Kita pecahkan cermin ni sekarang juga.”
“Hah? Pecahkan?”
“Ya! Tunggu apa lagi? Find something!!!”
“Ya…ya…”
Suara itu bersahut-sahutan dengan suara lain. Aku dengar sayup-sayup. Dia nak pecahkan cermin? Dia nak dapatkan aku? Dia nak apa-apakan aku? Dia nak bunuh aku?
Mataku terbuka tiba-tiba. Luas seluas-luasnya. Kepala juga terangkat sendiri. Tegak ke hadapan.
“Tolong…tolong jangan…jangan…” Bibirku terkumat-kamit.
“Ara?”
“Jangan apa-apakan aku…”
“Ara tunggu. I’ll get you out…”
Sedikit-sedikit, aku memusing kepala ke kanan. Mata terkelip-kelip. Menatap dia di luar cermin.
“Ara nampak abang, kan? Abang dah sampai, sayang.”
Dia melekapkan telapak tangan ke cermin. Aku pandang kosong.
“Abang dah sampai…”
Aku tetap terkulat-kulat. Kosong sekosong-kosongnya.
“Ini boleh tak?” Muncul seseorang lain di sebelah dia. Sedang memegang satu batu besar. Pantas diambil oleh dia.
“Ara ke belakang sikit. Abang nak pecahkan cermin ni.”
Aku cuma kaku. Tidak bergerak seinci pun.
“Ara, please…” Dia mula merayu. Aku melihat sahaja.
“Ara…sayang…”
“Gib…Ran?” Lidahku tiba-tiba bertutur.
Matanya membundar. Batu di tangan jatuh ke tepi. Telapak tangannya kembali dilekap pada cermin kereta.
“Ya, sayang. Ini abang. Buka pintu ni…”
“Gibran?” Aku menyeru lagi.
“Ya…ya...buka pintu ni…”
Dia menggoncang-goncang pemegang pintu kereta.
“Buka pintu ni, Ara. Please…”
Aku pandang dengan muka yang semakin lama semakin berkerunyut.
“Ara?”
Tangisanku terhambur keluar. Tangan kelam-kabut menarik punat kunci. Sebaik pintu terbuka, aku melempar diri ke hadapan. Gibran menyambut pantas. Kami berdakapan. Dia memelukku erat.
“Shhh…Ara dah selamat. Ara dah selamat…”
“Dia…dia….” Aku cuba bercakap dalam sedu-sedan.
“Jangan cakap apa-apa. Kita balik, okey…” Dia cuba meleraikan pelukan. Aku cepat-cepat meraih tubuhnya jadi lebih rapat.
“Jangan lepas…jangan lepas…” pohonku bersama kepala yang tergeleng-geleng.
“Macam mana kita nak balik kalau Ara tak lepaskan abang?”
“Tak nak…tak nak…” Lagi, aku merengek. Rangkulan diketatkan lagi. Tidak rela Gibran jauh daripadaku. Tidak rela!
“Ara...please…”
“Nanti dia datang balik…”
“Siapa?”
“Perempuan tu.”
Tubuh Gibran dalam pelukanku, tiba-tiba keras.
*****
“WE need to stop this.”
“No, we won’t.”
“Can’t you see? Keadaan Inara jadi makin teruk!”
“Itu kita boleh uruskan.”
Perlahan-lahan, aku membuka kelopak mata. Pandangan digerak ke belah kiri. Samar-samar dan berbalam-balam, aku lihat dua batang tubuh berada di situ. Seorang sedang berjalan ulang-alik dengan rambut yang diraup kusut. Seorang lagi, mengikutnya dari belakang.
Orang di hadapan tiba-tiba menghenti kaki dan berpaling. Sang pengikutnya, turut sama mematikan langkah. Mereka menghadap satu sama lain.
“Macam mana? Ulang balik apa yang kita dah buat?” Orang pertama menyoal.
“Kita boleh…”
Soalan tersebut tidak dinanti jawapannya. Tangannya naik, gaya tidak mahu mendengar apa-apa lagi.
“I tak nak dengar. Enough is enough, Isabel. I tak sanggup tengok Ara macam ni lagi.”
“Habis tu, you sanggup kalau dia tahu semuanya?”
Orang pertama terkatup mulutnya. Langsung, orang kedua menyambung bicara.
“Tidak, kan? Ingat, Gibran. We are in this together. You can’t back out. You tak boleh berhenti. You tak boleh patah balik.”
“I…I dah tak pasti pasal semua ni lagi.”
“I pasti, okey? I yakin. So, you do your job. And I’ll do mine.”
Aku lihat segala adegan itu dalam samar-samar. Sangat tidak jelas, dengan suasana yang dirasakan putih sekeliling. Seolah-olah semua yang aku lihat dan dengar itu, adalah mimpi. Ya, mimpi semata-semata. Tidak kurang dan tidak lebih.
Kelopak mataku sedikit-sedikit kembali terkatup.


1 comment: