April 24, 2018

I'M NOT A MONSTER - BAB 7


BAB 7
GILA.
Hanya itu perkataan yang cocok untuk menggambarkan apa yang sudah dia putuskan. Dia, Ishikawa Ryu sudah membenarkan seorang perempuan masuk ke dalam kehidupannya. Padahal selama ini, dia sudah tanamkan dalam dirinya bahawa perempuan adalah ancaman. Sebesar-besar ancaman!
Bukan kepada Ishikawa Ryu, Red Dragon atau kumpulan kongsi gelap sahaja. Malahan kepada seluruh organisasi jenayah terancang yang lain dalam dunia. Kalau tidak, masakan wujud salah satu rukun dalam organisasi mafia Sicily yang berbunyi, “Adalah satu kewajipan bagi setiap ahli untuk menghadirkan diri di sisi Cosa Nostra, walaupun pada ketika isteri akan melahirkan anak.” Begitu juga dengan yakuza. Setiap lelaki yakuza tidak boleh mempunyai rasa yang rapat terhadap mana-mana perempuan. Itu dianggap sebagai kelemahan. Boleh membawa kepada segala kehancuran.
Itu kuasa wanita. Dan Ryu benar-benar tahu itu. Kerana itulah, dia tidak pernah membenarkan mana-mana perempuan menghampiri. Kalau setakat melepas nafsu, dia tidak kisah. Dunianya dikelilingi oleh wanita-wanita yang sanggup melempar diri ke kakinya. Tetapi Maya bukan wanita seperti itu. Maya bukan untuk diratah sesuka hati. Justeru, apa yang sudah dia buat? Apa yang sudah dia putuskan?
Huh, makin dia memikirkannya, makin gila otaknya.
Tuk…tuk…tuk…
Ryu kerling ke arah pintu yang diketuk dari luar. Sesaat cuma. Pandangan dibawa ke hadapan semula. Menghadap pemandangan tasik Nam Van di luar jendela pejabat. Kot yang membaluti tubuh, dikemaskan sebelum dia berpaling.
“Masuk.” Tegas arahan yang diberi. Kaki diayun mendekati set sofa di tengah-tengah pejabat. Pungggung dilabuhkan di sofa paling hadapan. Tubuh bersandar tegak. Setentang dengan logo Ming Construction Materials (MCM). Kaki duduk menyilang. Mata menyambut kemunculan tiga susuk tubuh. Dua anak buah dan seorang lelaki yang tampak takut-takut.
Ryu senyum sipi. Apalah yang nak ditakutkan sangat dengan dia? Bukan dia makan orang pun.
“Dai…dai lo…”
Tengok! Bukan main menggeletar suaranya. Ryu angkat sebelah kening, memberi isyarat agar sang lelaki penakut mengambil tempat duduk di sebelah. Matanya meliar ke kiri kanan. Jelas ragu-ragu.
“Aku jemput kau duduk. Tapi nampaknya, kau tak nak.” Ryu buka mulut. Sangat mendatar.
Secepat kilat, lelaki itu menjatuhkan punggung di sofa sebelah. Ryu melirik kepadanya sekilas. Muka pucat lesi. Peluh membasahi dahi. Jari-jemari tidak habis-habis dikepal. Kakinya juga tidak boleh duduk diam. Digerak tidak tentu hala.
Ryu ambil kotak tisu yang terletak atas meja, menarik sehelai tisu dan menghulurkannya kepada lelaki itu. Berkerut mukanya memandang. Bingung sekali.
“Lap dahi kau. Bilik ni bukan panas pun.”
Teragak-agak, lelaki itu menyambut. Tangannya kelam-kabut mengelap muka sendiri. Ryu kembali menyandar belakang ke sofa. Mata tajam merenung. Lelaki di sisi langsung tidak berani menentang pandangan. Masih beriya mengelap muka, padahal Ryu boleh nampak betapa wajahnya sudah mengering.
“Kau…”
“Ya, dai-lo!” Laju lelaki itu menyahut. Terlebih kuat. Tubuh automatik tegak. Tisu juga sudah terlempar entah ke mana.
“Nama kau Xiao-ping, kan?”
“Ya…ya, dai-lo.”
“Hmm, ketenangan kecil.” Ryu menyebut maksud namanya.
“Ya.”
“Jadi…”
Ryu lembutkan riak wajah. Siap dengan bibir yang lebar mengulum senyum. Muka lelaki bernama Xiao-ping bertambah pucat.
“Kenapa kau tak nak hidup tenang elok-elok? Kenapa kau degil sangat, dan bagi aku pula tak hidup tenang?
Dan-dan, Xiao-ping menjatuhkan lutut atas lantai.
“Aku minta maaf, dai-lo. Aku tak tahu…”
Ryu memegang bahunya. Muka tunduk dekat. Bibir masih dengan senyuman.
“Tak tahu apa? Tak tahu yang…”
Muka Ryu bertukar riak. Mata mencerlung keras. Bahu Xiao-ping dicengkam lebih kuat. Suara pula berdesis di celah-celah gigi yang dikacip.
“Ini kawasan aku. Kau nak naikkan bangunan, kau kena hadap aku dulu. Kau jangan fikir yang kau boleh senang-senang bawa masuk semua bahan pembinaan tu, dalam kawasan aku tanpa melalui aku.”
Anak mata Xiao-ping membesar dengan setiap patah katanya. Sudah mendengar, dia terus bersujud ke kaki Ryu.
“Aku minta maaf, dai-lo. Aku betul-betul minta maaf. Aku baru kat kawasan ni. Aku…”
“Ada aku suruh kau bersujud pada aku?” Ryu mencantas. Sangat dingin.
“Huh?” Kepala Xiao-ping terangkat.
“Kau ingat dengan kau bersujud pada aku, aku boleh dapat duit?”
Kepala Xiao-ping tergeleng-geleng.
“Jadi bangun.”
Ryu kembali menyandar badan. Sebelah tangan digerak kepada Ah Bao, salah seorang anak buah yang sedari tadi berdiri di sisi. Berdesup Ah Bao hilang dari sebalik muka pintu.
“Aku cakap bangun,” ulang Ryu kepada Xiao-ping yang masuh termangu-mangu atas lantai.
“Kita ada kontrak untuk ditandatangani.”
“Ko…kontrak?” Xiao-ping bangun lambat-lambat dan duduk di sofa. Muka masih pucat kebingungan.
“Kau mesti nak bangunan kau naik, kan? Kau mesti nak semua bahan-bahan pembinaan kau sampai pada kau, kan? Kau mesti nak lori simen tu tak tersekat di mana-mana, kan? Dan yang lebih penting, kau mesti nak pekerja kau tak sakit tiba-tiba, kan?” tekan Ryu satu-satu. Sangat tersirat maksudnya. Tetapi cukup jelas untuk difahami oleh Xiao-ping. Wajahnya yang berubah sebagai pengesahan.
“Kalau…” Dia menelan liur. Berwajah tidak rela. Tetapi, Ryu tidak peduli. Dia masuk dalam kawasan ni, jadi dia perlu ikut segala peraturannya!
“Kalau aku tandatangan kontrak ni, dai-lo boleh pastikan semua tu? Bangunan aku boleh naik tepat pada masanya? Takkan ada apa-apa tertangguh lagi?”
Ryu melepas gelak.
“Soalan bodoh apa yang kau tanya ni, Xiao-ping? Ini Ishikawa Ryu! Hanya dengan satu patah perkataan daripada aku, kau boleh dapat semuanya. Tapi…”
Kening Ryu dijongket sebelah.
“Mesti ada habuannya untuk aku, kan?”
Halkum Xiao-ping nampak bergerak lagi. Bahunya jatuh ke bawah. Sangat longlai.
“Apa yang dai-lo nak?”
Ryu mengulum senyum buat kesekian kalinya.
“Akhirnya! Soalan yang betul keluar dari mulut kau.”
Xiao-ping turut menayang senyum. Sangat palsu. Pada masa yang sama, Ah Bao muncul semula dalam pejabat. Penuh tertib, dia menghulur satu fail kepada Ryu. Pantas disambut. Ryu membuka dan menunjuknya kepada Xiao-ping.
“Semua bahan pembinaan untuk bangunan kau ni, cuma boleh datang melalui MCM.”
“MCM?”
Hampir melongo mulut Ryu mendengar soalan itu.
“Eh, kau datang sini, kau tak tahu nama syarikat ni?”
Xiao-ping tergamam.
“Tak…tak…aku…”
“Abaikan.” Ryu mencantas. Mulut Xiao-ping terkatup terus.
“Macam yang aku cakap tadi, semua bahan cuma boleh datang melalui MCM. Dan lagi satu…”
Ryu menyelak dokumen.
“Ini harga perlindungan yang kau perlu bayar.”
Bebola mata Xiao-ping semerta membesar.
“Kenapa?” Terus Ryu menerjah.
“Mahal? Itu lebih baik daripada ada kejadian yang tak disangka-sangka berlaku pada kau, keluarga kau, syarikat kau dan pada bangunan kau yang bakal naik ni, kan?”
Dengan setiap satu patah perkataan yang dilontar Ryu, raut wajah Xiao-ping berderau. Ryu senyum dalam hati. Nampaknya lelaki penakut ini tidaklah bodoh mana. Otak masih berfungsi untuk mengerti apa yang cuba dia sampaikan.
Xiao-ping menggerak badan lebih ke hadapan. Bawah bibirnya diketap sebelum dia menarik fail lebih dekat.
“Mana aku patut tandatangan?” Dia menyoal antara dengar tak dengar.
Ryu meletak jari telunjuk di tempat yang sepatutnya. Xiao-ping mengambil pen dan menjatuhkan tandatangan di situ. Langsung tidak memeriksa isi kandungan kontrak. Ryu tahu, lelaki itu mengerti. Kalau pun dia beriya memeriksa atau bawa bersama peguam, dia tetap takkan boleh lepas daripada Red Dragon.
Dokumen yang sudah siap ditandatangi, Ryu periksa sekilas. Kemudian dia menghulurkannya kepada Ah Bao. Fail bertukar tangan.
Sesudah itu, dia menghulurkan salam kepada Xiao-ping. Disambut. Itu pun dengan muka kelat sekelat-kelatnya. Ryu senyum senget. Menyinis pemandangan depan mata. Manusia seperti Xiao-ping selalu seperti ini. Bukan main menyampah dengan dia pada awalnya, tetapi bila semuanya siap, mereka juga yang melompat kegembiraan. Dan selepas itu, melutut untuk dapatkan perlindungan daripada Red Dragon.
Dasar manusia hipokrit!
“Tepat keputusan kau, Xiao-ping. Sekarang kau anggap saja semuanya dah selesai. Dan kau boleh hidup tenang-tenang.”
Xiao-ping mengukir senyuman. Masih bersulam kelat. Ryu renung ke mukanya. Sinis dengan genggaman tangan yang semakin diketatkan.
*****
LAMPU-LAMPU pelbagai warna bergemerlapan. Bunyi kuat muzik memenuhi segenap ruang. Di satu sudut, kelihatan DJ sedang memainkan lagu. Sebelah tangan memegang headphone di telinga. Sebelah lagi lincah menyentuh-nyentuh vinyl record atas cakera putar. Manusia pelbagai umur terkinja-kinja atas lantai tarian.
Ryu pandang semuanya dari tingkat atas. Kedua-dua belah tangan memegang birai penghadang. Bebola mata bergerak dari kiri ke kanan. Memastikan segala-galanya kena pada tempatnya.
Sebarang masalah, sangat tidak digemari!
“Dai-lo!”
Tidak semena-mena, satu seruan hinggap di telinga. Berbaur kelam-kabut. Ryu hembus nafas penuh jengkel dan memusing badan. Pandangan tepat memanah muka Hwang, pengurus di Cubic Club. Dada berombak, muka berpeluh.
“Apa lagi?” Ryu menyoal senada.
Hwang angkat jari telunjuk ke salah sebuah bilik VIP.
“Ada orang buat hal.”
Tidak menunggu lagi, Ryu angkat kaki. Semakin dia mendekati, semakin dia dengar bunyi hingar-bingar dari bilik bernombor 213. Sebaik tiba di hadapan, Hwang membuka daun pintu. Ryu melangkah masuk.
Kelihatan seorang lelaki sedang mencengkam rambut seorang wanita. Mulutnya mencarut-carut. Dibalas oleh wanita yang tidak habis-habis meronta. Ryu kenal wanita itu. Salah seorang wanita penghibur di Cubic Club. Jika tidak silap, bernama Sharon. Entah nama sebenar atau tidak, Ryu tidak peduli.
Ryu angkat kaki lebih ke hadapan, melalui celah-celah kekalutan, mengambil sebotol arak kosong yang terletak atas meja dan…
Prang!
Menghentaknya atas kepala sang lelaki. Cengkaman di rambut Sharon terlepas. Gadis itu cepat-cepat menjarakkan tubuh. Berdiri dekat Hwang.
“Tak guna!!!” Sang lelaki menempik seraya memegang kepala. Perhatian dikalih kepada Ryu dan…
Tangannya terjatuh sendiri. Darah yang menitis-nitis di tepi kepala, terbiar begitu sahaja. Bibirnya terketar-ketar cuba meluah kata.
“Da…dai-lo…”
Ryu dekatkan kepala kepada muka pucat itu.
“Apa yang kau sedang buat?” soalnya perlahan. Tenang dalam dingin.
“Perempuan…perempuan tu…” Tergagap-gagap suara yang keluar. Pantas dicantas oleh Ryu.
“Kenapa? Tak nak layan kau? Tak nak tuang arak untuk kau?”
“Dia ambil duit aku. Tak reti bayar balik!” Lelaki itu mendengus dan mencerlung kepada Sharon. Tajam bagai mahu melahapnya hidup-hidup.
“Hei!”
Ryu tampar mukanya agar kembali bertentangan.
“Itu hal kau dan dia. Aku tak peduli. Yang aku peduli sekarang…”
Ryu rengkuh bawah dagunya hingga terdongak.
“Jangan buat hal di tempat aku.” Keras dan tertahan-tahan suaranya saat menjatuhkan amaran.
Lelaki di hadapan, tambah pucat. Darah semakin meleleh-leleh di tepi kepala. Kasar, Ryu melepaskan mukanya. Kepalanya terpusing menerima tindakan tersebut. Sesudah itu, Ryu menyeluk tangan ke poket jaket. Tanpa melihat kepada lelaki muda itu, dia menyoal.
“Kau bawah siapa?”
Lewat ekor mata, Ryu perasan lelaki itu yang tampak tercengang.
“Kau bawah siapa?” Ryu mengulang soalan. Lebih keras.
“Errr…Chew dai-lo.”
“Jadi kau bawah Blue Dragon?” tanya Ryu lagi, seraya mengeluar dan membuka dompet. Beberapa not wang dibawa keluar.
“Ya…ya, dai-lo.”
“Nah.” Ryu menghulur wang di tangan.
“Huh?”
“Disebabkan kau juga Dragon, jadi aku lepaskan kau. Guna duit ni untuk jahit kepala kau. Tapi…”
Jari telunjuk Ryu naik hampir mengenai hidung lelaki muda.
“Jangan buat hal lagi kat sini. Kalau tak, tahulah aku kerjakan kau.”
Kepala lelaki itu tergeleng-geleng. Laju dan bersungguh.
“Tak…tak…aku takkan buat lagi.”
“Baik.” Ryu menggerak tangan sebagai isyarat.
“Sekarang, pergi.”
Tanpa berlengah, lelaki itu mengangkat kaki. Namun sempat juga dia menyinggah depan Sharon, dan berdesis geram.
“Antara kita, belum selesai.”
Ryu dengar sepatah-sepatah. Dia biarkan sahaja. Urusan peribadi mereka, biar mereka sendiri uruskan.
“Dai-lo…” Sebaik lelaki itu lenyap, Sharon datang merapat. Lengan Ryu dipeluk manja.
“Mujur dai-lo datang. Kalau tak...”
“Kalau tak, kau dah susahkan aku,” cantas Ryu. Muka tegak lagi kosong. Langsung tidak tergugat dengan rengekan Sharon, serta tangannya yang asyik mengusap-ngusap lengan Ryu.
“Alaaa, dia tu yang kedekut sangat. Bukan banyak pun aku pinjam duit dia…” Lagi suara yang terbit, berbunyi lemah gemalai.
“Aku tak peduli. Yang aku tahu…”
Ryu merentap lengannya dari tangan gatal Sharon.
“Aku tak mahu hal macam ni berlaku lagi kat tempat aku. Faham?” Dia menjegil mata di hujung kata.
Sharon menjuih bibir.
“Faham.” Dia mengaku dengan riak muka menyampah. Ryu buat tidak peduli. Dia memusing badan mahu keluar semula, namun…
“Berapa saiz kau?” Soalan itu terpantul keluar dari mulut.
Mata Sharon membulat. Ada keterujaan yang Ryu nampak di situ. Bahkan, gadis itu merapatkan tubuh. Tangan kiri Ryu dipegang dan dibawa ke pinggangnya.
“Apa kata…”
Dia mengulum senyum, beserta mata menggoda. Tangan Ryu digerak naik ke atas. Sedikit-sedikit dan….
“Dai-lo periksa sendiri?”
Hampir mengenai tepi dadanya. Ryu rentap tangan sebelum sampai ke situ. Kepala tetap tegak. Muka tanpa riak. Hanya anak mata yang sedikit tunduk memandang wanita di hadapan. Hampir terjojol dadanya di celah pakaian seksi.
Perlahan-lahan, Ryu menundukkan kepala. Dekat dan dekat. Sharon menatap dengan muka berharap. Siap dengan mata yang mula dipejam. Ryu sengetkan bibir dan menggerak kepalanya ke tepi telinga Sharon. Kemudian, dia berbisik...
“Aku tak berminat dengan plastik.”
Serta-merta, dadanya ditujah. Kuat hingga tubuhnya jadi tersorong ke belakang. Sharon merenungnya tajam, mendengus kuat-kuat dan berjalan pergi. Sangat membentak gayanya. Ryu melepas gelak. Tidak sedikit pun terkesan dengan perempuan yang seorang ini.
*****
PINTU yang separa terbuka itu, ditolak dari luar. Baru setapak masuk, Ryu menghenti langkah. Perhatian diberi kepada tombol pintu. Diperiksa sekejap. Otak mula membuat nota.
Baiki tombol ini nanti.
Selama ini, dia tidak pernah peduli dengan tombol yang entah sejak bila rosak. Bilik ini bukan diguna sangat pun. Setakat jadi stor tempat menyimpan barang-barangnya yang tidak banyak. Siapa duga?
Ryu angkat pandangan. Tepat kepada satu susuk tubuh.
Bilik ini akan ada penghuninya. Dia menyambung monolog. Tatapan masih melekat kepada susuk tubuh itu. Sedang elok memeluk tubuh atas lantai. Seperti beberapa hari lepas, kepalanya terdongak ke luar jendela. Kalau sebelum ini, melihat langit cerah. Malam ini, sekadar menebar pandang kepada kehitaman tanpa bintang. Seperti hari itu juga, matanya kelihatan pilu. Sangat pilu. Seolah-olah seluruh kesedihan dalam dunia tergantung atas bahunya yang longlai itu.
Maya…
Nama itu tiba-tiba berdengung di celah telinga Ryu. Hanya Maya. Tiada apa yang dia tahu tentang perempuan ini. Dan anehnya, dia membawa masuk perempuan tidak dikenali ini ke dalam kehidupannya.
Benarlah! Dia sudah gila. Benar-benar gila.
“Nah!”
Ryu membaling beg kertas hampir mengenai kaki Maya. Gadis itu menoleh kepadanya. Mata bulat menyoal. Ryu malas menjawab. Sekadar berjalan ulang-alik dalam bilik yang sudah berkemas. Kepala terangguk sendiri. Bagus juga Maya ini. Stor yang macam kapal dilanda garuda, mampu dibersih dalam masa satu hari sahaja. Berpuas hati dengan keadaan bilik, Ryu kembali menengok Maya. Sedang mengeluarkan isi dari beg kertas. Beberapa helai pakaian dan…
Mata Maya membuntang, sebelum dia cepat-cepat menyorok semula objek di tangan. Kedua-dua belah pipinya tampak memerah.
Ryu senyum kecil. Pemalu juga Maya ini. Ingatkan berani sangat. Hari tu bukan main mahu buka baju depannya. Sekarang? Bukan main pula menyembunyikan pakaian dalam. Yang Ryu sendiri beli pula tu!
Ryu menghampiri dan duduk mencangkung di hadapan Maya. Sekilas, Maya mengerling kepadanya. Masih dengan pipi merona merah.
“Tak payahlah malu sangat. Itu keperluan kau, kan? Atau…”
Kening Ryu naik sebelah.
“Kau tak nak? Boleh. Tak ada masalah bagi aku. Kita boleh terus berkongsi pakaian. Dan kau tak perlu pakai yang dalam.” Selamba Ryu berbicara. Siap dengan melihat Maya atas bawah. Tenggelam dalam pakaian Ryu yang jauh lebih besar.
Maya menekapkan beg kertas ke dada. Renungan berbias curiga. Ryu meluah gelak. Halus dan sinis. Ini yang dikatakan tidak takut pada lelaki? Huh, jauh panggang dari api!
“Aku tak tahu saiz kau berapa. Jadi aku main rembat saja. Aku ada juga tanya pada…”
Suara Ryu tenggelam sendiri. Tersedar bahawa dia tidak perlu jelaskan apa-apa pun kepada Maya. Siapa Maya untuk dia jelaskan semuanya? Bukan siapa-siapa!
Langsung, Ryu angkat semula tubuh. Maya mendongak kepadanya. Ryu menjatuhkan renungan ke muka itu.
“Mulai dari sekarang, bilik ini adalah dunia kau.”
Usai menitip kata, Ryu mengangkat kaki. Terpasung sesaat kemudian. Ditahan oleh jari-jemari Maya yang tiba-tiba melekat di pergelangan tangannya. Ryu menoleh separuh. Tunduk kepada wajah yang mendongak itu.
Perlahan, Maya melepaskan pegangan. Kepala dipusing kepada sekeliling. Seperti mencari sesuatu. Kemudian, dia bangun dan menghampiri satu penjuru bilik. Entah apa yang dicari, Ryu tunggu sahaja.
Maya kembali semula. Bersama satu helai kertas yang terhulur. Ryu kerut dahi dan mengambilnya.
Nama kau.
“Huh?” Kening Ryu terjongket.
Maya menulis lagi. Kertas bertukar tangan.
Aku tak tahu nama kau.
Ryu senyum sesaat, sebelum menaikkan anak mata. Tepat menikam ke mata bening lagi kosong itu.
“Ryu. Nama aku Ryu.”
******** BERSAMBUNG ********
  “Aku tak berminat dengan plastik.” Haha, Ryu is savage!!! Pedas giler mulut. Padan muka si Sharon tu. Nak menggoda Ryu konon. 
Do like and comment. TQ! 


No comments:

Post a Comment