April 24, 2018

I'M NOT A MONSTER - BAB 8

BAB 8
SETAHUN.
Ya, setahun sudah pun berlalu sejak kejadian malam itu. Setahun juga sudah berlalu sejak dia membuat keputusan paling gila dalam hidupnya. Meletakkan diri berada di samping seorang ahli kongsi gelap. Berada dalam genggaman seorang lelaki asing yang bila-bila masa boleh merenggut tubuh, mahu pun nyawanya.
Itulah perkara yang suatu masa dahulu, takkan pernah terdetik dalam akal fikiran. Tetapi itulah satu-satunya cara untuk dia hidup. Ya, dia mahu hidup. Walau dengan apa cara sekali pun. Walau dengan berada dalam penjara. Walau dengan kehidupan yang tidak boleh dipanggil kehidupan!
“Kau yang nak berada di sini. Kau yang serahkan diri kepada aku. Jadi kau perlu dengar setiap patah cakap aku. Kau tak boleh keluar dari sini. Kau tak boleh tunjuk muka kat luar.”
Kalau itu dikira sebagai perjanjian, maka itulah perjanjian yang dia sudah buat dengan Ryu pagi itu. Dia jadi tidak ubah seperti banduan. Dan Ryu sebagai wardennya. Seluruh kehidupannya dalam setahun ini cuma berada dalam lingkungan rumah empat segi ini. Rumah yang boleh dikira besar jika dibandingkan dengan rumahnya dahulu. Lebih mewah, sebenarnya.
Ryu mempunyai perniagaan sendiri. Atau menjaga perniagaan Luo Ming. Maya tidak faham mana. Katanya, pembekal bahan-bahan binaan. Maya tidak tahu sejauh mana kebenaran itu. Tetapi mengikut kefahaman dia, kebanyakan ahli kongsi gelap mempunyai perniagaan yang mengikut undang-undang. Bagi menyucikan wang kotor mereka, atau sekadar topeng bagi menutup segala aktiviti hitam. Mungkin Ryu juga seperti itu. Dia malas ambil tahu. Lagipun, siapa dia bagi Ryu?
Tiada siapa-siapa.
Sekadar perempuan penyibuk yang muncul dalam hidupnya tanpa diundang. Sekadar perempuan yang disembunyikan. Dia tidak layak untuk tahu apa-apa pun pasal Ryu.
Sedetik, hati Maya rasa tertusuk. Ah, dia benci diri yang ini. Yang sejak kebelakangan, terlalu ingin untuk tahu tentang Ryu. Ingin berada di sampingnya. Ingin merawat segala luka dan parut. 
Mungkin ini akibatnya hidup berkisarkan lelaki itu semata-mata. Bila dia buka mata, orang pertama yang dia nampak ialah Ryu. Sebelum katup mata, orang yang terakhir dia nampak ialah Ryu. Di sepanjang hari pula, orang yang dinanti pulang ialah Ryu.
Jadi, tidak pelik kalau dia ingin tahu segala-galanya tentang lelaki itu, kan? Ingin berada di sisinya. Ingin merawat lukanya. Tidak pelik, bukan?
Itulah alasan yang dia beri setiap kali dia memikirkan soal Ryu. Alasan yang kadangkala dirasakan sangat kelakar. Sangat palsu. Sangat tidak kena. Tetapi dia lebih rela menerima alasan itu daripada menerima kemungkinan yang satu lagi.
Kemungkinan yang sampai mati pun dia tidak akan terima!
Hati rasa tertusuk lagi. Maya ketap bibir kuat-kuat dan memejam mata. Seolah-olah dengan cara itu, dia mampu menghambat kesakitan sejauh mungkin. Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali. Berasa diri semakin tenang, dia membuka mata. Kembali kepada jendela yang sedari tadi menemani. Jendela yang membawanya ke dunia luar. Hanya dari sini, dia boleh melihat bangunan-bangunan lain, kenderaan yang bersimpar-siur, dedaunan yang bertukar warna, bulan bintang yang jarang kelihatan dan juga…
Motosikal hitam Ryu yang berderu masuk dari arah pagar. Seperti sekarang.
Tidak menunggu lagi, Maya mengalihkan diri dari situ dan menapak ke dapur. Makanan yang sudah siap dimasak, dibawa keluar dan disusun elok-elok atas meja. Satu yang dia belajar tentang Ryu dalam setahun ini, Ryu kemas orangnya. Dia tidak suka rumah bersepah, apatah lagi kekotoran.
Sangat ironi bagi orang yang bergelumang dalam dunia kotor.
Lewat ekor mata, Maya perasan Ryu yang sudah pun menapak masuk dan meletakkan topi keledar atas meja di ruang tamu. Dan-dan, dahinya berkerut. Kepala spontan terkalih. Kaki pula laju menghampiri. Baru sahaja Ryu mahu ke bilik, Maya lebih dahulu menangkap lengannya. Lelaki itu berpaling dengan kerutan.
“Ini apa?” Maya menyoal dengan isyarat tangan.
Ryu melirik kepada telapak tangan yang berbalut kain. Ada kesan merah di situ.
“Luka sikit.” Kosong muka Ryu saat menjawab.
Anak mata Maya mengecil penuh curiga. Ryu mengeluh dalam hati, sebelum membetulkan tegak berdiri dan menundukkan muka. Elok bertentang dengan gadis yang jelas tidak puas hati.
“Kalau kau fikir aku ada buat apa-apa hari ni, jawapannya tak. Aku luka di kedai. Waktu tengah periksa wire mesh,” terang Ryu tanpa dipinta. Tidak perlu kerana dia tahu perangai Maya. Selagi tidak dapat jawapan yang dimahukan, selagi itu akan mendesak dengan cara bisunya.
Maya, wanita degil yang sanggup buat apa sahaja untuk dapat apa yang diingini. Setahun yang lalu sebagai bukti. Kalau tidak, masakan dia ada di sini? Di rumah ini? Di hadapannya? Walaupun dengan status yang Ryu sendiri tidak pasti sebagai apa.
Kekasih? Tidak ada perasaan antara mereka. Suami isteri? Lagilah tidak! Pembantu rumah? Dia tidak pernah membayar gaji. Tahanan? Itu mungkin ya.
Tetapi…
Dia tidak pernah menahan Maya, apatah lagi mengurungnya. Perjanjian mulut antara mereka dahulu, sekadar mahu menggertak gadis itu. Mahu lihat sejauh mana Maya boleh bertahan bila tidak boleh keluar rumah, tidak boleh melihat cahaya matahari. Dia yakin Maya akan berputus asa. Akan pergi hanya selepas beberapa ketika.
Ternyata, dia silap.
Hari bertukar minggu. Minggu bertukar bulan. Bulan bertukar tahun. Tidak sekali pun Maya cuba pergi. Atau mungkin lari di malam hari. Gadis bisu itu tetap setia berada dalam rumah, mengemas apa yang patut, membersih pakaiannya, memasak untuknya. Dia pula akan membawa pulang barangan rumah, membelikan pakaian untuk Maya, memastikan segala keperluan cukup untuk mereka.
Huh, aneh sekali hubungan mereka!
Tetapi, semua itu kadangkala membuat dia tertanya-tanya. Kenapa Maya tidak cuba lari? Kenapa mahu mengurung diri dalam penjara yang sebenarnya tidak wujud? Kenapa sanggup jadi serupa pembantu rumah tidak bergaji? Tidakkah gadis itu mahu punya kehidupan sendiri?
Jawapan untuk semua persoalan itu takkan pernah dia peroleh.
Harapkan Maya? Jauh panggang dari api! Maya cuma akan memberi renungan maut. Sudahnya, dia malas ambil peduli. Lagipun, siapa dia bagi Maya?
Tiada siapa-siapa.
Sekadar lelaki yang dijadikan tempat tinggal. Sekadar lelaki yang menyembunyikan seorang perempuan.
Tidak lebih dan tidak kurang.
“Huh?” Ryu tersentak saat berasa lengannya digoncang-goncang. Perhatian kembali tertala kepada wajah depan mata. Elok menggaritkan kening.
Ryu senyum sipi-sipi, menutup segan kerana tertangkap mengelamun. Mata tepat membaca gerak tangan Maya.
“Tunggu sini. Aku tengokkan tangan kau.”
“Tak perlu. Sikit saja,” tolak Ryu seraya mengangkat sebelah kaki. Mahu bergerak, namun terhalang dek lengan yang masih dicengkam. Dia kalih muka separuh.
“Maya.”
Dan menyeru nama itu dengan wajah keras.
Lambat-lambat, Maya melepaskan pegangan. Seperti tidak rela, tetapi Ryu buat-buat tidak perasan riak muka itu. Kaki diayun semula hingga dia akhirnya bolos di sebalik pintu bilik.
*****
RYU di hadapan Maya. Maya di hadapan Ryu. Saling bertentang. Saling menunduk, sibuk menyumbat isi ke dalam mulut. Namun, Ryu perasan mata Maya yang sesekali melirik kepadanya.
“Tangan aku tak apa-apa.” Dia bersuara tanpa mengangkat muka. Namun sesaat kemudian, dia mengetap bibir. Dia terlupa lagi.
Lantas, Ryu mendongak dan mengulang.
“Tangan aku tak apa-apa.”
Maya tidak memberi reaksi. Sekadar menatap dengan pandangan mata yang nampak lain. Seperti ada kesedihan, juga kekesalan.
Tidak. Dia tersilap lihat. Kenapa pula Maya mahu bersedih atau berasa sesal kerana dia?
“Lain kali, tolong berhati-hati.”
Bergerak birai bibir Ryu melihatkan gerak tangan Maya.
“Tak cukup lagi kau cedera bila berlawan dengan geng lain, boleh pula cedera bila buat kerja?”
Senyuman yang baru sipi kelihatan, jadi lebih lebar. Satu lagi yang Ryu belajar tentang Maya dalam setahun ini. Gadis itu suka sungguh membebel. Tangan tergawang-gawang dengan macam-macam rupa, sampaikan dia kadangkala susah untuk menangkap maksudnya.
Kalaulah Maya boleh bercakap, mesti suaranya keluar seperti bertih jagung!
Ryu menggeleng kepala, menghalau kemungkinan yang bukan sekali dua terfikir dalam otak. Kemungkinan yang sangat mustahil.
“Kenapa?” Maya menyoal. Dahi berkerut.
Sekali lagi, Ryu menggeleng.
“Tak ada apa.” Pendek dia membalas. Makanan kembali disumbat ke dalam mulut. Sebagai tanda bahawa perbualan ini sudah tamat.
Maya melihat kepadanya beberapa saat lagi, sebelum mengangkat semula chopstik yang diletak tadi. Lambat sekali gerak lakunya saat menyambung makan. Ekor matanya juga masih dilirik-lirik kepada Ryu.
Semestinya, tidak dipedulikan oleh Ryu. Dia sekadar diam mengambil makanan dengan chopstik, dan menyumbatnya ke dalam mulut. Berulang kali dan sesekali berselit tegukan air.
Keheningan mengelilingi mereka. Tidak lama. Deringan telefon bimbit tiba-tiba berbunyi dari arah ruang tamu. Ryu mengerling kepada Maya. Gadis itu asyik dengan suapannya. Tidak terganggu dengan bunyi deringan yang tidak henti-henti menjerit. Yang sangat membingitkan telinga!
Ryu merengus dan meletak chopstik ke bawah. Cawan diangkat dan dibawa ke mulut. Isinya diteguk hingga puas. Kemudian, dia mengangkat punggung. Serentak itu, Maya mendongak kepadanya.
“Aku keluar dulu.”
Tanpa perlu menjawab panggilan itu, Ryu tahu apa ertinya. Pasti ada sesuatu yang mereka perlu laksanakan malam ini. Muka Maya kelihatan ketat. Mata beningnya berdesis tajam. Urat lehernya tampak terik. Sesuatu yang sudah biasa Ryu nampak. Sejak dari awal pertemuan, hinggalah ke hari-hari mereka bersama dalam setahun ini.
Maya bencikan kongsi gelap. Itu hakikatnya. Dan hakikat juga, dia tinggal bersama seorang ahli kongsi gelap. Dia suka atau pun tidak, dia perlu telan hakikat tersebut. Lagipun, siapa suruh dia berdegil mahu tinggal di sini, kan?
Desah nafas Maya menjamah hujung telinga Ryu. Raut mukanya juga sudah bertukar jadi lembut. Jari-jemari halusnya mula bergerak. Ryu menanti seperti orang paling sabar dalam dunia. Membaca gerak tangan itu.
“Hati-hati. Aku tunggu kau balik.”
Ryu diam memerhati mata bulat itu. Dia boleh nampak keikhlasan di situ. Hati-hati. Pesanan yang satu itu berdengung di celah telinga. Benarlah! Mereka benar-benar punya hubungan yang aneh. Tahanan jenis apa yang mengucapkan hati-hati kepada manusia yang mengurungnya?
Hanya Maya yang akan buat begitu. Gadis paling pelik yang pernah Ryu temui.
“Kenapa?” Tangan Maya bergerak lagi. Ada tanda tanya dalam mata ikhlas itu.
Ryu menggeleng, dengan muka yang dibuat kosong.
“Tak ada apa-apa. Dan kau tak perlu tunggu aku balik.”
Kaki mula digerak. Maya bangkit dari kerusi. Namun, tangan Ryu lebih dahulu bertindak. Dia menekan bahu gadis itu hingga terduduk semula. Maya mendongak kepada dia yang berdiri.
“Tak perlu hantar aku ke pintu. Teruskan makan. Dah makin kurus aku tengok kau ni.” Senada Ryu memberi pesan. Sesudah itu, dia melepaskan tangan dan menyambung langkah. Kepala tegak dengan riak muka dingin.
Masa untuk Ishikawa Ryu beraksi.
*****
SEKEJAP pusing kanan. Sekejap pusing kiri. Ke kanan semula. Ke kiri balik. Seketika berlalu, Maya mengambil bantal dan menekup muka. Dia menggerak tubuh tanpa hala, kemudian bangun dari pembaringan. Bantal juga dilempar entah ke mana.
Apa yang tidak kena malam ini? Kenapa susah benar untuk tidur? Bukan dia tidak biasa dengan Ryu yang membuat aktiviti hitam. Bahkan, itu yang jadi intipati kehidupan mereka dalam setahun ini. Itu kehidupan Ryu sebelum dia menerjah masuk tanpa undangan. Tetapi entah kenapa, malam ini terasa lain benar.
Senyapnya lain. Hitamnya lain. Debarannya lain.
Maya mengesat dahi yang terasa basah. Jarinya dibawa ke depan mata. Peluh! Kening Maya bertaut. Sekarang ialah musim dingin. Di malam hari. Suasana sangat sejuk. Jadi, kenapa dia boleh berpeluh-peluh?
Hati semakin dirundung rasa tidak enak.
Tidak mahu terus-terusan melayan perasaan, Maya bangkit dari katil. Niat di hati mahu ke dapur, menyediakan minuman panas. Biar tenang sedikit hati yang keresahan. Kakinya dibawa sedikit-sedikit ke dapur. Usai menyediakan secawan koko panas, dia berjalan ke jendela. Seperti selalu, jendela tersebut terus sahaja membawa dia ke dunia luar. Kelihatan kerlipan lampu bermacam warna, menghiasi bangunan-bangunan di Cotai. Dari tempatnya berdiri, Maya tidaklah boleh melihat City of Dreams atau The Venetian. Tetapi otaknya masih mengingati rupa kedua-duanya dengan sangat jelas. Terletak bertentangan, sangat menarik perhatian mana-mana manusia yang melihat.
The Venetian dengan lampu kuningnya, menghiasai bangunan tiga puluh sembilan tingkat dari atas ke bawah. Sekali tengok, sudah serupa jaluran emas yang bersinar-sinar. Replika Rialto Bridge dan St. Marco Campanile Tower yang diinspirasi dari Venice, menambahkan rupa mewahnya. City of Dreams pula selalu tampak memukau dengan sinaran lampu birunya. Persembahan lampu biru yang bergerak ke kiri kanan, menambahkkan kemeriahan. Itu belum lagi dilihat persembahan yang ada di dalam. Contohnya, The House of Dancing Water.
Hujung bibir Maya bergerak sendiri. Kelat. Kenangan suatu masa dahulu menjengah ingatan, membawa bersama rasa hati yang berat. Maya lepaskan nafas seberat-beratnya. Semuanya sudah berakhir. Tidak ada guna mengingatinya lagi. Perhatian langsung dikalih ke pagar kompleks apartmen. Melihat kalau-kalau ada motosikal hitam berkuasa tinggi yang berderu masuk. Macam petang tadi.
Tidak ada. Apa-apa pun tidak ada. Tiada motosikal, tiada kereta, tiada basikal, bahkan tiada kelibat manusia.
Maya senyum sinis. Apa yang dia fikirkan? Sekarang pukul 1.30 pagi. Siapa pula yang mahu keluar masuk ketika ini? Bukan semua orang ialah ahli kongsi gelap.
Dia memusing badan, ingin masuk ke bilik semula. Namun ekor matanya menangkap satu kelibat. Kaki terpasung sekejap, sebelum laju terpusing dan terus menghampiri jendela. Maya mengecilkan anak mata, cuba meneliti objek yang dia lihat tadi. Dan-dan, matanya membesar.
Benar! Itu Kosuke. Satu-satunya manusia lain yang tahu tentang kewujudannya dalam rumah ini. Sedang berlari dalam keadaan kelam-kabut. Juga dalam keadaan berdarah-darah!
Jantung Maya terhentak kuat. Spontan sahaja, dia meluru ke pintu rumah dan membukanya luas. Sebelah kaki dibawa keluar dan….
Terkaku semula.
“Kau tak boleh keluar dari sini. Kau tak boleh tunjuk muka kat luar.”
Amaran itu bermain-main dalam akal fikiran. Kaki Maya terundur sendiri. Sudahnya, dia sekadar pegun betul-betul depan pintu. Menanti kemunculan Kosuke yang bakal muncul bila-bila masa lagi.
Sesaat…
Dua saat…
Tiga saat…
Wajah Kosuke muncul di hujung laluan. Termengah-mengah dan berhenti menampung dinding. Dia menarik nafas sekali, menyambung lari dan akhirnya berhenti di hadapan Maya.
Terus, Maya membuat isyarat.
“Kenapa? Apa dah jadi? Mana Ryu?”
“Macam mana…macam mana….” Kosuke cuba menarik dan menghembus nafas, diselangi kata-kata.
“Macam mana akak tahu aku akan sampai sini?”
“Mana Ryu?” Maya menyoal lagi. Tidak menjawab soalan tadi.
“Abang Ryu dah balik?” Soalan juga yang dia dapat. Soalan yang sudah menjawab soalannya.
Ryu tidak ada dengan Kosuke, tidak diketahui keberadaan.
“Kenapa tanya akak? Ryu keluar tadi, ikut kau orang tadi…” Tangan Maya laju membuat isyarat. Pantas juga ditangkap oleh Kosuke. Digenggam agak kuat.
“Aku tak faham apa akak cuba beritahu,” ucapnya dengan bibir yang agak tertahan-tahan. Rupa orang geram yang tidak sabar melayan bahasa isyaratnya.
Maya menarik tangan dan menyentuh baju, di bahagian poket. Tidak ada. Aduh, masa ini pula dia pakai baju tak ada poket. Maya bergegas masuk ke tengah rumah. Diikuti oleh Kosuke. Buku nota kecil yang sudah tersedia atas meja kopi, segera diambil. Jari-jemari laju mencatit sesuatu.
Ryu keluar tadi. Akak ingatkan dia ada dengan kau orang.
Kertas beralih tangan. Dibaca sekali oleh Kosuke. Dia meraup muka dengan rupa sangat-sangat kusut. Habis terpalit darah di wajah. Tetapi anak muda ini sepertinya tidak peduli semua itu.
“Itulah masalah. Tadi memang ada. Tapi dia…”
Kosuke gigit bawah bibir.
“Kena buat sesuatu.”
Maya membulatkan mata, dengan maksud ‘apa?’
“Itu untuk akak tahu kemudian. Sekarang, aku kena pergi semula. Aku kena cari dia.” Kosuke bersedia untuk pergi. Pantas dihadang oleh Maya. Kedua-dua belah tangannya didepa menghalang laluan.
“Kenapa?” Riak wajah Kosuke kelihatan sebal.
“Aku mahu ikut.” Laju sahaja tangan Maya membuat isyarat. Dia malas menulis. Cuma melambatkan keadaaan.
“Aku dah cakap, kan? Aku tak faham apa akak beritahu.” Muka sebal Kosuke bertambah sebal.
Maya tidak peduli. Dia membuat isyarat lagi. Lebih perlahan dan lebih ditekankan.
“Aku. Mahu. Ikut.”
Kosuke memerhati satu-satunya.
“Akak mahu ikut?”
Tepat dia meneka. Maya mengangguk. Bersungguh-sungguh.
“Akak tahu akak tak boleh keluar, kan?”
Muka Maya berderau. Ah, dia terlupa lagi. Bawah bibir diketap. Jari-jemari digenggam. Otak ligat menimbang tara pilihan. Hati yang membuat keputusan.
“Akak tetap mahu pergi.”
Sejenak, Kosume membungkam. Tidak berkelip merenung muka Maya. Maya menegakkan kepala dengan muka tegas. Dia tahu Kosuke tidak mengerti isyarat tangannya, tetapi dia yakin Kosuke tidak bodoh untuk membaca ekspresi wajahnya.
“Tukar baju dulu. Aku tunggu sini.”
Maya melihat ke tubuh sendiri. Dibaluti pajama. Tidak menunggu lagi, dia berdesup ke bilik. Rembat mana yang patut, sarung ke tubuh. Dua minit kemudian, dia sudah pun kembali tercegat depan Kosuke.
“Laju,” komen lelaki itu dengan senyuman sinis. Bercampur kelat. Tubuh digerak ke pintu rumah.
Maya membuntuti dari belakang. Menggenggam tangan. Menggigit bibir. Berdebar jantung. Kaki kanan diangkat melepasi daun pintu, dan jatuh semula atas lantai.
Dia…Maya. Keluar semula selepas setahun. Demi seorang lelaki bernama…Ryu.
******** BERSAMBUNG ********
Do like and comment. Thank you! =)


No comments:

Post a Comment