April 24, 2018

I'M NOT A MONSTER - BAB 6


BAB 6

MATI.
Dia mahu mati. Dia benar-benar mahu mati. Mati yang sebenar-benarnya mati. Pupus terus dari dunia ini. Lenyap bagaikan tidak pernah wujud. Itu mati yang dia mahu. Kerana sesungguhnya, bagaimana mungkin dia boleh terus hidup, boleh terus menyimpan nyawa lepas apa yang berlaku? Lepas segala-galanya hancur. Lepas semuanya berderai tanpa sisa. Bagaimana mungkin?!
Malangnya, mati pun dia tidak boleh. Dihalang oleh lelaki ini. Dikekang oleh janji yang dia tidak rela titipkan.
‘Lari. Jangan berpaling lagi. Terus hidup. Janji.’
Sepatah-sepatah rayuan itu umpama tali yang dia jerut ke leher semalam. Bezanya cuma, tali semalam sepatutnya melupuskan dia dari dunia kejam ini. Tali yang ini pula memerangkap dia untuk terus berada dalam dunia kejam ini.
Terpasung jasad. Terpasung jiwa. Dan dia tidak ada pilihan lain, kecuali hidup secara mati.
Itulah yang dia buat sekarang. Sewaktu dengan gilanya, bak kata lelaki ini, menjadikan tubuh sendiri sebagai bahan pertaruhan. Dia sudah mati, buat apa simpan tubuh ini elok-elok, kan?
Zup!
Jiwanya sekali lagi, rasa dihiris. Mengingati hakikat bahawa dia baru sahaja memperdagang tubuh sendiri, membuatkan dia berasa sangat kotor. Sangat-sangat jijik.
Ah, kau memang bodoh! Kau sudah mati, kenapa harus peduli tentang maruah lagi? Kenapa harus peduli tentang harga diri lagi? Kenapa?!
Maya genggam tangan kuat-kuat, berusaha untuk menayang muka kosong yang sedari tadi dia paparkan.
Kau sudah mati. Kau sudah mati. Kau sudah mati. Tidak henti-henti, dia membasuh otak sendiri.
“Kau…”
Maya menelan liur. Menanti apa yang bibir itu bakal tuturkan. Lelaki di hadapannya, senyap di sekerat kata. Matanya menunduk lebih dekat, lebih lama, lebih tajam. Seakan-akan cuba tembus ke dalam jiwa Maya dan mencari apa yang tertinggal di situ.
Liur Maya rasa terlebih kelat. Dia ingin mengalih pandangan, tetapi matanya seperti tidak mampu digerak. Lalu dia pegun membiarkan jiwa jadi tatapan, dibaca dan diadili.
Hujung bibir lelaki ini tiba-tiba menyenget. Matanya juga bersinar sinis.
“Belum cukup mati.”
Riak muka Maya terasa berubah. Namun, cepat-cepat dia keraskan semula muka. Kononnya tidak terkesan dengan kata-kata itu.
Senyuman lelaki, semakin lebar. Semakin sinis. Jelas menyindir apa-apa pun yang sedang terjadi sekarang.
“Orang yang sudah mati, takkan cuba untuk hidup,” sambungnya seraya menjauhkan semula kepala. Kerusi ditolak ke belakang. Baru dia ingin bergerak, tangan Maya ternaik sendiri. Kuat dia mencengkam lengan. Lelaki itu memaling separuh muka, melihat ke lengannya sekilas dan mengangkat semula anak mata. Tepat memanah ke muka Maya, dengan mata hitamnya. Mata tajamnya. Mata…
Tangan Maya terlepas ke bawah.
Mata matinya.
Bukan sekali dua, Maya melihat ke mata itu. Bahkan, hanya ketajaman yang lelaki ini pancarkan kepada dia sejak dua malam lepas. Tetapi kali ini, ada bezanya. Lebih kosong. Lebih mati. Seolah-olah yang ada di hadapannya cuma jasad lompong tanpa jiwa.
Lelaki ini…lelaki ini yang benar-benar sudah mati.
“Dah nampak?” Dia menyoal dengan muka tanpa perasaannya.
“Kau tak cukup mati untuk ada di sini. Jadi kau boleh lupakan hasrat gila kau tu. Aku tak ada niat untuk menyusahkan diri sendiri jaga kau.”
Melihat dia yang sekali lagi ingin berlalu, Maya kelam-kabut mengambil pen dan kertas.
“Erghhhh…” Maya menyeru dia yang sudah separuh berpaling. Lelaki itu berhenti dan mengambil kertas yang dihulur.

Aku boleh jaga diri sendiri.

Tidak semena-mena, lelaki itu menghambur tawa. Mulut yang masih lebam, terbuka menampakkan gigi. Mata yang juga lebam, hampir bercantum mengiringi tawa. Seperti baru mendengar lawak paling kelakar dalam dunia. Kertas yang diberi tadi, dia tunjuk ke muka Maya. Masih dengan bahu yang terjongket-jongket ketawa.
Maya boleh nampak betapa palsunya ketawa itu.
“Jaga diri sendiri?”
Dia membawa kertas ke muka sendiri pula. Membacanya sekali lagi. Dan kemudian menunjuk ke muka Maya semula.
Tawanya tiba-tiba mati. Tidak tertinggal langsung. Seolah-olah tiada adegan seorang lelaki ketawa tidak ingat dunia, beberapa saat lepas.
“Kau lari malam-malam buta, pakai pajama nipis, luka sana-sini, jumpa jantan macam aku, cuba bunuh diri, gunting rambut sendiri guna gunting dapur…”
Anak mata Maya membesar dengan setiap satu kenyataan yang dilempar kepadanya.
“Dan kau cakap kau boleh jaga diri sendiri? Kau sedang perbodohkan siapa? Hah? Kau sedang perbodohkan siapa?” Dia mengakhiri tempelak dengan mengerunyuk dan melempar kertas tadi ke muka Maya.
Tertutup mata Maya menerima. Kepalanya tertunduk ke bawah. Segala kenyataan tadi terbayang-bayang dalam ingatan, berputar-putar bagaikan sedang menonton filem di pawagam. Benar, lelaki ini benar. Dia sedang perbodohkan siapa? Diri sendiri, atau lelaki ini?
Hakikatnya, dia tidak boleh jaga diri sendiri. Dia ialah perempuan lemah, perempuan lembik yang cuba berlakon kuat, sedangkan dia tidak punya apa-apa. Tiada lagi kehidupan. Tiada lagi keluarga. Tiada lagi kebahagiaan. Tiada lagi cahaya. Tiada apa-apa pun!!!
Dada Maya turun naik. Dia mengepal tangan kuat-kuat, cuba mengawal deruan emosi yang berderu-deru masuk.
Lewat ekor mata, Maya perasan lelaki itu yang menyambung langkah. Terus, dia menolak kerusi ke belakang dan mengangkat kaki. Mahu mengejar. Namun, tubuhnya tiba-tiba rasa diangkat ke udara. Mata Maya membulat. Baru dia ingin memahami apa yang sedang berlaku, tubuhnya diletak semula atas lantai. Elok berdiri.
Dia memanggung muka kepada lelaki asing. Sedang mencerlung keras.
“Tengok? Kaca yang berlambak ini pun kau tak boleh nampak, ada hati mahu mengaku yang kau boleh jaga diri sendiri?”
Maya melirik mata ke belakang. Kepada kaca-kaca yang masih berterabur atas lantai. Di celah sisa-sisa makanan yang susah-susah dia sediakan tadi, tetapi langsung tidak disentuh.
“Jangan sesekali bazirkan makanan. Tak elok.”
Pesanan itu bermain dalam kotak memori, membawa bersama wajah itu. Wajah yang sangat ingin dijamah. Kalau tidak boleh jamah, lihat dari jauh pun tidak apa. Malangnya, itu sekadar keinginan semata-mata. Takkan pernah jadi kenyataan. Dia takkan dapat melihat wajah itu lagi. Jauh sekali menjamahnya.
Untuk selama-lamanya.
“Kau memang perempuan menyusahkan.”
Darah Maya menyirap. Emosi yang cuba dikawal tadi, rasa seperti akan meletup bila-bila masa lagi. Dia mengetap bibir, masih cuba bertahan, masih cuba berlakon.
Gagal, segagal-gagalnya!
Maya mengangkat muka. Mengecilkan mata kepada belakang yang semakin jauh meninggalkan dia, melirik ke sebelah penjuru dapur, mengambil besen plastik yang terletak di situ dan membalingnya kuat-kuat. Tepat mengenai belakang tegap itu. Sang lelaki berhenti tanpa menoleh. Masih menunjuk belakang.
“Memang! Memang aku perempuan menyusahkan. Aku tak reti jaga diri sendiri. Cuma tahu menyusahkan orang, bahayakan orang, buat orang lain mati. Habis tu, kenapa kau selamatkan aku semalam? Kenapa tak biarkan saja aku mati? Hah, kenapa?!”
Ingin Maya menjerit serupa itu. Sayangnya, apa yang keluar dari mulutnya cuma….
“Erghhhh!!!! Erghhhh!!! Erghhhh!!!!!”
Hanya laungan bisu yang pasti-pasti tidak difahami. Lelaki itu berpaling semula. Melihat kepadanya dengan mata mati yang dingin.
“Apa kau merepek ni? Aku tak faham.”
Tubuh Maya melurut ke bawah, terduduk atas lantai. Benar, kan? Lelaki ini tidak memahami dia. Tidak mungkin faham. Dia ingin bersuara. Dia ingin melaungkan semua itu betul-betul. Tetapi Maya tahu, dia tidak boleh buat begitu. Sama sekali tidak boleh!
Sepasang kaki muncul depan lutut Maya. Sedikit-sedikit, dia mendongak. Anak mata melekat kepada wajah yang sedang tunduk kepadanya. Diam tidak mengata apa-apa. Sekadar merenung dengan pandangan yang sukar dimengerti.
Tajam? Tidak. Keras? Tidak. Benci? Juga tidak.
Maya cuba menebak, tetapi gagal. Lalu, yang termampu dia buat cuma membiarkan lelaki itu menjatuhkan lutut di hadapannya. Mata setia merenung. Tidak berkelip. Masih dengan pandangan yang sukar ditafsir tadi.
“Kau tak cukup mati.”
Maya mendengus. Panas hatinya dengan ayat yang tidak habis-habis diulang itu. Dia bergerak, mahu bangkit semula. Namun, mukanya lebih dahulu jadi mangsa. Dikapit dengan kedua-dua telapak tangan sang lelaki.
Mata Maya bulat terkebil-kebil.
“Dengar sini elok-elok…”
Dia berhenti sekejap dan mengetap bawah bibir.
“Baca mulut aku elok-elok…”
Maya menggerakkan bebola mata ke bibir lebam itu.
“Orang yang tak cukup mati, tak boleh ada dalam dunia aku. Di sini, kau kena jual hati kau. Kau kena jual jiwa kau. Kau kena hidup dalam neraka.”
Dia menetapkan lagi renungan ke muka Maya. Maya mungkin salah melihat, tetapi dia seperti melihat kelunakan dalam mata yang sepatutnya mati itu.
“Kau tak patut hidup dalam dunia macam ni.”
Dan-dan, Maya rasa ingin ketawa. Kalau bukan dunia macam ni, dia patut hidup dalam dunia apa? Dunia warna-warni? Meriah dengan segala cahaya? Bising dengan tepukan gemuruh? Berada atas persada dunia? Sangat bergemerlapan?
Dunia yang itu sudah hancur. Berkecai jadi kepingan-kepingan halus dan tak mungkin bercantum lagi.
Yang ada untuk dia sekarang, cuma dunia lelaki ini. Dunia untuk orang mati. Dunia untuk orang yang jual hati dan jiwa. Dunia untuk orang yang sanggup hidup dalam neraka.
Itu dunia dia sekarang.
Lelaki di hadapannya, melepas keluhan dan menunduk muka sesaat.
“Kau dah buat keputusan kau, kan?” soalnya usai bertentang semula.
Maya mengelip mata tanda mengiya. Difahami lelaki itu, kerana dia menyengetkan bibir. Lebih kelat berbanding sinis.
“Walau apa pun yang aku cakap, kau takkan berganjak, kan?”
Maya mengelip lagi.
“Kau sanggup buat apa sahaja, asalkan kau boleh tinggal di sini, kan?”
Kelip lagi.
“Kalau tak dapat, kau mungkin akan bunuh diri? Sekali lagi?”
Mata yang hampir mengelip, terbuka semula. Ditahan oleh keraguan yang tiba-tiba mengintai jiwa. Peristiwa semalam melintas dalam fikiran. Dia yang tergantung hampir putus nyawa. Lelaki ini yang berusaha menyelamatkan dia.
Adakah dia akan cuba bunuh diri lagi?
Belum sempat dia jawab soalan sendiri, satu lagi ingatan menerpa dalam kotak memori. Segala hingar bingar, jerit pekik, lorong gelap, jatuh bangun dan akhir sekali, sekujur tubuh yang terkulai layu.
Mata Maya terkelip sendiri. Ya, itu jawapannya. Dia mungkin akan cabut nyawa sendiri. Biar dia jadi serupa tubuh yang terkulai berdarah-darah itu.
“Kalau macam tu…”
Lelaki itu mendekatkan lagi muka. Pegangan di kedua-dua belah pipi Maya, dikemas lagi hinggakan Maya dapat merasai kehangatan yang masuk ke kulit.
“Kau hadam ini baik-baik.”
Maya melihat lebih tepat ke mukanya.
“Kau yang nak berada di sini. Kau yang serahkan diri kepada aku. Jadi…”
Maya menanti dengan debar.
“Kau…”
Debaran semakin kuat.
“Takkan pernah tengok dunia luar lagi.”
Jantung Maya seperti dihentak batu. Anak matanya membundar tanpa sempat dia halang.
“Kau perlu dengar setiap patah cakap aku. Kau tak boleh sesekali keluar dari sini. Kau tak boleh tunjuk muka kat luar.
Sejenak, arahannya berhenti. Desah nafas keluar dan menampar muka Maya. Kemudian, bibirnya bergerak lagi.
“Itu harga yang kau perlu bayar.”
Mata Maya terpejam sesaat. Segenap tubuh tiba-tiba rasa longlai, disusuli dengan rasa mahu mentertawa diri sendiri. Nampaknya, dia benar-benar akan dapat apa yang dia mahukan sangat.
Hidup secara mati.

******** BERSAMBUNG ********
Satu je boleh cakap pasal Maya ni. DEGIL. Haha! 
Do like and comment. TQ! =)


No comments:

Post a Comment