April 24, 2018

I'M NOT A MONSTER - BAB 5


BAB 5

“TAK GUNA!” Lidah Ryu menjerit lantang. Kedua-dua biji mata terbelalak luas. Rasa kurang fokusnya dan-dan menghilang. Dia menyerbu ke hadapan. Kaki yang tergantung itu dipegang dan cuba diangkat ke atas. Biar leher pemiliknya tidak terjerut lagi. Rontaan yang diterima langsung tidak dipeduli. Bahkan, dia mengemaskan lagi pegangan.
Pada masa yang sama, hujung kaki Ryu dipaut pada kerusi yang separa tersadai. Sebaik kerusi tersebut terletak elok, dia meletakkan kaki yang tadinya tergantung ke atasnya. Perhatian dialih pula pada tali yang melilit leher gadis. Cuba ditarik keluar. Tetapi kuat juga gadis memegangnya. Tidak mahu menyerah. Tetap meronta-ronta.
Ryu mendengus sekuat hati dan merentap tali tersebut. Terputus dua! Sesudah itu dia mengangkat tubuh gadis ke atas bahu, berjalan setapak ke hadapan dan membantingnya ke atas katil. Sangat kuat hinggakan tubuh gadis jadi melantun ke atas, sebelum kembali berbaring. Belum sempat gadis bangun, Ryu lebih dahulu bertindak. Dia naik ke atas katil dan menindihnya. Kedua-dua belah pergelangan tangan gadis dicengkam tidak boleh bergerak.
Gadis meronta-ronta. Wajahnya dipusing kiri dan kanan. Bahu cuba diangkat. Namun, tidak berkesan. Tubuh besar Ryu tidak seinci pun berkalih. Malahan, dia mengetatkan lagi cengkaman. Bebola matanya terasa seperti menanti saat untuk tersembul keluar. Mencerlung sangat tajam. Urat lehernya juga menegang. Rahang terketap-ketap. Gigi terkacip-kacip.
Pemandangan depan matanya benar-benar membuatkan segenap pembuluh darah dalam tubuhnya seperti mahu pecah!
Langsung, dia melepas sebelah tangan gadis dan membawa tangannya sendiri ke bawah rahang gadis. Direngkuh kuat, hinggakan muka gadis jadi terngadah. Tepat memandang Ryu. Rontaan serta-merta terhenti.
“Kau dengar sini baik-baik,” tekan Ryu. Sangat keras.
“Aku tak peduli apa-apa pun jadi pada kau. Tapi selagi kau ada dalam rumah aku, selagi kau ada depan mata aku, aku takkan biarkan kau mati.”
Anak mata gadis mengecil. Merenung lebih tajam. Hidungnya berdengus-dengus, di sebalik mulut yang setia terkatup.
Ryu mengherotkan bibir.
“Kenapa? Geram? Kalau macam tu, marah aku! Pukul aku! Tapi…”
Kata-kata Ryu terhenti di sekerat jalan. Jantung tiba-tiba terasa terlebih sebu.
“Jangan sesekali cuba bunuh diri kau. Jangan cuba cabut nyawa sendiri. Jangan…”
Suara tersekat di celah kerongkong.
“Jangan…”
Tersekat lagi. Ryu mengetap bibir dan memejam mata. Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali. Seketika berlalu, dia membuka mata semula. Kembali memanah mata tajam yang cuma beberapa inci jauh daripadanya.
“Jangan mati depan aku.” Kali ini, suara yang terpantul bertukar nada. Ryu tidak berniat, tetapi dia boleh dengar betapa lirihnya suara dia. Huh, persetankan! Kalau dia kedengaran lemah sekali pun, dia sudah tidak peduli.
Gadis kekal pegun. Tidak langsung melarikan mata. Namun, Ryu dapat melihat pandangannya bertukar sedikit demi sedikit. Ketajaman menghilang, digantikan dengan takungan yang semakin lama semakin tebal. Hingga akhirnya bolos menuruni birai mata.
Perlahan-lahan, Ryu melepaskan cengkaman. Tubuh juga dialih ke tepi, dan dibiarkan melurut ke lantai. Dia menyandarkan belakang ke birai katil. Terasa lemah, seolah-olah semangatnya sudah disedut oleh suatu kuasa asing. Ekor mata Ryu kemudian dilirik ke katil. Gadis masih serupa tadi. Terbaring dengan posisi asal, waktu Ryu mengalihkan tubuh.
Kaku tidak bergerak. Mata terkelip-kelip memandang siling.
Dan seperti pagi tadi, titis-titis jernih menuruni ekor mata dan dibiar jatuh mengenai bantal. Senyap sekali. Tetapi bibirnya jelas terketar-ketar dan sesekali diketap. Ryu yang melihat, menarik senyum. Sinis bercampur kelat.
Apa lagi yang kau tahan? Kalau mahu menangis, menangis saja! Kalau mahu menjerit, jerit saja! Kalau mahu marah, marah saja! Kenapa perlu tahan-tahan begini? Kenapa?!
Bagaikan mendengar jeritan batin Ryu, gadis tiba-tiba memusing badan dan membelakangi Ryu. Lututnya dibawa ke dada, memeluk erat. Tidak ubah seperti bayi kecil dalam kandungan ibunya. Seketika kemudian, belakangnya mula terenjut-enjut. Sedikit-sedikit hingga lama-lama jadi laju. Bunyi tangisannya mendayu-dayu memenuhi segenap bilik.
Ryu setia di sebelah. Bersandar pada birai katil. Dengan satu lagi persoalan yang menjalar masuk.
Dunia apa pula yang sudah kau lalui?
*****
TERPISAT-PISAT Ryu membuka mata. Kepala terasa berat. Lebih berat daripada semalam. Lalu, dia menggerak kepala ke kiri kanan. Kononnya dengan perbuatan itu, rasa beratnya akan menghilang pergi. Tidak banyak, tetapi cukup untuk membuatkan dia membuka mata luas-luas dan….
Membuntang!
Ryu memusing kepala ke tepi, diterjah ingatan yang baru menerpa. Kosong. Katilnya kosong. Elok berkemas. Seolah-olah tidak pernah menampung tubuh sesiapa pun. Apatah lagi, seorang gadis yang mengerekot melepas perasaan. Ryu bingkas bangun. Mata berlingas ke kiri kanan, padahal kalau ada gadis dalam biliknya, tentu-tentu dia nampak.
Bilik ini bukan besar mana pun!
Tidak menanti lagi, Ryu membawa diri ke bilik air. Pintu ditolak besar-besar. Juga kosong. Jantung semakin dirodok rasa tidak senang. Pelbagai kemungkinan masuk ke otak. Buruk belaka.
Ryu bergegas pula ke pintu bilik dan meloloskan diri ke ruang tamu. Kosong seperti tidak pernah dilalui orang. Liur semakin lama semakin tersekat di celah kerongkong. Peluh dirasakan menitis atas dahi. Pagi dingin ini tiba-tiba terasa panas.
Ting!
Ryu tersentak. Kepala terpusing kepada arah datangnya bunyi. Terus, dia berkejar menuju dapur. Terpaku di sekerat jalan. Melihat pemandangan depan mata.
Gadis tunduk di tengah-tengah dapur. Sedang mengutip sesuatu yang mungkin jatuh sebentar tadi. Ryu menggerakkan bebola mata kepada objek tersebut. Jantungnya terhentak. Mata terbeliak buat kesekian kali.
Gunting!
“Apa kau…”
Ryu pantas bergerak ke hadapan. Namun, gadis lebih dahulu bangkit berdiri. Tangannya deras menuju leher. Ryu melajukan gerak kaki dan…
Zup!
Kaki Ryu terhenti sendiri. Kira-kira satu depa daripada gadis. Mata bulat memandang rambut panjang hitam bersinar yang terbang jatuh ke lantai. Kepalanya diangkat kepada gadis. Sedang tercegat menggenggam gunting. Mukanya tegak ke hadapan. Bibir dan kelopak mata bergetar. Tidak ada tangisan yang menitis, tetapi Ryu boleh nampak emosi di mata itu. Tetapi kali ini, ada sesuatu yang lain dalam renungannya.
Ada keteguhan.
Perlahan-lahan, gadis memaling kepala. Ryu tegak menanti. Mereka kembali berpandangan. Terpasung pada mata masing-masing. Di luar jangkaan Ryu, gadis tiba-tiba tersenyum. Dia jadi terpanar. Di suatu sudut diri, Ryu sedar betapa kosongnya senyuman itu. Tidak sampai ke mata. Dan tidak datang dari hati. Tetapi…
Tetap juga dia kaku melihat senyuman daripada bibir wanita yang selama ini merenung penuh kebencian.
Malahan, dia terus kaku saat gadis menapak ke suatu penjuru dapur. Matanya terkelip-kelip memerhati gadis menyelongkar resit lama yang diletak celah peti ais. Entah apa yang ingin dibuatnya, Ryu tidak dapat meneka.
Seketika berlalu…
“Huh?” Ryu tersentak. Lantas melihat kepada lengannya yang dipegang gadis. Sejak bila gadis berdiri di hadapan, dia tidak perasan. Ryu memanggung muka, bersama kerutan penuh tanda tanya.
Gadis menundukkan pandangan, kepala diangguk, mulut memuncung sedikit. Seperti sedang memberi isyarat. Ryu mengikut isyarat yang diberi. Pandangan terpaku pada kertas yang sedang dihulur.
Resit lama miliknya.
Kerutan di dahi, semakin menebal. Namun tetap juga Ryu mengambil kertas tersebut. Bait-bait tulisan yang tertera, dibaca satu per satu.

Nama aku Maya.

Kepala Ryu terdongak semula. Kening dijongket mohon penjelasan. Gadis menunduk lagi. Menggunakan pen yang sedia dipegang dan menulis sesuatu atas kepingan resit lama yang juga sedia dipegang.
Ryu mula dapat menebak sesuatu. Ternyata, tekaannya tepat mengenai sasaran. Kertas yang bertukar tangan sebagai pengesahan.

Aku tak boleh bercakap.

Kepala Ryu terngadah lagi. Kembali melihat ke muka gadis yang kini punya nama. Gadis yang sekali lagi, mengulum senyuman kosong. Sama kosong dengan otaknya sekarang. Entah apa yang patut dia fikir, Ryu benar-benar tidak tahu. Selama dua hari ini, dia ingat gadis memang sengaja tidak mahu bercakap. Sengaja memberontak. Sengaja membuat protes. Tidak pernah sekali pun dia terfikir bahawa gadis yang dia bawa pulang ke rumah ini sebenarnya ialah…
Perempuan bisu.
*****
RYU diam di meja. Serius memerhati Maya yang sedang berdiri di satu sudut dapur. Elok membelakangi dengan rambut pendek paras telinga. Potongan tidak kemas, sekadar memutuskan rambut yang sebelum ini panjang mengurai hingga ke pinggang. Di sebelahnya, atas dapur gas, kelihatan cerek berasap. Tidak jauh dari situ, ada sebuah periuk. Juga berasap-asap.
Buat pertama kalinya selepas beberapa tahun, dapur Ryu berasap di pagi hari. Harum dengan bau-bauan enak.
Ryu masih pegun berwajah serius. Sekadar memerhati tanpa berkelip. Sekadar membiarkan Maya sekejap ke periuk, sekejap mengambil mangkuk, dan sekejap menyediakan teh dalam teko. Selesai membuat kerjanya, Maya datang mendekat. Elok memegang satu dulang dengan dua biji mangkuk dan sebuah teko. Tanpa menjatuhkan duduk, dia mengambil teko tersebut dan menuang teh ke dalam cawan.
Ryu memegang pergelangan tangannya. Terkaku sejenak, sebelum Maya sedikit-sedikit mengangkat anak mata.
“Apa kau sedang buat?” tanya Ryu. Agak berhati-hati dalam meluah kata. Risau kalau-kalau Maya tidak dapat membaca gerak bibirnya.
Soalan Ryu tergantung sepi. Maya sambung menuang teh. Selamba bagai tiada apa-apa. Tidak cukup dengan itu, dia turut menghulurkan satu mangkuk kepada Ryu. Sekilas, Ryu melihat isinya.
Jook.
Bubur nasi yang biasa jadi sarapan orang Cina. Ringkas tanpa lauk. Sekadar ada daun-daunan hijau di atas. Maya mengambil tempat duduk bertentangan. Sebelah tangan mula menulis sesuatu atas kertas. Ryu menanti sahaja.
Pagi ini, dia tiba-tiba bertukar jadi manusia penyabar.
Usai menulis, Maya menghulurkan kertas tersebut. Pantas disambut oleh Ryu.

Maaf. Bubur kosong saja. Tak ada apa-apa di dapur.

Ryu mendengus. Mata diangkat mencerlung.
“Bukan itu soalnya. Aku tanya, apa yang kau sedang buat?”
Maya melihat sahaja ke mukanya. Tidak terkesan dengan renungan tajam. Dia menulis lagi.

Sarapan untuk kau.

Sekali lagi, Ryu melepas dengusan. Darah panas terasa menyirap ke otak. Dia tahu Maya tidak bodoh untuk mengerti apa yang sebenarnya dia soal. Tetapi gadis ini sengaja mahu berteka-teki.
Dia tidak ada masa untuk semua itu!
“Aku tanya sekali lagi. Apa yang kau sedang buat?” Ryu mengulang soalan. Keras tertahan-tahan.
Maya kembali menulis atas kertas. Dihulur lagi.

Aku mahu tinggal di sini.

Kening Ryu dan-dan bertaut.
“Apa maksud kau?”
Sekali lagi, Maya menulis dan menghulur kertas.

Macam yang kau baca. Aku mahu tinggal di sini. Di rumah ini.

Mulut Ryu melurut ke bawah. Mata membundar luas. Sejenak berlalu…
“Kau gila?!” Suaranya naik satu oktaf.
“Kau sedar tak apa yang kau beritahu ni?”
Muka Maya kekal tanpa riak. Masih selamba dengan kertas dan pen. Jawapan diserah.

Aku sedar.

“Habis tu?” Ryu membentak. Sukar untuk dia percaya apa yang sedang berlaku. Tidak cukup Maya cuba membunuh diri, buat kerja gila dengan menggunting rambut sendiri guna gunting dapur, sekarang dia beri bom ini pula?
Sungguh! Apa jenis perempuan yang dia sedang hadap?

Aku tak ada tempat lain untuk pergi…

Ryu merampas kertas di tangan Maya, mengerunyukkan kertas tersebut dan melemparnya ke lantai. Muka dibawa ke hadapan. Bertentang lebih dekat.
“Jadi sebab itu kau mahu tinggal di sini?”
Maya menganggukkan kepala.
“Kau tahu siapa aku, kan?”
Angguk.
“Dan apa aku boleh buat pada kau?”
Angguk lagi.
Ryu menghela nafas. Kepala tergeleng-geleng tidak percaya. Bersahaja sungguh Maya beri jawapan. Seolah-olah lelaki yang dia hadap sekarang bukanlah seorang ahli kongsi gelap. Bukan Red Dragon yang dia lihat belasah orang dua malam lepas.
Maya melihat kepadanya sekilas dan kembali menulis sesuatu atas kertas.

Kalau kau fikir aku takutkan kau, kau silap. Kematian pun aku tak takut. Inikan pula seorang lelaki.

Berderau muka Ryu. Darah menyirap. Tengkuk mula menerik. Maruahnya sebagai seorang lelaki rasa dipijak-pijak. Harga dirinya sebagai Red Dragon rasa dilempar ke dalam longkang.
Perempuan ini tidak kenal siapa dia. Benar-benar tidak kenal!
Perlahan-lahan, Ryu menggerakkan hujung bibir. Membentuk senyuman sinis. Anak mata juga diangkat sedikit demi sedikit.
“Kau tak takutkan lelaki?” Dia berdesis senada.
Riak muka Maya tampak berubah.
“Kau betul-betul tak takutkan lelaki?” Dia mengulang lagi.
“Kalau macam tu…”
Ryu melebarkan senyuman. Mata bersinar dengan suatu maksud tersirat. Kemudian….
Prang!
Bahu Maya terangkat, serentak dengan jatuhnya segala mangkuk, teko dan cawan dari atas meja. Ditolak oleh Ryu. Belum sempat gadis itu mencerna apa yang berlaku, Ryu sudah pun merengkuh kolar bajunya. Separa tunduk dengan meja kosong di tengah-tengah mereka. Dikelilingi kaca yang berterabur atas lantai, bersama cecair panas berasap-asap.
Kepala Maya terdongak membalas renungan. Wajah berkerunyut, mungkin menahan sakit di leher. Tetapi Ryu tidak peduli. Bahkan, dia mengeraskan lagi cengkaman. Sama keras dengan hatinya yang keberangan.
“Serahkan tubuh kau pada aku.”
Riak muka Maya berubah lagi. Ryu boleh nampak kejutan pada matanya yang mula berkelip tanpa fokus.
Huh, tidak takutkan lelaki konon!
“Tak ada apa yang percuma dalam dunia ni. Kau ingat kau boleh muncul dalam hidup aku tiba-tiba, mahu tinggal dengan aku dalam rumah ni, tapi tak beri aku apa-apa? Huh, kau memang bodoh kalau kau fikir macam tu.”
Maya tidak memberi apa-apa reaksi. Dia sekadar diam bersabung renungan. Seketika berlalu, dia memejamkan mata. Bawah bibir juga diketap kuat-kuat. Nafas ditarik dalam-dalam, seperti sedang memanggil semangat yang hilang.
Ryu mengerutkan dahi. Melihat perilaku Maya, dia pula yang jadi tidak pasti. Sudahnya, dia sekadar membiarkan bila Maya membuka semula mata, menolak cengkamannya di kolar baju dan meletak jari-jemari sendiri di situ. Ryu terkulat-kulat memerhati apa yang ingin dibuat oleh gadis itu. Dan…
Mata Ryu buntang seluas-luasnya. Jantung terhentak. Tangan laju mencengkam jari-jemari Maya yang sudah sampai ke butang ketiga. Hampir menampakkan dada.
“Kau gila?!” herdik Ryu. Tangan mengemaskan baju Maya, menutup tubuhnya yang hampir terdedah. Sepantas itu juga, Maya menepis tangannya. Muka terpanggung tinggi. Mata keras mencerlung. Desah nafas berdengus di celah hidung yang kembang-kempis.
Ketajaman dan kebencian yang Ryu nampak sebelum ini, kembali lagi.
Ryu melepas keluhan dan meraup wajah. Tiba-tiba berasa lelah menghadap wanita penuh kejutan ini.
“Apa yang kau cuba buktikan?” Dia menyoal dengan suara yang lebih kendur.
Maya tunduk mengutip pen dan kertas yang jatuh atas lantai. Agak basah terkena teh dan bubur yang berterabur. Tetapi masih boleh ditulis. Kertas separa basah itu beralih kepada Ryu.

Macam yang kau cakap tadi, tak ada apa yang percuma dalam dunia ini.

Terluah gelak halus dari bibir Ryu. Sinis. Sungguh, dia sudah tidak mampu terkejut dengan apa yang dilakukan oleh perempuan yang seorang ini.
“Kau…”
Suara Ryu tenggelam di kerongkong. Kehilangan kata-kata.
“Kau memang perempuan gila.” Hanya itu yang mampu terluah dari mulut.
Hujung bibir Maya bergerak sedikit. Untuk apa, Ryu tidak pasti. Tetapi ada sinisnya di situ. Ada kelatnya. Seperti sedang mentertawakan diri sendiri. Maya menulis buat sekian kalinya pagi itu.
Kertas bertukar tangan lagi. Ryu tunduk membaca.

Tidak. Aku bukan perempuan gila. Aku cuma seorang perempuan yang sudah mati.

Kepala Ryu terdongak sendiri. Merenung tepat ke muka perempuan yang mengaku diri sudah mati. Ternyata, itulah yang dia nampak.
Sepasang mata yang sudah mati. Serupa yang dia lihat dua malam lepas. Tetapi kali ini, mata mati itu tampak lebih kosong. Lebih mati. Seolah-olah seluruh emosi dalam diri sudah pun direnggut keluar tanpa meninggalkan sebesar zarah kesan.
Perempuan ini…benar-benar sudah mati.

******* BERSAMBUNG ******

Woah, that scenes between Ryu and Maya! Boleh tak korang rasa betapa tegangnya scene Maya cuba bunuh diri tu. Ryu tindih Maya atas katil, selamatkan dengan cara kasar. Tapi, dia stay sebelah Maya, kat tepi katil tu sampai pagi. Itu sweet, very protective. Awwww...
Tapi Maya...oh, Maya...boleh pulak awak nak buka baju depan Ryu? Mana tak terkejut beruk si Ryu. Hahahaha!!!
Do like and comment. Thank you! =)



No comments:

Post a Comment