April 24, 2018

I'M NOT A MONSTER - BAB 11


BAB 11
“BUNUH DIA.”
Nafas Ryu rasa tersekat celah dada. Namun, tetap juga dia berdiri dengan kepala tegak ke hadapan. Serius tidak beremosi. Kedua-dua belah tangan juga dikepal ke belakang badan. Sudah serupa askar menanti arahan daripada sang ketua.
Huh! Dalam organisasi kongsi gelap, 49 chai seperti dia memang askar. Hanya boleh menerima arahan. Jangan menyoal sebab musabab, apatah lagi mempertikaikan. Dia dikira bernasib baik kerana masih hidup hingga ke hari ini. Padahal, dia sepatutnya mati pada saat dia gagal mencabut nyawa orang malam itu.
“Aku nak kau betul-betul bunuh dia.”
Arahan berbunyi lagi. Ryu tetapkan pandangan kepada lelaki separa umur yang sedang bersandar di hadapan. Sedang elok bermain-main dengan cerut di jari. Muka tersangat selamba, seperti bukan baru menjatuhkan arahan untuk mencabut nyawa manusia lain.
Zachary Ho.
Setahun tidak ketemu, rupanya tetap serupa. Yang berbeza mungkin beberapa helai uban yang menyelit di celah rambut serta kedutan di tepi mata.
Mata yang berdesis dengan ketajaman, cabaran dan…
Kau main-main dengan aku. Dan kau mati.
Amaran. Ryu tidak bodoh untuk memahami amaran tersebut. Apatah lagi bila Zachary Ho mula menggerakkan kepala ke hadapan, bersama mata yang semakin tajam. Penuh dengan aura bahawa tidak ada manusia di muka bumi ini yang boleh main-main dengan dia.
“Kau faham maksud aku, kan?” Dia menyambung dengan suara yang sangat lembut. Tetapi kelembutan jenis inilah yang boleh buat kepala lutut menggeletar.
Tidak seorang Ryu. Dia sekadar tegak. Masih dengan muka kosong, tidak terkesan dengan apa-apa pun.
Tanpa semena-mena, lelaki di hadapannya meledakkan tawa. Siap dengan tangan yang ditepuk berberapa kali.
Ryu tatap tanpa reaksi.
“Sebab inilah aku nak kau, Ryu. Kau memang tak reti takut.” Dia bersuara di celah-celah tawa.
“Kenapalah kau tak pernah bunuh orang selama ni? Kenapalah dai lo kau pengecut sangat…”
Telinga Ryu berdesing. Laju sahaja lidahnya membidas.
“Dai lo bukan pengecut.”
“Ryu.” Serentak itu, Luo Ming yang duduk di sebelah Zachary Ho menyampuk. Matanya dijegil luas, memberi amaran agar Ryu tutup mulut.
Ryu ketap bibir dan menundukkan pandangan.
“Maafkan dia. Ryu masih budak. Banyak lagi yang dia tak tahu dan perlu belajar.”
Zachary Ho jongket bahu. Bibir masih mengulum senyum.
“Tak apa. Semua orang buat silap. Takkanlah aku nak marah dia sebab benda kecil ini, kan? Kalau aku jadi dia pun, mesti aku geram bila ketua aku dikatakan pengecut.”
Senyuman semakin lebar. Sinisnya memenuhi wajah.
“Walaupun memang itu pun hakikatnya. Luo Ming, hung kwan Red Dragon yang mengalah pada anak buah sendiri. Dibiarkan saja anak buah yang tak dengar arahan, hidup macam biasa.”
Luo Ming mendengar tenang. Tidak ada secalit pun kegoyahan di wajah. Ryu pula yang semakin panas telinga. Semakin berbahang jiwa. Kalau tidak kerana manusia tua ini ialah cho kun, mungkin sudah lama dia menerkam Zachary Ho.
Berani jantan ini mengutuk ketuanya!
“Dai lo, kalau ini pasal kes beberapa tahun lepas...” Sejenak Luo Ming mendiam dan mengerling kepada Ryu.
“Benda tu dah selesai. Dia pun dah jadi cacat.”
Dan-dan, ingatan Ryu menerawang kepada ahli perniagaan yang sudah dia cacatkan dahulu. Dia telan liur. Ada rasa bersalah yang menyusup masuk. Dia tiba-tiba jadi tertanya. Adakah sebenarnya lebih baik kalau dia tamatkan terus nyawa lelaki itu, daripada dibiarkan hidup dengan penderitaan? Adakah mati lebih baik daripada berkaki tempang, dikeji orang dan diperlekehkan manusia?
Ah, siapa suruh mengkianati Red Dragon dan cuba memberi maklumat kepada polis? Rasakan akibatnya! Ryu hambat rasa bersalah itu jauh-jauh. Dia ialah Ishikawa Ryu. Dia ialah Red Dragon. Dan dia takkan pernah menyesali apa yang sudah dia buat. Hatta, mencacatkan orang dan menjahanamkan seluruh kehidupan orang itu.
“Masa tu, kau suruh Ryu cacatkan orang atau bunuh orang?”
Perhatian Ryu dikalih semula kepada Zachary Ho. Ekor mata sempat dilirik kepada Luo Ming. Lelaki itu juga mengerling kepadanya sekilas.
“Bunuh orang.”
“Habis tu?”
“Kadang-kadang, hal boleh diselesaikan tanpa bunuh sesiapa pun,” jawab Luo Ming. Masih berwajah tenang.
Sekali lagi, Zachary Ho menghambur tawa. Keningnya juga dijongket sebelah.
“Macam yang kau buat untuk Lotus?”
Soalan itu terbiar sepi. Zachary Ho menyambung lagi.
“Aku puji kau untuk hal itu. Pandai kau dapatkan balik kawasan, elakkan diri daripada kerugian dan halau Hector. Sebab itulah, aku perlukan kau untuk uruskan dia sekali lagi.”
“Dai lo cakap saja apa yang perlu dibuat. Aku akan uruskan.”
Zachary Ho menyandar semula badan ke belakang sofa. Kembali meletak perhatian kepada Ryu. Anak matanya bergerak atas bawah, seperti membaca dan mengadili Ryu.
Penuh maksud tersirat.
“Aku dah bagitahu apa yang aku nak tadi.”
“Tapi…”
Zachary Ho menoleh kepada Luo Ming. Muka sinis yang ditayang tadi hilang sudah, digantikan dengan muka keras mata tajam.
“Kenapa? Kau pun nak jadi macam anak buah kesayangan kau?”
Biasan di mata Zachary Ho bertukar lebih tajam. Lebih membunuh. Dia kemudiannya menyambung dengan suara senada yang sangat perlahan.
“Tak. Reti. Dengar. Cakap. Ketua.” Sepatah-sepatah, kata-kata itu keluar dari celah gigi yang dikacip.
Riak wajah Luo Ming kekal bersahaja, tetapi Ryu boleh nampak anak matanya yang membesar sedikit. Halkumnya juga bergerak. Menelan liur.
Ketuanya terkesan dengan apa yang baru didengar.
Zachary Ho memaniskan semula wajah.
“Boleh, tak ada masalah. Tapi kau kena ingat satu perkara, Luo Ming. Aku bukan macam kau. Aku juga bukan macam Uncle Foong. Anak buah yang berani lawan cakap aku…”
Dia memanahkan renungan tepat ke muka Ryu.
“Akan mati.”
‘Atau dalam erti kata lain, dia akan dibunuh jika tidak membunuh Hector.’ Ryu menyambung dalam diam. Dan-dan rasa ingin mentertawakan diri sendiri. Apa yang pernah dia fikir selama ini? Dia boleh kekal sebagai Red Dragon tanpa mengotorkan tangan dengan darah manusia?
Huh, berangan saja dia!
“Dan lagi satu. Untuk kegagalan anak buah, ketua dia yang perlu tanggung akibatnya.”
Kali ini, wajah kosong Ryu berderau. Mata bulat menentang renungan tajam Zachary Ho. Dia faham. Dia sangat-sangat faham apa yang ingin disampaikan oleh wajah sinis depan matanya.
Jika dia gagal, nyawa Luo Ming juga bakal melayang!
“Itu…”
Suara tenang Luo Ming melekat di telingan Ryu. Dia mengalih perhatian kepada ketuanya.
“Memang yang sepatutnya, kan? Apa-apa pun yang anak buah aku buat, aku akan bertanggungjawab.”
Mata bulat Ryu semakin membulat. Apa yang dikatakan oleh Luo Ming ini? Apa yang dia sedang fikirkan? Takkanlah…
“Aku akan uruskan hal ini. Dai lo jangan bimbang. Hector akan mati malam ini. Dia takkan boleh lawan dai lo untuk jawatan pengerusi. Dia…”
Tanpa semena-mena, Zachary Ho mengambil tangan Luo Ming dan meletaknya atas meja. Belum sempat Ryu mengerti apa yang sudah berlaku, hidungnya lebih dahulu menghidu daging manusia dibakar. Mata terbelalak lagi. Tepat memandang belakang telapak tangan sang ketua yang sedang dicucuh cerut.
“Dai-lo!” Dia maju ke hadapan.
“Ryu.”
Cepat ditegah oleh Luo Ming. Kaki Ryu terhenti sendiri. Cuma dua tapak jauh daripada sang ketua yang sedang menerima kepala Zachary Ho yang mendekat kepadanya.
“Aku nakkan Ryu.” Zachary Ho berdesis di tepi telinga Luo Ming.
“Bahagian mana yang kau tak faham sangat?” sambungnya di celah rahang yang terketap-ketap. Dapat Ryu lihat urat lehernya yang menegang. Tangannya juga semakin kuat menekan cerut. Luo Ming tidak mengerang apatah lagi menjerit, tetapi Ryu tidak buta untuk melihat betapa ketuanya menahan sakit.
Kedua-dua biji mata memerah. Dahi berkerut-kerut hingga menampakkan urat. Bawah bibir diketap kuat.
Sedikit-sedikit, Ryu mengepal jari-jemari. Dada mulai terasa penuh. Membuak-buak dengan api kemarahan.
Jantan tua tak guna!!!
Ryu tarik dan hembus nafas berkali-kali. Cuba menyabarkan diri. Dia tahu, kalau pun dia menyerang Zachary Ho, dia takkan dapat buat apa-apa terhadap lelaki itu. Silap perkiraan, dia yang mati dicencang hingga lumat. Kalau dia seorang, tidak apalah. Sama ada dia hidup atau mampus, dia bukan peduli pun. Tetapi untuk membiarkan Luo Ming dan ahli Red Dragon yang lain terheret sama dalam prinsip bodohnya? Tidak sama sekali! Ryu takkan biarkan itu berlaku.
Jadi mungkin sudah tiba masanya…
“Cho kun…” Ryu membuka mulut.
Zachary Ho menaikkan renungan ke mukanya.
“Aku cuma perlu bunuh Hector saja, kan?” Ryu menyoal dengan muka yang dirasakan lebih kosong daripada biasa. Bahkan, dia dapat merasai hatinya yang semakin dingin.
Sangat. Dingin.
*****
BUTTERFLY CLUB.
Salah sebuah kelab malam untuk golongan VIP di Taipa. Terkenal dengan kemewahan, dadah, wanita-wanita penghibur seksi. Dimiliki oleh Black Dragon dan dipandang sepi oleh pihak berkuasa. Sama dengan apa yang Red Dragon buat. Kumpulan kongsi gelap memegang segala-galanya di Macau dan Hong Kong. Dari golongan bawahan hingga orang-orang dalam kerajaan. Kalau ada pihak yang tidak boleh dirasuah, nantikan saja mayatnya dilempar tengah jalan.
Ryu menyengetkan bibir di sebalik topi keledar. Jalan hidupnya benar-benar hitam lagi kotor. Betapa bodohnya dia selama ini kerana memikirkan bahawa dia boleh sentiasa berpegang kepada prinsipnya.
Tidak akan membunuh. Tidak akan menyentuh perempuan, mahu pun kanak-kanak.
Huh, dia fikir dia siapa? Malaikat? Ya, memang! Dia memang malaikat. Dia malaikat maut yang bila-bila masa lagi akan mencabut nyawa manusia.
Ryu membetulkan duduknya atas motosikal. Sebelah kaki menampung berat. Segenap perhatian masih diberi kepada pintu masuk Butterfly Club. Di manakah manusia yang bakal dicabut nyawa itu?
Bingo!
Bibir senget Ryu semakin herot. Hector sedang berjalan keluar, dikelililingi oleh beberapa orang lelaki berpakaian kemas. Sampai depan pintu, mereka berhenti dan bersalam-salaman. Masing-masing dengan sengih di bibir. Sempat juga menampar bahu. Jelas baru memeterai perjanjian.
Ryu kenal mereka. Antara ahli perniagaan terkaya di Macau. Memiliki hubungan dengan Black Dragon untuk menjaga premis-premis perniagaan mereka, melindungi mereka daripada segala jenis musuh dan mengutip hutang daripada yang liat. Sebagai balasan, ahli-ahli pernigaan ini perlu menyalurkan wang untuk aktiviti Black Dragon dan membiarkan premis mereka digunakan untuk segala aktiviti hitam. Sekali membantah, nyawa galang gantinya! Mereka ini juga mempunyai kuasa untuk mengundi pengerusi Soaring Dragon yang seterusnya.
Jadi benarlah apa yang dikata. Hector Zhou, hung kwan bagi Black Dragon mahu naik jadi cho kun bagi keseluruhan kumpulan Soaring Dragon. Kalau tidak, untuk apa bersusah payah melobi ahli-ahli perniagaan ini?
Huh, bodoh! Jantan ini memang bodoh! Tidak retikah dia belajar daripada sejarah yang lalu? Manusia bernama Zachary Ho itu takkan biarkan kuasanya dirampas. Lebih-lebih lagi, pada saat dia sedang membina empayar kasino sendiri. Dia perlu jadi cho kun untuk memegang kuasa yang tiada tara. Hanya dengan cara itu, dia boleh memijak kepala semua orang, boleh mendapatkan apa sahaja yang dia mahu. Jadi walau selepas penggal pemerintahannya tamat, Zachary Ho tetap akan pastikan dia dapat menyambungnya. Tidak kira dengan apa cara sekali pun!
Dan dia…Ishikawa Ryu akan jadi anjing yang memastikan itu berlaku.
Ryu turun dari motosikal. Diparkir elok-elok. Ekor mata masih melirik kepada Hector. Lelaki itu sedang ketawa galak. Pasti beranggapan dia bakal menang dalam pengundian dua hari lagi. Huh, jantan bodoh ini! Hingga akhirnya tidak tahu betapa bodohnya dia.
Ryu menanti lagi. Dibiarkan sahaja Hector dengan teman-temannya. Tidak apa. Biarlah lelaki itu menikmati masa sedikitnya. Biarlah dia ketawa dan berbual dengan rupa puas itu. Biarlah dia berangan sekejap.
Sebelum Ryu merampasnya!
Seketika berlalu, teman Hector satu-satu masuk ke beberapa buah kereta yang muncul depan Butterfly Club. Mewah semuanya. Hector setia menyengih dan melambai-lambai hingga semuanya hilang dari pandangan mata.
Ryu senyum menyenget. Dasar lelaki tukang ampu!
Sesudah itu, Hector berpaling kepada tiga orang konconya yang sedari tadi menemani. Sebagai pengawal peribadi.
Ryu herotkan lagi bibir. Tiga orang takkan cukup untuk menghalang dia!
Lalu, dia membuka topi keledarnya. Dipegang kemas di tangan kanan. Kaki dibawa melintas jalan. Dekat dan dekat dan…
“Hector Zhou.”
Ryu menyeru. Semerta, Hector menoleh. Kening sebelah terangkat.
“Tengok siapa kat sini? Siapa lagi kalau Ryu yang terkenal?” Dia menegur sinis. Siap menjawab soalan sendiri.
“Kenapa? Ketua kau dah tak nakkan kau, jadi kau datang untuk jilat kaki aku?”
Hector mendepa tangan luas-luas. Bibir mengernyih lebar.
“Kau memang bijak, Ryu. Kau patut datang kepada bakal cho kun. Tinggalkan Luo Ming si pengecut tu!”
Telinga Ryu berdesing.
“Kau tetap tak berubah, kan?” Dia bersuara senada.
“Banyak cakap!”
Serentak dengan jeritan itu, Ryu melempar topi keledarnya. Tepat mengenai muka konco Hector yang berdiri sebelah kanan. Kemudian, dia melompat tinggi dan serentak menendang dada dua lagi konco Hector. Kedua-duanya hampir tersungkur ke jalan, tetapi cepat mengimbangkan semula badan. Ryu muncul di hadapan salah seorangnya, menyengih menampakkan gigi dan…
“Arghhhh!!!”
Jeritannya melangsi depan Butterfly Club. Tangan kanan sudah pun dipatahkan oleh Ryu.
Seorang lagi temannya membuntangkan mata. Berkelip tidak pasti. Muka ragu-ragu.
“Tunggu apa lagi?!” Hector menjerit dan menolak lelaki itu agar masuk menyerang. Ryu memusing tubuh kepadanya. Dia yang baru bergerak, serta-merta mematikan langkah. Muka pucat menghadap Ryu yang sekadar tegak. Tidak berbuat apa-apa. Cuma melihat tanpa perasaan. Sebelah tangan Ryu masih mencengkam rahang lelaki yang dipatahkan tangan tadi. Kuat mengerang dengan muka berkerut-kerut.
“Hmm, budak baru.” Ryu bertutur disusuli gelak.
“Kau memang bodoh, Hector. Dalam masa sekarang, kau tak sepatutnya letak budak baru untuk jaga kau.”
Riak muka Hector berderau. Gugup kelihatan di sebalik lampu Butterfly Club yang bergemerlapan.
“Apa yang kau nak? Permusuhan antara aku dan Red Dragon dah lama lepas.”
Ryu ketawa lagi. Semakin sinis, semakin mencuit hati.
“Ini bukan antara kau dan Red Dragon. Tapi…”
Dia mematikan tawa. Renungan mata bertukar terus. Jadi lebih tajam, lebih membunuh. Bahkan, cengkaman di rahang budak baru juga diketatkan.
“Cho kun kirim salam...” tutur Ryu seraya menghempap muka lelaki di tangannya ke atas jalan.
“Tak guna!”
Jeritan Hector bergema kuat. Secepat kilat, dia menyerbu ke arah Ryu. Diikuti dua konco yang lain. Ryu tangkas bergerak. Segala tendangan, tumbukan dan serangan dielak dengan muka bersahaja. Tidak berpeluh langsung. Bahkan bibirnya tidak habis-habis menyenget sinis. Seketika kemudian, dia pula yang menyerang. Tumbukannya tepat mengenai konco pertama. Baru lelaki itu mahu mengimbangkan badan yang terdorong ke belakang, Ryu melompat dan melibas mukanya pula. Tersembam dia jatuh ke jalan. Bersembur darah dari hidung dan mulut.
Konco kedua muncul dari sebelah kanan. Ryu lihat lewat ekor mata dan menggerakkan kepala ke tepi. Deras mengelak daripada tumbukannya. Ryu menunduk dan menghentak bawah rusuknya. Menyeringai lelaki itu menahan perut. Tetapi dia tidak pula mengalah. Sebaliknya, dia melompat tinggi. Tendangannya tepat mengenai pipi Ryu. Kepala Ryu terkehel sebelah. Kaki terhuyung-hayang cuba menahan diri daripada jatuh. Tidak cukup dengan itu, belakang Ryu pula rasa dihentak. Terdorong ke hadapan dan sampai betul-betul bertentangan Hector.
Prang!
Kepala Ryu dihentak kuat. Kaca botol berterabur atas jalan. Ryu memegang kepalanya yang mula berpinar, sebelum membawa jari-jemarinya depan mata.
Darah!
Dia melebarkan mulut. Seperti kepalanya, giginya juga meleleh-leleh dengan cecair merah. Kemudian, dia mengangkat renungan tepat ke muka Hector.
“Kau tahu apa yang cho kun suruh aku buat?”
Kening Hector naik sebelah.
“Kenapa? Bunuh aku?”
Hector melangkah lebih dekat dan menampar muka Ryu. Terpusing kepalanya ke kiri.
“Jangan ingat aku bodoh. Semua orang tahu yang Ryu takkan…”
Hector menampar lagi. Kepala Ryu terpusing pula ke kanan.
“Bunuh…”
Tampar lagi. Berpusing lagi.
“Orang…”
Tampar lagi. Berpusing lagi. Birai mata Ryu kemudian menangkap muka Hector yang menghampiri tepi telinga.
“Walau sehebat mana pun kau, Ishikawa Ryu. Kau takkan mampu tarik nyawa orang. Nak tahu kenapa?”
Mulut Hector datang lebih rapat. Hampir menyentuh cuping.
“Sebab kau selalu fikir yang kau lebih berdarjat daripada kami semua. Kau takkan kotorkan tangan kau dengan darah.”
Ryu mendengar teliti. Dengan setiap satu patah perkataan yang didengar, sinaran matanya berubah. Bibirnya juga sedikit-sedikit bergerak hingga akhirnya….
“Hahahahahahaa!!!!”
Dia terbahak-bahak ketawa. Hector pandang dengan muka pelik. Konco-konconya juga berpandangan antara satu sama lain.
“Kau…”
Dan-dan Ryu mematikan tawa. Tidak bersisa langsung, seperti tidak pernah ada adegan dia ketawa macam orang gila.
“Patut lari.”
Usai melontar kata, Ryu bergerak kepada salah seorang konco Hector, memegang kepalanya dan menghentaknya kepada dinding Butterfly Club. Seorang bouncer yang asalnya tidak mahu masuk campur, mula mendekat. Ryu angkat anak mata. Tepat kepadanya. Langkah kaki lelaki itu serta-merta terhenti. Tubuh dipaling semula, sama seperti orang ramai yang cuma buat-buat tidak nampak.
Kepala di tangan Ryu, dihentak lagi dan lagi. Lelaki itu bergelut cuba melepaskan diri.
Tetapi Ryu mengetatkan lagi cengkaman di rambutnya. Tidak terjejas langsung dengan segala pergelutan itu. Bahkan, bawah rusuk yang ditumbuk berkali-kali juga tidak memberi kesan apa-apa pun.
“Arghhh!!!”
Seorang lagi konco menyerang. Tangannya terangkat tinggi dengan pisau yang entah datang dari mana. Secepat kilat, Ryu menghadang dengan lengan sendiri. Ditolak lengannya hingga lelaki itu tersorong ke belakang. Ryu angkat kaki kiri dan menendangnya kuat. Melantun jauh. Sekilas, Ryu melihat kepada lelaki di tangan. Muka sudah tidak serupa manusia. Darah memenuhi wajah. Tubuh semakin lembik. Lantas, Ryu melepaskan jari-jemarinya. Automatik, tubuh itu melurut ke lantai.
Ryu memaling muka kepada Hector.
“Apa aku suruh tadi?”
Dia bawa kaki setapak ke hadapan.
“La. Ri,” desisnya sepatah-sepatah. Satu lagi langkah diayun. Muka Hector semakin pucat. Kaki juga terundur ke belakang.
“Tunggu apa lagi? Serang dia!” arahnya kepada dua lagi konco yang masih berdiri. Berdarah-darah dengan muka kekagetan. Seorang dengan tangan yang sudah patah.
Ryu pandang ke wajah setiap satunya.
“Kau mesti dah dengar nama aku, kan? Ishi…”
Halkum kedua-duanya bergerak.
“Kawa…”
Ekor mata melirik kepada satu sama lain.
“Ryu.”
Sebaik namanya selesai disebut, kedua-duanya berdesup lari. Hilang terus di celah-celah lorong belakang Butterfly Club.
“Jahanam!!!!” Hector menempik kuat. Tangan tergawang-gawang cuba memanggil anak buah.
“Kan aku dah cakap tadi? Kau bodoh sebab letakkan budak baru untuk jaga kau malam ni. Mana mereka tahu pasal semangat kesetiaan antara ahli. Budak-budak zaman sekarang, cuma nakkan duit. Mereka takkan serahkan nyawa untuk kau.”
“Kalau macam tu…”
Hector melontar ludah ke luar. Melekat atas jalan. Bercampur darah.
“Aku cuma boleh bergantung pada diri aku sendiri.”
Dia menyerbu ke depan. Tumbukan diangkat tinggi. Ryu mengambil tindakan serupa. Sama-sama menyerbu. Namun di tengah-tengah…
Pandangan Ryu tiba-tiba jadi gelap. Sesaat kemudian, perutnya rasa dihentak berkali-kali. Tidak cukup dengan itu, belakang dan kepalanya juga jadi mangsa. Ryu bergelut cuba lepaskan diri daripada jaket Hector yang menutupi kepala. Tak guna kau Hector!!!
Beberapa ketika berlalu…
Segala hentakan berhenti. Ryu meloloskan diri dan melempar jaket Hector jauh-jauh. Hujung bibirnya bergerak senget. Melihat sekeliling yang sudah kosong. Tidak ada Hector, tidak ada konco-konco pengecutnya.
Hector mahu bermain sorok-sorok dengan dia? Baik, tidak ada masalah!
Ryu berjalan ke motosikal dan mengambil keluar satu objek. Dibawa mendekati muka. Cahaya lampu Butterfly Club membuatkan objek itu tampak bersinar.
Satu bilah pisau.
*****
“ARGHHH!!!”
Ryu terbangun dari pembaringan. Belakang badan berombak laju. Bunyi desah nafas memecah keheningan bilik. Lambat-lambat, dia membawa lutut ke dada. Dipeluk dengan kepala dilabuhkan atas lutut. Mata dipejam rapat. Serentak itu, segala adegan beberapa jam lepas bertebaran depan mata.
Dia yang mengejar Hector di celah-celah lorong gelap. Dia yang menemui lelaki itu. Mereka yang bertarung habis-habisan. Dan akhir sekali, dia yang menikam perut Hector.
Bukan sekali. Bukan juga dua kali. Bukan tiga kali. Dia sendiri tidak pasti berapa kali. Sedar-sedar sahaja, dia sudah pun berdiri depan mayat Hector. Kaku berlumuran darah. Muka sudah tidak serupa Hector. Darah ada di merata-rata. Sudah tidak ternampak di mana matanya, di mana hidungnya.
Dan dia…cuma berdiri melihat. Tanpa rasa apa-apa. Dia tidak rasa apa-apa pun!
“Akhirnya…kau dah jadi…seperti kami…”
Kepala Ryu terangkat dari lutut. Mata buntang dalam kegelapan.
“Seperti kami…”
Suara itu berdengung lagi.
“Seperti…”
“Arghhhh!!!!” Ryu menekup telinganya kuat-kuat. Dia tahu, itulah suara Hector sewaktu lelaki itu tersadai atas lantai dengan tubuh lembik bermandi darah. Bibir pecahnya terherot senget. Mata separa terkatupnya juga nampak puas. Seolah-olah sengaja menyindir Ryu. Dan kerana itulah, Ryu naik hantu. Di luar sedar, tangannya diangkat dan dijatuhkan. Laju dan tidak henti-henti. Langsung dia tidak peduli bila darah Hector bersemburan mengenai mukanya sendiri.
Dia cuma berhenti bila ekor matanya tertancap pada satu serpihan kaca yang pecah. Saat itu, dia melihat pantulan dirinya.
Muka berdarah. Tangan terangkat tinggi, sedang menggenggam pisau. Yang juga berdarah-darah. Kedua-dua biji matanya tampak kosong. Tidak ada secebis pun perasaan. Kalau ada pun...kalau ada pun….dia seperti nampak kepuasan di situ.
Dia, Ishikawa Ryu puas bila membunuh orang!
Ryu menggeleng kepala. Tidak! Dia tidak rasa puas. Dia tidak rasa seperti itu. Tidak!!!
Tanpa semena-mena, bayangan Maya pula melintas dalam ingatan. Kepala Ryu berhenti bergerak. Kedua-dua belah tangan terjatuh atas riba. Pandangan Ryu tegak ke hadapan. Seolah-olah ada Maya di celah-celah kegelapan bilik. Sedang berdiri di suatu penjuru, menatapnya dengan mata berlinangan tangisan, muka penuh kekecewaan dan juga…meraung dalam bahasa bisunya.
Ryu pejam mata. Bibir rasa bergetar. Hati terasa pedih. Ah, bodoh! Apa yang sedang berlaku kepadanya sekarang? Kenapa ingatan tentang Maya dirasakan lebih menyakitkan daripada segala kecederaan yang menimpa diri? Kenapa rupa kecewa Maya umpama sembilu? Dan kenapa…
Ryu kepal tangan kuat-kuat, mengingati apa yang dia sudah buat beberapa ketika lepas.
Kenapa dia boleh tiba-tiba minta maaf kepada gadis itu? Apa tujuannya? Apa yang cuba disampaikan? Bahawa dia tidak berniat mengecewakan Maya? Siapa Maya kepada dirinya hinggakan dia tidak mahu Maya rasa kecewa?
Siapa Maya?!!!
Ryu menghembus nafas kuat-kuat, membuka mata semula, menolak selimut dari tubuh dan kemudian menjatuhkan kaki ke lantai. Sekelip mata sahaja dia sudah pun bolos dari bilik sendiri.
*****
SEKEJAP ke kiri, sekejap ke kanan. Berkali-kali Maya memusing letak tubuhnya atas katil. Langsung dia tidak boleh melelapkan mata. Segala kejadian yang berlaku, bermain-main dalam fikiran. Disusuli dengan suara halus Ryu yang memohon maaf.
Sungguh, untuk apa permohonan maaf itu? Kerana sudah melanggar prinsip sendiri? Atau kerana mengecewakan dia? Kalau benar sebab Maya yang kecewa, kerana apa pula Ryu buat begitu? Siapa dia kepada Ryu untuk Ryu mohon maaf? Dan yang lebih penting, kenapa telinganya mendengar kesedihan dalam suara Ryu?
Tidak! Manusia seperti Ryu tidak akan rasa sedih kerana mencabut nyawa orang. Dia Red Dragon! Dia sama saja dengan ahli yang lain. Dia juga kejam. Dia juga bangsat. Dia juga jahanam.
Semakin Maya mengutuk Ryu, semakin dadanya rasa pedih. Dia mengerekot dengan lutut melekat ke dada. Mata dipejam rapat-rapat. Berharap agar dirinya disedut ke dunia mimpi. Dia mahu pergi dari semua ingatan ini. Mahu nyah dari semua emosi yang cuma membuatkan jantungnya sesak untuk bernyawa. Dia benar-benar mahu pergi!
Krik...
Tubuh Maya spontan mengeras. Mata terbuka sendiri. Telinga cuba dibuka luas-luas, mahu mengesahkan apa yang baru didengar.
Krik…
Mata Maya membulat lagi. Benar apa yang didengar tadi. Pintu biliknya sedang dibuka dari luar. Maya menelan liur dan mengatup semula mata. Jantung berdegup laju. Dari kejauhan, dia dapat mendengar bunyi derap kaki yang semakin lama semakin mendekat. Kemudian terasa katilnya sedikit bergoyang, menampung berat tubuh yang tiba-tiba melabuh di birai. Tidak perlu melihat siapa gerangannya. Hanya dengan bau maskulin yang dekat, Maya tahu siapa orangnya.
Ryu.
Sekali lagi, Maya telan liur. Bulu roma meremang. Tidak pernah-pernah Ryu datang ke biliknya malam-malam buta, jadi kenapa…
Jantung Maya semakin kencang. Pelbagai kemungkin menerobos dalam fikiran. Buruk belaka. Lebih-lebih lagi, bila mengingati betapa Ryu bukan lagi Ryu yang sama.
Dub…dab…dub…dab…
Maya menanti apa-apa yang bakal berlaku seterusnya. Namun suasana hanya hening. Tiada walau satu bunyi. Tiada walau satu gerak laku. Tiada apa-apa!
“Aku...”
Dan tiba-tiba suara garau Ryu berkumandang.
“Bunuh seseorang. Hari ini.”
Intonasinya kedengaran pilu sekali. Ada getar yang berselirat dengan setiap patah kata yang terpantul keluar.
“Kau dah tahu itu, kan? Itulah jawapan yang kau nak sangat tadi. Jadi ya…”
Gelak halus Ryu berbunyi di sekerat jalan. Masih kedengaran luluh di telinga Maya.
“Kau boleh buang harapan kau jauh-jauh. Sebab aku…”
Kata-kata Ryu berhenti. Desah nafas berbunyi berat.
“Sebab aku dah jadi seperti mereka, Maya. Kotor. Tangan aku ada darah.”
Sebu. Segenap dada Maya mula terasa sebu. Akan tetapi dia tetap mengeraskan badan dan berpura-pura tidur. Atau lebih tepat lagi, dia pura-pura tidak mendengar. Ya, dia seorang yang pekak. Jadi mana mungkin seorang yang pekak mampu mendengar, bukan?
“Aku dah hilang secebis jiwa aku. Aku bukan lagi manusia. Aku dah jadi…” Suara Ryu tenggelam timbul.
“Raksasa.”
Mata Maya terasa semakin panas. Bila-bila masa sahaja lagi kolam matanya akan tumpah. Lalu cepat-cepat Maya menggerakkan lengan ke atas muka, separuh menutupi. Konon-konon dia sedang membetulkan cara tidur. Seboleh-bolehnya dia cuba menahan rasa perit yang mencucuk-cucuk jantung. Ya, mendengar betapa luluhnya Ryu, membuatkan dia juga terasa sakitnya. Dia mahu memujuk lelaki itu. Dia mahu menenangkannya. Dia tidak tahu kenapa, tetapi itulah yang dia rasa saat ini.
“Kau bukan raksasa, Ryu.”
Dia juga mahu mengucapkan kata-kata itu. Sekelipan, secalit rasa sesal menyusup masuk. Kalaulah dia tidak berlakon bisu dan pekak, pasti-pasti sahaja dia boleh mengurangkan beban yang dihadapi oleh Ryu sekarang. Pasti Ryu akan berasa lebih elok. Pasti Ryu takkan terseksa sendiri.
“Aku bodoh, kan Maya? Aku fikir kalau aku tak cabut nyawa orang lain, aku akan jadi berbeza daripada mereka semua. Aku takkan sekotor syaitan. Tapi aku lupa. Aku tetap Red Dragon. Membelasah, membunuh, mengedar dadah, melacurkan perempuan...itu semua kerja aku!”
‘Tak! Itu bukan kerja kau. Ryu bukan macam tu.’ Dalam diam, Maya membalas.
Tidak semena-mena, Ryu ketawa. Sangat palsu. Sangat plastik.
“Aku memang hidup dalam angan-angan, kan? Aku fikir boleh kekal sebagai Red Dragon tanpa perlu bunuh orang, sedangkan dari awal lagi aku tahu. Ya, aku tahu, Maya. Tak mungkin aku boleh terus berpegang dengan prinsip aku. Ini dunia kongsi gelap! Semua orang bunuh orang lain. Apa yang aku fikir selama ni? Aku memang tolol!”
Sejenak, Ryu mendiam. Bunyi nafasnya ditarik dan dihembus, memenuhi segenap bilik.
“Kau tahu tak, Maya? Dai lo nak aku tinggalkan dunia ni, dan tinggalkan dia. Katanya sebelum aku betul-betul…sebelum aku betul-betul cabut nyawa orang. Tapi mana aku nak pergi? Aku dah tak kenal dunia lain, selain dunia ni. Aku tak boleh berhenti dari terus jadi Red Dragon. Jadi bila Zachary Ho dah jatuhkan arahan macam tu, aku kena ikut arahan. Aku kena membunuh kalau aku tak mahu dibunuh. Itulah kehidupan aku sampai bila-bila, Maya. Macam malam tadi. Macam waktu aku bunuh Hector.”
Nama yang baru disebut oleh Ryu membuatkan Maya tersentak. Hector? Otak Maya ligat berfikir. Kalau tidak silap, dia pernah mendengar nama itu. Tapi di mana? Maya berfikir lagi. Hector ketua Black Dragon! Ya, dia yakin. Dia pernah mendengar Ryu bercakap-cakap soal lelaki itu dengan Kosuke. Semestinya, di luar pengetahuan Ryu.
Jadi, manusia yang telah dibunuh oleh Ryu adalah Hector? Hector, ketua Black Dragon yang digeruni itu? Tapi kenapa? Apa yang Zachary Ho mahu daripada kematian lelaki itu?
Huh, jantan seperti Zachary Ho tidak perlukan sebab untuk renggut nyawa orang lain!
“Dua tangan ni...dua tangan ni yang cabut nyawa Hector, Maya. Aku dah jadi pembunuh.”
Perlahan-lahan, Maya mengalihkan tangan yang sedia menutupi separuh muka tadi dan membuka matanya sedikit. Dalam samar-samar cahaya lampu tidur, dia dapat melihat dengan jelas Ryu yang sedang meniliti kedua-dua belah tangan. Jelas terketar-ketar. Kepala lelaki itu tunduk ke bawah. Bahu yang selama ini tegak turut sama jatuh. Di mata Maya, Ryu saat ini tidak seperti Ryu yang biasa. Lelaki di sisinya sekarang adalah seorang lelaki yang dalam ketakutan. Lemah sekali!
Perasaan Maya tambah berkecamuk. Ingin sekali dia melaung dan melemparkan segala kepalsuan yang menyelubunginya selama setahun ini. Dia mahu menuturkan kata-kata pujukan, dia mahu mengatakan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja, dia mahu Ryu mendengar suaranya!
Namun akal fikirannya menghalang sama sekali. Dia tidak boleh biar Ryu tahu siapa dirinya yang sebenar dan kerana apa dia tidak pernah cuba untuk melarikan diri daripada lelaki itu. Ya, dia tidak boleh biar Ryu tahu bahawa Maya bukanlah Maya.
Mahu tak mahu, Maya kembali mengatup mata. Bibirnya diketap kuat, mengekang rasukan emosi yang semakin meluap-luap. Walau perit sekali pun, dia tetap tidak boleh membiarkan perasaannya membocorkan lakonan yang selama ini dimainkan. Dia perlu hidup. Dan ini satu-satunya cara untuk dia hidup!
Ryu yang masih duduk di sisi mesti diabaikan. Telinga yang sejujurnya normal mesti dipekakkan.
“Kau mesti tambah bencikan aku, kan? Kau kan bencikan ahli kongsi gelap. Kau bencikan Red Dragon. Kau bencikan darah. Kau benci bila aku berlawan dengan orang. Kau benci bila aku belasah orang. Kau benci bila aku ugut orang. Jadi mesti kebencian kau bertambah sebab aku dah jadi pembunuh.”
Maya terpempan. Segala reaksinya malam tadi, bertebaran dalam kotak memori. Adakah terselit kebencian dalam segala reaksinya itu?
Tidak. Suatu sudut hatinya menjawab sendiri. Seboleh-bolehnya, dia ingin benci. Dia ingin marah. Tetapi apakan daya? Hatinya seperti tidak mampu merasai kemarahan, apatah lagi kebencian. Yang ada cuma kekecewaan yang menghiris kalbu.
“Huh, aku dah gila agaknya. Bercakap seorang-seorang.”
Ketawa sinis Ryu menampar gegendang telinga Maya. Terasa tubuh Ryu yang telah diangkat dari birai katil. Dan kemudian...
“Tidur baik-baik, Maya. Tidur dan lupakan dunia kejam ni.”
Seiring dengan tutur kata Ryu, Maya dapat merasakan rambutnya yang diusap lembut. Seketika kemudian, bunyi pintu bilik yang dibuka dan ditutup memecah kesunyian malam.
Perlahan-lahan, Maya membuka matanya kembali.
“Macam mana aku boleh tidur, Ryu? Bila kau dalam keadaan macam tu…”
******** BERSAMBUNG ********
Hmmm, apa boleh cakap pasal Ryu? He can be scary. Like seriously SCARY!
Do like and comment. TQ. =)


No comments:

Post a Comment