April 24, 2018

I'M NOT A MONSTER - BAB 12


BAB 12 
WAJAH serius bertentangan, dilirik lewat ekor mata. Termasuk kali ini, entah sudah kali ke berapa, Ryu bertindak begitu. Jeling, tunduk, jeling, tunduk. Namun lelaki di hadapannya tetap serupa tadi. Bersahaja menyuap mi ke dalam mulut. Sesekali chopstiknya mengambil scallop. Juga disua ke dalam mulut. Bergerak halkumnya saat menelan.
Mi beras dengan scallop. Makanan kegemaran Luo Ming.
“Dai lo…” Ryu cuba menegur. Tetapi suaranya seperti terpasung di celah tekak. Tidak mampu dilontar keluar. Sudahnya, dia kembali mengatup mulut dan diam membiarkan Luo Ming menikmati hidangan.
Muka tenang tetapi kosong. Sukar ditebak apa yang bermain dalam fikiran. Yang nyata, Ryu dapat merasai ketegangan yang bukan sedikit. Mencucuk hingga ke tulang hitam. Atau mungkin dia seorang yang berasa demikian? Kerana di sekelilingnya, kedai makan ini tetap bising dengan suara-suara para pelanggan. Di satu sudut, si tukang masak ralit menyediakan makanan. Berapi-api kualinya.
“Gung hei (Tahniah).”
Tidak semena-mena, telinga Ryu mendengar sesuatu. Dia menengadah dengan kerutan.
“Huh?”
Luo Ming mengambil cawan dan dibawa ke bibir. Mata hampir terpejam menerima cecair yang menyusur masuk. Penuh tertib, dia kemudiannya meletak semula cawan tersebut. Anak mata diangkat, tepat ke muka Ryu.
“Kau sekarang dah jadi salah seorang hung kwan untuk Red Dragon.”
Ingatan Ryu menerawang kepada ritual yang dilalui, dua hari lepas. Dia dan beberapa ahli lain kembali pada ruang merah yang sama, menghadap heung chu, menyembah altar, minum arak bercampur darah dan melaungkan pelbagai jenis sumpah setia. Secara rasminya, dia naik jadi hung kwan. Menerima ganjaran atas apa yang dibuat untuk Zachary Ho.
Ryu tiba-tiba rasa ingin mentertawakan diri sendiri. Apa yang dia fikir dahulu? Tidak peduli tentang segala pangkat dalam kumpulan? Sekadar mahu jadi anjing dan bayang-bayang?
Huh, tengok! Apa sudah jadi sekarang?
“Dai lo, aku…”
“Kau gembira?”
“Huh?” Sekali lagi, Ryu jadi manusia bingung.
Luo Ming menatapnya dalam-dalam. Muka masih kosong tidak tahu apa yang ada dalam otak.
“Kau gembira dengan jalan yang kau ambil?”
Ryu terdiam. Gembira? Geli anak telinganya mendengar perkataan itu. Istilah gembira bukan untuk dia. Tidak pernah wujud sejak bertahun-tahun dahulu. Dan tak mungkin wujud sekarang!
“Kau tahu kan? Sekarang kau dah tak boleh berpatah balik.”
“Aku tak pernah ingin berpatah balik.”
“Kata budak yang tak tahu apa-apa.”
Telinga Ryu berdesing. Lidahnya laju membentak.
“Dai lo!”
“Kenapa? Sekarang kau dah sama pangkat dengan aku, aku dah tak boleh bagi nasihat pada kau? Aku dah tak boleh tegur kau?” Luo Ming bertutur lagi. Suara serupa tadi. Tenang dan lembut.
Akan tetapi, ketenangan dan kelembutan itulah yang buat Ryu rasa sangat kerdil. Seolah-olah dia adalah anak kecil yang sudah buat kesilapan, dan sedang diadili oleh orang tua.
Ryu gali nafas dan menghembusnya perlahan. Wajah juga diraup sekali.
“Bukan itu maksud aku. Aku cuma…”
“Aku faham apa maksud kau.”
Luo Ming senyum halus. Kelat pada pandangan mata Ryu. Kalau tadi dia rasa sedang diadili, sekarang dia rasa seperti sedang mengecewakan Luo Ming. Pandangan mata ketuanya nampak suram benar.
“Dah beratus kali kau beritahu. Sejak dulu lagi. Sejak dari hari kematian ibu kau…”
Riak muka Ryu berderau. Ada rasa panas yang hinggap dalam jiwa. Sudah bertahun-tahun, kenapa soal ibu harus diungkit-ungkit lagi?
“Yang kau akan tetap dengan Red Dragon. Kau takkan keluar walaupun kau tak ada sebab lagi untuk ada dengan aku.”
“Sekali Dragon, selama-lamanya Dragon.”
Sekali lagi, Luo Ming senyum. Masih pahit.
“Ya, betul. Aku yang bodoh sebab mahukan kau pergi.”
Nada suara Luo Ming kedengaran jauh sekali. Sama jauh dengan pandangan matanya. Seakan-akan berada dalam dunianya sendiri. Ryu tahu dunia apa. Pasti Luo Ming sedang mengingati mendiang adiknya dahulu. Bukan dia tidak tahu betapa lelaki itu mahu meninggalkan semua ini. Luo Ming mahu menunaikan janjinya untuk mencuci diri dari dunia kotor ini. Tetapi berangan memang boleh! Untuk benar-benar merealisasikan? Tidak semudah itu!
“Dan aku juga yang bodoh sebab tak halang kau dulu.”
Ryu kepal tangan bawah meja. Benci benar dia dengan apa yang didengari. Sungguh! Apa yang Luo Ming tidak puas hati sangat dengan dia? Kenapa tidak habis-habis mahu dia meninggalkan Red Dragon? Apa yang buat lelaki itu fikir dia tidak boleh jadi Red Dragon sejati? Apa yang buat dia rasa Ryu tidak boleh jadi kejam?
Sebab dia asalnya bukan dari dunia ini? Huh, itu jawapan paling tidak berasas! Sesiapa pun boleh jadi ahli kongsi gelap. Sesiapa pun boleh jadi manusia kejam. Kerana hakikatnya, kekejaman dan manusia tidak boleh dipisahkan. Kalau pun bukan ahli kongsi gelap, manusia tanpa gelaran tetap boleh mencabut nyawa orang lain.
Itu hakikatnya. Dari dahulu, dan juga akan datang.
“Dunia kita, dunia berdarah, Ryu. Sekali kau tumpahkan darah, berkali-kali kau akan tumpahkan darah. Kalau pun kau tak buat apa-apa, musuh akan buat sampai kau buat apa-apa. Dan itu…”
Luo Ming senyap seketika. Dia sekali lagi mengulum senyum maha kelat.
“Adalah apa yang aku tak nak berlaku pada kau.”
Ryu ketap bibir. Menghadap perilaku Luo Ming yang seperti ini, benar-benar melelahkan dada. Ditambah pula dengan intionasi suara lemahnya. Langsung tidak menggambarkan bahawa Luo Ming pernah jadi salah seorang hung kwan yang paling menggerunkan suatu masa dahulu. Benarlah kata orang lain! Luo Ming sudah jadi naga yang patah taringnya.
“Aku dah hadap semua tu, dan aku tahu akibatnya.”
Ryu mengelip mata, sempat melekat kepada belakang telapak tangan Luo Ming. Berbekas hitam dengan bahagian tengah yang ternampak isi mengering. Seakan-akan terhidu lagi bau daging manusia yang terbakar. Seakan-akan ternampak lagi rupa Luo Ming yang kesakitan. Dan seakan-akan terasa lagi betapa dinginnya hati dia saat membuat keputusan itu.
Semuanya kerana apa? Kerana lelaki yang sedang mengadilinya sekarang!
“Tak boleh ke?” Suara Ryu keluar antara dengar tak dengar.
“Huh?” Kali ini, giliran Luo Ming pula jadi manusia bingung.
Ryu angkat kepala. Bibir agak bergetar. Dada terasa penuh.
“Tak boleh ke abang rasa bangga dengan apa yang aku dah buat? Anak buah abang yang paling penakut dah buat apa yang dia takutkan sangat tu. Dia dah jadi orang kesayangan cho kun. Dan dia dah naik jadi hung kwan!”
Kuat Ryu membentak. Bersungguh dengan kedua-dua mata yang dijegil besar. Tetapi entah kenapa, ada rasa pedih yang mencalar jiwa sendiri. Ryu telan rasa itu, dan mendengus sekuat-kuatnya.
“Jadi kau nak aku rasa gembira? Sedangkan kau buat apa yang aku tak suruh kau buat.” Luo Ming membidas. Masih dengan lagak tenang tidak tergugat. Masih dengan perilaku yang buat Ryu rasa seperti budak kecil dimarahi orang tua.
Ryu melepas gelak. Pahit dan sangat jelas palsunya.
“Kalau macam tu, tak ada gunanya kita bercakap lagi di sini.”
Dia bangkit dari duduk.
“Abang takkan dapat apa yang abang nak daripada aku, dan aku dah tak mampu beri apa yang abang nak.”
Cawan teh diambil dan dibawa ke depan.
“Terima kasih atas segala tunjuk ajar selama ini.”
Isinya kemudian diteguk masuk ke kerongkong. Kelat terasa. Tanpa menunggu reaksi Luo Ming, Ryu memusing badan dan melangkah pergi. Tidak berpaling lagi.
*****
“GUNG HEI! Gung hei!! (Tahniah! Tahniah!)”
Ryu mengangkat gelas dan membawanya ke bibir. Hanya dengan sekali teguk, isinya lenyap dalam tekak. Orang-orang di sekeliling menjerit dan menepuk tangan. Ryu ketawa.
“Minum. Minum puas-puas. Semuanya atas aku!!”
Ucapan Ryu disambut dengan tepukan gemuruh, disusuli dengan bunyi gelas yang berlanggar sesama sendiri. Muzik kuat sebagai penambah rasa. Ryu pandang sekeliling dan berjalan di celah-celah kemeriahan. Menegur orang-orang yang hadir dan menerima ucapan tahniah. Semuanya teruja dengan kenaikan pangkatnya. Benar-benar ikhlas atau tidak, belakang kira. Dunia mereka ialah dunia penuh tipu helah.
“Dunia kita, dunia berdarah, Ryu.”
Tidak semena-mena, suara itu menyelit dalam memori. Ryu merengus. Panas telinga dan hati, kembali meluap. Tangan dikepal kuat-kuat, mahu menelan segala kepanasan itu.
Malam ini ialah malam dia. Takkan ada sesiapa pun memusnahkannya. Hatta, Luo Ming!
Nafas ditelan dan diluah beberapa kali. Tangan yang tadi dikepal, terbuka satu per satu. Dada panas, menyejuk semula. Ryu kembali melihat kiri dan kanan. Melayan manusia-manusia yang mendekat.
“Ryu!”
Satu seruan berbunyi kuat. Ryu menoleh. Secepat itu, bibirnya bergerak lebar. Kedua-dua tangan didepa menyambut tubuh yang dari awal lagi, mendepa tangan kepadanya.
“Lucas.” Dia menegur pemilik tubuh dalam pelukan jantannya.
Tubuh masing-masing dilepas. Lucas menepuk bahunya sekali.
“Bukan main lagi kau, kan? Sekarang dah jadi hung kwan.”
Ryu gelak dan menjongket bahu.
“Bila kau balik sini? Ayah kau apa khabar?”
Kelibat seorang lelaki separa umur, pendek dengan perut boyot, melintas dalam ingatan. Desmond Chong, salah seorang ahli perniagaan yang menggunakan perkhidmatan Red Dragon. Beberapa kali, Ryu dan konco-konco yang lain ‘tolong’ mengutip hutang yang terbengkalai bagi pihak lelaki tersebut. Melaluinya juga, Ryu mengenali Lucas. Anak kesayangan yang kerjanya cuma berjoli dengan duit si bapa. Kali terakhir Ryu dengar, lelaki itu pergi ke Los Angeles. Mahu mencuba nasib di Hollywood, katanya. Macamlah dia sesuai jadi pelakon!
Lucas meneguk wain yang tersisa dalam gelas.
“Aku balik minggu lepas. Bosan tinggal sana.”
Bosan atau tak layak? Ryu sambung dalam hati.
“Ayah aku? Macam tulah. Entah bila…”
Lucas tiba-tiba sangkut lengan di bahu Ryu dan menariknya lebih dekat.
“Dia nak mampus,” bisiknya di cuping telinga Ryu.
Ryu kelip mata sekali. Dingin. Hujung bibir sipi-sipi bergerak. Dasar anak orang kaya tak sedar diuntung!
“Okeylah. Tak payah cakap pasal dia lagi. Buat sakit otak saja. Kau…”
Sekali lagi, Lucas tepuk bahu Ryu.
“Mari minum dengan aku. Cerita apa yang dah jadi. Dah lama kita tak jumpa, takkanlah tak nak, kan?”
Ryu tarik senyum. Sekadar berbasi-basi.
“Gila tak nak? Lucas Lee, kut! Bakal pelakon Hollywood kita…”
Terhambur tawa kuat dari mulut Lucas. Berbaur puas lagi gembira. Ryu biarkan sahaja. Sekadar melayan dan mengikut dia yang sudah menarik Ryu masuk ke celah-celah kemeriahan.
*****
BUNYI gugusan kunci dari luar pintu, kedengaran agak kuat. Maya yang sedang berehat di sofa, membuka telinga lebih luas. Seketika kemudian…
“Ergh, beratnya dia ni!”
Buntang mata Maya saat berpaling ke arah pintu. Kosuke menyengih dengan sebelah tangan diangkat dari celah ketiak Ryu. Lelaki itu kelihatan lembik dengan mata terkebil-kebil kurang fokus.
“Maya…Maya ada kat sini…”
Bibir pula memanggil-manggil namanya.
Tanpa berlengah, Maya meluru ke arah kedua-dua lelaki. Sebelah lengan Ryu diletak atas bahu. Berat! Dia dan Kosuke sama-sama menampung Ryu hingga ke sofa. Diletak lelaki itu di situ.
“Fuh, berat nak mampus,” rungut Kosuke seraya menggerak belakang ke kiri kanan. Hampir patah tulang-temulangnya!
Maya berlalu ke dapur dan muncul semula dengan segelas air sejuk. Dihulur kepada Kosuke.
“Oh, terima kasih!” Laju tangan Kosuke menyambut. Laju juga dia menyua gelas ke bibir. Dari sebalik gelas yang separa menutupi muka, dia menjatuhkan pandangan kepada Maya yang sudah pun duduk di sebelah Ryu. Menampung lelaki itu yang sekejap sendeng ke kanan, sekejap sendeng ke kiri. Tangan naik atas bawah. Mulut masih terkumat-kamit. Entah apa yang dibebelkan.
Kosuke meletak gelas atas meja berhampiran. Kepala ditunduk separuh, mahu Maya melihat kepadanya. Gadis itu mendongak.
“Aku tak tahu apa yang tak kena. Abang Ryu bukan selalu macam ni,” tuturnya lambat-lambat.
Hanya kerdipan mata Maya yang jadi balasan.
“Satu lagi…” Kosuke menarik beg kertas yang sedari tadi tergantung atas lengan, dan menghulurkannya kepada Maya.
Teragak-agak, Maya menyambut.
“Abang Ryu buat hal tadi. Tiba-tiba masuk dalam butik dan beli dres tu. Dia asyik panggil-panggil nama akak.” Tanpa dipinta, Kosuke membuka cerita. Masih terbayang-bayang lagi adegan Ryu masuk ke setiap butik yang mereka lalui, di sepanjang jalan dekat Cubic Club. Dengan tubuh terhuyung-hayangnya, Ryu menunjuk ke dres-dres yang ada dan mengomen macam-macam.
Pendek sangat. Warna tak cantik. Kusam. Labuh sangat. Rekaan buruk. Dan pelbagai lagi.
Tetapi, tiada siapa dalam butik yang berani menghalau. Mereka bukan gila untuk buat begitu kepada seorang ahli kongsi gelap. Itu menempah maut namanya. Sampai di butik terakhir, Ryu tiba-tiba menala jari telunjuk kepada dres yang dipakai patung dalam kotak pameran. Siap menepuk-nepuk cermin dengan gaya seolah-olah mahu masuk ke dalam. Berkali-kali, mulutnya menyebut…
“Ini akan cantik untuk Maya. Untuk Maya…”
Di pengakhiran, Kosuke membawanya masuk ke situ dan keluar semula dengan satu beg kertas.
Yang kini berada dalam tangan Maya.
“Okeylah. Sekarang, dia akak yang punya. Aku dah tak larat layan Abang Ryu.” Kosuke angkat kedua-dua belah tangan ke atas. Lagak orang menyerah kalah. Tanpa menanti reaksi daripada Maya, dia melangkah keluar. Pintu rumah dikatup rapat-rapat.
*****
“MAYA…MAYA….”
Ryu menyebut-nyebut namanya. Jari telunjuk menekan-nekan pipi Maya. Bibir menyengih lebar. Mata buka-tutup, buka-tutup tanpa fokus.
Dahi Maya berkerut tebal. Hidung berkerunyut cuba menahan bau arak yang keluar dari mulut Ryu. Sesekali, dia menahan jari telunjuk Ryu yang masih tidak sudah-sudah mencucuk pipinya. Ryu ingat dia patung gamaknya. Bukan main dicucuk-cucuk!
“Maya…Maya…”
Tanpa semena-mena, Ryu menarik leher Maya. Terdorong mukanya ke hadapan. Mata terbelalak menentang mata Ryu yang dekat benar. Jantung dan-dan berdegup laju. Air liur tertelan sendiri.
“Kau…” Suara Ryu halus berbunyi. Seakan-akan berbisik.
“Masih marahkan aku?”
Lirih sekali nada suara itu. Raut wajah Ryu sudah bertukar serius. Tepat merenungnya. Maya terpempan diam.
“Apa jenis soalan yang aku tanya ni?”
Ryu sengih di sekerat kata. Maya boleh nampak betapa kelatnya sengih itu. Serupa suramnya mata Ryu.
“Kau mesti marahkan aku.”
Kepala Ryu bergerak lebih dekat. Mata bulat Maya semakin membuntang. Ingin menolak wajah itu, tetap segenap badannya bagai terpasung tidak mampu digerak. Kepala Ryu semakin dekat dan dekat dan…
Melepasi muka Maya. Dahinya berlabuh atas bahu Maya. Tubuh keras Maya, jadi semakin kejung. Kedua-dua belah tangan kaku di kiri kanan, tidak tahu mahu buat apa. Telinga pula…
“Sama macam dai-lo…”
Masih mendengar suara lirih yang serupa.
Jeda.
Suasana ruang tamu hening semata-mata. Maya masih kaku di sofa, menampung kepala Ryu di bahu. Lelaki itu sekadar diam dengan belakang turun naik. Maya boleh dengar bunyi desah nafas yang keluar. Berat sekali.
Lalu perlahan-lahan, Maya angkat tangan. Dilabuhkan atas belakang Ryu. Lembut dia mengusapnya. Sekali, dua kali, dan berkali-kali hingga akhirnya dia dapat merasai belakang Ryu yang mula tenang. Desah nafasnya juga tidak kedengaran terlalu berat. Jadi beralun lembut, umpama bayi yang enak lena.
Tidurlah, Ryu…Tidurlah…
******** BERSAMBUNG ********
Do like and comment. TQ! =)


No comments:

Post a Comment