April 24, 2018

I'M NOT A MONSTER - BAB 10


BAB 10
“MAYA…”
Maya telan emosi bulat-bulat dan memaling muka. Tepat menghadap mata hitam Ryu. Kedinginan yang dilihat tadi hilang sudah. Digantikan dengan renungan yang entah bermaksud apa. Ada lunak. Ada sesal. Dia tidak pasti.
“Kau tak apa-apa?”
Hampir sahaja Maya menghamburkan tawa. Soalan itu kedengaran sangat kelakar di peluput telinga. Sangat menggelikan hati. Selepas apa yang sudah berlaku, boleh pula Ryu tanya kalau dia tidak apa-apa? Ryu terlalu bodoh untuk baca riak mukanya, atau apa?
Lambat-lambat, Maya bangun. Hampir terjelepuk semula, tetapi pantas disambut oleh tangan Ryu. Pantas juga ditepis oleh tangan Maya. Dia membetulkan sendiri tegak berdirinya. Lewat ekor mata, dia perasan raut muka Ryu yang berubah. Mungkin tersinggung dengan tindakan tadi.
Ah, Maya sendiri tidak tahu kenapa dia bertindak demikian. Adakah dia tidak sanggup disentuh oleh tangan yang sudah mencabut nyawa manusia? Atau dia sebenarnya terlalu kecewa dengan apa yang sudah dibuat oleh Ryu?
Dia tidak tahu. Dia benar-benar tidak tahu.
Nafas ditelan lagi. Tangan mula membuat isyarat. Kembali memegang watak wanita bisu yang dimain selama ini. Kembali jadi wanita pembohong.
Apa bezanya kau dan Ryu, Maya? Kau fikir kau baik? Kau fikir kau tak ada noda? Huh, silap! Kau juga seorang pendosa.
Sedetik, dia terfikir begitu. Disusuli rasa bersalah. Juga rasa gentar. Kalaulah tembelangnya pecah dan Ryu tahu siapa sebenarnya dia, mampukah Ryu kekal sebagai lelaki yang tidak pernah mengapa-apakan dia? Maya sangsi tentang itu.
Namun, tetap juga Maya menyudahkan isyarat tangan. Kekal sebagai wanita bisu.
“Aku tak apa-apa. Aku nak bersihkan diri sekejap. Kau tunggu di bilik. Nanti aku datang.”
“Tak perlu. Aku tak…”
“Tak apa-apa? Kau ingat aku buta?” sampuk Maya. Mata dijegil besar-besar, bagi Ryu mengerti bahawa dia tidak akan berkompromi kali ini. Ryu cedera. Berdarah-darah, dan dia akan menengok-nengok lelaki itu. Tidak kira Ryu mahu atau pun tidak.
Masih dengan lagak tak berapa rela, Ryu mengundurkan diri ke luar bilik air. Maya kembali kepada sinki yang ditinggalkan tadi. Pili dibuka. Jari-jemari dibawa ke bawahnya. Sedikit demi sedikit, air yang mengalir bertukar jadi merah. Maya pandang dengan seribu satu perasaan. Ingatan terbang kepada saat-saat dia mencemarkan tangan sendiri, cuba mencuci tangan Ryu.
Bodoh sekali tindakan itu. Apa dia fikir darah yang terpalit pada tangan Ryu akan hilang? Jawapannya, tidak. Selama-lamanya, Ryu akan kotor dengan darah itu. Akan kekal dengan bau kematian.
Mengingati hakikat tersebut, mata Maya kembali bergenang. Dia kelip mata dua tiga kali, cuba menghambat tangisan itu pergi. Sungguh, apa yang tidak kena dengan dia? Ryu kelihatan biasa-biasa sahaja. Kenapa dia pula yang berjiwa parah? Bukannya dia yang cabut nyawa orang. Bukannya dia yang jadi pembunuh!
Maya melepas keluhan. Berat menyinggah telinga yang sebenarnya tidak pekak. Sesudah itu, dia melempar air ke muka. Berkali-kali hingga puas. Muka dipanggung kepada cermin. Menitis-nitis dengan air. Rambut pendeknya juga kebasahan. Sesaat, Maya gelak sinis.
Kalau dahulu rambut hitamnya panjang mengurai, beralun lembut hingga ke pinggang. Tetapi kini pendeknya sudah serupa anak jantan. Potongannya kasar dan tidak teratur. Apa tidaknya? Selama setahun ini, Ryulah yang jadi tukang guntingnya. Setiap kali rambutnya memanjang, Maya akan minta Ryu mengerat. Ada juga dibantah lelaki itu. Katanya…
“Muka cantik kau lebih sesuai dengan rambut panjang.”
Cantikkah dia? Entahlah, dia tidak fikir begitu. Bagi Maya, rupanya biasa-biasa sahaja. Cuma yang pasti, wajahnya persis ibu. Kalau dahulu, dia gembira benar dengan wajah yang diwarisi daripada ibunya. Tetapi kini tidak lagi. Kerana wajah inilah yang telah membawa dia kepada kehancuran hari ini. Ya, segalanya jadi kacau bilau kerana wajah menyerupai wajah ibunya ini!
Maya mengatup mata. Mengenang ibunya umpama membawa diri pulang ke malam jahanam itu. Malam yang ingin dilupakan, tetapi akan tetap melekat kepada seorang Maya buat selama-lamanya. Macam parasit.
Nafas ditarik dan dihembus lagi. Sekali. Dua kali. Tiga kali, dan entah ke berapa kali. Emosi yang menyesakkan mula dirasakan berkurang. Dada yang menghempas ganas, mula perlahan. Ketenangan yang hilang, kembali menyusup ke jiwa. Tidak banyak, tetapi cukuplah untuk sekarang.
Lalu, Maya membuka semula mata, mengelap muka dengan telapak tangan, mengambil kotak kecemasan dari dalam kabinet atas sinki dan memusing badan. Langkah diayun melepasi muka pintu bilik air, melalui ruang tamu dan akhirnya sampai ke depan bilik Ryu. Dia menolak pintu sedikit demi sedikit. Sedikit demi sedikit juga, Maya dapat melihat…
Naga.
Muka Maya berderau. Hingga ke saat ini pun, dia masih tidak dapat membiasakan diri dengan naga seekor ini. Elok melingkari belakang badan Ryu. Mungkin perasan akan keberadaan dia, Ryu memaling tubuh. Kepala naga terpampang depan Maya. Atas dada kiri Ryu. Garang merenung dengan mata tajam dan gigi bertaring.
Dia benci naga ini.
Lebih-lebih lagi bila naga ini yang menyebabkan Ryu berlumuran darah depan matanya sekarang. Maya melangkah lebih ke hadapan hingga akhirnya duduk di birai katil. Masih dengan muka yang dibuat dingin, dia membuka kotak kecemasan. Ekor mata melirik kepada Ryu yang masih berdiri. Tampak teragak-agak. Birai bibir Maya bergerak secalit. Sejak bila pula Ryu jadi penyegan dengan dia? Bukan lelaki itu tidak biasa dengan dia yang selalu jadi jururawat peribadi tidak bertauliah.
Masih Maya ingat betapa degilnya Ryu saat pertama kali Maya ingin menengok-nengok kecederaannya. Kata lelaki itu, esok lusa dia mungkin cedera lagi. Jadi buat apa peduli dengan kecederaan asal? Merawat cuma akan menyusahkan diri. Logik jenis apa lelaki itu pegang? Apa dia ingat tubuh dia kebal sangat? Takkan mati kehilangan darah atau terkena jangkitan? Huh, dasar lelaki tak reti sayang diri sendiri!
“Tunggu apa lagi?” Maya membuat isyarat tangan. Ryu mendekat lambat-lambat dan melabuhkan punggung di sisi. Sama-sama duduk di birai katil. Tubuhnya dipusing agar lebih berhadapan dengan Maya.
Serta-merta, mata Maya terpejam. Kepala juga terkalih ke sebelah. Tidak rela melihat rupa tubuh Ryu. Kalau tadi waktu Ryu masih berkemeja hitam, dia tidak perasan mana. Tetapi lukanya malam ini, tampak lebih dahsyat daripada hari-hari sebelum ini. Darah di merata-rata, menjadikan naga di tubuhnya tampak lebih merah.
Maya membuka semula mata dan menaikkan pandangan ke muka Ryu. Bersabung sekejap dengan renungan lelaki itu. Maya alihkan anak mata, dan meliarkan tatapan ke segenap muka Ryu. Seperti tubuh kekarnya, wajah Ryu juga punya kesan darah. Mungkin sudah dilap sedikit oleh Ryu, tetapi tepi kepalanya masih menitis-nitis dengan cecair merah itu. Mulutnya pecah dan bengkak. Bawah mata atas pipi, terkoyak menampakkan isi.
Bagaimana dia harus jadi jururawat malam ini? Dia tidak fikir dia boleh…
“Aku tak nak ke hospital, kalau itu yang kau sedang fikirkan.”
Ryu tiba-tiba bertutur. Tepat mengenai apa yang baru terlintas dalam fikiran Maya. Terlepas rengusan dari mulutnya. Apa yang didengar umpama bola api yang memanaskan lagi jiwa tidak tenangnya. Dia menjeling ke muka Ryu, sebelum menolak tubuh lelaki itu agar membelakanginya.
“Erghh...”
Bunyi erangan Ryu mengiringi tindakan itu. Maya mendengus lagi. Tengok! Baru ditolak sikit, sudah mengerang. Ini yang dia berlagak kuat? Dasar lelaki yang…lelaki yang….
Arghhh!!!
Dia sudah tidak tahu apa yang patut dia fikirkan tentang lelaki seorang ini. Sudahnya, Maya cuma mengeluarkan ubat-ubatan dan segala bahan lain daripada kotak kecemasan. Luka-luka yang ada dicuci terlebih dahulu sebelum dia mula melekapkan ubat. Dengan setiap satu tindakannya, dia dapat mendengar bunyi desah nafas Ryu yang berat. Ryu mungkin tidak sedar, tetapi lelaki itu juga mencengkam cadar katil. Urat jantan timbul di celah-celah luka yang ada.
Ryu sedang menahan sakit. Dan Maya merasai tempiasnya.
Entah buat kali ke berapa dalam masa setengah jam ini, mata Maya kembali berkaca-kaca. Dia tahan-tahan agar tidak menitik. Sungguh dia tidak mahu terus terkesan dek Ryu lagi. Tidak mahu!
Sedaya-upaya, Maya mengosongkan riak muka. Dia memusing badan Ryu agar menghadapnya semula. Perhatian diberi pula ke depan badan. Pada dada berukir naga yang punya kesan kelar, pada bahagian rusuk yang penuh lebam, pada perut yang calar sana-sini. Atas tubuh yang sudah penuh dengan parut berbagai rupa.
Melihat semua itu, ingin sahaja Maya memekik dan memarahi Ryu. Sudahlah luka lama belum sembuh, kenapa ditambah lagi? Apa yang lelaki ini dapat dengan berlawan dan bertarung? Hanya kerana dia Red Dragon? Hanya kerana dia bekerja untuk Luo Ming? Atau lebih tepat, dia jadi anjing untuk Zackary Ho? Tidakkah Ryu sedar bahawa Zackary Ho tidak pedulikan dia? Walau hidup atau mampus, jantan keparat itu tidak akan pernah peduli!
Rahang Maya terketap-ketap. Gigi dikacip kuat-kuat. Cuba menahan diri daripada meledakkan segala rasa hati. Dia wanita bisu, dan dia harus kekal begitu.
Masih dengan muka plastik, Maya meneruskan tugas tidak rasmi. Seperti tadi, telinganya dapat mendengar desah nafas Ryu yang sangat berat. Sudah seperti tersekat-sekat. Sekilas, Maya angkat pandangan. Ryu sedang mengatup mata. Segenap mukanya berkerunyut. Bibirnya juga digigit. Kuat hinggakan darah yang baru mengering dari bibir pecah itu, kembali menitis. Jatuh hampir mengenai dagu.
Tanpa memikir apa-apa, Maya terus mendekatkan jarak dan menyentuh bibir itu. Darah disapu dengan jarinya sendiri. Ryu membuka mata. Tepat menikam mata Maya. Segenap tubuh Maya dan-dan mengeras. Matanya bulat menerima panahan mata Ryu. Hidungnya hampir menyentuh hidung Ryu. Desah nafasnya dirasakan bersatu dengan desah nafas Ryu. Sama-sama berat.
Seketika kemudian…
Mata bulat Maya bertambah buntang. Ryu dengan selambanya mengambil jari Maya dan menjilat darah yang melekat di situ. Lembut dan perlahan. Muka Maya tiba-tiba rasa panas. Perbuatan Ryu bukanlah apa-apa, tetapi debarnya lain macam.
“Tangan kau tak patut terkena darah lagi. Terutama sekali, darah aku.”
Muka Maya tersirap. Debaran dalam jiwa sekali lagi bertukar rentak. Tidak lagi menyegankan, sebaliknya memanaskan.
“Darah lelaki kotor.”
Lebih-lebih lagi, bila mendengar sambungan bicara Ryu.
“Kenapa?” Maya menggerakkan tangan.
Ryu melepas tawa. Sinis kedengaran di telinga Maya.
“Soalan bodoh apa yang kau tanya?”
“Bodoh atau pun tidak, aku nakkan jawapan.”
“Untuk apa nakkan jawapan, kalau kau dah tahu jawapannya.”
“Sebab jawapan yang aku fikir tu, mungkin jawapan yang salah.”
Laju sekali gerak tangan Maya. Sekejap naik ke atas, sekejap ke bawah, sekejap menampar telapak tangan. Siap dengan muka yang memberi macam-macam ekspresi. Langsung dia tidak peduli kalau Ryu mampu menangkap maksudnya. Ternyata, lelaki itu lebih daripada mampu. Setiap isyaratnya, dibidas satu-satu.
“Jawapan yang salah?”
Ryu gelak di tengah-tengah kata.
“Huh, dah terang-terangan ada depan mata kau, takkanlah salah lagi?”
“Mungkin sebab aku berharap macam tu.”
Jeda.
Segala bentakan suara dan gerak tangan antara mereka mati begitu sahaja. Ryu bungkam merenung Maya. Maya melawan renung dengan muka berkerut-kerut dan dada berombak laju.
Tiba-tiba lelah jadi pelakon dalam pentas ciptaan sendiri.
“Apa-apa pun harapan kau tu, lempar jauh-jauh.” Ryu bersuara setelah beberapa ketika. Keras menjatuhkan arahan.
Mata Maya terkatup sesaat. Pedih terasa di ulu hati. Senang sekali Ryu menitip kata. Kalau semuanya semudah itu, sudah lama dia melakukannya. Malahan dari awal lagi. Kerana sesungguhnya, dia juga tidak mahu ada rasa peduli terhadap lelaki ini. Tidak mahu meletakkan sebesar zarah pun harapan!
Tetapi apakan daya? Manusia akan selalu jadi makhluk tewas di kaki emosi. Buktinya dia.
Dia yang sekarang berhati sebu.
Dia yang sekarang kembali bergenang air mata.
Dia yang sekarang menggeletar bibir.
Apa yang tidak kena dengan kau, Maya? Boleh tak kalau kau jangan jadi lembik sangat? Jangan menangis. Tolong jangan menangis!
Berkali-kali, otak Maya menegah. Tetapi kolam matanya tetap berdegil. Tidak reti mendengar kata. Air mata tetap menitik.
“Boleh tak kalau kau jangan menangis lagi? Serabut, kau faham tak?” Keras sekali reaksi Ryu.
Maya cepat-cepat menahan tangisan yang masih mahu bolos. Air mata yang sudah jatuh, diseka. Namun secepat itu juga, ianya jatuh semula. Maya pandang Ryu sekali. Lelaki itu mencerlung tajam. Maya pantas menyeka air mata itu. Jatuh lagi. Lap lagi. Jatuh lagi.
Arghhhh!!! Apa yang tak kena dengan kau, Maya?!
Jari Maya semakin kelam kabut mengesat pipi. Lagi kacau bila Ryu tidak habis-habis dengan renungan membunuhnya. Bukan Maya tidak biasa dengan pandangan itu, tetapi yang dia tidak biasa sekarang ialah tangisannya.
Air mata seorang Maya benar-benar murah malam ini!
“Kau memang…”
Rengusan Ryu berbunyi kuat. Maya kesat mata sekali lagi, sebelum bangkit dari birai katil. Buat apa tinggal lagi, kalau saling menyakiti? Untuk menyudahkan tugas merawat Ryu? Huh, lelaki itu bukannya peduli tentang diri sendiri. Jadi untuk apa Maya mengendahkan dia?
Maya membawa langkah pergi. Baru dua tapak, kakinya terhenti semula. Tangan kanan tergantung sekerat jalan. Pergelangannya digenggam kemas. Baru Maya mahu menoleh, tubuhnya rasa ditarik. Dia tersembam ke hadapan, jatuh semula di birai katil dan…
Segala urat sendi Maya kejung. Kedua-dua biji mata terbelalak luas. Kaku. Dia benar-benar kaku menerima rangkulan Ryu. Kemas dan ketat, seolah-olah Ryu mahu jadi kokun yang melindungi dia daripada segala bahaya dalam dunia.
“Maafkan aku…”
Suara garau itu berbunyi sangat perlahan. Ryu fikir dia tidak boleh mendengar. Tetapi dia boleh! Walaupun sekadar sipi-sipi menyentuh telinga, tetapi cukup untuk menembusi relung hati Maya.
Tembok jiwanya pecah lagi! Sama pecah dengan kolam mata yang serta-merta menghambur tangis. Dia mengangkat tangan dan memeluk belakang Ryu. Kuat sekali. Muka juga disembam ke dada Ryu. Dia menangis semahu-mahunya di situ. Sudah tidak peduli kalau di situ ada kepala naga yang paling dibencinya.
Rambut Maya rasa dielus. Belakangnya juga rasa ditepuk. Lembut dan sangat menjaga. Tangisan Maya semakin membuak-buak. Menerima kelembutan yang tidak terduga daripada lelaki keras seperti Ryu, benar-benar buat dia jadi lebih lemah. Dia jadi tertanya-tanya…
Kalau Ryu boleh jadi selembut ini, kenapa dia perlu ambil jalan berdarah? Kenapa dia perlu jadi kejam dan cabut nyawa orang? Kenapa?!
Sayangnya, dia takkan pernah dapat jawapannya. Sama seperti Ryu yang takkan pernah dapat jawapan daripadanya.
Kenapa dia berbohong? Kenapa dia berlakon bisu? Kenapa dia rela lempar diri dalam genggaman seorang Red Dragon?
Dia akan simpan jawapan itu hingga ke hujung nyawa.
Perlahan, Maya merungkaikan pelukan. Ryu melepasnya dengan hati-hati. Bibir Maya senget sebelah. Menyinis keprihatinan Ryu yang tiba-tiba, kelemahan diri yang mudah rapuh dan segala kejadian yang mengelilingi mereka.
Tangan Maya diangkat mahu menyeka pipi lencun, tetapi jari telunjuk Ryu lebih dahulu sampai depan mata. Hampir menyentuh, namun terhenti di sekerat jalan. Cuma seinci jauh daripada pipi. Maya pandang tepat kepadanya. Ryu kelip mata sekali, menghembus nafas dan kemudian bangkit dari katil. Dia berdiri membelakangi Maya dan menoleh separuh. Ekor mata Ryu jelas melirik kepadanya. Maya menanti apa yang ingin dikata. Kosong. Tiada apa yang keluar dari bibir pecah. Ryu mula mengayun langkah ke pintu, seperti mahu meninggalkan bilik sendiri. Maya pula yang terkebil-kebil di dalam.
Saat menghampiri daun pintu, Ryu mematikan langkah. Lagaknya seperti baru sahaja teringatkan sesuatu. Tubuh kembali dipusing.
“Apa kau buat dekat sana tadi? Malam-malam buta pula tu,” tanya Ryu dengan suara yang mendatar.
Pertanyaan Ryu pantas membawa Maya kepada peristiwa tadi. Bagaimana Kosuke muncul dengan muka resah, dan bagaimana dia macam orang gila keluar mencari Ryu.
Renungan Ryu tampak lebih tajam. Muka menginginkan jawapan. Maya mula membuat isyarat.
“Kosuke datang tadi. Cari kau. Dia risaukan kau. Aku fikir mungkin ada sesuatu jadi pada kau. Jadi aku…”
“Jadi kau cari aku?”
Maya menganggukkan kepala.
“Lepas ni, tak kiralah pukul berapa sekali pun, walau lambat macam mana sekalipun, kalau aku tak balik-balik, kau jangan memandai-mandai cari aku.”
“Kenapa tak boleh?”
Ryu mengulum senyum sinis.
“Kau dah lupa apa yang buat kau terpacak dalam rumah aku ni? Kenapa kau ada dengan aku sekarang? Kau dah lupa ke semua tu?”
Maya menyengap. Dia faham maksud Ryu. Kerana dia berada di jalanan kota Macau pada pukul tiga pagi, maka dia tiba-tiba sahaja terperangkap antara Red Dragon dan Bloody Tiger. Natijahnya, dia kini bersama Ryu.
“Kau tak lupa, kan?”
Lambat-lambat, Maya menggelengkan kepala.
“Bagus. Jadi kalau kau tak nak jatuh ke tangan jantan lain, jangan merayap malam-malam buta macam tu lagi.”
Arahan Ryu kedengaran keras menyapa telinga Maya. Namun tidak memberi sebarang kesan. Maya tetap memanggung muka kepadanya. Membalas renungan tajam.
“Okeylah, itu saja yang aku nak cakap. Sekarang keluar. Aku nak rehat.”
Ryu membuka daun pintu luas-luas. Kening dijongket separuh, memberi isyarat agar Maya meloloskan diri.
Hendak tak hendak, Maya mengangkat punggung. Tidak pula terus keluar. Sebaliknya dia melontar soalan.
“Macam mana kalau kau tak balik-balik? Aku tetap tak boleh pergi cari kau, ke?”
Berubah riak wajah Ryu. Ada bayangan suram yang terselit. Mulutnya kemudian bertutur senada. Tanpa emosi.
“Kalau macam tu, kau anggap saja aku dah mati. Dan kau dah bebas daripada aku.”
Maya bungkam. Tidak mampu membalas apa-apa lagi. Apa yang termampu dia lakukan cuma memandang wajah kosong Ryu dengan mata yang sekali lagi berbalam-balam.
Malam ini, air mata seorang Maya benar-benar murah.
********* BERSAMBUNG ********
Huwaaa!!! Ryu!!! Menangis-nangis Cik SA masa tulis ba  10 ni.
Do like and comment. TQ! =)


No comments:

Post a Comment