August 31, 2017

AKU LELAKIMU - BAB 13


BAB 13

“TIHANI ROSE…” panggilnya mendatar. Gadis yang sedang berlari itu, dipandang dari kejauhan. Habis segala barang dirempuhnya. Sesekali, Tihani jatuh berguling. Namun setiap kali itu juga, dia bangkit semula, dan menoleh sekilas ke belakang. Di sebalik cahaya malam yang samar-samar, peluh jelas membasahi wajah dan menitik ke leher. Dadanya juga tercungap-cungap. Bibir terketar-ketar.
“Tihani Rose…”
Kaki diayun lagi. Semakin hampir kepada gadis yang masih berlari, jatuh, bangun dan berlari. Langkahnya tampak agak pincang. Mungkin gara-gara terlanggar tong sampah besi, sebentar tadi. Itulah, siapa suruh dia lari? Kan sudah menyusahkan diri.
“Tihani Rose, kau nak ke mana tu?”
Wanita dengan mata hazel dan selalu senyum itu, tidak menjawab. Dia masih berlingas-lingas cuba keluar dari lorong. Kepalanya sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Nampak kelam-kabut. Mulut juga bising meminta tolong.
Sungguh! Apa yang tidak kena dengan Tihani Rose? Kenapa perlu menjerit-jerit minta tolong? Dia bukannya mahu buat apa-apa kepada wanita itu. Dia cuma mahu menghabiskan masa bersamanya. Dia mahu Tihani melayannya. Berbual dengannya. Ketawa bersamanya. Sama macam layanannya terhadap manusia sial yang bergelar Alexander Aryan.
Sedikit demi sedikit, jiwanya membara. Renungan yang ditala ke hadapan, bertukar lebih tajam dan lebih kosong. Gerak kaki pula, semakin deras. Kelibat gadis yang sebelum ini kelihatan kecil di mata, semakin membesar. Mungkin menyedari dia yang semakin hampir, langkah Tihani jadi semakin laju. Raungannya juga semakin lantang.
Membingitkan telinga!
“Arghhh!!!”
Rambut Tihani direngkuh dari belakang. Kepalanya semerta terdongak ke atas. Mata bercucuran dengan tangisan.
“Kau menangis?” Rafael menyoal perlahan.
“To…tolong…jangan apa-apakan aku…”
Tanpa berlengah, Rafael melepaskan rambut Tihani dan memusing wanita itu menghadapnya. Kepala Tihani dielus lembut.
“Kau tahu, Tihani?”
Air mata Tihani yang gugur setitik, cepat-cepat dia seka.
“Kau sepatutnya senyum.”
Ibu jarinya kemudian hinggap di bibir Tihani. Mengusap-ngusap.
“Kau selalu nampak cantik bila senyum.”
Satu titik air mata, tiba-tiba melekat di jarinya.
“Kenapa kau menangis lagi? Kan aku dah suruh jangan menangis.”
Nada suaranya mengeras. Jari-jemari yang sebelum ini lembut membelai-belai muka Tihani, bertukar keras. Bawah dagu direngkuh, hinggakan kepala Tihani terpanggung kepadanya. Dapat dia rasakan desah nafas Tihani menampar-nampar muka. Bau wanginya juga menusuk hidung. Mata terpejam sesaat, menikmatinya.
“Kenapa kau selalu buat aku marah?”
“Tolong…I…I’m begging you…jangan…”
“Shhhh…” Dia menekan jari telunjuk di bibir mungil Tihani. Muka dirapatkan lagi.
“Aku belum habis cakap. Aku tak suka orang ganggu bila aku tengah bercakap.”
Tihani mendiam. Tubuhnya pegun segenap inci. Hanya mata yang terkebil-kebil. Masih basah. Rafael senyum senget. Nampaknya, Tihani sudah mula mendengar kata. Bagus!
Perlahan-lahan, dia melepaskan Tihani. Secepat itu juga, gadis tersebut mengundur diri lebih jauh.
“Eh, nak ke mana tu?”
Sekelipan, gerak tubuh Tihani terhenti. Dia memandang Rafael yang memberi isyarat agar duduk. Sedikit-sedikit, dia menjatuhkan punggung. Badan bersandar rapat ke dinding, seolah-olah berharap agar dinding itu terbuka dan menelannya.
Rafael mencangkung di hadapan. Mata merenung dekat. Bibir menyengih.
“You know, aku ada terfikir sesuatu. Kenapa kau selalu buat aku marah? Kenapa kau pukul aku malam tu? Kenapa kau tak hiraukan aku petang tadi?”
Tidak ada jawapan yang keluar dari mulut Tihani. Gadis itu cuma kaku dengan tubuh menggeletar. Birai mata basah lagi. Bibir turut bergetar.
“Jawablah!!!” Bahu Tihani direngkuh ganas. Mukanya semerta berkerut.
“To…tolong…”
Rafael menarik wajah Tihani lebih rapat.
“Kau ni, dari tadi minta tolong. Kau nak apa sebenarnya? Kau nak aku buat apa lagi untuk kau, Tihani Rose?” Kali ini, suaranya mengendur pula. Tenang, lembut dan perlahan.
“Aku…aku bukan….”
“Kenapa cakap tersekat-sekat ni? Kau bukan apa? Cuba bagitahu aku.”
Dia mendekatkan telinga ke mulut Tihani.
“Cakaplah. I’m listening.”
“Aku…aku bukan Tihani Rose.”
Air muka Rafael berubah. Renungan bertukar lebih keras. Rahang mula terketap-ketap. Lambat-lambat, dia mengangkat kepala dan kembali menghadap muka Tihani. Rapat sekali.
“Apa kau cakap tadi?” bisiknya senada.
“Aku bukan Tihani Rose. Aku bukan perempuan tu. Kalau kau nakkan dia, kau carilah dia! Kenapa kau buat aku macam ni?!”
Kali ini, Tihani menempik kuat. Kedua-dua biji mata terjegil luas. Nafas juga berdengus-dengus.
Rafael diam memerhati. Muka kosong. Mata tajam.
Sesaat…
Dua saat…
Tiga saat…
Tawa Rafael terhambur keluar. Sedikit-sedikit, hingga akhirnya memecah kesunyian malam. Sayup-sayup bunyi salakan anjing bersahut-sahutan, seakan membalas tawa itu.
Sedang galak ketawa, Rafael tiba-tiba berhenti. Tawanya mati terus, seolah-olah tidak pernah terjadi. Dia kembali serius tidak beremosi.
“Sekarang kau tak nak mengaku jadi Tihani Rose pula? Kau ingat aku bodoh?”
Tihani tersentak dan menggeleng kepala berkali-kali.
“Tak…tak. Aku tak ingat kau bodoh. Aku cuma….aku cuma cakap benda betul. Aku memang betul-betul bukan…”
“Semuanya sebab jantan tak guna tu, kan?” Rafael menyampuk keras.
“Jantan?”
“Ya, jantan tak guna yang asyik muncul antara kau dan aku.”
Hujung bibir Rafael menyenget di tengah-tengah bicara. Mata berdesis geram.
“Bukan main kau layan dia, kan?”
Jari-jemari jantan Rafael naik ke lengan Tihani.
“Kau senyum.”
Tangan sudah sampai ke bahu.
“Kau ketawa.”
Tangan melekat di leher.
“Kau tak pedulikan aku.”
Tangan mencekik kuat.
“Erkkk…” Jari-jemari Tihani menampar-nampar lengannya. Mata semakin lama semakin terbeliak.
Bibir Rafael semakin lama semakin menyeringai.
“Cantik, Tihani Rose. Kau lebih cantik macam ni.”
“Erkkk…” Mulut Tihani terbuka luas. Semakin terdesak untuk menyedut nafas.
“Kau dah jadi sempurna.”
“Erkkk…”
Rontaan Tihani semakin longlai. Mata yang sebelum ini terjojol besar, pejam sedikit demi sedikit. Dada yang termengah-mengah, bertukar jadi senyap. Tangisan terakhir menitik di birai mata.
Suasana mula jadi terlebih hening. Awan bergerak menutupi bulan, lalu malam yang sedia gelap jadi bertambah hitam. Anjing yang sebelum ini tidak henti-henti menyalak, tiba-tiba membisu.
Jeda. Sangat jeda.
Perlahan-lahan, Rafael melepaskan cengkaman dan membaringkan Tihani atas lantai. Dia duduk berteleku di situ. Renungan masih dipanahkan kepada wajah cantik itu. Tangannya yang bersarung diangkat lambat-lambat, hingga akhirnya hinggap di pipi Tihani. Lembut, dia membelai-belai.
“Kau memang cantik, Tihani Rose. Sangat cantik.”
Selang beberapa ketika, dia menyeluk saku jaket dan menarik keluar sebuah beg kecil. Zipnya dibuka, menampakkan isi. Kelihatan pisau, gunting, jarum, forsep dan juga scalpel tersusun elok. Dia membawa hujung jarinya menyentuh semua objek kegemarannya, dan berhenti di sebilah scalpel. Ditarik keluar dan dibelek-belek. Di bawah samar-samar cahaya bulan yang terlindung di sebalik awan, mata scalpel kelihatan bersinar. Tajam seolah-olah sudah diasah berjuta kali. Scalpel tersebut diletak di tepi, sebelum Rafael mengambil tangan Tihani dan mengucupnya lama. Mata terpejam menikmati bauan wangi Tihani Rose. Sesudah itu, dia kembali melihat ke muka Tihani.
Saat itu juga, anak matanya terbelalak.
“Kau…kau…bukan Tihani Rose,” gumamnya mendatar.
“Siapa kau? Apa kau buat kat sini?” Dia mencengkam bahu gadis di hadapannya dan menggoyang-goyangnya.
Si gadis tetap pegun. Tiada reaksi.
Muka jantan jahanam itu, tiba-tiba melintas dalam ingatan. Merenungnya sambil berdekah-dekah ketawa. Sinis sekali! Rafael merembat scalpel di sebelah dan menggenggam pemegangnya kuat-kuat. Mata hitamnya mengecil kepada tubuh yang tersadai.
“Kau mesti perempuan yang dia hantar, kan? Kau nak buat aku lepaskan Tihani Rose, kan?”
Hujung bibir senget sebelah. Kemudian…
“Jangan harap!!! Kau ingat aku akan lepaskan dia, Alexander Aryan? Kau ingat kau boleh dapat dia? Huh, jangan berangan! Aku takkan lepaskan Tihani Rose. Takkan!!!”
Rafael melaung lantang. Dengan setiap satu tempikan, tangannya diangkat dan dijatuhkan ke bawah. Tubuh yang sudah layu itu, ditikam berkali-kali. Darah panas tidak henti-henti terpercik dan membasahi mukanya.
Seketika berlalu, Rafael menghenti tindakan. Mata dipanahkan ke hadapan. Tajam tanpa perasaan. Lidah dijelir keluar. Secalit darah yang melekat bawah bibir, dia jilat selamba. Kemudian, dia mengulum senyum.
Puas. Tenang. Jahat.
*****
KAKINYA deras dibawa ke tempat yang dituju. Dari kejauhan, kelihatan dua buah kereta peronda polis. Lampu birunya berkelip-kelip dan tampak bersinar di bawah mentari pagi yang baru naik. Tidak jauh dari situ, kelihatan pita kuning yang sudah dipasang di sekeliling kawasan. Perkataan ‘Dilarang Melintas’ tertera di atasnya. Beberapa orang polis beruniform terpacak menjaga kawasan. Masing-masing berusaha untuk mengawal kumpulan orang ramai
yang sibuk memanjangkan leher. Tidak cukup dengan itu, kelihatan juga sekumpulan wartawan beserta jurugambar. Bunyi petikan kamera tidak putus-putus. Sekelipan, rengusan terpantul keluar. Semakin ramai orang menyibuk, semakin menyusahkan kerja!
Langkahnya dilajukan lagi. Semakin dia dekat, semakin jelas pandangannya terhadap beberapa orang lelaki dan wanita yang tengah tercongok-congok, dengan pelbagai jenis alatan. Ada yang sedang mengambil gambar, ada yang mencangkung atas lantai, ada yang sibuk memeriksa celah-celah dinding. Di belakang baju masing-masing, tertulis perkataan ‘Polis Forensik’. Melihat jumlah mereka yang lebih ramai daripada biasa, hatinya segera dicucuk rasa tidak senang. Aneh bercampur bimbang.
“Tuan, ini kes samakah?” Satu soalan menujah telinga. ASP Edric menjeling sekilas. Dia kenal pelontar soalan itu.
Zahin, rakan sekerja Tihani. Ah, cepat sungguh mereka mendapat berita.
“Tuan, macam mana dengan identiti mangsa?” Pertanyaan lain pula berbunyi. Kali ini, datangnya daripada syarikat akhbar tabloid.
ASP Edric buat-buat tidak dengar semuanya. Dia menonong ke hadapan dan menyusup bawah pita kuning.
“Tuan.” Sarjan Razlan yang sedia menanti, pantas menegur.
“Apa yang kita ada setakat ni?” soal ASP Edric, masih bergerak ke arah mangsa. Sarjan Razlan mengikut dari belakang.
“Mangsa ditemui oleh seorang gelandangan. Dia tengah cari apa-apa yang boleh dimakan, atau barang yang boleh dia guna. Asalnya, dia ingat dia jumpa patung. Tapi rupa-rupanya….”
“Dia ada dengar apa-apa atau nampak apa-apa yang pelik?” Memahami cerita Sarjan Razlan, ASP Edric terus menyampuk.
“Tak ada.”
“Saksi lain?”
“Kami tengah usahakan. Saya dah hantar budak untuk tanya orang-orang di kawasan sini.”
ASP Edric mendengar teliti. Kaki diayun lebih dekat kepada sekujur tubuh yang terbaring kaku. Usai mendekat, barulah dia mengerti mengapa jumlah juruteknik forensik lebih ramai daripada biasa. Kawasan jenayah kali ini sangat berlainan. Bahkan, jauh lebih berdarah dan lebih mengerikan.
Mangsa berupa gadis dalam lingkungan awal dua puluhan, lengkap berkemeja hitam dipadankan dengan seluar jeans hitam. Kolam darah di sekeliling, sudah mula mengering. Bahagian dada dan abdomen robek, hampir menampakkan isi perut. Bau busuk tidak terlalu kuat menusuk hidung, menandakan bahawa mangsa belum lama dibunuh.
“Ini tak nampak macam kerja dia,” komen ASP Edric bersama dahi berlapis.
“So, apa yang kita ada?”
Satu suara lain muncul dari belakang, disusuli oleh bunyi sarung tangan getah yang ditarik mengenai kulit. ASP Edric segera berpaling. Satu susuk tubuh tinggi lampai, dengan kaki panjang menerpa pada pandangan.
“Kau dah sampai,” tegur ASP Edric. Tubuh dibawa berdiri semula.
Wanita yang semakin mendekat itu, mengukir senyum dan mengangkat sebelah tangan. Tanda membalas teguran.
“What a great morning. I was having my coffee waktu I dapat panggilan,” tutur Dr. Laili sebelum menghentikan langkah. Sekilas, dia mengerling kepada tubuh yang sudah kaku.
“Apa yang boleh you beritahu pasal pembunuhan ini?” soalnya kepada ASP Edric.
“Aku pun baru sampai ke sini. Jadi tak berapa banyak yang aku tahu. Tapi daripada keadaan mayat, mangsa nampaknya ditikam berkali-kali. Mungkin lebih daripada sepuluh tikaman.”
Dr. Laili mengangguk sekali, dan meliarkan pandangan ke sekeliling mayat.
“Blood spatter pattern menunjukkan dia memang ditikam di sini. Tapi, sama ada itu yang membunuh dia…” Suaranya tenggelam di sekerat jalan. Tubuh dibawa mencangkung sebelah mayat mangsa.
ASP Edric kembali mengambil tempat di sisi kanan Dr. Laili. Sama-sama mencangkung.
“Kenapa? Apa kau nampak? Apa punca kematian?”
Soalan ASP Edric terbiar sepi. Dr. Laili serius meneliti mangsa.
“Dia betul-betul dah tukar cara dia,” getus bibirnya antara dengar tak dengar.
“Kau juga fikir ini kerja White Killer?”
Soalan ASP Edric berbunyi dekat. Ekor mata Dr. Laili melirik ke sebelah. Wajah lelaki itu hampir-hampir menyentuh pipinya. Bau maskulin yang agak kasar menusuk hidung. Dr. Laili abaikan sahaja. Jari-jemarinya dibawa ke mata mangsa. Kelopak belah kanan dan kiri diselak.
“We’ve got number four.” Suara ASP Edric kedengaran sinis menyentuh telinga. Mungkin memerli diri sendiri dan pihak polis yang tidak berjaya menghalang pembunuhan keempat.
“Jadi punca kematian ialah dicekik? Bukan ditikam?” Lelaki itu menyambung lagi.
“I tak boleh tentukan punca kematian di sini. I perlu periksa di makmal. Tapi…” Dr. Laili menunduk lebih rapat kepada wajah pucat yang terbaring kaku.
ASP Edric membiarkan sahaja dan menanti komen seterusnya.
“Ada kesan cekik di leher,” sambung Dr. Laili selepas mengangkat muka. Kemudian, dia bangun dari duduk. ASP Edric turut mengambil tindakan sama. Akan tetapi, mata kedua-duanya tidak dialihkan daripada sekujur tubuh itu.
“Kemungkinan besar mangsa ditikam selepas dibunuh. I akan sahkan balik lepas post-mortem. Cuma sekarang, berdasarkan blood spatter, rupa mangsa dengan tikaman yang banyak dan obviously tak ada dres putih, all I can see is rage. Sangat lain daripada keadaan mangsa sebelum ini. It’s like he became…”
Sejenak, Dr. Laili gigit bawah bibir. Dahi berkerunyut, memikirkan sesuatu.
“Different.”
“Or in other words, you are facing your worst nightmare.”
Tubuh ASP Edric mengeras. Mata membuntang. Jantung pula terhentak kuat. Telinganya sayup-sayup mendengar Dr. Laili menyoal.
“Who are you?”
*********
NOTA CIK SA:
 Rafael memang gila-gila punya psiko, kan? Tapi ini baru sikit, tau. Baru Bab 13, so korang kena expect yang lebih dahsyat sebelum sampai ke perkataan TAMAT dalam novel nanti.

Well, Cik SA cakap akan bagi korang psikopat, kan? So, yeah. I'm gonna give you a psychopath yang totally psycho! Bukan acah-acah aje. Korang kena get ready, tau. Hahahaha!! *gelak jahat macam Rafael*

Btw, pre-order untuk AL dah pun dibuka. Korang boleh contact Cik SA melalui DM di IG (ciksara_aisha), pm di FB page (Novelis Sara Aisha), atau emel di novelissaraaisha@gmail.com.
Love,
SA

2 comments:

  1. Rafael ni memang psiko gila. Terkejut masa baca part dia keluar kan scalpel. Yuks... Walaupun psiko saya tetap nak baca. Tak sabar nak baca. Nampak tak setia nya saya ngan cik sa. Kah kah.

    ReplyDelete