August 25, 2017

AKU LELAKIMU - BAB 12 + GOOD NEWS!!!

BAB 12
JEDA.
Tihani pandang Alex dalam-dalam. Cuba mencari kejujuran yang mungkin terselit di wajah lelaki tersebut. Ternyata, itulah yang dia nampak.
Kejujuran. Keikhlasan. Seolah-olah seluruh kehidupan lelaki itu cuma berpaksikan ketulusan hati.
“Kenapa?” Buat kesekian kali, itu yang masih terpantul daripada mulut Tihani.
Pertanyaan ringkas Tihani terbiar sepi. Alex sekadar menyengap, bersama mata yang tidak habis-habis meratah wajah bingung di hadapannya. Dia nampak kesangsian dalam mata Tihani. 
Ah, Tihani Rose masih tidak percayakan dia!
“Kenapa memang perkataan kegemaran you, kan?” tutur Alex setelah beberapa ketika.
“Sebab I nakkan jawapan.”
“I dah cakap tadi. Apa yang…”
“Then, tell me. Apa yang tak ada dalam kepala you? Apa yang buat you rasa macam tak boleh kawal diri daripada datang kepada I?”
Alex senyum segaris. Bentakan Tihani yang semakin lama semakin keras, didengar tenang. Nampaknya Tihani benar-benar seorang wanita yang tidak akan berbolak-balik untuk memperoleh apa yang dia nak. Juga, seorang wanita yang tidak akan semudah itu menghadiahkan kepercayaan buat seorang lelaki. Apatah lagi, seorang lelaki yang baru ditemui empat kali.
Ya, empat kali dalam pengetahuannya. Padahal, hakikat sebenar…
“I tanya untuk dapatkan jawapan, Alexander Aryan. Bukan untuk tengok you senyum-senyum macam kerang busuk.”
Dan-dan, tawa Alex terlontar keluar. Kenangan lama yang baru ingin menjelma, lenyap terus. Yang tinggal cuma dia yang berdekah-dekah ketawa.
“Alex!” Intonasi Tihani naik satu oktaf. Muka merah padam menahan sebal. Apa Alex fikir perasaan tidak senang yang dia rasai sekarang, sesuatu yang melucukan? Yang cuma berhak memperoleh tawa sebagai jawapan?
“Sorry…” Alex angkat kedua-dua tangan ke atas. Gaya seorang mengaku salah. Sisa tawa yang masih galak keluar, cuba ditahan-tahan.
“I tahu you sedang serius. Tapi bila you sebut pasal kerang busuk, I was like…”
“What? Ingat I tengah buat lawak?”
Nafas Alex dihela sekali. Dihembus. Kemudian, dihela lagi. Seusai mematikan tawa, dia kembali merenung Tihani. Wajah kegeraman itu, ditatap lembut.
“I’m sorry.” Lembut juga permohonan maaf yang dipinta.
Tihani mencemik.
“Huh, senang untuk you cakap sorry.”
“Senang because I truly am. I’m sorry for laughing. I’m sorry for everything.”
Hampir terpasung suara Alex di tengah kerongkong. Memori lama kembali menujah ingatan. Dada tiba-tiba terasa berat. Melihat Tihani dengan mata terkebil-kebilnya, menambahkan rasa sesak. Dia jadi ingin menerangkan semuanya, sepertimana yang Tihani mahu. Tetapi masalahnya sekarang, kalau dia berterus-terang, itu bermakna dia perlu membuka luka Tihani Rose yang paling dalam.
Sungguh, bukan itu yang dia mahu. Tihani sekarang kelihatan baik-baik sahaja. Bahkan sangat kuat menghadapi segala kegilaan yang sedang berlaku. Jadi dia tidak patut menghancurkan kekuatan itu. Tidak sama sekali!
Kerana sesungguhnya, menyakitkan Tihani ialah perkara terakhir yang dia akan buat.
Sekali lagi, suasana hening. Tihani merenung tajam. Cuba menganalisa lelaki yang tidak habis-habis dengan bicara tersiratnya. Namun semakin dia cuba menebak, semakin dia hilang arah. Riak muka mencurigakan Alexander Aryan dalam pertemuan pertama mereka, ketenangan yang dipapar saat berdepan dengan White Killer, dan amaran daripada ASP Edric berselang-seli masuk ke dalam ingatan.
“Finally, sampai pun.”
Bicara Alex memecah kesunyian. Tihani masih bungkam memerhati lelaki yang sedang berterima kasih kepada pelayan café yang muncul membawa makanan. Seperti selalu, jejaka di hadapannya murah dengan senyuman. Manis melayan sebelum membiarkan cik pelayan pergi. Kemudian, dia melihat kepada makanan. Serentak itu, dahi Alex berlapis.
“They put prawn in your spaghetti. You tak boleh makan seafood…”
Tihani tersentak.
“I punya cuma ada ayam. Kita tukar, ya?”
“Apa…apa you cakap tadi?” soal Tihani, agak tergagap-gagap.
Tangan Alex yang baru mahu mengalih pinggan, terkaku di sekerat jalan. Sepertinya lelaki itu baru tersedar apa yang sedang berlaku. Atau lebih tepat lagi, apa yang telah dia buat.
“Macam mana you tahu I tak boleh makan seafood?”
Alex kekal senyap. Pandangan tetap ke bawah. Menikus, tetapi Tihani perasan bawah bibirnya yang diketap.
“I’m asking, Alexander Aryan. Macam mana you tahu I tak boleh makan seafood?” ulang Tihani. Semakin keras dan semakin beremosi. Tiga ingatan tadi juga semakin laju menujah otak. Berselit dengan segala gurauan, senyuman dan tawa antara mereka berdua.
Dia memang bodoh! Kenapa begitu mudah sekali dia merendahkan sifat berjaga-jaganya? Sebab lelaki itu pernah menyelamatkannya? Sebab lelaki itu ialah Alexander Aryan dan Tihani ialah peminatnya?
Ah, minatnya sudah membutakan mata.
“Alex…”
“Tihani Rose.”
Seruan Tihani dicantas. Tegas nada suara Alex, sama teguh dengan renungan yang dia pancarkan usai mengangkat wajah.
“Kita makan dulu.”
Suara tegas tadi tiba-tiba hilang, digantikan dengan intonasi lembut. Tihani semakin keanehan. Siapa lelaki ini sebenarnya? Kenapa senang sangat berubah karakter?
“There’s something off about him.”
ASP Edric betul. Sangat betul.
Di luar jangkaan Tihani, Alex sekali lagi membuat perkara tidak terduga. Dia mengukir senyuman. Masih tenang. Masih bersahaja. Sangat menjengkelkan jiwa Tihani Rose.
“Now that you kembali rasa curiga pada I, you tak nak makan dengan I dah? Kenapa? You takut I letak racun dalam tu?”
Sekelipan, telinga Tihani rasa berdesing. Panas! Bibir pula terketap-ketap melontar pertanyaan.
“Are you being cynical, atau you fikir I sedang main-main?”
“Kalau I fikir you main-main, I takkan minta you makan dulu. Sebab apa yang I bakal beritahu, mungkin buat you…”
Alex berhenti dan mengepal tangan bawah meja. Dia bukan selalu begini, tetapi bila soal Tihani Rose yang menjadi pertaruhan, dia tidak dapat menahan diri daripada berasa risau.
“Terus tak lalu makan,” sambung Alex.
Ya, dia sudah tidak ada pilihan lain. Hendak tak hendak, dia perlu melakukan perkara terakhir yang dia mahu buat. Menyakitkan Tihani dengan memori yang mungkin gadis itu mahu kambus buat selama-lamanya. Hanya itu sahaja caranya kalau dia mahu terus berada di sisi Tihani Rose. Kalau dia mahu terus menjadi pelindungnya.
“Apa maksud you?”
“Kita makan dulu.” Tanpa menjawab soalan Tihani, Alex memintanya makan buat kali kedua. Makanan mereka sudah siap bertukar. Itu pun selepas Alex benar-benar memastikan bahawa tiada sebarang makanan laut dalam pinggan yang terletak depan Tihani.
“You fikir I boleh makan dalam keadaan sekarang?”
“You have to.”
Alex melunakkan lagi renungan mata. Bibir senyum lembut.
“You see, I don’t want you to sleep without your dinner.”
Serta-merta, jantung Tihani terasa lain. Pantas, dia melarikan anak mata. Tidak mahu tergugat dengan tingkah laku Alex. Huh, sejak bila dia jadi perempuan seperti ini? Mudah cair dengan kemanisan seorang lelaki.
Ingat, Tihani Rose. Alex bukan macam yang dia paparkan.
“Tia, please…”
Tihani mendengus. Tidak mahu memanjangkan cerita, dia mengambil garfu. Dengan gaya membentak, dia menyumbat spageti ke dalam mulut.
“Jangan gelojoh sangat. Walaupun I nak you makan, tapi I tak nak you tercekik.”
Ekor mata Tihani menjeling tajam. Lelaki di hadapannya kekal dengan muka tenang dan senyuman yang selalu dia rasa indah, tetapi kini sudah jadi sangat menjengkelkan.
Alex merenung Tihani sedalam-dalamnya. Semakin dia menatap, semakin bertukar rupa Tihani. Sedikit-sedikit hingga akhirnya yang ada di hadapan Alex sekarang ialah seorang gadis muda yang sedang merayu, menangis, kesejukan dan terseksa.
Sangat terseksa.
Menyedari diri yang semakin hanyut dalam bayangan itu, Alex mengatup mata. Mahu melenyapkan semuanya. Namun serentak itu juga, telinganya mendengar satu suara halus.
“Help me. I’m begging you.”
Alex membuka semula mata. Tepat bersabung dengan sepasang mata hazel.
“Kenapa you jadi macam ni? Apa yang you nak beritahu I sebenarnya?”
Nada suara Tihani tidak lagi keras. Wajah juga tidak lagi berbias marah. Tetapi segenap wajah itu memancarkan kebimbangan. Alex tiba-tiba jadi serba salah. Ah, dia benci dirinya yang ini. Saat ini, dia mahu bertukar jadi dirinya yang satu lagi. Yang tidak pernah peduli tentang apa-apa pun. Yang berani dalam membuat apa sahaja.
“Alex…”
“You know, Tia. I sebenarnya betul-betul harap yang you akan biarkan I ada di sisi you, tanpa tanya apa-apa. Just ask me to see you, macam di hospital hari tu. And I’ll be by your side.”
“I tak sangka yang you akan betul-betul muncul.” Laju Tihani menjawab. Tidak memikir apa-apa.
“Kenapa? You bukan betul-betul mahu jumpa I balik?”
Tihani terdiam. Nada suara Alex kedengaran ralat. Tidak cukup dengan itu, mata lembutnya berubah keruh. Bawah bibir Tihani diketap kuat. Ada rasa bersalah yang bertamu dalam hati.
“I tak bermaksud macam tu…”
Eh, sekejap. Apa yang dia buat sekarang? Dia sepatutnya menyoal siasat Alexander Aryan, bukannya rasa bersalah dan cuba menjelaskan keadaan.
“Itu bukan isunya.” Tihani mengalih topik perbualan.
“Yang penting sekarang, I’ve had enough of this pusing sana, pusing sini. I need an answer. Right now, and right here.”
Tegas sekali bicara yang menyinggah di telinga Alex. Dia senyum tawar. Tihani bila jadi degil, sangat degil orangnya!
Langsung, Alex menetapkan pandangan ke muka Tihani. Tidak berkelip. Serius.
“Then, I akan bagi jawapan yang you nak sangat.”
Lidah berhenti sekejap. Nafas ditarik sekali.
“Kenapa I boleh ada kat sini? Kenapa I sanggup pindah ke depan rumah you?”
Tihani terkesima. Jadi Kak Aina berpindah keluar bukan atas sebab peribadi, tetapi kerana Alex? 
“Kenapa I boleh tahu yang you tak makan seafood? Kenapa I boleh tahu yang bila you makan burger, you akan buang bawangnya? Kenapa I boleh tahu yang bila you sangat tertekan, you ada tabiat untuk gigit-gigit kuku you?”
Semakin Tihani mendengar, semakin buntang matanya. Setiap patah kata yang dipantulkan oleh Alex tidak ubah seperti peluru kejutan yang berdas-das keluar.
Oh, Tuhan! Siapa sebenarnya Alexander Aryan? Kenapa lelaki ini tahu banyak perkara tentang dia?
Rasa curiga Tihani mencanak setinggi Gunung Everest.
“Jawapannya cuma satu, Tia.”
“Apa?” Pertanyaan Tihani seolah-olah tersekat di celah liur. Dadanya berdebar menanti jawapan.
Alex tidak segera menyambung. Sebaliknya dia mendekatkan wajah ke hadapan. Tihani pegun, tanpa sekali pun mengalihkan pandangan. Dia seperti ditarik masuk ke dalam mata hitam umpama black hole itu. Terpasung dan terperangkap, dikelilingi ketegangan yang membuak-buak.
Selang beberapa saat, Alex menghenti tindakan. Betul-betul di hadapan muka Tihani. Matanya berkelip sekali. Lidah pula berbisik perlahan.
“Because you are the sister of Eireen Rose.”
Saat itu, jantung Tihani seperti berhenti berdegup.
*****
“CALL me once you finish.”
Tihani yang baru separuh keluar dari kereta, menoleh kepada lelaki pelantun kata sebentar tadi. 
“Ya, daddy. Dah berapa kali pesan tadi?” tekannya dengan riak muka jengkel.
“Jangan merayap sangat. Stick together.” Tanpa mempedulikan jawapannya, sang ayah menyambung kata.
Nafas berat menyinggah hujung telinga Tihani. Nampaknya, Eireen juga berperasaan seperti dia. Geram dengan pesanan yang tidak sudah-sudah.
“Ala, daddy ni. Macamlah kita orang budak kecil.”
Lelaki bermata hazel di hadapan mereka, mengangkat sebelah kening. Bibir juga menyengih lebar.
“In my eyes, you will always be my little darlings.” Lembut dia menitip kata. Serentak itu juga, mereka berdua menjerit.
“Cheesy!!!”
Terhambur tawa besar daddy. Wajah putih kemerah-merahannya bertambah merah dek bahang musim panas, padahal dia berada di bawah bumbung kereta.
“Okeylah, off you go,” tuturnya sesudah memati tawa. Tangan dikibas-kibas, gaya orang sedang menghalau.
Tihani menjuih bibir.
“Halau kita pula.” Eireen membebel tidak puas hati.
Daddy senyum lagi. Indah seperti selalu.
“Enjoy your time,” pesannya kepada mereka yang sudah bolos dan berdiri sebelah kereta.
“Bye, daddy.” Hampir serentak Tihani dan Eireen melambai tangan.
Namun…
“Oh, satu lagi.”
Daddy memusing semula kepala.
“Apa lagi?” bentak Tihani.
“Kalau ada budak lelaki yang cuba dekat…”
“Daddy!!!” Pantas mereka menempik. Mata masing-masing sengaja dijegil.
“Ya, ya. Daddy pergi.” Daddy mengalah akhirnya. Tawa halus sempat terselit di hujung kata. Cermin kereta dinaikkan, lantas memisahkan pandangan mereka. Tidak sampai seminit kemudian, kereta pacuan empat roda yang dipandunya, berdesup pergi. Tihani membiarkan sahaja.
“Tia…”
Gadis di sebelah menyeru.
“Hmm…”
“Reen nak pergi toilet.”
Kepala Tihani terpaling. Mulut melopong tidak percaya.
“Seriously? Kita belum masuk pun lagi, tapi Reen dah nak pergi toilet?” soal Tihani. Ekor mata menjeling-jeling ke arah pintu masuk Aurora Mall.
Eireen jongket bahu dengan muka selamba.
“Well, you know me.”
“Dia ni kan, kalau pergi mana-mana pun asyik cari tandas aje,” cebik Tihani dengan mulut yang terherot-herot.
“I heard you.” Eireen yang baru setapak mengayun langkah, menoleh separuh.
Tihani tergelak. Sebelah tangan diangkat sebagai isyarat agar kakaknya menyambung perjalanan ke arah tandas yang terletak tidak jauh dari pintu masuk mall.
“Yeah, yeah. Just go.”
“Tunggu, tau.”
“Malaslah tunggu. Tia nak pusing-pusing dekat sini dulu. Sudah nanti, call me.” Cepat sahaja Tihani menolak permintaan Eireen.
“Ala, kejap aje.’
“Macam budak kecil, masuk toilet nak orang tunggu.”
Eireen masih dengan muka yang sengaja dibuat comel. Bibir tetap merengek, “Please, Tia. Wait for me…”
*****
“WAIT for me.”
Tiga perkataan itu berdengung buat kesejuta kali. Tihani genggam tangan kuat-kuat. Bibir juga diketap rapat. Seribu satu satu emosi yang berderu-deru masuk, cuba ditangkis sedaya upaya.
Dia. Perlu. Tenang.
“Apa you cakap tadi? Boleh ulang balik?” pohon Tihani. Suara tertahan-tahan, cuba menteramkan jiwa yang semakin tidak keruan. Mungkin dia silap dengar tadi. Mungkin bukan nama itu yang disebut oleh Alex.
Bukan Eireen Rose.
Alex kaku tanpa riak. Dia masih menatap dengan suatu pandangan yang Tihani tidak mengerti. Lembut? Lunak? Sedih? Tidak rela? Kasihan? Huh, persetankan semua itu. Dia tidak peduli. Yang penting baginya kini, cuma….
“Tolong ulang balik, Alex.”
Eireen Rose. Hanya Eireen Rose.
Sesaat, mata Alex terpejam. Segenap mukanya kelihatan tidak rela, tetapi tetap juga dia mengulang bicara.
“You are the sister of Eireen Rose.”
Fikir Tihani, mendengar bicara tersebut buat kali kedua tidak akan begitu meninggalkan kesan. Namun dia silap besar. Wajahnya berderau. Jantung sesak. Nafas seperti tersekat-sekat. Bahkan, jari-jemarinya jadi terketar-ketar.
“Macam mana…”
Suaranya cuba dipantul keluar, tetapi gagal. Tenggelam di celah kerongkong selepas hanya dua patah perkataan.
“Tia, are you okay?”
Dan-dan, Tihani rasa ingin ketawa sekuat-kuatnya. Mahu menyinis situasi sekarang. Berani Alexander Aryan menyoal sama ada dia okey atau tidak, selepas melempar bom kepadanya?
“Macam mana…” Buat kesekian kali, Tihani berusaha menitip kata. Nafas ditarik, dihembus, dan ditarik berkali-kali. Mahu menyuntik secebis ketenangan ke dalam jiwanya yang semakin sebu.
“Macam mana you tahu I adik…”
Tihani berhenti di sekerat kata, dan menggeleng kepala.
“Tak, bukan itu soalannya. Yang lebih penting sekarang, macam mana you tahu pasal Eireen Rose? Macam mana you kenal kakak I?”
“I…”
“Dia yang bagitahu you pasal I, kan? Sebab tu, you tahu banyak benda.” Belum sempat Alex menjawab, Tihani lebih dahulu menyampuk.
“No, that’s not…”
“Kalau macam tu, apa hubungan you dengan dia?”
Alex terpana. Nada suara Tihani kedengaran lain macam. Ada biasan menuduh. Tidak cukup dengan itu, Tihani tiba-tiba menekup mulut. Sepasang matanya terbelalak seperti sedang mengalami kejutan besar. Usai mengalihkan tangan, dia menyoal dengan bibir yang terlebih menggeletar.
“Apa…apa yang you dah buat pada dia?”
“Buat?” soal Alex semula. Tiba-tiba jadi terlebih bingung.
“Mana dia sekarang?”
Jantung Alex terhentak kuat. Mata membulat.
“Kejap, you fikir…”
“Mana dia sekarang, Alexander Aryan?” ulang Tihani, di celah rahang yang terketap-ketap. Di sebalik tudung yang dipakai, dia dapat merasai betapa tegang lehernya. Cuba bertenang di sebalik segala ketegangan, membuatkan setiap pembuluh darah di tubuh Tihani seperti menanti saat untuk meletup.
Sedikit-sedikit, hujung bibir Alex bergerak dan membentuk senyum. Kelat. Pahit. Terluka.
“You betul-betul fikir I ada kaitan dengan kakak you?”Alex menyoal perlahan. Berlagak tenang, walhal jiwanya bergelojak. Bukan kerana tuduhan yang dilontar oleh Tihani, tetapi kerana perilaku Tihani sekarang.
Sungguh, inilah yang dia tidak mahu! Dia lebih rela kalau Tihani menempik-nempik macam orang gila dan memaksa-maksa agar dia membuka cerita. Itu jauh lebih baik daripada melihat Tihani dengan lagak konon-konon tenang, padahal setiap inci mukanya tegang hingga menunjuk urat darah.
Tihani terseksa. Seperti dahulu.
Dan yang lebih dahsyat, dia…Alexander Aryan yang telah menyebabkan Tihani berkeadaan begitu. Dia yang sudah membuka memori pahit Tihani Rose. Dia yang telah melempar semula Tihani ke dalam mimpi ngerinya.
Ah, dia sepatutnya terus-terusan mengatup mulut!
“Alex, you dengar tak? I tanya ni!” Bertemankan desah nafas yang semakin berat, Tihani mendesak.
“I dengar.”
“Habis tu?”
Alex angkat anak mata lebih tepat ke muka Tihani. Wajah polos dengan mata berkaca-kaca itu, ditenung penuh perasaan. Semerta, matanya sendiri jadi berair.
Ternyata, walau bertahun-tahun melatih diri, dia tidak akan mampu mengawal diri di hadapan Tihani Rose. Gadis itu akan selama-lamanya memegang jiwa seorang Alexander Aryan.
“I…”
Tihani senyap menanti. Mata basahnya tidak berkelip. Ada sejuta harapan yang terselit di situ.
Sayangnya, Alex perlu menghancurkan harapan itu.
“I’m sorry, Tia. Tapi I tak ada kaitan dengan kakak you.”
“No!” Tidak semena-mena, Tihani menjerit. Tubuh juga terbangkit dari kerusi.
Automatik, Alex terbangun sama. Lewat ekor mata, dia perasan akan beberapa orang pelanggan lain yang menjeling-jeling kepadanya, tetapi dia buat tidak peduli. Seluruh perhatiannya sekarang cuma untuk gadis yang sedang merenungnya. Gadis berwajah merah padam, sedang menahan perasaan.
Ah, Tihani. Kenapa tidak habis-habis menyeksa jiwa? Kalau mahu menangis, menangis saja, Tia. Kalau mahu meraung, meraung saja, Tia. Tolong jangan seksa diri lagi. Tolong jangan jadi seperti dulu!
“You have to, Alex. You have to know her. You patut ada kaitan dengan dia. Tak kisahlah apa-apa pun. Kawan, kekasih atau penculik dia sekali pun. Just…”
Segenap muka Tihani berkerunyut. Dada berombak, cuba menyedut nafas yang tiba-tiba terlampau menyesakkan. Kedua-dua belah tangan yang longlai di sisi, jadi semakin menggeletar. Cepat-cepat, Tihani menggenggamnya. Sangat kuat hinggakan dia mampu merasai kuku yang mencucuk telapak tangan, padahal kukunya tidak panjang mana.
Tenang, Tihani Rose. Tenang.
“Just tell me. Mana dia? Mana kakak I?”
Setitik air mata menitis di pipi Tihani. Tetapi secepat itu juga, dia menyeka. Pandangan langsung tidak dilarikan daripada muka Alex. Dia tetap tegak mengharapkan jawapan.
Melihat semua itu, jantung Alex semakin perit. Kalau diikutkan rasa, mahu sahaja dia menarik gadis itu dan memeluknya erat. Dia mahu menyuruh Tihani melepaskan segala-galanya yang terbuku selama ini. Dia mahu memujuk. Dia mahu menenangkan. Dia mahu memberi apa yang tidak mampu dia beri bertahun-tahun dahulu.
“Alex, please. Just tell me anything. Sikit pun tak apa.” Kali ini, Tihani mula merayu. Mata-mata orang sekeliling langsung tidak diendah. Mereka semua tidak penting. Tidak pernah penting! Bukan macam Eireen Rose, kakak yang dia cari sejak dua belas tahun yang lalu.
Ya, dua belas tahun yang jahanam!
Lambat-lambat, Alex menggeleng. Mata sedihnya penuh dengan rasa bersalah.
“I’m sorry, Tia. Tapi I betul-betul tak ada kaitan dengan dia.”
Tihani pandang Alex dalam-dalam. Mahu mencari kepastian atas apa yang baru didengar. Seperti sebelum ini, yang dia nampak cuma kejujuran. Tihani merenung lagi. Dia ingin menafi apa yang dilihatnya, tetapi sepasang mata Alex kelihatan terlalu tulus untuk menipu.
Arghhh!!!
Kenapa Alex tidak berbohong? Beritahu sahaja yang dia memang punya kaitan dengan Eireen Rose. Sekurang-kurangnya, ada sedikit klu kepada kehilangan itu. Sekurang-kurangnya, ada secebis harapan. Itu yang dia inginkan sekarang.
Hanya harapan. Sekecil zarah pun tidak apa, asalkan ada!
Seketika berlalu, Tihani menghela dan melepaskan nafas. Birai mata yang sedari tadi bergenang, disapu lemah. Hujung jari semerta basah. Bibir menguntum senyum. Hodoh, tetapi dia tidak peduli. Dia cuma mahu kembali kepada topeng ketenangan yang retak sebentar tadi.
Kemudian, Tihani melabuhkan semula punggung ke kerusi. Melalui isyarat mata, dia meminta Alex mengambil tindakan serupa. Lelaki itu mengikut, tanpa sekali pun melarikan pandangan daripadanya. Alex terus-terusan merenung. Masih dengan tatapan misteri yang Tihani tidak mampu tebak.
“Then, answer me.” Tihani kembali menyambung perbualan.
“Kalau betul you tak ada kaitan dengan kakak I, macam mana you tahu banyak perkara pasal I? You are not my stalker, are you?” Tihani ketawa di hujung bicara. Tetapi sesiapa sahaja yang mendengar, boleh tahu betapa palsunya tawa tersebut. Plastik sekadar mengatup kelukaan.
Alex tidak memberi sebarang reaksi terhadap tawa Tihani. Sebaliknya, dia kekal dengan muka tanpa riak. Bahkan, dia jadi lebih serius. Kemudian, dengan suara setenang air di tasik, dia menjawab…
“If that’s the right word, then yes, I am your stalker.”
*****
NEW YORK, 2004
DIA masih ada di situ. Berdiri di hadapan Aurora Mall sambil mengedarkan risalah kehilangan Eireen. Baru semalam dia dihambat pergi oleh dua orang pengawal keselamatan, tetapi lihatlah, dia kembali lagi. Hari ini genap enam bulan dia melakukan perkara yang sama. Kalau beberapa bulan yang lepas, ada berpuluh-puluh orang menyertainya, namun sekarang?
Tiada sesiapa. Tiada sahabat handai. Tiada jiran tetangga. Dan yang lebih menyedihkan, tiada ibu bapanya.
Yang ada cuma dia seorang. Hanya Tihani Rose.
Treet…treet…
Perhatiannya terkalih sebentar. Telefon bimbit yang bergetar, ditarik keluar dari saku jeans.
“Helo…”
“Alex! Where have you been?”
Suara umi menerjah gegendang telinga. Mata Alex berkelip sekali. Muka kekal kosong.
“Don’t tell me…”
“Umi, apa patut Alex buat?” soalnya sangat perlahan. Anak mata kembali dipanggung ke hadapan. Tepat kepada Tihani Rose.
“Dia masih ada kat sana. Dia masih buat macam-macam untuk kakak dia.”
Helaan nafas berbunyi di hujung talian. Berat sekali.
“Alex, dengar sini. You’re being creepy.”
Semerta, hujung bibir Alex menyenget. Sinis bercampur kelat.
“Jadi sekarang umi pun rasa Alex creepy?”
“Tak, bukan itu maksud umi.” Beriya ibunya menafi. Namun dengan hanya mendengar nada suara umi, Alex tahu penafian itu penuh dengan pembohongan.
Umi fikir dia siapa? Dia mungkin manusia bodoh yang tidak boleh mengenal kejahatan, tetapi dia kenal ibu yang melahirkannya. Kerana ibu yang sama itulah, yang telah membuatkan dia sedar bahawa perbezaan yang ada pada dirinya ialah satu sumpahan berat.
“Habis tu? Ada maksud lain ke? It is obvious as it is.” Alex cuba mengawal intonasi suaranya, tetapi yang keluar tetap suara yang bersalut ralat.
“Tak, sayang. Umi tak bermaksud macam tu. Umi cuma tak mahu anak umi kena tangkap sebab stalk anak dara orang.”
“Tapi Alex tak boleh biarkan dia sendiri, umi. She’s in pain. So much pain.”
Renungan semakin kejap kepada Tihani Rose. Gadis itu sedang menepuk-nepuk bahu yang kebasahan dek salji. Satu saat, dia mengelap bawah hidungnya yang berair. Segenap mukanya menampakkan kepenatan. Pucat dimamah dinginnya musim salju.
Di luar sedar, kaki Alex terangkat ke hadapan.
“Alex…Alex rasa Alex kena pergi kepada dia.”
“Don’t you dare buat macam tu!”
Kaki Alex terkaku semula. Tengkingan ibunya kedengaran umpama halilintar membelah bumi.
“Kali ini, umi merayu kepada Alex. Tolong butakan mata, pekakkan telinga. Jangan fikir pasal orang lain. Jangan jadi terlalu baik. Jangan buat apa-apa. Please, I’m begging you.”
Terpejam mata Alex mendengar rayuan itu. Bibirnya yang mula bergetar, cepat-cepat diketap. Menahan rasa hati yang kepedihan.
“Cukuplah apa yang dah jadi. Umi tak nak kehilangan sesiapa lagi. Especially you.”
“Walaupun Alex yang jadi penyebab kepada semuanya?”
“It’s not your fault.” Umi membangkang. Kedengaran lembut, tetapi ada tegasnya. Alex tarik senyum tipis. Dia boleh membayangkan wajah ibunya saat menuturkan kata-kata itu.
Berwajah lembut, dengan mata yang kelihatan teguh. Ada kekuatan yang cuba disampaikan. Bahkan, bibirnya juga mengulum senyum. Tetapi umi mungkin terlupa bahawa seorang Alexander Aryan mampu merasai apa yang tersirat dalam hati ibunya. Hakikatnya, senyuman itu sekadar mengatup kelukaan. Atau mungkin juga mengatup penyesalan.
Ya, menyesal kerana melahirkan dia.
“It is, umi. It is,” getus bibirnya di celah-celah emosi berat yang semakin menghimpit jiwa.
“Then, kita boleh buat sesuatu. Umi baru dapat panggilan daripada Auntie Megan. Kita dah dapat secure appointment dengan Prof. Williams. Minggu depan, kita akan pergi jumpa dia.”
“Kalau Alex jumpa dia, Alex akan jadi okey ke?” Alex menyoal dingin. Sungguh, dia tidak meletakkan harapan. Sedikit pun tidak!
Sejenak, panggilan hening. Hanya desah nafas masing-masing yang kedengaran.
“Umi tak tahu, tapi sekurang-kurangnya kita cuba.” Suara umi akhirnya memecah kesunyian.
Alex melepas nafas seberat gunung.
“Okey,” jawabnya pendek.
“For now, umi nak Alex berhenti ikut Tihani Rose dan balik ke rumah. Sekarang juga.”
Terukir senyum tawar di bibir Alex. Nampaknya umi tidak terlupa akan perbualan asal mereka.
“I’ll be there in fifteen minutes.”
“Hmm…” Dengan respon sependek itu, umi mematikan panggilan.
Alex menyumbat semula telefon bimbitnya ke celah saku jeans. Perhatian kembali diberi kepada Tihani Rose. Serentak itu, anak matanya menangkap pergerakan seorang pengawal keselamatan berkulit putih sedang merapati Tihani dari belakang.
Tanpa berlengah, Alex bergerak ke hadapan. Baru sahaja pengawal keselamatan itu mengangkat tangan mahu menyentuh bahu Tihani…
Pap!
Alex terlebih dahulu memegang bahunya. Spontan, lelaki itu memusing badan ke belakang. Mukanya kehairanan.
“What…”
Setapak, Alex merapatkan jarak antara mereka. Kepalanya diangkat, menghadap pengawal keselamatan yang jauh lebih tinggi daripadanya. Bahkan, tubuh lelaki itu sangat sasa dengan muka menggerunkan. Namun, Alex tetap tidak beriak. Renungan matanya kukuh tanpa perasaan gentar.
“Leave her alone,” desisnya sedingin salju.
“You…”
Alex menajamkan renungan. Keras membunuh. Kemudian, lidahnya mengulang lagi.
“I said, leave her alone.”
Riak muka sang pengawal sedikit demi sedikit berubah.
********
NOTA CIK SA:
Ohmai!! Alex ngaku jadi stalker Tia pulak dah. Apa yang sebenarnya jadi? Siapa dia? Apa kaitan Alex dengan Eireen dan Tihani? Fuh, makin banyak persoalan. Semuanya akan terjawab dalam novel ni nanti.
Speaking of novelnya, nampak tak cover yang Cik SA dah tukar tu? Yes!!!! Itulah cover novel Aku Lelakimu. Akan terbit bulan September ini, keluaran Karyaseni. InsyaAllah akan ada di kedai-kedai buku pertengahan Sept.
For those yang nak order direct dengan Cik SA, boleh jugak. Just emel Cik SA di novelissaraaisha@gmail.com atau DM di IG (ciksara_aisha) atau PM di FB (Novelis Sara Aisha). Order direct dapat autograf.
Terima kasih sebab sabar menunggu AL, dan yay!!! Finally, akan keluar jugak. Alhamdulillah. =)
Love,
SA

4 comments:

  1. Yeah!!
    Can't wait to have it..

    ReplyDelete
  2. OMG!!😲 Alex ni apa? Mangsa experiment yg x menjadi ke? Boleh dapat bayangan kalau ada sesuatu yg buruk akan berlaku?

    ReplyDelete
  3. Hummm...mkin menarik...dn suspen.
    Tahniah SA😍😍😍

    ReplyDelete