August 22, 2017

AKU LELAKIMU - BAB 11


BAB 11
“ALEXANDER ARYAN,” getus Tihani. Perlahan, tetapi boleh ditangkap oleh telinga Rafael. Sekelipan, mukanya berderau. Rahang terketap-ketap, tetapi dia tetap cuba menayang wajah tenang lagi bersahaja.
Lambat-lambat, dia memusing badan. Pandangan mata melekat kepada lelaki yang entah sejak bila terpacak di belakangnya. Lelaki itu menapak ke hadapan. Rafael beralih lebih jauh dan membiarkan ruang yang dia duduki sebentar tadi, diisi oleh manusia lain.
Alexander Aryan.
Manusia yang tidak habis-habis menjengkelkan dia!
“You cakap nak jumpa I lagi. So here I am. For you.”
Muka Rafael kekal tidak beriak. Tetapi dalam otak, dia sudah membayangkan diri menarik keluar lidah Alexander Aryan dan mengerat-ngeratnya. Berani kau cakap manis kepada perempuan milik aku?!
“Oh please, Alex. Don’t make it sounds too romantic.”
Hujung mata Rafael menjeling kepada Tihani. Gadis itu tersenyum-senyum. Ada getaran dalam nada suaranya. Dia mungkin tidak memahami soal emosi manusia. Tetapi dia tahu maksud getaran itu. Tihani Rose terkesan dengan bicara manis yang didengari.
Huh, Tihani Rose juga manusia tolol bertunjangkan perasaan. Sama macam Amber. Sama macam orang lain!
“Cik Tihani.”
Tihani mendongak kepadanya. Mata bundar terkebil-kebil.
“Nampaknya you nak jumpa kawan. I pergi dulu. Nice meeting you,” tutur Rafael, bersama suara lembut dan penuh hemah. Senyuman sebagai peneman bicara. Padahal, senyuman itu kosong tanpa emosi.
“Nice meeting you, too. Terima kasih tolong I tadi.”
“No problem.” Rafael menjawab. Sebelum berlalu, sempat dia mengerling kepada Alexander Aryan. Lelaki itu mengulum senyum dan mengangguk sedikit. Rafael membalas dengan tindakan serupa.
Otak masih membayangkan adegan lidah dan kerat.
*****
GADIS yang sedang menunduk dan mengacau kopi di hadapannya, dipandang tepat. Masih ada sedikit kesan lebam di bawah mata dan bibir. Tidak jelas, tetapi tetap menarik perhatian Alex. Dia jadi teringat akan peristiwa malam itu. Juga, perbualannya dengan Benjamin.
“She has been targeted.”
Apa yang pembunuh jahanam itu mahu daripada Tihani Rose? Kenapa perlu jadikan Tihani sebagai sasaran? Apa yang dia mahu sebenarnya?
Segala persoalan itu, akan kekal sebagai persoalan. Kerana sesungguhnya, tidak akan ada jawapan kepada kegilaan seorang pembunuh bersiri. Tidak akan ada motif. Kalau ada pun, cuma alasan yang direka semata-mata!
“So, how’s your cats?” soal Alex, sekadar berbasi-basi. Teringat pula dia kepada kejadian petang tadi. Tihani beriya-iya benar mahu menghantar kucing-kucingnya pulang dahulu ke rumah, sebelum bersetuju untuk makan malam bersamanya.
Tihani menengadah. Mata hazelnya kelihatan bercahaya di bawah lampu yang menyinari café. Jantung Alex seolah-olah berhenti berdegup. Ah, Tihani Rose! Matanya punya kuasa untuk memaku jiwa.
“Seminggu duduk hotel, mestilah sangat okey. Yang tak okeynya, poket I.”
Alex tergelak. Mulut Tihani terherot-herot mengomel, tetapi dia boleh nampak betapa sayangnya Tihani terhadap haiwan peliharaannya.
“Well, sometimes love can be costly.”
“Sangat!” akui Tihani. Laju sekali.
Mereka berpandangan seketika, sebelum sama-sama melepas tawa.
“Tuannya macam mana pula?”
“Huh?” balas Tihani, tidak memahami soalan Alex yang tiba-tiba muncul di tengah gelak.
Alex menetapkan renungan lebih kejap ke muka Tihani.
How are you?” ulangnya lembut. Seolah-olah bersuara kasar akan membuatkan luka dan lebam di muka Tihani bertambah teruk.
“Macam yang you nampak, I’m okay. Hari ni dah masuk kerja.”
“Kenapa you tak ambil cuti dulu? Tunggu semua ni reda.”
Soalan Alex tergantung sekejap. Tihani tenang meneguk kopi kegemaran. Hazelnut latte with extra shot. Usai meletakkan kembali cawan, dia menitip jawapan.
“Sebab I tak nak kalah dengan perasaan takut I sendiri.”
Alex mengelip mata, mengharapkan penjelasan lebih lanjut.
“You sendiri cakap, kan? Being scared is not a weakness. I’m just a human. Tapi…” Suara Tihani tersekat. Mata terpejam sesaat, mengingati sepuluh hari yang sudah berlalu sejak kejadian malam itu. Dia tahu semua orang melihatnya sebagai seorang wanita yang tenang menerima apa yang telah berlaku. Talha, Edric, rakan-rakan sekerja…semuanya memandang dia begitu. Malahan, dia juga ingin melihat dirinya begitu!
Sayangnya, itu bukan realitinya. Bahkan, jauh panggang dari api.
“Rasa takut I buat I tak boleh tidur malam tanpa lampu, padahal I bukan macam tu sebelum ini. I selalu rasa macam diperhatikan, walaupun dalam rumah sendiri. And the worst part is that, kadang-kadang I seolah-olah dapat rasa tangan dia di leher I. I boleh rasa nafas dia di muka I. I was scared. No, I am still scared. And I hate that!”
Tubir mata Tihani bergenang. Suaranya semakin lama, kedengaran semakin serak. Wajah pula merah padam, jelas sedang menahan amukan emosi. Melihat semua itu, dan-dan Alex rasa ingin meraih wanita itu ke dalam rangkulannya. Biar segala kesakitan Tihani dipindahkan kepadanya. Biar dia yang merasai peritnya!
“Sebab itulah, I nak hidup macam biasa. I nak tunjukkan pada dia yang dia tak beri kesan kepada I. I am strong, and I will show that to him.” Tihani menyudahkan kata dengan nafas yang dihela dalam-dalam. Renungan penuh keyakinan dan keangkuhan dipanah tepat ke hadapan, seolah-olah yang sedang dia hadap sekarang ialah White Killer, bukan Alexander Aryan.
Lama Alex menatap wanita di hadapannya. Seperti biasa, dia mampu menembus masuk ke dalam jiwa itu. Dia dapat merasai betapa takut, sedih dan terseksanya Tihani. Tetapi pada masa yang sama, jiwa itu penuh dengan kekuatan dan keteguhan. Benar kata Tihani. Dia ialah seorang wanita yang kuat.
Menyedari hakikat tersebut, bibir Alex bergerak dan membentuk senyum. Secebis rasa lega menyusup masuk. Pembunuh itu mungkin boleh menyasarkan Tihani, tetapi untuk merenggut nyawanya? Tidak sebegitu mudah!
Tihani Rose akan melawan. Seperti malam, sepuluh hari yang lalu.
“Monsters feed on your fear. Untuk melawan, jangan sesekali tunjuk rasa takut,” tutur Alex, selepas beberapa saat mendiam.
Tihani senyum. Dia ingat kata-kata itu. Alex menulisnya dalam novel kedua, The Man Who Loved Too Much, berdasarkan kes benar Katie Lahnmann. Gadis tersebut menjadi mangsa seorang lelaki yang menghendap dan menghantuinya selama empat tahun.
A stalker.
Anak mata Tihani membundar. Kisah tersebut mengingatkan dia kepada maklumat terbaru kes White Killer. Langsung, dia membuka mulut.
“Alex, there’s a stalker.”
“Huh?” Hanya itu yang keluar dari mulut Alex. Muka kebingungan.
Tihani menarik nafas dan mula menceritakan semua yang berlaku sepanjang ketiadaan Alex. Setiap patah katanya, didengar teliti. Sesekali, Alex membulatkan mata. Ada ketika, Alex mengangguk. Dahi juga kadangkala berkerut, seolah-olah ligat menganalisa apa yang sudah berlaku.
“Dia bukan pembunuhnya, kan?”
Belum sempat Tihani memberitahu pengakhiran kepada ceritanya, Alex menyampuk. Tepat mengenai sasaran.
“Macam mana you tahu?”
“You tahu macam mana I tahu.”
Tersirat jawapan Alex, tetapi pantas difahami oleh Tihani. Lalu, dia menjawab pertanyaan sendiri.
“Sebab dia tak stalk I.”
“Ya.” Alex mengakui. Tetapi dalam hati, dia berbisik.
‘You’re a variable in this case, Tihani Rose.’
Ingin sekali dia meluahkan hal sebenar kepada Tihani. Namun, hatinya lantang menegah. Kerana dia tahu, sedalam mana pun Tihani fikir dirinya kuat, gadis itu tidak akan mampu menerima apa yang bakal mendatang.
Menjadi mangsa seterusnya. Menjadi sasaran yang tidak akan dilepaskan hingga nyawa melayang. Sekuat mana pun seorang wanita, dia tidak akan mampu menghadapinya.
“I belum lepas daripada dia, kan?”
Soalan tiba-tiba Tihani menyentak Alex. Matanya bulat memandang gadis yang tenang membalas renungan. Macam mana Tihani tahu apa yang sedang bermain dalam fikirannya?
Tihani senyum kecil. Sangat plastik.
“I am a crime journalist, and I read your books, remember? Sedikit sebanyak, I tahu pasal pembunuh bersiri. I talked to Edric, too.”
“Edric?”
“ASP Edric. You jumpa dia di hospital.”
“Oh, polis yang fikir I ada kaitan dengan kes ini,” sinis Alex. Masih dia ingat betapa lelaki tersebut menyoal macam-macam dengan gaya mendesak. Nampak sangat tidak mempercayai dia, padahal dia juga sama seperti Tihani. Hampir menjadi mangsa. Hampir menjadi mayat.
“Ya, kami ada bercakap pasal pattern pembunuhan White Killer.”
Kening Alex terjongket sebelah.
“Oh, sekarang dia dah ada gelaran?”
“You fikir hanya Boston Strangler atau Son of Sam yang boleh ada nama gelaran?” soal Tihani semula, separa bergurau.
Alex gelak halus. Nampaknya Tihani benar-benar tahu apa yang dia cakapkan. Tentang pembunuh bersiri.
“Kami bercakap pasal pattern dia yang berubah malam itu.”
“Dia contact you, serang you and you’re not even seventeen.”
Air muka Tihani berubah dengan setiap patah kata yang dituturkan oleh Alex.
“You tahu,” komen Tihani, bernada takjub.
“Well, I ada buat research sikit.”
Dahi Tihani berlapis. Kata-kata Alex kedengaran seperti menyimpan sesuatu. Sedikit demi sedikit, rasa curiga menyinggah. Lantas, dia menebak, “You nak tulis pasal kes ini?”
Alex terpegun sejenak, sebelum meledakkan tawa. Langsung dia tidak menduga bahawa itu yang akan terlintas dalam fikiran Tihani. Sungguh! Bagaimana Tihani boleh mendapat konklusi ini? Memang dia seorang penulis jenayah sebenar, dan kes ini sangat menarik untuk dipersembahkan kepada para pembaca. Tetapi tidak sekali pun, dia terfikir tentang hal tersebut. Entahlah, dia sendiri tidak tahu kenapa. Mungkin kerana dia mahu berehat sebentar selepas menyiapkan buku terbarunya, The Unbeliavable Twist, yang berkisarkan kes Lonnie Franklin Jr., atau dikenali juga sebagai Grim Sleeper.
Tihani melihat dengan gaya pelik. Tidak mengerti apa yang lawak dengan soalannya.
“Should I?” tanya Alex di celah-celah tawa.
Bibir Tihani memuncung sedikit.
“Suka hati you.” Endah tak endah, Tihani menjawab.
“You tak kisah? It’s you yang akan jadi watak utama.”
“As long as I masih hidup di akhir buku you.”
Sisa tawa Alex termati terus. Riak muka berubah serius. Mata mencerlung tajam. Bibir pula berdesis keras.
“I tak suka you cakap macam tu.”
“Itu hakikatnya, kan? I am still his target.”
“Not for long. I takkan biarkan dia sentuh you. Not again.” Laju Alex membidas. Intonasi suaranya keras tanpa kompromi. Di mata Tihani sekarang, Alex tiba-tiba kelihatan garang. Aura kerasnya meluap-luap keluar. Alex yang selalu senyum, menampakkan eye smile miliknya sudah hilang entah ke mana. Yang tinggal cuma, seorang Alexander Aryan yang serius beraura garang.
“Kenapa?” Di luar sedar, Tihani menyoal.
Lelaki di hadapannya tidak terus menjawab. Alex masih setia memanah dengan renungan tajam. Entah apa yang bermain dalam benak lelaki itu, Tihani tidak tahu. Dia tidak mampu meneka. Selang beberapa ketika, telinganya mendengar jawapan yang dinanti.
“Mungkin sebab I dah jadi gila.”
*****
“AKU tak tahu sama ada kau yang dah jadi gila, atau aku yang gila sebab biarkan kau buat kerja gila.”
Tawa Alex meledak keluar. Sepupu yang sedang membantunya mengalih kotak, dipandang sekilas. Kelihatan mulut Benjamin yang terherot-herot membebel. Patutlah banyak benar ‘gila’ yang keluar.
“Correction. Kau bukan setakat biarkan, tapi kau sokong kerja gila aku.”
Tangan Benjamin yang baru mengangkat sebuah kotak, terkaku di sekerat jalan. Satu jelingan tajam diberi kepada sepupunya.
“Excuse me? Mana ada aku sokong kau.”
“Eleh, tak nak mengaku. Habis tu, siapa yang bersusah-payah buat semuanya?” sindir Alex, mengingatkan Benjamin tentang segala kerja yang dia buat demi memastikan Alex boleh pindah ke sini. Sepanjang beberapa hari dia di Manila, Benjamin yang bertanggungjawab membuat rundingan dengan pemilik apartmen dan penyewa asalnya. Mujur sekali Cik Aina belum bernikah dan tidak punya masalah untuk pindah keluar dalam masa yang sangat singkat. Hanya dalam masa satu minggu.
Bukan itu sahaja, Benjamin juga menguruskan perihal kereta yang akan digunakan sepanjang dia berada di Malaysia. Juga, menangguhkan segala temu janji dan mesyuarat di New York. Pendek kata, sepupunya memang pembantu peribadi yang terbaik.
“Aku buat tak semestinya sebab aku sokong kau. Aku cuma buat kerja aku. After all, kau yang bayar gaji aku, kan?” balas Benjamin seraya meletakkan kotak yang diangkat tadi ke atas meja. Sesudah itu, dia menjatuhkan badan ke atas sofa berdekatan. Kedua-dua belah tangan diangkat, dengan gaya menggeliat. Tidak cukup dengan itu, dia memicit-micit bahu. Lenguh benar, nampaknya.
Seperti Benjamin, Alex juga meletakkan kotak atas meja. Kemudian, dia berpaling semula kepada sepupunya.
“Mata duitan,” ejeknya, masih mahu mengusik.
Benjamin membulatkan biji mata.
“Helo! Kau ingat senang kerja aku? Dapat pula bos macam kau. Yang selalu buat masalah dan bagi masalah kepada aku. Itu belum lagi jantung yang asyik hampir kena heart attack, sebab kau selalu buat kerja gila. Boleh mati aku, bila lama-lama kerja dengan kau, tahu tak?!”
Sekali lagi, Alex menghambur tawa. Perut ditekan-tekan. Mujur sahaja dia tidak berguling atas lantai.
“I’m not joking!” tempelak Benjamin. Sebelah tangan membaling sebiji bantal sofa kepada sepupunya.
Alex pantas menyambut. Sofa hitam didekati, sebelum dia melempar badan betul-betul di sebelah Benjamin. Nafas dihela dan dihembus beberapa kali. Mahu menghentikan sisa-sisa tawa.
“Ben…”
“Hmm…”
“Aku tahu kau tak bergurau tadi. Aku minta maaf sebab selalu buat kau hampir kena heart attack,” pohon Alex. Mata memandang jauh ke hadapan, mengingati segala jenis peristiwa yang pernah berlaku sepanjang tiga puluh satu tahun dia hidup.
Dia pernah dilanggar lori, dipatuk ular berbisa, jatuh ke dalam gaung, dirompak, diculik, berhadapan penjenayah berbahaya dan berkali-kali hampir dibunuh. Pendek kata, maut dan Alexander Aryan tidak boleh dipisahkan. Maka tidak hairanlah, dia seringkali dimomokkan dengan pertanyaan…
“Macam mana kau masih boleh hidup hingga ke hari ini?”
Namun yang lebih dahsyat, dia tidak pernah serik. Atau lebih tepat lagi, dia tidak mampu untuk menjadi serik!
“Your apology is accepted. Aku kan sepupu kau yang baik.” Balasan Benjamin menyentuh telinga.
Alex tergelak kecil.
“Perasan!”
Tawa halus terpantul dari mulut Benjamin. Dia menarik nafas sebelum menyambung kata dengan intonasi suara yang lebih serius.
“Tapi, ada satu yang aku nak tanya.”
“Apa dia?”
Perlahan-lahan, Benjamin memusing badan. Lebih menghadap Alex. Mata pula merenung tepat. 
“Kenapa kau buat macam ni sekali untuk dia?”
Muka Alex berderau. Air liur ditelan sekali, sebelum dia menyoal semula.
“Buat apa?”
Benjamin senyum. Agak sinis pada pandangan mata Alex.
“Buat apa, kau tanya? Kau minta orang yang menyewa di sini pindah keluar. Kau sanggup bagi dia duit untuk cari rumah lain.”
“Bukan banyak pun yang aku bagi.”
“Tiga ribu ringgit, kau cakap tak banyak?” Nada suara Benjamin ternaik satu oktaf. Matanya membulat.
“Aku tak peduli pasal duit. Dah cukup banyak duit yang aku ada,” jawab Alex. Masih dengan riak yang tenang. Padahal, dia boleh nampak betapa Benjamin semakin jengkel dengan reaksi bersahaja itu.
“Jadi apa yang kau nak sebenarnya? Don’t tell me kau cuma kasihankan dia.”
“I have too much empathy, remember?”
Lagi, Benjamin senyum mengejek.
“Sorry, but I don’t think so. This time, it’s not empathy. Kau tak pernah macam ni sebelum ini.”
Dahi Alex berkerut.
“Apa yang kau cuba cakapkan ni?”
“You love her, don’t you?”
Serta-merta, nafas Alex rasa tersekat di celah dada. Wajah gadis bermata hazel itu, segera menerpa depan mata.
“Jangan merepek,” bentaknya. Tetapi entah kenapa, penafian itu kedengaran tidak yakin langsung. Alex berasa seolah-olah sedang menitip dusta buat diri sendiri.
“I can see from the way you look at her. Dari waktu pertama kali kau tengok dia di event hari tu. You have fallen for her.”
Alex menggali nafas dalam-dalam. Wajah manis Tihani yang masih terbayang-bayang dalam fikiran, dihambat pergi. Kemudian, dia menajamkan renungan.
“No. I am not,” ulangnya, lebih keras.
“Alex…”
“Aku tak boleh jatuh cinta pada sesiapa. Dan tak ada sesiapa boleh jatuh cinta pada aku. You know that, right?” Alex mencantas, sebelum sempat Benjamin membangkang lagi.
“Kenapa tak boleh? Kau cuma lelaki biasa. Kau ada hak…”
“Itu yang kau silap, Ben. Aku bukan lelaki biasa. In fact, aku bukan manusia biasa.”
*****
“ALEX…Alex…Alex!”
“Huh?” Alex terkejut. Ingatan beberapa hari lepas lenyap terus. Yang ada kini, cuma kelibat Tihani dengan mata terkebil-kebil.
“You okey tak ni? I panggil banyak kali, tapi you macam tak dengar.”
Alex menarik senyum canggung.
“Sorry, I terfikirkan benda lain. You ada cakap apa-apa tadi?”
“Tak adalah. I cuma tanya, kenapa you cakap you dah gila?”
“Oh, itu! Err…”
Otak Alex ligat berfikir. Say something. Anything!
“Orang gila takkan ingat sebab dia jadi gila.”
Erk! Jawapan yang tersangatlah bodoh. Tetapi…
Tihani ketawa besar. Mata bundarnya jadi sepet, hampir tertutup. Kedua-dua belah pipi naik ke atas. Bibir melebar menampakkan gigi yang tersusun rapi. Bunyi ketawanya pula…
Sangat. Indah.
Telinga Alex seperti sedang mendengar melodi yang lembut, mengasyikkan dan punya kuasa untuk menembusi relung hatinya yang paling dalam. Lantas, melekat di situ untuk selama-lamanya.
“Apa yang tak kena dengan I? Kenapa I gelak macam ni sekali? It’s not even funny,” ucap Tihani di sebalik sisa tawanya. Jari telunjuk dibawa ke bawah mata yang mula berair.
“But then, thank you.”
Alex menggaritkan kening. Tidak mengerti dengan tingkah Tihani yang tiba-tiba mengucap terima kasih.
“Dah lama I tak ketawa macam ni. You know, ketawa tanpa sebab,” terang Tihani bersama senyuman di bibir. Mata berkelip lembut.
“Kalau macam tu, kita ada masalah sikit,” sambung Alex.
“Masalah?”
“You tak pernah dengar?”
“Apa dia?”
“Laughter is the best medicine. But if you laugh for no reason, you need medicine.”
Tawa Tihani terhambur lagi. Cepat-cepat, dia mengatup mulut. Tidak mahu bunyinya menarik perhatian pengunjung café yang lain.
Renungan Alex semakin ralit di muka Tihani. Hatinya mula berasa aneh. Dia tiba-tiba mahu mengabadikan rupa Tihani yang sedang ketawa itu buat selama-lamanya. Dia mahu Tihani sentiasa senyum. Sentiasa ketawa. Sentiasa gembira.
Seperti sekarang.
“You love her, don’t you?”
Suara Benjamin tiba-tiba muncul dan terngiang berulang kali. Tidak! Dia tidak mencintai Tihani. Mana mungkin dia jatuh cinta kepada gadis ini. Benar, dia akui bahawa dia selalu merasa dirinya dekat dengan Tihani Rose. Tetapi itu sekadar reaksi kerana otaknya yang berbeza daripada orang lain. Ya, kerana otak. Bukan hati. Dan sesunguhnya, cinta sepatutnya datang daripada hati dan jiwa.
Sementelah, Tihani tidak kenal siapa dia yang sebenarnya. Apa yang tersembunyi di sebalik seorang Alexander Aryan. Jika tahu, mungkin sahaja Tihani akan memandangnya pelik. Sama macam manusia-manusia lain yang cuma menganggap dia sebagai bahan uji kaji. Sekadar guinea pig!
Hakikatnya, Alexander Aryan dan Tihani Rose cuma orang asing yang tiba-tiba terperangkap dalam satu situasi yang serupa. Mereka sekadar dua orang manusia dengan takdir yang berselirat. Tidak lebih, dan tidak kurang.
Huh, kepada siapa dia cuba melontarkan semua alasan ini?
“So, you nak cakap I dah jadi gila?”
Soalan Tihani bergema setelah dia mematikan tawa dan mengalihkan jari-jemari dari mulut.
Alex menjongket bahu.
“Mana aci kalau I seorang yang gila kat sini.” Selamba sekali jawapan yang diberi.
Gelak kecil Tihani terluah lagi. Kepala tergeleng sekali.
“So, apa yang you buat kat sini sebenarnya? I ingat lepas you balik dari Manila, you akan terus ke New York. Your book tour dah habis, kan?” Tihani mengubah topik perbualan.
Jika lebih lama mereka melayan topik ‘gila’, mahunya mereka benar-benar jadi gila. Apatah lagi, apa yang sedang berlaku kepada mereka sekarang sudah cukup gila. Ya, berhadapan dengan pembunuh bersiri yang sedang menggila membunuh orang, bukankah itu kegilaan yang paling gila?
Ah, berapa banyak gila yang ada sekarang?
“I dah cakap tadi, kan? Sebab you nak jumpa I.”
“Yeah, right,” cebik Tihani. Langsung tidak percaya. Siapa dia buat lelaki itu, hingga Alex sanggup meninggalkan kerja di New York yang mungkin menimbun, dan melempar diri ke dalam permainan nyawa?
“You ada hal lagi di Malaysia? I tahu your parents berasal dari sini,” teka Tihani, bagaikan cuba menjawab persoalan yang dia sendiri tanya.
“Sah. You memang peminat nombor satu I.”
Jawapan Alex langsung tidak kena dengan soalan. Lalu, yang keluar dari mulut Tihani cuma…
“Huh?”
“You tahu bila book tour I sepatutnya habis, bila I patut balik ke New York, parents I berasal dari mana.”
Menyerbu rasa panas ke pipi Tihani. Lebih-lebih lagi, bila melihat riak muka Alex yang tampak sengaja mengusik. Elok sangatlah tu! Sengih-sengih macam kerang busuk.
Tihani berdehem sekali. Muka konon-konon selamba ditayang buat tatapan Alexander Aryan.
“Semuanya ada di website dan belakang buku you. Alexander A., was the author of six New York Times bestsellers. A graduate of the University of Washington. Born in Georgetown, Penang. Now living with his Malaysia-born parents in Manhattan.”
Tawa halus Alex menyentuh telinga. Tihani mengerutkan dahi. Lelaki ini tampak terhibur benar dengan jawapannya.
“You know, Tihani Rose…”
“What?”
“Kalau pun you minat seorang penulis, I tak fikir orang selalunya ingat latar belakang dia, kat mana dia belajar, ibu bapa dia. Baca info sekali mungkin ya, tapi sampai ingat…”
“So, you nak cakap I memang sengaja ingat semuanya pasal you. Macam tu?” tebak Tihani. Bernada jengkel.
“Well, tak salah kalau you mengaku.”
Tihani meledakkan tawa. Sangat olok-olok. Sesudah itu, dia membawa muka lebih ke hadapan. Semakin dekat dengan wajah Alex. Bertemankan senyuman palsu yang masih diukir, Tihani kemudiannya menyindir.
“You memang spesis perasan, kan?”
Alex turut sama mendekatkan muka. Mata bertentang mata. Desah nafas seakan bersatu. Seperti Tihani, dia juga mengulum senyum.
“You memang spesis tak reti mengaku, kan?”
Terlepas rengusan kuat dari mulut Tihani. Mata menjeling tajam. Serius! Mana datang perangai tak semenggah dia ni?
“You tunjuk muka tu lagi.”
“Muka apa?” tanya Tihani. Dalam geramnya dia, rajin pula dia melayan fiil Alex.
“Muka comel bila marah.”
Pipi Tihani membahang lagi. Dapat dia rasakan jantungnya yang mula berdebar lain macam. Di luar sedar, dia mengetap bawah bibir. Mahu mengawal debaran aneh.
“Don’t do that.” Suara maskulin Alex berbunyi lagi. Lebih kepada sebuah arahan. Perlahan dan bergetar.
“Buat apa?”
“Gigit bibir macam tu. Bahaya.” Alex menjawab, disusuli dengan satu kenyitan.
Tihani terlongo. Mata bundar memandang Alex yang sudah pun menjauhkan muka, duduk bersandar di kerusi dan meneguk air kopi. Selamba, bersahaja dan sangat tenang.
“I ikut you,” ujarnya sebaik sahaja meletakkan cawan ke atas meja.
“Ikut I?” ulang Tihani. Itu pun selepas dia menarik dan menghela nafas. Menenangkan diri yang terpana sebentar tadi.
“Yeah, I nampak you keluar dari Feline, pergi ke arah parking lot dan I ikut you. That’s it.”
Tihani diam mendengar penjelasan Alex. Lelaki itu masih dengan riak selamba seolah-olah kemunculan di hadapan Feline Vet & Pet Care, sepuluh hari selepas kejadian malam itu, bukanlah satu perkara yang aneh.
Kebetulan? Mustahil! Tidak ada kebetulan yang seaneh ini. Mana mungkin Alexander Aryan, penulis terkenal serata dunia yang sepatutnya sibuk dengan urusan mempromosi buku terbaru, boleh muncul di kawasan apartmen di Wangsa Maju. Dia mahu buat apa di sini? Apa urusan dia?
“In the first place, apa you buat di Malaysia? Di kawasan ni?” tanya Tihani setelah beberapa saat berfikir dan menimbang tara sebarang kemungkinan. Semestinya, tidak ada kemungkinan yang boleh dia fikirkan. Malahan, hatinya tiba-tiba dirundung rasa curiga.
“Bunyinya macam you mengesyaki I.”
“Then, tell me the truth. Jangan asyik nak mengelak, usik I, atau cakap yang bukan-bukan.”
“Siapa cakap I mengelak, atau cuba berbohong? I’ve been telling the truth, sejak dari awal. Kat parking lot tu lagi. It’s you yang tak nak percaya.”
Tihani gelak sinis.
“You cakap you ada kat sini sebab I. Takkanlah…”
Suara Tihani termati sendiri. Wajah serius Alex memasung lidah. Mata hitam lelaki itu merenung tajam. Tidak ada walau secalit riak nakal, gurauan atau main-main.
“You…betul-betul ada kat sini, sebab I?” Lambat-lambat Tihani menyoal. Masih mahukan kepastian.
“Kenapa? Tak boleh?”
“Bukan tak boleh. I mean…why?”
“You memang suka tanya banyak soalan, kan?”
“Helo, I’m a journalist,” perli Tihani. Geram pula dia dengan tingkah Alex yang tidak habis-habis membalas soalan dengan soalan.
Alex senyum simpul. Tidak terkesan langsung dengan rupa Tihani yang jelas kegeraman. Lagipun, semakin Tihani geram, semakin gadis itu kelihatan manis di matanya.
“Then, let me go straight to the point.”
Mata Tihani tidak berkelip. Dada berkocak menanti jawapan.
“Apa yang tak ada dalam ni…”
Jari telunjuk Alex dituding tepi kepala.
“Buat I tak boleh kawal diri. I can’t help but going to you.”
Tihani diam. Termasuk kali ini, sudah tiga kali dia mendengar Alex berkata begitu. Dia cuba memikirkan maksudnya. Tetapi sayang, tidak ada apa-apa yang mampu jadi jawapan. Lalu, yang mampu dia buat cuma mendengar Alex menyambung kata.
“So, yeah. I am here because of you, Tihani Rose.”
*******
NOTA CIK SA:
Suka, kan? Finally, Alex dah balik dari Manila dan akan menempel dengan Tihani. Siap pindah depan rumah Tia lagi. 
Anyway, agak-agak apa maksud Alex bila dia cakap, dia cuma 'guinea pig' dan bukan manusia biasa? Jeng3, ada yang boleh teka, tak? Cer komen bawah. =)
Tak sabarnya nak tahu exact date untuk AL jumpa korang. KS ada bagitahu Cik SA tempoh hari, tapi Cik SA belum betul-betul pasti. Dan confirm nanti, baru Cik SA akan announce. For now, kita dating dengan AL kat sini dulu. 
Thank you and do comment! 
Love,
SA

7 comments:

  1. Aah cik SA...tertanye2 ni...nape ckp alex bkn manusia biasa...

    Dan...he's here becoz of tia...wondering..siapakah alex ni sbnrnya?...takut alex ni stalker plak...huhu..hrp2 bknlah kan..

    Anyway...sy enjoy...tazabarr nk tgu novel ni...

    ReplyDelete
  2. apalah maksud AA 'guinea pig' tu ya? bule tak kita abaikan cz yg penting AA di Malaysia kerana Tia.. sweetttttt

    ReplyDelete
  3. plot cerita ni sangat menarik. jalan cerita yang hidup. Tahniah cik SA! really love it.

    ReplyDelete
  4. kak sara... xde bab 12 ke? Nk tahu spe rafael tu.. scary.. slalu jenguk sini tpi xde new entry

    ReplyDelete
  5. guinea pig .. dia mungkin bepengalaman buat jenayah yang sama atau lebih terang..dia berlakon utk jadi penjenayah .. undercover .. tpi, at last orang salah faham dan fikir dia jahat.. kot haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. jawapannya ada dalam buku. jom dapatkan AL. hehe

      Delete