August 18, 2017

AKU LELAKIMU - BAB 10


BAB 10

“GILALAH kau, Tia!”
Tihani tergelak mendengar kata-kata Zahin. Kereta dipandu masuk ke tempat parkir. Anak mata diangkat melihat papan tanda yang tergantung.
Feline Vet & Pet Care
“Aku bukan main pergi rumah dia. Tak dapat apa pun. Kau pergi sekali, terus dapat info baru.” Suara Zahin berbunyi lagi.
“Well, you know me,” balas Tihani sekadar melayan reaksi Zahin yang sangat teruja.
“Kiranya info pasal stalker tu, memang sah?”
“Ha’ah.” Tihani angguk kepala.
“Aku sendiri pergi balai. Okey, itu sebab aku kena buat pengecaman. Tapi overall, yup! Aku dah sahkan. Laporan pun dah siap.”
“Bagus! Harap-harap esok pagi Encik Razin tak mengamuk.”
Tihani senyum halus.
“Okeylah, aku kena letak dah ni. Nak pergi ambil Koko dan Momo.”
“Jumpa esok.”
“Hmm…”
Jari kiri Tihani menarik keluar fon telefon dari celah tudung. Telefon bimbit disumbat dalam beg sandang. Usai bolos dari kereta, dia mengambil dua buah cat carrier dari tempat duduk belakang dan menapak ke arah bangunan dua tingkat yang tersergam depan mata.
“Selamat datang.”
Seorang wanita muda menegur Tihani sebaik sahaja dia masuk ke Feline Vet & Pet Care.
“Hai, saya datang nak ambil kucing. Beberapa hari lepas, adik saya ada hantar ke sini.”
“Boleh saya tahu nama cik?”
Gadis dengan tag nama Suzana itu menyoal. Kedua-dua belah tangan bersedia pada papan kekunci komputer.
“Tihani Rose.”
Sambil menunggu urusan daftar keluar kucing-kucingnya, Tihani melihat sekeliling. Ruang menunggu yang punya fungsi seperti lobi hotel, kelihatan indah dengan cat biru dan putih. Sangat menenangkan. Perabot dari material kayu dengan sofa berwarna hijau menambah seri. Di beberapa sudut, kelihatan beberapa struktur kaya tempat kucing-kucing bermain. Ada beberapa orang pelanggan sedang bermain-main dengan kucing. Mungkin sedang menunggu giliran untuk mendaftar masuk atau sekadar ingin menyesuaikan kucing mereka sebelum meninggalkan mereka. Melihat kucing-kucing tersebut, rasa rindu Tihani terhadap Koko dan Momo membuak-buak. Baikkah mereka? Makankah mereka? Rindukah mereka terhadap dia?
Usai meniliti ruang menunggu, Tihani mengangkat pandangan kepada sebuah pintu yang bertanda ‘vaterinar bertugas’. Bersesuaian dengan namanya, hotel kucing ini mempunyai doktor veterinar sendiri. Kemudian, dia melihat ke arah anak tangga yang menuju ke tingkat atas. Dari pamplet yang dibaca sebelum ini, dorm penempatan kucing berada di tingkat dua.
“Cik Tihani.”
Tihani berpaling ke belakang.
“Sini. Ikut saya,” jemput Suzana sambil menunjuk tangan ke anak tangga yang dilihat tadi.
Tanpa berlengah, Tihani membuntuti. Usai tiba di bahagian atas, mulutnya melopong. Ruang yang luas dan bersih menerima kunjungan. Lantainya dilapisi jubin sederhana besar berwarna putih susu. Dorm penempatan dibahagi kepada dua bahagian. Ada bilik khas untuk tidur dan pemerhatian. Sebuah lagi pula khas untuk penyimpanan makanan. Ada juga tempat khas untuk sampah dan bahan buangan kucing. Setiap ekor kucing ditempatkan dalam ruang peribadi seperti laci besar dengan bentuk segi empat sama. Ada nama penginapnya di pintu. Di dalam ruang itu, Tihani boleh melihat makanan khas, mainan, selimut atau apa sahaja yang mungkin dibawa dari rumah demi memastikan kucing-kucing berkenaan rasa selamat dan selesa. Melihat kebersihan dan ketelitian tempat ini, Tihani senyum. Gembira sekali. Patutlah dia tergerak hati untuk menggunakan khidmat mereka, walaupun tidak pernah ke sini.
Satu bunyi mengiau menarik perhatian Tihani. Senyuman semakin lebar. Tubuh dipaling ke belakang.
“Momo, I’m here. Rindu tak?” Tihani menegur riang. Kucing baka Siam yang berada dalam tangan Suzana diambil dan dicium-cium. Sesudah meletakkannya ke dalam cat carrier, dia mengambil Koko pula. Seperti Momo, kucing baka Parsi itu juga menjadi mangsa gomolan Tihani. Habis dipeluk dan dicium-cium.
“Jom balik rumah, sayang,” ajak Tihani sambil mengangkat carrier pertama. Sebuah lagi dibawa oleh Suzana.
Sebaik sahaja sampai ke tingkat bawah, pantangan mata Tihani tertancap kepada seorang wanita muda yang sedang bercakap-cakap dengan seorang lelaki. Berdasarkan pakaian putih yang dipakai, wanita tersebut ialah doktor vaterinar yang bertugas. Bagaikan perasan bahawa diri sedang diperhati, dia menengadah muka. Sesaat kemudian, dia mengukir senyuman.
Cantik.
Hanya itu yang melintas dalam fikiran Tihani. Bagi seorang berbangsa Cina, sepasang matanya kelihatan bundar bersinar. Wajahnya bujur dengan hidung yang terletak elok. Tidak terlalu mancung, tidak terlalu kemik. Bibirnya sederhana tipis dengan senyuman indah menampakkan gigi tersusun.
“Hai.”
Tihani tersentak. Entah bila wanita ini muncul di hadapan muka, dia tidak perasan.
“Hai,” balas Tihani bersama senyuman yang dirasakan janggal.
“Thank you for using our service.”
“Oh, you’re welcome. By the way, I’m Tihani. Nice to meet you.” Tihani menghulur tangan di hujung bicara.
Salamnya bersambut. Senyuman gadis cantik semakin lebar.
“I’m Amber.”
*****
ADEGAN yang terpampang di skrin komputer CCTV, ditenung tanpa kelip. Bibirnya membentang senyum. Bahkan, dia rasa ingin ketawa kuat-kuat. Keterujaan menyelinap ke setiap pembuluh darah. Adrenaline membuak-buak!
Nampaknya, tuah memang menyebelahi dia. Tidak perlu bersusah-payah menarik Tihani Rose datang kepadanya. Perempuan itu yang datang sendiri, menapak ke dalam dunia yang tidak mungkin membiarkan dia bolos keluar.
Tidak untuk kali kedua!
Dia membesarkan imej wanita yang sedang senyum dan ketawa itu. Sedikit demi sedikit, dia mendekatkan wajah sendiri hingga hampir menyentuh skrin. Matanya dipejam rapat-rapat, membayangkan wajah gadis itu betul-betul berada dekat. Ya, seperti ini. Dengan hanya beberapa inci jarak. Pasti dia akan dapat menghidu bau wanginya. Pasti dia dapat mendengar bunyi desah nafasnya.
Itu…akan jadi sangat indah.
Beberapa saat berkeadaan demikian, dia membuka mata semula. Tihani Rose masih kelihatan galak bercerita dengan Amber. Untuk seorang perempuan yang baru beberapa hari lepas hampir mati, gadis ini tampak gembira.
“You really are something, Tihani Rose. Sangat-sangat istimewa.”
Tubuh diangkat dari kerusi dan dibawa menghampiri cermin tempat Amber selalu mengemaskan diri. Rambutnya diraup agar lebih kemas. Kolar kemeja dibetulkan sedikit. Bebola mata digerak dari atas ke bawah. Mahu memastikan semuanya sempurna. Ini bakal jadi pertemuan ‘pertama’ mereka selepas berbelas-belas tahun. Dia harus kelihatan tanpa cela. Berpuas hati dengan penampilan sendiri, dia mengangkat kaki.
Sampai di luar pintu pejabat, dia menegakkan badan dan menuruni tangga dengan gaya tenang lagi teratur. Tetapi, tidak sekali pun dia melarikan anak mata daripada susuk tubuh yang semakin jelas di pandangan mata. Tidak lagi berbalam-balam seperti dalam CCTV.
Rasa teruja semakin meluap-luap. Setelah sekian lama, dia bakal menemui perempuan yang memegang seluruh kehidupannya.
Tiga kaki jarak…
Tihani masih ralit berbual.
Dua kaki jarak…
Tihani sedang galak ketawa.
Satu kaki jarak…
Tihani sudah menengadah memandangnya.
“Eh, you ni. Tiba-tiba aje muncul.”
Suara Amber berbunyi dekat. Dia menjatuhkan lengan ke atas bahu tunangnya dan memeluk erat.
“It’s you yang asyik berborak. Tak perasan I datang,” ucapnya sekadar memainkan peranan sebagai tunang paling mencintai kekasihnya.
Manusia tolol yang bertunjangkan emosi memang mudah dipergunakan.
“Panjang umur youWe were talking about you.”
Amber mengalih perhatian kepada Tihani di tengah-tengah bicara.
“This is my fiancé, our topic of conversation.”
“Ini mesti mengumpat I, kan?” usiknya. Muka konon-konon tidak puas hati, sengaja ditunjuk.
Serentak Amber dan Tihani melepas gelak. Tetapi, yang lebih menarik minatnya tidak lain dan tidak bukan, tawa Tihani Rose.
“Amber beritahu I, pasal tempat ni dan pemiliknya of course.”
Segaris senyuman terkulum di bibirnya. Bangga bila Tihani memberi perhatian kepadanya.
“I tak pernah sangka Feline is actually a cat hotel chain. You ada beberapa buah hotel lagi di negara lain, kan?”
Dia menegakkan tubuh. Muka diangkat ke hadapan penuh keyakinan. Sengaja mahu mempamer gaya seorang ahli perniagaan yang berwibawa.
“Kami berasal dari Korea Selatan. Sekarang ada dua cawangan di Seoul, dan dua di Kuala Lumpur. Feline dah berada di Malaysia selama tiga tahun.”
Mata Tihani membundar saat mendengar bicaranya.
“Maksudnya, you guys are Korean? Bukan Cina?”
Amber tergelak halus. Dia senyum tenang.
“I am Korean. Amber is Chinese. She’s Malaysian.”
Tawa Tihani terluah lagi. Sangat manis kedengaran di telinga.
“I betul-betul ingat both of you orang Malaysia. For a Korean, Bahasa Malaysia you agak fasih.”
“Dia dah tiga tahun tinggal di Malaysia. Kalau tak reti lagi, I tak tahulah.” Amber menyampuk dari sebelah.
Tawa Tihani semakin kuat.
Renungannya semakin kejap kepada gadis itu. Setelah bertahun-tahun, dia benar-benar berada dekat dengan Tihani Rose. Dia tidak perlu melihat dari jauh. Dia tidak perlu memandang skrin CCTV.
Tihani Rose ada di hadapannya. Senyum dan ketawa. Sepasang matanya kelihatan bersinar dan bergemerlapan bawah lampu lobi.
Mata yang sangat cantik. Sangat sempurna.
“Sayang…” serunya kepada Amber.
“Hmm…”
“Dari tadi kita berborak. You memang tak ada keinginan untuk kenalkan I dengan pelanggan kita ni?”
Amber menepuk dahi.
“Oh, lupa pula. Kenalkan ini Tihani Rose.”
“Tihani Rose?” Dia mengulang, dengan gaya seolah-olah baru pertama kali mendengar nama tersebut.
“What a beautiful name.”
“Thanks.”
“Then, let me properly introduce myself. Bukan sebagai bahan gosip siapa-siapa,” ucapnya seraya melirik kepada Amber. Tunangnya senyum simpul.
“I’m Rafael Lee. Nice to meet you, Tihani Rose.” Dia menyambung tenang. Bibir menayang senyum.
Sangat. Lebar.
Bersama maksud tersirat yang hanya dia faham ertinya.
*****
“YOU don’t have to do this.”
“Anggap saja ini extra service untuk pelanggan Feline. Escort to the car.”
“Kereta I bukannya jauh pun. Menyusahkan saja,” tutur Tihani, merujuk kepada tindakan Amber yang beriya-iya benar menyuruh Rafael membantunya bawa Koko dan Momo ke kereta. Dia pula yang naik segan. Apa tidaknya? Lelaki ini bukan pekerja biasa. Dia ialah si pemilik!
“Eh, tak menyusahkan pun. It’s my pleasure. Kalau you berpuas hati dengan khidmat kami, you mungkin datang balik.” Lelaki di sebelah Tihani membalas semula.
Tihani melirik kepadanya. Walaupun hanya dilihat dari sisi, wajah kacaknya tetap terserlah. Dengan mata separuh sepet penuh misteri, hidung tajam yang mancung, garisan rahang yang maskulin dan bibir memerah, tidak dinafikan jejaka ini boleh menarik perhatian gadis-gadis di luar sana. Rugi buat gadis-gadis tersebut, dia sudah jadi milik orang.
“Mana satu kereta you?”
Soalan Rafael menyentak kuat. Cepat-cepat, Tihani memusing pandang ke hadapan. Hanya tinggal beberapa tapak untuk sampai ke tempat parkir kereta. Mulutnya dimuncung ke arah sebuah Perodua Viva berwarna hitam.
“Itu.”
Mereka berjalan sebelah-menyebelah, ke arah yang dituju. Tiba di sebelah kereta, Tihani menekan punat kunci dan membukakan pintu untuk Rafael memasukkan kedua-dua kucingnya ke tempat duduk penumpang di belakang.
“Terima kasih,” ucap Tihani. Bibir masih setia dengan senyuman, mahu menunjuk penghargaan atas bantuan lelaki tersebut.
Rafael membalas dengan senyuman lebar. Indah sekali.
“Please come to Feline again.”
“Will do.”
Lelaki di hadapan Tihani bergerak ke tepi, mahu memberi ruang untuk Tihani mengatup pintu kereta yang masih separuh terbuka.
Namun…
Saat dia bergerak, tersembul satu susuk tubuh lain dari belakangnya. Mata Tihani membuntang. Mulut melopong. Telinga pula seakan-akan mendengar…
“Miss me?” 
*******
NOTA CIK SA:
Miss me? Agak-agak sape yang tanya tu? Rafael gila creepy, kan? Motif tengok Tia kat CCTV, siap belai-belai muka dia? Scaaaary...huhu
On side not, siapa rindukan Cik SA? Haha! Sorry sebab lama menyepi. Alkisahnya, Cik SA perlu masuk 'gua' untuk siapkan AL. So no media social (wattpad termasuk ke?) buat sementara waktu. 
Alhamdulillah, AL dah siap. Yay!!! Finally, selepas lebih dari setahun. Huwaa, nak nangis rasa. InsyaAllah, akan keluar tak lama lagi. Exact month, akan diberitahu kemudian. Sila save budget untuk AL, tau. Hihi...
Terima kasih atas kesabaran korang menanti AL. Really appreciate it. Serius tak sabar nak bagi korang baca AL. Editor cakap, baca AL mengingatkan dia pada Death Note. Watak Alex dan Rafael mengingatkan dia kepada L dan Kira. It was a huge compliment for me. I like!! Hehe. 
Thanks and love you all,
SA

3 comments:

  1. So creepy la Cik SA....x sangka kot...ada kaitan ngan amber..cat hotel bagai...

    Miss me??....hrp2 la alex muncul...

    ReplyDelete
  2. Che sara..x boleh nk agak langsung :(

    ReplyDelete
  3. Waa.. Terujanya AL nak keluar dah 😍

    ReplyDelete