July 11, 2017

AKU LELAKIMU - BAB 9


BAB 9


"SINI?"
"Ya, Tuan. Bahagian siber dah sahkan IP address penghantar mesej. Sini alamatnya."
ASP Edric mengangguk, sebelum meliarkan pandangan ke sekeliling kawasan perumahan flat. Bangunan lima tingkatnya sudah lucut cat, lalu menampakkan lumut hijau. Satu huruf besar samar-samar tertera di dinding.
Blok D.
Ada taman permainan di sebelah kiri. Buaiannya tergantung tanpa tempat duduk. Hanya besi terayun-ayun ditolak angin. Jongkat-jongket patah sebelah. Gelongsor kotor dengan segala macam sampah. Bau kurang menyenangkan menusuk-nusuk hidung. Betul-betul di hadapan blok D, terbentang kawasan parkir kereta yang tidak besar mana. Berpuluh-puluh buah kereta diparkir menghalang laluan satu sama lain. Kelihatan batu bata yang diletak belakang tayar, sebagai penghadang.
"Sarjan."
"Ya, Tuan."
"Kau ikut belakang aku," arah ASP Edric. Tanpa menunggu jawapan Sarjan Razlan, dia kemudiannya mengerling kepada Koperal Amin.
"Koperal, kau tunggu sini. Back up kami."
"Baik, Tuan."
Dalam sekelip mata, mereka bertiga berdesup kepada tempat tujuan masing-masing. ASP Edric menaiki anak tangga satu per satu. Sebelah tangan memegang pistol yang disangkut di pinggang, terlindung bawah jaket hitam. Kaki diangkat dalam keadaan berjaga-jaga. Sarjan Razlan mengikut dari belakang.
Satu ketika, seorang wanita muda keluar dari pintu. Terus, ASP Edric meletak jari telunjuk ke bibir dan memberi isyarat untuk dia masuk semula ke dalam rumah. Secepat kilat, wanita tersebut lesap di sebalik pintu.
Sampai di tingkat tiga, ASP Edric mengetatkan genggaman di pistol. Hujung mata memberi isyarat kepada Sarjan Razlan. Lelaki itu mengangguk sedikit. Tubuhnya dibawa melepasi ASP Edric, dan berdiri depan sebuah rumah bernombor D-3-14.
Bum!
Baru sahaja dia ingin mengetuk, pintu tersebut terbuka luas. Seorang lelaki merempuh keluar. Sarjan Razlan tertolak ke belakang, dan menghempap besi penghadang. Tubuhnya hilang keseimbangan. Mata terbeliak menanti sebarang kemungkinan buruk.
Pap!
Pergelangan tangannya dicapai dan ditarik oleh satu tangan lain.
"Hati-hati," pesan sang penyelamat. Dia menarik nafas lega dan mengangguk kecil.
"Kau ke sana. Aku ke sini."
ASP Edric menjatuhkan arahan seraya menunjuk ke arah dua hujung koridor yang bertentangan. Dia mengambil arah kanan dan berdesup turun tangga. Hujung telinganya menangkap derap kaki Sarjan Razlan yang deras ke arah berlawanan. Gerak kaki dilajukan lagi. Sesekali dia melompat dan melangkau dua anak tangga sekali gus.
Lelaki ini tidak boleh lepas. Tidak sama sekali!
Sebaik sahaja keluar ke hadapan blok, ASP Edric menghentikan kaki. Mata berlingas ke kiri kanan. Dada termengah-mengah. Hidung berdengus-dengus menarik dan menghembus nafas. Peluh membasahi kening.
"Jahanam! Mana dia pergi?"
"Tuan, sini!!!"
Laungan Koperal Amin menarik perhatian. Serta-merta, ASP Edric mengangkat langkah. Gerak kakinya deras umpama tidak mencecah lantai. Hanya dalam masa beberapa saat, dia sudah menyaingi Koperal Amin. Orang yang dikejar tidak jauh kelihatan. Cuma berjarak beberapa kaki.
"Ridzwan Hanafi, berhenti!" ASP Edric melaung lantang. Arahannya tidak dipeduli. Lelaki bernama Ridzwan Hanafi itu menonong ke hadapan. Bahkan, semakin melajukan larian. Tidak sekali pun, dia menoleh ke belakang. Habis segala barang yang berada dalam laluan, dirempuh.
ASP Edric berhenti di sekerat jalan. Kepala dipaling ke kiri kanan, melihat kalau-kalau ada jalan lain. Dia masuk ke satu lorong kecil. Larian semakin lama, semakin laju. Ekor mata melirik kepada Ridzwan Hanafi yang berlari di lorong sebelah kanan. Sampai di hujung lorong, dia memintas keluar dan melompat ke atas lelaki itu. Mereka bergelut atas jalan.
Tidak sampai satu minit, ASP Edric sudah pun berjaya memusing badan lawannya. Pipi kiri lelaki itu melekat atas lantai. Kedua-dua belah tangan dibawa ke belakang dan digari kemas.
Sebelah bibir ASP Edric menyenget. Puas!
"Lepas! Lepaslah!!!" Ridzwan Hanafi menempik sambil meronta-ronta.
"Tuan..." Sarjan Razlan dan Koperal Amin yang baru tiba, menegur serentak. Dada masing-masing berombak laju. Peluh menuruni muka dan leher.
"Bawa dia ke balai," arah ASP Edric seraya bangun dari atas badan Ridzwan Hanafi. Secepat itu, Koperal Amin mengambil alih dan mengangkat lelaki yang masih kuat meronta.
"Lepaslah!! Aku tak bunuh dia. Aku tak salah!!!"
Masih dengan tubuh menggelepar, dia diheret pergi.
*****
KEPALANYA separuh tunduk. Mata meliar ke kiri kanan tanpa arah. Kaki kanan tidak henti-henti menghentak lantai. Sekejap-kejap, dia menggigit bibir.
"Kenapa nampak takut sangat ni?" Satu teguran menyentak kuat. Muka Ridzwan Hanafi terngadah kepada dua orang lelaki tinggi yang masuk dan duduk bertentangan di meja.
"Tak...tak...aku tak bunuh dia." Cepat-cepat, dia menafi. Kepala tergeleng berulang kali.
Lelaki pertama menjeling kepada lelaki kedua. Tadi sempat dia mendengar orang lain memanggil lelaki itu sebagai Tuan Edric. Inilah jantan tidak guna yang bertanggungjawab menyumbat dia ke dalam bilik kecil lagi menyesakkan ini.
"Jadi, kau tahu kenapa kau ada kat sini."
"Aku tak bunuh dia!" bentak Ridzwan Hanafi dengan cukup kuat. Tubuh terbangun dari duduk. Mahu menyerbu ke hadapan, tetapi tangan kiri yang bergari di kaki meja, memasung pergerakan. Sepantas itu juga, lelaki kedua mencengkam bahunya dan memaksa dia duduk semula.
"Razlan, biarkan dia. Bila letih mengamuk, cepat sikit dia bercakap. Senang kerja kita." Lelaki bernama Edric itu menyinis selamba. Aura angkuhnya meluap-luap keluar. Dia tiba-tiba jadi kecil. Badan melurut dan terduduk atas kerusi.
"So, Ridzwan Hanafi, aku takkan cakap banyak. Membazir masa. Bagitahu aku, kau yang bunuh mereka mereka bertiga?" Tanpa berlengah, ASP Edric membuka soalan.
Lelaki muda di hadapannya menggeleng laju. Muka pucat tidak berdarah. Satu petanda orang yang membuat salah.
"Tak...tak..."
"Habis tu, ini apa?!" tengking Sarjan Razlan seraya membaling beberapa keping kertas atas meja. Berterabur semuanya. Bahu Ridzwan Hanafi terjongket menerima jerkahan.
"Kawan aku ni kurang penyabar orangnya. Lebih baik kau jangan cuba untuk berdalih."
Ridzwan Hanafi mendongak kepada ASP Edric yang baru menyambung kata. Seperti tadi, lelaki ini tenang dengan muka tanpa riak. Cakapnya lembut, tetapi sepasang matanya berdesis dengan satu pandangan yang sangat tajam.
Lelaki ini lebih menakutkan daripada rakan sekerja yang baru menengking.
"So..." ASP Edric menggerakkan muka lebih dekat ke hadapan. Tangan menolak beberapa keping kertas ke hadapan.
"Nak cakap apa-apa?" soalnya sedingin salju.
Bulu roma Ridzwan Hanafi meremang tegak. Dengan sebelah tangan kanan yang bebas, dia menarik kertas lebih dekat. Bebola mata ditala kepada kertas tersebut. Semuanya menunjuk perbualan antara dia dan sahabat-sahabat istimewanya.
"Ke...kenapa dengan ini?"
"Kenapa, kau tanya? Kau ganggu dia orang, dan kau tanya kenapa?" Masih dengan riak keras, Sarjan Razlan mencantas.
ASP Edric membiarkan sahaja. Renungannya tepat dipanah kepada Ridzwan Hanafi, cuba membaca lelaki ini.
"Ganggu? Tak, aku tak ganggu siapa-siapa. Kita orang kawan."
"Kawan?" Sebelah kening Sarjan Razlan terjongket. Dia mengambil sekeping kertas dan mula membaca apa yang tertera.
"Tiffany, kau nampak cantik hari ni. Aku suka tengok."
"Kau seksi dengan seluar pendek tu."
"Kenapa kau tak reply mesej aku?"
"Kita kawan, Dyana. Kenapa kau buat aku macam ni? Kau dah tak sayangkan aku?"
"Aku rasa aku nampak kau hari ni, Nadia. Kau dengan kawan-kawan kau. Tapi kau buat-buat tak nampak aku."
"Kau cantik sangat, Dyana. Aku nak couple dengan kau."
"Kau nak panggil polis? Kenapa? Aku tak buat apa-apa."
"Kau memang kejam, Tiffany! Kau block aku! Kau ingat kau boleh lari?"
"Kalau kau minta maaf, aku mungkin akan maafkan kau. Kita boleh kawan balik. Aku tahu kau sayangkan aku."
"Kenapa kau tak minta maaf? Kau kecewakan aku."
"Aku sayang kau."
"Aku sayang kau."
"Aku sayang kau."
Baru separuh membaca, Sarjan Razlan berhenti dan memandang semula ke muka Ridzwan Hanafi.
"Ini sebahagian daripada mesej yang kau hantar kepada Dyana Akir, Tiffany Lau dan Nadia Zulkifli. Kau memang gila, kan?"
"Aku tak gila!"
"Ini kau cakap tak gila? Dah berapa lama kau buat kerja ni? Dah berapa lama kau ganggu anak dara orang?!"
"Dia orang kawan aku! Dia orang sayang aku!"
"Kau!"
"Razlan."
Seruan namanya memasung lidah Sarjan Razlan. Dia merengus kuat, dan membiarkan ketuanya mengambil alih.
"Di mana kau berada pada 22 September, 6 Oktober dan 20 Oktober, dalam lingkungan masa sepuluh malam hingga satu pagi?"
"Kau betul-betul fikir aku bunuh dia orang? Tak! Aku sayang dia orang. Aku takkan apa-apakan..."
"Aku tanya, di mana kau berada pada tarikh 22 September, 6 Oktober dan 20 Oktober, dalam lingkungan masa sepuluh malam hingga satu pagi?" ulang ASP Edric. Nada suaranya semakin lama semakin keras. Sama keras dengan renungan matanya.
Raut muka Ridzwan Hanafi berubah. Jadi lebih pucat.
"Aku...aku tak ingat."
"Then, cuba ingat."
"Aku betul-betul tak ingat." Beriya-iya Ridzwan Hanafi menegaskan.
"Well, lebih baik kau ingat," desis ASP Edric sangat mendatar. Berbaur ugutan.
Ridzwan Hanafi ketap bawah bibir. Dahi berkerut.
"Di rumah...kut."
"Siapa boleh buktikan..."
"Emak aku!" Nada suara Ridzwan Hanafi ternaik sedikit. Gaya orang yang baru teringatkan sesuatu.
"Ya, tanya emak aku. Lepas...lepas aku balik kerja, aku memang tak keluar rumah. Aku duduk dalam bilik. Aku cuma...err, layan kawan-kawan aku."
Serentak, ASP Edric dan Sarjan Razlan menjeling kepada satu sama lain. Mereka yakin 'kawan' yang dimaksudkan oleh lelaki ini berupa perempuan-perempuan muda yang diganggu di media sosial. Bahagian Siasatan Jenayah Siber & Multimedia sudah pun memberi maklumat tentang segala aktiviti siber Ridzwan Hanafi. Ternyata, bukan hanya Dyana Akir, Tiffany Lau dan Nadia Zulkifli yang menjadi mangsa. Masih ada berpuluh lagi. Modus operandinya ringkas. Bermula dengan teguran mesra. Hanya salam atau hai. Tampak naif tanpa maksud tersirat.
Tetapi sebaik sahaja menerima respon daripada gadis-gadis ini, dia akan terus beranggapan bahawa mereka sudah berkawan baik. Atau lebih teruk, sudah berkasih. Bila ditolak atau diminta menghentikan gangguan, Ridzwan Hanafi tidak akan henti-henti menghantar mesej. Tidak cukup dengan itu, dia akan meninggalkan pelbagai jenis komen di status mangsa. Semuanya tidak menyenangkan. Jika dikenakan sekatan, atau bahasa media sosialnya 'block', dia akan membuat akaun baru dan menyerang lagi.
Anehnya, tiada siapa yang membuat laporan polis. Mungkin anak-anak gadis ini beranggapan bahawa semua itu tiada apa-apa, dan akan berakhir bila tiba masanya. Mereka silap! Manusia seperti Ridzwan Hanafi bukanlah seringkas itu. Mereka mampu membunuh.
"Kalau macam tu, bagaimana pula dengan pukul lima hingga enam petang?" soal ASP Edric merujuk kepada waktu ketiga-tiga mangsa diculik lepas pulang dari kelas tambahan di sekolah.
"Mestilah aku on the way balik kerja. Aku tumpang kereta kawan." Tanpa ragu, Ridzwan Hanafi menjawab. Ada keyakinan dalam intonasi suara.
ASP Edric senyum senget. Sinis bercampur sebal. Huh! Nampaknya, lelaki ini fikir dia akan lepas. Usai menelan rasa sebalnya, ASP Edric meletakkan sekeping lagi gambar atas meja.
"Kau kenal perempuan ni?"
Ridzwan Hanafi memandang gambar yang ditunjuk. Anak mata bersinar bulat. Bibir menyeringai penuh makna tersirat.
"Cantiknya. Siapa dia ni? Apa IG dia?"
Pantas, ASP Edric menarik semula gambar tersebut. Dia sudah mendapat jawapan yang dicari.
Ridzwan Hanafi tidak mengenali Tihani Rose.
*****
"HE'S not our guy."
"Apa maksud Tuan?" soal Sarjan Razlan sambil mengerut dahi. Mereka kini berjalan sebelah-menyebelah, baru keluar dari bilik soal siasat.
"Dia memang tak betul. Tapi dia bukan pembunuhnya."
"Macam mana Tuan boleh pasti?"
"Dia tak ingat apa dia buat masa tarikh-tarikh tu. Kalau dia ialah pembunuhnya, dia akan dapat jawab dengan cepat dan tepat. Sebab dia dah sediakan alibi dari awal lagi. Manusia biasa takkan dapat ingat apa yang dia buat at a specific date, specific time, kecuali kalau tertulis dalam planner atau ada sesuatu yang berlaku."
"Mungkin dia sengaja jawab macam tu."
ASP Edric menghenti langkah dan berpaling menghadap pembantunya.
"Tidak. Kalau kau suruh orang siber check, mereka akan dapat detect aktiviti dia pada masa tu. Lagipun, dari segi fizikal dia tak sama dengan gambaran yang kita dapat daripada Tihani Rose. Cara dia sebut 'R' juga tidak pelat."
"Kalau macam tu, Tuan memang dari awal tahu dia bukan orangnya?" Mendengar penjelasan sang ketua, Sarjan Razlan terus menebak.
Kepala ASP Edric terangguk yakin.
"Aku tahu bila kita tangkap dia tadi. He's much shorter than six-feet."
"Jadi kenapa..."
"Untuk pastikan sesuatu."
"Apa dia?"
"Sama ada dia kenal Tihani Rose atau pun tidak. Kalau tak kenal, jadi sah dia bukan pembunuhnya."
"Tuan percaya cakap dia?" Soalan Sarjan Razlan berbaur sinis. Seorang penjenayah bukannya boleh dipercayai sangat.
"Tak." Laju ASP Edric menafi. "Aku cuma percaya muka yang dia tunjuk."
"Muka?"
"Muka macam orang baru dapat mainan baru. Excited," jawab ASP Edric. Seakan-akan terbayang lagi wajah Ridzwan Hanafi yang menyengih lebar saat melihat foto Tihani. Huh, dasar manusia pelik!
"Nasib baik Tihani Rose tak ada IG."
Komen Sarjan Razlan sayup-sayup menyentuh telinga. ASP Edric menyetujui dalam diam. Memang dari dahulu hingga sekarang, Tihani Rose tidak mempunyai akaun media sosial. Tidak minat, katanya. Tetapi itu juga bermakna mereka kini kembali ke jalan buntu.
Kalau bukan Ridzwan Hanafi yang membunuh ketiga-tiga mangsa dan menyerang Tihani, jadi siapa manusia syaitan itu?
"Jadi, apa kita nak buat dengan dia sekarang?"
"Kita tetap kena tunjukkan dia kepada Tihani Rose, untuk buat pengecaman. Kalau betul bukan dia pembunuhnya, serahkan dia pada Bahagian Siber. Mereka tahu apa patut buat dengan orang macam tu."
"Baik, Tuan."
ASP Edric membiarkan Sarjan Razlan berlalu pergi. Dia memeriksa telefon. Panjang umur! Ada beberapa panggilan daripada Tihani Rose. Baru dia ingin menekan punat 'call', telefon bimbitnya berdering. Nama dan nombor Tihani terpampang pada skrin.
"Isy, tak penyabar langsung," gerutu ASP Edric sambil melekapkan telefon ke telinga.
"Helo."
"Jawab pun kau. Aku nak tanya sesuatu." Tanpa teguran atau secebis helo, Tihani terus menyampaikan hasrat.
"Apa dia?"
"Kes ini ada kaitan dengan stalker?"
Kening ASP Edric bertaut. Setahu dia, maklumat terbaru ini tidak dilepaskan kepada mana-mana media.
"Mana kau tahu?"
"Jadi betullah?"
"Dari mana kau dapat maklumat ni?"
"Ayah Nadia Zulkifli."
Seketika, ASP Edric menyengap. Jawapan Tihani tidak mengejutkan langsung. Sewaktu dia dan pasukannya keluar untuk menahan Ridzwan Hanafi, dia telah mendapat laporan tentang panggilan telefon yang dibuat oleh Zulkifli Mamat, ayah kepada mangsa ketiga. Tetapi dia tidak menduga bahawa sepantas itu juga, Tihani memperoleh maklumat. Gadis ini memang bukan calang-calang. Sudahlah hampir dibunuh oleh pembunuh sama, boleh pula dia selamba mengejar berita. Tidak adakah perasaan takut dalam diri?
"Jadi memang betul ada stalker? Dah tahu identiti dia?" Suara Tihani bergema di hujung telinga. Agak mendesak.
ASP Edric diam lagi. Otak ligat berfikir sama ada dia patut melepaskan maklumat atau tidak. Seketika berlalu, dia membuat keputusan.
"Tia..."
"Apa dia?"
Bibir ASP Edric membentuk senyum. Laju sungguh Tihani menyahut. Nampak sangat sedang menanti jawapan.
"Aku beritahu kau sebab kau terlibat dalam hal ini. Tapi kau kena dapatkan pengesahan daripada Tuan Iskandar sebelum keluarkan laporan," ucap ASP Edric berbaur ketegasan.
"Itu aku tahu." Tegas juga balasan Tihani.
"Memang betul pihak polis sudah menahan reman seorang lelaki yang bertanggungjawab mengganggu mangsa melalui media sosial. Tapi..."
"Tapi dia bukan pembunuhnya." Tihani menyambung di hujung talian. Yakin sekali.
Dahi ASP Edric berkerut.
"Macam mana kau tahu?"
"Sebab aku tak ada IG."
Senyap.
Perbualan mereka seakan-akan terhenti. Hanya desah nafas masing-masing yang kedengaran dalam telefon. Kedua-duanya mengerti akan maksud kata-kata Tihani.
Sesungguhnya, pembunuh itu masih bebas.
********
NOTA CIK SA
So alkisahnya, Cik SA lupa yang hari ni dah selasa. Boleh pulak ingat hari ni Isnin. So, sorry for this late update. Huhu
Since Alex belum balik dari Manila, kita dating dengan ASP Edric lah dulu, ya. hehe.
Enjoy and do comment.
Love, 
SA

2 comments:

  1. Cerita yang tidak pernah mengecewakan! Keep it up! I'm your fans.

    ReplyDelete