September 3, 2017

AKU LELAKIMU - BAB 14



BAB 14
"KOPERAL!" Laungan ASP Edric menggegar pagi. Bahu seorang anggota polis yang tercegat depan pita kuning, terangkat sebelum dia cepat-cepat menoleh. Muka cuak.
"Macam mana kau boleh biarkan orang luar masuk kawasan ni?"
"Tapi, Tuan...dia..."
"Dia dah buat kerja dia. Kau tak perlu marah-marah." Suara garau itu berkumandang lagi.
ASP Edric merengus kuat. Hujung matanya dijeling ke sebelah, sebagai isyarat agar Sarjan Razlan menghambat lelaki yang tiba-tiba muncul di situ. Siapa lagi? Tidak lain dan tidak bukan...
Alexander Aryan.
Lelaki yang kini berdiri setentang dengannya. Sangat tenang bersabung mata.
"Encik, ini kawasan jenayah." Sarjan Razlan muncul di sebelah. Baru sahaja dia ingin mencengkam lengan Alex, lelaki itu lebih dahulu membuka mulut.
"Mesti kau belum tahu apa-apa, kan?"
Sarjan Razlan menoleh kepada ASP Edric. Mereka berpandangan sesama sendiri. Dahi masing-masing berkerut.
"Tak apa. Tengah hari nanti, Tuan Iskandar akan adakan press conference. Kau boleh tahu masa tu."
Sedikit demi sedikit, mata ASP Edric membuntang.
"Takkanlah..."
Bibir Alex mengulum senyum.
"Nampaknya kau dah tahu. So, yeah. Aku yang dihantar oleh NYPD."
"Tak mungkin!" Laju ASP Edric menafi. Tinggi intonasinya.
"Kalau kau tak percaya, kau boleh telefon Tuan Iskandar. Aku tunggu kat sini," jawab Alex sambil mengundur setapak ke belakang dan menyilang lengan ke dada. Tenang air mukanya, tetapi ASP Edric yang melihat, rasa tercabar. Dia mendengus sebelum menarik keluar telefon bimbitnya dan mendail nombor Assisten Komissioner Iskandar Ismail.
"Kamu dah jumpa dia?"
Belum sempat dia mengatakan apa-apa, ACP Iskandar terlebih dahulu menegur.
"Dia sepatutnya diperkenalkan di balai, sebelum sidang akhbar. Tapi memandangkan ada kes pagi ini, aku minta dia terus ke sana."
"Jadi, memang betul Alexander Aryan yang Tuan hantar?" Hampir tercekik tekak ASP Edric sewaktu memohon pengesahan.
"Ya."
"Tapi Tuan, setahu saya, dia..."
"I have to go. Keadaan kat sini tengah kecoh. Orang atasan bertambah bising. Wartawan tak henti-henti call. Huh, memang tak reti tunggu waktu PC."
"Tuan..."
Klik!
Panggilan putus. ASP Edric meraup muka. Nafas berdengus kuat. Semalam, memang dia sudah dimaklumkan tentang penubuhan satu pasukan petugas khas untuk kes White Killer, di mana mereka akan menerima seorang konsultan daripada New York Police Department (NYPD). Konsultan tersebut dikatakan orang yang berpengalaman dalam kes pembunuhan bersiri. Tetapi, langsung dia tidak menduga bahawa orang yang dimaksudkan ialah Alexander Aryan.
Sungguh! Apa kelayakan lelaki ini? Dia cuma seorang penulis novel jenayah. Dia tidak tahu apa-apa tentang jenayah sebenar. Apatah lagi, tentang pembunuhan sebenar!
"Nampaknya, kau dah dapat pengesahan."
Muka ASP Edric tersirap. Lelaki yang masih tegak bersilang tangan, ditenung tajam.
"So ASP Edric, whatever you know about homicide, throw it away. Tak sesuai untuk kes ini."
Bagaikan membaca apa yang ada dalam fikiran ASP Edric sebentar tadi, Alex menyambung bicara. Telinga ASP Edric berdesing. Kata-kata Alex kedengaran seperti sindiran yang sengaja dituju kepadanya.
"Pembunuh bersiri bukan macam pembunuh lain."
ASP Edric senyum sinis.
"Kau ingat aku tak tahu?"
"Well, kau tak pernah ada pengalaman dengan kes macam ni. Tak pernah jumpa, dan tak pernah bercakap face to face dengan orang yang macam tu. Dengan..." Alex melangkah setapak ke hadapan. Mukanya dan muka ASP Edric setentang dekat.
"Psikopat."
"Mungkin aku sedang menghadap seorang." Pedas, ASP Edric menyindir. Mata tidak berkelip, melawan renung dengan cukup selamba.
Alex kekal tenang. Tetapi, anak matanya tampak terhibur.
"Kau mengesyaki aku."
"Salah?" ASP Edric membidas kembali.
Bahu Alex dijongket sekali. Bibir juga mengukir senyum. Tubuh diundur semula ke belakang.
"Tak guna cuba betulkan tanggapan orang yang dari awal lagi, sudah menilai dan menjatuhkan hukum ke atas orang lain. Membazir masa sahaja," jawabnya seraya berjalan melepasi ASP Edric. Belum pun jauh, bahunya ditarik dari belakang. Tubuh automatik terpusing, dan kembali menghadap muka pegawai polis berjaket hitam.
"Apa kau cakap tadi?" desis sang polis.
Sebelah kening Alex diangkat. Senyuman masih terbentang. Sinis.
"Kenapa? Terasa?"
Wajah ASP Edric tersirap. Giginya terketap-ketap.
"Kau..."
"Guys, please. That's enough."
Satu suara lain tiba-tiba menyampuk.
"I datang ke sini sebab ada kes pembunuhan. Bukan untuk tengok dua orang lelaki bergaduh."
Tajam sekali sindiran yang menyinggah telinga. Hampir serentak, Alex dan ASP Edric melepaskan rengusan. Hampir serentak juga, mereka menoleh kepada Dr. Laili. Wanita itu sedang elok memerhati dengan muka tidak berminat langsung untuk tahu apa yang sedang berlaku.
"So, tell me. Apa yang you maksudkan tadi? We are facing our worst nightmare." Dr. Laili mengulang kata-kata Alex di hujung bicara.
Alex tidak pantas menjelaskan. Sebaliknya, dia menyambung langkah ke arah mayat yang tersadai. Matanya tenang memandang. Patutlah Dr. Laili mengatakan bahawa dia cuma nampak amukan.
Keadaan mayat mangsa dahsyat benar! Entah berapa banyak tikaman yang sudah menusuk tubuhnya. Entah apa yang dia rasa di saat-saat akhirnya. Dalam senyap, Alex berteleku menghadiahkan bacaan al-Fatihah.
Kemudian, dia kembali menghampiri Dr. Laili dan ASP Edric. Dibiarkan sahaja beberapa orang juruteknik forensik membuat kerja di sekeliling mayat mangsa.
"This guy is that rare creature we called as a mixed-personality killer." Alex berbalik kepada topik asal.
Kening Dr. Laili bertaut.
"Mixed-personality killer?"
Alex mengangguk pendek.
"Pembunuh bersiri boleh dikategorikan kepada tiga jenis. Pertama, organized. Kedua, disorganized. Ketiga, mixed of both. The third one is your worst nightmare. Dia ialah orang yang boleh diagak dan tak boleh diagak, pada masa yang sama. Both predictable and unpredictable. Satu saat, kau akan rasa seolah-olah dah dapat petunjuk, dan boleh ambil tindakan, tangkap dia what-so-ever. But then, poof! Tiba-tiba dia buat benda lain. Sesuatu yang kau tak jangka langsung."
Penjelasan Alex membawa ingatan ASP Edric kepada Tihani Rose, Ridzwan Hanafi dan terbaru, mangsa yang sedang terkujur depan mereka.
"Macam sekarang." Di luar sedar, dia berbisik. Perlahan, tetapi cukup untuk sampai ke telinga Alex.
"Ya. Dalam tiga kes sebelum ini, pattern pembunuhannya sama. Budak sekolah diculik dekat sekolah, dicekik hingga mati, rambut dipotong, mata dikorek, pakaian ditukar ke dres putih dan mayat dibuang ke tempat lain. That's his MO. Itu menunjukkan dia sebagai organized killer." Panjang lebar Alex menjelaskan. Segala macam maklumat yang sudah dia peroleh, dilontar keluar.
"Tapi kali ini, terlalu banyak yang berubah,sambung ASP Edric. Seperti Alex, riak muka dan nada suaranya juga sudah tenang. Tiada lagi biasan ketegangan yang menyelubungi mereka sebentar. Bukan itu yang penting sekarang. Hal tersebut boleh disambung kemudian.
"Yang sama cuma mata yang dikorek. Cooling-off period juga dah jadi lebih singkat. Dari dua minggu kepada sepuluh hari, which means..."
"He is escalating." Kali ini, Dr. Laili pula yang mencelah.
Sekilas, Alex mengerling kepadanya. Kepala diangguk tanda setuju.
"Bila dua minggu sudah jadi sepuluh hari, tak mustahil untuk sepuluh hari jadi seminggu, dan seminggu jadi sehari dua."
"Dia akan lebih kerap membunuh." ASP Edric menyambung.
"Once a killing cycle is trigerred, it is rarely broken. Semakin lama masa, semakin kerap dan semakin kejam pembunuhan. He's becoming a disorganized killer. Kita akan jadi semakin susah untuk agak tindakan dia. So yeah, kalau kita tak dapat tangkap dia ASAP, then doktor..."
Alex menetapkan pandangan kepada Dr. Laili.
"Ya?"
"Kau kena bersedia untuk terima lebih banyak mayat."
Bulu tengkuk Dr. Laili serta-merta meremang. Butir bicara lelaki asing ini kedengaran tenang, tetapi isinya sangat menggerunkan. Dia yang selama ini tidak bermasalah dengan mayat, tiba-tiba berasa gentar.
ASP Edric mengepal tangan kuat-kuat. Apa yang baru menjadi halwa telinga, benar-benar membuat jiwanya membahang. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menendang apa-apa yang tersadai atas lantai. Biar lega sedikit perasaan. Tetapi memikirkan kawasan ini ialah tempat jenayah, ditahan-tahan perasaan itu. Bukti lebih penting daripada rasa geramnya sekarang. Tetapi, pembunuh ini memang manusia jahanam.
Tidak. Ini bukan manusia. Ini syaitan!
"Then tell me, Alexander Aryan." Agak bergetar suara yang terpantul keluar.
"Apa dia?"
"Apa yang dia nak sebenarnya?"
Alex bungkam. Lidah kelu untuk menitip bicara. Sejujurnya, dia sendiri tidak tahu jawapannya.
"Kau sendiri cakap tadi, kan? Kau dah biasa dengan pembunuhan bersiri. Jadi, bagitahu. Apa yang kau nampak? Apa yang dia nak? Apa yang dia cuba buktikan?" Bertubi-tubi soalan yang dihambur. Dengan setiap satu soalan, intonasi suara ASP Edric semakin keras. Ada emosi yang terselit. Berat lagi menyesakkan.
"Edric Chong."
"Apa?" bentak ASP Edric kepada Dr. Laili yang tiba-tiba menyampuk.
"Kalau dia tahu jawapannya, dia takkan berada di sini. Kita pun takkan ada di sini. Sah-sah, pembunuh tu dah kena tangkap." Tanpa dipinta, Dr. Laili menjawab bagi pihak Alex. Tenang dalam tegas.
ASP Edric gelak sinis.
"Huh, tadi bukan main pandai lagi dia bercakap."
"Ed, I tahu you tertekan dengan kes ini. Tapi bukan dia tempatnya untuk you lepaskan perasaan. You are the head of this investigation. You tak boleh ikutkan sangat perasaan. You tahu itu, kan?"
Sejenak, ASP Edric mendiam. Wajah Dr. Laili ditenung dalam-dalam. Seperti biasa, yang terpampang ialah ketenangan dan keyakinan.
"Fine." Hendak tak hendak, dia mengalah. Rambut kusut diraup sekali. Jelingan ditala semula ke muka Alexander Aryan. Lelaki itu masih senyap. Entah apa yang difikirkannya. Serius benar.
"Jadi, apa lagi yang..."
"Kau betul. Aku sepatutnya tahu. Aku sepatutnya boleh baca dia." Belum sempat ASP Edric bertanya apa lagi yang boleh Alexander Aryan katakan tentang White Killer, lelaki tersebut lebih pantas bersuara.
"What I need to do is profiling him. Tapi untuk betul-betul dapat jawapannya, kita perlu kembali kepada variable yang ada dalam kes ini."
ASP Edric dan Dr. Laili berpandangan sesama sendiri. Masing-masing menayang muka hairan.
"Variable?" Hampir serentak, mereka mengulang.
"Ya, variable." Suara Alex tiba-tiba rasa tersekat di celah kerongkong. Dada tidak semena-mena sebu. Wajah manis bermata hazel itu, terbayang-bayang di mata. Bunyi ketawanya yang indah, terngiang-ngiang di telinga. Berganti dengan suara serak menahan lirih.
Jantung semakin sesak.
Cepat-cepat, Alex mengetap bibir dan menghela nafas. Dengan pandangan mata yang ditajamkan semula, dia kembali bersuara.
"Kunci kepada kes ini, Tihani Rose."
*****
BEG SANDANG yang separuh melurut di bahu, diangkat kembali. Sandwich yang masih sesuku melekat di mulut, ditelan cepat-cepat. Kaki pula terkocoh-kocoh berlari atas tangga. Berita yang diperoleh pagi ini benar-benar mengejutkan. Tidak cukup dengan penemuan satu lagi mayat, mereka digemparkan dengan berita bahawa pihak polis akan mengadakan sidang akhbar. Inilah masanya untuk memperoleh bahan berita. Mereka tidak boleh terlepas!
Usai melangkah masuk ke pejabat, Tihani terus bergerak ke arah meja kerja. Suasana pejabat yang kecoh langsung tidak dipeduli, sama seperti orang lain yang tidak mengendahkan kedatangannya. Masing-masing sibuk dengan tugasan sendiri.
Baru sahaja Tihani mahu mengambil tempat duduk di kerusi, pandangannya melekat kepada sebuah kotak hitam yang elok terletak atas meja. Dahi Tihani semerta berkerut. Anak mata diliarkan ke sekeliling, melihat kalau-kalau ada sesiapa yang perasan akan kewujudan kotak ini. Atau mungkin juga bertanggungjawab meletaknya. Namun, tiada siapa yang memberi perhatian kepadanya. Rakan setugas tetap ralit dalam kesibukan.
Jantung Tihani tiba-tiba berdebar kuat. Dia tidak tahu kenapa. Tetapi saat ini, setiap sudut hatinya berbisik tidak enak. Ada yang tidak kena dengan kotak ini!
Namun...
Dia membuat tindakan bodoh. Suara hati tidak didengar. Sebaliknya, Tihani menunduk, mengambil kotak tersebut dan membukanya.
"Ya Allah!!!"
Lidahnya menjerit lantang. Kotak hitam terlempar sendiri. Tubuh terjelepuk atas lantai. Mata pula terbelalak memandang objek yang separuh terkeluar dari kotak.
*****
"KUNCI kepada kes ini, Tihani Rose."
Bicara Alexander Aryan berdengung di telinga. ASP Edric dapat merasakan betapa mukanya berderau.
"Apa kau nak buat dengan dia?" soalnya, dengan nada menuduh.
"Buat? Bukan aku yang nak buat apa-apa pada dia. Kau tahu siapa yang lebih berminat dengan Tihani Rose, kan?"
"Sebab aku tahulah, aku tak boleh biarkan kau sentuh dia."
Alex tergelak. Lebih kepada menyinis diri sendiri, lelaki di hadapannya dan situasi mereka sekarang.
"Kau memang tak habis-habis mengesyaki aku, kan?"
"Aku seorang polis. Aku akan mengesyaki sesiapa sahaja yang nampak pelik di mata aku."
"Kalau macam tu, aku kena mengakuKau memang seorang polis yang hebat."
Dahi ASP Edric berkerunyut. Rasa aneh menyusup masuk. Rasa curiga membuak-buak.
Melihat muka ASP Edric yang jelas kehairanan, Alex mengangkat kaki setapak lebih dekat. Wajahnya dibawa ke sebelah telinga lelaki berjaket hitam itu. Mata tajam memandang ke hadapan. Kemudian dengan bibir yang senyum sinis, dia berbisik...
"Kau betul. Aku memang pelik."
ASP Edric tergamam. Tetapi, cuma untuk sesaat. Dengan tangkas, dia memusing badan dan merengkuh lengan Alex ke belakang. Dr. Laili yang melihat, tersentak. Kakinya automatik mengundur ke belakang. Pegawai polis lain dan juruteknik forensik yang berada di situ, saling berpandangan.
"Tuan..." Sarjan Razlan segera menghampiri.
"Siapa kau sebenarnya?" gertak ASP Edric di cuping telinga Alex.
Kuat, Alex merentap tangannya. Badan kembali dipusing menghadap ASP Edric. Mata berdesis garang.
"Bukan aku yang patut kau risaukan."
"Kau..."
Baru sahaja ASP Edric mahu menempelak, satu bunyi deringan telefon memecah ketegangan. Dia mengerling kepada Alex, sebelum menyeluk poket seluar. Telefon bimbit dikeluarkan dan dilekap ke telinga. Kaki pula bergerak menjauhi. Akan tetapi, sempat juga dia memberi isyarat kepada Sarjan Razlan agar mengawasi Alexander Aryan. Anak buahnya pantas mendekati lelaki itu.
Alex kekal tenang. Renungan kejap kepada ASP Edric. Ada rasa ingin tahu yang menyelubungi dada. Melihat riak muka lelaki tersebut yang jelas berubah, membuatkan rasa itu mencanak naik. Apatah lagi, bila melihat ASP Edric mematikan panggilan dengan gaya kelam-kabut, dan bergegas kembali kepadanya.
"Kita kena pergi!"
"Pergi mana?" tanya Alex. Agak bingung namun, kakinya tetap juga mengikut ASP Edric yang sudah pun berlari ke hadapan.
"Pejabat Tihani Rose!"
Jantung Alex terhentak kuat. Tangannya laju menangkap lengan ASP Edric. Langkah lelaki itu serta-merta terhenti.
"Kenapa dengan dia?"
ASP Edric menoleh separuh. Wajah jelas kebimbangan. Dada Alex semakin berdebar.
"Dia dapat." Suara ASP Edric berbunyi antara dengar tak dengar. Seakan-akan berbisik.
"Dapat apa?" Suara Alex juga perlahan.
Bebola mata ASP Edric bergerak ke arah mayat yang terbaring tidak jauh daripada kedudukan mereka.
"Apa yang tak ada pada mayat tu."
********
NOTA CIK SA:
Erk, Rafael memang gila. Dia hantar mata orang kepada Tihani!!! That's soooo creepy. So am I being creepy sebab Cik SA yang tulis cerita ni? Hahahaha!!
Apa-apa pun, tak sabar nak peluk AL versi buku. Bila nak siap print ni???
Do like and comment. TQ!
Love,
SA

4 comments:

  1. Jhtnye rafael...kotak hitam tu memg saspen da...mcm da dpt agak...n bammm...mata mangsa tu...ohh nooo

    ReplyDelete
  2. Oh my! Can for another chapter. Citer dye makin saspens. Debor bila baca.

    ReplyDelete
  3. oh maiii!kena sabar byk2, sblm dpt novel ni kt tgn :)

    ReplyDelete
  4. Adoiiiii....semakin mendebarkan.....tak sabar menanti apa seterusnya...

    ReplyDelete