May 13, 2015

Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 16


BAB 16

“APA kau cakap tadi? Cuba ulang sikit?”
            Syamil mendengus kecil. Termasuk ini, sudah tiga kali dia mengulang ayat yang sama. Kenapalah bebal sangat kawan aku yang seorang ini?
            “Aku. Miss Sweetheart. Tunang.” Sebiji-sebiji Syamil menjawab. “Faham?”
            “Okey, kejap. Aku nak cerna apa yang kau dah cakap tadi.” Jus oren di atas meja diteguk perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam, dan kemudian Hazri kembali memandang sahabatnya. “Gilalah, wei!! Apa dah jadi ni?!”
            Terkujat Syamil dengan jeritan Hazri yang tiba-tiba. Fuh, mujur sahaja dia tidak punya masalah jantung, kalau tidak…memang sudah selamat. Dan mujur juga mereka kini di tempat kerja sendiri. Jika berada di khalayak ramai…memang memalukan sahaja.
            “Kau ni kalau tak menjerit tak boleh, ke?”
            “Isy, tak boleh. Aku kena bagi sound effect yang dramatik untuk hal-hal macam ni.” Selamba sungguh Hazri membalas. Matanya bulat dengan rasa teruja. Sungguh, dia merasakan bahawa kisah Syamil tidak ubah seperti kisah dalam novel-novel cinta yang dia minati. Ini kalau ada novelis yang tahu, sesuai sangat dibuat novel. Pasti meletup!
            “Banyaklah kau punya sound effect,” sinis Syamil.
            “So, apa cer?”
            “Apa cer apanya? Macam tulah. Parents aku nak jodohkan aku dengan Orked.”
            “Orked?”
            Syamil menepuk dahi. “Alamak, aku belum bagitahu kau, kan? Orked. Orked Imani. Itulah nama sebenar Miss Sweetheart.’
            ‘Nama yang sangat manis. Semanis tuannya. Eh, manis ke dia? Yup, manis walaupun selalu marah-marah dengan comelnya,’ sambung Syamil dalam hati. Tanpa sedar, dia tersenyum sendiri.
            Kecil mata Hazri ditetapkan pada wajah menyengih Syamil. Amboi, angau nampak? Hari tu, bukan main lagi cakap tak sukakan Miss Sweetheart. Sekarang bila dah tahu rupa-rupanya Miss Sweetheart adalah bakal tunang dia, beriya-iya pula. Siap senyum seorang-seorang.
            “So, sekarang apa kau nak buat?” tanya Hazri.
            Berkerunyut dahi Syamil. “Nak buat apa…apa?”
            “Ya Allah! Blur pulak kawan aku yang seorang ni. Pasal kau dengan si…apa tadi, Orked? Kau nak teruskan dengan rancangan pertunangan ni? Nak terima aje apa yang parents kau decide? Kau nak jadi macam hero dalam novel kahwin paksa tu?” Bertubi-tubi Hazri menebak.
            “Woi, agak-agaklah! Jangan nak samakan aku dengan novel kesayangan kau tu. Tak ada maknanya aku nak jadi macam tu.” Keras Syamil menyanggah.
            “So, kau nak lawan parents kau? Kau nak pertahankan diri kau daripada jadi mangsa kahwin dengan pilihan keluarga? Kau takkan teruskan pertunangan ni?”
            “Kenapa pula aku nak buat macam tu?” Syamil menyoal kembali.
            “So, kau setuju?”
            “Yalah.”
            “Kau memang takkan tolak pilihan mak bapak kau?”
            “Tak.”
            “Sebab kau memang sukakan dia, kan?”
            “Aku…” Lidah Syamil terkelu sekejap.
            Tanpa menunggu lama, Hazri melepaskan tawa besar. Sah! Memang sah budak seorang ini tengah angau dengan Orked Imani atau nama glomournya, Miss Sweetheart.
            Syamil mengetap bibir. “Kau memang sengaja kan, tadi? Saja tanya macam-macam sebab nak aku…”
            “Nak kau apa?” sampuk Hazri dengan kening terjongket tinggi. Sengaja mahu mencabar Syamil untuk meneruskan kata.
            Tanpa semena-mena, menyerbu darah panas ke muka Syamil. Terasa membahang dengan rasa segan yang bukan sedikit. Dah, sudah! Aku jadi malu-malu kucing ni kenapa pula?
            “Alah, mengaku sajalah, Mil. Kau tu…” Jari telunjuk Hazri ditala ke dada Syamil. “Dari awal lagi, sebenarnya dah sukakan dia.”
            “Mana ada…”
            “Mana ada apanya? Cuba kau bagitahu aku. Kalau bakal tunang kau tu bukan Miss Sweetheart, kau akan bagi reaksi macam ni ke? Tak mungkin, kan?”
            Syamil terdiam. Segala bait bicara Hazri didengar sahaja sambil otaknya ligat berfikir. Iya, ke? Kalau orang lain, aku takkan bagi reaksi macam ni ke? Eh, taklah. Aku kan anak mithali, aku akan ikut saja cakap parents aku, tak kisahlah siapa pun perempuan tu.
            ‘Kau nak tipu siapa ni, Syamil Imran? Kalau bukan Orked, kau memang takkan terima pertunangan yang macam ni!’ Suatu suara menyergah Syamil dalam diam.
            “Aku kenallah perangai kau. Mustahil kau akan terima bulat-bulat. Mesti kau sekarang ni akan tunjuk muka macam orang kebuluran, atau tak pun…orang yang nak pergi berperang. Bersiap sedia dengan macam-macam plan dan senjata untuk kau tak perlu teruskan semua ni dan kau tak payah kahwin dengan dia.” Lagi Hazri menyembur. Bibirnya tak lekang dek sengih. Seronok sungguh dapat mengenakan dan menyakat sahabat sendiri.
            “Dah? Sudah? Banyaklah kau punya komentar. Pandai aje kan teka macam-macam?” Syamil membidas agak keras.
            “Aku bukan tekalah. Aku bercakap tentang fakta. Kenyataan. Hakikat. Tell me, kalau kau tak ada perasaan pada dia, kenapa kau ikut aje cakap parents kau?”
            “Sebab aku…”
            “Aku apa?”
            “Aku kan anak mithali. Lagipun, daripada aku bersusah-payah…memeningkan kepala segala untuk cari calon sendiri, rembat ajelah orang yang memang dah ada depan mata. Lagipun, aku kan dah single and available sekarang ni,” balas Syamil, memberikan jawapan yang dirasakan paling bernas.
            Hazri mencebik. Eleh, nampak sangat menipunya. Macamlah aku tak boleh baca air muka kau, Syamil!
            “Okay, fine. Kau dah jadi anak mithali.” Hazri menepuk tangan beberapa kali. “Congrats, bro! Aku tak sangka kawan aku dah jadi baik macam ni sekali.”
            Syamil membuat muka toya. Jelas lagi bersuluh bahawa Hazri sedang memerlinya.
            “So, dia dah tahu ke?” sambung Hazri lagi dengan sebuah soalan.
            Automatik Syamil mengerutkan dahi. “Dia siapa?”
            “Bakal tunang kesayangan kau tulah. Miss Sweetheart. Orked Imani. Dia dah tahu tak yang kau ni…Encik Sayang dia bakal jadi tunang dia, bakal jadi suami dia?”
            Syamil tidak menjawab. Namun air mukanya kelihatan sangat aneh di mata Hazri. Alamak, apa pula yang sudah dibuat mamat seorang ni?
            “Apa yang kau dah buat, Syamil?”
            Terjongket bahu Syamil. Anak matanya bersinar nakal, manakala bibirnya menyimpul senyum bersama suatu rahsia yang tersirat. Rahsia yang pasti-pasti sahaja akan membuatkan seorang gadis yang bernama Orked Imani bakal menerima kejutan paling hebat dalam hidupnya.
            ‘Orked Imani sayang, my Miss Sweetheart…you’re so gonna have the shock of your life.’
*****
“CONGRATS, kakak kesayanganku!!!”
            Orked yang sedang berbaring elok di atas katil spontan sahaja menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Budak Melati ni…kalau bercakap tu tak boleh ke slow down sikit volume? Nak pecah gegendang telinga aku.
            “Emak cakap kakak nak bertunang weekend ni. Wah, tak sangka kan, kak? Kalau tahu macam ni, lebih baik dari awal lagi kakak suruh emak carikan calon. Tak adalah tunggu sampai umur dah hampir terlajak…”
            ‘Amboi, sedapnya mulut dia bercakap. Nak kena cili gamaknya. Sesuka rasa dia aje cakap aku dah terlajak umur. Wahai Cik Melati Areesa, dua puluh sembilan tahun pada zaman sekarang ni tidak dikira sebagai lambat sangat. Ada aje orang umur tiga puluh lebih tak kahwin-kahwin. Okey aje aku tengok.’
            “Rugi betul adik tak ada masa emak cakap kat kakak hari tu. Isy, time…time best macam nilah, adik kena pergi lawatan sekolah. Masa elok kat rumah, tak ada pulak. Mujur weekend ni adik dah balik. Kalau tak, melepas majlis tunang kakak kesayangan adik ni.”
            Orked mendengar bebelan adiknya tanpa perasaan. Huh, kesayanganlah sangat! Mesti adik tengah seronok gelakkan kakak, kan? Mengaku ajelah!
            “So, kakak…macam mana dengan bakal abang ipar adik tu?
            “Entah.” Pendek jawapan Orked. Malas mahu melayan sebenarnya. Dia sekarang sedang berada dalam situasi yang diberi nama ‘Kesukaran menerima hakikat bakal ditunangkan dengan manusia tidak dikenali, dan bakal menjadi macam heroin drama kahwin paksa.’ Ulang lagi sekali, Orked Imani bakal jadi heroin kahwin paksa. Sungguh! Itu memang keajaiban dunia kelapan.
            Kalau diketahui sahabat-sahabat lelakinya merangkap geng hiking yang kerja mereka menyakat orang, mahunya setahun dia kena bahan. Malu, okey…malu! Sudahlah semalam teruk Elina gelakkan dia. Kata Elina, padan muka dia! Yalah, siapa suruh memandai-mandai bagi cadangan gila macam tu? Sekarang, terima ajelah akibatnya.
            Selamba badak sungguh Elina cakap macam tu pada dia. Tak ada unsur-unsur simpati langsung pada BFF dia yang sudah mati kutu.
            “Handsome tak?” Lagi Melati menyoal.
            “Entah.” Dan lagi Orked menjawab malas.
            “Tinggi tak?”
            “Entah.”
            “Putih tak?”
            “Entah?”
            “Sawo matang then?”
            “Entah.”
            “Kerja apa?”
            “Entah.”
            “Kakak ni kenapa? Orang tanya baik-baik, takkanlah itu aje jawapannya?”
            Nah, ambik sebijik! Kena marah dek Melati.
            “Dah memang kakak tak tahu. Adik nak suruh kakak cakap apa?” Orked menempelak kuat.
            Sesaat, dua saat, tiga saat berlalu. Melati di sebelah sana menyengap tanpa kata. Hanya desah nafas yang kedengaran di hujung talian sebelum akhirnya…
            “Kakak memang tak tahu apa-apa ke?”
            “Hmmm…”
            “Takkanlah emak dengan ayah tak cakap apa-apa?”
            Orked merengus kasar. Semakin bosan dengan tingkah Melati yang tidak habis-habis menyoal siasat. Minah kepochi sungguh!
            “Memang tak. Dia orang cakap pihak lelaki minta rahsiakan. Nak buat surprise kononnya. Surprise kepala lutut dia! Orang dah macam nak tercabut jantung, dia nak main surprise…surprise pulak!”
            Terkekek-kekek Melati ketawa. Orked mengerutkan dahi. Dah, sudah! Dia gelak macam langsuir pula? Aku ada buat lawak ke tadi?
            “Eh, yang adik gelak-gelak ni apehal?” tempelak Orked dengan baur tidak puas hati. Geram kala luahan perasaanya cuma menerima ketawa jahat sebagai balasan.
            “Tak…tak…” Suara Melati tenggelam timbul di sebalik mengah tawa. “Kakak mesti tengah marah sangat, kan? Itu yang terkeluar kepala lutut segala.”
            “Habis tu, adik nak suruh kakak rasa apa? Seronok? Excited? Buat ala-ala….yeay! Akhirnya aku kahwin!! Macam tu?” Pedas Orked memerli.
            “Isy, kakak mana boleh buat macam tu. Nanti emak marah. Perempuan Melayu kena jaga adab ketimuran. Walaupun excited nak kahwin, kena senyum simpul aje. Duduk bersimpuh dengan kepala tunduk ke bawah.” Jawapan selamba Melati sekali disusuli tawa besar.
            ‘Ceh, seronok sungguh dia kenakan aku!’
            “Gelak haha tu tak boleh lebih tiga kali, Melati Areesa.” Orked membalas, juga dengan arahan yang selalu dimomokkan oleh emak. Perempuan sejati dan lemah lembut menjaga cara ketawa, katanya. Oh, semestinya arahan itu tidak pernah dipraktikkan oleh kedua-dua anak Puan Jasmin.
            “Okey, adik gelak tiga kali aje. Ha. Ha. Ha. Puas hati?”
            ‘Bongok punya adik!’ kutuk Orked dalam hati. Tapi bibirnya mula mengulum senyum. Geli hati dengan perangai si adik yang sebangang kakaknya. Sedikit sebanyak rasa tidak keruan yang bertamu dalam hati sejak dia dihempap berita pertunangannya dapat diredakan.
            “Okeylah, tak nak main-main lagi. Kakak memang tak tahu apa-apa langsung?” Nada suara Melati berubah serius. Ada rasa ingin tahu yang membuak-buak dalam pertanyaannya.
            Orked menarik nafas dan cuba berfikir. Manalah tahu kalau-kalau ada terselit apa-apa informasi di celah benaknya yang pada hakikatnya tidak ingin ambil tahu langsung pasal encik bakal tunang.
            “Oh!” Orked menepuk dahi sekali.
            “Hah, apa dia, kak?” Laju Melati menyoal kembali.
            “Umur dia.”
            “Kenapa dengan umur dia?”
            “Ayah cakap…that guy is twenty-seven.”
            “Fuyooo!! Kakak dapat pucuk muda. Anak ikan tu…”
            Dan-dan mulut Orked melopong luas. Tergamam pula dengan reaksi di luar jangkaan adiknya. 
            “Pucuk muda apanya? Itu namanya….”
            “Apa dia?” Belum sempat Orked mengudahkan kata, Melati terlebih dahulu menyampuk.
            Orked mendengus dalam hati. Tak reti sabarkah budak yang seorang ini?
            “Budak, okey! Budak! Kakak nak kena hadap budak!”
            “Age is just a numberlah, kak. Dua tahun je kut. Itu pun nak bising.” Bersahaja Melati memberikan komen di hujung talian.
            “Itu bagi orang lain. But not for me. Kakak nak lelaki yang lebih tua, yang matang, yang boleh jaga kakak. Bukan kakak yang nak kena jaga dia.” Beriya-iya Orked memberikan gambaran jejaka idaman. Iya, tidak pernah terlintas langsung untuk punya suami yang lebih muda daripadanya. Lainlah kalau dia ini heroin kisah cinta noona-dongsaeng drama Korea, dengan hero muda yang mempunyai spefikasi berikut:
1)      Kacak tahap petala ketujuh
2)      Kematangan melebihi dirinya
3)      Tenang dalam apa jua keadaan
4)      Bersikap pelindung
5)      Mencintainya melebihi segala-galanya
6)      Sanggup berbuat apa sahaja untuknya
7)      Contoh paling tepat: Lee Jong Suk a.k.a noona killer

            Arghh!! Dia harus salahkan Melati kerana mengheret dia ke dalam dunia drama Korea. Tengok apa dah jadi? Dalam keadaan dia yang bingung dek pertunangan tidak dijangka, muncul pula mamat nama Lee Jong Suk itu.
            “Kakak, kematangan tak bergantung pada umur. Ada aje lelaki muda yang matured.” Suara Melati yang membangkang membuatkan Orked kembali dari dunia Koreanya.
            “Dan ada yang tak matured langsung!” Tanpa menunggu lama, Orked membidas lagi.
            “Kakak ni, asyik cakap macam tu. Positiflah sikit. Betul-betul dapat husband tak matured, perangai macam budak-budak, baru tahu!”

            Erk, Orked terdiam. Tanpa semena-mena, tubuhnya diserang seram sejuk. Apakah makna semua ini? Takkanlah apa yang budak Melati baru lepas cakap ini akan menjadi suatu realiti? Oh, tidak!!!

~Bersambung...~

No comments:

Post a Comment