May 6, 2015

Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 14 & 15

Assalamualaikum,

Malam2 buta ni, tetiba rasa nak tambah bab dalam ESMS. Haha! So sape2 yang belum dapatkan ESMS di pasaran, bolehlar baca bab2 awal di sini. =)


BAB 14

“TERIMA KASIH, PUAN. Lain kali datanglah lagi.”
            “Eh, itu wajib. Tambah-tambah kalau you maintain pakej yang best-best.” Lebar senyuman di bibir Puan Rozana sambil memuji-muji spa yang baru menjadi kunjungannya. Inilah kali pertama di ke sini. Biasanya dia ke Amaryllis Salon & Day Spa. Tapi untuk hari ini, sengaja dia mahu menukar arah.
            Dengan wajah yang dirasakan sudah berseri setelah sesi menyerikan wajah selama dua jam, Puan Rozana melangkah keluar. Jam tangan dikerling sekilas.
            “Eh, mana pula Angah ni? Kata tadi, nak datang jemput.”
            “Ana?”
            Sedang Puan Rozana mengomel sendiri, telinganya menangkap teguran seseorang. Perlahan-lahan dia menoleh dan semerta matanya menjojol besar.
            “Ya Allah, Min!! Saya tak salah tengok, kan? Betul ke ini Jasmin?” Laju Puan Rozana bersuara lantas bergegas mendapatkan sahabat yang sudah lama tidak ditemui. Sekelip mata sahaja, tubuh Puan Jasmin ditarik ke dalam rangkulan.
            “Isy, awak ni! Kalau iya pun excited sangat jumpa saya, tak payahlah peluk macam ni sekali. Sesak nafas, tau.” Sempat Puan Jasmin menggumam, padahal tangannya kemas membalas pelukan sahabatnya. Sungguh, dia tidak menduga akan terserempak dengan manusia yang sudah hampir dua puluh tahun tidak ketemu.
            “Eh, perangai tak berubah langsung,” komen Puan Rozana sambil melepaskan rangkulannya. Bibirnya lebar dengan senyuman girang.
            “Ke mana kau orang hilang selama ni? Lepas aje berpindah dulu, kata nak keep in touch. Ini tidak, lenyap terus.” Pantas Puan Jasmin menyoal. Persoalan itulah yang sering kali bermain dalam fikirannya sejak mereka terputus hubungan.
            Puan Rozana mengeluh sekali. “Itulah, lepas aje kira orang tinggalkan Kuantan, kita orang menetap di Kuching. Entahlah macam mana, semua contact number kau orang sekeluarga hilang. Ada juga usaha untuk cari kau orang, tapi…itulah, tak dapat. Sekarang, tup…tup, terserempak macam ni. Memang takdir Allah. Rasanya dua puluh tahun tak jumpa, kan?”
            “Yup, dua puluh tahun,” Puan Jasmin mengiyakan.
            “So, macam mana sekarang? Sihat? Semua orang sihat?”
            “Alhamdulillah, semua sihat. Along dah kahwin dah pun. Saya ni dah bercucu, tau.” Bangga sekali Puan Rozana bercerita. Terbayang wajah dan keletah comel Risya.
            Puan Jasmin menguntum senyum. Hatinya turut diserbu rasa senang melihatkan wajah bahagia sahabat yang lama tidak ditemui.
            “Really? Berapa umur…”
            “Mummy!” Baru sahaja Puan Jasmin mahu menanya, satu suara terlebih dahulu mencantas. Automatik dia menoleh pada sang pemilik suara.
            “Ops, sorry. Mummy tengah cakap dengan kawan, ya?” Terserlah wajah serba salah seorang jejaka di hadapan mata. Puan Jasmin memaling pandang pada Puan Rozana dengan kening yang terjongket, memberikan isyarat ‘siapa?’
            “Oh, inilah Syamil.”
            “Syamil? You mean…anak kedua Ana?”
            Puan Rozana mengangguk kecil. “Yup. Inilah dia.”
            Puan Jasmin kembali mengalihkan perhatian pada anak lelaki Puan Rozana yang sedang memerhati. Mungkin perasan akan perbuatannya, Syamil pantas melebarkan senyum padanya. Manis sekali pada pandangan mata Puan Jasmin. Dan tanpa sedar, dia turut membalas.
            “Angah, kenalkan. Ini Auntie Jasmin, kawan lama mummy.” Puan Rozana cepat-cepat memperkenalkan sahabatnya pada anak terunanya.
            “Selamat berkenalan, auntie.” Penuh tertib, Syamil menyapa.
            “Tak payah nak selamat berkenalan sangatlah. Angah memang dah kenal Auntie Jasmin ni,” tegur Puan Rozana disusuli tawa halus. Pandangan penuh makna ditujukan pada sahabatnya.
            “Ya ke, mummy? Tapi Angah macam tak pernah jumpa…” Berkerut dahi Syamil, cuba mencari-cari secebis memori mengenai wanita separuh umur di hadapannya.
            “Dah lama sangat, Syamil. Kamu kenal auntie ni masa kamu budak-budak dulu.” Kali ini Puan Jasmin pula yang bersuara.
            “Oh, patutlah! Ingatkan saya dah hilang ingatan tadi.” Syamil menepuk dahi. Sempat juga dia bergurau di hujung bicara.
            Puan Jasmin tergelak kecil. Pandai bergurau budak ni. Sama seperti zaman kecilnya, getus suara hatinya.
            “Isy, budak ni. Main-main pula dia,” omel Puan Rozana. “Dia ni memang macam ni, Min. Tak pernahnya nak serius.”
            “Ala, okeylah tu. Tak adalah sakit jiwa sangat. Iya tak, Syamil?”
            “Ya, auntie.”
            “Amboi, laju aje dia bersetuju!” sergah Puan Rozana.
            Terhambur tawa daripada tiga kujur tubuh. Namun tanpa Syamil sedari, dirinya diperhati dengan penuh minat oleh wanita yang dikenali sebagai Auntie Jasmin.
*****
            ‘Nanti kita jumpa dan discuss betul-betul. Jangan lupa bagitahu Roslan.’

SMS yang tertera di skrin telefon bimbitnya ditatap lama, seolah-olah Puan Rozana akan melompat keluar dari situ. Keluhan kecil tercetus. Aduh, pening juga kepala otaknya memikirkan apa yang patut dibuat saat ini.
            “Awak  ni dari tadi, saya tengok asyik mengeluh aje, kenapa? Mencicit lari rezeki, tau.”
            Terperanjat Puan Jasmin mendengarkan sergahan suaminya. “Abang ni, tak boleh ke kalau tak kejutkan saya macam tu?”
            “Kejutkan apanya? Abang dah lama tercegat depan pintu bilik. Min tu yang tak perasan langsung,” bidas Encik Roslan seraya menanggalkan songkok di kepala dan meletakkannya di atas meja kopi. Punggungnya dilabuhkan di sebelah isterinya. Kemudian alat kawalan televisyen diambil dan ditekan. Niat di hati mahu menonton Berita Dunia di TV1.
            Puan Jasmin mengerling ke sebelah. Telefon bimbit di tangan digenggam kemas. Apa agaknya reaksi suaminya kalau mendapat tahu akan rancangan yang bakal disampaikan?
            “Abang…”
            “Hmmm…” Acuh tak acuh, Encik Roslan menjawab.
            “Abang!” Laju Puan Jasmin menarik lengan suaminya, mahu mendapatkan perhatian. “Tengoklah sini. Saya nak cakap benda penting ni.”
            “Tak boleh cakap lepas ni, ke? Abang nak tengok berita ni.” Masih lagi dengan mata yang tertala ke hadapan, Encik Roslan memberikan reaksi kosong pada sang isteri.
            “Abang ni kan….” Puan Jasmin mula menunjuk gaya merajuk. Bibirnya memuncung tajam.
            Encik Roslan melirikkan ekor mata. Tercuit hatinya dengan perangai isteri tersayang. Masih manja dan comel seperti awal perkahwinan mereka.
            “Yalah…yalah. Isy, dia ingat dia tu muda lagi, nak tunjuk muka merajuk macam tu.” Selamba Encik Roslan mengenakan isteri sendiri.
            Puan Jasmin mencerunkan mata. Geram. Suka hati aje dia kutuk kita!
            Encik Roslan tertawa halus. “Okey, okey. Abang tak main-main lagi. Apa yang Min nak bincang sangat ni? Macam serius aje.”
            Mengingatkan topik yang bakal mereka bincangkan, Puan Jasmin kembali melepaskan nafas. Riak wajah serius kembali terpampang di segenap wajah.
            “Hei, kenapa ni?” Encik Roslan yang melihat mula menggelabah. “Ada apa-apa jadi ke?”
            “Min jumpa Rozana siang tadi.”
            Encik Roslan terdiam. Otaknya cuba memikirkan mana-mana sahabat isterinya yang punya nama seumpama itu. Kemudian, sedikit demi sedikit dia membundarkan bebola mata.
            “Yup, yang itulah.” Bagaikan dapat meneka apa yang berlegar di dalam benak suaminya, Puan Jasmin mengiyakan.
            “Seriously? Kat mana? Bila?” Bertalu-talu soalan yang terpancul keluar dari mulut Encik Roslan. Jelas rasa teruja yang terpalit pada wajah separuh tuanya.
            “Eh, banyak pula soalannya. Pasal semua itu, nanti Min jawab. Min cerita semuanya. Tapi, yang paling penting sekarang ni adalah…”
            “Apa?” Encik Roslan menyampuk. Dahinya berkerut. Matanya mula memandang isteri tersayang dengan wajah yang penuh curiga. Jasmin sayang, apa pula yang awak dah buat kali ni?


BAB 15

“WHAT?! Apa mummy dan daddy cakap tadi? Nak...nak….”
            “Nak Angah bertunang weekend ni.” Tenang Prof. Suhaimi menyambung kata anak terunanya.
            Kepala berputar seperti sedang menaiki roller-coaster. Jantung terasa bergolek keluar ke lantai. Seluruh tubuh lembik bagai baru sahaja melihat Ju-On.
            “Angah…Angah…Angah!”
            Syamil tersentak. Seruan ibunya segera mengembalikan dia ke alam realiti. Tiada lagi roller-coaster, tiada lagi jantung tergolek dan semestinya tiada Ju-On.
            “Daddy dengan mummy ni tengah buat lawak di petang hari ke?” Dengan sengih yang dibuat-buat, Syamil bertanya. Apa jenis gurauan macam ni? Gila! Takkanlah aku, Syamil Imran nak bertunang dengan orang yang aku sendiri tak kenal? Nak kahwin dengan perempuan mana entah? Isy, dia orang ni biar betul? Okey, sekejap! Aku nak ingat balik apa yang dah jadi sebentar tadi.
*****
“ANGAH…”
            “Ya, mummy.” Majalah di tangan segera diletakkan ke tepi. Tidak manis rasanya berbual dengan ibu sendiri sambil mata menelek benda lain. Fuh, macam anak mithali kau, Syamil Imran. Sempat Syamil memuji diri sendiri.
            “Kalau mummy tanya ni, Angah jawab betul-betul, ya. Ini hal penting, tau.”
            Berkerunyut dahi Syamil. Keanehan melihat tindak-tanduk serius ibunya. Daddy di sebelah dipandang sekilas. Turut mempamerkan wajah serius. Dah, sudah! Apa dah jadi ni?
            “Angah dengan…yang namanya, Miss Sweetheart tu memang….”
            ‘Laa, pasal ini ke? Ingatkan pasal apa,’ detik hati Syamil. Bibirnya merekah dengan senyuman. Tercuit rasa geli hati dengan tingkah ibu bapanya yang kerisauan berhubung soal tersebut. Ini Fiyalah punya pasal. Kasihan mummy dan daddy bermuram durja pasal ini.
            “Memang….” Puan Rozana mengerling pada suaminya. Terasa serba-salah untuk meneruskan kata.
            “Angah memang tak ada apa-apa hubungan dengan dia, mummy,” sambung Syamil.
            “Betul ni?” Prof. Suhaimi menyampuk.
            Berkali-kali Syamil mengangguk, mahu memberikan kepastian buat kedua-dua ibu bapanya.
            “Tak ada perasaan pada dia? Tak sukakan dia?”
            Sesaat Syamil jadi terkedu kala mendengarkan pertanyaan ibunya. Secuit hatinya berdetak aneh, namun cepat-cepat dihalau pergi. Ya, aku mana ada perasaan pada dia!
            “Tak ada, mummy. Memang tak ada,” tekan Syamil berkali-kali.
            Puan Rozana dan Prof. Suhaimi saling berpandangan. Masing-masing menayangkan riak wajah yang tampak pelik lagi aneh di mata Syamil. Sekonyong-konyong, Syamil mula dimamah rasa tidak sedap hati. Bermacam-macam andaian mula menjengah masuk ke dalam akal fikiran. Takkanlah mummy ada calon lain kut? Atau mahu satukan dia dengan siapa-siapa? Sebab itulah bersemangat waja menyoal tentang Miss Sweetheart, dengan tujuan mahu memastikan kalau-kalau dia sudah punya calon sendiri?
            “Then, Angah dengar sini, ya.” Prof. Suhaimi bersuara tenang.
            “A…apa, daddy?” soal Syamil takut-takut.
            ‘Janganlah apa yang aku fikirkan tadi jadi betul-betul. Mahunya aku pengsan empat puluh empat hari.’ Sempat Syamil berdoa dalam hati.
            “Mummy...”
            “Ya…”
            “Dengan daddy…”
            “Hmm…”
            “Nak Angah….”
*****
YA, itulah yang terjadi sebelum dia kini berhadapan dengan mummy, daddy dan isu saya-kena-bertunang-dengan-orang-yang-saya-tak-kenal. Sungguh! Apa semua ini?
            “Lawak? Tak adalah. Mummy dengan daddy serius ni.” Puan Rozana menjawab pertanyaannya anaknya sebentar tadi.
            “Kalau Angah nak tahu, Angah dengan dia dah pun kenal sejak dari kecil.” Kali ini Prof. Suhaimi pula yang menyambung.
            “Dia anak Auntie Jasmin yang Angah jumpa hari tu. So basically, Angah dah jumpa bakal mertua Angah.”
            Tertelan air liur Syamil di celah-celah kerongkong. Perkataan ‘bakal mertua’ kedengaran sangat menakutkan, umpama menggambarkan suatu entiti yang akan memakannya hidup-hidup. Wajah manis Auntie Jasmin yang dilihatnya tempoh hari mula terbayang-bayang di hadapan mata, tetapi kini dengan wajah yang sudah bertukar menjadi menakutkan lagi menyeramkan.
            ‘Ya Allah, Syamil! Cepat sedar. Jangan bayangkan benda bukan-bukan lagi!’ Cepat-cepat Syamil menempelak diri sendiri kala imaginasinya jadi semakin liar. Yalah, ada ke patut gambarkan Auntie Jasmin sebegitu?
            “Jadi…jadi…mummy dengan daddy nak jodohkan Angah dengan…dengan anak Auntie Jasmin?” tutur Syamil akhirnya. Entahlah, dia sendiri tidak pasti. Patutkah soalan itu yang ditanya? Atau dia sepatutnya membuat adegan macam dalam drama TV? Dengan segala reaksi ‘Apa?! Mummy ingat ini zaman dahulu kala? Jodoh pilihan keluarga? Ini tidak adil. Langkah mayat Angah dulu sebelum kahwinkan Angah dengan orang yang Angah tak kenal!’
            Tidak! Tidak ada maknanya dia nak buat segala adegan overdramatic sedemikian rupa. Syamil Imran adalah orang yang tenang dan mampu mengawal keadaan. Ya, itulah Syamil Imran. Berkali-kali Syamil mengingatkan dirinya sendiri. Namun…
            ‘Macam mana aku nak bertenang ni?! Apa aku patut buat? Takkanlah aku nak kahwin dengan orang yang aku tak kenal kut?!’
            “Yup, ini ada gambarnya. Angah tengoklah. Cantik budaknya. Sesuai sebagai tunang dan bakal isteri Angah.” Puan Rozana menghulurkan sekeping gambar kepada Syamil.
            Penuh rasa teragak-agak, Syamil menyambut. Gambar yang berada dalam keadaan terbalik itu dipegang sahaja tanpa apa-apa percubaan untuk menelek atau memandangnya. Dibuatnya dia terkejut saat melihatnya, siapa yang mahu bertanggungjawab? Sudahlah dia telah banyak ditimpa pelbagai kejutan tadi. Jadi, dia yakin bahawa jantungnya tidak cukup kuat untuk menahan suatu kejutan lagi.
            “Laa, kenapa pegang aje? Tengoklah.” Prof. Suhaimi mula menggesa.
            Syamil mengelipkan mata sekali. “Err…nak kena tengok ke?”
            “Budak ni, apa gunanya mummy bagi gambar tu kalau bukan untuk Angah tengok?” balas Puan Rozana, separuh menyergah.
            Dalam-dalam Syamil menggali nafas. Aduh, macam manalah rupa bakal tunang aku? Cantik macam Tiz Zaqyah? Manis macam Ayu Raudhah? Atau seksi macam…eh, takkanlah mummy dengan daddy nak perempuan seksi jadi menantu?
            “Tunggu apa lagi tu? Tengoklah cepat. Mummy nak tahu apa yang Angah fikir.”
            Lambat-lambat Syamil menterbalikkan foto di tangan. Jantungnya berdegup kencang. Cik bakal tunang, macam manalah rupa….erk? Dan-dan rahang Syamil terlurut ke bawah. Satu lagi kejutan? Jantung…oh, jantungku…awak apa khabar?
            “So, how? What do you think, Angah?” Pertanyaan Prof. Suhaimi singgah di telinga, lantas membuatkan Syamil menengadah kepala.
            “Mummy…daddy…” seru Syamil dengan wajah pucat tidak berdarah.
            “Ya, Angah…” Prof. Suhaimi dan Puan Rozana masing-masing menunjukkan muka seriau. Takkanlah Syamil tidak berkenan langsung dengan bakal menantu mereka? Kan sudah cukup cantik dan cukup sifat?
            “Mummy dengan daddy ingat Angah ni phedopile ke?”
            Serentak Prof. Suhaimi dan isterinya membeliakkan mata. Beberapa saat kemudian…
            “What?!!!”
*****
“KAKAK…”
            Orked yang baru sahaja keluar dari dapur menoleh pada emak yang tiba-tiba menyeru. Kelihatan ayah yang turut memandang, sedang elok duduk menghadap televisyen. Entah apa yang mereka sedang tonton.
            “Ya, mak…”
            “Come, duduk sini. Emak dengan ayah ada something nak cakap.”
            Perlahan-lahan Orked melangkah dan akhirnya duduk di sebelah ibu bapanya. Hatinya mula dirundung rasa tidak enak. Melihat wajah serius ayah yang biasanya tidak serius menambahkan rasa itu.
            “Emak cuma nak cakap….”
            Dub dab…dub dab…jantung mula mengatur langkah pincang.
            “Yang emak dah jumpa calon suami....”
            Jantung yang dub dab tadi sudah pun berhenti berdegup. Okey, tidak secara literally. Tetapi itulah yang dia rasakan sekarang. Otaknya mula berpinar sambil telinga terngiang-ngiang dengan perkataan ‘calon suami.’
            “Untuk kakak.”
            Dan rasanya sekarang sudah tiba masanya untuk dia menjerit…
            “What?! Apa emak cakap ni?”
            “Lar, buat-buat terkejut pula. Hari tu kan kakak suruh emak dengan ayah carikan calon untuk kakak.” Ayah menjawab dengan suara yang oh-sangat-kasual.
            Bintang. Dia sudah nampak bintang di hadapan mata. Pening. Terkejut. Terperanjat. Lalu sedikit demi sedikit Orked memejamkan mata dan menghirup nafas. Tolong katakan ini semua cuma mimpi. Ya, mimpi ngeri semata-mata. Emak dengan ayah takkan buat macam ni, kan? Takkanlah dia orang betul-betul ikut saranan gila lagi kurang cerdik aku tu? Aku kan cuma bergurau aje hari tu. Ya, betul. Dia orang takkan…
            Orked membuka matanya kembali. Dia. Tidak. Bermimpi.
            “Pihak lelaki akan datang merisik weekend ini. Kami dah setuju untuk kamu berdua terus bertunang. Kakak jangan bimbang. Semuanya emak dah uruskan. Baju tunang, hantaran, majlis…emak yang terer ni dah settlekan semua.”
            Sayup-sayup suara Puan Jasmin menjamah hujung telinga. Sangat bersemangat dan teruja. Orked yang mendengar terasa semakin kerdil. Ya Tuhan! Apa yang aku dah buat? Benarlah kata orang….
            Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Dan dalam kesnya, terlajak kata…kahwinlah jawabnya. Oh, padan muka kau, Orked Imani! Siapa suruh tak fikir dulu sebelum bercakap?!
*****
TERBAHAK-BAHAK Syamil menghambur tawa, siap dengan adegan tergolek-golek atas katil. Kejadian sebentar tadi antara dia dan ibu bapanya benar-benar menggeletek tangkai hati. Aduh, macam manalah mummy boleh buat kesilapan macam tu?
            “Alamak! Mummy silap bagi gambar. Itu gambar dia masa dia kecil dulu.”
            Itulah balasan mummy dengan muka merah padam kala Syamil mengunjukkan foto seorang budak perempuan berumur kira-kira sembilan tahun yang tergenggam dalam tangan.
            “Nah, ini gambar terbarunya.”
            Syamil menghentikan tawa. Sambil berbaring di atas katil, dia kembali menelek gambar sebenar yang diserahkan oleh mummy.
            “Nampaknya, awak memang tak boleh lari daripada saya…” Sedikit-sedikit bibirnya bergerak lalu membentuk senyum. “Miss Sweetheart.”
*****
            ‘I’m on my way to the airport. Ada business trip. Will be gone for two weeks.’
            ‘Kenapa? Orked ada apa-apa ke? Everything’s okay, right?’

PESANAN whatsapp dari Amril dibaca satu persatu. Sekejap Orked berjalan ke kiri, dan kemudian ke kanan. Berulang alik seperti hatinya yang berbelah bahagi. Patut? Tidak patut? Patut? Tidak patut?
            “Arghhh!! Pening kepala aku!” Separuh kuat Orked menempik. Ditahan-tahan suaranya, walhal ingin sekali dia melaung sekuat-kuatnya ala-ala membuat sesi lontaran suara yang pernah dia praktik waktu berada di dalam kumpulan koir sekolah dahulu.
            Selesai jalan ke hulu ke hilir, Orked melabuhkan punggung ke atas birai katil. Sekali lagi dia menatap pesanan whatsapp di tangan. Dan buat kesekian kalinya dia berada di persimpangan. Antara memberitahu Amril tentang berita pertunangannya atau pun tidak. Benaknya mula membayangkan sekeping kertas dengan satu kotak jadual yang terbahagi dua. Tajuk utama: Pro and cons jika memberitahu Amril.
           
            Lajur 1: Pro
1)      Abang Am boleh halang?
2)      Abang Am boleh jadi penyelamat?
3)      Abang Am jadi pengganti?

            Oh, semestinya pro nombor satu hingga tiga punya tanda soal di belakang sebab…dia sendiri tidak pasti sama ada itu akan berlaku. Ya, dia tertanya-tanya. Dan lagi satu, kau ingat kau tengah berlakon cerita Hindustan ke Cik Orked? Hero come to the rescue kekdahnya? Ceh, berangan! Lagipun…
            ‘Sedar diri sikit! Antara kau dan Abang Am dah tak ada apa-apa. Kenapa pula dia nak selamatkan kau?’

            Lajur 2: Cons
1                1)      Kena bertunang dengan orang asing
2                2)      Kena kahwin dengan orang asing
3                3)      Kena bersama dengan orang asing

            Orang asing? Oh, yes! Itu memang perkataan paling menyeramkan. Cuba bayangkan terpaksa bertunang kemudian kahwin dengan manusia yang tidak dikenali. Selama ini orang yang dimaksudkan tidak pernah muncul dalam hidup, tup…tup jadi suami. Siang malam kena hadap muka dia. Kena buat macam-macam untuk dia. Kena serahkan tubuh…
            Gulp! Itu sangat menakutkan!
            “Nampak gayanya kau memang kena jadi tak tahu malu, Orked. So, yeah. Sila bagitahu Abang Am dan mintak tolong dia,” putus Orked akhirnya.
            Dengan lafaz bismillah, Orked menegakkan tubuh. Nafasnya ditarik dan dihembus beberapa kali. Kemudian dia menekan-nekan skrin telefon bimbit sebelum melekapkannya ke telinga.
            “Abang, please…angkat, please….”
            “The number you dial…”
            Gagal. Dia sudah gagal. Panggilannya tidak berjawab. Mungkin Amril sudah pun selamat berada di dalam perut kapal terbang, lalu meninggalkan dia yang tidak selamat. Tangan kanannya yang masih memegang telefon perlahan-lahan terkulai di sisi. Kepalanya mula menekur ke bawah. Ya, harapannya untuk menyelamatkan diri sendiri kini sudah pun punah sama sekali. Hancur lebur!
            “Orked Imani binti Roslan, bersiap-sedialah engkau untuk terima lelaki tu….” 

~Bersambung~

No comments:

Post a Comment