BAB 3
“SEPERTI yang semua sudah lihat dan
tahu, Megah Panji sekarang sudah memiliki saham terbesar Ariada Corporation. So basically, we own this company.”
Keras segala urat sendiku. Setiap
patah kata, perdebatan, bidasan atau apa-apa sahaja yang terpancul keluar dari
mulut ahli jawatankuasa lain dalam mesyuarat lembaga pengarah langsung tidak
aku ambil peduli. Yang aku tahu cuma satu. Dia. Dia yang bernama suami. Dia
yang bernama Amsyar. Wajah selambanya aku tenung bagaikan mahu membahamnya
hidup-hidup.
“Dan sekarang saya akan bertindak
sebagai proxy kepada Tan Sri
Abdullah, CEO Megah Panji. Apa-apa pun keputusan atau tindakan yang mahu
diambil oleh Ariada Corporation, perlu melalui saya terlebih dahulu.”
Tidak sekali pun Amsyar melarikan
anak mata daripada terus-terusan memandang aku. Daripada lagaknya, aku tahu dia
mahu mencabar. Dia mahu mengatakan bahawa dia sekarang sudah berjaya merampas
Ariada daripada papa. Dia sudah pun merampas syarikat kesayangan papa di
hadapan mata aku sendiri. Amsyar tidak perlu bersusah payah masuk ke dalam
syarikat dan membunuh dari dalam. Sebaliknya dia bekerjasama dengan Megah
Panji, sekutu perniagaan papa sejak berzaman lama. Aku tahu, keupayaan Amsyar
dalam menganalisa ekonomi dan kewangan yang membolehkan Tan Sri Abdullah
menyusup masuk.
Arghh!! Semua ini salah aku. Aku
sebagai pengarah pengurusan dan wakil papa sewaktu ketiadaan papa sepatutnya
lebih berhati-hati. Langsung aku tidak dapat meneka apa-apa kala syer syarikat
dijual-beli. Fikirku, itu cuma transaksi biasa. Rupa-rupanya, itu semua adalah
kerja bawah tanah Megah Panji yang membentuk syarikat atas angin untuk
mendapatkan saham syarikat.
Aku juga terlalu memikirkan soal
rumah tanggan hingga mengabaikan urusan syarikat. Apa yang ada dalam akal
fikiranku cuma Amsyar, Amsyar dan Amsyar. Sekarang apa sudah jadi? Amsyar yang
sama ini sudah pun mendapat apa yang dia mahu!
“Sekian, terima kasih.”
Seusai mengucapkan terima kasih,
Amsyar bangkit dari duduknya. Aku membuat perkara yang sama. Beberapa orang
ahli lembaga pengarah yang cuba menahan dan memohon penjelasan daripadaku,
tidak langsung aku pedulikan. Semuanya ditolak ke tepi sahaja, sebaliknya
kakiku laju membuntuti setiap derap langkah Amsyar.
“Amsyar!”
Dia mematikan langkah ke lantai. Aku
berlari-lari anak dan menarik bahunya agar menghadap. Kepalaku dipanggung
tinggi. Terasa berapi anak mataku saat ini. Dadaku berombak laju menampung
desah nafas yang laju.
“Ini ke yang kau maksudkan?”
Amsyar menjongket bahu. Wajah
sinisnya terpampang di segenap muka.
“Apa?”
“Ayah kesayangan kau akan mula faham
maksud kehilangan.” Aku mengulangi kata-kata Amsyar beberapa malam yang lepas.
Tangan kanan Amsyar naik dan mengusap
kepalaku. Mukanya ditunduk sedikit agar elok-elok berada di sebelah pipi.
“Pandai pun isteri aku yang seorang
ni.”
Berdesing telingaku. Dengan cukup
kasar aku menepis tangannya.
“Kau fikir aku akan biarkan saja?
Kau fikir aku takkan buat apa-apa untuk dapatkan balik hak kami?”
Amsyar menghambur tawa sinis. “Hak?
Jangan senang-senang menyebut tentang hak, kalau kau tak tahu apa itu hak.”
Aku mengetap bibir dan merenungnya
tajam. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku memekik-mekik memarahi lelaki ini.
Tetapi aku masih punya air muka yang harus dijaga. Aku tidak akan
sewenang-wenangnya membiarkan orang lain melihat aku hilang kawalan.
Lebih-lebih lagi di hadapan Amsyar.
“Jannah…Jannah, apa kata kau diam
saja? Dan terima apa yang berlaku. Semua orang kat sini tahu yang aku ni…”
Amsyar mendabik dada dengan gaya angkuh. “Adalah suami kau. Dia orang akan
anggap yang kau memang dah berpakat dengan aku. So anggap saja ini adalah joint
venture antara Ariada dan Megah Panji. It’s
a win-win situation.”
“Win-win
situation kepala otak kau! Tan Sri Abdullah tu, dari dulu lagi mahukan
Ariada. Dia nak monopoli dunia hartanah Malaysia.” Kasar sekali aku membentak.
Hilang sudah kelembutan yang selama ini menjadi imejku.
Lagi Amsyar ketawa besar,
seolah-olah baru sahaja mendengar lawak yang paling kelakar.
“Alahai, isteriku sayang. Kenapalah
kasar sangat bercakap ni?” Tangan kanan Amsyar melekat di pinggang.
“Lepaslah!” marahku di sebalik gigi
yang terkacip-kacip. Ekor mataku melihat-lihat orang-orang sekeliling yang mula
memandang.
“Mana boleh aku lepaskan? Aku nak
tengok muka marah kau dengan lebih dekat.”
Kepalaku terlangut terus ke mukanya.
Renunganku tajam berdesis.
“Great!
Inilah muka yang aku nak tengok. Baru puas hati aku,” tutur Amsyar dengan muka
yang cukup jelik.
Nafasku
berdengus kuat. Berang! Manusia yang seorang ini memang…memang…arghh!!!
Aku
akhirnya hanya mampu menjerit dalam hati.
“Amsyar!!!”
Terlepas
dengusan kecil dari mulut Amsyar. Pelukannya dilepaskan. Perhatiannya pula
terkalih pada sang pemilik suara. Aku turut mengambil tindakan yang serupa.
Pandangan mata terpaku pada seorang gadis yang meliuk-lentuk berjalan ke arah
kami.
Khayla. Itulah namanya. Teman
sekerja Amsyar. Sejak dari awal lagi, aku sangat tidak berkenan dengan
perempuan ini. Apa tidaknya, sewaktu aku dan Amsyar bercinta dahulu, dia selalu
sahaja menyibuk sama. Kata Amsyar, Khayla tidak punya apa-apa niat. Tetapi aku
seorang wanita. Mata dan firasat wanitaku tidak berbohong kalau aku merasakan
bahawa Khyala mengharapkan sesuatu yang lebih daripada Amsyar.
Dan kini wanita gedik ini sedang
elok memegang lengan suamiku.
“Apa you buat kat sini?” tanya Amsyar. Hujung matanya terkerling-kerling
padaku. Sebelah tangan cuba menepis tangan Khayla.
Sebu. Sebal. Hampir muntah aku
melihat segala adegan di hadapan mata. Huh, tak perlulah kau berlakon, Amsyar.
Tak perlu mencuba untuk menolak-nolak tangan itu.
“I
just want to congratulate you. You kan dah one step closer to your agenda.” Dengan lagak manja, Khayla
menjawab. Matanya tidak lepas daripada memandangku. Nampak sangat mahu
memprovokasi. Atau lebih tepat lagi, Khayla tahu tentang rahsia di sebalik
perkahwinan kami!
Aku mengalih mata ke muka Amsyar.
“She
knows everything, right?” Bergetar suaraku saat menyoal.
“Ana, aku…”
Pantas aku mengangkat telapak
tangan. Tidak mahu mendengar. Tubuhku dipusing mahu meninggalkan dua orang
malaun yang seronok mempermain dan mentertawakan aku. Namun pergelangan
tanganku terlebih dahulu ditaut. Aku menoleh separuh. Amsyar sedang cuba
berkata-kata. Lengannya tidak lagi berada dalam genggaman Khayla. Wanita itu
kelihatan merungut-rungut sendiri.
“Apa kau nak?”
“Bukan…bukan semua yang dia tahu.”
Terbentang senyum herot di bibirku.
Meluat sungguh melihat Amsyar cuba menjelaskan apa yang sudah terang lagi
bersuluh.
“Bukan semua? Habis tu, apa yang dia
tak tahu? Bahagian kau paksa aku? Bahagian kau ragut harga diri aku sesuka hati
kau? Bahagian tu?” Aku menembak Amsyar dengan persoalan demi persoalan. Suaraku
tertahan-tahan, antara mahu meledakkan semuanya kuat-kuat dan menyembunyikan
rahsia rumah tangga.
Pantas Amsyar menarik tubuhku lebih
rapat. Aku tersembam dekat dengannya. Urat tegang dapat kulihat dengan jelas di
muka lelaki itu. Menyinga!
“Kalau kau bangga sangat dengan apa
yang dah jadi sekali pun, tak perlulah kau hebohkan pada semua.”
“Kenapa? Kau tak nak orang tengok
kau sebagai perogol? Macam tu?” bidasku berani. Ah, saat ini aku sudah tidak
mampu berfikir apa-apa lagi. Yang aku tahu cuma betapa bencinya aku pada Amsyar
dan Khayla.
“In
case kau dah lupa, aku suami kau.”
Aku tersenyum sinis.
“Yeah, right. Suami
dayus yang cuma dapatkan isteri dengan cara paksa.”
“Kau…”
Cengkaman
Amsyar semakin mencucuk-cucuk bahu. Aku menyeringai dalam diam. Renungan
matanya yang tajam dibalas tanpa rasa gentar. Kau tersilap langkah, Amsyar,
kalau kau fikir begitu mudah untuk memijak-mijak aku!
“Amsyar,
sudahlah tu. Orang dah tengok. Jom pergi. Jangan pedulikan orang gila ni.”
Suara
nyaring Khayla memecah ketegangan. Sedar-sedar sahaja dia sudah pun terpacak di
sisi Amsyar. Masih dengan lagak angkuh yang sama.
Amsyar
merengus kuat. Separuh kasar dia melepaskan tangan dan menolak aku sedikit ke
belakang.
“Jom
pergi, Khayla.”
Lalu
dengan bicara pendek itu, dia menapak pergi. Tanganku terkepal kuat dalam usaha
menayangkan muka bersahaja. Tidak sekali pun aku membiarkan bahu yang tegak
jatuh ke bawah. Walaupun pada hakikatnya aku lemah, tetapi aku tetap mahu
berlakon kuat. Nurul Jannah Dato’ Johari adalah orang yang kuat. Dan dia akan
kekal begitu.
*****
“APA SEMUA NI?!”
“Papa, Ana…”
“Papa biarkan Ana uruskan Ariada
bukan untuk jatuh ke tangan orang lain. Lebih-lebih lagi Tan Sri Abdullah!”
Kuat sekali suara papa menengking di hujung talian. Dahi dan telapak tanganku
terasa berpeluh.
“Ya, papa. Ana…Ana tahu. Ana akan…”
“Akan apa? Apa lagi yang Ana mampu
buat? Cuba dapatkan saham-saham lain? For
God’s sake, Nurul Jannah. Dia dah jadi pemegang saham terbesar! Kita bukan
lagi pemilik Ariada. Huh, you’re such a
disappointment.”
Berkaca-kaca mataku mendengarkan
kata-kata terakhir papa. Hatiku terasa pilu. Tetapi untuk aku menidakkan
semuanya, aku tidak mampu. Bagaimana mungkin aku berbuat demikian sedangkan
hakikatnya, aku memang sudah pun mengecewakan papa.
“Ana…Ana minta maaf, papa. I’m so sorry.” Akhirnya sekadar itu
sahaja yang termampu aku titipkan. Maaf yang tiada penghujung.
“Huh, maaf tak ada gunanya. Apa yang
papa nak sekarang, Ana kena cuba pulihkan keadaan. Tak kira apa yang Ana cuba
buat, papa mahu semuanya selesai. Faham?”
Aku mengangguk-anggukkan kepala. “Faham,
pa.”
Klik!
Aku menjauhkan telefon bimbit dari
telinga. Seakan-akan terbayang wajah marah dan kecewa papa. Pasti papa berasa
sangat sedih atas apa yang sudah berlaku. Bertahun-tahun lamanya papa membina
empayar Ariada, tetapi hanya dalam sesaat sahaja aku memusnahkan
segala-galanya. Iya, saat aku jatuh cinta kepada Amsyar dan menjerumuskan diri
ke dalam sebuah permainan dendam yang menyebalkan.
“Ayah kau?”
Mataku dikedip sekali, menghalang
mutiara jernih yang menanti saat untuk gugur. Kemudian lewat ekor mata, aku melirik
ke arah tubuh tegap Amsyar yang tercegat di hadapan pintu bilik bacaan.
“Apa dia cakap?”
Aku berpaling, menyilang tangan ke
dada dan menyandarkan tubuh ke meja kerja.
“Soalan
jenis apa yang kau tanya ni? Kau fikir papa akan cakap congrats pada aku? Selepas aku jahanamkan perniagaan yang dia bina
selama ni?”
“Correction. Itu bukan
pernigaan yang dia bina.”
“Habis tu, siapa? Toyol?”
Amsyar senyum herot. Setapak demi
setapak dia merapati dan akhirnya terpacak betul-betul di hadapanku. Kedua-dua
belah tangannya dilekapkan ke sebelah kiri dan kananku, lalu memerangkap aku
dengan tubuhnya.
“Kau memang kasihan, kan? Tak tahu
apa-apa.” Antara dengar tak dengar, Amsyar berbisik. Seperti biasa, nada
suaranya mendatar tanpa emosi.
“Then, tell me.
Bagitahu aku! Aku rasa aku ada hak untuk tahu sebab musabab kepada semua ini.
Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa kau berdendam sangat pada papa?!”
“Kenapa
pula aku yang kena bagitahu? Kenapa kau tak tanya pada ayah kesayangan kau tu?”
“Aku…”
Suaraku tenggalam sendiri. Lidahku tiba-tiba kelu.
“Sebab
kau tak sanggup dengar jawapannya? Sebab kau takut kalau kau tahu hal sebenar,
kau akan sedar yang aku tak salah? Yang aku berhak untuk buat apa yang aku dah
buat ke atas kau? Yang kau memang patut balas balik atas apa yang sudah
berlaku? Macam tu?!”
Aku
membungkam terus. Bait bicara itu, aku akui dalam diam. Ah, Amsyar…sejak dari
dulu lagi, lelaki ini mampu membaca setiap gerak geriku. Apa yang aku fikirkan
dan apa yang aku rasakan. Di hadapan dia, aku tidak ubah seperti sebuah buku
yang terbuka luas.
“Jadi
sebab itu, kau akan hadapi semua ini tanpa tahu apa-apa. Biar kau balas
semuanya dalam buta.”
“Sampai
bila?” Ada rasa luluh yang terselit dalam nada suaraku.
“Sampai
aku puas hati.”
“Bila
pula masanya kau akan puas hati?”
“Aku…”
Amsyar menghentikan kata di sekerat jalan. Di mataku saat ini, dia tampak
bingung sendiri.
“Kau tak
ada jawapan, kan? Sebab hati kau dah terlalu biasa dengan kebencian, dah
terlalu selesa dengan dendam,” putusku sendiri. Dadanya kutolak ke belakang
agar memberi ruang untuk aku bebas bergerak. Tidak tegar berlama-lamaan
menghadap muka suami yang mahu berperang ini.
“Kau tak
layak untuk judge aku.”
Sekonyong-konyong
suaranya bergema lagi. Kaki yang baru setapak mengorak langkah kembali pegun. Tubuhku
kaku membelakangi dia.
“Walau
macam mana sekali pun cara aku hidup, walau apa pun yang ada dalam hati aku,
kau adalah manusia yang paling tak layak untuk cakap apa-apa.”
“Dan
sememangnya walau apa pun aku cakap, kau takkan dengar dan takkan pernah mahu
dengar. Kau dah tulikan telinga dan butakan mata kau.” Pedas sekali jawapan
yang aku tuturkan. Aku sedar dia akan marah, tetapi aku sudah tidak peduli
lagi. Biarkan sahaja!
Atau…mungkin
juga aku patut peduli. Kerana kini aku sedang elok menghadap muka garangnya.
Tadi, seperti kilat dia muncul di hadapan dan menghadang muka pintu. Punat
tombol ditekan sekali, menandakan betapa aku terperangkap di sini. Bersama sang
naga yang menanti saat untuk menghambur amukan.
‘Tolol,
kau memang tolol, Jannah! Kenapa mahu simbah minyak pada api?’ Sempat aku
mengutuk diri sendiri. Air liur sudah pun aku telan berkali-kali. Seram.
“Kau
memang betul. Aku memang tuli. Dan aku memang buta.”
Amsyar
mengambil langkah setapak ke hadapan. Setapak juga aku mengundur ke belakang.
“Aku
tuli pada jeritan kau. Dan aku buta melihat kesakitan kau.”
Sepasang
mata Amsyar memerah garang, bagaikan terasuk oleh satu entiti ghaib. Kali ini,
dia kelihatan lebih menakutkan berbanding malam pertama yang jahanam itu. Segenap
tubuhku menggeletar kuat. Dadaku berombak laju.
“Kau…kau
jangan cuba buat apa-apa…”
Mataku
melilau ke kiri kanan, melihat kalau-kalau ada jalan untuk lepas lari. Tetapi
apa yang aku nampak cuma rak-rak buku yang meninggi. Tiada walau sedikit pun
ruang untuk bebas. Rasa cuak, seriau dan takut yang bercampur-baur semakin
menjadi-menjadi. Peluh merenik-renik membasahi dahi, walhal penghawa dingin
sudah pun terpasang.
“Mana
kau mahu lari, Jannah?”
Aku
tidak mempedulikan suara sinis itu, sebaliknya aku terus-terusan mengundur dan
mengundur hingga…aku sudah tidak punya tempat untuk berundur. Belakangku selamat
tersandar pada sebuah rak buku.
“Kau
jangan buat apa-apa, Amsyar. Tolong hormat tempat ni. Ini bilik bacaan.” Dalam
gentar, aku cuba berdiplomasi. Aku tahu betapa Amsyar sayangkan bilik
bacaannya. Jadi mungkin dia tidak akan berbuat yang bukan-bukan di sini.
“Jadi
mungkin aku patut baca setiap inci tubuh kau di sini.”
Air
mukaku terasa berubah. Makin tidak berdarah jadinya. Pucat lesi.
“Kau…kau
jangan…”
“Jangan
apa? Huh?” Bibir Amsyar senyum menyenget. Sebiji butang bajunya sudah pun
dibuka. Beberapa langkah lagi, dia akan tiba di hadapanku.
‘Tidak!
Aku tidak sanggup! Bukan di sini, bukan di tempat cerah begini,’ tempik suara
hatiku kuat-kuat. Terasa betapa murahnya maruah aku kalau diperlakukan begitu
di tempat seperti ini, dengan bersaksikan buku-buku yang selama ini
menghadiahkan ilmu kepadaku dan Amsyar. Tidak, buku-buku ini terlalu suci untuk
dilemparkan dengan penghinaan yang sebegini.
Tanpa
berfikir lagi, aku menyerbu ke hadapan. Tubuh kekar Amsyar dirempuh kuat.
Mungkin kerana tidak menebak tindakanku, Amsyar hilang imbangan dan sedikit
tertolak ke tepi. Pantas aku mengambil peluang dan berlari ke arah pintu.
Namun…
“Arghhh!!!”
Tubuhku terasa diangkat ke atas bahu dan dibanting. Sekelip mata sahaja, aku
sudah pun elok terbaring di atas meja. Barang-barang yang sebelum ini menjadi
penghuni meja telah pun berterabur di atas lantai.
“Siang
tadi, kau cakap aku ni lelaki dayus. Lepas tu kau cakap aku ni tuli dan buta.
Kau memang betul-betul suka mencabar aku, kan?”
Mataku
terbeliak besar melihat wajahnya yang semakin mendekat. Cepat-cepat aku
mengangkat tangan dan menolak-nolak muka itu.
“No, Amsyar!
Jangan!!!” jeritku kuat sambil meronta-ronta. Tangan yang sebelum ini dijadikan
pelindung sudah pun selamat berada dalam cengkamannya. Mukanya berkali-kali
mendarat ke leher. Dan setiap kali itu jugalah, aku memejam mata penuh rasa
hina. Namun tidak sedikit pun aku mengalah dalam melepaskan diri. Raungan demi
raungan aku lontarkan. Rontaan demi rontaan aku kerjakan.
“Kau
jangan bising, boleh tak?!” Amsyar mengangkat muka dan menjerkah kuat.
Aku
terkedu. Pejam celik, pejam celik mataku melihat wajah suami yang dekat benar.
Nafasnya berdengus-dengus marah.
“Tolong,
Amsyar. Bukan…bukan di sini.” Aku mengambil peluang untuk merayu. Pandangan
sayu dan penuh air mata cuba aku talakan padanya, memohon simpati. Manalah tahu
mungkin masih ada terselit perasaan dalam hatinya yang kontang itu.
Seketika
suasana jadi hening. Amsyar tidak bersuara sepatah pun. Dia hanya merenung dan
merenung. Aku juga begitu. Malahan aku langsung tidak bergerak. Sejujurnya, aku
takut untuk berbuat apa-apa. Amsyar sudah menghentikan tindakan rakusnya, dan
aku mahu ianya kekal begitu. Biar tiada lagi kekerasan seperti tadi. Biar tiada
lagi paksaan kejam.
Tidak
semena-mena, Amsyar mengusap rambutku. Bukan dengan cara kasar, tetapi dengan
suatu kelembutan yang sukar untuk aku tafsirkan. Jari jemarinya kemudian
beralih pula ke pipi. Dibelai dengan lagak penuh hati-hati. Bahkan, dia
mengesat air mata yang jatuh. Spontan aku mengerunyutkan dahi. Pelik! Apa pula
yang dah jadi sekarang?
Bagaikan
perasan akan reaksiku, Amsyar mematikan tindakan anehnya itu. Rengusan kuat
diluahkan sebelum dia akhirnya melepaskan aku. Tubuhnya diangkat menjauhi,
lantas cepat-cepat aku melongsor turun dari meja. Baju yang separuh terdedah
ditarik agar kembali menutupi bahu dan dada. Rambut yang kusut masai juga aku
kemas-kemaskan. Sesekali aku melirikkan mata ke arah Amsyar yang hanya
memerhati. Mahu berjaga-jaga kalau-kalau dia akan menerkam lagi.
“Go.”
Berdesup aku lari saat arahan pendek
itu menyapa hujung telinga. Biasan sugul yang tiba-tiba terselit di muka Amsyar
dibuat-buat tidak nampak. Ah, aku cuma tersilap lihat.
~Bersambung dalam kompilasi mininovel Cereka Cinta...~
Akak sara,npe x nk buat mininovel ni jdi novel..mcm IANM tu...saya nk bca sgt...kalau akak buat mmg saya nk beli..harap dipertimbangkn lh kak
ReplyDeleteAkak sara,npe x nk buat mininovel ni jdi novel..mcm IANM tu...saya nk bca sgt...kalau akak buat mmg saya nk beli..harap dipertimbangkn lh kak
ReplyDeleteada plan, dik. insyaAllah next year keluar. =)
Delete