November 7, 2014

[Mini Novel Edisi Terhad] I'm Not A Monster - Bab 2


BAB 2

SEKEJAP ke kiri, sekejap ke kanan. Berkali-kali Maya memusing letak tubuhnya di atas katil. Langsung dia tidak boleh melelapkan mata. Segala bait bicara yang dituturkan oleh Ryu seketika lalu berdengung di celah-celah telinga. Sesekali raut wajah keruh lelaki itu terselit sama. Bermain-main dalam kotak memori.
            Krik...
            Bunyi pintu bilik yang dibuka dari luar menampar telinga lantas membuatkan tubuh Maya mengeras. Mata dikatup ketat-ketat. Jantung mula berdegup kencang. Dari kejauhan, dia dapat mendengar dengan jelas derap kaki yang semakin lama semakin mendekat. Kemudian terasa katilnya sedikit bergoyang, menampung berat tubuh yang tiba-tiba melabuh di birai. Maya menanti sahaja apa-apa yang bakal berlaku seterusnya. Namun suasana hanya hening. Tiada walau satu bunyi. Tiada walau satu gerak laku. Tiada apa-apa!
            “Aku...”
            Dan tiba-tiba lelaki itu bersuara.
            “Bunuh seseorang. Hari ini.”
            Nada suara Ryu kedengaran lirih sekali. Ada getar yang berselirat dengan setiap patah kata yang terpantul keluar.
            “Aku dah jadi seperti mereka. Kotor. Tangan aku ada darah, Maya.”
            Sebu. Segenap dada Maya mula terasa sebu. Akan tetapi dia tetap mengeraskan badan dan berpura-pura tidur. Atau lebih tepat lagi, dia pura-pura tidak mendengar. Ya, dia seorang yang pekak. Jadi mana mungkin seorang yang pekak mampu mendengar, bukan?
            “Aku dah hilang secebis jiwa aku. Aku bukan lagi manusia. I’ve become...” Suara Ryu tenggelam timbul dalam emosi yang semakin membelenggu diri. “A monster.”
            Terasa mata Maya semakin panas. Bila-bila masa sahaja lagi kolam matanya akan tumpah. Lalu cepat-cepat Maya menggerakkan lengan ke atas muka, separuh menutupi. Konon-konon dia sedang membetulkan cara tidur. Seboleh-bolehnya dia cuba menahan rasa perit yang mencucuk-cucuk jantung. Ya, mendengar betapa luluhnya Ryu, membuatkan dia juga terasa sakitnya. Dia mahu memujuk lelaki itu. Dia mahu menenangkannya.
            “You’re not a monster, Ryu.”
            Dan dia mahu mengucapkan kata-kata itu. Sekelipan, secalit rasa sesal menyusup masuk. Kalaulah dia tidak berlakon bisu dan pekak, pasti-pasti sahaja dia boleh mengurangkan beban yang dihadapi oleh Ryu sekarang. Pasti Ryu akan berasa lebih elok. Pasti Ryu takkan terseksa sendiri.
            “Aku bodoh, kan Maya? Aku fikir kalau aku tak cabut nyawa orang lain, aku akan jadi berbeza dengan mereka semua. Aku takkan sekotor syaitan. Tapi aku lupa. Aku tetap Red Dragon. Membelasah, membunuh, mengedar dadah, melacurkan perempuan...itu semua kerja aku!”
            ‘Tak! Itu bukan kerja kau. Ryu bukan macam tu.’ Dalam diam, Maya membalas.
            Sekonyong-konyong Ryu ketawa. Kedengaran sangat palsu di telinga Maya.
            “Aku memang hidup dalam angan-angan, kan? Aku berharap akan ada cara keluar dari jalan ini, sedangkan dari awal lagi aku tahu. Ya, aku tahu, Maya. Tak mungkin aku boleh berhenti dari terus jadi Red Dragon. Zackary Ho takkan biarkan. It’s either I kill or be killed. Itulah kehidupan aku sampai bila-bila. Macam malam tadi. Macam waktu aku bunuh Hector.”
            Nama yang baru sahaja disebut oleh Ryu membuatkan Maya terkejut besar. Hector? Manusia yang telah dibunuh oleh Ryu adalah Hector? Hector...ketua Red Dragon yang digeruni itu? Tapi, kenapa?
            “Dua tangan ni...dua tangan ni yang cabut nyawa Hector, Maya. Aku dah jadi pembunuh.”
            Perlahan-lahan Maya mengalihkan tangan yang sedia menutupi separuh muka tadi dan membuka matanya sedikit. Dalam samar-samar cahaya lampu tidur, dia dapat melihat dengan jelas Ryu yang sedang memerhati kedua-dua belah tangan yang jelas terketar-ketar. Kepala lelaki itu tunduk ke bawah. Bahu yang selama ini tegak turut sama jatuh. Di mata Maya, Ryu saat ini tidak seperti Ryu yang biasa. Lelaki di sisinya sekarang adalah seorang lelaki yang dalam ketakutan. Lemah sekali!
            Perasaan Maya tambah berkecamuk. Ingin sekali dia melaung dan melemparkan segala kepalsuan yang menyelubunginya selama dua tahun ini. Dia mahu menuturkan kata-kata pujukan, dia mahu mengatakan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja, dia mahu Ryu mendengar suaranya!
            Namun akal fikirannya menegah sama sekali. Dia tidak boleh membiarkan Ryu tahu akan kebenaran tentang siapa dirinya yang sebenar dan kerana apa dia tidak pernah cuba untuk melarikan diri daripada lelaki itu. Ya, dia tidak boleh membiarkan Ryu tahu bahawa Maya bukanlah Maya. 
            Sedikit demi sedikit Maya kembali mengatup mata. Bibirnya diketap kuat mengekang rasukan emosi yang semakin membuak-buak. Walau sakit sekali pun, dia tetap tidak boleh membiarkan perasaannya membocorkan lakonan yang selama ini dimainkan. Ryu yang masih duduk di sisi cuba untuk tidak dipedulikan. Telinga yang sejujurnya normal cuba untuk dipekakkan.
            “Kau mesti akan tambah bencikan aku, kan? Kau kan bencikan darah. Kau benci bila aku berlawan dengan orang. Kau benci bila aku belasah orang. Kau benci bila aku ugut orang. Jadi mesti kebencian kau bertambah sebab aku dah jadi pembunuh.”
            Tidak!!! Ingin sekali Maya menempik kuat dan mengatakan ‘tidak’. Dia tidak membenci Ryu. Tidak pernah pun. Dan dia yakin bahawa walau apa pun yang telah dilakukan oleh Ryu, dia tidak akan mampu untuk membenci.
“Huh, aku dah gila agaknya. Bercakap seorang-seorang.”
            Ketawa sinis Ryu menampar gegendang telinga Maya. Terasa tubuh Ryu yang telah diangkat dari birai katil. Dan kemudian...
            “Sleep well, Maya. Sleep and forget this cruel world.”
            Seiring dengan tutur kata Ryu, Maya dapat merasakan rambutnya yang diusap lembut. Seketika kemudian, bunyi pintu bilik yang dibuka dan ditutup memecah kesunyian malam. Lalu perlahan-lahan, Maya membuka matanya kembali.
            “How can I sleep, Ryu? When you’re in so much pain...”
*****
“KAKAK IPAR!”
            Dari kejauhan, telinga Maya dapat menangkap panggilan itu dengan jelas. Namun dia buat-buat tidak mendengar.
            “Isy, aku ni pun satu. Macam mana boleh lupa? Dia ni mana boleh mendengar.” Si pemilik suara mula mengomel sendiri. Maya tersenyum halus.
            “Maya!”
            Bahu Maya ditepuk kasar. Maya buat-buat terkejut dan berpaling. Matanya sengaja dijegilkan besar-besar. Wajah di hadapannya menyengih lebar dan menggaru kepala yang tidak gatal.
            “Sorry, tak sengaja.”
            Maya memuncungkan mulut, konon-konon merajuk. Kemudian dia kembali mengelap kabinet. Muncul satu kepala di sisinya. Bahunya pula dicuit-cuit.
            “Kau janganlah merajuk macam tu. Buruk!”
            Lagi Maya membeliakkan mata.
            “Okey-okey, aku tak cakap apa-apa dah.” Kedua-dua belah tangan sudah terangkat ke atas sambil matanya meliar-liar ke sekeliling. “Mana buku nota?”
            Maya mengeluh sekali dan melepaskan kain pengelap. Dibiarkan sahaja tersadai di atas kabinet. Tangannya diseluk ke dalam poket apron. Sebatang pen turut dikeluarkan sebelum dia akhirnya mencoret sesuatu ke atas muka surat yang kosong.

            Apa yang kau buat kat sini? Ryu tak ada. Dia belum balik.

            “Aku tahu. Dia ada hal kena uruskan.”
           
 Jadi?

“Aku saja datang nak jumpa kakak ipar kesayangan,” balas si lelaki dengan sengih kambingnya. Maya menjuihkan bibir.

            Kakak iparlah sangat!

            “Eh, betullah. Ryu tu aku dah anggap macam abang sendiri. Maya dengan Abang Ryu. Jadi secara automatik, kau jadi kakak ipar aku.”
            Maya mengulum senyum tawar. Dijeling sahaja pada Kosuke, satu-satunya manusia lain yang tahu akan kewujudannya di rumah ini. Kosuke selalu begini. Gemar mengatakan bahawa ada sesuatu antara dia dan Ryu. Padahal antara mereka berdua, tiada apa-apa. Kalau pun benar ada terselit suatu perasaan yang istimewa buat lelaki itu, Maya sedar akan hakikat yang satu lagi. Ya, hakikatnya mereka cuma ada di sini kerana dia adalah orang tahanan Ryu. Hanya kerana itu!
            “Lagipun, sepanjang aku kenal Ryu, mana pernah ada perempuan dalam hidup dia. Padahal ramai aje perempuan yang nakkan dia. Dan kalau kau nak tahu, kau adalah perempuan pertama yang Ryu layan dengan elok. Kalau tak...huh, jangan haraplah! Dia tu beku. Tak pandang perempuan.”
            Layan dengan baik? Maya mula teringatkan segala kenangan antara dia dan Ryu. Baikkah layanan Ryu terhadapnya? Ya, Ryu memang cakapnya keras. Renungannya tajam membunuh. Kata-katanya tidak boleh langsung dibangkang. Tetapi Ryu tidak pernah mengapa-apakan dia. Fikir Maya dahulu, Ryu berbuat demikian kerana Maya sendiri mendengar kata orangnya. Tidak pernah membantah dan memberontak. Namun saat dia semakin mengenali lelaki tersebut, Maya tahu itu adalah siapa Ryu. Beku, keras dan kasar tetpi tidak akan sesekali mengapa-apakan wanita. Di sebalik wajah keras itu, ada kelembutan yang tersembunyi.
            “Okeylah, sebenarnya aku datang sini sebab nak bagi ini.” Kosuke menghulurkan satu bungkusan plastik.
            Berkerut tebal dahi Maya, namun tangannya laju sahaja menyambut. Diselak sedikit plastik tersebut, lantas menampakkan isinya. Sehelai dres berwarna biru lembut.
            “Ryu tertinggal semalam. Nasib baik aku yang jumpa. Kalau orang lain, bising jadinya.”
            Maya kembali mengambil buku nota dan mencatit sesuatu.

Apa ni?

            “Lar, tanya pula. Dreslah. Apa lagi?”

            Untuk aku?

            “Kalau bukan untuk kau, untuk siapa lagi?” Sekonyong-konyong ada suara lain yang menyampuk. Tersembul wajah Ryu dari belakang Kosuke.
            “Ryu! Kurus semangat. Tiba-tiba aje muncul,” ucap Kosuke separuh menjerit. Ryu hanya tersenyum tipis sebelum menoleh sekilas pada Maya.
            “Ada nenek tua merayu minta aku belikan baju tu semalam. Jadi aku belilah. Kalau kau tak nak, tak apalah.” Dengan lagak selamba dan tidak peduli, Ryu menjawab.
            Cepat-cepat Maya menggenggam plastik di tangan, tidak mahu Ryu mengambil kembali pemberian tersebut.
            “Kau buat apa kat sini?” Ryu mengambil gelas dari atas meja, menuang air dan meneguk rakus.
            “Aku ada pesanan daripada big boss.”
            Tersentap kuat Maya mendengarkan perkataan ‘big boss’ yang baru sahaja diucapkan oleh Kosuke. Hujung matanya dikerling sedikit pada Ryu. Dia perasan akan riak wajah lelaki itu yang sudah pun berubah. Wajah yang sedia serius bertambah kerasnya.
            “Apa dia?”
            “Jumpa dia malam nanti. Dengar khabar, ada tugas untuk kau.”
            Ryu membungkam buat seketika. Gelas diletakkan kembali ke atas meja. Bawah bibirnya yang sedikit basah dikesat dengan belakang telapak tangan.
            “Okey, I’ll be there. Hmmm, ada apa-apa lagi ke?”
            Kepala Kosuke tergeleng sekali. “Tak ada. Kenapa? Kau nak halau aku ke?”
            “Aku ada hal dengan Maya.”
        Spontan muka Maya terngadah pada Ryu. Dahinya berlapis tebal. Agak kehairanan dan tertanya-tanya tentang hal yang dimaksudkan. Seingatnya Ryu tidak mengatakan apa-apa sewaktu meninggalkan rumah pagi tadi.
        “Wooooo....” Kosuke mula mengusik. Namun tidak mendapat sebarang balasan. Ryu masih tetap menayangkan muka tanpa perasaannya. Muka plastik!
*****
BAWAH bibir digigit kuat. Jari-jemari dikepal kemas. Kaki pula dikuis-kuis ke bawah. Kepalanya langsung tidak diangkat. Dadanya terasa berdebar, menunggu apa-apa yang mungkin terpancul keluar dari mulut lelaki di hadapannya.
            “Kau nampak...cantik.”
            Hujung telinganya mendengar pujian yang tercetus. Senyuman kecil tersimpul di birai bibir, namun Maya masih tetap berpura-pura tidak mendengar. Kepalanya setia menekur. Seketika kemudian, bunyi derap tapak kaki mula berkumandang. Sedikit-sedikit hingga akhirnya dia dapat melihat sepasang kasut hitam yang muncul dari bawah pandangan mata. Betul-betul berdiri di hadapan plumshoes yang tersarung di kakinya sendiri. Air liurnya ditelan sekali sebelum dia akhirnya memanggung muka. Terserlah di hadapannya wajah macho dan maskulin Ryu yang seperti selalu, serius tanpa senyum.
            “Jom.”
       Hanya sepatah kata itu yang dituturkan oleh Ryu sebelum dia akhirnya berpaling. Maya mengeluh perlahan dan membuntuti. Ryu selalu begini, tidak pernah mahu menanti langkahnya. Kalau mereka keluar bersama-sama, pasti dia akan berada di belakang, bukan di sisi. Namun Maya perasan bahawa Ryu selalu mengerling ke belakang, seolah-olah memerhatikannya lewat ekor mata. Mungkin mahu memastikan dia tidak lari. Atau mungkin juga, lelaki itu mahu...melindungi.
            Dalam hati, terselit rasa aneh dalam hati Maya. Tidak ada angin, tidak ada ribut, Ryu tiba-tiba sahaja mengajaknya keluar. Malahan, dia diarah agar memakai dres separa lutut yang dihadiahkan oleh Ryu tengah hari tadi. Sudahnya, dia tiba-tiba sahaja terpacak di hadapan lelaki tersebut dengan rupa yang tidak seperti selalu. Kalau biasanya, dia berpakaian ringkas dengan t-shirt dan jeans lusuh, rambut pendek yang serabai dan wajah pucat tanpa mekap, tetapi kali ini, dia manis dalam persalinan dres lembut dari kain chiffon, rambut yang dirapikan kemas serta sedikit sentuhan mekap. Semua ini mengingatkan dia pada dirinya yang dahulu. Sebelum dia terperangkap dalam dunia bawah tanah yang berselirat ini.
            “Kenapa kau ni lambat sangat jalan, hah?”
            Maya tersentak saat Ryu tiba-tiba sahaja menarik pergelangan tangannya agar berdiri seiring. Sesaat kemudian jari-jemarinya bertaut dengan jari-jemari kasar Ryu. Bebola matanya diangkat pada Ryu, mahu memohon pengertian. Namun Ryu hanya memandang tegak ke hadapan. Tanpa sedikit pun mengerling padanya.
*****
DARI kejauhan, gadis yang sedang mengambil potongan makanan jalanan untuk dicuba diperhatikan tanpa kelip. Wajah teruja jelas kelihatan di segenap wajah. Sekejap-kejap gadis itu tersenyum, sekejap-kejap tergelak dan kemudian terangguk-angguk. Namun tidak sekalipun, dia bertutur. Sekejapan, muncul rasa tidak enak dalam Ryu. Maya, gadis yang cukup manis. Tetapi sayang, tidak boleh bercakap dan mendengar. Jelas Maya, dia pekak dan bisu sejak dari kecil.
Mungkin keadaan itu yang membuatkan Ryu tidak pernah berkasar dengan Maya, walhal jika diikutkan hakikat sebenar, wanita itu adalah orang tahanannya. Dan yang lebih pelik, Ryu sanggup belajar bahasa isyarat demi memudahkan komunikasi mereka. Entahlah, dia juga tidak mengerti akan dirinya sendiri. Kenapa dia sanggup bersusah-payah demi Maya? Kenapa dia mahu menggembirakan gadis yang tidak diketahui asal-usulnya itu? Kenapa dia berada di sini, menyambut ulang tahun kedua pertemuan mereka? Padahal pertemuan aneh itu bukanlah sesuatu yang patut disambut!
            Lamunan Ryu terganggu saat lengannya digoncang perlahan. Muncul wajah menyengih Maya di hadapan mata. Entah bila gadis itu kembali padanya, dia juga tidak sedar. Sekeping tart telur yang sememangnya terkenal di Macau dihulur padanya. Perlahan Ryu menggelengkan kepala.
            “Erghh...” Maya merengek dalam bahasa bisunya. Bibirnya memuncung.
            Terlepas keluhan dari bibir Ryu sebelum dia akhirnya membuka mulut. Tanpa menunggu lama, Maya terus sahaja menyuap. Ryu mengunyah separuh dan menelannya.
            “Sedap?” Maya menyoal melalui isyarat.
            Ryu hanya mengangguk kecil. Matanya tidak lepas daripada wajah Maya yang berseri-seri. Lengannya ditarik dan dipeluk. Jari telunjuk Maya terangkat ke hadapan, ke arah jalanan yang penuh dengan orang ramai. Kebanyakannya adalah pelancong asing. Jalan-jalan kecil yang berdekatan dengan Largo de Senado ini memang terkenal. Sepanjang jalan sehingga ke arah Ruins of St. Paul’s, sebelah kiri dan kanannya terdiri daripada kedai-kedai makanan yang menjual tart telur portugis dan bak kut teh. Bangunannya pula cantik dan gah, dengan seni bina sejarah yang terjaga rapi sejak ratusan tahun.
            Bagi Ryu, dia mengakui keindahan bagi segala tinggalan lama yang menjadi pujaan pelancong asing ini. Namun dia tetap tidak dapat mengelak diri daripada berasa skeptikal terhadap imej yang terpampang dalam akal fikiran mereka. Benar, Macau memang gah. Tengok sahaja pada Grand Lisboa yang mempunyai kubah emas. Tetapi hakikatnya, penduduk Macau tidak kaya. Mereka tinggal di satu sudut Macau yang agak terpinggir. Kebanyakannya di dalam rumah flat yang sangat sempit. Yang selalu orang lihat di dalam kaca televisyen, cuma kehidupan segelintir manusia seperti Zachary Ho. Mewah, cukup mewah.
            Langkah kaki Maya diikut setapak demi setapak. Berjalan Maya, berjalanlah dia. Berhenti Maya, berhentilah dia. Untuk hari ini, segala kemahuan gadis itu dituruti. Dia mahu melihat Maya gembira, dia mahu menatap senyuman manis Maya. Kerana hanya senyuman itu yang mampu menenangkan hatinya. Yang mampu melekakan dia tentang dirinya yang baru.
Ya, Ryu ketua baru Red Dragon. Sudah hampir seminggu dia membunuh Hector dan mendapat gelaran baru ini, tetapi dia masih tidak dapat melupakan saat-saat di mana dia mencemarkan kedua-dua tangannya dengan darah. Dia terasa dirinya sangat kotor. Dia terasa seperti raksasa. A monster!
            Hanya saat dia bersama Maya, dia akan berasa normal. Maya bukanlah dari kalangan manusia yang punya kaitan dengan Red Dragon. Maya cuma gadis biasa yang tiba-tiba terperangkap dengannya. Tetapi Maya tidak pernah mengadili dirinya. Tidak pernah mengatakan dia jahat. Mungkin Maya hanya bersikap hati-hati dengannya agar tidak diapa-apakan, tetapi dia tidak peduli. Biarlah dia berfikir bahawa Maya menerima dia seadanya!
            “Kenapa kau tengok aku macam tu?” Dia melihat Maya menyoal tiba-tiba. Barulah dia tersedar bahawa sedari tadi dia tidak habis-habis merenung gadis itu. Ryu menguntum senyum tawar dan menggelengkan kepala.
            “Kau okey tak? Kita boleh balik kalau kau rasa tak sihat.”
            Lagi Ryu menggeleng. Hatinya sedikit berasa hangat. Maya adalah satu-satunya manusia yang akan menyoal sama ada dia okey atau pun tidak. Yang akan marah bila dia cedera. Yang akan merawatnya. Yang akan menjaganya.
            “Kau jangan pedulikan aku. Just have fun. Kau dah lama tak keluar macam ni.”
            Maya mengelipkan matanya sekali dan menyambung isyaratnya. “Tapi tak apa ke? Orang-orang Red Dragon...”
            “Dia orang takkan muncul di sini. Aku tahu.”
            Sudah semestinya dia tahu kerana dia sendiri yang menugaskan orang-orangnya ke tempat lain.
            “Okey, then,” balas Maya. Buat sekian kali, gadis itu tersenyum lagi. Dan buat kesekian kalinya juga, jiwa Ryu terasa tenang. Benarlah, hanya senyuman Maya yang mampu membuatkan dia menikmati sebuah ketenangan yang selalu sahaja lenyap daripada hidupnya. Hanya senyuman Maya...

~End~

Do comment. Thank you! =)

10 comments:

  1. I like it!! I like it!!!! Huwaaaa!!!! Lagi kak lagi

    ReplyDelete
  2. gomawwo uni...kalau unni nk tahu...saya saja buat satu fie untuk bab cerita ni..senang sikit nak baca

    ReplyDelete
  3. sis! cant wait for moreeeee!!! nak lagiii. nak lagii..im not a monster!! kne say thanks dkt group bigbang la mcm ni. kalau bukan sbb dyeorg, msti Ryu x wujud kan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan? mmg feeling betul tulis citer ni sambil dgr lagu big bang. dan of course terbayang muka kacak TOP terselit dgn woo bin...hahaha

      Delete
  4. Menarik. Mmg saya salah seorang yg mmg tak pernah lepas dari. Membac setiap karya Sara. Saya tertarik dgn cara Sara menceritakan keadaan sesuatu tempat atau situasi seolah-olah Sara pernah mengalami nya. Good writing.

    ReplyDelete
    Replies
    1. awww, terima kasih sangat, kak. Alhamdulillah. Lega saya dgn penerimaan dan komen akak. InsyaAllah, sy akan cuba memperbaiki lagi apa yang kurang. =)

      Delete