November 3, 2014

[Mini Novel Edisi Terhad] I'm Not A Monster - Bab 1

Assalamualaikum, darlings...

In last entry, Cik SA ada inform pasal kompilasi mini novel 'Cereka Cinta', kan? Well, dalam kompilasi ini, ada tiga buah mini novel. Dan seperti yang diwar-warkan di FB dan Instagram, salah sebuahnya bertajuk....


Yup, it's I'm Not A Monster! Genre: Action romance ala2 thriller. Remember Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu? Lebih kurang macam tulah. Tapi...kisah kali ini laaaaagi ganas berbanding CRT. Kenapa? Sebab hero dan heroin laaaaagi ganas...hehe.

So, without further ado, jom baca bab pertama utk I'm Not A Monster. 

******

BAB 1

PEMANDANGAN malam Kota Macau yang berkerlipan dengan lampu-lampu neon pelbagai warna diperhati lama. Kosong! Pandangan matanya kosong sekali, seperti kosongnya hati miliknya. Itupun kalau dia masih boleh digelar sebagai manusia yang punya seketul hati dan perasaan.
Dari Taipan Bridge, tempatnya berdiri, dia dapat membayangkan beribu-ribu manusia lain yang sedang enak menghabiskan wang dan kekayaan yang tidak seberapa di tempat-tempat gah seperti Grand Lisboa, The Wynn, Dynasty atau pun mungkin The Venetian. Dan dia juga bagaikan dapat melihat manusia-manusia seperti Zachary Ho yang ketawa jelik kala melihat kejatuhan manusia lain.
Perlahan-lahan nafasnya dihela panjang. Matanya dikerling pada tangan yang bermandikan darah. Darah mangsanya yang pertama. Darah yang telah melerai dirinya daripada perikemanusiaan. Darah yang telah menukarnya kepada...raksasa.
Sedikit demi sedikit, dia mengangkat langkah. Mendekati tebing jambatan. Angin ngilu musim sejuk dibiarkan sahaja, walhal dadanya terasa sebu. Bunyi hon yang bertalu-talu bagaikan memberikan amaran. Namun tidak juga diendahkan. Kemudian tangannya didepakan luas, bagaikan bersedia untuk ditarik rakus oleh apa-apa kuasa yang boleh merenggut nyawanya kala ini.
“Welcome, Ryu...welcome to the world of darkness. Dan sekarang...kau dah tak boleh berpatah balik lagi.”
“Erghh...erghhh....”
Seruan pelik pantas mematikan langkahnya. Semerta dia menoleh ke bawah. Renungan mata tajam melekat pada seorang gadis yang elok memegang hujung jaket hitamnya sambil menggelengkan kepala. Dalam sepasang mata gadis tersebut, dia dapat melihat air mata yang bertakung penuh kesedihan dan kekesalan. Lama mereka bersabung mata.
“Apa kau buat di sini, Maya?” Akhirnya, dia bersuara. Seperti biasa, tutur katanya kasar sekali.
Gadis tersebut hanya membungkam.
“Kau lepaskan jaket aku, sekarang juga!!”
Tergeleng-geleng kepala Maya. Sebaliknya tangan kecilnya makin kuat mencengkam hujung jaket.
Dengan kasar Ryu merentap jaketnya sehingga menyebabkan Maya hilang kawalan dan terjelepuk jatuh ke tepi jalan. Saat yang sama, bunyi hon mula berkumandang. Ryu membuntangkan mata sebelum dengan tangkas dia melompat turun dan menyambar tubuh Maya, menjauhi kereta yang hampir-hampir sahaja menghentamnya tadi.
“Kau dah gila, ke?! Nak mati?!” jerkah Ryu dengan kuat setelah dia menolak Maya daripada rangkulannya.
Hanya sepasang mata yang terkulat-kulat menjadi jawapan kepada segala persoalan kasar Ryu. Kemudian tanpa kata, Maya menggerakkan kedua-dua belah tangannya. Ryu mengalihkan pandangan, tidak mahu melihat semua itu. Namun, lengannya tiba-tiba ditarik kasar.
“Apa?!” tempelak Ryu. Sungguh dia tidak gemar didesak-desak begitu.
Maya menyambung gerak lakunya. Dalam rasa tidak mahu pedulinya, Ryu menatap tanpa kata.

            Please...don’t die.

            Ryu menjongket kening. “Apa maksud kau?”
            Maya mengunjukkan jari telunjuk pada tebing jambatan yang tinggi.
            “Kau ingat aku nak bunuh diri, ke?” sela Ryu tanpa nada. Bibirnya terherot dengan senyuman sinis. Ah, membunuh diri apanya kalau tugasnya sendiri adalah merampas nyawa manusia lain?
            Kali ini soalan Ryu dibalas dengan anggukan kepala.
            “Maya...Maya, aku ni...” Ryu menghampiri Maya dan mengangkat tangan, mahu mengusap kepala gadis tersebut. Namun gerak tangannya terhenti kala terpandangkan jari-jemari yang masih berlumuran darah. Cepat-cepat dia menyorokkan tangan ke belakang. “Orang yang takkan bunuh diri. Aku tak layak pun untuk bunuh diri.”
            Ya, untuk manusia jelik sepertinya, kematian itu adalah sesuatu yang terlalu mudah baginya. Hukuman yang terlalu ringan.
            Bagaikan dapat menangkap tindakan Ryu tadi, laju sahaja Maya menarik tangan Ryu daripada belakang.
            “Eh, apa kau....”
            Lidah Ryu terkelu sendiri saat panahan mata suram Maya melekat tepat padanya. Perlahan-lahan Maya mengusap tangannya. Darah yang membasahi dilap dengan telapak tangannya sendiri. Lembut dan perlahan....kemudian semakin kuat dan kuat Maya menggeselkan telapak tangannya pada jari-jemari Ryu.
            Ryu terpana. Hanya matanya memandang tepat pada Maya yang kelihatan terdesak benar untuk mencuci dirinya daripada segala cecair merah pekat lagi hanyir itu.
            “Maya...”
            Seruannya tidak diambil peduli. Malahan makin ligat Maya bertindak.
            “Stop it, Maya!” Tangkas Ryu menangkap pergelangan tangan Maya, dan sepantas itu juga Maya merentap tangannya kembali.
            “Erghh!!Erghh!!!”
            Terpaku Ryu pada Maya yang menjerit-jerit dalam bahasanya. Tangannya tergawang-gawang ke udara bersama air mata yang bercucuran jatuh. Dada gadis itu turun naik dengan laju, bagaikan kelelahan. Ryu sedar Maya sedang marahkannya. Itulah yang sering dilakukan gadis itu setiap kali dia pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah, dengan bermacam-macam kecederaan d itubuh. Itulah norma kehidupannya sebagai salah seorang konco di dalam Red Dragon, mafia yang diungguli oleh Zachary Ho, taiko paling besar di bumi Macau. Tetapi kali ini...darah yang terpalit pada tubuhnya bukanlah darahnya sendiri. Bahkan darah inilah yang menentukan bahawa sekarang dia bukan lagi ‘salah seorang’, tetapi dialah ketua Red Dragon!
            “Sudah, Maya! Jom balik rumah!” arah Ryu separuh menengking. Seperti selalunya dia mengendahkan kemarahan gadis itu, seperti itulah juga dia melakukannya malam ini.
*****
DUA TAHUN.
            Dua tahun telah berlalu sejak kali pertama dia menemui Maya. Pertemuan mereka bukanlah sesuatu yang indah, bahkan lebih kepada kebetulan dahsyat yang telah mengubah kehidupannya dalam skala tiga ratus enam puluh darjah. Semuanya bermula pada malam durjana itu....
            Wajah lelaki di hadapannya diperhati tanpa emosi. Separuh muka sudah hampir lunyai dikerjakan olehnya dan konco-konco yang lain. Darah membuak-buak daripada rongga hidung dan mulut.
            “Great! Bagus kerja kau orang semua.”
            Usai mendengar suara Hector, Ryu mengalihkan tubuh, memberi laluan kepada ketuanya untuk melaksanakan agenda seterusnya. Ryu melihat sahaja Hector yang menundukkan muka, mengelap darah mangsanya dan kemudian menepuk-nepuk pipi lelaki itu.
            “Ini kawasan Zachary Ho. Takkanlah kau tak tahu?”
            “Ta...tahu....”
            “Habis tu?! Kau cuba cabar kami?!!” tengking Hector seraya merengkuh rambut lelaki di hadapannya.
            Berkerunyut dahi lelaki itu. Jelas menampakkan kesakitan.
“Bu...bukan. Re...Rex...”
            “Rex? Aku ada dengar perkataan Rex ke tadi?” sinis Hector. Kemudian tidak semena-mena dia mencekik leher mangsanya.
“Dia...yang hantar kau sini, ke? Apa dia nak...”
            “Aku...aku....” Tergugup-gagap lelaki itu mahu bersuara di sebalik nafas yang semakin singkat.
            “Ya, aku yang hantar dia. So, what?”
Tidak semena-mena perbualan mereka diganggu. Ryu dan konco-konco Red Dragon yang lain pantas mengambil tempat. Masing-masing bersiap-sedia mengambil posisi untuk menghadapi serangan daripada kira-kira sepuluh orang konco Bloody Tiger yang semakin merapati.
Hector menegakkan tubuh, masih dengan senyuman sinis di bibir. Perlahan-lahan dia memusingkan badan dan berjalan ke hadapan sedikit. Kedua-dua belah tangannya elok tersorok di dalam saku seluar, dengan gaya angkuh.
            “Well...well...well, look who’s here?” ucap Hector. Tepat matanya memanah wajah Rex, ketua Bloody Tiger yang sekian lama menjadi seteru.
            “Lepaskan dia.” Rex membalas dengan nada yang mendatar.
            “Lepaskan anjing kau ni? Kau ni tengah buat lawak ke? Nak aku lepaskan orang yang dah ceroboh kawasan Zachary Ho? Hei, mana aku nak letak muka lepas ni?” perli Hector sambil menapak ke belakang orang suruhan Rex yang terikat di atas lantai.
            “Kau...” Kedua-dua mata Rex memancar garang.
            “Siapa yang dah masuk kawasan ni, takkan keluar dengan...hidup-hidup.” Usai menyudahkan kata, Hector memusing leher lelaki di hadapannya. Berkeriuk bunyi tengkuk yang patah.
            Membuntang mata Rex. “Jahanam kau!!!
            Laju Rex dan konco-konconya meluru ke arah Hector dan geng-geng Red Dragon yang lain. Ryu tidak menunggu lama untuk melawan. Tangkas dia berganding bahu dengan Hector dalam menyerang balas. Sekelipan lorong kecil berhampiran Avenida de Cotai itu dihujani tempikan-tempikan kuat yang disertai dengan tumbukan demi tumbukan, tendangan demi tendangan serta....libasan demi libasan pedang dan parang. Sekali lagi, jalanan di kota Macau bermandikan darah.
Sedang mereka berlawan, ekor mata Ryu menangkap kelibat pergerakan seseorang dari sebalik dinding bangunan tidak jauh dari kedudukannya. Kuat dia menumbuk dan menjatuhkan lawannya sebelum dia melompat tinggi. Sekelip mata sahaja dia sudah mendarat di lorong kecil tersebut. Tanpa menunggu sesaat pun, dia menarik bahu makhluk yang sedang membelakanginya. Dan saat itu...dia terkesima.
“Ryu! Polis!!!”
Tidak semena-mena jeritan Kosuke, salah seorang konconya mengetuk gegendang telinga. Ryu tersentak. Entah bila polis tiba, tidak pula dia sedari. Dalam rasa terkejutnya, sempat pula dia mengetuk belakang manusia dalam pegangannya, menyebabkannya serta-merta sahaja terkulai layu. Dengan pantas Ryu mengangkat tubuh itu ke atas bahu. Langkahnya diangkat laju meninggalkan lorong yang baru sahaja dibasahi darah kotor manusia yang tidak reti menghargai sebuah nyawa.
*****
KOSONG pandangan mata Maya di hadapan cermin besar yang kini memaparkan dirinya sendiri. Kalau dahulu rambut hitamnya panjang mengurai, beralun lembut hingga ke pinggang. Tetapi kini pendeknya sudah serupa anak jantan. Potongannya kasar dan tidak teratur. Apa tidaknya, selama dua tahun ini, Ryulah yang menjadi tukang guntingnya. Malahan lelaki itulah yang pertama kali mengarahkan dia memotong rambut.
            “Kau akan tarik perhatian orang dengan rambut panjang dan muka cantik kau itu.”
            Cantikkah dia? Entahlah, dia tidak fikir begitu. Bagi Maya, rupanya biasa-biasa sahaja. Cuma yang pasti, wajahnya persis ibu. Kalau dahulu, dia gembira benar dengan wajah yang diwarisi daripada ibunya. Tetapi kini tidak lagi. Kerana wajah inilah yang telah membawa dia kepada keadaan hari ini. Ya, segalanya jadi kacau bilau kerana wajah menyerupai wajah ibunya ini!
            Perlahan-lahan Maya mengalihkan bebola mata ke arah pakaian yang tersarung di tubuh.  Bajunya terpalit dengan kesan darah yang sebelum ini membasahi tangan gagah Ryu. Seakan-akan dapat dia hidu bau kematian yang sentiasa melekat pada lelaki itu. Tetapi kali ini, bau tersebut bertambah hanyirnya, bertambah kejamnya. Jadi Maya yakin, malam ini adalah malamnya di mana Ryu akhirnya  mencabut nyawa manusia lain.
            Ryu yang dikenalinya bukan seperti ahli-ahli Red Dragon yang lain. Dalam kuatnya Ryu, dalam tangkasnya dia berlawan, dalam hebatnya dia menggunakan segala jenis senjata, Ryu bukanlah pembunuh. Tidak pernah sekalipun Ryu membunuh dengan tangannya sendiri. Selalunya Ryu cuma akan membelasah. Tugas membunuh itu adalah tugas Hector atau konco-konco yang lain. Tetapi bukan Ryu!
            “Kalau aku cabut nyawa orang lain, itu bermakna...aku juga sudah cabut jiwa aku.”
            Itulah kata-kata yang pernah dituturkan oleh Ryu. Itu jugalah kata-kata yang membuatkan Maya mengambil keputusan paling aneh dalam hidupnya. Ya, dia telah mengambil keputusan untuk berada di sisi Ryu, lelaki yang telah menculiknya dari lorong gelap itu. Dia telah memilih untuk meletakkan hidupnya dalam risiko bakal ditemui jantan keparat itu.
            ‘Tempat yang paling selamat untuk bersembunyi adalah tempat yang paling dekat.’
            Ryu...bagi Maya, tidak ubah seperti suatu tempat persembunyian. Dia bersembunyi daripada manusia kejam, yang telah menghancurkan kebahagiannya selama ini, yang juga telah mengubah hidupnya menjadi sebuah neraka.
            Malam itu, setelah dia disajikan dengan pemandangan paling menghancurkan hati...kakinya tidak henti-henti berlari dan berlari. Dia mahu menyelamatkan diri, dia mahu lepas daripada seorang lelaki yang sepatutnya menjadi pelindungnya dan dia mahu menyimpan nyawanya sepertimana janjinya kepada ibu.
            Namun siapa sangka, dalam pelariannya,  dia tersadai antara pertarungan Red Dragon dan Bloody Tiger. Dua kumpulan kongsi gelap yang paling digeruni di kota perjudian Macau. Dan yang paling menggemparkan, dia ditangkap oleh Ryu, salah seorang konco Red Dragon yang memang terkenal dengan ketangkasannya dan disayangi oleh Hector. Pada mulanya, Maya benar-benar merasakan bahawa nyawanya bakal berakhir, tetapi rupa-rupanya perkiraannya salah sama sekali.
            “Aku takkan apa-apakan kau. Tapi aku tak boleh lepaskan kau.”
          Kata Ryu, dia bukanlah jenis lelaki yang akan mengapa-apakan wanita, jauh sekali membunuh. Tetapi itu tidak bermakna Hector sama dengannya. Hector jauh lebih kejam dan tidak akan teragak-agak untuk mencabut nyawanya.
            “Kalau kau nak selamat, kau kena tinggal dengan aku.”
        Itulah permulaan kepada segala-galanya. Ryu kini sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Kalau pada awalnya, segala gerak-gerinya dikawal malahan dia dikurung, kini dia bebas bergerak, tidak kira di rumah kecil Ryu atau pun di luar. Cuma satu sahaja yang Ryu benar-benar pastikan. Maya tidak boleh terserempak dengan Hector, kerana Hector tidak akan lepaskan mana-mana manusia yang tahu tentang kewujudan Red Dragon yang dikepalai oleh Zachary Ho, manusia paling berpengaruh dan disegani oleh penduduk Macau.
            Sejujurnya, Maya sendiri tidak gemar keluar rumah. Dia tidak mahu menunjukkan muka di luar dan dia juga tidak pernah berusaha untuk melarikan diri daripada Ryu. Untuk apa bersusah payah lari kalau dia tahu bahawa dia lebih selamat di sini?
            “Maya...”
            Bahunya terasa disentuh dari belakang. Bibir Maya tersenyum sedikit. Sinis bercampur pahit. Ryu selalu begitu. Akan menyapanya dengan sentuhan kerana lelaki tersebut fikir dia tidak boleh mendengar, sepertimana dia tidak boleh bercakap. Dia hanya mampu membaca gerak bibir. Langsung Ryu tidak menduga bahawa selama ini dia...
Hanya berpura-pura.
      Namun kepura-puraan itu jugalah yang membuatkan dia terkadang-kadang rasa bersalah. Entahlah, dua tahun bersama Ryu, Maya dapat merasakan hatinya yang semakin dekat pada lelaki itu. Kalau tidak, masakan dia selalu sahaja marah-marah setiap kali Ryu pulang daripada pergaduhan atau perbalahan yang melibatkan Red Dragon. Dia bimbangkan Ryu!
            Perlahan-lahan Maya berpaling. Pandangannya terpaku pada lelaki yang baru sahaja menegur. Dalam diam, Maya melepaskan nafas berat. Digamit Ryu agar duduk di birai katil. Kemudian dia berjalan ke arah almari dan mengeluarkan kotak kecemasan.
            “Ergh...”
            Dari belakang, dia dapat mendengar suara Ryu yang sedikit mengerang. Lewat ekor mata dia dapat melihat kesusahan Ryu dalam menanggalkan pakaiannya. Maya memalingkan kembali tubuh dan mendekat. Punggungnya turut sama dilabuhkan ke atas katil, betul-betul bersebelahan Ryu. Dengan raut wajah bersahaja, dia membuka satu per satu butang baju kemeja hitam yang menyaluti tubuh Ryu. Pipinya semakin lama semakin membahang. Sudah hampir dua tahun dia menjadi tidak ubah seperti jururawat peribadi Ryu, tetapi dia masih lagi tidak betah melihat tubuh kekar lelaki itu.
Kepala Maya menunduk, cuba mengelak daripada bersabung mata dengan Ryu yang tidak habis-habis merenung tajam. Entahlah apa yang cuba dibaca oleh Ryu, tetapi sungguh dia tidak selesa. Dia berasa seperti ditelanjangkan, seolah-olah segala rahsianya terhampar luas untuk diadili dan dihakimi oleh lelaki tersebut.
Usai menanggalkan kemeja Ryu, Maya mula menjalankan tugas. Segala luka dicuci dan dirawat. Ada luka calar, ada lukar kelar, ada lebam, ada tusukan yang tidak sedalam mana. Melihatkan itu semua, ingin sahaja Maya memekik dan memarahi Ryu. Sudahlah luka lama belum sembuh, kenapa ditambah lagi? Apa yang lelaki itu dapat dengan berlawan dan bertarung? Hanya kerana dia Red Dragon? Hanya kerana dia bekerja untuk Zackary Ho? Tidakkan Ryu sedar bahawa Zackary Ho tidak pedulikan dia? Walau hidup atau mampus, jantan keparat itu tidak akan pernah peduli!
Rahang Maya terketap-ketap dalam usahanya menahan diri daripada meledakkan segala monolog. Masih dengan muka plastik, dia akhirnya mengangkat pandangan mata. Namun tidak pula dia melihat ke dalam mata Ryu, sebaliknya dia meletakkan perhatian pada luka-luka di wajah lelaki itu. Pada dahinya yang berdarah, pada pipinya yang lebam dan kemudian pada bibirnya yang pecah. Semuanya dirawat dengan tertib dan penuh perhatian.
Beberapa saat berlalu, Maya masih dengan tugas tidak rasminya. Ryu pula masih lagi merenung dalam diam. Kala mahu melarikan jari-jemari daripada terus melekat di bawah bibir Ryu, tanpa semena-mena lelaki itu memegang tangannya. Maya tersentak lantas automatik sahaja dia memanggung muka.
Anak mata Mata betul-betul bertentang dengan renungan tajam Ryu. Hidung hampir menyentuh hidung. Malahan dia dapat merasakan desah nafas kasar lelaki itu yang hangat menyapa muka. Perlahan-lahan Maya menelan air liur. Suasana mulai terasa hening. Tiada walau satu bunyi pun melainkan degupan jantung masing-masing yang berkocak hebat. Sesaat, dua saat berlalu, Maya hanya terkaku keras. Langsung tidak mampu bergerak walau seinci pun. Dia bagaikan terpasung dalam pandangan mata Ryu yang menyimpan seribu satu maksud tersirat.
Sedikit demi sedikit Ryu mengangkat tangan. Namun gerak lakunya terhenti saat jarinya cuma seinci jauh dari pipi mulus Maya. Nafasnya keras dihembus. Kemudian dengan kasar dia merembat bajunya yang terhampar di atas katil dan bangkit, lalu meninggalkan Maya terkebil-kebil sendiri. Namun saat menghampiri pintu keluar, Ryu mematikan langkah. Lagaknya seperti baru sahaja teringatkan sesuatu. Kepalanya ditoleh sedikit pada Maya.
            “Apa kau buat dekat sana tadi? Malam-malam buta pula tu,” tanya Ryu dengan suara yang mendatar.
            Maya mengerutkan dahi, tetapi tangannya tetap membuat isyarat. “Dah lewat malam, kau tak balik-balik. Aku...”
            “Kau cari aku?”
            Sekali Maya menganggukkan kepala.
            “Lepas ni, tak kiralah pukul berapa sekali pun, walau lambat macam mana sekalipun, kalau aku tak balik-balik, kau jangan memandai-mandai cuba cari aku.”
            “Kenapa tak boleh?”
            Melihatkan isyarat soalan Maya, bibir Ryu mengulum senyum sinis. “Kau dah lupa ke apa yang buat kau terpacak dalam rumah aku ni? Kenapa kau ada dengan aku sekarang? Kau dah lupa ke semua tu?”
            Maya menyengap. Dia faham maksud kata-kata Ryu. Kerana dia berada di jalanan kota Macau pada pukul tiga pagi, maka dia tiba-tiba sahaja terperangkap antara Red Dragon dan Bloody Tiger. Natijahnya, dia kini bersama Ryu.
            “Kau tak lupa, kan?”
            Perlahan-lahan Maya menggelengkan kepala.
            “Bagus. Jadi kalau kau tak nak jatuh ke tangan jantan lain, jangan merayap malam-malam buta macam tu lagi.”
            Tutur kata berbaur arahan Ryu kedengaran keras menyapa telinga Maya. Namun seperti selalu, Maya tidak berasa takut. Iya, sejak mengenali lelaki itu, kekerasan Ryu tidak pernah berjaya menggentarkannya.
            “Okeylah, itu saja yang aku nak cakap. Pergi mandi dan tidur.”
Baru sahaja Ryu mahu menyambung langkah, Maya cepat-cepat bangun dan menangkap lengan lelaki itu.
            “Apa?” soal Ryu.
            Maya membuat isyarat.
“Macam mana kalau kau tak balik-balik? Aku tetap tak boleh pergi cari kau, ke?”
            Berubah riak wajah Ryu. Ada bayangan suram yang terselit. Mulutnya kemudian bertutur senada. Tanpa emosi. “Kalau macam tu, kau anggap saja aku dah mati. Dan kau dah bebas daripada aku.”
            Maya bungkam. Tidak mampu membalas apa-apa lagi. Apa yang termampu dia lakukan cuma memandang belakang Ryu yang menjauh dengan mata yang semakin berbalam-balam. Dia menangis lagi. Untuk apa dan kenapa, dia juga tidak mengerti. Yang pasti, saat membayangkan kemungkinan bahawa Ryu akan pergi jauh, hati dan jiwanya meraung kesakitan.

~End~

Ryu sangat cold, kan? Hehe... Oh, cuba teka siapa Maya yang sebenarnya?

Do comment! Thank you, darlings...

9 comments:

  1. Superb! Supeb!! Dgn2 adah skali rasa skit kt blakang bila luka dcuci. Hahahahaa

    ReplyDelete
  2. terbaiklah sis..inilah genre yang saya paling suka...love ryu sangat2

    ReplyDelete
    Replies
    1. awww, tq soo much. nanti kak sara tulis byk2 lgi genre gini..hehe

      Delete
  3. Maya tu pun ada kaitan dengan gengster eh? sebab awal2 tu ad kate die pun ganas? hehehehe teka je~

    ReplyDelete
    Replies
    1. hmmmm, jeng3. xleh jawab. nnati x suspen dah...hehe

      Delete
  4. superb! dah lame tunggu novel2 mcm ni :) yeay! akhirnya ada!! keep it up sis! upload la lg next entry T_____T

    ReplyDelete
    Replies
    1. yay!!! insyaAllah akan upload next chapter malam ni..=)

      Delete
  5. Jangan larh tersangkut 😂😂😂

    ReplyDelete