May 24, 2012

Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu [Bab 18]



BAB 18

“KAMU dah gila ke, Liza? Kita tak boleh bawa dia balik dalam keadaan macam tu!”
            Liza mendengus. Wajah suaminya ditenung dalam-dalam.
            “Habis tu? Kita nak biarkan Dian dengan lelaki tu? Entah apa yang dia akan buat pada adik saya tu!”
            “Ya Allah, Liza! Sudah-sudahlah salahkan Karn pasal tu. Berapa kali abang nak kena cakap yang dia tu pun mangsa?!” tempelak Azmi, sedikit kegeraman.
            “Itu saya tak peduli. Apa yang saya tahu, disebabkan dia…Dian yang jadi mangsa.” Liza membalas kembali dengan berani. Riak tegang yang jelas terpamer di wajah suaminya tidak dipedulikan langsung.
Azmi meraup wajah. Kusut kepalanya memikirkan tingkah isterinya yang seorang ini. Dalam-dalam dia menarik nafas dan menghembusnya, cuba mencari ketenangan untuk berhadapan isterinya yang kini dibelenggu emosi.
“Liza, kamu sendiri dengar apa yang doktor cakap tadi, kan? Dian terlalu lemah untuk dibawa balik. Dia tak boleh berada di kalangan orang ramai, lebih-lebih lagi kalau dalam plane atau bas. Besar kemungkinan dia akan break down sebab dia akan rasa terkurung, dia akan ingat balik perasaan dia waktu dia dalam tahanan penculik tu,” jelas Azmi.
Liza terdiam. Betul, dia sedar akan hakikat itu kerana itulah yang dikhabarkan oleh doktor saat dia tiba-tiba sahaja bersuara dan mengatakan mahu membawa Dian pulang. Tetapi…tetap juga hatinya berat untuk meninggalkan Dian di bumi asing ini.
“Sudahlah. Jangan ikutkan lagi perasaan geram, perasaan marah pada Karn. Sekarang Liza kena fikir apa yang terbaik untuk Dian. Kalau doktor cakap lebih baik untuk Dian menerima rawatan di sini, then itulah yang kita akan buat.” Azmi menyambung lagi seraya membuat keputusan.
“Abang dah lupa something ke?” Liza tiba-tiba menyoal, masih dengan riak tegang.
Berkerut dahi Azmi.
“Apa?”
“Kalau diikutkan kata doktor, Dian sekarang terlalu bergantung pada Karn. In other word, hanya lelaki itu saja yang boleh jaga Dian. Takkanlah…takkanlah kita nak tinggalkan Dian dengan seorang lelaki kat negara asing macam ni?”
Azmi tersentak. Mulutnya kelu tiba-tiba.
*****
“SAYA akan bawa dia balik ke Pak Chong.”
            Terlopong mulut Liza dan Azmi. Uncle Sukrit di sebelah mereka juga kelihatan tercengang.
            “Apa???” Serentak Liza dan suaminya terjerit setelah beberapa saat terkedu.
            Karn menarik nafas dalam-dalam sebelum mengulangi kata-katanya. “Saya akan bawa Dian Damia balik ke Pak Chong.”
            “Eh, kamu dah gila ke? Kamu ingat kami akan biarkan kamu buat sesuka hati macam tu?” marah Liza. Geram sungguh dia dengan lelaki di hadapannya yang enak-enak sahaja mengambil keputusan sendiri mengenai Dian.
            “Puan, saya minta maaf sebab terpaksa buat keputusan macam ni. Tapi, ini demi kebaikan Dian. Saya percaya keadaan persekitaran kat sana lebih elok untuk Dian.” Penuh teliti Karn menjelaskan tindakannya.
            “Elok kamu kata? Dian tu perempuan! Takkanlah saya nak biarkan dia tinggal dengan lelaki yang tak dikenali, yang tak ada hubungan dengan dia?!” Kali ini Azmi pula yang membentak. Terkejut sungguh dia dengan kata-kata Karn. Baginya, dia masih boleh terima kalau terpaksa membiarkan Dian menjalani tempoh pemulihan di hospital di Krabi. Tetapi, kalau hingga ke tahap membiarkan Dian tinggal dengan Karn, itu sudah melampau!
            “Saya tak ada apa-apa niat buruk, Encik. Bukan hanya ada saya dan dia di rumah tu. Lagipun kat sana nanti, akan ada ramai orang yang boleh jaga dia. Saya juga akan upah private therapist yang akan sentiasa pantau keadaan Dian. Kalau Encik takut Dian akan tinggal dengan non-muslim, saya nak Encik tahu…semua orang di rumah saya sebenarnya beragama Islam.” Panjang lebar Karn memberikan penjelasan lanjut. Fikirannya menerawang pada pembantu-pembantu rumahnya yang tinggal serumah dengannya. Mereka semua menganuti agama Islam.
            Liza dan Azmi masing-masing mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang patut mereka buat. Sungguh mereka buntu. Jika difikirkan soal keadaan Dian, mungkin itulah penyelesaian terbaik. Tetapi kalau difikirkan soal betapa tidak manisnya Dian tinggal bersama seorang lelaki, mereka jadi serba salah.
            “Please, Encik…Puan…izinkan saya bertanggungjawab atas apa yang telah terjadi pada Dian.” Suara Karn sekali lagi bergema.
*****
“TUAN betul-betul yakin ke dengan keputusan Tuan ni?” soal Sukrit pada bosnya.
            Karn segera menoleh dengan dahi yang berkerut. “Apa maksud uncle?”
            “Tak adalah…uncle cuma rasa, tak perlulah sampai ke tahap itu. Biarkan pihak hospital uruskan segalanya. Lagipun, keluarga dia sendiri nampaknya tak setuju.”
            Terlepas dengusan kasar Karn. Kedua-dua matanya merenung Uncle Sukrit dengan tajam.
            “I can’t believe you said that, uncle. Selama ini, uncle yang ajar saya tentang tanggungjawab, yang sogokkan dalam otak saya tentang betapa saya sebagai seorang Thanasukolwit harus sentiasa bertanggungjawab. Tetapi sekarang uncle macam nak saya lepaskan tanggungjawab saya. Apa ni, uncle?!”
            Sukrit terdiam. Ya, memang itulah yang diajarkannya selama ini pada Tuan Klaharn. Tetapi, adakah perempuan benar-benar tanggungjawab Tuan Klaharn? Tidak! Perempuan itu tidak ada kena-mengena dengan majikannya dan harus terus kekal begitu.
            “Bukan itu maksud uncle. Cuma…”
            “Cuma apa, uncle? Tolonglah, jangan pertikaikan keputusan saya ni. Saya tahu apa yang saya buat dan sekarang apa yang memang patut saya buat adalah…jaga Dian dan bertanggungjawab atas apa yang dah jadi pada dia. Sebab dari awal lagi, semuanya salah saya!”
            “Tapi Tuan tak pernah minta semua tu jadi pada dia. Tuan tak pernah harapkan yang dia akan kena culik bersama-sama dengan Tuan!” Tanpa sedar, Sukrit membalas kata-kata majikannya.
            “Jadi sebab tulah, saya kena biarkan Dian macam tu aje?” tempelak Karn kembali. Panas hatinya dengan tingkah pembantunya itu yang tidak sudah-sudah mahu mempertikai dan mengawal keputusannya.
            Sukrit terkedu sejenak sebelum menjawab perlahan. “Tak adalah macam tu, tapi…”
            “Tak ada tapi-tapi, uncle. That’s my final decision dan akan tetap macam tu. Uncle tak perlu susahkan hati fikir pasal saya dan Dian. Perihal dia, saya yang akan uruskan. Sekarang, saya mahu uncle terus berhubung dengan pihak polis pasal kes saya tu. I want to know every detail of it, terutamanya tentang Sakda,” pintas Karn dengan tegas. Wajahnya cukup tegang.
            Mengingati Sakda, hati Karn yang memang panas jadi tambah membara. Apa tidaknya, pihak polis langsung tidak dapat menjejaki lelaki itu, seolah-olah manusia yang bernama Sakda tidak pernah wujud. Chen dan Pong, orang suruhan Manop juga tidak tahu apa-apa pasal lelaki itu kerana selama ini hanya Manop yang berhubung dengan Sakda. Kini, Manop sudah pun dia lenyapkan dari muka bumi, jadi siapa lagi yang boleh membawanya kepada jantan keparat itu? Ah, dia geram! Cukup geram!!!
            Sukrit yang masih lagi tidak berpuas cuba membuka mulut, mahu membantah. Namun usai pandangan matanya melekat pada wajah tegang bosnya yang sedang merenung tajam, mulutnya jadi terkatup sendiri. Dia kenal riak wajah itu. Riak wajah yang bermakna tiada siapa boleh melawan cakap Tuan Klaharn. Perlahan Sukrit mendengus sebelum akhirnya menganggukkan kepala dan berlalu pergi.
*****
“DIAN SAYANG, apa patut akak buat sekarang?” Lirih suara Liza menyoal adiknya yang lena di atas katil. Kepala Dian diusap dengan penuh kasih sayang.
            “Akak bingung, dik. Apa yang dia cakap tu…akak rasa macam betul. Tapi, akak tak sanggup lepaskan Dian pada lelaki yang akak sendiri tak tahu sama ada baik atau pun tak. Dahlah korang berdua tak ada apa-apa ikatan. Kalau ada apa-apa jadi nanti, Dian juga yang akan susah, kan? Dan semuanya akan jadi salah akak dan abang Azmi.”
            Menitik air mata Liza bersama setiap patah katanya. Hatinya terlampau sebak. Fikirannya benar-benar keliru. Apa yang patut dibuatnya sekarang?
            ‘Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau tunjuklah jalan buat hamba-Mu ini,’ doa Liza dalam hati. Wajah pucat Dian tidak lepas daripada sapaan matanya.
            Perlahan-lahan Dian membuka mata. Sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terbuka luas. Kedua-dua bebola matanya tepat pada wajah seorang wanita yang sedang merenungnya. Dada Dian tiba-tiba berombak laju. Tubuhnya mula menggigil. Entah kenapa, wajah wanita itu kelihatan menakutkan padanya.
            “Dian…Dian…” Liza memanggil Dian yang tiba-tiba terbangun dan kelihatan ketakutan. Dia bangun dan cuba menyentuh bahu adik angkatnya itu. Namun sepantas kilat juga tangannya ditepis.
            “Jangan…jangan sentuh aku…jangan dekat…” Perlahan-lahan Dian bersuara seraya menggerakkan tubuhnya hingga ke hujung katil. Selimutnya ditarik hingga ke paras hidung. Hanya kedua-dua matanya yang masih melekat pada wanita itu, pada wanita yang masih cuba mendekatinya. Tidak! Dia tidak mahu wanita itu dekat padanya. Tidak!!!
            Bercucuran air mata Liza. Remuknya sekeping hati miliknya saat itu hanya Allah yang tahu. Dian takut padanya!
            “Dian sayang…ini akak. Kak Liza…kakak angkat Dian,” pujuk Liza. Sekali lagi dia cuba mendekati Dian. Tangan kanannya cuba menarik selimut yang sudah hampir menutupi wajah adiknya itu.
            “Tidak!!! Jangan aku kata...jangan!!!” pekik Dian tiba-tiba. Tubuhnya sudah pun terbangun dari pembaringan. Kedua-dua tangannya cuba menolak wanita itu jauh daripadanya.
            “Apa ni?” Tiba-tiba ada suara lain yang menyoal.
            Spontan Liza menoleh. Kelihatan Karn yang tercegat di hadapan pintu. Azmi, suaminya pula berdiri di sebelah lelaki itu.
            “Tolong!!! Jangan dekat! Jangan apa-apakan aku!!!” Lagi suara jeritan Dian berkumandang.
            Karn bergegas ke arah Dian.
Liza yang melihat segera menjarakkan diri. Kedua-dua matanya tepat pada Karn yang kini sedang memujuk Dian.
            “Shhh…tak ada sesiapa yang nak apa-apakan awak. Awak dah selamat…”
            Dian mencengkam lengan Karn dengan kuat. Bibirnya yang terketar-ketar sudah tidak mampu untuk mengeluarkan suara. Apa yang ingin diluahkannya seakan-akan tersekat di hujung kerongkong. Hanya matanya yang merenung tepat sahabatanya itu, mencari sedikit kekuatan untuk mengurangkan rasa takut yang menggunung.
            “Awak jangan takut. Saya ada kat sini…I’m here…” pujuk Karn lagi sambil tersenyum kelat. Melalui hujung mata, dia dapat melihat dengan jelas kakak angkat Dian yang sudah pun terhinjut-hinjut menangis dalam pelukan suaminya.
            Kasihan sungguh Karn pada pasangan suami isteri itu. Pasti perit sekali hati mereka kerana orang yang mereka sayangi takut pada mereka, tidak boleh langsung melihat wajah mereka. Karn juga sedar, suatu lagi perkara yang sangat memeritkan bagi Liza dan Azmi adalah hakikat bahawa hanya dia seorang yang boleh dekat dengan Dian. Dia, orang yang baru Dian kenali, orang yang selama ini asing dalam kehidupan mereka.
            Tetapi, Karn juga sedar akan suatu lagi perkara…tiada apa-apa yang boleh mereka lakukan, kecuali menerima hakikat bahawa orang yang paling diperlukan oleh Dian buat masa sekarang adalah dia, Karn Klaharn! Jadi, dia akan memastikan bahawa Dian akan berada di bawah jagaannya, di bawah pengawasannya sehingga gadis itu benar-benar sembuh.
Untuk itu, walau apa pun yang terjadi, Dian akan dibawa pulang ke Pak Chong!
*****
“YA ALLAH, YA TUHANKU…aku benar-benar berharap keputusanku ini adalah keputusan yang betul. Segalanya demi Dian, Ya Allah. Demi kebaikan dia, adikku. Aku merayu pada-Mu, lindungilah dia di sana, berikanlah kekuatan jiwa buatnya dan…jauhilah dia daripada segala apa yang akan membawa kepada kemurkaan-Mu.”
            Usai mengaminkan doa, Liza meraup wajahnya. Terasa sedikit ketenangan mula bertamu dalam hatinya yang sejak kebelakangan ini terlampau terbelenggu dengan emosi negatif. Ya, dia tidak mahu terus-terusan marah-marah, dia mahu lebih bertenang dalam menghadapi segalanya. Kerana itulah, siang tadi dia telah membuat keputusan yang dia sendiri tidak jangka.
            “Saya setuju untuk kamu jaga dia, Karn. Cuma satu yang saya minta, jangan apa-apakan dia. Jangan buat apa-apa yang tidak sepatutnya pada Dian. Kalau ada sesuatu yang tak enak jadi pada dia, tahulah saya kerjakan kamu.”
            Itulah yang dikatakannya pada Karn Klaharn. Persetujuan, pesanan dan juga amaran keras…semuanya dia satukan dalam kata-katanya itu.
*****
“MAK TEH, saya nak Mak Teh sediakan bilik dia, pakaian dia, semuanya. Eveything must be pefect. Dian harus rasa selamat dalam rumah tu.” Melalui perbualan video, Karn memberikan arahan pada ketua pembantu rumahnya.
“Lagi satu, barang-barang dia dah sampai sana ke?” sambung Karn lagi, menyoal mengenai bagasi dan semua barang Dian yang diserahkan oleh pihak hotel.
            Mak Teh yang berada di Pak Chong menganggukkan kepala. “Semalam, Tuan.”
            “Okey, simpan elok-elok barang dia,” pesan Karn sebelum mengakhiri perbualannya dengan Mak Teh. Kemudian dia berpaling pada Uncle Sukrit yang sedari tadi berdiri tegak di sisinya. “So, how?”
            “Uncle tak dapat contact majikan Dian.”
            Berkerut dahi Karn. Jarang sekali Uncle Sukrit gagal menyempurnakan tugasan yang diserahkan padanya.
            “Err, maksud uncle…Puan Liza, kakak angkat Cik Cian akan contact her editor and explains everything to him. Dia yang akan uruskan segala hal yang membabitkan Cik Dian di Malaysia. Pesan dia, kita cuma perlu jaga Cik Dian baik-baik dan takkan biarkan apa-apa jadi lagi.”
            Terangguk-angguk kepala Karn mendengar penjelasan pembantunya. “Thanks. Now you can go.
            Sukrit menunduk hormat sebelum akhirnya hilang dari sebalik pintu. Karn hanya memandang tanpa kata. Fikirannya kini dibelenggu dengan keadaan Dian yang tidak stabil. Juga…keputusannya untuk membawa pulang gadis itu ke rumahnya. Ah, langsung dia tidak menduga pemergiannya ke Krabi kali ini akan membawa balik seorang perempuan!

10 comments:

  1. waa..kak sara nak lagi nak lagii.sambung2....cepattt.hahaha

    ReplyDelete
  2. bestnya, tak sabar untuk entry seterusnya.chayok!

    ReplyDelete
  3. yeahhhhh..Karn dapat Dian :D
    sayang akak lebihhhh
    i lap u lahhh akak :>

    ReplyDelete
  4. Akhirnya Karn juga yang jaga Dian....
    Next entry please....#^_^

    ReplyDelete
  5. Nanti diaorg kwin erk..huhuhu best2

    ReplyDelete
  6. nk dorang kawen, tp karn bukan islam kan kak sara

    ReplyDelete
  7. jgn bawa balik seorang perempuan, tapi bawa balik seorang isteri ;)

    ReplyDelete
  8. wahhh... karn sngat bertanggungjawab lah...
    apa kata kalu depa kahwin...
    sebab x guna juga upah private therapy..
    sebab dian hnya nk karn seorng je kan... hehe

    ReplyDelete