May 26, 2012

Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu [Bab 19 dan 20]


BAB 19

“HATI-HATI, DIAN.” Lembut Karn bersuara sambil memegang erat lengan Dian yang berlapik dengan jaket tebal miliknya. Ketika itu mereka baru sahaja tiba di hadapan rumah Karn. Gadis itu hanya terkebil-kebil memandangnya dengan riak tanda tanya dan sedikit keliru.
            “Ini rumah saya. Awak akan duduk sini,” jelas Karn sambil tersenyum manis.
            “Ru...rumah awak?” Lambat-lambat Dian menyoal.
         “Yup, rumah saya. Awak suka tak?” Masih lagi dengan senyuman yang tersungging di bibir, Karn menyoal.
        Tanpa suara Dian melepaskan pandangan ke arah taman di sebelah kanannya. Kawasan yang kehijauan itu dipandang sepi. Kemudian dia meneliti rumah yang tersergam indah di hadapannya. Hampir sembilan puluh peratus rumah itu dibina daripada kayu dan papan yang tampak bermutu tinggi. Reka bentuknya pula jelas menunjukkan ciri-ciri binaan tradisional Thailand. Namun sayang, semua itu tidak nampak istimewa di mata Dian. Apa yang dia dapat lihat cuma keluasan rumah itu.
            “Dian…awak suka tak?”
            Dian hanya menatap wajah Karn tanpa perasaan sebelum menjawab perlahan. “Suka…sebab luas. Saya tak suka tempat sempit. Sebab..sebab…nanti saya…”
            “Hei, jangan ingat lagi. Sekarang awak akan tinggal tempat luas, dalam bilik yang cantik. Tak ada sesiapa yang akan ganggu awak lagi, tau.” Cepat-cepat Karn menyampuk. Dia tidak mahu Dian mula bercakap tentang peristiwa itu.
           Dian hanya mendiamkan diri sambil menundukkan kepala. Jari jemarinya bermain-main dengan hujung jaket.
            Timbul rasa kasihan dalam hati Karn. Pasti Dian sedang serba salah dan kebingungan.
            “Awak nak tengok bilik awak tak? Cantik, tau. Saya dah minta dia orang hias khas untuk awak.” Setelah beberapa saat berjeda sendiri memikirkan soal Dian, Karn bersuara sambil menggamit gadis itu agar mengikut langkahnya. Dian hanya mengikut tanpa kata.
Melalui hujung mata Karn dapat melihat dengan jelas kelibat empat orang pembantu rumahnya yang sedari tadi berdiri di sebalik pintu dapur utama. Namun dia membiarkan sahaja. Ah, belum tiba masanya untuk dia memperkenalkan Dian kepada mereka semua.
*****
“INI bilik awak,” kata Karn seraya menolak pintu kayu di hadapannya. Perlahan-lahan Dian melangkah masuk. Terbentang di hadapan matanya set sofa dengan meja kopi yang tampak mewah dan elegan.
            “Ini bilik tetamu utama, sebenarnya. So bilik ni diasingkan kepada beberapa ruang. Sini adalah ruang rehat. Sebelah sana…” Tangan kanannya Karn ditunjukkan ke sebelah kanan. “Bilik air dan dressing room. Untuk ruang tidur pula…”
            Dian memerhatikan tingkah laku Karn yang menapak ke hadapan sedikit dan kemudian menarik pintu luncur yang berdekatan. Walaupun hanya dengan sebelah tangan, satu tarikan sahaja sudah cukup untuk membuatkan pintu kayu itu terbuka luas.
             Dian menjenguk sedikit dan meliarkan pandangan pada ruang tidur itu. Katil bersaiz king yang terletak elok di tengah-tengah, TV plasma yang melekat di dinding, meja tepi dengan lampu tidur antik…semuanya tampak gah. Di hujung bilik pula, kelihatan beranda bilik yang mempamerkan kehijauan padang. Langsir indah dengan gaya vintage yang tersangkut elok di pintu luncur beranda beralun bersama angin sepoi-sepoi bahasa. Segalanya tampak indah belaka. Namun sayang…hati Dian tetap tidak terdetik dengan apa-apa rasa. Semuanya kosong.
            “Okey tak bilik ni?” tanya Karn dengan lembut.
            Dian mengangguk kecil.
            “Awak rehatlah. Saya keluar dulu, ya. Kalau ada apa-apa, panggil saya,” pesan Karn sebelum melangkah keluar.
            Sekali lagi kata-kata Karn hanya dibalas dengan anggukan tanpa suara. Dalam hati Karn mengeluh kecil. Melihat wajah Dian yang hanya termangu-mangu dan jelas bingung, buat kesekian kalinya perasaan bersalah menyerbu ke dalam hatinya. Kerana dia, Dian kehilangan senyum dan tawanya. Kerana dia, Dian sentiasa ketakutan. Kerana dia, Dian terseksa begitu!
            ‘Maafkan saya, Dian. Saya…saya tak sangka macam tu sekali tindakan Sakda. Saya sepatutnya lebih berhati-hati, saya sepatutnya dengar cakap Uncle Sukrit hari tu. Kalau tak, semua ini takkan berlaku pada awak.’
*****
“TUAN…”
            Tersentak Karn saat mendengar namanya dipanggil. Spontan dia menoleh ke arah suara yang baru sahaja menegur. Wajah Mak Teh, ketua pembantu rumahnya menyapa pandangan.
            “Mak Teh, thanks sebab prepare semuanya untuk Dian.” Karn segera berterima kasih. Wanita separuh umur itulah yang telah bersusah payah menyediakan segala kelengkapan untuk menyambut Dian ke rumah itu. Dari persiapan bilik hingga ke pakaian Dian, semuanya diuruskan oleh wanita itu.
            Mak Teh mengerling sedikit ke arah pintu bilik yang tertutup. “Macam mana keadaan dia?”
            Karn mengeluh dan mengjungkit bahu. “Macam tulah. Tak ada perubahan pun. Masih sama dengan waktu mula-mula dulu.”
            Terdiam Mak Teh mendengarkan komen majikannya. Timbul rasa kasihan kepada Tuan Klaharn. Dengan tangan kirinya yang masih beranduh dan wajah yang mula dilapisi kumis tipis, bosnya itu kelihatan cukup keletihan. Hilang sudah imej Tuan Klaharn yang selalunya segak, kuat dan berkeyakinan.
            “Tuan pergilah berehat. Saya tengok keadaan Tuan pun dah teruk sangat. Nanti saya minta Sri hantarkan makanan ke bilik Tuan. Soal Cik Dian, Tuan jangan bimbang. Saya akan tengokkan dia.”
            Terlepas bunyi keluhan dari bibir Karn.
            “Oh, itu…saya belum kenalkan Mak Teh pada dia. Saya bimbang dia akan ketakutan bila tengok Mak Teh nanti.”
            Mak Teh tersenyum ikhlas.
            “Tuan jangan risau. Dengan izin-Nya, saya boleh berdepan dengan dia.”
            Karn mengerutkan dahi, tanda tidak mengerti.
            “Firasat seorang ibu, Tuan. Saya yakin boleh dekat dengannya.” Mak Teh membalas kembali, masih dengan senyuman lebar tersungging di bibirnya.
Dalam hati Mak Teh tertanya sendiri kenapa jawapan sebegitu yang terpacul keluar dari mulutnya. Cuma satu sahaja yang dia tahu, saat melihat wajah Dian dari kejauhan tadi, fikirannya mula menerawang pada anak gadisnya yang kini bermastautin di USA. Mak Teh dapat merasakan perasaan kasih yang mula timbul dalam hatinya buat Dian Damia.
            “Okay, then. Cuma, pastikan yang lain tidak cuba dekat dengan Dian. Buat masa sekarang, tanggungjawab jaga dia, saya serahkan pada Mak Teh sahaja, bukan orang lain,” tegas Karn sebelum berpaling dan melangkah menuju ke arah biliknya yang terletak selang beberapa bilik dari bilik tidur Dian.
*****
DIAN memanjangkan langkah, berlari dan berlari. Sedaya upaya dia cuba melarikan diri daripada lelaki itu. Sesekali dia menoleh, mahu melihat kalau-kalau kelibat lelaki itu masih lagi mengejarnya. Tidak ada! Automatik Dian menghentikan langkah. Dadanya yang berombak laju cuba ditenangkan.
            “Kenapa lari? Kenapa kau lari daripada aku?”
            Terkaku Dian saat mendengarkan suara yang tiba-tiba hinggap, betul-betul di sebelah telinganya. Kemudian bunyi besi yang diheret di atas lantai pula bergema. Spontan Dian memusingkan tubuh. Dan serta-merta juga matanya terbeliak. Manop! Manop dengan wajah dan tubuh yang berlumuran darah. Manop yang memegang besi panjang dan runcing. Manop yang kini sedang mengangkat besi itu tinggi ke udara.
            “Jangan!!! Jangan!!! Tidak!!!”
            Terbangun Karn saat mendengar bunyi jeritan Dian yang kuat. Walaupun biliknya boleh dikira agak jauh daripada bilik gadis itu, telinganya tetap dapat mengesan suara itu. Bergegas dia bangun dan melompat turun dari katil. Laju langkahnya menuju ke arah bilik Dian.
            Baru sahaja dia ingin membuka tombol pintu bilik Dian, bahunya disapa dari belakang. Pantas Karn berpaling. “Mak Teh…”
            “Jangan, Tuan. Jangan masuk,” tegah Mak Teh perlahan. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
            “Apa Mak Teh cakap ni? Saya kena pergi pada Dian!!!” tempelak Karn, dengan lagak tidak sabar dan terdesak. Geram!
            “Jangan, Tuan. Tak elok Tuan masuk bilik dia malam-malam macam ni. Serahkan saja pada saya. Tuan tunggu aje kat luar.” Tegas Mak Teh membantah.
            “Saya biasa temani dia di hospital, Mak Teh,” bidas Karn dengan keras.
            “Itu hospital. Ini bilik tidur dia."
            Sebelum sempat Karn membangkang lebih lanjut, Mak Teh terlebih dahulu memasuki bilik Dian. Karn cuba mengikut namun pintu bilik ditutup betul-betul di hadapan muka. Hampir-hampir sahaja pintu itu mengenai hidungnya. Karn mendengus kegeraman dan meraup wajah. Kemudian dia menyandarkan tubuh ke pintu. Telinganya dapat mendengar dengan jelas bunyi jeritan dan pekikan Dian.
            Perlahan-lahan Karn memegang dadanya. Matanya dipejam rapat-rapat bersama bibir yang diketap kuat. Hatinya terasa benar-benar perit. Setiap jeritan itu seakan-akan menusuk-nusuk hatinya hingga ke lubuk paling dalam. Sakit! Pedih! Perit!
            “Dian…please be strong…”
*****
“SIAPA…siapa kau?” tanya Dian pada seorang wanita yang sedang berdiri di sisi katilnya. Tadi sebaik sahaja dia membuka mata, wajah wanita yang terpamer, bukan Karn. Tidak! Dia hanya mahukan Karn, dia tak nak orang ini!
            Perlahan-lahan Mak Teh cuba mendekati Dian. Wajahnya dimaniskan dengan senyuman ikhlas. Dia mahu menghilangkan rasa takut dalam diri Dian.
            “Mak Teh…Mak Teh kawan Karn. Dia pesan Mak Teh datang,” jawab Mak Teh dengan lembut dan penuh hati-hati.
            Dian menarik bantal lebih rapat ke dadanya. Memeluk erat. Bebola matanya tepat pada wanita yang mengaku sebagai kawan kepada Karn.
            “Ka..kawan Karn? Dia..dia mana??? Kenapa dia suruh orang lain yang datang? Karn dah janji takkan tinggalkan saya…” Tidak semena-mena, Dian mula merengek. Air matanya mula menitis laju.
            Tercengang Mak Teh melihatkan reaksi Dian. Gadis itu boleh pula tiba-tiba menangis.
            “Err…dia..dia tak tinggalkan Dian. Tapi, dia ada hal. Sekarang Mak Teh yang akan jaga Dian,” pujuk Mak Teh.
            Dian mendiamkan diri. Pejam celik, pejam celik matanya melihat orang asing itu. Tetapi entah kenapa, orang itu tidak kelihatan menakutkan padanya. Tidak seperti…Manop!
            Mengingati lelaki itu, tubuh Dian mula menggigil sendiri. Bibirnya diketap kuat bersama mata yang mula meliar ke kiri dan ke kanan. Sungguh! Dia takut!
            “Dian…” panggil Mak Teh. Gusar pula hatinya melihat keadaan Dian. Tadi menangis sendiri dan kini kelihatan menggeletar ketakutan pula.
            “Jangan!!! Jangan apa-apakan aku!!!” jerit Dian tiba-tiba. Bantal dalam pelukannya tadi dilempar. Kedua-dua tanganya menekup telinga kiri dan kanan.
            Menitis air mata Mak Teh. Hatinya terasa sebak. Dian benar-benar menderita. Tanpa sedar dia menghampiri gadis itu dan pantas sahaja meraihnya ke dalam rangkulan. Erat sekali!
            Dian terkesima. Tubuhnya kaku dalam pelukan wanita yang tidak dikenalinya itu.
            “Dian dah selamat…” bisik Mak Teh di hujung telinga Dian.
            Usai mendengar suara itu, Dian terus tersedar. Tubuh yang dekat dengannya itu cuba ditolak. Namun sia-sia sahaja. Pelukan yang tidak diingini itu seakan-akan makin kemas. Dia mula terasa sesak. Ya, nafasnya seperti tersekat di hujung kerongkong.
“Lepas…lepaskan aku! Tolong..tolong jangan apa-apakan aku…” Dalam kesesakan nafas, Dian cuba menjerit dan merayu.
Tidak semena-mena Mak Teh meleraikan pelukan dan memegang kedua-dua belah pipi Dian. Sekali lagi Dian terpana.
“Dian, dengar sini. Dian dah selamat. Tak ada sesiapa yang akan cuba apa-apakan Dian. Karn ada, Mak Teh ada…kami semua akan jaga Dian. Jangan takut ya, nak.” Lirih suara Mak Teh cuba memujuk Dian.
Dalam-dalam Dian memandang wanita di hadapannya. “Mak Teh?”
“Ya, sayang. Ini Mak Teh, kawan Karn. Mak Teh akan selalu jaga Dian.”
Entah apa yang merasuk dirinya, Dian terus memeluk Mak Teh. Tersedu-sedu dia menangis di bahu wanita itu.
Mak Teh membalas pelukan itu dengan kemas. Air matanya turut mengalir. Dia seakan-akan dapat merasai kesedihan dan keperitan yang menyelubungi gadis itu.
“Dian dah selamat…jangan takut lagi…” Mak Teh terus-terusan memujuk. Penuh kelembutan. Bahu Dian diusap penuh kasih.
“Mak Teh akan jaga aku…Karn akan jaga aku…Dia orang akan jaga aku…” bisik Dian pada dirinya sendiri. 
_____________________________________________________________

BAB 20



“DIAN…”

Panggilan Karn hanya dibalas oleh jelingan tajam daripada Dian. Dia tidak mengendahkan langsung lelaki yang kini duduk bersebelahan dengannya.

Karn mengeluh kecil. Wajah Dian yang mencuka ditatap lama. Gadis itu tidak tampak marah tetapi lebih ke arah riak merajuk dan sedih. Karn perasaan akan mata Dian yang berkaca-kaca.
“Dian, saya…”
“Kenapa awak tak datang semalam? Awak cakap…awak takkan tinggalkan saya. Awak akan selalu ada untuk saya. Tapi, semalam…”
“Saya selalu ada untuk awak, Dian. Mungkin fizikal saya bukan depan mata awak, tapi percayalah…saya sentiasa ada di sisi awak,” pintas Karn tanpa berfikir panjang.
Dian memusingkan tubuh, menghadap Karn. Dahinya berkerut seribu. Langsung dia tidak mengerti apa yang cuba diperkatakan oleh Karn. Tiada di hadapan mata tapi sentiasa ada? Apa maksudnya?
Tersenyum kecil Karn melihat reaksi Dian yang terkulat-kulat tidak mengerti. Dalam keadaan tidak bermaya begitu, Dian tetap nampak comel pada pandangan matanya.
“Kenapa awak senyum?” Tanpa sedar Dian menyoal.
Makin lebar pula senyuman Karn. Naif sungguh gadis ini. Entah kenapa, kelibat Dian yang dahulu seperti muncul di hadapannya. Ya, Dian yang comel, naïf dan selalu berterus-terang. Ah, dia rindukan Dian yang itu! Sesaat kemudian, Karn mula tersedar. Isy, apa yang dia fikirkan ini? Rindu?
“Betul nak tahu kenapa?” tanya Karn kembali.
Dian menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Nak…nak…”
“Hmmm…” Karn menyandarkan tubuh ke sofa dan menyilangkan tangan ke dada. “Nak saya bagitahu ke?”
“Kenapa tak boleh bagitahu?!” Laju Dian membalas bersama nada suara yang tidak berpuas hati.
Karn menoleh ke arah Dian yang duduk di sebelahnya dan kemudiannya menetapkan renungan pada Dian. Lama dan dalam.
Terkebil-kebil Dian membalas pandangan mata Karn yang kelihatan aneh. Lelaki itu seakan-akan sedang membaca dirinya. Dian menelan air liur. Sedikit takut pula dia melihat tingkah Karn.
“Kalau nak saya bagitahu, saya nak balasan daripada awak. Boleh awak bagi?” Tiba-tiba Karn menyoal. Nada suaranya perlahan dan seperti berbisik.
Meremang bulu roma Dian mendengarkan nada suara Karn yang gemersik. Perlahan dia mengetap bibir dan menggaru kepala. “A..apa awak nak?”
Karn menundukkan kepalanya dan berbisik lembut di hujung telinga Dian. “Saya nak…senyuman awak.”
Tergamam Dian mendengar bisikan Karn. Matanya diangkat, menatap wajah Karn yang sudah kembali menyandarkan tubuh ke sofa. Lelaki itu tetap seperti tadi, merenungnya dengan suatu pandangan yang sukar dimengertikan.
“Boleh awak bagi itu pada saya, Dian?” Sekali lagi Karn menyoal.
Dian bungkam, buntu untuk memberikan jawapan. Tanpa dapat dihalang, sedikit demi sedikit peristiwa hitam itu menjelma dalam fikirannya. Dia yang diikat tanpa belas kasihan, tubuhnya yang hampir-hampir sahaja menjadi santapan jantan-jantan keparat, jari-jemarinya yang nyaris dikerat-kerat umpama sayur, nyawanya yang cuma sedetik sahaja lagi akan direnggut kejam dan akhir sekali…mayat Manop yang menindih tubuhnya bersama darah merah yang pekat dan hanyir.
“Arghhhh!!!” teriak Dian tiba-tiba. Kedua-dua tangannya memegang kepala dengan erat. Dia tidak mahu mengingati itu semua. Tidak!!!
Karn tercengang. Terperanjat sungguh dia dengan reaksi Dian. Automatik dia merapati Dian. Baru sahaja tangannya mendarat di bahu gadis itu, Dian pantas menepis tangannya. Kasar sekali.
Sekali lagi Karn tergamam. Wajah Dian yang merenungnya tajam ditatap. Dada gadis itu turun naik bersama bibir yang diketap kuat. Dian seperti sedang berperang dengan emosi dalam diri.
“Dian…”
“Saya ingat…saya ingat awak akan faham saya. Tapi saya silap, kan?” Dian tiba-tiba menyoal. Keras.
Karn mengerutkan dahi. Tidak memahami bait bicara yang dipantulkan oleh Dian. “Apa awak cakap ni, Dian? Apa yang awak silap?”
“Awak nak senyuman saya? Awak nak saya senyum? Macam mana, Karn? Tell me… teach me how to smile lepas apa yang dah jadi!” Bersama air mata yang mula mengalir laju, Dian membentak.
Perasaan serba salah mula menggebu dalam diri Karn. Sungguh dia tidak memahami apa yang telah terjadi. Tujuannya tadi cuma mahu bergurau dengan Dian. Tiada langsung niat buruk.
“Dian, saya tak bermaksud apa-apa. Saya cuma…”
“Saya cuma apa? Awak cuma nak saya jadi okey? Saya tahulah, Karn…awak anggap saya dah gila, kan? Dah sewel, kan?!” bidas Dian, penuh emosi.
“Dian Damia!!!” tengking Karn, cukup lantang. Panas hatinya dengan tuduhan itu. Sungguh! Tidak pernah sekali pun dia berfikir begitu tentang Dian. Walau secalit pun dia tidak sanggup! Tetapi, kini enak-enak sahaja Dian menilainya begitu.
“Kenapa? Betul kan apa yang saya cakap ni? Saya dah gila. Saya cuma nampak awak aje. Saya jadi takut bila tak nampak awak. Lepas tu, saya selalu nampak Manop. Dia nak bunuh saya. Dia bawa besi panjang tu…” Teresak-esak Dian bercerita. Namun keadaannya seperti bercerita kepada diri sendiri. Karn sudah tidak dipedulikan lagi.
Karn memejamkan matanya dengan perasaan sebak dalam hati. Nampaknya kelibat Dian Damia dahulu yang dilihatnya tadi cuma bayangannya sahaja. Fatamorgana semata-mata. Hakikatnya, Dian Damia yang sebenar sudah pun hilang lenyap entah ke mana. Yang tinggal kini hanyalah seorang gadis yang telah remuk.  
Perlahan-lahan Karn bangun dari duduknya dan berlalu pergi. Dia tahu sepatutnya dia tetap di sisi Dian, memujuk gadis itu. Tetapi entahlah, Karn seperti sudah hilang kudrat untuk terus berada di situ. Melihat keadaan Dian, hatinya jadi terlalu sakit dan dia jadi buntu akan bagaimana harus memujuk Dian. Ya, bagaimana mungkin dia memujuk Dian jika hatinya sendiri sebenarnya memerlukan pujukan?
Sebaik sahaja berada di luar bilik Dian, Karn menyandarkan diri ke dinding. Hujung matanya melirik ke belakang, melihat pintu bilik yang tertutup rapat dan membayangkan Dian yang teresak-esak dalam keadaan penuh keperitan.
“Tuan…”
Tanpa menoleh kepada tuan empunya suara yang menegurnya tadi, Karn bersuara. “Apa yang patut saya buat, Mak Teh? Dian…dia jadi macam tu sekali kerana saya. Dia terseksa. Dia benar-benar terseksa, Mak Teh!!!”
“Sabarlah, Tuan. Kita kena sabar dalam menjaga Dian. Dia perlukan lebih masa.”
Karn meraup wajah dengan kasar.
“Saya tahu, Mak Teh. Tapi..sebulan dah pun berlalu. Macam mana kalau sebulan ni jadi setahun? Lepas tu setahun jadi sepuluh tahun? Berapa lama lagi Dian harus terseksa?!”
“Berapa lama tu, cuma Tuhan saja yang tahu. Tapi kita tetap kena bersabar. Kena ada dengan Cik Dian, tak kiralah berapa lama masa yang perlu dia ambil. Kita tak boleh sesekali paksa dia.”
Mendadak Karn menoleh ke arah Mak Teh dan merenung wanita itu.
“Mak Teh nak cakap yang saya sedang paksa dia ke?” Keras Karn menyoal.
Mak Teh menggelengkan kepala dengan tenang.
“Tak, Tuan. Bukan itu maksud saya. Cuma…kesabaran adalah yang paling penting sekarang. Itu aje.”
Terlepas dengusan kasar dari mulut Karn. Dia mula tertanya-tanya sendiri apakah dia yang kurang kesabaran dalam menghadapi keadaan Dian? Apakah dia yang punya kecekalan yang terlalu tipis untuk menyelamatkan Dian? Dan yang paling penting, adakah tadi dia telah memaksa Dian? Ah, itu bukan niatnya!
*****
DIAN menyapu sisa-sisa air mata di pipinya. Kemudian dia bangun dan menapak ke arah beranda bilik. Dari kedudukannya berdiri, dia dapat melihat dengan jelas pemandangan cantik yang terhampar di hadapan mata. Padang yang sangat luas dan kehijauan bersama sebatang sungai yang melintasinya membuatkan persekitaran itu tidak ubah seperti sebuah lukisan. Ditambah pula, dengan barisan pokok bunga pelbagai warna yang menghiasai tepian sungai itu. Ya, segala-galanya memang cantik.
Tetapi sayangnya perasaan Dian tidak secantik itu. Perasaannya hodoh sekali. Yang ada hanya rasa takut, tidak selamat, keliru dan buntu. Tiada secalit pun rasa gembira dan bahagia yang tersisa dalam diri. Ah, dia benar-benar benci akan keadaannya sekarang. Sejujurnya, dia sedar akan segala-galanya yang berlaku di sekeliling. Dia sedar akan setiap perilakunya. Dia sedar betapa penakutnya dia sekarang, betapa lemahnya dia, betapa bergantungnya dia kepada Karn, tetapi Dian tidak mampu untuk melawan. Dia seolah-olah terperangkap dalam dirinya sendiri.
Ya! Mindanya seperti dapat berfikir dengan betul, tetapi pada masa yang sama seakan ada sesuatu dalam fikirannya itu. Suatu entiti yang menjadi sempadan antara dia dan keadaan di sekelilingnya.
“Karn…” Di luar sedar, bibir Dian mengucapkan nama sahabatnya itu. “Kenapa dengan saya ni? What’s wrong with me?”
Dian memejamkan mata dan menarik nafas dalam-dalam. Perasaan berat dalam hatinya cuba diredakan. Angin sepoi-sepoi bahasa mula menyapa wajahnya. Alangkah baiknya kalau angin ini bisa menghadiahkan dia dengan kekuatan untuk melawan segala kelemahan dan membebaskannya daripada perangkap perasaan yang kini memenjarakan dirinya.
Sedang Dian menikmati angin yang mula membelai-belai jiwanya, tiba-tiba dia merasakan seperti diperhatikan. Cepat-cepat Dian membuka mata dan menjatuhkan pandangannya ke arah tempat meletak kereta. Alangkah terkejutnya dia saat melihat seorang lelaki yang sedang tepat memandangnya. Mata mereka bersabung buat seketika sebelum Dian bergegas masuk ke dalam bilik. Pintu luncur di beranda ditarik dan ditutup rapat-rapat.
*****
TERKAKU Krissada di tengah-tengah kawasan meletakkan kereta. Wajah gadis yang baru sahaja menyapa pandangan matanya tadi terbayang-bayang dalam fikirannya. Pandangan mata gadis itu yang kelihatan sangat sedih segera menusuk masuk ke dalam hatinya. Aneh! Aneh sekali perasaannya sekarang.
“Eh, apa ni? Apa dah jadi dengan aku ni?” tempelak Krissada pada dirinya sendiri. Namun tetap juga dia tidak melarikan pandangan daripada terus melekat pada beranda bilik gadis itu, seolah-olah melalui tindakan itu dia boleh melihatnya lagi.
“Tapi…siapa perempuan tu? Apa dia buat di rumah Karn?”

15 comments:

  1. Sedihnya ...kesian dekat Dian...T_T

    ReplyDelete
  2. sape plak Krissada ?
    ouhh watak baru, kenapa kau muncul..HAHA
    entry yg sgt panjang..sayang akak
    sian dekat Dian :(
    tahap kesabaran Karn dah menipis ::(
    ouhh Mak Teh..ko nie sibuk laa..biar jela Karn yg jaga Dian..ehh -.-' HAHA

    ReplyDelete
    Replies
    1. Krissada tu sepupu Karn. dh kuar dlm bab awal ms diorg br kn culik.haruslah muncul utk bg lbh konflik...haha
      sayang lia jugak!!

      Delete
  3. ehh..ada watak baru la..krissada tu kawan karn ke??

    ReplyDelete
  4. Bila dian dh ok dia in lov ngan karn eh...hehe x sbrnyer..

    ReplyDelete
    Replies
    1. yezza!!! blm ok pn dia akn in love dgn Karn...opps, terbagi spoiler...haha

      Delete
  5. Krissada?

    ReplyDelete
  6. Krissada 2 sepupu Karn Klaharn kn Kak Sara???...hihihihi..

    ReplyDelete
  7. hmmm pndai sara buat babak2 keliru-jiwa-meronta ni, psycho abis. nasib baik ada mak teh. tahniah juga sebab buat readers tetanya2 bab si krissada enterframe hahaha ulang balik baca utk yg tetanya2. will krissada make a move on dian, sara? i'm waiting......

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks, dear...
      itulah, ssh juga nk buat babak mcm tu, tp sy cuba sebaik mungkin. thanks sgt2 sbb ckp okey...hehe...

      Delete
  8. saya ingat Krissada ni perempuan. Sbb name die macam perempuan. hahaha. yg adik karn name kris tu krissada la ea?

    ReplyDelete