June 13, 2017

AKU LELAKIMU - BAB 4


BAB 4


“APA…APA…” Lidah Tihani tergugup-gagap. Sungguh! Dalam ramainya manusia di muka bumi, bukan wajah ini yang dia jangka nampak di sini.

Bukan Alexander Aryan!

Riak muka Alex berubah serius. Dia meliarkan pandangan ke segenap wajah Tihani. Tudung sudah terbang entah ke mana. Rambut berserabai. Leher merah. Dahi benjol. Pipi lebam. Hidung berdarah. Bibir pecah. Dada turun naik dengan ganas. Jelas menunjukkan betapa Tihani cuba menyedut sisa-sisa udara.

Renungan Alex dialihkan pula kepada mata Tihani. Basah dan meleleh-leleh dengan tangisan. Sekelipan, jantungnya terasa pedih. Melihat Tihani begitu, sama seperti dia yang disakiti.

“Sorry. I datang lambat.” Antara dengar tak dengar, Alex bersuara.

Lidah Tihani kelu. Tidak tahu reaksi apa yang patut diberi. Otaknya terasa biul. Rasa terkejut kerana hampir mati, bercampur aduk dengan rasa terkejut kerana kemunculan Alexander Aryan.

“He…he…he…”

Tihani tersentak. Terus, dia menoleh kepada sang penyerang yang sudah pun bangkit dari lantai dan kini membelakangi mereka. Bahu lelaki itu bergerak-gerak, bersama bunyi tawa yang semakin lama semakin kuat.

Juga, semakin jahat.

“Malam ini…” Suara mendatarnya berbunyi di celah-celah tawa. “Memang menarik.”

Usai menyudah kata, dia memusing badan dan menyerbu ke arah mereka. Tihani membeliakkan biji mata. Cepat-cepat, dia mengengsot. Mahu menjauh. Mahu menyelamatkan diri. Namun, Alex lebih laju bertindak. Dia meluru ke hadapan dan melompat tinggi. Tendangannya tepat mengenai dada sang penyerang. Sekali lagi, lelaki itu terperosok ke belakang.

Buat pertama kali, Alex menghadap muka sang penyerang yang bertutup topeng hitam. Hanya menampakkan dua biji mata dan mulut. Alex senyum sinis. Huh, dasar jantan pengecut! Bukan main membelasah wanita, tetapi rupa sendiri tidak berani ditunjuk.

“You don’t really think I would let you touch her again, do you?” Nada suara Alex sedingin salju. Keras tidak berperasaan.

Sindiran Alex tidak berbalas. Sebaliknya, sang penyerang membetulkan tegak berdirinya. Bahkan, dengan cukup selamba dia menyapu bekas tapak kasut yang melekat di bahagian dada baju.

Alex tidak terus menyerang. Matanya tajam merenung muka bertopeng yang kini setentang dengannya. Aura gelap membuak-buak keluar. Bahkan, Alex seperti dapat menghidu bau darah.

Bibir di celah topeng itu, herot sebelah. Penuh kesinisan.

“This is really interesting.” Dia bertutur.

Dahi Alex berkerut sedikit.

“Kau memang tak sama macam orang lain.”

Terlepas gelak halus dari mulut Alex.

“Dunia akan jadi terlalu membosankan, kalau aku juga macam orang lain.”

“Huh, patutlah,” sinis sang penyerang seraya melangkah setapak demi setapak ke hadapan.

Alex tidak berganjak.

“I can smell it. The devil inside you.”

Kening Alex terjongket sebelah.

“Well, everyone is a devil.”

Serentak dengan bicara itu, Alex bergerak ke hadapan. Sang penyerang mengambil tindakan sama. Kaki masing-masing diangkat tinggi. Alex melibas tendangan ke muka lelaki itu hingga terhentak ke belakang. Melihat lawannya yang terhuyung-hayang, Alex mengambil kesempatan dan menerajangnya. Lelaki bertopeng tersungkur, tetapi secepat itu juga dia bangkit semula. Tangan dihayunkan tepat ke perut Alex. Kemudian, dia melompat dan menghentak bawah rahang Alex dengan kepala lutut. Kepala Alex terdongak ke atas.

Sedang Alex tersendeng-sendeng, tubuhnya ditolak hingga ke dinding. Leher ditekan dengan lengan. Segenap muka Alex jadi berkerut-kerut. Urat hijau mula timbul. Akan tetapi, mata hitam milik Alex masih memanah tajam. Tidak terkesan dengan tindakan lawannya yang mahu mencabut nyawa. Bahkan, hujung bibirnya menyenget sinis.

“You know what? Bukan senang untuk membunuh seorang Alexander Aryan.”

Tangan Alex mencengkam lengan lawannya. Sedikit-sedikit, dia menariknya. Sang penyerang cuba menghalang. Dia menekan lagi, tetapi segala tindakan bagai tiada erti. Jari-jemari Alex tetap mampu menggerakkannya ke atas. Leher jadi bolos. Kemudian, dia menolak dada lawannya. Kuat hingga tersorong jauh. Alex menyerbu ke hadapan. Dia memusing badan pada skala tiga ratus enam puluh darjah dan menyepak muka lawannya. Lelaki itu terpelanting ke jalan.

Alex berdiri tegak. Mata kosong memandang lawannya yang sudah pun tersungkur. Dia mengangkat langkah lebih dekat.

“Wooshh…”

Satu objek tiba-tiba berdesing di sebelah telinga. Pipi terasa pedih. Pada masa yang sama, lelaki bertopeng bangkit dan meluru ke arahnya. Sedar-sedar sahaja dia sudah pun terbaring atas lantai.

Dihempap dan dicekik!

“Aku takkan pernah kalah. Terutama sekali kepada kau,” desis sang penyerang. Bibirnya terketap-ketap. Dari sebalik topeng, matanya memerah ganas. Tangannya mencengkam lebih kuat. Jelas menampakkan betapa dia tidak akan membiarkan Alex lepas buat kali kedua. Dia akan memastikan bahawa jari-jemarinya berjaya mematahkan leher lawannya.

Seperti sebelum ini.

Alex mencerlung tajam. Tiada walau sebesar zarah ketakutan. Dia menggenggam tangan yang melekat di lehernya dan cuba menariknya. Segenap wajah tegang hingga menampakkan urat. Nafas berdesah kuat. Udara yang semakin lama semakin kurang, cuba ditarik dalam-dalam. Dia tidak akan mati begini. Tidak akan!

Namun…

Walau sekuat mana Alex melawan, cengkaman di lehernya tetap tidak terjejas. Bahkan semakin ketat. Alex meronta cuba bertahan, tetapi semuanya sia-sia. Entah dari mana datangnya, kekuatan lelaki ini sudah mencanak naik.

Dia sedang menggila!

“Let. Him. Go.”

Hujung telinga Alex tiba-tiba menangkap satu suara. Sepatah-sepatah dan cukup bergetar.

“Takkan ada lagi, kematian depan mata aku.”

Suara itu semakin lama, kedengaran semakin keras.

“Takkan!!!”

Serentak dengan laungan itu, satu susuk tubuh meluru laju kepada mereka berdua. Dalam sekelip mata sahaja, lelaki bertopeng melepaskan leher Alex. Udara menyerbu masuk ke dada Alex. Dia menggali nafas dalam-dalam. Mulut separuh terbuka. Dada berombak kencang, terdesak untuk menyimpan nyawa yang hampir direnggut beberapa saat lepas.

Kemudian, dia menengadah.

Tidak jauh daripada kedudukannya sekarang, Alex dapat melihat dengan jelas, Tihani dan lelaki bertopeng sedang berlawan sesama sendiri. Tihani menumbuk lawannya beberapa kali. Sang penyerang membalas semula. Dia menendang belakang Tihani hingga terdorong ke hadapan. Secepat itu juga, Tihani memusing badan dengan tendangan tinggi. Hampir mengenai muka lawannya. Tetapi lelaki itu lebih dahulu menahan dengan lengan. Bahkan, dia menangkap pergelangan kaki Tihani. Bibirnya senget sedikit sebelum mengangkat tangannya tinggi.

Mata Alex buntang. Lelaki itu mahu mematahkan kaki Tihani!

Sepantas kilat, Alex bangkit dan berlari. Sebelum sempat siku sang penyerang menghentak lutut Tihani, dia melompat dan menyepak kepala lelaki tersebut. Serta-merta, kaki Tihani terlepas. Dengan tangkas, Alex menyambut tubuhnya. Bahu Tihani dipegang kemas. Mata merenung lawan yang tampak bersedia untuk menyerbu lagi. Jantan ini memang tidak reti mengalah!

Namun…

Bunyi siren polis tiba-tiba bergema. Sang penyerang kaku di tempatnya berdiri. Pada masa yang sama, rintik-rintik hujan menyimbah bumi. Sedikit-sedikit, hingga akhirnya lebat. Muka bertopeng sang penyerang diangkat ke langit hitam. Bibirnya senyum lebar.

“Tuhan juga menyebelahi aku. Wait, I don’t even believe in God,” bisiknya disusuli tawa mengejek. Kemudian, dia mengangkat kaki. Tenang dan teratur. Jelas menunjukkan betapa dia tidak terkesan dengan kemunculan pihak polis. Keangkuhannya tetap meluap-luap.

Alex membiarkan sahaja. Lelaki itu bukan keutamaannya sekarang. Yang lebih penting ialah tidak lain dan tidak bukan…

“Tia…” seru Alex seraya menggerakkan tubuh Tihani.

Gadis yang masih separuh dalam rangkulannya itu, melangut muka. Matanya terkelip-kelip di sebalik wajah yang kebasahan ditimpa hujan. Tanpa suara, Tihani mengangkat tangan. Kemudian, dia menyentuh pipi Alex yang berdarah terkena kaca yang dibaling kepadanya tadi. Alex mengerutkan dahi, tidak memahami tingkah laku Tihani. Mahu menyoal, lidahnya kelu.

Tambah membingungkan, bila Tihani tiba-tiba mengukir senyuman.

“Gosh, this is unbelieavable.” Suara halus Tihani berbunyi di celah-celah deruan hujan.

“Huh?”

“Muka you nampak teruk.”

Alex tergelak halus. Boleh pula Tihani buat lawak dalam keadaan sekarang.

“Tihani Rose…”

“Hmm…”

“You really are interesting.”

“I know.”

Alex senyum lagi. Jawapan selamba yang dituturkan Tihani mencuit hati. Juga, membuatkan dia semakin tertarik dengan gadis yang sejak dari awal, memakunya dengan sepasang mata hazel yang indah.

*****

“OH GOD, TIA!

Hampir tersembul biji mata Vanessa saat melihat kemunculan Tihani. Seorang lelaki berjaket hitam yang berdiri dekat dan bercakap dengan polis, turut mengalih pandang. Seperti Vanessa, matanya juga terbeliak.

Sebelum sempat Vanessa mendapatkan Tihani, dia lebih dahulu meluru.

“Tia!”

Tihani yang berjalan terjongket-jongket sambil ditampung Alex, menengadah. Bibirnya mengulum senyuman. Canggung bercampur lemah.

“Ed…”

“Belakang sana.” Alex mencantas. Tetapi sudah cukup untuk difahami oleh lelaki tersebut.

“Go! Go!!!” Dia mengarah lantang. Berdesup beberapa orang polis pergi ke arah lorong yang dilalui Tihani dan Alex, sebentar tadi. Kemudian, lelaki itu menggamit seorang anggota polis wanita yang berdiri dekat.

“Bawa mereka ke hospital.”

Lengan Tihani dipegang lembut oleh polis yang menerima arahan. Dia ditarik menghala ke sebuah kereta polis. Payung menutupi kepala yang sudah pun lencun.

“Tia…” Vanessa yang sedari tadi berdiri di sebelah segera menegur. Segenap wajah berbias kerisauan.

Tihani mematikan langkah dan menghadap Vanessa.

“I’m okay. Tolong call Zahin, minta dia cover aku untuk kes ni. Aku rasa sekejap lagi Tuan Iskandar akan tiba. Ambil keterangan dia. Lepas tu, jumpa aku di hospital.” Satu-satu, Tihani memberi arahan. Dengan setiap patah katanya, mata Vanessa membesar.

“Dalam keadaan macam ni pun, kau masih fikirkan kerja?!”

“Ini scoop kita. Kita orang pertama yang sampai ke sini. Jangan lepaskan peluang.” Tihani membalas. Langsung tidak terkesan dengan tempelak Vanessa. Dia ialah seorang wartawan. Mendapatkan dan melaporkan berita itu ialah tanggungjawabnya. Tidak kira apa yang berlaku!

*****

DENDANGAN Beethoven Piano Sonata No. 14 dalam C minor ‘Quasi una fantasia’, berkumandang memenuhi setiap inci ruang kondominium. Matanya terpejam, menikmati setiap satu bunyi tekanan piano. Bibir tidak habis-habis menyeringai. Tangan kanannya pula memutar-mutar gelas wain. Sesekali dia meneguk isinya.

Lama berkeadaan demikian, dia membuka mata. Perlahan-lahan, hingga akhirnya dia kembali berada di hadapan tingkap besar yang memisahkan dia dari dunia luar. Dari kejauhan, lampu berkelip-kelip penuh cahaya. Bangunan pencakar langit bersinar dengan beberapa tingkat yang masih cerah, menandakan golongan manusia yang tidak henti-henti bekerja. Kereta masih bersimpang siur di jalanan tanpa mengira waktu yang sudah lewat malam.

Ah, dia balik semula ke sini. Menghadap dunia yang membosankan. Tiada lagi dunia Moonlight Sonata yang cuma ada dia dan gadis itu. Ya, gadis yang sudah membuktikan apa yang dia bayangkan selama ini. Malah, sudah membuktikan bahawa semua perempuan yang dia bunuh selama ini, tidak pernah mampu untuk memberi apa yang dia ingini. Mereka takkan pernah mampu untuk mengganti seorang wanita yang selama ini menjadi kemahuannya.

Buktinya sebentar tadi. Hanya dengan pertemuan yang sekejap cuma, wanita itu telah menghadirkan rasa yang fikirnya sudah lenyap dalam diri. Wanita itu telah menghidupkan semula api yang terpadam. Dan sekarang, seluruh jiwa lelakinya membuak-buak dengan rasa teruja.

Berkali-kali membunuh, dia fikir bahawa dia sudah merasai segala jenis perasaan teruja. Melihat mangsa-mangsanya merayu, meronta dan membeliakkan biji mata sebelum nafas putus, benar-benar mengujakan. Tetapi rupa-rupanya dia silap. Tiada yang lebih agung daripada perasaan membunuh manusia yang cuba melawan. Mangsa-mangsanya sebelum ini cepat sangat menyerah. Huh, membosankan!

Tetapi…

Wanita yang seorang itu memang lain daripada yang lain. Cukup sempurna sebagai sasaran yang jauh lebih menyeronokkan. Lagi kuat melawan, lagi mengujakan. Lagi mengghairahkan. Dan yang lagi menarik…

“You shall be my masterpiece, Tihani Rose.”

Wanita itulah yang menjadi pemula kepada segala-galanya.



***********

NOTA CIK SA

Kata AK: "She's my woman. You touch her, and you die."

Kata AA: "You don't really think I would let you touch her again, do you?"

Different approach, same meaning. So yeah, pardon me, Cik SA nak pergi fangirling over dua hero ni kejap. Haha!

Do like, comment and share. Thank you and see you next Thursday. =)

Love,


SA (IG: ciksara_aisha)

13 comments:

  1. yeay!thanks writer.sangatttt suspen tau!tp kite suka.. :)

    ReplyDelete
  2. Best kak sara :D bila baca part berlawan tu, boleh imagine betapa machonya Alex. Tihani pun hebat jugak. Tak sabar nak tunggu next chapter :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq!!! kan, alex dan tia sama-sama macho. hehe

      Delete
  3. Best gila2😂😂..fan AA smpai bila2.. cepatlah keluar nak beliiiiii😭

    ReplyDelete
  4. best cite nie....cpatla hari khamis 😀

    ReplyDelete
  5. AA mcm AK la cik sara..ade karisma...

    Then yg psycho tu..takutnyee bila baca td..

    ReplyDelete
  6. Gempakkkk!!!!!!! Really love it !

    ReplyDelete
  7. saya suka dengan kata-kata AA & AK

    ReplyDelete