June 12, 2017

AKU LELAKIMU - BAB 3


BAB 3

"BERAPA lama lagi kita kena tunggu?"

"Sekejap lagi sampailah tu." Acuh tak acuh, Tihani menjawab. Perhatian masih pada skrin telefon bimbit. Menjawab whatsapp daripada Zahin. Masa dia tengah cutilah, manusia yang seorang ini rajin sungguh menyoal macam-macam. Padahal, Tihani sudah menulis maklumat terperinci dalam laporan. Zahin cuma perlu membuat susulan daripada saksi. Itu sahaja.

"Akak tahu tak?"

"Apa?"

"Ha peliklah dengan akak. Tak ada buku lain ke yang akak nak minat? Buku yang lebih normal."

"Cuba define maksud normal?" Masih tidak melihat ke sebelah, Tihani bersoal jawab.

"Ala, novel-novel yang orang selalu bacalah. Novel Sara Aisha ke, Jodi Picoult ke, Asma Nadia ke..."

Tihani menutup telefon bimbit dan berpaling ke sebelah. Anak muda berusia dua puluh tahun itu, dipandang tepat.

"Pernah dengar tak?" Dia menyoal.

"Apa?"

"Normal is an illusion. What is normal for the spider is chaos for the fly."

Talha Amzar menjuih bibir.

"You and your quotes. Tak habis-habis!"

Terlepas gelak halus daripada bibir Tihani.

"Disenangkan cerita, normal itu kan subjektif. Apa yang normal bagi akak, mungkin tak normal bagi Ha. Apa yang normal bagi Ha..."

"Mungkin tak normal bagi akak."

"Pandai! Lagipun..." Tihani mengangkat buku dari atas paha dan menayang ke muka Talha.

"Apa bezanya akak dengan dia? We both write about deaths."

"Akak lain," bantah Talha dengan bibir agak memuncung.

"Apa yang lainnya?"

"Akak bukannya boleh pilih apa yang nak tulis, apa yang tak nak tulis. Mana akak diarahkan pergi, situ akak pergi. Itu yang akak tulis."

Kepala Tihani terangguk-agak. Fokus dalam mendengar penjelasan adiknya.

"Jadi, Ha nak cakap yang dia sendiri pilih apa yang dia mahu tulis?"

"Yes, of course! This guy write about murders, about killers, about psycopaths. Obviously..." Talha menghenti kata di sekerat jalan dan membawa jari telunjuk ke tepi kepala.

"Ada benda tak kena dengan otak dia."

Bersungguh sekali Talha bercakap. Tihani senyum halus.

"Wow, ini sangat menarik. Walaupun Ha cakap tak suka dia, tapi Ha tahu apa yang dia tulis. Siap buat analisa pasal dia."

Talha menjegil mata.

"Akak, I'm not kidding!"

"Yeah, yeah. I know." Tihani membalas endah tak endah. Perhatiannya kembali kepada telefon bimbit. Namun telinganya tiba-tiba menangkap bunyi hingar-bingar. Dia mendongak ke arah pintu masuk MPH, Nu Sentral. Beratus-ratus orang yang mengerumuni ruang legar kelihatan teruja benar. Ada yang menjerit-jerit. Ada yang meloncat-loncat. Ada yang memeluk sahabat mereka. Kalah rupa orang baru bertemu artis K-pop. Di sebalik semua kekecohan itu, satu susuk tubuh mula kelihatan.

Tihani ternganga.

Ini bukan macam apa yang dia bayangkan. Mana pergi lelaki serabai dalam gambar hitam putih yang dia tengok sebelum ini? Yang elok tertampal di belakang setiap karyanya?

"Patutlah akak suka dia." Bisikan Talha melekat di celah telinga.

"He's hot."

Tihani buat-buat tidak dengar. Perhatiannya tetap pada figura yang semakin jelas, di celah-celah manusia di sekeliling.

Susuk tubuhnya tinggi dengan kaki panjang. Berkulit cerah. Sederhana tegap. Tidak terlalu berotot. Tidak terlalu kurus. Sepasang mata miliknya kelihatan bundar. Hidung mancung, dengan bibir yang elok terukir. Rambutnya kemas disikat tepi terjongket ke atas, menampakkan dahi yang sederhana luas. Dari segi pemakaian, dia kelihatan selesa dengan T-shirt berleher V dipadankan dengan jeans hitam. Digayakan lagi dengan jaket kulit yang juga berwarna hitam. Lengan jaket disinsing hingga ke siku, menampakkan urat tangan yang kekar.

Kasual, tetapi berwibawa.

Seolah-olah perasan bahawa dirinya sedang diperhati, lelaki itu mengangkat anak mata. Tepat ke muka Tihani. Sekali lagi, Tihani terpegun. Iris mata lelaki itu yang hitam pekat bagaikan menarik dia untuk terus terperangkap di situ. Tidak ubah seperti black hole yang mampu menyedut apa-apa sahaja yang merapat.

Juga, menghentikan masa.

Tihani membatu keras. Entah berapa lama, dia tidak pasti. Tetapi sekarang, suasana sekeliling seperti jadi terlebih jeda. Sepi sekali. Seolah-olah seluruh makhluk di ruang ini sudah lenyap entah ke mana.

Lalu, yang tertinggal cuma dia dan jejaka bermata hitam.

Tidak semena-mena, sang jejaka mengukir senyum. Automatik matanya melengkung seperti bentuk bulan sabit.

Eye smile.

Itulah istilah yang selalu orang gunakan. Mata yang melengkung bila pemiliknya memasang senyum, lantas membuatkan senyuman itu kelihatan sangat ikhlas.

Tihani masih kejur seluruh badan. Inilah dia lelaki yang bertahun-tahun ingin ditemui. Inilah dia lelaki yang banyak mengajarnya tentang kekejaman dunia. Inilah dia lelaki yang membuka matanya tentang jiwa-jiwa zalim. Inilah juga lelaki yang memberinya harapan.

Inilah...Alexander Aryan.

*****

"MACAM MANA saya pilih topik untuk buku-buku saya? Frankly speaking, kebanyakan buku saya datangnya daripada idea para pembaca. Saya selalu dapat cadangan daripada pembaca, detektif, mangsa dan juga keluarga pembunuh itu sendiri."

"Kita memang pelik ke sebab baca buku true crime?"

Satu soalan menerpa dari khalayak ramai. Spontan, Tihani menjeling ke kanan. Talha mengangkat sebelah kening dengan muka selamba.

Tihani tersenyum dan kembali mengalih pandangan ke hadapan. Alexander Aryan sedang sibuk melayan soalan peminat-peminatnya dalam sesi soal jawab.

"Saya selalu dapat soalan macam tu. So, let me ask you. Do you really think we are strange?"

"No!" Bergema jawapan yang dipinta.

Alexander Aryan gelak halus. 'Eye smile' dia melengkung lagi dan kelihatan menutup mata.

Sangat indah.

"See, that's the answer. We are not weird. We are not strange. Kita cuma tertanya-tanya, apa yang membuatkan orang jahat jadi jahat. Kalau kita tidak dapat menemui sebab yang membawa kepada this antisocial behavior, kita takkan boleh berharap untuk hentikannya sebelum jadi lebih parah. Senang cerita, we need to know the cause to stop the effect."

Buat kesekian kali, Tihani mengerling kepada Talha. Sebelah kening dijongket dengan isyarat 'Dah dapat jawapan, kan?'

'Yeah, yeah. I know.' Talha menjawab. Juga dengan isyarat mata.

Tihani senyum dalam diam.

"Ada apa-apa soalan lagi?" Pertanyaan daripada pengacara majlis merangkap staf MPH berkumandang.

Beberapa tangan terangkat. Tihani mencelah sama.

"Cik..." Staf tersebut menghulur mikrofon kepada Tihani.

"Terima kasih," ucap Tihani.

Mikrofon bertukar tangan. Tihani memandang Alexander Aryan. Lelaki tersebut melihat dengan muka penuh tanda tanya. Keyakinannya terserlah. Mungkin bersedia untuk menjawab apa-apa soalan.

Tihani menelan air liur sebelum bersuara.

"Your first four books are all about murderers. Jadi kenapa you tukar kes dalam buku kelima hingga buku terbaru? Kenapa kes pembunuh bersiri? Kenapa psikopat? Macam yang you cakap tadi, is it because of a reader's idea?"

Bertalu-talu soalan yang terpantul keluar dari mulut Tihani. Dengan setiap patah kata itu, Tihani perasan bahawa riak muka Alexander Aryan mula berubah. Lelaki itu terkesan dengan soalannya!

Seketika, Alexander Aryan menyengap. Mukanya serius, seperti memikirkan sesuatu. Kemudian, dia mendekatkan mikrofon ke bibir. Dengan renungan yang memanah tepat ke mata Tihani, dia menjawab. Perlahan lagi mendatar.

"I am obsessed with serial killers."

Dan-dan, nafas Tihani rasa tersekat di celah kerongkong. Setiap inci ruang legar juga terasa hening. Bunyi yang riuh rendah sebelum ini tiba-tiba lenyap begitu sahaja. Suasana terasa tegang.

Sedikit demi sedikit, Alexander Aryan menggerakkan bebola mata. Dari kiri ke kanan, dan kemudian kembali kanan ke kiri. Mata hitamnya seolah-olah sengaja memerhati dan membaca setiap wajah yang hadir. Satu per satu hingga akhirnya terpaku semula ke muka Tihani.

Tubuh Tihani mengeras. Dia tidak pasti kalau orang lain perasan, tetapi lelaki ini...lelaki ini sedang tersenyum! Tidak lebar. Hanya sipi-sipi di hujung bibir, tetapi sudah cukup untuk mencambah perhatian Tihani.

Juga, untuk meremangkan bulu roma!

Tanpa diduga, Alexander Aryan ketawa. Dia mengalihkan pandangan daripada Tihani dan kembali melihat khalayak ramai.

"You guys are so funny. You looked as if I am about to kill you."

Orang ramai mula ketawa.

"Dia bergurau ajelah."

"He's joking."

"Buat seriau orang aje..."

Cakap-cakap orang kedengaran sana-sini. Masing-masing ketawa. Ada yang berbunyi canggung. Ada yang benar-benar ketawa.

Tetapi, tidak Tihani Rose.

Senyuman sinis yang dia lihat tadi, terlampau melekat dalam ingatan. Dia jadi tidak mampu ketawa. Tidak mampu mengulum senyum. Tihani tiba-tiba merasakan bahawa seorang Alexander Aryan bukanlah seperti yang digambarkan. Bukan seperti yang dia tahu.

Ada sesuatu tentang lelaki ini.

Ada rahsia yang tersirat.

"Okey, berbalik kepada soalan tadi." Alexander Aryan kembali serius.

"Soalan yang sangat menarik." Ekor matanya melirik kepada Tihani.

Tihani tunjuk muka tenang, walhal degupan jantungnya mencanak dengan setiap jelingan lelaki itu. Kalau sebelum ini, degupannya kerana rasa kagum dan takjub, sekarang Tihani sudah tidak pasti.

"Memang betul saya selalu tertarik dengan pembunuh bersiri dan psikopat. Don't worry, not in a creepy way." Nada suara Alexander Aryan bertukar nakal. Beberapa orang peminatnya tergelak.

"Saya selalu tertanya-tanya. Siapa sebenarnya mereka? Kenapa mereka membunuh? Apa yang membuatkan mereka berbeza daripada pembunuh-pembunuh lain? Dan yang lebih penting, apa yang ada dalam fikiran mereka? Dalam otak mereka?"

Sejenak, Alexander Aryan menarik nafas.

"Semakin saya tertanya-tanya, semakin saya rasa perlu tulis pasal mereka. Secara kebetulan, one of my good friends, a detective from Fargo beritahu saya tentang Joseph Edward Duncan III. Dia kemudiannya dipilih sebagai subjek dalam buku kelima saya, Diary of a Madman."

Tihani menjeling ke arah buku di atas paha. Tajuk 'Diary of a Madman' tertera besar. Kisah jenayah benar berdasarkan pembunuh bersiri, Joseph Edward Duncan III yang telah membunuh lima orang mangsa. Membaca karya yang ini benar-benar memberi impak kepada Tihani. Kejamnya seorang Joseph Edward Duncan III tidak tercapai dek akal. Manusia jenis apa yang boleh dengan selamba menulis blog mengenai kekejaman dan segala penyeksaan yang dia buat terhadap dua orang mangsa terakhirnya? Lebih-lebih lagi, mangsa itu cuma berumur sebelas dan sembilan tahun. Kanak-kanak yang langsung tidak mampu membela diri.

"Jadi, dapat tak jawapannya?"

Satu soalan tiba-tiba muncul dari celah-celah khalayak ramai. Tihani menoleh ke belakang. Namun, pandangannya terhalang oleh beberapa orang gadis. Si penyoal tadi cuma kelihatan separuh sahaja. Tidak cukup untuk menampakkan wajah.

"Siapa sebenarnya mereka? Kenapa mereka membunuh? Apa yang membuatkan mereka berbeza daripada pembunuh-pembunuh lain? Dan yang lebih penting, apa yang ada dalam fikiran mereka? Dalam otak mereka?" Setiap satu soalan Alexander Aryan diulang semula.

"Dapat tak jawapannya?"

Riak muka Alexander Aryan kekal tenang.

"Tidak. Tak ada sesiapa yang akan dapat jawapan sebenarnya. Bagi saintis, pembunuh bersiri dikaitkan dengan psikopat. Tapi hakikatnya, bukan semua psikopat jadi pembunuh bersiri. Kebanyakan mereka boleh jadi orang yang sangat berjaya. Jadi ya, selama-lamanya kita takkan dapat jawapan sebenar."

"Apa yang kau cakap tadi, ialah pendapat saintis. Macam mana pula dengan pendapat kau sendiri?" soal suara itu lagi. Intonasinya tenang dan tegas. Tihani mula membayangkan betapa penyoal ini merupakan seorang yang intelek, tenang dan berkeyakinan tinggi.

"Then..." Alexander Aryan berhenti sekejap. Pandangan matanya teguh ke hadapan.

"I would say, they are very interesting creatures."

Sekejapan, orang ramai mula berbisik-bisik.

"They are very good in manipulating others. Yet, they are slaves to their own compulsions. Mereka membunuh kerana mereka perlu membunuh, dan mereka tak boleh menghentikan diri. Pendek kata, mereka tidak mampu mengawal diri sendiri, walaupun sangat hebat dalam mengawal mangsa-mangsa mereka."

Alexander Aryan meliarkan pandangan ke muka para peminatnya. Penuh makna tersirat.

"What makes it even more insteresting is the fact that they are invincible. They live among us, they walk among us. They are..."

Sekali lagi, renungan mata Alexander Aryan dipanahkan kepada Tihani.

"Us."

*****

"TIHANI ROSE."

Tihani mendiam. Telinganya seperti mendengar sesuatu. Tetapi tidak diendah. Segenap perhatian cuma kepada lelaki yang duduk di hadapan, dengan meja antara mereka berdua. Kepalanya menunduk. Sebelah tangan membelek nota kecil yang tertulis nama Tihani. Tadi, sebelum ketibaan Alexander Aryan, salah seorang staf MPH telah membahagikan kertas nota kosong untuk orang ramai mencatit nama. Katanya, bagi memudahkan Alexander Aryan menandatangani buku dan menjimatkan masa.

"I am obsessed with serial killers."

"Serial killers are invincible."

"They are us."

Kata-kata itu berdengung dalam fikiran Tihani. Sungguh, dia ingin melemparnya jauh-jauh. Dia tidak mahu mengingatinya. Dia tidak mahu sebegini terkesan.

Tetapi...

Dia tidak mampu. Setiap patah perkataan yang lelaki ini ucap sebentar tadi, sudah pun masuk ke dalam fikirannya dan melekat terus. Bahkan, riak mukanya juga mampu Tihani ingat satu-satu. Renungan mata kosong tidak beriak. Senyuman sinis di hujung bibir.

Tihani tidak mampu membuangnya!

"Are you that scared of me?"

Tihani tersentak. Matanya bulat memandang wajah yang sedikit demi sedikit mendongak. Sebelum sempat pandangan mereka bertemu, Tihani lekas mengalihkan anak mata. Tidak mahu lelaki itu membaca air mukanya. Wajah tenang cuba ditayang, padahal jiwanya tidak keruan.

"You patut belajar macam mana untuk kawal air muka you. It's too obvious."

Bicara itu kedengaran sinis menujah telinga. Tihani mencemik. Anak mata kembali diangkat. Pandangan serius ditala kepada lelaki itu.

"Or maybe, you yang patut belajar untuk tidak takutkan orang lain." Keras Tihani membidas.

Alexander Aryan senyum tenang. Dia menarik salah sebuah buku yang Tihani susun di atas meja. Tujuh buah semuanya.

"Fear is the greatest gift of all, Miss Tihani Rose." Tanpa memandang Tihani, dia menyambung kata.

"Be happy that you have it in you."

"Huh?" Tihani menyerunyutkan dahi. Apa yang didengari langsung tidak difahami.

Alexander Aryan kembali melangut muka. Senyumannya semakin lebar. Tetapi Tihani boleh nampak betapa senyuman itu tidak sampai ke mata.

"Saya minta maaf sebab dah takutkan cik sebentar tadi. Saya tak berniat untuk buat macam tu," tutur Alexander Aryan. Tiba-tiba jadi tertib dan formal.

Dahi Tihani yang sedia berkerut, jadi semakin berlapis. Sungguh dia keanehan dengan sikap lelaki ini yang sekejap-sekejap berubah.

"By the way, thank you for your support," sambungnya seraya menghulur buku terakhir yang ditandatangani.

"Bukan setakat support, dia basically gilakan abang."

Mata Tihani buntang. Semerta, dia menoleh ke sebelah. Tadi cakap mahu ke tandas, bila masa pula dia ini datang balik?

"Kalau abang nak tahu, kakak saya ni memang peminat nombor satu abang." Talha menyambung lagi. Tangannya rajin mengangkat buku-buku yang dibawa oleh Tihani.

Mata hitam Alexander Aryan terkelip-kelip memandang Tihani. Dia senyum canggung, dan menarik lengan Talha lebih dekat.

"Apa Ha cakapkan ni?" Dengan bibir yang terketap-ketap, Tihani berbisik.

"Betul apa Ha cakap. Akak minat giler dengan dia, kan? Baca semua buku dia. Tahu background dia. Kat mana dia tinggal. Asal dari mana. Tempat belajar dia."

Pipi Tihani terasa membahang. Dia melirik kepada Alexander Aryan yang sudah tersenyum-senyum.

"Background dia ada tertulis kat buku dia. So, boleh tak jangan bercakap seolah-olah akak stalk dia?" gerutu Tihani. Masih dengan suara yang tertahan-tahan.

Talha mencebik.

"Eleh, tak nak mengaku konon. Akak orang pertama sampai sini kut. Sanggup tunggu dia tiga jam. Dahlah paksa Ha ikut sekali."

"Mana ada akak..."

"Siapa yang suruh Ha angkut buku? Padahal, bukannya berat pun."

Tihani menjuih bibir. Jelingan tajam dihadiahkan buat adik kesayangan. Menyesal dia minta tolong Talha bawa buku-buku karya Alexander Aryan ke sesi bertemu peminat ini.

"It's an honor." Suara maskulin Alexander Aryan menyelit. Tihani menoleh semula kepadanya.

"Untuk digilai oleh Cik Tihani Rose."

"Mana ada..."

"Panggil aje dia, Tia," sampuk Talha. Masih dengan muka tidak bersalah.

Tihani mengetap bibir kuat-kuat. Budak ni memang nak kena!

"Then, call me Alex." Pandangan mata Alexander Aryan bertukar lembut. Bibirnya yang sememangnya murah dengan senyuman, terukir indah.

"Nice to meet you, Tia."

Sekali, Tihani melepas nafas. Senyuman tidak ikhlas, dia tayang.

"Nice to meet you, Alex."


***************

NOTA CIK SA:

Jeng3...kalau dalam Chan Rak Ter, Dian yang jadi novelis. Dalam AL, Alex yang jadi penulis. Tapi, he is a true crime writer. Bak kata Talha, orang yang kerjanya tulis pasal penjenayah, pembunuh dan psikopat. Erk!

On side note, sorry sebab tak dapat upload bab 3 ni, hari khamis lepas. Tiba-tiba ada kematian dalam keluarga dan perlu settlekan beberapa perkara dulu.   

Bab 4 akan Cik SA upload esok (Selasa). Tunggu, tau!

Okeylah, Cik SA chow dulu. Jom like, jom komen! Thank you so much! =)

Love,

Cik SA 

IG: ciksara_aisha - follow for more updates and teasers








6 comments:

  1. Please tolong bwak kluar cpt skit....x sbr nk baca bab strusnya....rsa nk mntak tolong doraemon nk cptkn hari..😂😂😂😂😂😂

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha!!! sorry, tengah usaha ni. kalau doraemon ada, nak aje minta dia tolong Cik SA bagi tulis cepat sikit. hahahaha

      Delete
  2. love your story.. xsabar nk beli, kind of teruja nk tggu next chapter pasl tia n alex.. selamat maju jaya
    n selamat berbuka nnti kak

    ReplyDelete
  3. "Cuba define maksud normal?" Masih tidak melihat ke sebelah, Tihani bersoal jawab.

    "Ala, novel-novel yang orang selalu bacalah. Novel Sara Aisha ke, Jodi Picoult ke, Asma Nadia ke..."

    Hahaha.. Definitely, novel Sara Aisha tak normal sebab tentang psycho dan pembunuhan juga. But still memang ramai orang baca buku Sara Aisha.
    And I'm your number one fan! hahaha Tak sabar nak pegang, peluk dan baca AL dalam bentuk buku..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha!!! itulah, bukan main tulis konon novel SA normal. padahal tak berapa. hehe.

      tq sooo much, kak! really appreciate it. =)

      Delete