October 8, 2015

SALJU KYOTO - BAB 17


BAB 17


"TAK BOLEH!"
"Kau tak perlu cakap apa-apa. Ikut saja!"
"Apa yang kau buat tak betul. Mana boleh..."
"Dengar sini. Aku ketua kau. Aku bagi arahan. Kau ikut arahan. Benda senang macam tu pun, susah sangat ke untuk kau faham?!"
"Kau memang ketua aku. Aku cuma orang suruhan yang tak ada guna. Tapi, kita sama-sama Sanshin-kai. Aku takkan biarkan kau buat apa-apa yang akan susahkan kumpulan kita."
Badri bungkam, jelas terkesan dengan hujah terakhir yang dipantulkan oleh Daichi, teman merangkap anak buahnya yang tiba-tiba muncul bersama Yumiko sebentar tadi. Kata Yumiko, dia terserempak dengan Daichi sewaktu membeli kopi. Kebetulan, Daichi datang untuk menjemput ketuanya. Dan sekarang aku menyaksikan mereka berdua bergaduh besar.
Semuanya gara-gara Badri memberitahu Daichi bahawa dia mahu melarikan aku daripada Arjuna dan mahukan bantuan lelaki itu. Menurut Badri, kemunculan Nakajima Hiroshi di rumah Arjuna bukanlah sesi datuk melawat cucu semata-mata. Ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya. Sesuatu yang tidak elok.
"Ini urusan peribadi aku, Daichi. Tak ada kaitan dengan Sanshin-kai," ucap Badri setelah beberapa ketika mendiam.
Daichi ketawa mengejek.
"Kau sedang buat lawak ke? Perempuan ni ada kaitan dengan siapa?" Jari telunjuk Daichi dituding ke muka aku. "Dengan Aizukotesu-kai! Kau sentuh dia, kau sentuh Aizukotetsu-kai. Kau buat macam tu, Sanshin-kai yang terima akibat."
"Aku tak peduli."
"Kau kena peduli!" tengking Daichi. Dia sudah tidak serupa anak buah. Garangnya melebihi si ketua yang aku pasti semakin berbelah bahagi.
Daichi melangkah lebih dekat kepada Badri yang sedari tadi sudah berdiri. Tidak lagi duduk di sebelahku. Mukanya dipanggung lebih dekat. Mata yang berdesis garang itu sengaja dipanahkan tepat ke wajah Badri.
"Aku takkan biarkan kau buat benda bodoh. Kita bukan sedang bercakap pasal si tolol Goro. Dia itu memang bukan siapa-siapa. Tapi, ini pasal Aizukotetsu-kai. Kau fikir kita boleh selamat kalau cari pasal dengan Aizukotetsu-kai?"
Badri mencerun mata lebih tajam ke muka Daichi. Penuh keyakinan, kegagahan dan kepastian yang jitu.
"Aku tak peduli pasal diri aku sendiri. Asalkan aku boleh bebaskan dia daripada genggaman jantan tu."
Sekonyong-konyong, Daichi mencekak kolar baju Badri. Kasar!
Aku tersentak. Yumiko di sebelah sudah pun terbangkit dari duduk.
"Dasar manusia pentingkan diri sendiri. Kau memang tak peduli pasal kumpulan kita, kan?" desis Daichi dengar tak dengar.
Segala bicara Daichi bagaikan tidak bermakna buat Badri. Dia tetap menayang muka kosong. Kemudian, dia bersuara dengan suara yang dingin dan sangat mendatar.
"Aku lebih lama kenal perempuan ni berbanding kumpulan kita. Lagipun, kau sendiri tahu, kan? Aku tak pernah ingin untuk menyertai Sanshin-kai."
Daichi tersentap kuat. Mata sepetnya membesar. Sedikit demi sedikit, cengkamannya terlepas. Kedua-dua belah tangan terlurut ke bawah. Dia tampak kecewa.
"Jadi..." Daichi menghela nafas panjang. "Selama dua tahun kita bersama, kumpulan kita betul-betul tak ada makna untuk kau? Hinggakan kau sanggup biarkan orang-orang kita mati demi selamatkan perempuan ni?"
Buat kesekian kali, aku tersentak. Setiap patah kata yang baru menjadi halwa telinga berdengung-dengung di telinga dan kemudian menusuk hati. Tidak! Aku tidak boleh membiarkan sesiapa pun terkorban nyawanya kerana aku. Walaupun orang itu ialah yakuza. Kerana sesungguhnya, nilai nyawa seorang yakuza juga sama nilainya dengan manusia lain. Tidak kurang. Tidak lebih.
Lambat-lambat, aku mengalihkan perhatian kepada Badri. Dia tetap seperti tadi. Cuba menayangkan muka plastik. Tetapi dia silap. Aku ini Nailah Farafisha. Hanya dengan sekilas melihatnya, aku tahu jiwanya kacau. Sepasang matanya yang tajam itu terselit dengan rasa serba salah. Dua tahun bersama Sanshin-kai, tidak mungkin Badri tidak berperasaan apa-apa. Lagipun, aku tahu yakuza sangat setia antara satu sama lain. Walaupun terpaksa dan dipaksa, Badri pasti tidak mahu apa-apa terjadi kepada anak-anak buahnya. Badri yang aku kenal begitulah orangnya. Sekali dia mengambil peduli tentang seseorang, dia akan memegang orang itu hingga ke akhirnya.
"Bad, sudahlah tu." Aku mengambil keputusan untuk masuk campur.
Dia berpaling kepadaku.
"Apa yang sudah?" Keras suaranya, jelas tidak gemar isi pertuturanku.
Senyum canggung aku kulum untuk dia yang tidak tenang.
"Aku tak mahu sesiapa lagi berkorban kerana aku."
"Kami yakuza, Nailah. Memang hari-hari hadap benda macam ni. Hari-hari mungkin mati."
"Tapi bukan aku yang jadi sebabnya," tegasku.
"Apa-apa pun sebabnya, sama saja. Tak ada beza."
Emosi berat semakin lama semakin membuak dalam diriku. Selamba sungguh Badri menitip kata. Tidak sedarkah dia bahawa dia sedang bercakap soal nyawa? Siapa dia untuk meletakkan harga ke atas nyawa orang-orangnya sendiri dan memperlekehkan nyawa itu?
"Bila kau dah letak nyawa aku lebih bernilai daripada nyawa orang-orang kau, itulah bezanya. Siapa aku? Apa yang lebihnya aku? Kenapa kau nak mempertaruhkan nyawa orang-orang kau demi aku?"
Badri melepas nafas. Kasar dia meraup rambut dengan menggunakan sebelah tangan yang tidak berbalut. Kemudian dia merapatiku dan terpacak menghadap aku yang masih duduk. Kepalaku tinggi dilangut melihat wajah bengkak sahabatku. Sebelah mata sedikit kuyu dek jahitan di atas kelopak.
"Sebab kau tak sepatutnya terlibat dengan semua ini. Orang-orang aku...mereka dah biasa. Ini kehidupan mereka. Ini dunia mereka. Tapi ini bukan dunia kau, Nailah. Jadi kau perlu pergi sejauh mungkin."
Sekali lagi, aku menguntum senyum. Pahit dan tawar sekali. Tetapi, senyuman ini penting untuk aku sembunyikan hati yang galau.
"Kau sendiri cakap, kan?"
"Apa dia?"
"Semuanya baru bermula. Welcome to the underworld." Aku mengulang apa yang pernah Badri tuturkan. Riak mukanya berderau.
"Aku...aku tersilap. Kau tak boleh masuk ke dunia ini." Agak tergugup-gugup jawapan Badri. Wajahnya penuh sesal.
"Aku dah pun masuk, Badri. Bukan sesenang itu untuk aku melangkah keluar. Kau tahu itu, kan? Itu hakikatnya sekarang."
"Hakikat yang kita akan ubah. Malam ni, aku akan tetap bawa kau keluar dari rumah tu."
Mendengarkan itu, aku melirik mata kepada Daichi. Dia melihatku tanpa memahami apa-apa, disebabkan aku dan Badri bertutur menggunakan Bahasa Malaysia. Tetapi, wajahnya tetap menampakkan kekusutan. Sekelipan, hatiku ditusuk rasa tidak senang. Aku rasa bersalah.
"Kau balik kemas apa-apa yang patut dan kemudian tunggu aku datang," sambung Badri lagi. Setiap patah berupa amaran yang tidak boleh dibantah.
"Badri, it's not that easy."
"Aku tak nak dengar apa-apa lagi." Dia menyampuk tegas.
"Bad, please..."
"Mana telefon kau?"
"Bad..."
"Mana telefon kau?!"
Bahuku terenjut. Langsung tidak menduga bahawa dia akan menjerkahku begitu. Lambat-lambat, aku mengeluarkan telefon bimbit dari beg silang. Badri tangkas menyambar.
"Ini nombor telefon baru aku. Wait for my call."
"Badri, this is not right. All the gangs of yakuza...semuanya dah tahu tentang aku dan hubungan aku dengan Arjuna. Kalau kau larikan aku, Sanshin-kai bukan sekadar bermusuh dengan Aizukotetsu-kai, tetapi juga dengan semua kumpulan yang lain. Aku tak boleh biarkan itu terjadi." Aku masih cuba memujuk kerana aku yakin, walau segeram mana pun Badri terhadapku, dia tidak akan pernah menyakiti.
"Itu untuk aku fikirkan. Kau tak perlu peduli."
"Tapi..."
"Yang kau banyak cekadak ni, kenapa? Kau dah jatuh cinta pada jantan tu?" tukas Badri, mengatakan sesuatu yang entah dari mana munculnya.
Aku tergamam sebentar. Mulut melopong.
"Cintakan Arjuna? Apa yang kau merepekkan ni? Aku kenal dia tak sampai tiga minggu, okey!" bangkangku, agak emosional. Sungguh, apa yang tak kena dengan lelaki ini? Sudahlah memaksa-maksa, sekarang mahu menuduh bermacam-macam pula.
"Then, great! Takkan ada masalah untuk kau tinggalkan dia," balas Badri, masih dengan muka degilnya.
"Badri!" Aku terjerit kecil. Semakin hilang sabar.
"Kak Nailah, sudahlah tu. Aku tak rasa Badri akan dengar apa-apa lagi. Dia dah buat keputusan." Yumiko yang sedari tadi menjadi pemerhati mula masuk campur. Lenganku dipeluk, mungkin mahu memujuk hatiku yang panas. Aku pasti Yumiko tidak memahami isi percakapan antara aku dan Badri, tetapi dia tidak bodoh untuk mengerti bahawa kami sedang bertegang urat.
Aku memandang Badri. Dia memandang aku. Masing-masing bersabung tenung. Walau dengan rupa orang sakit sekali pun, dia tetap menunjuk muka garang. Tiada kompromi. Itu yang dia paparkan di segenap wajah itu.
Beberapa saat berlalu, aku akhirnya melepaskan rengusan.
"Fine, kalau itu yang kau nak."
*****
JAM di dinding aku kerling berkali-kali. Tubuh dibawa berulang-ulang ke kiri dan kanan. Jantung berdebar kuat. Perasaan tidak sedap hati meluap-luap. Entah kenapa, sebahagian kuat hatiku mengatakan bahawa rancangan ini tidak akan berakhir dengan jaya. Sementelah, aku merasakan bahawa tidak patut aku pergi dengan cara begini. Arjuna bukan jahat orangnya. Dia bukan manusia yang memerangkap aku di sini. Aku semestinya bukan orang tahanan. Tidak pernah sekali pun aku berperasaan demikian. Bahawa aku terpasung di dalam rumah besar ini.
Teet...teet...
Telefon dalam mod senyap bergetar. Aku terperanjat kecil. Kelam-kabut, aku membuka mesej.
Aku dah kat luar.
Dalam-dalam, aku menarik dan menghembus nafas. Dengan lafaz bismillah, aku mengambil beg sandang yang cuma dimuatkan dengan pasport, dokumen penting dan beberapa helai pakaian. Tidak banyak mana memandangkan aku ke sini sehelai sepinggang. Baju yang dipakai sekarang pun diberi oleh Arjuna. Dan sekarang, aku mahu lari dalam persalinan ini. Ah, aku memang tidak tahu malu.
Seperlahan mungkin, aku menarik pintu bilik dan melangkah keluar. Kemudian, dengan cara perlahan yang sama, aku mengatupnya kembali. Lewat ekor mata, aku mengerling ke arah bilik kerja Arjuna di hujung koridor. Bayang-bayang cahaya dari celah dinding yang berpetak-petak menunjukkan bahawa dia berada di sana. Sedang menyiapkan kerja, mungkin.
Membayangkan Arjuna di sebelah sana, hatiku kembali resah. Ada rasa keliru, sesal dan tidak pasti yang menyelinap masuk.
Treet...treet...
Mesej Badri sampai lagi. Aku membukanya.
Cepat!
Buat kesekian kali, aku melepaskan keluhan. Langkah yang sangat berat, aku ambil satu per satu. Telinga pula dipasang teliti supaya mendengar sebarang bunyi. Manalah tahu, kalau-kalau Inoue-san muncul di hadapan mata. Setapak demi setapak, aku berjalan. Kaki terjongket-jongket lagak orang mahu memecah masuk rumah orang. Mata pula meliar kiri dan kanan. Satu ketika, aku hampir-hampir terjerit saat terpandangkan gebar yang Inoue-san gantung di tingkat atas rumah. Sudah serupa hantu pontianak sedang melambai-lambai manja.
Setelah beberapa minit berlagak umpama ninja di dalam gelap, aku akhirnya terpacak di luar pintu tembok. Kaki terpasung keras ke atas jalan. Ekor mata tidak habis-habis melirik ke belakang. Rasa tidak pasti meluap-luap di dalam diri. Benarkah apa yang aku buat ini? Tidakkah aku terlampau mementingkan diri sendiri?
Sekonyong-konyong, wajah tenang Arjuna menerpa dalam ingatan. Merenungku dengan pandangan tajam yang kadang-kala tampak nakal. Mengulum senyum sangat halus, hinggakan selalu membuat aku tertanya-tanya sama ada dia sedang senyum atau pun tidak. Bercakap dengan suara garau seksinya. Menghambur tawa buat pertama kali. Dan akhirnya...pandangan mata sedih sewaktu kali terakhir aku bercakap dengannya.
Pandangan. Sedih.
Ya, Allah! Apa yang aku buat ni? Aku tidak boleh pergi dengan cara begini. Arjuna tidak boleh diperlakukan seperti ini. Tidak boleh!
"Nailah!"
Panggilan Badri yang tertahan-tahan menujah telinga. Aku terkejut dan cepat-cepat merewangkan pandangan ke sekeliling. Pandanganku tertancap kepada Badri yang sedang berdiri di sebelah sebuah kereta. Tangannya melambai-lambai ke arahku. Mata pula berlingas sana-sini, jelas sedang berjaga-jaga.
Aku masih pegun. Berdiri di tempat yang sama. Hati berbelah bahagi. Di hadapanku, Badri. Sahabat baik yang dikenali sepuluh tahun lamanya. Di belakangku, Arjuna. Seorang lelaki asing yang sudah menerjah masuk ke dalam hidupku dan sekarang sudah membuat hatiku jadi tunggang-langgang.
Cinta? Aku yakin aku tidak cintakan Arjuna. Mana mungkin cinta bersemi dalam tempoh sesingkat itu. Tetapi dia sudah terlampau dekat di hati hinggakan sukar untuk aku semudah itu melemparnya pergi.
"Nailah, apa yang kau buat ni?"
Suara Badri kedengaran dekat benar. Perlahan, aku memanggung muka. Entah bila dia berdiri di hadapan, aku juga tidak pasti.
"Kau tunggu apa lagi?" Keras pertanyaan Badri.
"Aku...aku..."
Tidak semena-mena, Badri mencengkam lenganku. Tidak kuat mana, tetapi cukup untuk membuat aku tahu bahawa dia tidak gemar dengan perilaku yang aku tunjukkan sekarang.
"Kau jangan teragak-agak lagi. You have to leave."
Bergetar sekali suara yang terpancul keluar dari mulut Badri. Ada amaran yang dia tegaskan di situ. Aku menelan air liur yang pahit.
"This is wrong, Badri. Aku tak patut pergi dengan cara macam ni."
Pandangan mata Badri mula berubah keras.
"Ada cara lain ke? Kau fikir lelaki tu akan biarkan kau pergi sesenang itu saja?"
"Dia akan buat macam tu. Aku percayakan dia," sangkalku tegas. Segala janji yang pernah Arjuna taburkan berdengung di telinga. Aku pasti, Arjuna bukanlah jenis manusia yang akan memungkiri janji. Dia bukan lelaki seperti itu.
Senyum senget lagi sinis terkulum di hujung bibir Badri.
"Percaya? Kau memang bodoh sebab percayakan dia."
Mukaku berderau. Telinga berdesing.
"Kalau pun aku bodoh, itu pilihan aku sendiri. Jadi biar aku tanggung akibatnya. Kau tak perlu buat keputusan untuk aku dan paksa aku ikut cakap kau." Aku membidas bersama hati yang semakin panas.
Mata garang Badri bertambah garang. Nafasnya berdengus kasar.
"Kau akan tetap ikut cakap aku," bisiknya keras. Sangat keras.
Kalau tadi, aku sedikit gentar dengan tingkah laku Badri, tetapi kali ini aku berani sahaja melawan renungannya.
"Tidak." Pendek aku bersuara. Tetapi, sudah cukup untuk Badri tahu bahawa aku tidak akan berganjak.
Dada Badri berombak laju. Gerahamnya diketap kuat-kuat. Suasana tegang meluap-luap antara kami berdua.
"Nailah Farafisha."
Tanpa semena-mena, hujung telingaku menangkap satu suara lain. Suara yang sangat aku kenal. Anak mataku membulat sebentar. Muka pucat tidak berdarah. Dengan cukup teragak-agak, aku menoleh. Dari sebalik samar-samar cahaya lampu jalan, kelibat dia yang sedang elok bersandar di hujung tembok menyapa pandangan.
"Ar...Arjuna..." Lidahku tergugup-gugup cuba mengatakan sesuatu. Entah apa yang patut aku cakapkan, aku sendiri tidak pasti.
"Betul apa yang orang-orang aku lapor. Kau mahu pergi malam ini."
Arjuna terlebih dahulu menitip kata. Suaranya sangat mendatar. Bahkan lebih dingin daripada kebiasaan. Bulu romaku mula meremang.
"Saya...saya..."
"Ya, dia akan pergi. Dan kau tak boleh halang," sampuk Badri. Pergelangan tanganku tiba-tiba dipegang. Aku cuba merentapnya kembali, tetapi Badri menguatkan genggaman. Amarah menyirap ke dalam diriku. Pantang sekali aku dengan lelaki yang sesuka hati melelar pergelangan tangan wanita hanya kerana mahu wanita itu mengikut cakap. Seperti dalam drama Korea.
"Lepaskan..."
"Siapa cakap aku akan halang?"
Baru sahaja aku mahu memarahi Badri, bicara Arjuna memintas. Sekejapan, aku tergemap. Segala usaha untuk meloloskan diri daripada cengkaman Badri terus mati.
"Apa kau cakap?" tanya Badri. Daripada nada suaranya, dia juga kedengaran terkejut. Malahan, pegangan tangannya terlucut sendiri.
Arjuna tidak pantas menjawab. Sebaliknya, dia mengangkat langkah merapati. Setapak demi setapak, hingga akhirnya berdiri tidak jauh daripada aku dan Badri. Mata kosong. Muka tidak beremosi.
"Aku cakap...aku takkan halang."
Kata-kata Arjuna umpama tamparan buatku. Hati rasa ditusuk sesuatu. Perasaan apa, aku juga tidak pasti. Ralat mungkin. Sedih mungkin.
"Kau nak bawa dia pergi, bawalah. Dia tiada kaitan dengan aku."
Sedikit demi sedikit, tubir mataku mula bergenang. Perasaan yang tidak aku tahu sebentar tadi, sudah dapat dipastikan.
Aku kecewa. Sangat-sangat kecewa.
Arggh! Aku memang perempuan bodoh! Membazir masa sahaja rasa serba salah. Hakikatnya, Arjuna Kaede tidak peduli kalau aku pergi begitu sahaja. Aku tidak penting buat lelaki itu.
Bawah bibir diketap kuat. Mata dikerdip beberapa kali, mahu menghalang mutiara jernih yang cuba membolos.
"Badri, jom pergi." Dengan lagak tenang yang sangat palsu, aku kemudiannya mengajak Badri. Bahkan, aku yang pertama mengangkat kaki. Langsung aku tidak melihat ke arah Arjuna.
*****
CAHAYA lampu neon yang bergemerlapan, aku tatap dengan pandangan kosong. Telinga pula sayup-sayup mendengar suara Badri dan Daichi yang bersorak gembira. Tadi, terkejut juga aku saat melihat kelibat Daichi di tempat duduk pemandu. Kata lelaki tersebut, dia ialah lelaki bodoh yang tidak boleh biarkan Badri sendirian membuat perkara bodoh. Apatah lagi, dengan keadaan sekarang, Badri tidak boleh memandu kereta. Tetapi, aku tidak buta untuk melihat bahawa Daichi cuma menunjukkan sifat kesetiaan terhadap ketuanya. Ya, apa gunanya yakuza tanpa kesetiaan? Itu yang mengalir dalam setiap pembuluh darah mereka. Sekali dilanggar, nyawa melayang.
"Badri."
"Apa?"
"Ada kereta ikut kita."
Perbualan mereka menyentakku. Sepantas kilat, aku memusing kepala dan melihat kereta yang sedang mengekori dari belakang. Arjuna!
"Jahanam," carut Badri kegeraman. Dia kemudiannya menjerit, "Yang kau bawa lembab sangat, kenapa? Laju lagi!"
Automatik, Daichi menekan minyak. Kereta yang kami naiki berdesup ke hadapan. Aku terjerit kecil.
"Laju lagi! Lagi! Kita tak boleh biar dia kejar." Dalam kekecohan, Badri tidak henti-henti menempik memberi arahan. Suaranya kedengaran terdesak benar.
Daichi, sebagai anak buah yang sangat taat mengikut cakap. Kereta ini pantas membelah jalan. Suasana lewat malam yang sunyi dari kereta lain menyenangkan lagi perbuatan Daichi. Habis segala lampu isyarat dilanggar. Selekoh tajam dilalui laju. Kadang-kadang, tanpa membrek. Tangannya tangkas memusing-musing stereng.
Aku di belakang sekejap terlempar ke kiri, sekejap ke kanan. Mulut tidak habis-habis menjerit. Jantung berdegup laju. Hati pula berkali-kali mengucap panjang. Seriau!
Dalam lajunya Daichi, Arjuna tidak kurangnya. Beberapa kali, keretanya menyaingi. Setiap kali itu, dia menjerit di sebalik cermin kereta yang terbuka.
"Berhenti! Berhenti, Badri!!!"
"Ke depan lagi!!!"
Lain yang dipohon, lain yang Badri buat. Langsung dia tidak mempedulikan permintaan Arjuna. Aku semakin penasaran. Kalau keadaan ini berterusan, kami mungkin akan bertembung antara satu sama lain atau mungkin juga...
Streeeet...
Bunyi brek mengejut yang sangat kuat menujah telinga. Mataku terbelalak besar menyaksikan kereta Arjuna berpusing beberapa kali di atas jalan sebelum...
Bangggg!
Melanggar pembahagi jalan.
"Berhenti, Daichi! Berhenti!!!!" Mulutku spontan menempik kuat.
"Jangan berhenti!" Badri membantah selamba.
Aku melopongkan mulut. Sesaat aku melihat ke arahnya. Sesaat kemudian, aku menoleh ke belakang, ke arah sebuah kereta yang tersadai dan semakin sayup kelihatan. Jantung yang hampir-hampir berhenti berdegup tadi jadi semakin tidak ketahuan. Air mata sudah pun tumpah. Tidak! Aku tidak boleh tinggalkan Arjuna. Tidak!!!
"Kalau kau tak berhenti, aku lompat keluar." Suaraku bergetar menjatuhkan amaran.
Badri berpaling melihatku dengan mata terbeliak.
"Kau gila?!"
"Ya, memang aku gila! Aku nak pergi kepada Arjuna. Kau faham tak? Aku nak pergi kepada dia!!!"
Aku sudah seperti orang hilang akal. Sebelah tangan sudah pun memegang tombol pintu kereta. Menanti saat sahaja untuk melompat keluar dari kereta yang mungkin sedang memecut dengan kelajuan 140 km/jam.
"Kau nak mati?!" marah Badri. Daichi di tepi mula menunjuk muka serba salah. Kereta yang dipandu semakin perlahan.
"Kalau kau tak nak aku mati, berhenti sekarang."
Badri diam. Muka tetap menunjuk riak tidak mahu.
"Okay, fine!"
Aku membuka pintu. Berderu angin malam menyerbu masuk.
"Tutup pintu tu, Nailah! Tutup!!!" Badri menegah kuat. Kali ni, riak mukanya sudah berubah. Dia tampak terkejut dan ketakutan.
"Kau akan berhenti atau tidak?" Sekali lagi, aku mengugut.
"Ya, ya. Kita berhenti!" Badri mengalah. Sebelah tangannya menepuk bahu Daichi, memberi isyarat agar dia menghentikan kereta.
Belum pun sempat kereta yang kami naiki betul-betul berada dalam posisi pegun, aku terus sahaja membuka pintu. Sepasang kakiku berlari laju. Seruan Badri yang memanggil-manggil dari belakang sudah aku tidak peduli. Yang aku tahu sekarang cuma satu.
Arjuna Kaede.
Aku berlari dan berlari. Dada mulai sakit dihempas angin malam yang sangat dingin. Namun aku tidak langsung memperlahankan langkah. Malah, aku melajukan lagi kaki yang terasa sangat lambat. 
Kereta yang tersadai itu semakin lama semakin jelas di pandangan mata. Bahagian hadapan tampak hancur. Ya, Allah! Tolong...tolonglah jangan apa-apakan Arjuna!
Seusai mendekat, aku terus menyerbu pintu hadapan kereta. Arjuna tidak sedarkan diri dengan kepala yang tersadai ke atas beg udara yang sudah kempis.
"Arjuna!" Aku menjerit lantang. Jantung bagai tergolek keluar. Air mata semakin mencurah-curah keluar.
Kelam-kabut, aku membuka pintu. Tersekat!
"Please...jangan...jangan macam ni..." Aku semakin panik. Beberapa kali aku menendang pintu sambil cuba menarik tombol pintu kereta.
"Bukalah...bukalah..." Aku mencuba dan mencuba. Segenap kekuatan aku salurkan kepada tangan yang menarik. "Bukalah!!!"
Pap!
Aku terpelanting ke belakang. Pintu kereta terbuka luas. Cepat-cepat, aku bangkit dan mendapatkan Arjuna. Sambil cuba membuka tali pinggang keledar yang melilit Arjuna, lidahku tidak henti-henti terkumat-kamit.
"Awak...awak bertahan, ya. Saya...saya akan keluarkan awak..."
Tidak semena-mena, ada sesuatu menarik perhatianku. Minyak kereta sedang menitis setitik demi setitik. Perasaan cemas dan panik semakin membuak-buak.
"Kenapa? Kenapa tak nak terbuka ni? Kenapa?!!!"
Sedaya upaya aku cuba melepaskan tali pinggang keledar yang tersekat. Wajah layu Arjuna aku pandang. Aku takkan biarkan dia mati begini. Aku takkan biarkan...
"Tolong...tolong aku, Ya Allah. Tolong aku!!!"
Saat itu, ikatannya terbuka. Terus, aku menarik tubuh tegap Arjuna. Lengannya diletakkan di atas bahu. Berat!
"Arghhh!" Aku menjerit sebelum mengangkat kaki. Dengan kekuatan yang masih tersisa, aku menampung badan Arjuna. Kami terhuyung-hayang dan tersendeng-sendeng. Bahkan kami hampir-hampir tersungkur ke bawah, namun aku cepat-cepat mengimbangkan tubuh.
Tidak! Aku takkan biarkan kami rebah di sini. Selagi mampu, selagi itulah aku akan berjuang. Pantang maut sebelum ajal.
Baru beberapa langkah diambil, telingaku menangkap bunyi aneh. Lewat ekor mata, aku melihat percikan api.
Ya Allah!
Cepat-cepat aku melajukan langkah. Tubuh berat Arjuna aku tampung dan pegang kemas. Takkan aku biarkannya terlepas. Tetapi...
"Arghhh!!!!"
Aku tersadung ke hadapan. Badan Arjuna terlepas dan jatuh ke atas jalan. Saat yang sama, aku mendengar bunyi letupan yang kuat. Tanpa memikirkan apa-apa, aku terus melompat ke atas Arjuna dan menarik kepalanya dekat ke dada. Mata dikatup ketat-ketat sambil menanti apa-apa sahaja yang bakal mendatang.
Sesaat...
Dua saat...
Tiga saat berlalu. Perlahan-lahan, aku membuka mata dan menengadah. Kereta Arjuna sudah tidak seperti kereta. Api menjulang tinggi. Asap berkepul-kepul. Segalanya hancur, tetapi...
Kami. Selamat.
Aku menghela nafas lega. Setitis cecair likat tiba-tiba menuruni dahi. Sedikit-sedikit, hingga akhirnya semakin lebat dan mendekati kening. Dengan tangan yang terketar-ketar, aku menyentuh dan membawanya ke hadapan mata yang semakin berbalam-balam.
Darah!
Pandanganku semakin gelap dan gelap dan gelap...
~Bersambung...~
*************
NOTA CIK SA:
Kali ini, tak ada teaser untuk Bab 18 sebab Bab 17 ini adalah bab terakhir Salju Kyoto yang Cik SA masukkan dalam wattpad dan blog. Okey, tolong jangan sedih-sedih. Bukan saya tak nak masukkan lebih banyak, tapi...hingga ke Bab 17, saya dah masukkan sebanyak 163 muka surat, font times new roman, saiz 12 dan 1.5 spacing. Kalau dikira template novel yang sudah diterbitkan, that would be around 200 pages already. Jadi alkisahnya, saya tak boleh lagi letak bab-bab awal Salju Kyoto. Kalau tak, kena pancung dek publisher. 
Lagi satu, dunia penulisan digemparkan lagi sekali dengan isu ciplak. Kali ini, hingga 90% jalan cerita sama. Yang berbeza cuma nama dan lokasi. Jadi, untuk memastikan keselamatan manuskrip, kami dinasihatkan tidak letak banyak sangat bab-bab awal di mana-mana. 
Cik SA minta maaf sebab perlu stop di sini. Tapi, saya akan selalu bagi teaser di facebook page (Novelis Sara Aisha) dan instagram (ciksara_aisha). Muka kacak AK akan selalu terpampang di situ.
Oh, ya! Salju Kyoto bukan sinetron atau telenovela. So jangan bimbang. Tak ada adegan hilang ingatan, bertukar rupa atau yang seumpama itu. NF tetap NF. AK tetap AK.
Terima kasih tidak terhingga atas sokongan semua pembaca dari Bab 1 hingga Bab 17. Banyak yang kita lalui bersama AK, NF dan Badri. Sama-sama suspens dan berdebar. Jadi, nantikan kesinambungan debaran ini dalam Salju Kyoto bentuk novel, ya. Kalau tak ada aral melintang, akhir tahun ini akan menemui anda semua. Kita pakat-pakat doakan semuanya baik, ya. Sayang semua! Mmmmuahhh!! =)
Sebelum mengundur diri, meh Cik SA hadiahkan teaser sikit. Tapi, ini bukan bab 18. Ini bab yang akan datang....
*************
TEASER SPECIAL:
"Ryu no Atago." Suara Arjuna kedengaran di sebelah.
Aku menoleh kepadanya.
"The name of this spot. Bagi orang-orang tempatan, air pancuran ini dianggap sebagai energy spot. Airnya datang dari Gunung Atago yang dipercayai suci dan tidak pernah kering," terang Arjuna. Kepalaku terangguk-angguk mendengar segala penjelasan.
Kemudian, pandangan mataku diliarkan kembali ke sekeliling. Dari hujung kanan ke hujung kiri, kami dikelilingi oleh tiang-tiang bercahaya dengan lukisan kimono yang menakjubkan.
Indah. Sangat indah.
"Arjuna..."
"Hmm..."
"Terima kasih sebab bawa saya ke sini," ucapku penuh keikhlasan. Bibir yang tidak sudah-sudah tersenyum sedari tadi, semakin lebar jadinya. Jelas menunjukkan betapa aku teruja berada di sini.
Ucapan terima kasihku tidak berbalas apa-apa. Sebaliknya, Arjuna cuma memasang wajah tenang. Aku membiarkan dia begitu, dan kembali memandang sekeliling. Sesekali, angin malam datang berderu, lantas aku mengangkat telapak tangan rapat ke mulut. Digosok-gosok dan ditiup agar memperoleh sedikit kehangatan.
"Sejuk ke?" Teguran Arjuna berbunyi dekat.
Aku menoleh dan mengangguk.
"Sini tangan kau," arah Arjuna sambil menghulur sebelah tangan.
Tanpa banyak karenah, aku meletakkan jari-jemari ke dalam telapak tangannya itu. Tidak semena-mena, dia menarik keluar sarung tangan yang melindungi tanganku. Semerta, aku mengerutkan dahi. Kalau sudah tahu aku kedinginan, kenapa pula selamba menanggalkan sarung tanganku?
Arjuna kemudiannya menyeluk saku kot dan mengeluarkan sebentuk cincin. Dengan muka serius, dia menyarungkan cincin tersebut ke jari manisku.
Aku terkesima.
"This is not too expensive. But it's my most precious thing." Arjuna bersuara. Cincin yang sudah elok tersarung di jariku, dia usap-usap lembut. Dari samar-samar cahaya indah kimono forest, aku boleh melihat anak matanya yang tampak keruh.
"Cincin ini kepunyaan arwah emak aku."
Mataku bulat mendengarkan bicaranya.
"Then, ambillah balik." Kelam-kabut, aku cuba menariknya keluar. Namun, Arjuna lebih pantas menaut jari-jemariku. Kemas sekali.
"Mana boleh aku ambil balik. Itu cincin kahwin kau."
"Cincin kahwin?"
"Mak aku mahu menantu dia pakai cincin tu."
Aku bungkam sejenak. Perlahan-lahan, aku menarik keluar jari-jemariku daripada genggaman Arjuna. Tangan kiriku diangkat sedikit ke atas. Cincin yang tersarung kutatap lama. Material emas putih. Batu nilam berwarna biru di tengah-tengah. Kelihatan juga dua berlian kecil di kiri dan kanan batu nilam tersebut. Ketiga-tiga batu ini diikat dengan ukiran yang minimalis. Bagiku, cincin ini kelihatan vintage, tetapi sangat elegan.
"Cantik..." ujarku perlahan. "Cantik sangat."
"Secantik pemiliknya." Balasan Arjuna sayup-sayup menyentuh telinga. Aku berpaling kepadanya.
"Arwah emak awak mesti sangat cantik, kan?"
"Ya. Tapi maksud aku tadi..."
Aku mengerdip-ngerdipkan mata sambil memandangnya.
Arjuna senyum kecil. "Kau tunjuk muka tu lagi."
"Muka apa?"
Setapak Arjuna datang kepadaku, dan merapatkan lagi kedudukan yang sedia dekat. Kepalanya ditundukkan sedikit. Matanya tajam memanah.
"Muka yang dari awal lagi, buat aku tak boleh lepaskan kau. That lost and confused look."
Aku terpaku menghadap muka dekat Arjuna. Kami saling bertatapan. Aku seperti dapat melihat bunga-bungaan indah yang terpancar dalam sepasang mata milik Arjuna. Mungkin itu cuma pantulan cahaya dari kimono forest yang mengelilingi kami, tetapi saat ini aku seperti ditarik masuk ke dalam mata indah Arjuna. Lantas, membuatkan aku terperangkap di situ.
Anehnya, aku ingin terperangkap. Untuk selama-lamanya.
"Young lady..."
"Hmm..."
"Aku rasa kita patut pulang sekarang."
"Sekarang? Kenapa cepat sangat?"
"Sebab...if we stay longer, I might kiss you right now, and right here."

43 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Ya Allah, such a great opportunity to read this after waiting it for 3 day. Alhamdulillah. Mesti malaysia dah pagi buta now tapi writer still giving her best work. Will wait for the book insyaAllah. Harap2 akan publish at the end of disember as I'm going back home for a while and for sure will grap the novel. Good job writer. Thank you for this awesome novel.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, thank you so much. It's an honour that someone far from Malaysia actually read this. =)

      Delete
  3. tq cik SA nnt bila dah muncul dlm bntuk novel jgn lupa khbar2 kn
    rndu AK dan NF..
    romantik juga AK igt hati beku.hehe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaAllah. takkan lupa. saya akan inform kpd semua nanti. =)

      Delete
  4. Wow!wow!wow. 99 x syabas . cepat cepatlah proses percetakan. Dah x sabo nak tahu endingnya.

    ReplyDelete
  5. OMGGG... saya nak jugak cincin tu....Cik SA harap dptlah kiranya percepatkan cetak naskah ini yer....

    ReplyDelete
  6. Alaaa sedihnya da takde NF & AK. Shall wait for your book ������ Great job Cik SA *missing them already -afaeryna.

    ReplyDelete
  7. Hrp novel ni dpt publish this dec.. :) goodluck Cik SA..sy akn tnggu AK & NF..miss them right now

    ReplyDelete
  8. Cara AK propose dingin & pelik sprti pemiliknya tp unik..great! congrats Cik SA...ehem..ehem..Cik SA,xde ke AK stu lg utk sya..hehe

    ReplyDelete
  9. Sob3..dh xde AK n Nailah dh tiap isnin n kamis lepas ni..tak sabarnyaaaa nk tggu full =')

    ReplyDelete
  10. Alamak... Salju kyoto dihentikan sementara... Sabar jer lah kan.....

    ReplyDelete
  11. Hurm.. Best2. Walaupun hanya 17 bab, tetap setia ku baca.

    ReplyDelete
  12. Sukanya kat AK....saya doakan cik SA dipermudahkan urusan dalam menyiapkan manuskrip ni. For sure saya akan jadi sebahagian daripada orang yang pertama beli novel ni...
    Love sangat2...

    ReplyDelete
  13. alahai sweet btul la part bab akan dtg tuuu. kalaulah AK ni wujud kan.. huhu

    ReplyDelete
  14. tak sabar nak tunggu versi cetakkk..pleaseeeeeee keluar tahun ni jugak k... =p

    ReplyDelete
  15. Jalan cerita yg agak mendebarkan dan ternyata punya garapan yg menarik.Apa pun, saya x sabar menunggu novel ini dikeluarkan kelak!=)

    ReplyDelete
  16. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  17. Tak sabar nak tunggu novel keluar..Hu3

    ReplyDelete
  18. Nnti boleh beli online x salju kyoto ni? Dh jatuh cinta dengan arjuna😙😙

    ReplyDelete
  19. kak sara, bila nak publish for novel ? waaaaa serious nak beli !! *crying* hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sorry, lambat reply. Dah keluar mac 2916. 😊

      Delete
  20. Totally have no idea on this novel at the first place. Borrowed it from my sister and now, yes, am in love with the storyline, the charaters, the places.. no words to describe more on this. :)

    Kudos and keep it up Sara Aisha!!!

    ReplyDelete