BAB 16
AKU
DIAM. Dia juga diam. Kami
sama-sama terpacak di antara lima kujur tubuh yang sedang merenung tepat.
Seorang di hadapan, dua orang di kiri kanan. Suasana sunyi sepi. Tiada walau
satu bunyi pun. Ketegangan membuak-buak di setiap genap ruang tamu.
“Jadi…” Lelaki tua yang
bersila di hadapan kami mula bersuara. Spontan, aku menelan air liur. Jantung
berdegup kuat. Walaupun rupanya kelihatan seperti orang tua biasa, boleh aku
katakan comel dengan ketinggian yang tidak seberapa, tetapi aura yang
meluap-luap dari tubuh itu bukan calang-calang. Hanya melalui mata, dia boleh
membuat manusia lain menggeletar kepala lutut.
“Inilah perempuan itu?”
Nafasku tiba-tiba
tersekat. Dia memaksudkan aku. Ya, aku.
“Ojii-sama…”
Mataku terpejam sesaat.
Benar telahanku. Lelaki tua ini merupakan Nakajima Hiroshi, datuk kepada
Arjuna. Atau dalam erti kata lain, oyabun
bagi Aizukotetsu-kai, yakuza paling berkuasa di Kyoto dengan tujuh ribu orang
pengikut.
“Cepat sungguh datuk
datang. Baru semalam saya jumpa orang-orang datuk. Macam mana keadaan mereka?
Kalau datuk mahu hantar orang, apa kata hantar orang yang lebih setanding
dengan saya?”
Lain yang ditanya, lain
yang Arjuna jawab. Apa yang dia tuturkan benar-benar mengejutkan aku. Jadi,
manusia yang menyerang kami semalam adalah konco-konco kepada datuk Arjuna
sendiri?
Nakajima Hiroshi
meledakkan tawa kuat. Sangat jengkel kedengaran di telinga. Lewat ekor mata,
aku melirik ke sebelah. Muka Arjuna jelas tegangnya. Rahang lelaki itu
terkacip-kacip. Sepasang matanya memanah garang.
Kebencian.
Itu yang aku nampak di
segenap wajah Arjuna.
“Kalau aku hantar orang
yang lebih setanding, kau dah lama mati,” sela Nakajima Hiroshi setelah tawanya
reda.
“Betulkah? Atau pun
orang-orang datuk semuanya lembik?”
“Kau!”
Sekonyong-konyong, salah seorang lelaki di sebelah kanan kami menjerkah. Serentak
itu, dia bangun. Sebelah tangan memegang pedang yang tersisip di sebelah kiri.
“Masao.”
Suara pendek Nakajima
Hiroshi mematikan terus gerak lakunya. Dia merengus sebelum kembali duduk.
Arjuna menayang muka tidak
berperasaan. Dia tetap tegak memandang ke hadapan. Tidak berkelip. Tidak terkesan
langsung dengan reaksi lelaki separuh umur yang bernama Masao itu.
“Kau memang tak berubah,
kan?”
“Datuk juga tak
berubah.”
Hujung bibir Nakajima
Hiroshi menyenget sinis.
“Pandai kau kecohkan
keadaan.”
“Saya anggap itu sebagai
satu pujian. Terima kasih.”
“Kau bencikan darah
dalam badan kau, tapi kau tetap gunakannya, kan?”
“Alang-alang darah tu
dah mengalir dalam badan saya, apa kata saya gunakan saja.”
Sekali lagi, Nakajima
Hiroshi mengulum senyum. Dia tampak terhibur dengan jawapan yang baru
dipantulkan oleh Arjuna. Aku pula tidak henti-henti memerhati segala interaksi
antara Arjuna dan datuknya. Jelas sekali hubungan mereka yang tidak elok.
Bercakap lembut, tetapi jelas menyindir satu sama lain.
“Sekarang baru kau
sedar? Kau memang tak boleh lari daripada siapa kau sebenarnya.”
“Itu datuk silap. Siapa
saya yang sebenarnya, saya yang tentukan sendiri.”
“Bukan itu yang aku
nampak sekarang. Hakikatnya, kau tetap gunakan nama kau untuk selamatkan
perempuan ini. Kau tetap Nakajima dan sekarang, kau dah masuk campur ke dalam
dunia aku.”
Kali ini, Arjuna
membungkam. Tetapi hujung telingaku dapat mendengar dia merengus.
“Selamat datang, cucu
kesayangan aku. Dah lama aku tunggu kau,” sambung Nakajima Hiroshi dengan muka
puas hati.
“Langkah mayat saya
dulu, sebelum datuk heret saya masuk ke dunia itu.”
“Mayat kau atau…”
Nakajima Hiroshi memandangku atas bawah. “Mayat perempuan ini?”
Arjuna tangkas membawa
tubuhnya sedikit ke hadapanku, lalu membuatkan aku separuh terlindung.
“Jangan berani sentuh
dia.” Keras sekali suara Arjuna menjatuhkan amaran.
Nakajima Hiroshi
mengangkat sebelah kening.
“Huh, betul cakap
orang-orang aku. Kau memang betul-betul nakkan dia.”
Arjuna diam, seolah-olah
mengiya dalam senyap.
“Kau patut cari
perempuan yang lebih baik daripada ini. Muka tak cantik. Badan tak menarik.”
Mataku membulat. Eh,
orang tua ni. Sempat pula mengutuk aku.
“Dia sudah cukup
sempurna untuk saya,” bidas Arjuna. Aku tergamam sebentar. Kepalaku hampir-hampir
terangkat kepadanya, namun cepat-cepat aku menahan diri. Jangan tunjuk muka
terkejut, Nailah. Jangan! Arjuna tidak memaksudkan apa-apa. Dia cuma tengah
berbalah dengan datuk dia.
“Baiklah, kalau kau
cakap macam tu. Aku harap apa yang kau rasa sempurna itu, akan kekal sempurna.”
Dan-dan, suasana jadi
hening. Ketegangan yang sudah sedia ada tiba-tiba sahaja mencanak naik.
Perlahan-lahan aku menengadah kepada Arjuna yang masih separuh berdiri di
hadapan. Dari sebelah sisi, aku dapat melihat rahangnya bergerak-gerak. Arjuna
sedang mengetap geraham. Bukan itu sahaja, dia juga menggenggam kuat
jari-jemari yang tampak bergetar.
“Itu…datuk tak perlu
risau. Kalau saya perlu mati sekalipun, saya akan tetap pastikan dia kekal
sempurna.” Keras sekali setiap butir bicara Arjuna. Suaranya tertahan-tahan
oleh desakan amarah. Tidak! Bukan setakat amarah, tetapi juga kebencian yang
tiada tara.
Hatiku mula diburu
bimbang. Jelas ada sesuatu yang tersirat di sebalik isi pertuturan mereka
berdua.
“Aku akan tunggu dan
lihat. Tapi, kau tahu mana mahu cari aku, kan?” Nakajima Hiroshi bersuara
dengan muka tenang.
“Takkan ada keperluan
untuk saya cari datuk,” balas Arjuna. Tutur katanya berbaur angkuh.
Nakajima Hiroshi menarik
senyum sinis sebelum bangkit dari duduk. Serentak itu, keempat-empat
pembantunya juga mengangkat punggung. Tekaku, mereka merupakan empat orang
teratas dalam Aizukotetsu-kai.
“Itu sahaja pertemuan
antara kita malam ini. Dapat juga aku tengok perempuan yang sudah pegang cucu
aku.” Dia mengerling ke arahku di hujung bicara. Aku menayang muka tenang.
Walhal, ada rasa gentar yang mengusup masuk.
“Terima kasih atas
kesudian untuk datang ke sini,” ujar Arjuna dengan suara tidak ikhlas langsung.
Dia kemudiannya membuka laluan kepada Nakajima Hiroshi dan empat orang lelaki
di belakangnya. Aku mengambil tindakan yang sama.
“Kau tak perlu hantar
aku keluar. Inoue-san boleh buat itu untuk aku.”
Inoue-san yang sudah pun
berdiri di hadapan muka pintu menganggukkan kepala. Arjuna tidak memberikan
apa-apa reaksi dan membiarkan sahaja tetamu-tetamu tidak diundangnya berlalu
pergi.
Seketika berlalu…
Aku dan Arjuna masih
tercegat di tempat yang sama. Apa yang berlaku sebentar tadi, aku rasakan
umpama mimpi. Atau mungkin juga angin yang menumpang lalu. Semuanya berlaku
dengan pantas. Aku tidak tahu reaksi apa yang patut aku beri sekarang. Patutkah
aku menyoal Arjuna bermacam-macam? Patutkah aku zip mulut dan menanti sahaja
dia menjelaskan semuanya?
“Nailah…” Suara senada
Arjuna sipi-sipi menujah telinga.
“Hmm…”
“Dah lewat malam. Kau
masuklah rehat,” tuturnya tanpa sekalipun menoleh kepadaku. Muka kerasnya tetap
terpampang. Jari-jemari kekal bergetar. Dia…masih menahan marah.
“Awak?”
Dengan gerak perlahan,
Arjuna memaling muka dan menghadapku. Sepasang matanya kosong,
sekosong-kosongnya.
“Kenapa dengan aku? Kau
nak aku ikut masuk ke bilik?”
Anak mataku membuntang.
“Bukan itu maksud saya!”
Intonasi suara ternaik sedikit.
Tidak semena-mena,
hujung bibir Arjuna mengulum senyum. Namun, jelas sekali canggungnya. Plastik.
Ketat.
“I’m
okay, if that’s what you want to know.”
Aku memandang tepat ke
mukanya. Awak berbohong, Arjuna. Awak sangat-sangat berbohong.
Nafas berat, aku tarik
dan hembus dalam diam. Kemudian, aku membalas senyumannya. Juga canggung. Juga
plastik. Juga ketat.
“Selamat malam, Arjuna
Kaede.”
Arjuna tidak terus
membalas. Sebaliknya, dia merenungku lama. Entah apa yang bermain-main dalam
fikirannya, aku tidak mampu menebak. Seketika kemudian, dia akhirnya
mengeluarkan suara garaunya.
“Selamat malam, Nailah
Farafisha.”
*****
DUA
HARI.
Dua hari sudah berlalu
sejak malam itu. Dalam dua hari ini, aku langsung tidak menemui Arjuna. Waktu
aku keluar di pagi hari, dia sudah pun ke pejabat. Pulangnya pula lewat sekali,
saat aku sudah diulit lena yang tidak enak. Kata Inoue-san, lelaki itu sibuk
dengan kerjanya. Ada majlis pelancaran galeri baru yang perlu diuruskan. Kata
Inoue-san juga, soal keselamatan tidak perlu dirisaukan. Arjuna sudah mengambil
pendekatan yang sepatutnya. Apa yang sudah dia buat, aku juga tidak pasti.
Akan tetapi, saat
mengingati dia yang sebelum ini bertegas benar agar aku mengikutnya ke
syarikat, kononnya demi keselamatan aku, membuatkan aku yakin satu perkara.
Hakikatnya, dalam dua hari ini, lelaki itu cuba mengelak daripada aku. Huh,
pelik sekali rasanya bila Arjuna Kaede yang selama ini gah, boleh tiba-tiba
jadi pengecut. Ya, dia pengecut kerana tidak berani berhadapan denganku.
‘Mungkin dia ada sebab
sendiri.’
Kadang-kala, timbul juga
suara hati yang cuba memberikan alasan bagi tindakan Arjuna. Suara hati yang
sama itu juga cuba menyakinkan aku untuk memberi masa buat Arjuna. Nailah
Farafisha tidak boleh menilai dan menghukum sebelum tahu apa-apa dan sebelum
mendengar cerita yang keluar dari mulut Arjuna sendiri. Itu kata hatiku.
Ah, letih mahu menjadi
seorang manusia yang rasional.
Treet…treet…
Telefon bimbitku yang
berada dalam mod senyap bergetar. Aku melirik kepada nama yang tertera di atas
skrin.
Yumiko.
Gadis yang aku temui di
hospital dan sudah bertukar-tukar nombor telefon dengannya. Lekas, aku membuka
mesej yang diterima.
‘Badri keluar hospital hari ini. Kak Nailah mahu jumpa dia?’
Aku mengetuk kepala.
Kawan jenis apa aku ini? Macam mana kau boleh terlupa tentang Badri, Nailah?
Cepat-cepat aku bangkit
dari duduk, melilit selendang di kepala dan mengambil kot labuh yang tersangkut
di penjuru bilik. Kot tersebut dikenakan ke tubuh sambil aku melangkah keluar.
Inoue-san yang kebetulan berdiri di hujung koridor, berpaling kepadaku.
“Cik Nailah mahu ke
mana?”
“Hospital. Saya mahu
lawat Badri.”
“Tuan Arjuna tahu?”
Soalan Inoue-san
membutkan aku terdiam. Kalau Arjuna tahu, pasti dia tidak akan membenarkan aku
pergi. Kata lelaki itu, jika aku selalu menemui Badri, orang-orang dalam
kumpulan yakuza akan mula mengesyaki bahawa Arjuna berbohong tentang hubungan
kami. Goro akan cuba mendapatkan aku kembali. Dendam lelaki tersebut kepada
Badri tidak boleh dipandang enteng. Dia tidak akan berhenti selagi tidak
menjatuhkan Badri.
“Cik Nailah, saya tanya ni.”
“Dia tak tahu. Dan dia
tak perlu tahu.”
“Tapi…”
“Inoue-san, saya
betul-betul perlu jumpa dia. Badri kawan baik saya. Kalau saya tak jumpa dia
sekarang, mungkin saya tak ada peluang lagi. Sebab dia tak mahu bagitahu kat
mana dia tinggal dan dia tak nak balik ke Malaysia.” Laju dan panjang lebar aku
menjelaskan. Walau Arjuna tidak membenarkan sekali pun, aku tidak peduli. Dia
bukannya suami aku untuk aku ikut segala cakap.
Inoue-san menghela nafas
panjang.
“Jangan balik lambat
sangat. Dan hati-hati.”
Aku menarik senyum kala mendengar
bait bicara Inoue-san. Setelah mengangguk, aku menyambung langkah yang
tergendala tadi.
Mujur sekali rumah
Arjuna ini letaknya di Nishijin, tidak jauh dari Hospital Horikawa. Boleh aku
berjalan sahaja. Kalau tidak, perlu menaiki subway atau mungkin bertukar-tukar
tren. Teksi? Huh, memang tidaklah. Tambangnya mahal.
Setelah berjalan
kira-kira dua puluh minit, aku akhirnya tiba di hospital. Baru sahaja aku mahu
melangkah masuk, kelibat Badri terlebih dahulu menjamah pandangan mata.
Tercegat di hadapan pintu dengan muka dan tangan yang berbalut. Yumiko di
sebelah. Mereka sama-sama memandangku. Badri dengan muka terkejut. Yumiko
dengan muka yang menyengih lebar.
Tanpa menunggu lama, aku
menghampiri.
“Aku pergi beli kopi
kejap. Kak Nailah dan Badri cakaplah,” tegur Yumiko.
“Terima kasih. Kami
duduk di taman.” Aku mengucapkan terima kasih. Sebelah tangan kemudiannya
ditalakan ke arah bangku yang tersedia di taman hospital. Yumiko menunjuk
isyarat okey sebelum menonong pergi.
“Kau memang tak nak
tunggu aku? Sampai hati nak keluar macam tu aje.” Aku mengomen sebaik sahaja
aku dan Badri menajatuhkan duduk di bangku.
“Aku ingat kau…”
“Masih marahkan kau? Kau
fikir aku siapa? Ini Nailah Farafisha. Mana boleh aku lama-lama marahkan Amirul
Badri.”
“Aku tahu. Tapi hal hari
tu, bukan hal kecil. Kalau tak kerana aku…”
“Dah, sudah. Tak payah
cakap benda yang dah pun jadi.” Sekali lagi, aku menyampuk cakap. Nada tegas
sengaja digunakan.
Badri senyum kecil. Dia
mengerti bahawa aku tidak mahu membesar-besarkan hal itu. Seketika, suasana
antara kami hening.
“Bila kau nak keluar
dari rumah tu?” soal Badri tidak semena-mena.
“Huh?”
“Orang-orang aku cakap,
kau tinggal di rumah Arjuna.” Badri menjelaskan. Dingin dan mendatar.
Aku menelan air liur.
Daripada gayanya, aku tahu Badri marah. Tempoh hari, aku langsung tidak
mengkhabarkan bahawa aku tinggal bersama Arjuna. Ah, bagaimana mahu
memberitahu, kalau suasana mula tegang dan aku tinggalkan dia begitu sahaja?
“Jadi, bila?” desak
Badri lagi. Nada suara semakin keras.
“Err…sampai keadaan
lebih selamat.”
Sekonyong-konyong, Badri
ketawa sinis.
“Selamat? Huh, dia itu
mahu berbohong kepada siapa? Kepada kau, bolehlah!” tempelak Badri selepas
mematikan tawa.
“Apa maksud kau?”
Badri berpaling sedikit
dan betul-betul menghadap mukaku.
“Kau dengar sini,
Nailah. Selagi kau ada dengan dia, kau takkan pernah selamat. Ya, memang ramai
yang takutkan dia dan takkan berani sentuh kau. Tapi ramai juga yang akan
gunakan kau untuk jatuhkan dia.” Kepala Badri tergeleng di tengah jalan.
“Tidak. Bukan setakat dia, tapi Aizukotetsu-kai.”
“Apa kaitan aku
dengan Aizukotetsu-kai?”
Badri mendengus kecil.
“Kau masih tak faham?
Tak sedar lagi? Kau…” Jari telunjuk Badri hampir-hampir melekat ke hidungku.
“Sekarang ni dikenali sebagai kekasih kepada Arjuna Kaede, cucu tunggal
Nakajima Hiroshi. Semua orang tahu kelemahan Nakajima Hiroshi ialah Arjuna
Kaede. Tapi untuk sentuh lelaki tu, memang mustahil. Arjuna bukan calang-calang
orangnya. Dan dia…untuk pengetahuan kau, tak pernah ada kekasih. Tapi sekarang,
dia bukan sahaja mengaku ada kau, tapi sudah masuk campur dalam perbalahan
antara aku dan Goro. Dia yang selama ini tak pernah peduli pasal dunia yakuza,
dah mula masuk campur.”
Segala penjelasan Badri
yang panjang lebar, aku dengar teliti. Akal fikiran berputar untuk mencerna apa
yang baru didengar.
“You have no idea how much it affected the yakuzas. Macam-macam
spekulasi dah muncul.”
“Spekulasi?”
“Arjuna akan menyertai
Aizukotetsu-kai. So there will be a
struggle for power. Selama ni, dah ada cukup banyak pihak dalam
Aizukotetsu-kai yang mahukan tempat Nakajima Hiroshi. Kalau Arjuna tiba-tiba
muncul, keadaan akan lebih kecoh. Mereka akan cuba kenakan dia.”
“Melalui aku,” sambungku
perlahan. Mula memahami segala-galanya.
“Ya, melalui kau.”
Aku keras di tempat
dudukku. Sungguh, aku tidak tahu mahu memberi reaksi bagaimana. Otakku kosong. Benar-benar
kosong.
“Nailah…” tegur Badri.
Mukanya berbias rasa risau.
Nafas paling berat aku
lepaskan. Senyum kelat aku pamerkan. “I’m
okay. I’m just…you know, cuba untuk betul-betul faham semua ni.”
“Aku minta maaf.
Semuanya…”
“Stop saying it’s your fault. Benda dah jadi. Aku tetap kena
hadap.”
Badri diam. Dia tampak tidak
berani untuk mengatakan apa-apa lagi. Aku tahu, perasaan bersalah yang
menghantui Badri bukan sedikit. Aku yang selama ini, dia jaga dan lindung,
akhirnya terhumban dalam permainan nyawa gara-gara dirinya. Pasti dia berasa
sangat teruk.
“You know what?” Aku cuba memecahkan keheningan dan kejanggalan
yang mula menyelubungi kami berdua.
“Apa dia?”
“Aku jumpa dia.”
“Siapa?”
“Nakajima Hiroshi.”
Saat itu juga, mata
Badri terbalalak. Mulutnya ternganga luas. Seperti yang sudah aku jangka, dia
terkejut bukan kepalang.
~Bersambung...~
**********
TEASER BAB 17:
“Badri.”
“Apa?”
“Ada kereta ikut kita.”
Perbualan mereka
menyentakku. Sepantas kilat, aku memusing kepala dan melihat kereta yang sedang
mengekori dari belakang. Arjuna!
“Jahanam,” carut Badri
kegeraman. Dia kemudiannya menjerit, “Yang kau bawa lembab sangat, kenapa? Laju
lagi!”
Automatik, Daichi
menekan minyak. Kereta yang kami naiki berdesup ke hadapan. Aku terjerit kecil.
“Laju lagi! Lagi! Kita
tak boleh biar dia kejar.” Dalam kekecohan, Badri tidak henti-henti menempik
memberi arahan. Suaranya kedengaran terdesak benar.
Daichi, sebagai anak
buah yang sangat taat mengikut cakap. Kereta ini pantas membelah jalan. Suasana
lewat malam yang sunyi dari kereta lain menyenangkan lagi perbuatan Daichi.
Habis segala lampu isyarat dilanggar. Selekoh tajam dilalui laju.
Kadang-kadang, tanpa membrek. Tangannya tangkas memusing-musing stereng.
Aku di belakang sekejap
terlempar ke kiri, sekejap ke kanan. Mulut tidak habis-habis menjerit. Jantung
berdegup laju. Hati pula berkali-kali mengucap panjang. Seriau!
Dalam lajunya Daichi,
Arjuna tidak kurangnya. Beberapa kali, keretanya menyaingi. Setiap kali itu,
dia menjerit di sebalik cermin kereta yang terbuka.
“Berhenti! Berhenti,
Badri!!!”
“Ke depan lagi!!!”
Lain yang dipohon, lain
yang Badri buat. Langsung dia tidak mempedulikan permintaan Arjuna. Aku semakin
penasaran. Kalau keadaan ini berterusan, kami mungkin akan bertembung antara
satu sama lain atau mungkin juga…
Streeeet…
Bunyi brek mengejut yang
sangat kuat menujah telinga. Mataku terbelalak besar menyaksikan kereta Arjuna
berpusing beberapa kali di atas jalan sebelum…
Bangggg!
Melanggar pembahagi
jalan.
*************
NOTA CIK SA:
Sila bayangkan interaksi antara AK dan datuk dia berlangsung dengan kedua-duanya memakai kimono. Wah! That should be intense.
Sudi-sudilah komen, ya. TQ soooo much, and see you this Thursday. =)
Huaaa ! Bestttt , taksabaq nak tunggu bab 17 , AK eksiden ! Sedih
ReplyDeleteTQ soooo much! =)
DeleteAK.... T.T
ReplyDeletesobs...sobs...
DeleteOh no, ape jadi ngan AK huhuhuhu. Badri ni buat hal ape pulak tu haishhhhh...
ReplyDeletetidak!!!! hehe
DeleteCepatlah dtg hari rabu. Jangan biarkan jantungku berdegup kencang menantikan kisah seterusnya , sebagaimana degupan jantung nailah mau tahu keadaan arjuna
ReplyDeletewah!!! bestnya ayat. dah boleh jadi novelis ni. hehe
Deletekenapa dgn AK????
ReplyDeleteplzzz cpt la update..
xsbar dah ni...
jeng2. hehe
Deletenext please....
ReplyDeleteinsyaAllah, sy masukkan. =)
DeleteNo AK!!! Knapa lah Nailah ni,klau sy nailah, sy stay aje lah dgn AK..
ReplyDeleteerk, NF tak bersalah. hehe
DeleteErm,nailah xnak balik Malaysia ke?
ReplyDeletebukan tak nak. tapi tak boleh
DeleteErm,nailah xnak balik Malaysia ke?
ReplyDeletemakkkk aiiii.. acane kak sara boleh tulis cerita macam giniii?? seghupa baca komen mangga pulak. hikhik
ReplyDeletehahaha!!! entahlah macam mana boleh tulis. dapat idea masa gi Jepun kut. sukanya kalau compare dgn manga. sbb kak sara suka baca manga masa muda dulu. ok, skrg pun muda lagi. hahaha
Delete