September 17, 2015

SALJU KYOTO - BAB 11


BAB 11
"APA...APA yang kau cakapkan ni?" Tergugup-gagap aku bertanya. Jantung sudah pun berdegup kencang.
"Jantan tak guna tu...dia tak patut muncul," gerutu Badri tiba-tiba. Tidak pula menjawab soalan yang aku utarakan.
"Siapa?"
"Siapa lagi?" Badri bermain soalan.
"Arjuna?" Aku meneka.
"Yalah. Memandai-mandai muncul, kononnya nak jadi hero selamatkan semua orang." Terherot-herot mulut Badri meluah perasaaan. Dia tampak marah benar.
"Tapi, memang dia selesaikan hal tu, kan? Kalau tak..."
"Kalau tak, apa? Kau fikir aku tak mampu handle Goro. Macam tu?" sampuk Badri, dengan suara yang semakin lama semakin keras.
"Tak adalah macam tu. Tapi kau tengoklah apa yang jadi. Berapa lama kau nak berlawan? Berapa ramai orang perlu cedera atau mungkin mati?"
"Bila dia muncul, semua orang diam dan Goro mengalah. Dia selamatkan kau. Dia selamatkan aku. Itu maksud kau?"
"Ya, kalau dia tak ada hari tu, mungkin lebih teruk keadaan kau," akuiku tanpa berfikir panjang.
Tanpa semena-mena, Badri ketawa sinis. Tetapi, sekejap cuma. Dia tiba-tiba mengaduh sambil memegang dada. Mukanya berkerut menahan sakit. Aku bergerak sedikit, mahu mendekat dan membantu. Namun, Badri mengangkat sebelah tangan sebagai isyarat agar aku tidak berbuat apa-apa.
"Kau memang betul-betul tak faham apa yang dah berlaku, kan?" soal Badri selepas beberapa ketika. 
Aku tersentak. Sama! Soalan itu benar-benar serupa dengan apa yang pernah terpancul keluar dari mulut Arjuna.
"Dia dah buat kau jadi galang-gantinya," sambung Badri lagi.
"Apa maksud kau?"
"Ya, aku faham kenapa dia buat macam tu. Dia tak nak Goro apa-apakan kau. Tapi, dia itu tolol atau apa?!!!" Seperti tadi, Badri tidak menjawab soalan, bahkan dia membentak sendiri.
Aku diam menanti Badri menyambung bicara.
"She's mine. Jadi tak ada sesiapa pun boleh dekat dengan dia, cuba sentuh dia atau apa-apakan dia. Itu maksud kata-kata Arjuna. Tapi..."
"Tapi apa?" Antara dengar tak dengar, aku menyoal. Jantung berkocak hebat. Entah kenapa, intuisi wanitaku mula membayangkan yang tidak elok.
"Itu juga bermaksud, kau boleh jadi target kepada musuh-musuh dia."
Mukaku berderau. Ingatanku spontan terbang kepada saat Arjuna diserang hendap, aku yang menempik memberi amaran dan saat aku dijadikan tebusan. Ya, musuh. Arjuna punya musuh.
Sesaat kemudian, aku teringat pula kepada pengakuan Arjuna pagi tadi. Langsung aku tidak terfikir soal musuh atau bahaya. Yang aku tahu waktu itu, cuma satu. Aku tidak mahu menilai dan menghukum. Tetapi, jika nyawa yang jadi pertaruhan, mampukah aku terus berfikiran begitu?
"Dia tak fikir ke pasal itu? Dia dah letakkan kau dalam bahaya. Hanya dengan berada dekat kepada dia, kau boleh hilang nyawa."
"Sebab dia ada kaitan dengan yakuza paling berpengaruh di sini?" Aku bertanya dengan lagak yang dibuat-buat tenang. Walhal, jiwaku kacau.
Badri tercengang. "Kau tahu pasal itu?"
"Ya."
"And yet, kau rapat dengan dia? Kau abaikan amaran aku supaya jauhkan diri daripada dia? Kau bodoh ke apa, Nailah?! Kenapa libatkan diri dengan sembarangan orang? Kau fikir, aku bagi amaran dulu sebab saja-saja? For no reason?!"
Badri sudah tidak serupa orang sakit. Bertalu-talu, aku dimarahinya. Aku tergemap. Langsung tidak menduga akan diserang sebegini rupa. Sedikit demi sedikit, mukaku menyirap geram.
"What do you expect from me? Aku tak ada sesiapa di sini. Ada kawan pun, asyik dihalau balik. And there was Arjuna, yang selalu lindung dan jaga aku. Jadi, apa lagi yang aku boleh buat selain berkawan dengan dia?" Laju dan keras aku menempelak. Kecil besar, kecil besar sahaja Badri di mataku sekarang.
"You don't make friend with that kind of person." Badri jelas tidak terkesan dengan kemarahan aku, bahkan dia menyinis selamba. Tutur katanya pula jelas merendah-rendahkan Arjuna. Aku yang mendengar, semakin panas hati.
"And what kind of person is he? Tell me." Dengan bibir yang terketap-ketap, aku menyoal kembali.
Badri tidak terus menjawab, sebaliknya dia merenung tepat ke mukaku. Ada tanda serba-salah di matanya, seolah-olah sedang menimbang tara sama patut meneruskan kata atau pun tidak. Seperti awal pertemuan tadi, ada juga riak rasa bersalah yang terpalit sama.
Seketika berlalu, Badri menghela nafas dalam-dalam dan bersuara, "Cucu kepada Nakajima Hiroshi, the oyabun of Aizukotetsu-kai."
*****
AIZUKOTETSU-KAI.
Nama itu terngiang-ngiang di celah telinga. Kata Badri, Aizukotetsu-kai merupakan kumpulan yakuza paling besar dan paling berkuasa di Kyoto, malahan yang keempat terbesar di seluruh Jepun. Ianya bukan sebuah kumpulan yakuza yang berdiri sendiri, sebaliknya satu pertubuhan yakuza yang memayungi kira-kira seratus kumpulan yakuza yang berlainan, termasuk kumpulan yang dianggotai oleh Badri. Keseluruhan ahli kumpulan pula mencecah hingga tujuh ribu orang.
Aku hampir pengsan mendengarkan semua itu. Duniaku terasa berpusing. Benar, aku sudah menjangka sesuatu yang besar saat mendengar pengakuan Arjuna pagi tadi. Tetapi tujuh ribu ahli kumpulan? Mengetuai seratus kumpulan yakuza? Aku tidak menduganya langsung. Tidak walau sebesar zarah pun.
Oh, Tuhan! Apa jenis kotak pandora yang sudah aku buka? Kotak ini bukan sembarangan kotak, tetapi sebuah kotak yang mungkin sudah pun menyedut aku masuk lalu memerangkap aku untuk selama-lamanya.
Seperti kata-kata Badri.
"Orang yang jatuh ke tangan Aizukotetsu-kai takkan boleh lepas hidup-hidup."
Aku ingin meraung, menempik dan menengking marahkan Badri. Kalau tidak kerana dia, aku tidak mungkin berada di sini. Kalau tidak kerana dia, aku tidak mungkin diculik. Arjuna juga tidak perlu muncul selamatkan keadaan. Dia tidak perlu mengatakan bahawa aku miliknya. Dia tidak perlu meletakkan aku dalam situasi ini. Jadi, aku boleh hidup diam-diam sahaja, tidak perlu pedulikan apa-apa yang cuma menyulitkan aku. Tetapi, apa yang sudah jadi sekarang? Apa yang sudah jadi, Badri?!
Namun sayang, aku tidak berdaya untuk mengatakan apa-apa. Aku tidak larat. Otakku terlalu tepu dengan segala informasi yang aku dapat. Sudahnya, pertemuan antara aku dan Badri sebentar tadi berakhir dengan aku melangkah pergi begitu sahaja. Seusai dia menyebut tentang Aizukotetsu-kai dan sewaktu dia merayu aku memaafkan dia.
"Aku minta maaf, Nailah. Semuanya salah aku. Kalau tak kerana aku, kau takkan terlibat dengan semua ini. Aku benar-benar minta maaf."
Huh, senang Badri menuturkan kata-kata maaf. Padahal, aku yang kena tanggung semuanya. Aku yang kini terperangkap bersama Arjuna. Aku yang perlu menghadapnya. Aku yang terpaksa mempertaruhkan nyawa diapa-apakan, hanya kerana ayat sependek itu.
"She's my woman."
Arghhh! Aku bencikan perkataan itu. Kenapa Arjuna perlu mengatakan demikian untuk selamatkan keadaan? Kenapa?! Dan yang paling penting, dengan identiti sebenarnya itu, mungkinkah dia akan mengapa-apakan aku? Selamatkah aku di rumah itu?
"Janji pada aku, Nailah. Kau akan balik."
Sekonyong-konyong, suara Arjuna bergema di hujung telinga. Dekat sekali. Aku tersentak dan terus memanggung muka. Mataku lekas diliarkan kepada sekeliling. Ryohei yang berdiri tidak jauh daripadaku pantas membetulkan tegak berdirinya. Wajahnya tampak kebimbangan bersama mata yang merewang kiri dan kanan. Dia jelas berada dalam keadaan berjaga-jaga. Aku mengulum senyum kelat dan menggelengkan kepala, tanda tiada apa-apa.
'Kau dah kenapa, Nailah? Arjuna tak ada kat sini,' marahku kepada diri sendiri. Kepalaku yang berserabut disandarkan kepada belakang bangku. Perlahan-lahan, aku mengatup Ah, ingin aku menampar mulut sendiri. Kenapa senang sangat menabur janji yang sukar ditepati?
"Sumimasen..."
Satu suara halus tiba-tiba mengejutkan aku. Pantas, aku membuka mata. Perhatianku melekat kepada seorang gadis muda yang terpacak di hadapan kerusi hospital yang aku duduki. Dia sedang menggigit bawah bibir dan menguis-nguis kaki. Jelas benar wajah serba-salahnya.
Dengan hati yang kehairanan, aku mengerling kepada Ryohei yang entah bila sudah berdiri betul-betul di sisiku. Cepat sungguh dia ke sini. Dalam hati, aku merengus. Rimas sekali dengan tingkah lelaki tersebut yang tidak ubah seperti pengawal peribadi. Atau mungkin juga, dia sebenarnya mahu memastikan bahawa aku tidak melarikan diri. Semestinya atas arahan Arjuna. Siapa tahu, bukan?
"Ya?" Aku menegur gadis di hadapanku.
"Err...err, kau Nailah, kan?" Dia bertanya dalam Bahasa Jepun.
"Ya, kenapa?"
"Apa hubungan kau dengan Badri?"
Soalannya yang sangat terus dan tidak berlapik, membuatkan aku tergamam. Lidah jadi kelu untuk menjawab.
"Kau teman wanita dia?" Lagi gadis itu menebak. Muka serba-salah tadi sudah berubah jadi bersungguh pula.
Aku menggelengkan kepala. "Aku kawan dia."
"Bukan teman wanita?"
"Bukan."
"Oh, okey." Dia melepaskan nafas lega dan dengan selamba mengambil tempat duduk di sebelahku. Hujung mataku tertala kepada sejambak bunga mawar yang dipegangnya. Bunga yang sama seperti bunga di bilik Badri.
Aku memaling muka dan memandangnya tepat. "Sekarang, giliran aku pula untuk bertanya."
"Huh?" Dia memasang muka bingung. Mata sepetnya terkelip-kelip. Pada pengamatanku, gadis ini tidak kurang comelnya.
"Apa hubungan kau dengan Badri? " soalku.
Tanpa semena-mena, riak muka gadis itu bertukar keruh. Dia menayang senyum. Tetapi, aku boleh nampak betapa sedihnya senyuman itu.
"Kalaulah aku boleh jawab soalan tu."
Aku mengangkat sebelah kening, memohon lebih penjelasan.
"Sekurang-kurangnya, kau boleh jawab dengan yakin yang kau kawan dia. Tapi aku? Apa pun tak ada."
"Maksud kau?"
"Semuanya salah aku. Badri jadi macam tu sebab aku. Kalau dia tak selamatkan aku, tak perjuangkan aku, Goro takkan..."
Sedikit demi sedikit, aku mula mampu meneka apa yang sedang berlaku.
"Kau...perempuan yang..."
"Ya, perempuan yang Goro perkosa. Pelacur yang tak ada harga diri," sampuknya bersahaja, tetapi matanya jelas menampakkan duka.
Aku bungkam sejenak, sambil cuba berfikir tentang bagaimana mahu memberikan reaksi. Selalunya, orang akan memandang enteng kepada seorang pelacur. Katanya kotor dan jijik. Tetapi, saat ini yang ada di sisiku cuma seorang perempuan biasa yang tampak lemah. Tiada kotornya. Tiada jijiknya.
"Tapi, pelacur ini diberikan maruah oleh Badri." Dia menyambung lagi. Suaranya bergetar penuh emosi. "Bila orang lain biarkan Goro buat apa saja yang dia nak kepada aku, berkali-kali pula tu...Badri halang dia. Badri selamatkan aku daripada cengkaman Goro. Badri cakap, bila aku tak rela, tak ada sesiapa pun boleh sentuh aku."
Dia menengadah tepat ke mukaku dengan mata yang berkaca-kaca.
"Kau tahu tak? Itulah kali pertamanya ada orang pandang aku bukan sebagai pelacur. Tapi sebagai manusia. Manusia yang ada hati dan perasaan."
Usai menyudahkan kata, setitis air matanya menitik. Aku yang melihat turut merasai sebaknya. Pasti sudah terlampau lama gadis ini menderita. Pasti sudah lunyai hati dan jiwanya. Pasti sudah lenyap harapan dalam hidup.
"Apa kena dengan perempuan ni?" tanya gadis itu tiba-tiba.
"Huh?"
"Kau mesti tertanya-tanya macam tu, kan? Tak malunya mengaku diri pelacur kepada orang yang dia tak kenal," sambungnya lagi, dengan tingkah yang kembali selamba seperti awal pertemuan tadi.
Namun, aku tidaklah buta untuk nampak betapa gadis ini cuma mahu menutupi hati yang lara. Sesaat, aku ditujah rasa hairan. Dia nampak seperti gadis yang baik, jadi kenapa jalan ini yang perlu diambil? Kenapa jalan yang terlampau banyak durinya ini? Ah, pasti dia punya sebabnya. Aku sebagai orang luar tidak berhak untuk mengatakan apa-apa.
"Kenapa kau senyap? Kau memang tak banyak bercakap, ke?"
Aku gelak kecil.
"Bukan aku yang tak bercakap. Kau yang banyak sangat bercakap."
Dia menyeringai, menampakkan gigi yang tersusun elok. "Nama aku Yumiko. Yoroshiku ne."
"Yoroshiku."
"Aku gembira kau bukan teman wanita Badri." Yumiko kembali kepada topik pertama tadi.
"Aku tahu," balasku selamba.
Yumiko membeliakkan mata. "Kau tahu?"
Aku mengangkat sebelah kening. "Jelas terpampang di muka kau."
"Ya ke?" Dia menggaru-garu belakang leher sambil menggigit bawah bibir.
Melihatkan reaksinya, hujung bibirku membentuk senyum halus. Untuk seorang perempuan yang berpengalaman dengan lelaki, Yumiko kelihatan naif. Mungkin kerana Badri bukan seperti lelaki-lelaki yang selama ini menghampirinya demi satu tujuan semata-mata. Bak kata gadis itu, Badri menghormati Yumiko sebagai seorang manusia.
Ya, itulah Badri yang sebenarnya. Badri yang selama ini aku kenal. Badri yang sentiasa menghulurkan tangan saat orang lain kesusahan. Badri yang ada barannya, tetapi dia tidak ganas atau suka memukul orang.
"Berapa lama kau kenal Badri?" Aku bertanya. Dalam fikiran, aku sudah berkira-kira mahu mendapatkan kepastian terhadap apa yang aku ingin tahu. Juga, tujuan sebenar aku menemui Badri sebelum perbualan kami menyimpang jauh kepada identiti Arjuna.
"Hmm, lebih kurang tiga bulan. Kenapa?"
Aku menghela nafas panjang sebelum bersuara lagi. "Kau tahu kenapa dia jadi yakuza?"
Riak muka Yumiko jelas berubah. Ada biasan sedih dalam pandangan matanya. "Badri itu...seperti aku. Memilih jalan gelap dalam keterpaksaan."
"Maksud kau?"
"Mungkin takdir menentukan dia berada di tempat yang salah, pada masa yang salah. Atau mungkin juga, dia silap menyelamatkan orang."
"Aku...aku tak faham," ucapku dengan dahi yang berkerunyut tebal.
"Semuanya bermula bila dia menyelamatkan Hideyoshi-sama."
"Siapa dia?"
"Kaicho kepada Sanshin-kai."
"Sanshin-kai?"
Yumiko mengangguk kecil. "Itu nama kumpulan yang Badri anggotai. Aku tak pasti cerita penuh. Tapi yang aku tahu Hideyoshi-sama berkenan sangat pada Badri lepas Badri selamatkan dia."
"Berkenan? Maksud kau, dia nak Badri masuk kumpulan dia?" tekaku.
"Ya."
Mendengarkan itu, aku langsung tidak terkejut. Walaupun Badri tidak mendapat ajaran formal dalam seni mempertahankan diri, dia memang handal berlawan. Semuanya gara-gara kisah hidupnya. Sementelah, dari umur belasan tahun lagi, dia bertubuh besar dan sasa. Jadi, tidak hairanlah jika manusia bernama Hideyoshi itu mahukan Badri. Tetapi, takkanlah hanya sebab itu, Badri masuk ke dunia yakuza?
"Kau silap kalau kau fikir Badri terus mahu," ucap Yumiko seperti membetulkan apa yang ada dalam fikiranku.
"Jadi?"
"Hideyoshi-sama itu...walaupun dia selalu berpegang kepada tradisi yakuza, tetapi dia jenis yang akan buat apa sahaja untuk dapatkan apa yang dia nak. Bila kemahuannya ditolak, itu bermakna mencabar dia."
Anak mataku membulat. Entah kenapa, hatiku dipagut rasa tidak enak.
"Kau mesti pernah dengar, kan?" Yumiko menyoal di tengah-tengah cerita.
"Apa dia?" soalku dengan suara tenggelam timbul.
"Ayat ini. Kalau aku tak dapat dia, tak ada siapa pun boleh dapatkan dia."
Aku mengangguk, tanda mengiyakan kata-kata Yumiko. Memang itulah ayat klise dalam drama.
"Tapi dalam kes Hideyoshi-sama, lain sedikit."
"Lain macam mana?"
Yumiko merenung tepat ke mukaku, seolah-olah mahu memberi penegasan terhadap apa yang bakal keluar daripada mulutnya.
"Kalau aku tak dapat dia, aku rela membunuhnya."
Rahangku terlurut jatuh. Jadi, ini bermakna Badri diugut? Dia tidak pernah mahu mencemarkan tangannya dengan darah, menjahanamkan dirinya dalam dunia penuh kegelapan.
Badri...dia tetap sahabat yang aku kenal. Dia tidak berubah.
"Pendek cerita, Badri dipaksa. Semuanya bukan kemahuan dia. Tapi kau tahu tak?"
"Apa?" tanyaku kembali.
Hujung bibir Yumiko mengulum senyum kelat.
"Aku gembira dia ambil jalan ini."
"Huh?" Pendek reaksi yang keluar dari mulutku. Agak terkejut sebenarnya. Bagi seorang yang rasanya sudah merasai betapa sakitnya berada dalam dunia sedemikian, sanggup Yumiko berperasaan begitu? Tidak kasihankah dia kepada Badri?
"Sebab dia jadi Sanshin-kai, aku jumpa Badri. Aku akhirnya jumpa orang yang anggap aku sebagai manusia."
Bait bicara Yumiko membuatkan aku terkedu terus. Ianya membuatkan aku terfikir, manusia selalu melihat sesuatu atas dasarnya sahaja. Putih itu suci. Hitam itu kotor. Tetapi hakikatnya, hidup bukan sekadar hitam dan putih. Kerana hitam bisa bercampur dengan putih lalu menjadi kelabu. Putih pula bila ditanda dengan setitis birunya nila, akan berubah warna. Seperti itu juga dunia Badri dan Yumiko. Saat Badri melemparkan diri ke dalam kegelapan, dia sebenarnya membawa cahaya kepada Yumiko.
Ternyata, dalam hitamnya kehidupan seorang manusia, mungkin dia adalah penyelamat kepada manusia lain. 
*************
TEASER BAB 12
"Tapi...saya dah janji dengan Mak Cik Kasmah."
"Kau janji untuk bawa dia balik, atau kau janji untuk cari Badri?"
Aku diam sebentar. Segala perbualan dan permintaan Mak Cik Kasmah terimbau dalam ingatan. Kalau difikirkan balik, wanita tua itu cuma mahu aku mencari Badri, bukannya membawa dia pulang.
"Cari," jawabku pendek. Suara tidak bersemangat langsung.
Arjuna menjongket bahu. "See? Kau kena lebih pandai fikir tentang diri kau sendiri. Jangan terlampau peningkan kepala fikirkan hal orang lain, walaupun orang lain tu adalah Badri. Orang yang penting untuk kau."
"Then, saya tak perlu fikir pasal awak juga," gumamku perlahan.
Riak wajah Arjuna berubah. Dia kemudiannya menyilangkan tangan ke dada dan memasang senyum senget. Matanya pula dikecilkan ke arahku. Tajam tetapi pada masa yang sama tampak...
Menggoda.
"That's interesting. Aku tak tahu pula kau fikirkan soal aku." Suara garau Arjuna sipi-sipi menyentuh telinga dan manusuk terus ke jantung.
Aku terbungkam. Mata terkelip-kelip, tidak pasti mahu menjawab apa. Fikirku, apa yang aku ucapkan tadi tiada apa-apa makna. Tetapi, kenapa Arjuna membuatkannya kedengaran...intim?
"Hey, young lady."
"Huh?"
"Kau jangan sesekali tunjuk muka macam tu depan lelaki lain."
Automatik, aku mengangkat tangan dan memegang pipi. "Muka apa?"
"That lost and confused look. Dari awal lagi, itu cuma untuk aku seorang."
**************
NOTA CIK SA:
Okey, saya tahu korang frust sebab dalam bab 11 tak ada AK. Dia cuma jadi subjek perbualan sahaja. Ini memang caranya POV1, watak AK tak boleh tiba2 muncul kalau watak 'aku' tak jumpa dia. 
Tapi...tapi, jangan sedih dulu. Walapun AK tak ada dalam bab ini, tapi bagi Cik SA, bab 11 ini penting sebab kita dapat jawapan tentang siapa AK (walaupun hanya pada dasarnya sahaja). Bab ini juga tunjukkan pandangan Badri tentang AK, dan pandangan Yumiko tentang Badri. So, sekarang tertakluk kepada Nailah apa jenis pandangan yang dia nak ada tentang kedua-dua lelaki dalam hidup dia. 
Based pada teaser bab 12, mesti korang dah boleh agak pilihan Nailah, kan? Hihi...
Oh, a little bit info. Segala yang saya tulis tentang Aizukotetsu-kai adalah fakta. Yup, both Aizukotetsu-kai dan Sanshin-kai betul-betul wujud. But of course, nama oyabun dan kaicho adalah rekaan semata-mata.Tak berani Cik SA nak guna nama betul. Scarrry...
Jom vote komen. TQ and see u this Monday. =)

12 comments:

  1. Terbaiklah Cik SA!! Thanks n tahniah! Walaupn xde AK,tp skurg2nya dh dpt tau sape AK sbnrnya :) xsbarr utk bab 12 yg menggoda...haha

    ReplyDelete
  2. 3 days to go............

    ReplyDelete
  3. Fuhhh lega rasa Badri dgn Fumiko, so ade can la AK dgn Nailah... Cptlah monday, selalunya x suka monday tapi sejak ade Salju Kyoto ni terus jadi x sabar plk hahahahhaah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha! kan? dalam citer ni mmg xde watak perempuan gedik yg cuba dapatkan hero. wah!! ubat utk monday blues katanya...=)

      Delete
  4. waaaa tak sabat nak tunggu bab 12, best!

    ReplyDelete