September 14, 2015

SALJU KYOTO - BAB 10


BAB 10
SETAPAK DEMI SETAPAK aku berjalan di koridor yang panjang ini. Sesekali aku mengusap telapak tangan yang kesejukan. Ekor mata pula tidak habis-habis meliar ke kiri kanan. Entah bilik apa yang ada di rumah ini. Besar sangat. Tidak bosankah Arjuna tinggal di rumah sebesar ini, sedangkan ianya kosong semata?
"Yahhh!!!"
Satu jeritan mematikan terus langkah. Aku tercengang. Cepat-cepat aku memasang telinga. Mahu mengenal pasti dari mana datangnya bunyi tersebut. Dari bilik di sebelah kananku! Perlahan-lahan, aku menjongket kaki menghampirinya. Pintu tarik shoji ditolak ke tepi sedikit. Anak mata diletakkan di celah-celahnya. Posisi yang sangat sempurna sebagai seorang penghendap.
Di tengah-tengah ruang bilik yang luas dan besar itu, Arjuna sedang berdiri tegak membelakangi aku. Tubuh tegapnya dibaluti oleh keikogi dan hakama berwarna hitam. Di tangannya pula, kelihatan sebilah pedang panjang. Seketika kemudian, dia membuka kaki dan menghunus pedang tersebut tinggi ke hadapan. Dalam sekelip mata, dia sudah pun bergerak sambil melibasnya atas bawah, kiri kanan. Tempikan gagahnya berkumandang di segenap bilik. Tidak cukup dengan itu, dia berpusing, melompat tinggi, mendarat dan bermacam lagi pergerakan yang sukar untuk aku jelaskan.
Aku melihat semuanya dengan mulut separuh ternganga. Walaupun aku tidak tahu menahu tentang ilmu mempertahankan diri, tetapi aku tahu bahawa pergerakannya sempurna tanpa cacat cela. Bahkan, dia kelihatan seperti menari bersama pedang yang bersinar itu. Sama seperti malam pertemuan pertama kami.
Setelah beberapa ketika beraksi, Arjuna akhirnya berhenti. Belakangnya tampak termengah-mengah. Mukanya dipaling sedikit ke kanan dan tiba-tiba...
"Berapa lama lagi kau nak tercegat di situ?"
Aku tersentak dan cepat-cepat bergerak ke belakang. Hampir putus nyawa saat disergah begitu. Pintu tarik dibuka dari dalam. Arjuna tersembul di hadapan mata. Rambutnya jatuh menutupi dahi dan separuh basah dengan peluh. Begitu juga dengan wajah dan leher. Peluh jantan menitis-nitis. Dada pula berombak laju. Desah nafas kuat berbunyi. Entah apa yang tidak kena denganku, dia nampak seksi.
'Isy, gila kau, Nailah!' Cepat- cepat, aku menempelak diri sendiri.
"Seronok mengintai?" soalnya selamba. Sebelah tangan mengelap muka dengan tuala kecil. Kemudian, dia membawa tuala itu ke lehernya yang putih. Dilap-lap dengan gaya yang...menggoda?
Semerta aku melarikan pandangan mata. Pipi sudah selamat membahang.
"Mana...mana ada saya mengintai." Kelam-kabut aku menafikan. Kepala tergeleng-geleng laju.
Lewat ekor mata, aku melihat Arjuna memasang senyum kecil. Kakinya dibawa keluar bilik sebelum dia mengatup kembali pintu. Lantas, dia berdiri menghadapku.
"Bilik ni aku consider as dojo. Tempat untuk aku practice," jelasnya tanpa kupinta. "Jangan masuk tanpa kebenaran aku. Dalam tu, ada banyak katana. Bahaya kalau kau terlanggar."
"O...key." Aku menjawab sekadar berbasi-basi.
Tanpa semena-mena, Arjuna menundukkan muka hingga ke aras mukaku. Terkulat-kulat aku menatap wajahnya yang dekat benar.
"Hmm, pipi kau dah tak bengkak. Tapi bibir kau..."
Arjuna mengecilkan anak mata tepat ke bawah bibirku. Rasa tidak selesa terus menyusup masuk. Berdebar pula jantung dengan fiil lelaki ini yang agak intim.
"Masih lebam," sambungnya seraya menjauhkan semula wajah. Kemudian dia merengus kasar. "Pantang sungguh aku dengan lelaki yang guna kekerasan kepada perempuan."
Usai menggumam, Arjuna berjalan pergi. Aku mengeluh sebelum mengejar. Isy, dia ni suka sungguh tinggalkan aku terkontang-kanting. Tak boleh ke bercakap tu biar habis?
"Aku dengar kau cari aku semalam. Kenapa? Masih tak berpuas hati sebab aku paksa kau tinggal sini?" soal Arjuna sebaik sahaja aku menyaingi langkahnya. Ada unsur-unsur sindiran dalam pertanyaan itu.
Aku menjuih bibir. "Saya ada hal nak tanya."
"Apa?"
"Siapa awak sebenarnya?" Sungguh berterus-terang soalan yang aku lemparkan. Aku malas bersimpang-siur. Buat membazirkan masa dan air liur sahaja.
Arjuna tiba-tiba mematikan langkah. Aku menoleh ke sebelah. Dari sisi mukanya, jelas riak wajahnya yang berderau.
"Kenapa kau tanya macam tu?" Soalan juga yang dia titipkan, tanpa memandangku.
"Well, obviously sebab kejadian semalam."
"Kenapa dengan kejadian semalam?" Nada suara Arjuna kedengaran mendatar.
Dahiku berkerut. Apa jenis soalan yang dia tanya? Sah-sahlah sebab mereka semua takutkan dia. Itu pun tak faham ke?
"Yalah. Awak datang aje, semua orang diam. Senyap. Si Goro penyangak tu terus macam tikus. Badri pun tak cakap apa," terangku panjang lebar.
"Kau fikir aku siapa?" Lagi soalan yang terpantul dari bibir Arjuna. Kali ini dia sudah pun memusing pandang kepadaku.
"Kalau saya tahu, saya takkan tanya awak," perliku, kegeraman dengan tingkahnya yang tidak habis-habis bermain soalan.
"Kau fikir aku siapa?" tekan Arjuna, masih dengan soalan yang sama. Renungannya bertambah keras. 
Aku bungkam. Dari reaksinya, aku tahu dia sebenarnya mahu aku membuka mulut tentang tanggapanku terhadap dia. Arjuna tahu bahawa aku ada memikirkan sesuatu tentangnya. Sesuatu yang ada dalam kotak pandora yang tidak sepatutnya aku buka.
"Nailah..." seru Arjuna, mengharapkan jawapan.
"Apa yang saya fikir tentang awak tak penting. Yang lebih penting, apa yang keluar dari mulut awak. Apa yang awak mengaku."
Mendengarkan itu, Arjuna gelak sinis. Tetapi, ada biasan kelat yang terpalit dalam anak matanya. Aku boleh nampak. Aku boleh perasan.
"Huh, I guess you do think that I'm a bad guy."
"Are you?" Laju aku menebak.
Arjuna tercengang. Mungkin tidak menduga bahawa aku berani menyoal begitu.
"Kalau awak tak rasa diri awak jahat, then tell me so," sambungku lagi.
"Kalau aku cakap macam tu, kau akan percaya ke? Tak mungkin. Sebab manusia suka mendengar cakap majoriti. Suka percaya apa yang orang lain percaya. There's no right. There's no wrong. There's only popular opinion. That's how society is."
"Sorry, but that society doesn't work for me."
Kening Arjuna bertaut. Matanya dikedip-kedip memohon aku menjelaskan.
"Saya dah puas hidup dalam masyarakat yang macam tu. Yang menilai orang lain sesuka hati, tanpa tahu apa yang orang tu dah lalui. Yang menjatuhkan hukum tanpa dengar penjelasan. Yang buta mata, yang pekak telinganya." Aku berkata tegas. Apa yang pernah aku lalui terbayang-bayang di mata. Betapa masyarakat membuat aku tidak percaya kepada mereka. Akhirnya, aku menjadi seorang manusia yang berpegang kepada 'Ignorance is the best policy.'
"Patutlah," komen Arjuna pendek.
"Apa?"
"Kau cuba mencari justifikasi atas tindakan Badri. You wanted to know the 'why' part."
Kata-kata Arjuna membuatkan aku terkedu. Spontan ingatanku menerawang kepada bicara Badri.
"Aku ingatkan kau kawan aku. Sekurang-kurangnya, kau patut cuba untuk tanya aku, kenapa aku jadi macam ni."
Zup! Hatiku terhentak. Tidak, aku bukan seperti anggapan Arjuna. Aku tidak bertanyakan sebab-musababnya kepada Badri. Aku sudah jadi seperti masyarakat yang aku benci. Aku menilai dan menjatuhkan hukum. Ya Allah, apa yang aku sudah buat?
"Jadi..." sambung Arjuna. Tetapi secepat itu juga, dia mematikan kata. Sebaliknya, dia senyap memandang aku.
"Jadi apa?"
"Walau apa pun jawapan aku, kau akan percaya? Tanpa sikit pun rasa ragu-ragu?" soal Arjuna. Suaranya agak bergetar, seperti bersalut emosi.
"Ya, kalau kena dengan pemerhatian saya." Penuh keyakinan, aku menjawab.
"Pemerhatian?"
"Semua perkara kena ada buktinya, kan? Jadi kalau awak mahu cakap yang awak bukan lelaki jahat, saya kena tengok sendiri buktinya."
Arjuna mengangguk-anggukkan kepala.
"Hmm, menarik. Tapi bagaimana kalau pemerhatian kau bertentangan dengan fakta?"
"Maksud awak?"
"Contohnya, kau rasa aku baik sebab selalu selamatkan kau. Tapi hakikatnya, aku adalah..."
Dadaku berdebar untuk mendengar bicara seterusnya.
"Orang yang ada kaitan dengan yakuza yang lebih berpengaruh daripada Badri dan Goro."
Riak mukaku berderau. Bebola mata membulat. Segala amaran yang sebelum ini sudah didengar kembali terngiang-ngiang di telinga dan berputar-putar dalam akal fikiran.
Arjuna senyum tiba-tiba. Kelat, canggung dan sangat tidak ikhlas. Dia tampak kecewa.
"Aku tahu kau tak bodoh. Dari awal lagi, memang itu yang kau agak tentang aku, kan? Kenapa manusia seganas Goro dan Badri takutkan aku, kalau bukan kerana aku lebih berkuasa daripada mereka? Itu yang kau fikirkan. Betul tak?"
Lidahku keras. Ingin menyangkal, tetapi memang semua itu ada terdetik dalam hati kecilku. Walaupun aku cuba untuk membuangnya jauh-jauh atas dasar Arjuna sudah beberapa kali menyelamatkan aku, namun aku tetap gagal.
"See, kau sama saja dengan masyarakat yang kau benci. Dari awal lagi, kau dah pun menilai dan menghukum aku."
Telingaku rasa berdesing. Setiap bicara Arjuna mengingatkan aku kepada Badri. Betapa itulah yang telah aku lakukan terhadap sahabat baikku sendiri. Betapa aku melukai hati Badri dengan tindakan itu. Sedikit demi sedikit, emosi berat membelenggu dada. Bibirku mula bergetar. Mata pula tertala tepat kepada belakang Arjuna yang sudah pun berlalu pergi.
"Sebab tulah saya tanya awak sekarang. Saya nak awak bagitahu hal yang sebenar. Siapa awak dan apa yang patut saya fikir tentang awak!" luahku separuh menjerit. Langkah kaki Arjuna terhenti. Lelaki tersebut memaling kembali tubuhnya agar menghadapku.
"Mungkin lepas tu, saya boleh cuba untuk memahami semuanya. Mungkin saya takkan menilai dan menghukum awak macam tu aje." Aku menyambung, semakin beremosi. Dalam otak, yang ternampak cuma Badri, suara lirihnya dan mata sedihnya. Aku seolah-olah membayangkan diri bercakap dengannya, dan menggunakan Arjuna untuk meluahkan apa yang aku rasa.
Ya, Tuhan! Aku patut bertanya kepada Badri, kenapa dia jadi begitu. Aku patut!
"Are you really talking about me?" soal Arjuna setelah beberapa ketika diam memerhatiku.
"Huh?"
"Dalam mata kau, ada Badri."
Aku tergamam.
"Kau menangis, Nailah. Dan aku yakin, kau bukannya menangis kerana aku," jelas Arjuna dengan nada suara yang kedengaran jauh.
Perlahan-lahan, aku mengangkat jari dan menyentuh pipi. Basah.
"Is he...really mean that much to you?"
Aku diam. Mengiya dalam bisu. Persoalan awal tentang siapa sebenarnya Arjuna sudah terbang pergi entah ke mana. Yang tertinggal kini soal Badri.
"Walau apa pun jadi, kau nak jumpa dia?"
Nafas yang sesak, kutarik sedalam mungkin. Titis-titis air mata yang tersisa, kuseka lembut. Kemudian, aku menengadah tepat ke muka Arjuna.
"Ya, sebab saya tak mahu jadi orang yang cuma pandai menilai dan menghukum. Saya tak mahu menilai dia dan saya tak mahu menilai awak, Arjuna."
Anak mata Arjuna kelihatan bergerak sedikit. Dia bagaikan terkesan dengan apa yang baru sahaja aku ucapkan. Beberapa ketika, kami hanya saling menghadap dan bertatapan. Dalam diam, dalam senyap, kami seolah-olah cuba untuk memahami fikiran masing-masing.
"Then, I assume that as your wish. Tiba masanya untuk aku balas budi kau." Arjuna akhirnya memecahkan kesunyian.
"Maksud awak?" Ada bait-bait harapan dalam soalanku.
"Kau pergi breakfast, sementara aku siasat di mana Badri sekarang. Lepas tu, Ryohei akan bawa kau jumpa dia."
Bibirku bergerak sedikit demi sedikit, lalu membentuk senyum.
"Tapi..." sambung Arjuna.
Senyumanku mati di sekerat jalan. Hati ditujah cuak saat mendengarkan perkataan keramat itu. "Tapi apa?"
"Janji dengan aku."
"Apa dia?"
"Kau akan ikut Ryohei, takkan pernah jauh daripada dia dan kau akan balik ke sini. Walau apa-apa pun yang kau dengar daripada Badri, kau akan tetap balik ke sini."
Air liur tiba-tiba tersekat di celah kerongkong. Tubuh rasa sejuk semacam. Entah kenapa, lain benar permintaan Arjuna.
"Saya...saya..." Lidahku tersekat-sekat mahu meluah janji.
"Tolong janji dengan aku, Nailah."
Bicara Arjuna membuatkan aku terkedu terus. Sepanjang perkenalan kami, inilah kali pertamanya dia menggunakan perkataan 'tolong'. Ya, dia memohon, bukan mengarah. Bahkan, nada suaranya tidak keras seperti selalu, sebaliknya lembut. Renungan matanya pula kelihatan lunak dan mengharap.
Lalu, tanpa sedar, kepalaku terangguk sendiri.
"Saya janji, Arjuna. Saya akan pulang ke rumah ini."

*****
SAHABAT yang terbaring lesu dengan mata terkatup itu, aku tatap dengan hati pilu. Kepala dan dadanya berbalut. Separuh muka bengkak dan lebam. Ada juga kesan jahitan yang terselit sama. Kalaulah Mak Cik Kasmah lihat keadaan anaknya ini, pasti hancur luluh jiwanya. Sekelipan, aku melepaskan keluhan. Ekor mata kemudiannya tertancap kepada pasu bunga kecil di sebelah katil. Ada beberapa kuntum mawar di dalamnya. Di tepi pasu bunga tersebut, kelihatan pakaian Badri yang elok berlipat.
"Nailah..."
Suara lemah Badri menyentak. Lekas, aku mengalih perhatian kepadanya.
"Kau ke tu?"
Aku tarik senyum semanis mungkin. "Siapa lagi, kalau bukan aku?"
"Kau tak apa-apa ke?"
Rasa pilu yang sedia bertamu dalam hati, menaik serta-merta. Dalam keadaan seperti itu, Badri tetap memikirkan aku.
"Soalan tu aku patut tanya kau. Rupa dah macam mumia aku tengok."
Badri senyum kecil dan mencuba untuk bangkit. Aku cepat-cepat menerpa ke arahnya dan membantu dia menyandarkan badan ke kepala katil.
"Mumia pun, aku tetap kacak."
Bibirku dijuih. "Perasan!"
Tawa halus Badri meletus dan lembut menyapa hujung telinga. Tawa yang sudah hampir dua tahun tidak kudengar. Tawa yang aku rindu. Tawa yang aku tak tahu sama ada aku akan dengar lagi, atau pun tidak.
Perlahan-lahan, dadaku menyirap dengan emosi.
"How come you ended up like this, Badri?" Lirih aku menyoal. Tawa Badri automatik mati. Dia menatapku dengan pandangan keruh.
"Kenapa kau ambil jalan ni? Tolong bagitahu aku. Biar aku tahu semuanya. So that, aku boleh lebih memahami keputusan kau. So that, aku takkan jadi kawan yang pekakkan telinga dan butakan mata."
Dalam-dalam, Badri menggali nafas.
"Kau takkan pernah jadi kawan yang macam tu. Kau adalah kawan yang sanggup datang beribu-ribu batu jauhnya untuk aku. Tapi aku..." Badri menghenti kata dan mengetap bawah bibir. "Adalah kawan yang jatuhkan kawan dia ke dalam bahaya."
Aku diam, tahu bahawa Badri memaksudkan kejadian dua hari lepas.
"Aku minta maaf," ucap Badri lagi sambil menunduk kepala.
"Benda nak jadi. Semuanya dah lepas, kan?"
Lambat-lambat, Badri memanggung kembali mukanya. "Tak, itu kau silap. Semuanya baru bermula, Nailah."
Air mukaku berubah. Dahi segera berkerut. "Apa maksud kau?"
"I wish I don't have to say this, but..."
Renungan mata Badri tampak penuh kekesalan. Bahkan, ada rasa pilu, takut dan bimbang yang berselirat.
"Welcome to the underworld."
*************
TEASER BAB 11
"Kau memang betul-betul tak faham apa yang dah berlaku, kan?" soal Badri selepas beberapa ketika. 
Aku tersentak. Sama! Soalan itu benar-benar serupa dengan apa yang pernah terpancul keluar dari mulut Arjuna.
"Dia dah buat kau jadi galang-gantinya," sambung Badri lagi.
"Apa maksud kau?"
"Ya, aku faham kenapa dia buat macam tu. Dia tak nak Goro apa-apakan kau. Tapi, dia itu tolol atau apa?!!!" Seperti tadi, Badri tidak menjawab soalan, bahkan dia membentak sendiri.
Aku diam menanti Badri menyambung bicara.
"She's mine. Jadi tak ada sesiapa pun boleh dekat dengan dia, cuba sentuh dia atau apa-apakan dia. Itu maksud kata-kata Arjuna. Tapi..."
"Tapi apa?" Antara dengar tak dengar, aku menyoal. Jantung berkocak hebat. Entah kenapa, intuisi wanitaku mula membayangkan yang tidak elok.
"Itu juga bermaksud, kau boleh jadi target kepada musuh-musuh dia."
Mukaku berderau. Ingatanku spontan terbang kepada saat Arjuna diserang hendap, aku yang menempik memberi amaran dan saat aku dijadikan tebusan. Ya, musuh. Arjuna punya musuh.
Sesaat kemudian, aku teringat pula kepada pengakuan Arjuna pagi tadi. Langsung aku tidak terfikir soal musuh atau bahaya. Yang aku tahu waktu itu, cuma satu. Aku tidak mahu menilai dan menghukum. Tetapi, jika nyawa yang jadi pertaruhan, mampukah aku terus berfikiran begitu?
"Dia tak fikir ke pasal itu? Dia dah letakkan kau dalam bahaya. Hanya dengan berada dekat kepada dia, kau boleh hilang nyawa."
***************
NOTA CIK SA:
Okey, masa untuk suntik pasal kisah silam Nailah. Yup, dia sendiri punya kisah hidup sendiri. For sure, it was not beautiful. So yeah, agak-agak apa pula kisah Nailah? Kisah yang membuatkan dia sanggup buat apa sahaja demi Badri.
Jawapan penuh kepada persoalan siapa AK akan terjawab dalam next chapter. So kita nantikan hari Khamis nanti, ya. Jangan lupa komen dan share. TAPI jangan cuba ciplak (ada kes lagi, huhu). Cik SA takkan teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang kalau ada cubaan ciplak. Harap faham.
See u! Dada! =)

13 comments:

  1. Well,I think I am the first reader..hehe(bangga lak rasanye)...congrats n thanks cik sa...AK ni misteri btullah..haishh

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha! mmg bangga sgt tu...tq and ur wc, dear. kan? misteri tapi itu yg buat dia jd charming. =)

      Delete
  2. I like Nailah & AK a lot. And Japan. Please have more romantic scene for them Cik SA- afaeryna.

    ReplyDelete
    Replies
    1. TQ sooo much, dear. there will be something not romantic but...very much flirty...haha

      Delete
  3. Huarghhhh!!!ending chapter ni genpak la..gigih tau bangun pagi bkak blog ni dlu =P

    ReplyDelete
  4. Nailah dah start feeling 'something' kat AK, suka sgt. Cik Sara, AK salah anggap x hubungan Nailah dgn Badri? Rasanya Nailah tu anggap Badri as bff je kan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. mungkin ada sikit fefeeling di situ...hihihi. Yup, mmg Nailah anggap Badri as BFF je

      Delete
  5. best.....terasa lambatnya hari khamis...

    ReplyDelete
  6. Suke sgt watak AK yang misteri tapi dalam masa yang sama sweet dalam diam .
    Nailah pulak jenis yang blur , sesuai sangat dengan AK .. Oh my .. Tak sabar nak peluk buku ni ..

    -HanRosman-

    ReplyDelete